JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Julai 2013

ISU SOSIAL : KESAN BURUK PENAGIHAN ARAK, DADAH, DAN SHISHA


TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Kepekaan dan keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui wujudnya masalah disiplin dalam kalangan atlet sukan dari sudut pengambilan minuman keras dan bahan terlarang harus disambut baik oleh semua pihak. Tindakan untuk menyiasat dan mengkaji punca permasalahan adalah pendekatan yang proaktif demi untuk merancang dan melaksanakan sistem dan proses yang lebih mantap dalam pengurusan sukan di negara ini. Kes rogol yang membabitkan pegawai pengiring wanita pasukan bola baling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) adalah rentetan peristiwa malang yang mungkin menjadi pengajaran supaya budaya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Budaya mencegah yang meletakkan sistem dan prosedur yang proaktif sebagai mengelak sebarang kemungkinan kejadian gejala anti sosial yang mengundang jenayah daripada berlaku dalam institusi sukan negara. Cadangan Menteri berkenaan untuk menetapkan bahawa pegawai pengiring pasukan sukan perlu dilantik dalam kalangan mereka yang lebih berusia juga adalah rasional kerana mereka yang lebih berusia akan dapat mengawal mereka yang di bawah seliaannya dengan lebih cekap dan adalah lebih proaktif jika pegawai pengiring terdiri daripada golongan gender yang sama. Bertitik tolak daripada itu isu penggunaan barang terlarang atau doping seperti steroid yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 10 Julai 2013 juga perlu diambil perhatian berat supaya ia dapat dikekang bukan sahaja di peringkat awam malah kemungkinan penularannya membabitkan atlet negara pada masa akan datang.

Satu usaha bersepadu perlu dijalankan untuk memberi penerangan kepada golongan muda berkaitan penyalahgunaan bahan steroid kerana akibatnya amat serius seperti strok serangan sakit jantung dan darah tinggi secara senyap. Agensi penguat kuasa perlu bertindak segera mengekang penjualan bahan steroid secara terbuka dengan mengetatkan perlaksanaan undang-undang untuk membawa penjual dan pengedar bahan steroid ke muka pengadilan. Kementerian Penerangan dan Multimedia disarankan supaya mengambil tindakan proaktif untuk menghalang syarikat yang menjual steroid di laman sesawang sebagai langkah membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Jika ia terbukti mampu membawa keburukan kepada pengguna maka Akta Farmasi 2010 serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (CDCR) di mana perdagangan steroid dikawal di Malaysia di bawah Akta Racun 1952 perlu dipinda untuk menambah peruntukan denda maksimum yang sedia ada kepada jumlah yang lebih tinggi. Klinik yang terlibat membekal dan menjual steroid secara berleluasa perlu memberhentikan aktiviti mereka sekiranya mereka sedar bahawa tindakan tersebut mengundang bahaya kepada pelanggan manakala pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas klinik-klinik yang tidak beretika yang beroperasi menjual dan membekal bahan steroid tanpa kawalan tersebut.

Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan juga perlu diteliti dan satu rumusan yang menyeluruh perlu dicari segera seperti isu e-cigarette, shisha dan penghiduan gam kerana kesemuanya tidak terangkum dalam Akta Dadah Berbahaya tetapi menjurus kepada masalah yang sama iaitu penagihan. Demikian juga isu shisha yang telah diharamkan di Perlis oleh Majlis Fatwa Perlis. Cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penggunaan shisha adalah langkah yang wajar. Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bahru yang menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisha mengikut Undang-undang Kecil Pengawasan, Penyeliaan Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat tersebut di premis yang dilesenkan adalah satu langkah yang perlu dituruti.

Ini adalah kerana peralatan shisha adalah mirip kepada peralatan penagihan dadah ganja dan jika tidak dibendung akan mengakibatkan penularan penyalahgunaan dadah ganja dalam kalangan belia. Lebih membimbangkan lagi adalah tabiat menghidu gam yang merupakan satu perbuatan yang menyumbang kepada penyakit sosial yang semakin berleluasa pada masa kini, yang melibatkan pelbagai peringkat umur sehinggalah kalangan pelajar sekolah. Perbuatan ini memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan seseorang terutama di bahagian otak sehingga boleh mengundang maut. Menurut peruntukan undang-undang menghidu gam bukanlah merupakan suatu kesalahan malah sumbernya iaitu gam merupakan bahan yang sah di sisi undang-undang untuk kegunaan harian.

Namun demikian sekiranya tabiat menghidu gam ini tidak dibendung lebih awal, ia akan membawa akibat yang lebih besar bukan sahaja kepada kesihatan, malah akan menjerumuskan individu tersebut ke arah penagihan dadah, seterusnya menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia memandang serius perkembangan ini dan berharap semua pihak berkuasa terutamanya masyarakat awam supaya sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mengekang apa sahaja gejala yang mengundang bahaya kepada kita, terutama yang membabitkan belia warisan negara. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah dan sudah patah baru hendak melantai.

UTUSAN MALAYSIA

25 JULAI 2013

Tiada ulasan: