Oleh : Saharudin.musthafa
Tersentuh hati
melihat anak-anak kecil mengemis di pinggir-pinggir jalan meminta ihsan dan
simpati masyarakat bagi memberi peluang mereka meneruskan hidup. Ibu dan ayah
entah ke mana. Bersama-sama rakan sebaya atau mungkin adik-beradik, senario
anak-anak kecil mengemis daripada orang ramai di kota Jakarta bukan asing. Itulah
yang dapat dilakukan oleh segelintir warga Jakarta dalam meneruskan kehidupan.
Lama penulis berfikir dan cuba menelaah, kenapa itu jalan yang menjadi pilihan
mereka? Namun, apabila cuba mendasari suara hati mereka, jawapan yang ditemui
ialah pilihan apa lagi yang mereka ada.
Menjadi pengemis
bukan hal yang manis di mata umum. Ibarat kata pepatah, tangan yang memberi
lebih baik daripada yang menerima. Realitinya, tidak semua orang akan bermurah
hati pada setiap hari untuk menghulur bantuan. Daripada merungut, mengeluh dan
mengungkit dengan bantuan yang dihulurkan sehingga menjadi tidak ikhlas, baik
sahaja pejamkan mata, tutup telinga dan buat-buat tidak tahu. Hakikatnya, si
pengemis juga ada maruah dan harga diri. Tidak semua yang terlibat dalam
pekerjaan meminta-minta itu mahu berbuat demikian. Justeru, ada segelintir
pengemis mengakui, mental mereka tidak kuat untuk berhadapan dengan masyarakat.
Kenyataan ini diakui
oleh seorang anak kecil yang hidupnya suatu ketika dahulu banyak dihabiskan di
jalanan meminta simpati orang ramai. Tegar Septian, si cilik berusia 12 tahun
menyedari dia harus bekerja keras untuk membawa keluarga keluar daripada
belenggu kemiskinan. Iltizam Tegar disokong oleh tuah badan. Daripada seorang
pengemis, dia kini diangkat oleh rakyat Indonesia sebagai seorang penghibur
muda yang memiliki masa depan cerah. Kalau dulu di jalanan, barangkali tiada
siapa yang peduli dengan Tegar tetapi hari ini dia boleh berbangga kerana
popularitinya sebaris dengan artis-artis ternama Indonesia. Itulah penangan
Tegar yang lagu nyanyiannya, Aku Yang
Dulu kini semakin menjadi siulan para peminat muzik di Indonesia. Pentas
Tegar bukan lagi di pinggir-pinggir jalan, di warung-warung terbuka, di dalam
bas atau kereta api, tetapi dia sudah boleh berbangga kerana menerima pelbagai
undangan untuk membuat persembahan.
Aku
Yang Dulu
dihasilkan khusus buat Tegar kerana lagu berkenaan menceritakan rentetan
perjalanan hidup si kecil itu dan menyebabkan ia sangat mudah memancing
perhatian pendengar. Namun, bukan populariti yang menjadi dambaan Tegar,
sebaliknya, apa yang paling utama ialah kanak-kanak ini semakin memperlihatkan
rasa tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarga. Kesibukan menjadi artis
membuahkan hasil yang lumayan bagi Tegar. Pendapatan diterima sebagai penyanyi
menyebabkan dia sudah mampu memenuhi keperluan buat keluarga. Sebut sahaja apa
gajet yang sedang menjadi trend, semuanya sudah mampu dibeli Tegar untuk ahli
keluarganya sehinggakan sebuah motosikal dan peralatan elektronik juga
disediakan buat keluarga.
"Aku sudah
belikan motosikal, Ipad dan telefon bimbit. Tidak lama lagi aku mahu sediakan
sebuah rumah buat keluarga di Cikampek (kampung halamannya)," kata Tegar
penuh jujur. Berdasarkan hitungan kasar, pendapatan yang diraih oleh Tegar
sebagai penyanyi agak lumayan bagi seorang kanak-kanak sepertinya. "Aku
enggak (tidak) tahu jumlah bersih tetapi setiap minggu aku akan serahkan antara
rupiah 6 juta (RM1,800) hingga Rupiah 7 juta (RM2,180) kepada keluarga bagi
membahagiakan mereka," kata Tegar. Sebagai penyanyi baru, tidak banyak
yang Tegar ambil tahu mengenai pengurusan kerjaya seninya kerana semua itu
diatur oleh pihak pengurusan. Daripada kejayaan dan kekayaan yang diraihnya,
Tegar masih merendah diri dan berpendapat, apa yang dilakukannya semata-mata
untuk membahagiakan orang-orang terdekatnya.
"Alhamdulillah
apa yang saya perolehi dapat membahagiakan ibu, saudara, nenek dan
semuanya," katanya lagi. Pada usia 12 tahun, inisiatif Tegar bekerja keras
mencari rezeki bagi mengubah nasib keluarga amat disyukuri ibu penyanyi itu,
Ratna Dwi Sisi yang begitu terharu dengan pengorbanan anak sulung daripada
empat adik-beradik itu. Ratna mengakui, sebelum Tegar terkenal, hidup mereka
serba kekurangan sehinggakan untuk menyediakan makanan harian juga dia tidak
mampu. Kesedihan dan kemurungan Ratna bertambah apabila di desa yang mereka
diami, tiada siapa yang pernah mengambil peduli terhadap kekurangan keluarga
itu.
Tambah menyedihkan,
pada saat-saat terdesak memohon bantuan untuk mengalas perut anak beranak itu,
Ratna dan anak-anaknya terpaksa berlutut. "Kalau minta makan daripada
orang lain, kami harus menangis dahulu," cerita Ratna mengenang saat-saat
sukar yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu. Kesusahan keluarga Ratna
menyebabkan Tegar tercicir daripada persekolahannya dan anak kecil itu terpaksa
menjaga tiga adiknya yang masih kecil. Barangkali, tidak sanggup untuk hidup
dalam kemiskinan, Tegar membuat keputusan untuk keluar daripada masalah itu
dengan membawa diri selama berbulan-bulan.
Tegar dengan
berbekalkan keberanian dan kecekalan mula mendekati sekumpulan anak jalanan
yang mencari nafkah dengan mengemis. Daripada situ juga, dia mendekati muzik
dengan berlatih menyanyi serta mempelajari cara bermain instrumen muzik
termasuk piano dan seruling. Akibat tanpa kawalan keluarga, masalah lain
dihadapi Tegar, apabila pergaulan tanpa batasan itu menyebabkan dia menjadi
liar dengan mula menghisap rokok dan menghidu gam. Namun, sudah ditakdirkan
hidup Tegar bukan di situ. Kelebihan dan bakat besar anak kecil itu disedari
oleh Alfas Hermansyah yang menawarkan diri untuk membentuk kanak-kanak itu
menjadi 'manusia' Alfas bekerja keras mengembangkan bakat seni Tegar
sehinggalah dia berada di kedudukan hari ini.
Dia menjadi masyhur
dan sibuk memenuhi undangan penyanyi sehingga di luar Jakarta serta tidak
menang tangan menerima undangan menjayakan pelbagai program televisyen.
Keluarga itu kini tidak lagi tinggal di kampung, sebaliknya, mereka kini
menikmati sebuah kehidupan yang mendamaikan di sebuah pangsapuri. Anak kecil
bernama Tegar benar-benar melalui gaya hidup seorang penghibur kerana ke mana
sahaja dia pergi, kereta mewah akan membawanya serta ditemani pula oleh
sejumlah pembantu peribadi. Tegar sangat bersyukur dengan apa yang
dinikmatinya. Begitu juga dengan si ibu yang tidak henti-henti memanjatkan
kesyukuran. "Sekarang semua orang mengaku kami saudara mereka," kata
Ratna sambil tersenyum penuh makna.
Menyelak kembali
lembaran sejarah kerjaya seni Tegar, nasib si kecil ini berubah selepas dia
bergelar juara di sebuah pertandingan nyanyian di Subang Jawa Barat, Indonesia.
Kejayaan di gelanggang nyanyian itu membuka jalan kepada anak kelahiran
Pemalang ini untuk meraih populariti. Tegar tidak perlu lagi merayu belas dan
ihsan orang ramai demi sesuap nasi. Bahkan, Tegar tidak perlu lagi memetik
gitar dan menyanyi kerana hari ini, sudah tersedia muzik latar atau sesekali
persembahannya diiringi pemuzik profesional. "Hidup di jalanan menyebabkan
mental saya kuat. Saya semakin mengerti apa yang perlu ada pada kanak-kanak
seusia saya iaitu pelajaran," katanya. Sekalipun sudah hidup mewah, namun,
Tegar tidak akan sama sekali melupakan dari mana asal usulnya sambil berusaha
dan berdoa karier seninya hari ini akan bertahan lama bagi membolehkan dia
terus membela nasib diri serta keluarganya.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OGOS 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan