Oleh: Akhbar Satar
Penulis
ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP
http://www.bharian.com.my/node/133117
Baru-baru
ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mendedahkan yang pihaknya
merampas 22 kereta klon bernilai lebih RM1 juta membabitkan pelbagai model,
termasuk kenderaan mewah sejak dua bulan lalu, manakala sejak 2014, 254
kenderaan klon disita. Pada satu sidang media awal tahun lalu, JPJ dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sindiket yang aktif
dalam perniagaan kereta klon dan menasihatkan supaya tidak menggunakan kereta
klon. Operasi demi operasi diadakan sehingga kini. Kenderaan yang dirampas
adalah model ternama, termasuk jenis Mini Cooper, Subaru Impreza, Honda Jazz,
Honda City, Honda Odyssey dan Toyota Wish. Ketua Pengarah JPJ juga pernah
menegaskan bahawa oleh kerana kelicikan sindiket, negara kerugian kira-kira
RM30 juta memandangkan aktiviti ini mengelak bayaran cukai dan turut memalsukan
dokumen kenderaan. Keghairahan orang ramai untuk memakai kereta mewah dan
import menyebabkan mereka tidak sedar akibat menggunakan kereta klon.
KERETA
SELUDUP
Pembeli
kereta klon adalah golongan pertengahan yang ingin tampil bergaya dan ada
kalangan mereka penjawat awam. Kereta klon dikategori sebagai kenderaan tidak
disahkan taraf oleh JPJ. Antara modus operandi kereta klon, termasuk kereta
yang diseludup dari negara jiran dan menggunakan nombor pendaftaran palsu yang
dikendalikan oleh sindiket. Kebanyakan kereta klon diambil dari Singapura
kerana negara itu melaksanakan dasar pelupusan kenderaan setiap lima tahun
sekali. Sindiket mengambil kesempatan untuk dijadikan kereta klon. Sebelum
lupus pihak berkenaan menyeludup ke Malaysia untuk tujuan diklon.
Selain
itu, kereta yang dilarikan daripada pihak bank dan dipalsukan nombor
pendaftaran, sama ada menggunakan dokumen kereta dan sijil pendaftaran kereta
yang telah hilang tapi tidak dibuat aduan polis dan menyamar guna nombor orang
lain. Kereta mengguna pakai nombor kereta yang cantik dan dipakai untuk kereta
yang diseludup. Mereka akan mencari model dan spesifikasi kereta asal hampir
sama agar sukar dikesan pihak penguat kuasa. Cukai jalan akan dipalsukan
menyerupai cukai jalan yang dikeluarkan JPJ atau mereka melaporkan cukai jalan
hilang untuk mendapat salinan cukai jalan kereta yang asal dari JPJ.
Di
samping itu, surat sumpah dipalsukan. Ada juga kereta yang menggunakan dokumen
kenderaan yang mengalami kemalangan teruk. Proses pengklonan juga membabitkan
aktiviti penukaran nombor pendaftaran dan tampalan nombor casis serupa dengan
maklumat kenderaan yang dikategorikan sebagai total lost. Mereka mendapat
maklumat kenderaan sedemikian rupa daripada pihak insurans dan bengkel kereta.
Kegiatan ini dibuat oleh sindiket yang biasanya bekerjasama dengan segelintir
kakitangan penguat kuasa yang tidak amanah dan tiada integriti. Urusan jual
beli kereta boleh didapati dengan mudah. Selalunya sindiket berurusan dengan
ejen penjual kereta terpakai untuk menjual kereta mereka itu.
HARGA
TERLALU RENDAH JADI TARIKAN
Pelanggan
ditawarkan dengan harga amat rendah berbanding harga pasaran. Pembeli kereta
klon menanggung rugi kerana kereta terbabit boleh disita JPJ. Pada masa sama,
mereka masih menanggung hutang bank. Kereta Honda Odyssey yang harga pasaran
melebihi RM100,000 hanya dijual serendah RM10,000 hingga RM12,000. Toyota
Alphard pula berharga RM25,000. Ia menyebabkan orang ramai mudah tertarik,
selain sindiket ini turut agresif membuat promosi melalui pelbagai cara.
Terbaharu menggunakan media sosial.
Oleh
sebab sangat kreatif dalam penipuan, sindiket juga menggunakan dokumen
motosikal hilang untuk mengklonkan kereta. Cadangan JPJ menubuhkan skuad bagi
membanteras kegiatan sindiket penyeludupan kereta klon ke negara ini langkah
yang baik. Adalah lebih berkesan jika skuad ini diperkuat untuk merisik,
menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit. JPJ juga akan menggunakan sistem
Permit Kemasukan Kenderaan (VEP). Dengan mendaftarkan kereta asing di pintu
masuk negara, kita dapat mengurangkan klon kereta.
PENGUAT
KUASA PERLU KEKAL INTEGRITI
Bila
tidak ada orang cakap hal ini, penjahat makin giat menipu. Perlu ada pendekatan
memberi kefahaman dan mendidik masyarakat dan pada masa sama tegur dan cadang
pembaharuan, penambahbaikan sistem semasa diberi keutamaan. Juga pastikan
pegawai yang terbabit dalam sistem semakan enjin dan pendaftaran kenderaan
memperlihatkan budaya berintegriti tinggi. Sudah tentu PUSPAKOM perlu
profesional dan kekalkan integriti kerana sebelum memberi kelulusan, JPJ juga
lazimnya bergantung pada laporan dikeluarkan oleh PUSPAKOM. JPJ pula disarankan
menjalin kerjasama yang lebih erat dengan PUSPAKOM, polis, SPRM dan Kastam
untuk mengatasi masalah kereta klon secara menyeluruh. Menggunakan kereta klon
membawa implikasi buruk. Bila kemalangan dan ditahan polis, kenderaan akan
disita, berdepan risiko institusi perbankan, didakwa serta dihukum denda, penjara
di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kanun
Kesiksaan dan Akta SPRM 2009.
BERITA HARIAN
12 MAC 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan