JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Julai 2013

ISU SOSIAL : BENDUNG SEGERA JENAYAH REMAJA


NIZAM YATIM

Cukup mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api. Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.

Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah. Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor. Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba. Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah. Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu. Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja. Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya. Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara. Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand.

Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya. Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya. Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat.

Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka. Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF. Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan. Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya. Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah. Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar.

Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling. Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya. Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat. Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena ‘kanak-kanak indigo’ yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an. Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo. Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka. Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

24 JULAI 2013

Tiada ulasan: