Oleh : NG LUM YONG
Presiden Pertubuhan
Jaringan Cina Malaysia
Dewasa ini hangat
diperkatakan yang kurangnya integrasi antara kaum di Malaysia. Setiap bangsa
lebih suka bergaul hanya dengan bangsa sendiri. Melayu dengan orang Melayu,
orang Cina sesama mereka dan orang India hanya dalam lingkungan mereka sahaja. Tetapi
interaksi antara kaum masih wujud di kampung-kampung ataupun di luar bandar.
Masyarakat Cina atau India hidup dengan rukun dengan majoriti masyarakat Melayu
di kampung-kampung. Sebagai contoh, mereka boleh duduk bersama di kedai-kedai
kopi bersembang pelbagai topik. Masyarakat Cina dan India di Utara malah fasih
bertutur dalam loghat Melayu Utara. Begitu juga di Pantai Timur dengan dialek
Kelantan dan Terengganunya. Di Johor, ada golongan tua Cina mampu bertutur
dalam bahasa Jawa!
Sebaliknya di
bandar-bandar utama, interaksi antara kaum sangat kurang. Kesan kurangnya
pergaulan antara kaum-kaum berlainan di kota-kota ini, mereka juga malah tidak
langsung senang bergaul dengan kaum-kaum lain yang berhijrah dari desa ke kota.
Ini kerana gaya hidup di bandar yang kurang mempedulikan orang lain. Di samping
itu, komposisi kaum di sesetengah bandar seimbang dan mereka hanya duduk di
kepompong sendiri. Kalaupun ada pergaulan rapat antara berlainan kaum di kota-kota,
ini mungkin kerana mereka berasal dari kampung atau negeri yang sama.
Antara perkara yang
mampu merapatkan hubungan seseorang yang berlainan bangsa adalah minat.
Berkongsi minat yang sama mampu menutup jurang perbezaan warna kulit. Apa yang
berlaku hari ini adalah kaum- kaum berlainan mempunyai minat yang berlainan.
Sebagai contoh, orang Melayu mungkin minat konsert Jom Heboh. Orang Cina tidak
minat kerana mereka tidak menonton televisyen rangkaian Melayu. Contoh lain,
orang Cina minat memperkatakan makanan Cina. Orang Melayu tidak akan berkongsi
minat yang sama kerana makanan orang Cina kebanyakannya tidak halal.
Faktor lain adalah
kemampuan berkomunikasi. Misalnya, orang Cina di bandar kurang bergaul dengan
orang Melayu kerana tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik. Orang Cina
yang tinggal di dalam komuniti mereka di bandar hanya bertutur dalam bahasa
Mandarin ataupun dialek-dialek mereka. Ada yang bertutur bahasa Inggeris. Orang
Cina bandar apabila mahu berinteraksi dengan kaum lain lebih cenderung memilih
untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Bagi kebanyakan orang Melayu, bertutur
dalam bahasa Malaysia menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dengan rakyat
Malaysia sendiri. Bertutur dalam bahasa Inggeris akan memberikan sedikit
jurang. Orang Melayu dari kampung-kampung juga kurang fasih berbahasa Inggeris
kerana tiada keperluan berbahasa Inggeris di kampung-kampung dan hanya bertutur
dalam bahasa Melayu. Bertutur dalam bahasa asing hanya akan merencatkan
penyampaian.
Orang India pula
bagaimanapun kelihatan lebih mudah bergaul dengan masyarakat Melayu. Mungkin
budaya masyarakat India ada persamaan dengan budaya orang Melayu. Adat
bersanding adalah tinggalan adat Hindu yang dianuti nenek moyang orang Melayu
zaman dahulu yang beragama Hindu/Buddha. Bahasa Malaysia juga banyak menyerap
perkataan-perkataan Sanskrit* yang juga dituturkan orang India yang majoritinya
bercakap bahasa Tamil. Antaranya bumi, suria dan singa. Makanan orang Melayu
juga tidak banyak berbeza dari orang India yang berasaskan rempah. Orang Melayu
dahulu juga menganut Islam hasil sebaran pedagang-pedagang India Muslim. Ini
mungkin sebabnya Masyarakat Melayu bersembahyang dengan berkain pelikat,
sepertimana pakaian orang India, bukan berjubah seperti orang Arab.
Banyak perkara harus
dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Banyak aktiviti yang melibatkan semua
kaum harus dilakukan. Persatuan-persatuan yang mewakili hanya satu kaum bakal
melebarkan jurang antara kaum. Setiap kaum tidak harus hidup dengan kepompong
sendiri. Satu contoh adalah kewujudan sekolah-sekolah yang berasaskan satu kaum
iaitu sekolah jenis kebangsaan yang memisahkan pelajarnya dari arus perdana.
Bukannya dicadangkan di sini untuk menutup saja sekolah-sekolah itu, cuma
kewujudan istimewa sekolah-sekolah itu di Malaysia harus lebih mampu
berinteraksi dengan majoriti masyarakat Malaysia yang lain. Sekolah Wawasan
adalah perancangan yang baik cuma tidak kelihatan kesannya.
Banyak juga orang
Malaysia yang kakinya berpijak di Malaysia tetapi fikirannya berada di
negara-negara asing. Dengan kemajuan teknologi hari ini, apabila dibuka
televisyen, banyak sajian rangkaian dari luar disediakan. Ada yang terlepas
dengan perkembangan di tanah air. Bersekolah pun di sekolah antarabangsa.
Kurikulumnya dari luar dan kurang bersifat tempatan. Apabila ini berlaku, maka
golongan ini kurang berinteraksi dengan komuniti tempatan. Paling penting,
pemahaman tentang budaya kaum lain. Masyarakat Melayu tidak harus menjauhi
masyarakat Cina semata-mata masyarakat Cina membela anjing dan makanan tidak
halai . Banyak perkara lain boleh dikongsi bersama. Contohnya meraikan Tahun
Baru Cina tidak salah kerana itu adalah perayaan adat, bukannya perayaan agama.
Orang Cina pula
jangan mengatakan semua makanan Cina itu adalah haram. Cuma cara penyediaan itu
haruslah mengikut hukum syarak. Masakan masakan (baca masa-kan masakan) Cina
semuanya haram kerana jumlah penduduk Islam di China bahkan lebih ramai
daripada jumlah penganut Islam di Malaysia. Kita juga harus sedar banyak orang
India ialah vegetarian. Mereka tidak makan haiwan atas alasan agama. Untuk
merapatkan hubungan kaum, rasanya kita perlu berbalik kepada dasar penyatuan
bangsa dengan satu bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Tanpa satu bahasa
pengantaraan yang khusus, tidak mungkin bangsa yang berlainan mampu
berkomunikasi dengan baik dan seterusnya bergaul dengan rapat. Bertutur dalam
bahasa Inggeris antara kaum di Malaysia bukanlah cara terbaik kerana yang
memilih bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan saja menyusahkan penterjemah
Buletin Utama TV3, bahkan tidak ubah seperti pelancong asing!
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OGOS 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan