14 November 2013

ISU KEWANGAN : SELAMATKAN HARTA DARI DILELONG DAN MUFLIS

PENULIS RENCANA
ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Disenaraihitamkan, muflis sehinggakan harta dan rumah dilelong. Itu antara 'wabak' yang menjadi-jadi sekarang. Kebiasaannya ada dua golongan yang sering berurusan dengan 'wabak' sebegini. Pertama, golongan muda dengan 'lifestyle'nya mudah akses internet dan akibat pengaruh rakan, teruja pula untuk mendapat sesuatu, mengakibatkan tanpa berfikir panjang terjebak dalam muflis. Ditambah dengan masalah bertimbun-timbun, mereka segan pula nak minta pertolongan daripada pihak yang pakar, alamatnya hanya natijah menanti. Kedua, golongan yang berumur yang tahu mereka ada masalah dan cuba mencari penyelesaiannya. Mereka ini lebih konservatif, cuma tak nampak jalan kreatif untuk bebas daripada muflis.

Paling lebih teruk lagi, ada yang telah membuat pembayaran hutang setelah diCTOSkan, tetapi masih belum bebas dari belenggu CTOS. Sedangkan sepatutnya, apabila pembayaran hutang telah dibuat, maka perlu ada surat hitam putih yang dihantar ke CTOS untuk dikemaskini. Dan biasanya, akan ada remark: Kes selesai. Tetapi jika semua prosedur ini tidak dibuat, maka berterusanlah seseorang dibelenggu CTOS. Demikian juga kes bayaran tertunggak ansuran bulanan kereta. Misalnya dua bulan setengah ansuran tidak dibayar, hukumnya tentu kereta akan ditarik. Namun, kenapa tidak diambil tindakan segera. Antaranya ke bank untuk berbincang atasi masalah. Ini tidak, sanggup sorok kereta sedangkan dari hari ke hari, interest atau faedahnya bertambah-tambah, masalah tetap di situ.

Bertitik-tolak dari inilah, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif menarik perhatian bahawa setiap kes muflis dan lelongan harta ada jalan penyelesaiannya. Menerusi pengalaman selama 15 tahun dalam menguruskan penyelesaian permasalahan kredit, 4PM yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 17 Julai tahun ini menempa banyak kejayaan skop bidangnya. "Muflis umpama hidup dalam 'koma', masih 'bernyawa' tapi tak mampu berbuat apa-apa. Bank menutup pintu rundingan dan menganggap kebankrapan jalan penyelesaian buat mereka," kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini. Sememangnya apa yang diluahkan oleh Rosland ada kebenarannya. Memang menggerunkan apabila statistik menunjukkan purata 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini. Lebih-lebih lagi ia banyak melibatkan mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun kerana mereka sudah tentu golongan tenaga kerja yang aktif.

Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, 16,306 orang telah diisytiharkan bankrap. Bagi tempoh yang sama sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan difailkan di mahkamah. Jumlah kes kebankrapan itu menunjukkan arah aliran yang meningkat dari setahun ke setahun. Tahun lepas sahaja, 19,575 orang diisytiharkan muflis. Sewa beli kenderaan dikenalpasti menjadi kes kebankrapan tertinggi iaitu 30,451 kes (26.14 peratus) diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus) dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus). Berkongsi pengalamannya, Rosland memberitahu, beliau pernah hidup sengsara selama lima tahun akibat muflis pada 1997.

"Dulu, saya mengusahakan perniagaan kereta terpakai. Waktu itu biasalah, kakitangan kerajaan yang menjadi pembeli perlukan penjamin. Tidak lama kemudian berlaku masalah, ada yang tak dapat membayar menyebabkan banyak kereta ditarik bank. Namun, ada syarat yang tidak dipatuhi bank, yang sepatutnya apabila kereta-kereta itu ditarik, mereka kena suruh saya jualkan. Ini tidak, semua kenderaan itu diletakkan di kawasan tidak terurus selama setahun. Akhirnya, saya melepasi muflis ini tanpa membayar sesenpun kepada bank. "Justeru, kalau anda mendiamkan diri hanya kerana tidak mahu tunjukkan kesengsaraan, akan akhirnya menyebabkan kita muflis dan masalahnya tak hilang, malah merebak menggugat kehidupan isteri dan anak-anak," katanya.

Mengulas cara-cara persatuannya menyelesaikan masalah pelanggan, kata Rosland, antaranya, terlebih dahulu perlu diperoleh maklumat secara terperinci atau sequence of event tentang masalah kredit yang dihadapi peminjam. Ini kemudian diikuti prosedur-prosedur tertentu sehinggalah 4PM mempraktikkan dasar 'fast action one stop solution' secara rundingan terus dengan pihak atasan dalam kalangan CEO/Timbalan CEO di bank-bank berkaitan untuk mendapatkan satu keputusan positif dan segera. "Rekod kepakaran kami adalah di atas paras normal. Klimaks kepakaran kami berjaya menangguhkan beberapa kali lelongan awam di saat-saat akhir termasuklah yang terbaharu di Mahkamah Tinggi Seremban 10 minit sebelum waktu lelongan dimulakan," katanya.

Menurut beliau, hampir semua jenis permasalahan kredit yang dihadapi masyarakat hari ini telah pun 4PM tangani. Antaranya, kereta tidak berbayar yang disorok, kembali semula ke jalan raya dengan pembayaran minimum atau penjadualan semula. Juga, masalah hutang ah long dan mewakili pengguna untuk kes sebutan di mahkamah. "4PM juga mewakili pengguna bagi kes 'siasatan' di pejabat tanah. Rekod pencapaian terbaik kad kredit tuntutan sebanyak RM140,000, kes ditutup dengan bayaran minimum RM7,000 (dengan 6x bayaran bulanan). Pihak kami juga mengusaha dan mendapatkan kelulusan dari Jabatan Insolvensi untuk menjual harta/rumah yang telah dibankrapkan," kata beliau.

Dalam usaha mencari titik penyelesaian kes, Rosland menarik perhatian bahawa kaedahnya bukan jalan biasa, tetapi di luar kotak. Untuk penyelesaian rumah yang dilelong, kata Rosland: "Sebelum rumah dilelongpun ada prosesnya. Orang ingat apabila tak bayar, terus rumah dilelong. Bukan macam itu. Dalam kes ini, pemilik rumah diberi peluang selama 90 hari untuk bayar. Selepas 90 hari baru keluar 'letter of demand' sampai 120 hari. "Kemudian selepas masuk 180 hari masih tak bayar juga, barulah bank tetapkan tarikh untuk lelongan. Tetapi urusan ini bukannya segera, bukan esok terus lelong rumah tetapi ada tiga atau empat bulan prosesnya yang panjang. Tetapi masalah pelanggan yang hadapi masalah ini, mereka tak mahu buka mulut langsung, bawa 'air liur' sahaja. Sebenarnya pun, mereka jumpa orang yang tidak boleh buat keputusan dengan respons tidak memberangsangkan terutama dengan staf di kaunter.”

Rosland turut menarik perhatian mengenai keperluan seseorang untuk membebaskan diri dari peminjam berlesen 'cekik darah' yang tidak mengikut prosedur. "Tak pernah kadar caj 1.5 peratus seperti yang perlu dipatuhi, sebaliknya peminjam berlesen ini mengenakan caj lima atau enam peratus ke atas," kata beliau. 4PM dan Rosland sendiri boleh dihubungi di talian 019-2531000/019-397 1000 atau Web: http://www.ppppm.com.my/mainpage/,email: info@ppppm.com.my.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
TARIKH : 14 NOVEMBER 2013

HARI : KHAMIS 

05 Ogos 2013

MIMPI SONGSANG DONG ZONG

Oleh Khairuddin Mohd. Zain


Penulis harus mengakui bahawa ada ciri baik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang wajar dikagumi. Antaranya adalah kesediaan ibu bapa, masyarakat dan pemain ekonomi masyarakat mereka yang sanggup menyumbang wang dan tenaga, dalam jumlah yang besar, demi untuk memastikan tahap pendidikan generasi mereka berada di tahap yang terbaik. Sewaktu penulis menetap di Wangsa Maju, adalah menjadi pemandangan biasa untuk melihat rakan-rakan berbangsa Cina bangun jauh lebih awal daripada kanak-kanak berbangsa Melayu. Mereka sanggup menghantar anak ke sekolah paling jauh, asalkan ia menjanjikan kualiti pendidikan yang baik. Sekolah kebangsaan di hadapan rumah pangsa bukan pilihan utama mereka.

Acara-acara untuk mengumpul dana di sekolah Cina jarang sekali gagal. Malahan, adalah menjadi kebiasaan, ratusan ribu mampu dijana oleh pihak pentadbiran sekolah apabila melaksanakan aktiviti menambah tabungan. Itu belum lagi ambil kira jumlah yuran tinggi yang ditanggung oleh ibu bapa. Mungkin semua ini berlaku kerana ‘deria survival’ mereka berada di tahap yang tinggi. Apa sahaja yang mungkin menyentuh kepentingan ‘survival’ mereka akan disuarakan secara cukup lantang. Namun, dalam pada NGO berteraskan pendidikan bersuara lantang, adakalanya mereka gagal melihat sesuatu melalui perspektif yang lebih besar. Tindakan pertubuhan seperti Dong Zong mengepalai rali menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh disifatkan sebagai contoh di mana ‘mimpi songsang’ pertubuhan tersebut membuat kita mempersoalkan sama ada inikah satu-satunya jalan hadapan kepada sistem pendidikan di Malaysia?

Perlukah kita sentiasa berkonfrontasi? Perlukah ada penentangan terhadap semua perkara - walaupun niatnya baik dan untuk kebaikan semua? Sampai bila kita nak bermain dengan kad perkauman, sedang realiti dan keadaan menuntut kita membawa fikrah kebangsaan? Mimpi songsang Dong Zong sangat mengakar bilamana PPPM disifatkan sebagai agenda kerajaan untuk menutup sekolah jenis kebangsaan? Mimpi dan inspirasi Dong Zong ini terlalu jauh tersasar. Hakikatnya, tidak terdapat dalam satu baris ayat PPPM pun yang membawa niat itu. Tak ada! Sejumlah 248 mukasurat (versi digital) perincian PPPM membicarakan isu pendidikan dalam adunan yang cukup murni dan berpandangan jauh. Ia tidak sempurna, namun sebagai asas masa hadapan, ia bukanlah sesuatu yang layak ditolak secara membuta tuli.

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan mana-mana pertubuhan lain perlu menilai PPPM secara adil. Tidak perlu membawa mimpi songsang dan teori konspirasi jenis apa sekalipun. Cukup sayang, sekiranya PPPM masih lagi mahu dinilai melalui tingkap pandangan yang berbentuk perkauman. Apakah dengan niat ‘memperkasa sekolah kebangsaan’, maka dengan sendirinya SJKC dan SJKT akan terkubur? Apakah dengan penambahan minit untuk belajar Bahasa Melayu akan mematikan Bahasa Mandarin dan Tamil?

Niat sistem pendidikan sudah tentulah perlu disesuaikan dengan keperluan masa dan keadaan. Sistem nilaian kita mengenai sistem pendidikan juga perlu ditanda araskan dengan negara lain yang lebih hebat. Dong Zong perlu sedar, pendekatan kalah-kalah’ seperti ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Menganjurkan rali, hanya di atas landasan ‘mimpi songsang’ seperti yang dinyatakan adalah suatu perkara yang tidak bertanggungjawab. Penulis sebenarnya mengimpikan, suasana di mana guru-guru SJKC, yang mempunyai kemahiran hebat dalam matematik, dapat duduk berkongsi metod dan kaedah pendidikan terbaik mereka dengan pendidik di sekolah kebangsaan. Perlu ada interaksi yang lebih positif antara kita. Malangnya, suasana itu cukup kurang berlaku. Sehinggakan, apa yang dikatakan oleh Dong Zong, pelaksanaan program kebudayaan yang bersifat ‘nasional’ juga adalah suatu usaha menidakkan kepentingan bahasa dan budaya bangsa Cina. Apakah pembinaan ‘identiti nasional’ juga satu ancaman kepada Dong Zong?

Dalam isu bahasa, PPPM membawa niat seperti berikut (mukasurat 38) - '...Oleh itu, dalam jangka masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun)'. Di mana komitmen PPPM untuk mematikan bahasa Mandarin? Malah, jika PPPM dilaksanakan secara bersungguh, ada sekolah di Taman Melawati (Selangor), Gua Musang (Kelantan), Jorak (Johor) dan Bukit Ibam (Pahang) yang menawarkan bahasa Mandarin, bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun sebagai subjek elektif.

Niat yang sedemikian murni, tidak wajar ditentang dengan rali berasaskan teori konspirasi dan mimpi songsang. Pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong, sudah perlu bersedia berfikir dan bertindak dalam jajaran politik baru. Kecualilah, mereka mahu terus-terusan didodoi dengan lagu ‘bangkang dan tentang’ yang digurindam oleh pihak berkepentingan lain. Menyusur niat melaksanakan rali menentang PPPM ini, membuatkan penulis terimbau dengan kenangan ‘Tuntutan Suqiu’ pada tahun 1999. Daripada tuntutan 83 perkara, 14 berkaitan pendidikan. Dong Zong juga adalah pemain utama kepada tuntutan tersebut. Selepas hampir 13 tahun, kita masih lagi bermain dengan permainan sama.

Penulis mengharapkan pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong mempunyai sedikit niat dan identiti nasional’ di dalam gerakan mereka. Jangan bersikap haloba dengan tuntutan dan kehendak. Kerana suka tak suka, setiap kita perlu bertolak ansur. Seorang rakan penulis pernah menggunakan pepatah Cina berbunyi ‘De Cun Jin Che’ (dapat seinci, tetapi mahukan sekaki), mengingatkan kita agar tidak berlebihan dalam meminta sesuatu. Satu lagi pepatah Cina yang penulis dapat ingat - lebih kurang berbunyi ‘menyimpang seinci, rugi seribu batu’. PPPM bukan dirangka untuk generasi pemimpin yang ada di dalam Dong Zong, Jiao Zong dan mana-mana NGO sekalipun. PPPM untuk generasi selepas daripada kita. Generasi anak dan cucu kita. Mereka tidak seharusnya membawa ‘beban mimpi songsang’ yang negatif seperti ini.

Mungkin tiba masanya pertubuhan pendidikan Cina mempunyai sikap yang lebih akomodatif kepada cita perubahan dan transformasi. Pilihan raya sudahpun berlalu. Ini tempoh dan ketika bertenang. Jiwa konfrontasi dan niat menentang sedap dikipas oleh mereka yang punya niat politik. Masyarakat menantikan Dong Zong yang mampu bermimpi sesuatu yang lebih positif dan bersangka baik. Bayangkan jika kekuatan Dong Zong dan sekutunya sebanyak 1'100 NGO pendidikan Cina mampu melihat PPPM melalui kerangka minda yang betul - Malaysia pastinya mempunyai suasana pendidikan yang lebih padu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

5 OGOS 2013

HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA

Oleh : NG LUM YONG
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia


Dewasa ini hangat diperkatakan yang kurangnya integrasi antara kaum di Malaysia. Setiap bangsa lebih suka bergaul hanya dengan bangsa sendiri. Melayu dengan orang Melayu, orang Cina sesama mereka dan orang India hanya dalam lingkungan mereka sahaja. Tetapi interaksi antara kaum masih wujud di kampung-kampung ataupun di luar bandar. Masyarakat Cina atau India hidup dengan rukun dengan majoriti masyarakat Melayu di kampung-kampung. Sebagai contoh, mereka boleh duduk bersama di kedai-kedai kopi bersembang pelbagai topik. Masyarakat Cina dan India di Utara malah fasih bertutur dalam loghat Melayu Utara. Begitu juga di Pantai Timur dengan dialek Kelantan dan Terengganunya. Di Johor, ada golongan tua Cina mampu bertutur dalam bahasa Jawa!

Sebaliknya di bandar-bandar utama, interaksi antara kaum sangat kurang. Kesan kurangnya pergaulan antara kaum-kaum berlainan di kota-kota ini, mereka juga malah tidak langsung senang bergaul dengan kaum-kaum lain yang berhijrah dari desa ke kota. Ini kerana gaya hidup di bandar yang kurang mempedulikan orang lain. Di samping itu, komposisi kaum di sesetengah bandar seimbang dan mereka hanya duduk di kepompong sendiri. Kalaupun ada pergaulan rapat antara berlainan kaum di kota-kota, ini mungkin kerana mereka berasal dari kampung atau negeri yang sama.

Antara perkara yang mampu merapatkan hubungan seseorang yang berlainan bangsa adalah minat. Berkongsi minat yang sama mampu menutup jurang perbezaan warna kulit. Apa yang berlaku hari ini adalah kaum- kaum berlainan mempunyai minat yang berlainan. Sebagai contoh, orang Melayu mungkin minat konsert Jom Heboh. Orang Cina tidak minat kerana mereka tidak menonton televisyen rangkaian Melayu. Contoh lain, orang Cina minat memperkatakan makanan Cina. Orang Melayu tidak akan berkongsi minat yang sama kerana makanan orang Cina kebanyakannya tidak halal.

Faktor lain adalah kemampuan berkomunikasi. Misalnya, orang Cina di bandar kurang bergaul dengan orang Melayu kerana tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik. Orang Cina yang tinggal di dalam komuniti mereka di bandar hanya bertutur dalam bahasa Mandarin ataupun dialek-dialek mereka. Ada yang bertutur bahasa Inggeris. Orang Cina bandar apabila mahu berinteraksi dengan kaum lain lebih cenderung memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Bagi kebanyakan orang Melayu, bertutur dalam bahasa Malaysia menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dengan rakyat Malaysia sendiri. Bertutur dalam bahasa Inggeris akan memberikan sedikit jurang. Orang Melayu dari kampung-kampung juga kurang fasih berbahasa Inggeris kerana tiada keperluan berbahasa Inggeris di kampung-kampung dan hanya bertutur dalam bahasa Melayu. Bertutur dalam bahasa asing hanya akan merencatkan penyampaian.

Orang India pula bagaimanapun kelihatan lebih mudah bergaul dengan masyarakat Melayu. Mungkin budaya masyarakat India ada persamaan dengan budaya orang Melayu. Adat bersanding adalah tinggalan adat Hindu yang dianuti nenek moyang orang Melayu zaman dahulu yang beragama Hindu/Buddha. Bahasa Malaysia juga banyak menyerap perkataan-perkataan Sanskrit* yang juga dituturkan orang India yang majoritinya bercakap bahasa Tamil. Antaranya bumi, suria dan singa. Makanan orang Melayu juga tidak banyak berbeza dari orang India yang berasaskan rempah. Orang Melayu dahulu juga menganut Islam hasil sebaran pedagang-pedagang India Muslim. Ini mungkin sebabnya Masyarakat Melayu bersembahyang dengan berkain pelikat, sepertimana pakaian orang India, bukan berjubah seperti orang Arab.

Banyak perkara harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Banyak aktiviti yang melibatkan semua kaum harus dilakukan. Persatuan-persatuan yang mewakili hanya satu kaum bakal melebarkan jurang antara kaum. Setiap kaum tidak harus hidup dengan kepompong sendiri. Satu contoh adalah kewujudan sekolah-sekolah yang berasaskan satu kaum iaitu sekolah jenis kebangsaan yang memisahkan pelajarnya dari arus perdana. Bukannya dicadangkan di sini untuk menutup saja sekolah-sekolah itu, cuma kewujudan istimewa sekolah-sekolah itu di Malaysia harus lebih mampu berinteraksi dengan majoriti masyarakat Malaysia yang lain. Sekolah Wawasan adalah perancangan yang baik cuma tidak kelihatan kesannya.

Banyak juga orang Malaysia yang kakinya berpijak di Malaysia tetapi fikirannya berada di negara-negara asing. Dengan kemajuan teknologi hari ini, apabila dibuka televisyen, banyak sajian rangkaian dari luar disediakan. Ada yang terlepas dengan perkembangan di tanah air. Bersekolah pun di sekolah antarabangsa. Kurikulumnya dari luar dan kurang bersifat tempatan. Apabila ini berlaku, maka golongan ini kurang berinteraksi dengan komuniti tempatan. Paling penting, pemahaman tentang budaya kaum lain. Masyarakat Melayu tidak harus menjauhi masyarakat Cina semata-mata masyarakat Cina membela anjing dan makanan tidak halai . Banyak perkara lain boleh dikongsi bersama. Contohnya meraikan Tahun Baru Cina tidak salah kerana itu adalah perayaan adat, bukannya perayaan agama.

Orang Cina pula jangan mengatakan semua makanan Cina itu adalah haram. Cuma cara penyediaan itu haruslah mengikut hukum syarak. Masakan masakan (baca masa-kan masakan) Cina semuanya haram kerana jumlah penduduk Islam di China bahkan lebih ramai daripada jumlah penganut Islam di Malaysia. Kita juga harus sedar banyak orang India ialah vegetarian. Mereka tidak makan haiwan atas alasan agama. Untuk merapatkan hubungan kaum, rasanya kita perlu berbalik kepada dasar penyatuan bangsa dengan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Tanpa satu bahasa pengantaraan yang khusus, tidak mungkin bangsa yang berlainan mampu berkomunikasi dengan baik dan seterusnya bergaul dengan rapat. Bertutur dalam bahasa Inggeris antara kaum di Malaysia bukanlah cara terbaik kerana yang memilih bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan saja menyusahkan penterjemah Buletin Utama TV3, bahkan tidak ubah seperti pelancong asing!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

5 OGOS 2013

TEGAR SEPTIAN, ANAK JALANAN JADI POPULAR

Oleh : Saharudin.musthafa


Tersentuh hati melihat anak-anak kecil mengemis di pinggir-pinggir jalan meminta ihsan dan simpati masyarakat bagi memberi peluang mereka meneruskan hidup. Ibu dan ayah entah ke mana. Bersama-sama rakan sebaya atau mungkin adik-beradik, senario anak-anak kecil mengemis daripada orang ramai di kota Jakarta bukan asing. Itulah yang dapat dilakukan oleh segelintir warga Jakarta dalam meneruskan kehidupan. Lama penulis berfikir dan cuba menelaah, kenapa itu jalan yang menjadi pilihan mereka? Namun, apabila cuba mendasari suara hati mereka, jawapan yang ditemui ialah pilihan apa lagi yang mereka ada.

Menjadi pengemis bukan hal yang manis di mata umum. Ibarat kata pepatah, tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Realitinya, tidak semua orang akan bermurah hati pada setiap hari untuk menghulur bantuan. Daripada merungut, mengeluh dan mengungkit dengan bantuan yang dihulurkan sehingga menjadi tidak ikhlas, baik sahaja pejamkan mata, tutup telinga dan buat-buat tidak tahu. Hakikatnya, si pengemis juga ada maruah dan harga diri. Tidak semua yang terlibat dalam pekerjaan meminta-minta itu mahu berbuat demikian. Justeru, ada segelintir pengemis mengakui, mental mereka tidak kuat untuk berhadapan dengan masyarakat.


Kenyataan ini diakui oleh seorang anak kecil yang hidupnya suatu ketika dahulu banyak dihabiskan di jalanan meminta simpati orang ramai. Tegar Septian, si cilik berusia 12 tahun menyedari dia harus bekerja keras untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan. Iltizam Tegar disokong oleh tuah badan. Daripada seorang pengemis, dia kini diangkat oleh rakyat Indonesia sebagai seorang penghibur muda yang memiliki masa depan cerah. Kalau dulu di jalanan, barangkali tiada siapa yang peduli dengan Tegar tetapi hari ini dia boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan artis-artis ternama Indonesia. Itulah penangan Tegar yang lagu nyanyiannya, Aku Yang Dulu kini semakin menjadi siulan para peminat muzik di Indonesia. Pentas Tegar bukan lagi di pinggir-pinggir jalan, di warung-warung terbuka, di dalam bas atau kereta api, tetapi dia sudah boleh berbangga kerana menerima pelbagai undangan untuk membuat persembahan.

Aku Yang Dulu dihasilkan khusus buat Tegar kerana lagu berkenaan menceritakan rentetan perjalanan hidup si kecil itu dan menyebabkan ia sangat mudah memancing perhatian pendengar. Namun, bukan populariti yang menjadi dambaan Tegar, sebaliknya, apa yang paling utama ialah kanak-kanak ini semakin memperlihatkan rasa tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarga. Kesibukan menjadi artis membuahkan hasil yang lumayan bagi Tegar. Pendapatan diterima sebagai penyanyi menyebabkan dia sudah mampu memenuhi keperluan buat keluarga. Sebut sahaja apa gajet yang sedang menjadi trend, semuanya sudah mampu dibeli Tegar untuk ahli keluarganya sehinggakan sebuah motosikal dan peralatan elektronik juga disediakan buat keluarga.

"Aku sudah belikan motosikal, Ipad dan telefon bimbit. Tidak lama lagi aku mahu sediakan sebuah rumah buat keluarga di Cikampek (kampung halamannya)," kata Tegar penuh jujur. Berdasarkan hitungan kasar, pendapatan yang diraih oleh Tegar sebagai penyanyi agak lumayan bagi seorang kanak-kanak sepertinya. "Aku enggak (tidak) tahu jumlah bersih tetapi setiap minggu aku akan serahkan antara rupiah 6 juta (RM1,800) hingga Rupiah 7 juta (RM2,180) kepada keluarga bagi membahagiakan mereka," kata Tegar. Sebagai penyanyi baru, tidak banyak yang Tegar ambil tahu mengenai pengurusan kerjaya seninya kerana semua itu diatur oleh pihak pengurusan. Daripada kejayaan dan kekayaan yang diraihnya, Tegar masih merendah diri dan berpendapat, apa yang dilakukannya semata-mata untuk membahagiakan orang-orang terdekatnya.


"Alhamdulillah apa yang saya perolehi dapat membahagiakan ibu, saudara, nenek dan semuanya," katanya lagi. Pada usia 12 tahun, inisiatif Tegar bekerja keras mencari rezeki bagi mengubah nasib keluarga amat disyukuri ibu penyanyi itu, Ratna Dwi Sisi yang begitu terharu dengan pengorbanan anak sulung daripada empat adik-beradik itu. Ratna mengakui, sebelum Tegar terkenal, hidup mereka serba kekurangan sehinggakan untuk menyediakan makanan harian juga dia tidak mampu. Kesedihan dan kemurungan Ratna bertambah apabila di desa yang mereka diami, tiada siapa yang pernah mengambil peduli terhadap kekurangan keluarga itu.

Tambah menyedihkan, pada saat-saat terdesak memohon bantuan untuk mengalas perut anak beranak itu, Ratna dan anak-anaknya terpaksa berlutut. "Kalau minta makan daripada orang lain, kami harus menangis dahulu," cerita Ratna mengenang saat-saat sukar yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu. Kesusahan keluarga Ratna menyebabkan Tegar tercicir daripada persekolahannya dan anak kecil itu terpaksa menjaga tiga adiknya yang masih kecil. Barangkali, tidak sanggup untuk hidup dalam kemiskinan, Tegar membuat keputusan untuk keluar daripada masalah itu dengan membawa diri selama berbulan-bulan.

Tegar dengan berbekalkan keberanian dan kecekalan mula mendekati sekumpulan anak jalanan yang mencari nafkah dengan mengemis. Daripada situ juga, dia mendekati muzik dengan berlatih menyanyi serta mempelajari cara bermain instrumen muzik termasuk piano dan seruling. Akibat tanpa kawalan keluarga, masalah lain dihadapi Tegar, apabila pergaulan tanpa batasan itu menyebabkan dia menjadi liar dengan mula menghisap rokok dan menghidu gam. Namun, sudah ditakdirkan hidup Tegar bukan di situ. Kelebihan dan bakat besar anak kecil itu disedari oleh Alfas Hermansyah yang menawarkan diri untuk membentuk kanak-kanak itu menjadi 'manusia' Alfas bekerja keras mengembangkan bakat seni Tegar sehinggalah dia berada di kedudukan hari ini.

Dia menjadi masyhur dan sibuk memenuhi undangan penyanyi sehingga di luar Jakarta serta tidak menang tangan menerima undangan menjayakan pelbagai program televisyen. Keluarga itu kini tidak lagi tinggal di kampung, sebaliknya, mereka kini menikmati sebuah kehidupan yang mendamaikan di sebuah pangsapuri. Anak kecil bernama Tegar benar-benar melalui gaya hidup seorang penghibur kerana ke mana sahaja dia pergi, kereta mewah akan membawanya serta ditemani pula oleh sejumlah pembantu peribadi. Tegar sangat bersyukur dengan apa yang dinikmatinya. Begitu juga dengan si ibu yang tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran. "Sekarang semua orang mengaku kami saudara mereka," kata Ratna sambil tersenyum penuh makna.

Menyelak kembali lembaran sejarah kerjaya seni Tegar, nasib si kecil ini berubah selepas dia bergelar juara di sebuah pertandingan nyanyian di Subang Jawa Barat, Indonesia. Kejayaan di gelanggang nyanyian itu membuka jalan kepada anak kelahiran Pemalang ini untuk meraih populariti. Tegar tidak perlu lagi merayu belas dan ihsan orang ramai demi sesuap nasi. Bahkan, Tegar tidak perlu lagi memetik gitar dan menyanyi kerana hari ini, sudah tersedia muzik latar atau sesekali persembahannya diiringi pemuzik profesional. "Hidup di jalanan menyebabkan mental saya kuat. Saya semakin mengerti apa yang perlu ada pada kanak-kanak seusia saya iaitu pelajaran," katanya. Sekalipun sudah hidup mewah, namun, Tegar tidak akan sama sekali melupakan dari mana asal usulnya sambil berusaha dan berdoa karier seninya hari ini akan bertahan lama bagi membolehkan dia terus membela nasib diri serta keluarganya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

4 OGOS 2013


25 Julai 2013

ISU SOSIAL : RATU CANTIK DENGAN 1000 ALASAN


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh". Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun. Si penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi 'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".

Eh! kalau sebahagian besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara pertandingan itu? Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta ratu cantik Islam itu. Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.

Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan. Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang beragama Islam tidak terlepas menyertainya. Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain. Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum. Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik." Berdasarkan kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi Islam. Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu. Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak? Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri. Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya. Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain. Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan empat gadis Islam terbabit. Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan ini.

UTUSAN MALAYSIA
25 JULAI 2013

ISU SOSIAL : KESAN BURUK PENAGIHAN ARAK, DADAH, DAN SHISHA


TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Kepekaan dan keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui wujudnya masalah disiplin dalam kalangan atlet sukan dari sudut pengambilan minuman keras dan bahan terlarang harus disambut baik oleh semua pihak. Tindakan untuk menyiasat dan mengkaji punca permasalahan adalah pendekatan yang proaktif demi untuk merancang dan melaksanakan sistem dan proses yang lebih mantap dalam pengurusan sukan di negara ini. Kes rogol yang membabitkan pegawai pengiring wanita pasukan bola baling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) adalah rentetan peristiwa malang yang mungkin menjadi pengajaran supaya budaya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Budaya mencegah yang meletakkan sistem dan prosedur yang proaktif sebagai mengelak sebarang kemungkinan kejadian gejala anti sosial yang mengundang jenayah daripada berlaku dalam institusi sukan negara. Cadangan Menteri berkenaan untuk menetapkan bahawa pegawai pengiring pasukan sukan perlu dilantik dalam kalangan mereka yang lebih berusia juga adalah rasional kerana mereka yang lebih berusia akan dapat mengawal mereka yang di bawah seliaannya dengan lebih cekap dan adalah lebih proaktif jika pegawai pengiring terdiri daripada golongan gender yang sama. Bertitik tolak daripada itu isu penggunaan barang terlarang atau doping seperti steroid yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 10 Julai 2013 juga perlu diambil perhatian berat supaya ia dapat dikekang bukan sahaja di peringkat awam malah kemungkinan penularannya membabitkan atlet negara pada masa akan datang.

Satu usaha bersepadu perlu dijalankan untuk memberi penerangan kepada golongan muda berkaitan penyalahgunaan bahan steroid kerana akibatnya amat serius seperti strok serangan sakit jantung dan darah tinggi secara senyap. Agensi penguat kuasa perlu bertindak segera mengekang penjualan bahan steroid secara terbuka dengan mengetatkan perlaksanaan undang-undang untuk membawa penjual dan pengedar bahan steroid ke muka pengadilan. Kementerian Penerangan dan Multimedia disarankan supaya mengambil tindakan proaktif untuk menghalang syarikat yang menjual steroid di laman sesawang sebagai langkah membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Jika ia terbukti mampu membawa keburukan kepada pengguna maka Akta Farmasi 2010 serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (CDCR) di mana perdagangan steroid dikawal di Malaysia di bawah Akta Racun 1952 perlu dipinda untuk menambah peruntukan denda maksimum yang sedia ada kepada jumlah yang lebih tinggi. Klinik yang terlibat membekal dan menjual steroid secara berleluasa perlu memberhentikan aktiviti mereka sekiranya mereka sedar bahawa tindakan tersebut mengundang bahaya kepada pelanggan manakala pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas klinik-klinik yang tidak beretika yang beroperasi menjual dan membekal bahan steroid tanpa kawalan tersebut.

Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan juga perlu diteliti dan satu rumusan yang menyeluruh perlu dicari segera seperti isu e-cigarette, shisha dan penghiduan gam kerana kesemuanya tidak terangkum dalam Akta Dadah Berbahaya tetapi menjurus kepada masalah yang sama iaitu penagihan. Demikian juga isu shisha yang telah diharamkan di Perlis oleh Majlis Fatwa Perlis. Cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penggunaan shisha adalah langkah yang wajar. Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bahru yang menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisha mengikut Undang-undang Kecil Pengawasan, Penyeliaan Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat tersebut di premis yang dilesenkan adalah satu langkah yang perlu dituruti.

Ini adalah kerana peralatan shisha adalah mirip kepada peralatan penagihan dadah ganja dan jika tidak dibendung akan mengakibatkan penularan penyalahgunaan dadah ganja dalam kalangan belia. Lebih membimbangkan lagi adalah tabiat menghidu gam yang merupakan satu perbuatan yang menyumbang kepada penyakit sosial yang semakin berleluasa pada masa kini, yang melibatkan pelbagai peringkat umur sehinggalah kalangan pelajar sekolah. Perbuatan ini memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan seseorang terutama di bahagian otak sehingga boleh mengundang maut. Menurut peruntukan undang-undang menghidu gam bukanlah merupakan suatu kesalahan malah sumbernya iaitu gam merupakan bahan yang sah di sisi undang-undang untuk kegunaan harian.

Namun demikian sekiranya tabiat menghidu gam ini tidak dibendung lebih awal, ia akan membawa akibat yang lebih besar bukan sahaja kepada kesihatan, malah akan menjerumuskan individu tersebut ke arah penagihan dadah, seterusnya menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia memandang serius perkembangan ini dan berharap semua pihak berkuasa terutamanya masyarakat awam supaya sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mengekang apa sahaja gejala yang mengundang bahaya kepada kita, terutama yang membabitkan belia warisan negara. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah dan sudah patah baru hendak melantai.

UTUSAN MALAYSIA

25 JULAI 2013

24 Julai 2013

ISU SOSIAL : PEMBERSIHAN PATI LAKUKAN SECARA MENYELURUH


Oleh Fauziah Arof

Bukan susah pun untuk mencari tempat berkumpulnya warga asing di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Semua orang pun tahu, mereka sudah lama bertapak di kawasan-kawasan tertentu. Ada tempat berniaga sendiri, berjualan di pasar-pasar borong, kedai runcit termasuk berniaga di bazar-bazar Ramadan. Mereka pun sudah ada kawasan perkampungan sendiri. Ada beberapa buah flat yang hampir keseluruhan dipenuhi oleh warga asing. Kawasan Chow Kit, Ampang, Selayang, Sunway dan Klang adalah antara lokasinya. Entah bagaimanalah rasanya rakyat tempatan yang terpaksa berjiran dengan warga asing. Kiri kanan, depan, belakang rumah penuh disewa oleh warga asing. Bagaimanakah agaknya anak-anak mereka membesar dalam suasana yang begitu?

Dengan kejadian pecah rumah, ragut dan samun yang meningkat di kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh warga asing ini, kita pun terfikir, selamat dan selesakah rakyat kita yang tinggal di kawasan-kawasan sebegini? Maka apabila Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan mengadakan operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kawasan-kawasan inilah yang patut diserbu dulu. Memang ramai warga asing yang berniaga dan tinggal di situ, cuba periksa sama ada mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah dan periksa sama permit berniaga mereka. Selepas itu, barulah cari di pusat-pusat hiburan, rumah urut, kawasan perladangan dan perkilangan. Membanteras kemasukan PATI di negara ini harus dilakukan secara menyeluruh.

Sebabnya, kita sudah ada terlalu ramai pekerja asing yang tinggal di negara ini. Yang berdaftar sudah mencecah 1.3 juta orang, itu belum dikira yang tidak berdaftar dan yang memasuki negara ini secara haram. Kita pun sudah banyak membazir wang dan tenaga untuk menghantar PATI ini pulang semula ke negara masing-masing. Banyak lagi perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat tempatan boleh dilakukan dengan wang yang digunakan untuk menghantar mereka pulang. Jadi, sudah sampai masanya, (sepatutnya dari dulu lagi dilakukan secara berterusan) pembersihan sepenuhnya harus dilakukan. Kalau kita gemar menggunakan istilah pembersihan biarlah dilakukan dengan sebersih-bersihnya dan kalau pemutihan biarlah menjadi seputih-putihnya.

Dari dulu sampai sekarang masalah sosial yang dicetuskan oleh pekerja-pekerja asing ini adalah masalah sama. Mereka ini sesuka hati membuka penempatan mereka sendiri dan mewujudkan kawasan-kawasan setinggan yang turut ada bekalan elektrik dan air. Mereka turut menguasai kawasan perniagaan tertentu. Ini sehinggakan kita yang melalui kawasan itu terasa berada di Indonesia, Myanmar atau kawasan perumahan di Afrika. Bagi rakyat tempatan yang sudah membeli rumah di kawasan yang penuh disewa dengan warga asing, mereka ini lagilah haru. Hendak menyewa di kawasan lain, kadar sewa rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ini paling rendah pun RM700 sebulan di flat-flat yang sempit. Jadi setiap malam terpaksa tidur-tidur ayam kerana bimbang rumah mereka dipecah masuk.

Bila sudah duduk beramai-ramai mereka suka bergaduh sesama mereka atau dengan rakyat tempatan sekeliling. Bukan itu saja, mereka ini juga gemar menganggu anak isteri orang. Sudah ada beberapa kes anak dan isteri orang tempatan dilarikan bukan dekat-dekat jaraknya, dilarikan terus ke kampung halaman mereka. Dan usaha membawa mangsa yang dilarikan pulang semula bukannya mudah. Banyak rintangan dan prosedur perlu dilalui. Itu belum diambil kira kes-kes jenayah yang besar-besar, seperti membunuh, merogol dan merompak menggunakan senjata api. Kita juga mesti ingat setiap pekerja asing perlu menjalani saringan dengan dikenakan pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di sini. Jadi kemasukan secara haram mereka ke negara ini mungkin membawa penyakit. Kemungkinan PATI itu menghidap penyakit tibi, AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya. Mereka ini boleh menyebarkan penyakit-penyakit berkenaan.

Jadi sudah sewajarnya, isu kemasukan pendatang asing di negara ini diberi perhatian khusus dan kemasukan mereka ditapis. Dan majikan yang menggajikan PATI ini jangan dibiarkan terlepas. Kenakan tindakan undang-undang sedia ada. Sekarang pun kita sudah melihat kebanjiran warga asing di negara ini terutamanya pada hari cuti umum dan perayaan, mereka menguasai pusat-pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi di ibu negara, kalau tidak disekat kemasukan mereka dari sekarang, setahun dua lagi entah macam mana pula meriah pemandangannya!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

24 JULAI 2013

ISU SOSIAL : BENDUNG SEGERA JENAYAH REMAJA


NIZAM YATIM

Cukup mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api. Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.

Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah. Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor. Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba. Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah. Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu. Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja. Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya. Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara. Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand.

Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya. Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya. Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat.

Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka. Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF. Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan. Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya. Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah. Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar.

Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling. Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya. Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat. Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena ‘kanak-kanak indigo’ yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an. Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo. Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka. Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

24 JULAI 2013

22 Julai 2013

ISU IPT : PILIH KEPEMIMPINAN MENARA GADING


PROF. DR. SHAHNOR BASRI
Profesor Kanan dalam bidang Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang
dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Menelaah buku tulisan Dr. Judith McLaughlin dan Dr. David Riesman (1990) bertajuk Choosing a College President: Opportunity and Constraints menimbulkan persoalan kepada penulis mengenai pemilihan peneraju utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara kita. Ini termasuklah dari sudut integriti, kepimpinan, kriteria dan proses pemilihan. Penulis buku ini, Dr. McLaughlin adalah ahli akademik kanan di Sekolah Pengajian Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard manakala Dr. Riesman ialah Profesor Sains Sosial di universiti yang sama. Dr. Riesman juga pemegang Kursi Kersarjanaan Henry Ford II yang pertama di universiti yang sama. Tulisan mereka membahaskan secara panjang lebar mengenai kepentingan proses pencarian dan pemilihan Naib Canselor atau Presiden sesebuah universiti dari sudut ketelusan, keterbukaan, kriteria calon yang cemerlang dan keperluan mendapat pandangan warga universiti mengenai kepimpinan yang mereka mahukan.

Walaupun Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun lalu membentuk pasukan pencarian setiap kali berlaku kekosongan Naib Canselor mahupun Timbalan Naib Canselor IPTA, namun prosesnya masih menjadi persoalan dari sudut ketelusan, calon pilihan serta kriteria pemilihan. Tulisan Dr. McLaughlin dan Dr. Riesman telah membahaskan isu-isu yang turut menjadi perbahasan malah kerap kali menimbulkan kontroversi dalam kalangan sarjana Amerika Syarikat (AS) mengenai kepimpinan universiti. Dalam Bab Pertama buku itu, bertajuk Do Searches Matters?, pengarang merumuskan bahawa proses pemilihan yang telus berasaskan kesarjanaan, integriti dan kepimpinan merupakan keperluan mandatori bagi sesebuah institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor, Rektor atau Presiden merupakan tonggak utama yang akan menentukan hala tuju dan masa depan generasi keilmuan sesebuah negara. Pengarang telah mengambil contoh ketika Kenneth Keller mengambil alih kepimpinan Universiti Minnesota pada 1985, akibat kesilapan dalam pemilihan Keller yang gagal mengetengahkan polisi akademik yang cemerlang. Malah kemudian didedahkan telah menghabiskan lebih satu juta dolar Amerika untuk pengubahsuaian pejabat dan kediaman rasmi presiden universiti. Kesilapan dalam penentuan calon berakhir dengan 'tragedi' yang pada ketika itu meruntuhkan imej Universiti Minnesota dan menyebabkan ahli lembaga universiti berkenaan menetapkan kriteria dan saringan yang lebih ketat terhadap pengganti Keller. Maka, proses pemilihan adalah satu yang mesti dilakukan secara serius dan begitu juga dengan hasil daripadanya.

Di AS keterbukaan pemilihan ini begitu ketara sekali. Hinggakan pada 1983 apabila ahli Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden Universiti Florida membawa calon-calon finalis presiden melawat kampus, ramai ahli akademik mempersoalkan pula mengapa mereka tidak diberi peluang untuk mengadakan perjumpaan khas dengan calon tersebut. Mereka ingin berkongsi visi, harapan dan melihat ketokohan calon dalam menghadapai survival akademik di institusi berkenaan. Akhirnya sesi perbahasan terbuka turut diadakan dengan calon-calon ini dengan disertai oleh ahli akademik dan pimpinan mahasiswa yang turut memberikan sedikit pengaruh kepada keputusan Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden universiti berkenaan.

Jika kita meneliti pula pengalaman Universiti Rice sebuah universiti swasta tersohor di AS, di mana pada satu ketika berlaku kesukaran untuk mencari pengganti Prof. Norman Hackerman yang telah 15 tahun sebagai presiden. Sepanjang perkhidmatannya Hackerman bukan sahaja sebagai presiden universiti berprestij tersebut tetapi beliau masih mengekalkan aktiviti kesarjanaannya di dalam makmal penyelidikan dan masih terlibat penulisan dan penerbitan ilmiah. Sebagai presiden, beliau menjadi role model di universiti itu. Beliau tidak menghabiskan masanya untuk menandatangani puluhan memorandum persefahaman (MOU) sahaja tetapi sebagai pemikir yang terbuka, pemimpin yang disenangi, penyelidik yang agresif. Beliau membina hubungan strategik dengan pelbagai industri ternama AS di samping menjadi seorang sarjana contoh yang menjulang Universiti Rice sebagai universiti penyelidikan.

Apabila Prof. Richard Levin mengumumkan persaraan beliau sebagai Presiden Universiti Yale, Lembaga Pengarah universiti berkenaan mendapati sukar mencari tokoh setanding dengannya. Sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, Prof. Levin dikenali sebagai peneraju yang amat berjaya. Dalam kesukaran mencari pengganti Levin, ahli-ahli komuniti Yale telah menetapkan piawaian yang tinggi bagi pengganti Richard Levin; antaranya memiliki etika dan moral yang tinggi dalam tadbir urus dan kepimpinan, presiden mestilah seorang sarjana yang dihormati dan mempunyai nilai integriti kesarjanaan, mampu mengekalkan Yale sebagai rakan strategik kepada komuniti New Haven serta dapat meluncurkan Yale dengan pantas di persada antarabangsa. Oleh itu, pengganti Richard Levin hendaklah mentadbir secara efektif, menolak sama sekali amalan kronisme dalam pelantikan mana-mana ahli fakulti terutamanya dalam proses kenaikan pangkat. Komuniti Yale mahukan juga presiden baru mesti merupakan pimpinan kepada inovasi pendidikan, presiden mestilah pendukung kuat kepada nilai pendidikan tinggi dan penyelidikan, dan beberapa nilai kegemilangan lagi yang diharapkan oleh komuniti Yale.

Begitulah nilai dan kriteria utama yang menjadi pengharapan bagi institusi pengajian tinggi dunia demi menjaga integriti institusi dan kepimpinannya serta kesinambungan universiti sebagai menara keilmuan dan kesarjanaan.Dari sisi lain pula, jika kita meneliti bagaimana pula calon presiden atau naib canselor universiti ternama apabila mereka dinamakan, kita akan mendapati bahawa mereka amat serius menerima amanah tersebut dan menyatakan dengan penuh tekat visi dan misi mereka. Perhatikan kenyataan Rebecca Blank yang pada satu ketika merupakan Pemangku Setiausaha Negara bagi Hal-Ehwal Perdagangan AS yang dicalonkan sebagai Canselor Universiti Wisconsin menyatakan: "Universiti merupakan sebahagian penting kepada masa depan ekonomi negara dan mestilah menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha untuk menstimulasi perkembangan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baru".

Maka, bagi negara kita terutama dalam usaha meningkatkan penarafan dan kedudukan IPTA dan IPTS maka persoalan kepimpinan harus tidak dipandang mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Pekan pada 12 Mac 2011 pernah menyuarakan keresahan beliau dengan meminta supaya warga akademik mengurangkan 'politiking' dalam perebutan jawatan naib canselor (Utusan Online, 13 Mac 2011). Beliau sendiri menekankan proses pemilihan naib canselor hendaklah melalui proses pencarian dan pemilihan. Cuma persoalan besar adalah sama ada Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih ini merupakan satu realiti dan berfungsi sepenuhnya. Namun, masih ramai yang mempersoalkan fungsi dan kewujudannya.

Sudah sampai masanya, kita melakukan satu lonjakan besar dalam dunia pendidikan negara. Negara memerlukan juga transformasi dalam soal kepimpinan pendidikan tinggi demi melonjakkan penarafan dan kedudukan universiti dalam negara ini agar setanding dengan Oxford, Yale dan MIT. Maka, kepimpinan yang kita mahukan juga harus yang setanding dari sudut kriteria dan proses pemilihannya.

Kita mahukan kepimpinan IPT yang berdaya fikir inovatif, dalam kalangan akademia terpilih, mempunyai semangat keusahawanan, memiliki integriti kepimpinan yang tinggi dan mampu melonjakkan negara ini sebagai hub pendidikan utama dunia. Dasarnya sudah ada dan infrastrukturnya sudah tersedia, maka kita perlulah serius mengenainya. Maka, pembentukan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih yang terdiri dalam kalangan ahli akademik kanan, usahawan, warga dalaman universiti, wakil industri dan ahli akademik tersohor antarabangsa perlulah direalisasikan. Proses pencarian dan pemilihan juga hendaklah telus, kriteria yang dikemukakan hendaklah jelas dan terlaksana ketika proses pemilihan dan pengiklanan terbuka juga hendaklah dilakukan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan integriti, maka ia akan menjadi salah satu pemangkin peningkatan institusi pengajian tinggi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

22 JULAI 2013