23 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KEHEBATAN GURU DISIPLIN DI SMK SIBU JAYA



Tanggal 3 Mei 2016, satu episod baharu bermula dalam kehidupan saya sebagai seorang guru. Selepas menghabiskan masa selama 19 tahun di SMK Sacred Heart, tempat saya membesar sehingga menjadi dewasa, saya dipindahkan ke SMK Sibu Jaya. Saya tidak pernah termimpi untuk merelakan perpindahan ini. Impian saya hanya mahu berkerja dan bersara di SMK Sacred Heart. Perpindahan saya memang mengejutkan. Kawan-kawan yang mengenali saya semua melontarkan pertanyaan yang hanya mampu saya jawab dengan sebuah senyuman. Mereka terkejut dengan jawatan yang bakal saya kemudikan di SMK Sibu Jaya. Selama 19 tahun menceburi bidang perguruan saya lebih dikenali sebagai guru bersifat akademik. Saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Apabila dilantik menjadi Penolong Kanan Kokurikulum, ramai yang hairan! Akan tetapi, hati saya tetap percaya bahawa semua ini takdir. Lantas, dengan rasa percaya itu saya melaporkan diri ke stesen baharu.

Saya betul-betul bermula dengan “Kosong” umpama tajuk lagu Najwa Latif yang selalu mengalun di ruang udara kereta kesayangan saya. Saya dilontarkan dengan pelbagai pertanyaan dan “ancaman” yang biarlah menjadi rahsia untuk diri saya. Kenapa awak pindah? Semuanya tidak pernah saya jawab. Hanya hati sahaja yang mampu berkata, saya mampu melakukannya. Saya akan belajar dan belajar tanpa jemu. Semua orang bermula daripada ketiadaan sebelum beranjak ke gelanggang keberadaan. Perkara pertama yang membuat mulut saya terlopong ialah jumlah pelajar di SMK Sibu Jaya. Jumlahnya lebih kurang 2200 orang. Hari pertama saya amat indah apabila menyaksikan pelajar yang ramai itu makan di Dataran Bestari semasa waktu rehat. Mereka makan sambil berbual-bual dalam satu kumpulan dalam satu bulatan. Semua orang membuka bekal masing-masing dalam suasana yang amat indah dan damai. Terdetik di hati saya, alangkah baiknya kalau saya dapat makan bersama-sama mereka dalam keadaan itu.

GURU DISIPLIN

Pada minggu pertama saya banyak memerhatikan pengurusan disiplin pelajar yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Pada setiap pagi, saya menyaksikan pergerakan para guru yang bertugas amat teratur. Bermula dari pintu pagar sekolah, guru disiplin dan para pengawas sekolah menyambut mesra kedatangan pelajar dalam keadaan yang amat mesra dan ceria. Tuan Pengetua, Penolong Kanan HEM, Kaunselor Sekolah dan guru-guru yang bertugas berdiri di tepi pintu pagar masuk mengalu-alukan kenderaan yang masuk ke kawasan sekolah mahupun yang hanya berhenti di luar pintu pagar sekolah untuk menurunkan anak kesayangan mereka. Saya tidak nampak sebarang masalah yang boleh mengeruhkan suasana pagi yang ceria. Pada pukul 6.40 pagi semua pelajar dan guru berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku dan lagu sekolah SMK Sibu Jaya. Selepas itu, semua guru dan pelajar bergerak ke kelas untuk memulakan sesi persekolahan.

Perkara yang amat mengagumkan saya ialah peranan Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin. Saya menceritakan hal ini bukanlah disebabkan saya merupakan Penolong Kanan Kokurikulum tetapi saya merasakan mereka wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya. Mereka amat bertanggungjawab. Mereka sanggup mengabaikan sarapan pagi semata-mata untuk memastikan segalanya lancar dan berkesan. Kes-kes disiplin pelajar semuanya diselesaikan tanpa merujuk kepada Pengetua dan Penolong Kanan melainkan kes-kes disiplin yang serius (tiada berlaku di sekolah ini). Ketua Guru Disiplin memang memainkan peranan yang amat proaktif. Beliau akan terus bertindak apabila menerima laporan pelajar ponteng dan sebagainya. Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah mereka bergerak dalam satu kumpulan. Oleh itu, pelajar-pelajar nakal yang selalu menimbulkan masalah seperti bising, malas, dan suka datang lewat amat takut terhadap guru-guru ini. Bukannya mudah menjaga pelajar yang berjumlah 1000 orang pada satu sesi. Pergerakan pelajar macam semut kerana satu kelas bilangan pelajar lebih kurang 35 hingga 40 orang. Akan tetapi, mereka mampu menguruskan disiplin sekolah kami. Tahniah dan syabas diucapkan! Terima kasih Allah kerana menghantar saya ke sini.


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bersebelahan bilik dengan saya menyebabkan saya selalu teringatkan arwah ayah yang telah lama pergi. Cara dia berkomunikasi dengan pelajar nampak bersahaja tetapi amat berkesan. Nadanya amat lembut tetapi tegas. Cara dia melayan ibu bapa yang dipanggil ke sekolah amat mengagumkan diri saya. Sebagai orang baharu yang dinaikkan pangkat menjadi pentadbir saya tahu ada ketikanya saya harus berhadapan dengan situasi sebegitu apabila mereka pergi berkursus dan sebagainya. Oleh itu, saya belajar setiap hari. Saya catat dalam buku catatan tentang apa-apa sahaja yang saya lihat dan dengar. Pada minggu pertama sahaja buku catatan saya yang setebal 200 muka surat sudah habis separuh. Hubungan beliau dengan guru-guru disiplin dan Ketua Guru Disiplin amat baik sehingga cara mereka memanggil saksama sendiri ibarat ayah dengan anak atau ibarat kawan dengan kawan. Mereka tidak pernah berkrisis.

MEREKA TIDAK MENGELUH

Sepanjang masa bersama mereka saya tidak pernah mendengar mereka mengeluh tentang beban tugas yang dipikul. Mereka datang ke sekolah seawall pukul 6.15 pagi. Pihak pentadbir langsung tidak pernah menyentuh tentang prestasi guru-guru disiplin sekolah ini semasa taklimat kerana kualiti kerja yang mereka pamerkan amat mengagumkan. Jika duduk di kantin sekolah mereka akan berkongsi tentang perangai pelajar yang bermasalah. Mereka maklumkan kepada semua pihak supaya sama-sama mengawal pelajar tersebut. Mereka tidak pernah mengatakan tidak. Mereka tidak pernah menolak arahan. Mereka tidak pernah menyanggah saranan pihak pentadbir. Mereka sentiasa berpadu dan bersatu dalam satu pasukan yang saya umpamakan “TEAM GERAK KHAS” yang menjadikan suasana di sekolah amat kondusif dan selamat kepada semua warga. Mereka tidak perlu diarahkan untuk bertugas. Mereka tidak perlu dimarah pada setiap hari. Mereka melakukannya tanpa rasa jemu kerana mereka tahu makna sebuah tanggungjawab.

Kerjasama yang terjalin kukuh antara pihak pentadbir dengan guru-guru disiplin ini amat besar maknanya. Nilai hormat-menghormati sentiasa menjadi amalan dalam menjalinkan silaturrahim. Saya tahu mereka pun mungkin bertanya, kenapa saya hadir ke sekolah mereka? Saya juga tahu mereka mungkin berfikiran seperti orang-orang diluar yang mengenali saya bahawa saya tidak sesuai menjawat jawatan saya. Akan tetapi, mereka tidak pernah mengungkapkan di depan saya. Yang saya nampak nilai hormat-menghormati memang dipraktikkan oleh semua warga sekolah ini. Kerjasama yang jitu dan padu menjadikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Banyak juga acara-acara besar yang dilakukan setelah saya tiba di SMK Sibu Jaya. Antaranya, Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kategori Luar Bandar Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak, Hari Terbuka SMK Sibu Jaya, Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, dan Hari Sukan Sekolah. Alhamdulillah, semuanya lancar kerana peranan para guru dan guru-guru disiplin yang berkomitmen tinggi.


Mereka banyak memberikan pandangan, nasihat, dan dorongan secara tidak langsung kepada diri saya. Tanpa mereka siapalah saya? Dalam mana-mana acara, Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. Masalah memang wujud dalam kalangan pelajar tetapi apa-apa pun yang berlaku mereka dapat membantu pihak sekolah menyelesaikannya dengan penuh bijaksana. Nasihat dan pandangan mereka dalam semua perkara berkaitan dengan disiplin amat diperlukan oleh orang baharu seperti saya.

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Manusia lebih mudah percaya kepada khabar angin yang bertiup lembut menusuki gegendang telinga. Kita mudah menghukum tanpa melihat dan merasai sendiri realiti yang berpijak di bumi nyata. Bumi tempat saya berpijak ini amat indah. Keindahannya sukar digambarkan. Bumi tempat saya berpijak ini amat subur. Subur dengan pamah yang menguntungkan. Saya tidak perlu memerah keringat sehingga tinggal rangka untuk mengusahakan tanah ini kerana tanah yang subur ini mampu mengeluarkan hasil yang banyak walaupun saya hanya bekerja separuh hari. Saya tidak perlu berjaga sehingga ke dini hari untuk menghalau beburung yang mahu memakan padi yang saya tanam di tanah ini kerana sebelum saya tiba burung-burung itu sudah pergi tanpa meninggalkan jejak di tanah ini. Ya Allah bertuahnya saya ditempatkan di tanah ini. Buat taulan sekalian alam, datanglah ke tanah ini. Marilah sama-sama membanting tulang tanpa perlu terluka terkena pisau yang tajam kerana di tanah ini kami bekerja dalam penuh keriangan dan keceriaan. Kami berusaha untuk menjadi yang terbaik. Walaupun payah untuk menjangkau awan tetapi kami percaya tujuh lapisan langit mampu kami gapai suatu masa nanti.


Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya

Sibu Sarawak

18 Februari 2017

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL: KESEDARAN DIRI AMAT PENTING UNTUK MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BERJAYA


Sewaktu sedang menyemak buku latihan pelajar-pelajar saya, tiba-tiba air mata saya menitis. Saya berasa amat kecewa apabila melihat hasil kerja beberapa orang pelajar. Tulisan mereka tidak dapat dibaca. Mereka cuma menulis menggunakan singkatan yang saya sendiri tidak dapat memahaminya.Perkara yang paling mendukacitakan, ada pelajar yang cuma menghantar buku sebab takut dimarahi tetapi buku itu kosong tidak ditulis dengan sepatah kata sekalipun. Perkara ini tidak harus dibiarkan. Saya perlu melakukan sesuatu. Ingatan saya terus menerawang jauh ke masa silam. Saya terbayangkan kedua-dua arwah ibu dan ayah saya yang bersusah payah menyekolahkan saya dan adik-adik. Setiap kali saya mahu melakukan sesuatu, apabila terbayangkan wajah mereka, niat terus terbantut. Apabila kawan-kawan seperjuangan mengajak saya ponteng sekolah, kaki saya melangkah mengikuti jejak mereka tetapi apabila wajah arwah ayah yang bengis muncul di depan mata, saya terus berlalu pergi meninggalkan mereka yang sedang berseronok menikmati rokok sambil mengalunkan lagu “Isabella” nyanyian Kumpulan Search.


Pagi itu, saya masuk ke kelas seperti biasa. Pelajar-pelajar saya tunduk memberikan salam. Seperti biasa saya bertanyakan khabar mereka terlebih dahulu. Saya ambil kedatangan dan tandatangan buku pergerakan pelajar. Selepas itu, saya bagi buku latihan mereka. Kemudian, saya memulakan langkah untuk meneruskan agenda saya pada pagi itu. Saya minta mereka buka buku latihan dan buku kerja yang telah saya semak. Saya panggil beberapa orang untuk membacakan komen saya pada buku latihan mereka. Sekumpulan pelajar yang melakukan kesalahan itu tertunduk malu. Selepas itu, saya terus beritahu mereka, buku latihan itu merupakan bekalan yang amat bernilai untuk menghadapi peperiksaan. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru mesti ditulis disitu. Apabila hendak menduduki peperiksaan atau mengulang kaji pelajaran, kita dapat memahami isi pelajaran lepas dengan mudah. Jika kita sendiri tidak dapat membaca buku latihan kita, apakah maknanya kita memiliki buku latihan atau buku kerja? Lebih baik kita menulis semua kerja di tapak tangan! Selepas cikgu keluar kita padam. Mudah!

Ingati wajah ibu dan bapa

Saya terus memberikan nasihat kepada mereka. Buku latihan itu dibeli menggunakan duit hasil pencarian ibu dan ayah. Kenapakah mereka membelikan buku itu untuk kita? Mereka mahu kita mencatat semua pelajaran yang disampaikan oleh guru di sekolah.Setiap helai kertas dalam buku latihan itu perlu digunakan secara bermanfaat. Jika kita datang ke sekolah hanya untuk menconteng buku latihan atau menulis buku itu dengan  “tulisan paling cantik di dunia” sehingga guru yang mendidik kita pun tak dapat membacanya, bukankah itu menandakan kita telah mengkhianati harapan ibu bapa kita. Kita gagal memahami tujuan kita ke sekolah! Kita belajar untuk siapa? Jawapannya amat mudah. Kita datang ke sekolah untuk memastikan masa depan kita terjamin. Kita mahu mengubah nasib keluarga. Kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan gaji yang tinggi. Kita mahu memberikan kesenangan kepada ibu dan ayah serta adik-adik kita. Jika kita ke sekolah dengan tujuan untuk menggelapkan masa depan kita sendiri, kita sungguh berdosa. Berdosa kepada ibu bapa kita. Berdosa kerana memusnahkan impian mereka.

Semua pelajar harus memiliki kesedaran diri. Orang yang tiada kesedaran merupakan orang yang gagal dan tidak akan berjaya sampai bila-bila. Orang yang mempunyai kesedaran diri yang tinggi biasanya mempunyai cita-cita yang tinggi. Jika sekarang mereka tinggal di rumah yang berharga RM100,000, mereka mengimpikan untuk membeli rumah yang lebih besar dan lebih mahal daripada itu untuk keluarga dan ibu bapa mereka. Orang yang mempunyai kesedaran tiada masa untuk melakukan perkara yang remeh-temeh semasa di sekolah. Mereka tidak akan mengantuk atau tidur semasa guru mengajar. Mereka akan menyiapkan segala tugas yang diberikan tepat pada masanya. Mereka tidak akan membuat kerja sambalewa atau semberono. Mereka akan sentiasa menghargai masa semasa berada di sekolah untuk belajar dan belajar sahaja. Pelajar yang sedar diri akan sentiasa terbayangkan kemiskinan dan kesusahan hidup keluarganya. Dia sentiasa berazam untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan itu. Dengan itu, dia akan belajar bersungguh-sungguh demi memperoleh kecemerlangan.

Jangan khianati diri sendiri

Pelajar yang malas merupakan pelajar yang mengkhianati dirinya sendiri. Semua orang dikurniakan akal yang rasional dan fizikal yang sempurna. Mengapakah ada orang yang berjaya dan ada orang yang gagal? Walaupun kita selalu mengatakan perjalanan hidup kita ditentukan oleh takdir, kita tidak boleh menafikan sikap malas yang tebal dalam diri kita merupakan penghalang utama untuk kita maju seperti orang lain. Peluang sudah terbentang di depan mata. Mengapakah kita tergamak menutup ruang dan peluang kita sendiri dan memberikannya kepada orang lain? Pelajar yang malas ibarat menjerut leher sendiri. Mereka telah lama mati walaupun nadi belum terhenti. Mati kerana tidak mampu merangkul kejayaan seperti orang lain. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk mendapatkan kejayaan, dia masih tidur berdengkur dibalut selimut kemalasan. Hidup hanya untuk menyusahkan ibu bapa hingga ke hari tua. Orang yang malas biasanya orang yang suka hidup dengan hiburan. Mereka hanya memikirkan keseronokan pada setiap masa. Hidup berkiblatkan artis popular tetapi dirinya sendiri entah kemana!


Dunia hari ini memerlukan kita untuk kental bersaing. Jika kita tidak berpendidikan kita tidak mampu melakukan pecutan untuk mara kehadapan. Kita akan terus ditertawakan dan diperlekehkan oleh orang lain. Kita gagal dalam persaingan. Kita akan ketinggalan. Orang sudah berlari tetapi kita masih bertatih. Semasa di sekolah kita harus membina keyakinan diri. Semasa di sekolah kita harus membina kekuatan diri. Kita disediakan dengan puluhan pendidik yang berdedikasi untuk memberikan ilmu, nasihat, dan amanat. Mengapakah kita selalu menitiskan noda pada kanvas silaturrahim dengan mereka? Pelajar yang berjaya merupakan pelajar yang ditakuti kerana kematangannya, kecemerlangannya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum, dan ketokohannya. Pelajar yang menjadi pembuli, samseng taik kucing, suka melawan guru, gemar bercakap kasar dan sebagainya tidak akan maju dalam hidup. Orang mungkin takut pada mereka tetapi takut kerana jahatnya sikap dan kelakuan mereka bukannya takut kerana mereka berjaya. Golongan ini akan hadir dalam masyarakat untuk menyusahkan masyarakat, langsung tidak membawa kemaslahatan kepada diri dan orang lain.

Berubahlah anak-anakku

Anak-anakku sayang, masa yang Allah berikan kepada kita untuk berubah tidak pernah bermuara. Luasnya saujana mata memandang. Kita harus bersikap positif untuk mengubah diri agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, dan negara. Sayangi diri sendiri. Orang yang sayang pada dirinya sendiri akan berjuang berhabis-habisan untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu hidupnya dibawah telunjuk orang lain. Dia tidak mahu keluarganya hidup menderita. Dia tidak mahu ibu bapanya hidup sengsara. Dia tidak mahu guru-gurunya berasa kecewa. Dia tidak mahu pemikirannya dijajah. Dia tidak mahu masa depannya musnah. Masa di sekolah hanyalah 7 jam sehari. Jika masa itu digunakan dengan bermanfaat, insyallah anda mampu memahat nama di persada jaya sebagai pelajar yang paling cemerlang di Malaysia. Ini bukan mustahil! Jika orang lain boleh mengapakah anda tidak boleh?


Coretan dari hati seorang pendidik
Cikgu Zulkarnain Farihin Abdullah
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak. 

30 Julai 2016

HASIL KARYAKU: KITA TAK AKAN MENGAPAI BINTANG

KITA TAK AKAN MENGAPAI BINTANG


Kita tak akan dapat menggapai bintang
Jika terus hidup dikelambu fitnah
Bernafas menghirup angin cemburu
Berjalan di titian iri dan benci
kerana jiwa kita sungguh kalut
kalut memikirkan cara menjatuhkan
kalut memikirkan cara membinasakan
sehingga kita lupa Tuhan
alpa pada diri
hilang kewarasan kurniaan Ilahi

Kita tak akan dapat menggapai bintang
Jika kita hidup dipayungi muslihat
memperguna cendikia bijaksana
kita curi ilmu dan kepakarannya
kemudian kita padamkan nama sucinya
untuk memsohorkan nama kita yang kotor
yang tak tahu apa-apa
sehingga kita lupa pada maruah
alpa pada kemanusiaan
hilang akal rasional ditawan ketamakan

Kita tak akan dapat menggapai bintang
jika kita tidak berani bersemuka
menyelesai sengketa dan kecelaruan minda
hati kita sentiasa panas, cemas, dan rimas
kita bergayut di ranting permusuhan rapuh
yang mungkin patah
menimpa dan mencederakan kita
sehingga kita lumpuh
terjelepuk di lantai derita
sesal hingga ke hujung nyawa

Kita tak akan dapat menggapai bintang
kerana bintang itu tinggi
di dada langit beratus juta kaki
tetapi kuasa Tuhan itu penentu
tiada yang mustahil
andai usaha dipacu

Nukilan asli dari hati
Cikgu Zul Farihin
30 Julai 2016: 8.39 pagi


17 Mac 2016

KELESTARIAN KEWANGAN UNIVERSITI

DR. MOHD. BAKRI BAKAR 
Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi bersama Persatuan Kimia ACS Malaysia.

Kerencaman perubahan dunia akan sentiasa menyediakan cabaran baharu yang perlu ditangani dengan segera dan berhemah. Dalam hal ini, sumbangan universiti cukup penting bertepatan dengan peranannya sebagai sumber penjanaan ilmu yang mampu menawarkan penyelesaian bijak. Tambah­an pula universiti adalah institusi utama berasaskan elemen pendidikan aras tinggi yang tersusun dengan keupayaan ahli akademia yang diperakui keilmuannya.

KEJAYAAN DR. LATIFAH MUNIRAH dari Universiti Malaysia Perlis menerima anugerah Grand Prix ISIF 2016 di Istanbul, Turki, baru-baru ini, antara batu loncatan untuk universitinya mengkomersialkan kajian beliau. 

Di sinilah kepakaran universiti ditagih bagi memastikan manfaat ilmu dapat diterjemahkan untuk kemajuan negara dan kesejahtera­an warga. Tuntutan tersebut memerlukan perubahan acuan sedia ada dengan keseimbangan peranan universiti sebagai gedung kekayaan ilmu dan entiti kekayaan kewangan harus diberikan wacana baru.

Sektor pendidikan tinggi negara telah melalui perkembangan yang membanggakan berikutan polisi yang menggalakkan kecemerlangan institusi untuk menyediakan pendidikan terbaik. Berdasarkan laporan terkini Kementerian Pendidik­an Tinggi, kesarjanaan universiti tempatan telah diiktiraf sepertimana pencapaian penarafan 50 terbaik dunia bagi subjek sains alam sekitar dan pengajian pembangunan serta peningkatan konsisten penarafan universiti mengikut ranking QS. Keyakinan terhadap ekosistem kecemerlangan pendidikan tinggi negara juga diakui dengan kewujudan sembilan kampus antarabangsa iaitu bilangan yang tertinggi di Asia.

Pada masa sama, sumbangan institusi pendidikan tinggi seperti universiti terhadap komuniti dan industri tempatan giat dilakukan melalui inisiatif pemindahan ilmu seperti Knowledge Transfer Program dan Public-Private Research Network. Malah, nilai kesukarelawan bagi mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat terus menjadi agenda utama sepertimana lebih daripada 5000 sukarelawan telah digerakkan dalam Ops Pasca Banjir pada tahun lepas. Manakala inovasi teknologi daripada kepakaran penyelidik universiti juga telah dimanfaatkan dalam menyediakan kemudahan seperti bantuan kepada mangsa bencana banjir tersebut.

Tahun ini menyaksikan pemerolehan bajet pengkhususan untuk pendidikan negara telah dikurangkan kesan daripada ketidaktentuan ekonomi semasa. Hasilnya, kebergantungan utama kewangan pendidikan kepada perbendaharaan kerajaan sudah tidak menjadi les­tari. Tanpa menafikan pendidikan adalah bersudut pelaburan jangka panjang yang sentiasa menjadi tanggungjawab kerajaan, inisiatif kemandirian kewangan terutamanya di peringkat pendidikan tinggi harus diusahakan bagi memacu perekonomian pendidikan.

Hal Ini demikian kerana pendidikan tinggi terutamanya universiti mempu­nyai potensi, keupayaan dan sumber yang tidak terhad dalam berinovasi untuk mencipta kekayaan. Ini juga selaras dengan autonomi kewang­an yang mula diberikan kepada universiti bagi membolehkan me­ngenal pasti peluang dan ruang baru penjanaan kewangan tanpa dihadkan oleh peraturan konvensional.

Oleh itu, perkara ini telah dijadikan salah satu asas lonjakan pendidikan tinggi negara yang telah dibentangkan melalui pelan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bertemakan kelestarian kewangan. Sudah tentunya kecemerlangan berteraskan kesarjanaan ilmu yang telah dicapai harus diteruskan dengan penyelesaian kreatif perlu diketengahkan dalam menghadapi kekangan kewangan.

Oleh itu universiti perlu dimo­delkan kembali mengikut landskap cabaran semasa, namun tidak mengetepikan matlamat asal kewujudan universiti. Ini bermakna peranan universiti perlu terus selaras mengikut paksi keilmuan, tetapi ditambah nilai supaya dapat di­terjemahkan kepada manfaat ke­sejahteraan yang mencakupi kedua­dua aspek sosial dan ekonomi.

Kehadiran universiti sebagai sumber rekayasa sosial masyarakat melalui pendidikan perlu terus diupayakan. Manakala, model universiti bercirikan nilai keusahawanan perlu diberikan tumpuan terutamanya dalam inisiatif mengkomersialkan idea. Hakikatnya, manfaat yang akan terhasil bukan sekadar membantu kewangan universiti, akan tetapi dapat membawa limpahan kemakmuran terhadap ekonomi setempat dan negara keseluruhannya.

Melalui pembentangan amanat tahun baru, Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan lima ruang strategi yang perlu diterokai bagi menterjemahkan keupayaan sedia ada pendidikan tinggi kepada hasil yang dapat memberikan impak ekonomi. Ini melibatkan pemerkasaan sistem endowmen serta wakaf, pengukuhan jalinan alumni, pengkomersialan hasil kepakaran serta penyelidikan, membuka potensi aset dan mewujudkan ekosistem keusahawanan. Semua inisiatif yang dinyatakan tersebut perlu dilaksanakan bersekali dengan pembudayaan perbelanjaan berhemah dan peningkatan aras kecekapan pengurusan.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) misalnya meletakkan keutamaan terhadap agenda kelestarian pendidikan tinggi seiring penghasil­an yang berimpak. Sebagaimana dinyatakan melalui buku perutusan Naib Canselor, UTM telah menetapkan kelestarian kewangan sebagai antara pemacu perubahan dengan tujuh bidang tumpuan utama universiti telah dikenal pasti.

Bagi mengekalkan ekosistem kecemerlangan, UTM akan terus menyediakan dana secukupnya melalui lonjakan penjanaan daripada sumber baru serta amalan pengagihan belanjawan mengikut keberhasilan di samping menggiatkan nilai produktiviti dan keusahawanan kepada setiap warganya.

Strategi seperti ini adalah penting dalam merasionalisasikan kembali pelaburan pendidikan supaya lestari dan kekal menghasilkan pulangan berimpak. Selain itu, agenda kelestarian juga harus dilaksanakan merentas institusi melalui interaksi dan kerjasama melibatkan perkongsian sumber, kepakaran dan praktis terbaik untuk kecemerlangan bersama.

Sememangnya tiada acuan yang konkrit berkenaan model universiti yang tetap. Kelestariannya bergantung kepada visi dan misi unik setiap universiti dalam menghadapi cabaran tersendiri melalui keseimbangan tanggungjawab kepada pelbagai pihak.

UTUSAN MALAYSIA

16 MAC 2016

KEGHAIRAHAN MEMILIKI KERETA MEWAH PUNCA LAMBAKAN KLON KERETA


Oleh: Akhbar Satar
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP
http://www.bharian.com.my/node/133117

Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mendedahkan yang pihaknya merampas 22 kereta klon bernilai lebih RM1 juta membabitkan pelbagai model, termasuk kenderaan mewah sejak dua bulan lalu, manakala sejak 2014, 254 kenderaan klon disita. Pada satu sidang media awal tahun lalu, JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sindiket yang aktif dalam perniagaan kereta klon dan menasihatkan supaya tidak menggunakan kereta klon. Operasi demi operasi diadakan sehingga kini. Kenderaan yang dirampas adalah model ternama, termasuk jenis Mini Cooper, Subaru Impreza, Honda Jazz, Honda City, Honda Odyssey dan Toyota Wish. Ketua Pengarah JPJ juga pernah menegaskan bahawa oleh kerana kelicikan sindiket, negara kerugian kira-kira RM30 juta memandangkan aktiviti ini mengelak bayaran cukai dan turut memalsukan dokumen kenderaan. Keghairahan orang ramai untuk memakai kereta mewah dan import menyebabkan mereka tidak sedar akibat menggunakan kereta klon.

KERETA SELUDUP

Pembeli kereta klon adalah golongan pertengahan yang ingin tampil bergaya dan ada kalangan mereka penjawat awam. Kereta klon dikategori sebagai kenderaan tidak disahkan taraf oleh JPJ. Antara modus operandi kereta klon, termasuk kereta yang diseludup dari negara jiran dan menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dikendalikan oleh sindiket. Kebanyakan kereta klon diambil dari Singapura kerana negara itu melaksanakan dasar pelupusan kenderaan setiap lima tahun sekali. Sindiket mengambil kesempatan untuk dijadikan kereta klon. Sebelum lupus pihak berkenaan menyeludup ke Malaysia untuk tujuan diklon.

Selain itu, kereta yang dilarikan daripada pihak bank dan dipalsukan nombor pendaftaran, sama ada menggunakan dokumen kereta dan sijil pendaftaran kereta yang telah hilang tapi tidak dibuat aduan polis dan menyamar guna nombor orang lain. Kereta mengguna pakai nombor kereta yang cantik dan dipakai untuk kereta yang diseludup. Mereka akan mencari model dan spesifikasi kereta asal hampir sama agar sukar dikesan pihak penguat kuasa. Cukai jalan akan dipalsukan menyerupai cukai jalan yang dikeluarkan JPJ atau mereka melaporkan cukai jalan hilang untuk mendapat salinan cukai jalan kereta yang asal dari JPJ.


Di samping itu, surat sumpah dipalsukan. Ada juga kereta yang menggunakan dokumen kenderaan yang mengalami kemalangan teruk. Proses pengklonan juga membabitkan aktiviti penukaran nombor pendaftaran dan tampalan nombor casis serupa dengan maklumat kenderaan yang dikategorikan sebagai total lost. Mereka mendapat maklumat kenderaan sedemikian rupa daripada pihak insurans dan bengkel kereta. Kegiatan ini dibuat oleh sindiket yang biasanya bekerjasama dengan segelintir kakitangan penguat kuasa yang tidak amanah dan tiada integriti. Urusan jual beli kereta boleh didapati dengan mudah. Selalunya sindiket berurusan dengan ejen penjual kereta terpakai untuk menjual kereta mereka itu.

HARGA TERLALU RENDAH JADI TARIKAN

Pelanggan ditawarkan dengan harga amat rendah berbanding harga pasaran. Pembeli kereta klon menanggung rugi kerana kereta terbabit boleh disita JPJ. Pada masa sama, mereka masih menanggung hutang bank. Kereta Honda Odyssey yang harga pasaran melebihi RM100,000 hanya dijual serendah RM10,000 hingga RM12,000. Toyota Alphard pula berharga RM25,000. Ia menyebabkan orang ramai mudah tertarik, selain sindiket ini turut agresif membuat promosi melalui pelbagai cara. Terbaharu menggunakan media sosial.

Oleh sebab sangat kreatif dalam penipuan, sindiket juga menggunakan dokumen motosikal hilang untuk mengklonkan kereta. Cadangan JPJ menubuhkan skuad bagi membanteras kegiatan sindiket penyeludupan kereta klon ke negara ini langkah yang baik. Adalah lebih berkesan jika skuad ini diperkuat untuk merisik, menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit. JPJ juga akan menggunakan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP). Dengan mendaftarkan kereta asing di pintu masuk negara, kita dapat mengurangkan klon kereta.

PENGUAT KUASA PERLU KEKAL INTEGRITI  

Bila tidak ada orang cakap hal ini, penjahat makin giat menipu. Perlu ada pendekatan memberi kefahaman dan mendidik masyarakat dan pada masa sama tegur dan cadang pembaharuan, penambahbaikan sistem semasa diberi keutamaan. Juga pastikan pegawai yang terbabit dalam sistem semakan enjin dan pendaftaran kenderaan memperlihatkan budaya berintegriti tinggi. Sudah tentu PUSPAKOM perlu profesional dan kekalkan integriti kerana sebelum memberi kelulusan, JPJ juga lazimnya bergantung pada laporan dikeluarkan oleh PUSPAKOM. JPJ pula disarankan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan PUSPAKOM, polis, SPRM dan Kastam untuk mengatasi masalah kereta klon secara menyeluruh. Menggunakan kereta klon membawa implikasi buruk. Bila kemalangan dan ditahan polis, kenderaan akan disita, berdepan risiko institusi perbankan, didakwa serta dihukum denda, penjara di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kanun Kesiksaan dan Akta SPRM 2009.


BERITA HARIAN  

12 MAC 2016

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : MAKNA SEBUAH KEHIDUPAN


Kehidupan bukanlah semata-mata tentang bagaimana kita menemukan diri kita tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita berusaha untuk menciptakan diri kita yang sebenarnya. Arthur Rubinstein, pernah berkata “Jika kita mencintai kehidupan maka sebaliknya kehidupan akan mencintai kita”. Untuk mengisi hidup dengan bermakna, kita harus kuat dan tabah untuk menempuh segala macam ujian yang mendatang. Kita harus ingat bahawa kekuatan itu tidak datang daripada sebuah kemenangan. Kekuatan itu bermakna keupayaan kita berusaha untuk melewati dan mendepani segala kesulitan dan memutuskan untuk tidak menyerah kalah, itulah kekuatan yang sebenarnya.

Semua orang pernah jatuh dan gagal. Akan tetapi, jangan terus membiarkan diri menyembah bumi. Tuhan ingin melihat kita bangkit dan melompat setinggi mungkin di kemudian hari. Masa depan kita tidak akan gelap, jika kita menghadapinya dengan berani serta berusaha memantapkan diri tanpa rasa takut. Masa depan kita akan gelap seandainya kita hanya berimiginasi dan bermimpi tanpa henti sehingga kita mati dalam kedaifan dan kemiskinan ciptaan kita sendiri. Hidup merupakan serangkaian peristiwa alami dan spontan. Jangan melawan kehidupan yang hanya akan menciptakan kesedihan. Biarkan realiti menjadi kenyataan. Biarkan semuanya mengalir secara alami. 

05 Mac 2016

GAGAL DALAM SPM DAN STPM BUKAN PENGAKHIRAN PERJALANAN HIDUP, HARUS BIJAK MEMILIH JALAN DEMI MASA DEPAN


Pujangga pernah mengungkapkan, “Ada dua keuntungan daripada sebuah kegagalan. Pertama, jika kamu gagal,  kamu belajar membezakan perkara  yang tidak bekerja dalam dirimu. Kedua, kegagalan memberikan peluang agar mencuba cara lain”. Berpegang kepada kata-kata itu, Cikgu Zul mahu semua pelajar yang gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM yang diumumkan pada 2 Mac 2015 dan SPM yang diumumkan pada 3 Mac 2015, kembali membuat refleksi diri. Pertama, jangan salahkan orang lain menjadi punca penyebab kegagalan kita. Guru dan ibu bapa telah melakukan yang terbaik untuk memberikan ilmu dan mengorbankan waktu untuk kita. Teruskan untuk berterima kasih dan menghargai pengorbanan mereka. Insyallah, kita akan mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya. Allah akan tunjukkan jalan yang lebih indah untuk kita. Kadang-kadang, kita yang empunya badan mudah hanyut dengan pelbagai godaan sekeliling sehingga lupa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Itulah penyebab kegagalan kita.

Walau bagaimanapun, Cikgu Zul nasihatkan anak-anak sekalian, usah lagi menoleh kepada kegagalan itu. Bangkitlah dan atur strategi untuk terus mara ke hadapan. Banyak lagi jalan yang terbentang untuk kita lalui. Carilah jalan yang sesuai dengan kebolehan, kelulusan dan keinginan. Cikgu Zul percaya, anda semua sudah terlalu matang untuk menentukan arah tuju hidup. Jika anda berminat dalam bidang elektrik, pilihlah laluan meneruskan pengajian di Institut Latihan Perindustrian. Jika anda meminati bidang masakan, pilihlah institut yang mampu melatih anda sehingga menjadi Chef yang terkenal dan bergaji tinggi macam Chef Wan. Tempat-tempat melanjutkan pelajaran pula, pilihlah ikut kemampuan ibu bapa. Jangan memaksa ibu bapa menghantar kita ke kolej-kolej berprestij jika mereka tidak mampu. Seboleh-bolehnya, jangan meminjam wang daripada mana-mana institusi kewangan sebab masa depan kita belum tentu lagi. Pilihlah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan lain-lain. Jangan suka menyusahkan ibu bapa. Kasihanilah mereka!

Anak-anak sekalian, Cikgu Zul berharap agar kegagalan itu menjadikan kalian lebih matang dalam menentukan laluan hidup. Hargailah masa muda. Jangan sesekali memilih laluan yang mudah sehingga menghancurkan masa depan kita. Hidup ini tidak mudah. Kos hidup di negara kita semakin meningkat. Gaji bulanan sebanyak RM3000.00 belum tentu cukup untuk menyara hidup!. Ingatlah, suatu masa kalian akan berkahwin dan mempunyai anak yang perlu disara, diberikan pelajaran, dan dibiayai kehidupan. Oleh itu, Cikgu Zul mohon, pandanglah jauh ke hadapan. Jangan pilih jalan yang salah. Yang paling penting dalam hidup ini hanya 3 perkara. Pertama, jangan jauhkan diri daripada Tuhan. Kedua, harus bersikap positif. Ketiga, mesti rajin untuk memajukan diri sendiri. Kita harus sedar asal usul kita dan berkeinginan tinggi untuk mengubah nasib kita. Ingatlah, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka”.


JANGAN MALU JIKA KITA GAGAL

Cikgu Zul mohon agar kalian menerima kegagalan itu dengan minda yang positif. Jangan malu. Percayalah, SPM dan STPM itu merupakan permulaan bagi perjalanan hidup. Sehingga kini tiada bukti yang boleh dikemukakan bahawa orang yang gagal dalam kedua-dua peperiksaan itu, gagal dalam hidup. Banyak yang berjaya sebagai peniaga sehingga menjadi usahawan dan jutawan terkenal. Mereka tidak lulus SPM tetapi mereka mampu membina sebuah empayar perniagaan yang dikagumi. Kenapa kalian tidak boleh jadi seperti mereka? Mengapakah mereka berjaya? Apakah bezanya anda dengan mereka? Pokoknya, jika anda melihat kegagalan itu dari sudut yang positif maka positiflah masa depan anda. Jika anda terus putus asa dan asyik menangisi kegagalan itu, anda akan terus gagal dan gagal dalam hidup. Yang sudah siapa? Anda jugalah. Bukan orang lain. Mengapakah harus meletakkan diri dalam situasi begitu? Percayalah, jika anda sentiasa dekatkan diri dengan Tuhan, jalan akan dibuka untuk anda.

Perjalanan manusia penuh dengan lika-liku
Selalu berbeda tanpa batas ruang dan waktu
Kegagalan kadang kala menyakitkan kalbu
Jika tiada pembimbing bagi hati yang pilu

Ketika akhir dari tujuan tidak menjadi milik anda
Hanya keikhlasanlah yg menolong pedihnya jiwa
Tatkala kegagalan terus membayangi langkah kita
Pasrahkanlah segalanya pada Sang maha Bijaksana

Percayalah bahwa Sang Pencipta maha mengetahui
Sehingga sanubari senantiasa berdzikir tanpa henti
Renungkanlah makna hidup setiap insan di dunia ini
Niscaya kebahagiaan akan merasuk dalam ruang hati

Kegagalan bukan akhir dari suatu perjalanan
Karna ia hanya sebatas ujian dalam kehidupan
Kerinduan akan kebahagiaan selalu didapatkan
Bagi seorang yg berfikir bahwa hidup adalah ujian

Jadilah hamba Allah yang baik saat menyikapi segala cobaan
Sehingga jiwa yang tenang menghampiri nuansa kebahagiaan
Tataplah masa depan melalui doa dalam langkah kemenangan
Karna tiada hal yang sia-sia dalam setiap jalan pengorbanan.

DENGAR NASIHAT, MINTA NASIHAT

Setelah gagal, dengarlah nasihat daripada orang lain. Jangan terus berdegil dan kepala batu. Datanglah kepada orang-orang tertentu yang boleh membetulkan balik laluan hidup anda. Minta pendapat dan pandangan. Jumpalah guru-guru di sekolah. Insyallah, mereka akan berikan pandangan dan pendapat. Guru bukan musuh anda. Guru itu penyampai ilmu yang paling memahami dan mengerti naluri insan yang bernama pelajar. Mereka telah lama membaca potensi dan kebolehan anda. Mereka tahu dan boleh membantu apabila diperlu. Berbincanglah secara matang dengan ibu bapa. Ubatilah rasa kecewa mereka dengan kematangan kita bertindak. Jika mereka marah, itu perkara biasa bagi insan yang bergelar ibu bapa. Yang penting kita sebagai anak jangan menderhaka. Jangan melawan. Kita terus atur strategi. Percayalah, jika anda positif, anda juga mampu berjaya.




Daripada;
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak.