31 Mei 2012

ISU IPT : MASUK IPT BUKAN SEKADAR DAPAT IJAZAH


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang


Menjelang Jun dan sekitar Julai nanti, beribu-ribu anak muda kita, termasuk warga emas akan ditawarkan mengikuti pengajian di universiti awam di seluruh negara. Tidak kurang juga yang kecewa kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mengambil semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau peperiksaan lain yang setaraf untuk memasuki universiti sama ada mengikuti pengajian diploma atau pada peringkat ijazah. Pilihan lain adalah dengan memasuki institusi pengajian tinggi swasta. Namun tidak ramai yang sedar dan benar-benar menghargai peluang ini. Sesetengahnya memasuki dengan tangan kosong dan menyerahkan sepenuhnya kepada universiti untuk menentukan kejayaannya, tidak bersedia, tidak berusaha memanfaatkan peluang yang ada.

Idea dan persepsinya terhadap universiti tidak lebih daripada belajar di sekolah tinggi. Hanya pergi kuliah, buat tugasan dan menduduki peperiksaan, lulus, dapat ijazah dan mencari pekerjaan. Jika gagal mendapat pekerjaan, universiti dan kerajaan akan dipersalahkan serta dianggap gagal memainkan peranan. Ramai juga yang beranggapan, jika seseorang itu cemerlang di sekolah maka ia akan diteruskan di peringkat universiti, menghafal sebahagian besar apa yang diterima dalam kuliah dan tutorial lalu kemudiannya meluahkan ia ketika menjawab soalan peperiksaan yang soalannya sebahagiannya sudah pun dapat diduga atau diberikan bayangan oleh pensyarah. Kerana itu, terdapat segelintir yang menghabiskan masanya di universiti secara sia-sia. Sebahagian hanya mengejar ijazah dan berakhir dengan konvokesyen. Jika keputusannya cemerlang akan meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dan pada peringkat seterusnya tanpa banyak belajar untuk menjadi seorang siswa atau siswi yang cintakan ilmu dan melakukan perubahan terhadap kehidupannya.

Jauh sekali untuk menjadi seorang perekacipta yang inovatif atau melakukan hal-hal yang boleh memberi faedah yang lebih besar dalam penggunaan ilmu pengetahuan dan fikiran untuk pembangunan diri mahu pun masyarakat dan negaranya. Apatah lagi untuk mencipta peluang pekerjaan baru dan tidak bergantung kepada orang lain. Segelintir lagi pula siswa-siswi menggunakan kampus sebagai pentas untuk eksperimen idealisme mereka yang melihat kehidupan dengan begitu 'ideal'. Mereka belajar dan melihat segalanya dalam konteks yang serba serbi indah, membayangkan kejayaan-kejayaan dan keindahan hidup jika idealismenya dilaksanakan walau pun menggadaikan maruah bangsa, perjuangan mengekalkan kedamaian dan kesentosaan, malah ada ketikanya melanggar apa jua peraturan yang dibuat. Mereka tidak peduli lagi tentang adab sopan dan kesusilaan sebagai orang berilmu, malah sesetengahnya tidak malu untuk menyertai aktiviti yang menyusahkan orang ramai, bertindak ganas dan apa jua untuk mencapai idealisme sehingga lupa yang pengajiannya dibiayai dari wang orang ramai melalui kerajaan yang membiayai pengajian tinggi negara.

Apa jua yang menghalang akan dianggap musuh dan anti kepada kepercayaan dan keyakinannya. Hatta menceroboh sekali pun dianggap betul untuk mencapai cita-cita dan keyakinannya, seolah-olah dia sahaja yang ada hak sedangkan orang lain tidak mempunyai hak yang serupa dengannya. Mereka kerap kali dipengaruhi oleh pihak tertentu yang sesetengahnya amat jelas menggunakan 'amarah' dan 'kegelisahan' anak-anak muda ini dalam melakukan perjuangan menegakkan idealismenya. Provokasi terhadap jiwa muda ini dilakukan berterusan yang bakal merosakkan masa hadapan mereka. Hakikatnya universiti adalah tempat yang berupaya mendidik anak-anak muda dalam menseimbangkan antara idealisme dengan hakikat sebenar kehidupan. Universiti sepatutnya yang menjadi tempat yang memaknakan kebebasan yang ditunjukkan dalam autonominya dengan penuh tanggung jawab dan berhemah selaras dengan adab dan akal budi orang berilmu. Universiti adalah tempat untuk mencari kebenaran dan berdebat tentang ilmu berasaskan fakta dan data, tetapi melihat juga kepada kepentingan masyarakat terbanyak tanpa menggadaikan apa yang sedia ada, kedamaian yang dinikmati dan kebebasan yang diberi.

Siswa-siswi perlu mengambil peluang berinteraksi dengan para ilmuan, mengkaji ilmu, melihat dengan pelbagai perspektif dan dimensi, saling hormat untuk meningkatkan darjah kematangan dalam perdebatan dan perbincangan sekali gus mendewasakan anak muda malah juga menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras yang berguna dalam memartabat dan mendaulatkan satu bangsa. Ruang kebebasan digunakan untuk mereka yang dahagakan ilmu dengan menjadikan perpustakaan dan Internet untuk mendapat idea-idea dari buku dan bacaan sebagai asas memperkayakan diri. Pensyarah menjadi fasilitator bukan lagi sebagai guru yang memberikan segalanya, sebaliknya menjadi pembimbing yang akan mencabar daya fikir dan kreativiti siswa-siswi dalam mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan untuk dunia seluruhnya. Cabaran dalam sains dan teknologi, malah juga seni, budaya, kemanusiaan, kemasyarakatan, sains politik, falsafah dan lain-lainnya dirungkai, dilihat bersepadu dan berkait rapat antara satu sama lain. Alam menjadi medan pengajaran berguna untuk menjadi lebih kreatif dan melahirkan inovasi baru untuk manusia dan masa hadapannya.

Kerana itu, sudah sampai masanya mereka yang ingin memasuki universiti berfikir sedalam-dalamnya matlamat penerokaan ilmunya. Mereka harus melihat dalam kerangka yang betul agar kehadirannya akan berupaya mengubah dirinya dalam membantu melakukan perubahan bermakna dalam masyarakat secara realistik. Universiti yang dalam proses membuat pemilihan perlu juga melihat kualiti calon yang diinginkannya terutamanya bagi kursus yang mempunyai temuduga dan ujian tertentu. Walau pun kelulusannya di peringkat sekolah agak rendah, namun jika pandangannya terhadap dunia ilmu dengan matlamat masa depan yang betul, lebih wajar diberikan pertimbangan berbanding dengan mereka yang jelas terlalu cetek pemikirannya dan melihat dunia dalam perspektifnya semata-mata. . Jika memasuki universiti dengan keinginan yang kuat untuk mengubah diri, peluang terbuka luas di sini.

Akhirnya, yang akan menentukan kejayaan di universiti ialah kebijaksanaan membuat pilihan, tidak tenggelam oleh idealisme tertentu atau keseronokan seketika serta kefahaman terhadap makna sebenar universiti. Kelekaan dan taksub terhadap sesuatu idealisme akan hanya menjadikan peluang yang diberi menjadi sia-sia. Peluang memasuki universiti perlu dihargai atau sebaliknya buatlah pilihan lain yang sesuai jika ia hanya akan menimbulkan masalah kepada diri dan orang lain apatah mengecewakan ibu bapa, masyarakat terbanyak dan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
31 Mei 2012

30 Mei 2012

ISU IPT : RUANG REDAKAN TEKANAN BELAJAR


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         

Entah mengapa pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan kurang mendapat perhatian berbanding pencapaian akademik, menjadikan aspek itu kurang bernilai di mata masyarakat. Tambahan pula, bukan semua mahasiswa mampu memberi sepenuh komitmen, menjadikan aktiviti itu dianggap tempat ‘bersuka ria’ yang hanya menimbulkan pembaziran masa dan tenaga. Apatah lagi, jangka hayat aktiviti itu singkat menjadikan masyarakat luar mempunyai pelbagai modal untuk mengkritik. Benarkah pandangan masyarakat yang menyatakan aktiviti itu hanya satu pembaziran dalam diam dan gagal mencapai matlamatnya? Atau adakah mahasiswa hanya menjadi mangsa keadaan dan tempat melampiaskan rasa kurang senang masyarakat terhadap golongan itu?

Ketua Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Martinelli Hashimberkata, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti sosial bukan satu pembaziran, malah sangat bermanfaat. Beliau berkata, istilah pembaziran dan tanggapan aktiviti itu tidak mencapai matlamat adalah dangkal selain mahu menjatuhkan kredibiliti mahasiswa tanpa usul periksa. Menurut beliau,  ramai beranggapan aktiviti seperti ini hanya seperti mahu mengundang keseronokan tanpa mencapai matlamatnya. Malangnya tanggapan itu silap. Membabitkan diri dalam aktiviti sosial anjuran institusi itu banyak kelebihan dan manfaatnya, jadi jangan sewenang-wenangnya memberi persepsi negatif jika tidak tahu hujung pangkal. Sikap masyarakat yang mudah melabelkan sesuatu hanya pada pandangan kasar perlu diubah kerana ia tidak membantu membangunkan minda, sekali gus membantutkan usaha melahirkan mahasiswa cemerlang.

Kesal dengan tanggapan seperti itu, beliau berkata, masyarakat sering kali memberi tanggapan hanya melihat pada aspek luaran semata-mata. Katanya, mereka hanya melihat secara kasar dan sekali imbas tanpa mahu menghargai penat lelah mahasiswa yang bertungkus-lumus menjayakan aktiviti itu. Bercakap memang mudah, namun adakah mereka tahu kepayahan dan kepenatan mahasiswa melaksanakan program terbabit? Ini bukan program main-main kerana ia membabitkan imej institusi. Cuba letakkan diri di tempat mahasiswa itu, adakah anda sanggup bersengkang mata, berpanas berhujan semata-mata menjayakan matlamat sesuatu program? Beliau percaya, mahasiswa juga tidak mahu aktiviti dijalankan itu menjadi buah mulut orang dan dilabelkan gagal. Jadi mereka pasti akan melaksanakannya bersungguh-sungguh. Bukan sesuatu yang menghairankan apabila ada segelintir masyarakat yang celupar melabelkan khidmat sosial berkenaan sebagai satu pembaziran. Alasannya, mahasiswa tidak begitu fokus dalam pelaksanaan selain melakukan aktiviti sama setiap kali penganjuran program.

Menyangkalnya, beliau berkata, bukan semua mahasiswa pergi untuk ‘bersuka ria’, sebaliknya mereka tetap memanfaatkan setiap tanggungjawab itu. Beliau turut mengiyakan kerana mungkin ada yang terpesong matlamatnya, namun bukan semua yang sanggup melepaskan tanggungjawab diberikan sewenang-wenangnya. Malah, perlu diingat, setiap pelaksanaan projek ada struktur perancangannya, jadi mana mungkin mereka melaksanakannya atas dasar ‘suka-suka’. Janganlah kerana seorang dua yang lepas tangan, semua terkena tempiasnya. Ini tidak adil,” katanya menegaskan antara manfaat terbesar diperoleh ialah membina sikap prihatin mahasiswa terhadap permasalahan masyarakat. Ini manfaat paling baik sebab bukan mudah mahu membentuk sikap peduli golongan muda terhadap masyarakat. Program seperti ini mengasuh dan mendidik emosi mereka supaya tidak lepas tangan. Namun, ada kalangan masyarakat menganggap program ini sebagai satu pembaziran. Hakikatnya mereka sendiri tidak mahu ‘membuka mata’ seluas-luasnya melihat apa yang diperoleh mahasiswa menerusi program ini.

Program ini, katanya, perlu dilaksanakan dalam situasi santai kerana menjadi tempat mahasiswa meredakan sebentar tekanan belajar, selain memikat hati golongan sasaran. Beliau berpendapat, jika program dilaksanakan dengan protokol ketat, golongan sasaran mungkin tidak suka kerana program itu akan membosankan. Biarpun pelbagai program diadakan seperti bersama keluarga angkat, matlamat dan pengisian pasti ada perbezaannya. Memberi pendapat bahawa masyarakat mahukan hasil segera, beliau berkata, ia mungkin mustahil kerana pembentukan nilai murni di kalangan mahasiswa memerlukan masa dan banyak pendedahan. Akuinya, mereka masih memerlukan bimbingan, tunjuk ajar serta tatacara betul untuk berada di landasan betul, sekali gus memperbetulkan tindakan andai kata bertentangan dengan matlamat.

Sebagai generasi muda, mereka ada terlalu banyak cabang pilihan seperti melakukan keseronokan, tanggungjawab dan perasaan. Masyarakat lebih dewasa perlu memberi bimbingan bukan kritikan yang boleh melemahkan mereka. Malangnya, itulah sikap sebahagian besar masyarakat hari ini. Daripada memberi bimbingan, mereka gemar mengkritik yang bukan-bukan. Akibatnya, ia melemahkan daya juang mahasiswa, sekali gus memadamkan keinginan mendekati masyarakat. Ini satu kerugian yang perlu dielakkan. Masyarakat juga perlu melihat apa yang cuba dilaksanakan golongan mahasiswa sebagai satu percubaan meneroka alam baru yang lebih mencabar. Mereka ibarat baru bertatih, justeru apa salahnya jika masyarakat memberi sokongan padu sebagai pembakar semangat. Tanggapan bahawa mereka hanya ingin berseronok dan aktiviti ini tidak mampu memberi manfaat adalah keterlaluan. Bukankah ini satu ilmu baru yang mampu menjana pengalaman lebih praktikal? Beliau hairan apabila aktiviti seperti ini digambarkan sebagai tempat mengambil kesempatan. Jangan terlalu sempit menilai atau memberi persepsi salah, nanti merugikan golongan terbabit.

Pada masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa menggunakan peluang diberikan bagi menjadikan diri sebagai insan prihatin dan disayangi masyarakat. Menurutnya, dengan pelbagai isu mengaitkan mahasiswa hari ini, ia sedikit sebanyak memburukkan imej golongan terbabit. Walaupun hanya segelintir (berbuat salah), tempiasnya tetap kena pada mahasiswa. Justeru, jangan rosakkan nama baik itu dengan tanggapan salah. Sebaliknya, buktikan mahasiswa memang ikhlas dan ingin mendapat manfaat daripada aktiviti ini. Masyarakat tidak tahu jika tidak melihat hasilnya. Beliau turut mengakui, program itu memberi pendedahan positif terutama pembentukan jati dan kemahiran diri. Jika tiada kepentingannya, tentu program seperti ini tidak ditekankan di institusi pengajian tinggi. Melihat kepada manfaatnya, ia menjadi antara agenda wajib yang perlu dilaksanakan mahasiswa. Kebaikan diperoleh apabila tamat pengajian. Bagi yang aktif terbabit dalam pelbagai program, karisma diri pasti terserlah berbanding melakukannya kerana terpaksa. Justeru, jangan anggap aktiviti ini tidak berfaedah mahupun hanya membazir. Masyarakat sering menyuruh mereka berfikir di luar kotak, jadi sokonglah mereka.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
28 Mei 2012


ISU ALAM SEKITAR : HUJAN DARAH, HUJAN LEMBU


Rencana ini ditulis oleh :
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. Begitu indahnya peribahasa Melayu itu yang bermaksud sesuatu itu sememangnya lebih baik di kampung halaman sendiri. Bagaimanapun, fenomena hujan berwarna merah seakan-akan darah yang melanda Kerala, India selama dua bulan bermula 25 Julai 2001 masih menjadi misteri hingga sekarang. Bukan sahaja lebih 500,000 meter padu air hujan turun pada masa itu malah penduduk mendakwa air hujan itu turut berwarna kuning, hijau dan hitam pada 10 hari pertama. Lebih pelik selepas kejadian itu pakaian yang dijemur di ampaian di luar rumah bertukar merah seperti terkena darah. Pada mulanya kumpulan saintis India berhujah peristiwa itu disebabkan oleh debu pasir dari Gurun Sahara di benua Afrika. Namun, selepas penyelidikan lanjut dilakukan, elemen merah daripada air hujan itu didapati sel hidup yang tidak diketahui daripada mana asalya. Komponennya ialah ialah 50 peratus karbon, 45 peratus oksigen manakala bakinya besi dan sodium.

Pasir gurun

Seorang pakar fizik dari Universiti Mahatma Gandhi, India, Godfrey Louis menolak teori hujan darah itu berpunca daripada debu pasir Gurun Sahara. Menurutnya, partikel air hujan itu jika dilihat menerusi mikroskop bukannya pasir atau debu sebaliknya bakteria yang terhasil akibat letupan komet yang memasuki Bumi. Lagipun tempoh dua bulan fenomena itu terlalu lama untuk dikaitkan dengan pasir gurun itu. Menurut Louis, hasil temu bual dengan beberapa orang saksi mendapati mereka terdengar bunyi letupan yang kuat hingga mengegarkan rumah mereka sejurus sebelum hujan turun.

Hujah itu dipersetujui pakar fizik Milton Wainright daripada Universiti Sheffiled di Britain. Beliau berpendapat, terdapat kemungkinan kumpulan kelawar yang sedang berterbangan di udara mati akibat meteor yang meletup. Malah, ada hubungan yang kuat antara laporan hujan berwarna dengan aktiviti meteor. Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal dan dipersenda ramai pihak kerana tiada sayap dan anggota badan kelawar mati yang dijumpai di Kerala. Mungkin pendapat saintis Patrick McCafferty dari Universiti Queen, Ireland lebih munasabah. Beliau mengatakan terdapat 80 kes hujan berwarna di seluruh dunia. Terdapat 20 laporan air hujan bertukar menjadi darah serta 68 contoh fenomena yang sama seperti hujan berwarna hitam dan putih. Baginya, sebahagian kecil daripada sampel berkenaan sahaja mempunyai kaitan dengan komet yang meletup sambil membawa sel hidup dari angkasa lepas. Tuturnya, laporan itu menyebut ada kaitan antara hujan berwarna dengan aktiviti meteor seperti kes di Kerala.

Hujan berwarna merah

Misteri hujan darah di selatan India itu masih belum terungkai. Bagi pakar fizik Fred Hoyle dan Dr. Chandra Wickramasinghe, teori usang yang disebut Panspermia mengatakan bahawa kehidupan di bumi berasal dari angkasa lepas mungkin menjadi jawapannya. Mereka berpendapat terdapat gas yang merupakan antara kandungan bintang dan mengandungi bakteria, turun ke Bumi bersama hujan. Ujarnya,  ketika gas itu membentuk sistem bintang, bakteria yang ada di dalamnya tetap bertahan sebelum memasuki komet. Komet itu kemudian mengenai sinaran matahar. Panas matahari mencairkan permukaan komet sebelum memasuki planet lain termasuk Bumi dan membawa bersama bakteria itu.

Pengkaji makhluk asing tempatan, Ahmad Jamaludin berpendapat, hujan darah itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan objek terbang tidak dikenali (UFO) ataupun entiti asing yang mendiami angkasa lepas. Menurutnya,  Kejadian ini pernah berlaku iaitu hujan lembu di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1876 serta hujan ikan dan katak di Jepun pada Jun 2009. Beliau berpendapat bahawa mungkin entiti hidup sebenarnya berasal dari alam lain yang hidup di bumi tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Kosmo Online

ISU UMUM : PELAJAR UNIVERSITI JUAL BENIH



Idea bank sperma pernah menimbulkan polemik di Malaysia pada lebih lima tahun lalu sedangkan bank seperti itu telah lama beroperasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Bank itu popular dalam kalangan wanita bujang atau pasangan yang gagal mendapatkan zuriat sendiri. Mereka boleh membeli sperma seperti membeli baju dengan memilih jenis air mani berasaskan etnik, bentuk fizikal, latar belakang pendidikan dan kesihatan penderma. Hakikatnya isu itu belum ada kesudahannya. Tiada undang-undang yang digubal khusus untuk menangani masalah itu. Bukan setakat menjual sperma, ovum wanita juga popular di seluruh dunia. Ia melibatkan urus niaga yang mencecah berbilion dolar setahun. Baka manusia itu boleh dibeli dengan mudah sehingga mencecah harga RM100,000 sebotol, bergantung pada siapa si pendermanya. Golongan penderma wanita yang menjadi sasaran firma kesuburan pula ialah pelajar universiti khususnya wanita berketurunan Asia.  Puncanya, golongan itu mudah dipujuk atas desakan wang, kos pengajian yang tinggi di samping keinginan untuk hidup mewah.

Seorang wanita yang mengaku menjual ovumnya, Kline, berkata jual beli itu ibarat satu pelaburan yang menguntungkan. Dia yang berketurunan Cina-Vietnam mendakwa telah tiga kali terlibat dalam proses itu dengan memberikan ovumnya kepada sebuah agensi pembekal ovum di California, AS. Kline memperoleh bayaran hampir RM100,000 untuk semua urus niaga itu. Menurutnya banyak keluarga yang sukakan ovum wanita Asia. Natasha, seorang imigran Rusia yang bekerja di sebuah klinik di Cyprus juga terlibat dengan kegiatan menjual ovum. Katanya, dia berhijrah ke Cyprus setelah berkenalan dengan teman lelakinya melalui internet. Malangnya, pengorbanannya itu tidak berbalas. Mereka akhirnya berpisah. Natasha hidup seperti pelarian di Cyprus. Dia tiada visa dan tempat tinggal, malah tiada pekerjaan. Menurutnya, mujurlah dirinya cantik dan sihat menyebabkan ovumnya bernilai.

Carmen Pislaru, seorang wanita dari Romania yang bekerja di Cyprus pula mendakwa kesempitan hidup selepas melahirkan anak keempat sebagai punca dia terjebak. "Doktor bertanya adakah saya ingin menjual ovum. Dia seakan-akan mengetahui saya tertekan gara-gara tidak mampu membayar kos perubatan. Seminggu selepas memikirkannya, saya menerima tawaran itu dengan bayaran RM8,000," ceritanya yang tidak menyesali tindakannya itu. Satu kes unik di Sepanyol pula melibatkan seorang imigran dari Chile, Nicole Rodriguez yang menyambung pengajian di negara itu. "Saya baru memasuki sebuah kolej di Sepanyol. Peraturan di negara itu tidak membenarkan saya bekerja sambilan, jadi menjual ovum ialah cara mudah untuk mendapatkan wang," tutur Rodriguez. Ceritanya, musim sejuk membantunya kerana kulitnya yang berwarna hitam menjadi agak putih. "Selepas menjalani proses yang memenatkan itu, di tepi bantal saya terdapat sampul surat yang agak tebal berisi wang. Saya seperti seorang pelacur yang mendapatkan ganjaran dengan menjual tubuh," katanya. Bayaran RM6,000 itu lebih daripada mencukupi untuk Rodriguez menanggung kos sara hidup selama tiga bulan di Sepanyol.

Derma ovum

Sejak berdekad lamanya permintaan global terhadap ovum manusia berkembang pesat sehingga tidak mampu dikawal lagi dengan lebih 250,000 bayi telah dilahirkan melalui cara itu. Keinginan wanita bujang, wanita tua yang sudah menopaus dan pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak merancakkan lagi perniagaan pelik ini. Wanita dari negara miskin juga akan menjual telur mereka kepada doktor tempatan yang kemudian menjualnya dengan harga yang mahal kepada keluarga kaya di Barat. Cyprus yang merupakan negara Kesatuan Eropah membenarkan aktiviti itu dengan alasan ia lebih berbentuk derma yang akan diberi pampasan berupa wang. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Kesihatan negara itu, Carolina Stylianou. Kerajaan Cyprus menganggarkan nisbah 1:50 wanita di negara kepulauan itu yang berumur 18 hingga 30 tahun terlibat dengan aktiviti menjual ovum.

Seorang pakar biologi dari Universiti Northwestern, Chicago, AS, Laurie Zoloth berpendapat, fenomena menjual ovum adalah sisi buruk sistem kapitalis yang sanggup memperdagangkan apa sahaja yang bersumber daripada manusia. Seorang peguam, Andrew Vorzimer menyifatkan urus niaga itu menunjukkan 'kejahatan budaya Barat'. "Saya pernah melihat kontrak penderma ovum yang memperoleh bayaran sebanyak RM600,000," katanya. Sebuah firma kesuburan di Britain baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana menawarkan bayaran RM3,000 kepada pelajar Universiti Cambridge yang sanggup menderma ovum mereka. Secara umum, penderma perlu mengambil dadah untuk merangsang pengeluaran telur. Sasaran mereka ialah pelajar berumur 18 hingga 35 tahun selain memiliki sifat baik hati, jujur dan sihat tubuh.

Pengarah Perubatan Klinik Kesuburan Create London, Geeta Nargund, berkata idea itu mengundang risiko yang tinggi. Bagi Josephine Quintavalle daripada kumpulan kempen Comment on Reproductive Ethics, retorik menderma ovum untuk mendapatkan pampasan merupakan helah pihak tertentu bagi menjana keuntungan mudah. "Pelajar universiti sering menjadi sasaran kerana mereka lebih bijak. Malangnya, tiada kajian lanjut dilakukan berkaitan risiko individu yang mengambil dadah untuk proses itu serta kesan terhadap anak yang dilahirkan," ujarnya.

Soal etika

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman memberitahu, dahulu negara ini pernah dikejutkan dengan polemik pengenalan bank sperma. "Mungkin ada syarikat tertentu dan hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan sebegini termasuk menjual ovum wanita dan sperma lelaki. Saya yakin ia berlaku di negara ini walaupun saya tidak pernah menerima sebarang aduan," katanya. Ujarnya, ini mungkin disebabkan tiada pasangan atau individu yang mahu melaporkan perkara itu kerana malu. "Masyarakat negara kita terkenal dengan adat ketimuran. Ia kes terpencil selain mereka mendapatkan rawatan itu di luar negara. Bagi mereka yang beragama Islam, perkara ini dilarang sama sekali dalam agama," katanya.

Menurut bekas Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, jualan sperma dan ovum hanya menggalakkan pasangan gay dan lesbian untuk memperoleh anak. "Ini boleh menimbulkan masalah sosial yang serius apabila ramai lelaki dan wanita menganggap institusi perkahwinan tidak lagi penting," ujarnya. Tutur Abdul Latiff, membeli ovum yang dijual tidak menjamin pembelinya mendapat anak yang bijak dan sihat. "Walaupun baka terdiri daripada individu terpelajar, faktor persekitaran dan pembelajaranlah yang akhirnya merangsang perkembangan pemikiran anak. Malah, individu yang menderma juga tidak dikenali. Sekiranya berlaku ketirisan atau kecuaian, anak yang lahir mungkin mengalami penyakit yang serius," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Kosmo Online


27 Mei 2012

ISU SOSIAL : BUDAYA TRENDY RAKYAT MALAYSIA


Coretan Marhaen


Baru-baru ini penulis diperkenalkan dengan aplikasi Whatsapp. Seperti Facebook dan BlackBerry Messenger (BBM), ia percuma. Namun awal-awal lagi mungkin bagi mengelakkan kontroversi seperti yang dialami Facebook ketika ada ura-ura rangkaian sosial ini hendak mengenakan bayaran, sebelum memuat turun aplikasi ini sudah ada peringatan bahawa selepas tempoh setahun, pengguna Whatsapp akan diikenakan caj AS$0.99. Di saat-saat keghairahan pengguna terhadap Facebook semakin memudar, tidak seperti ketika ia baru-baru diperkenalkan, kehadiran Whatsapp membangkitkan semula keterujaan kepada peminat rangkaian sosial. Seperkara yang menarik, jika pengguna Facebook perlu mencari rakan, mempelawa menjadi rakan dan menunggu diterima menjadi rakan, pengguna Whatsapp tidak perlu melalui semua proses itu. Sebaik sahaja memuat turun aplikasi Whatsapp, anda akan disenaraikan sebagai penggunanya.

Kelebihan

Dan secara automatik juga anda dapat mengetahui sama ada kenalan dalam telefon anda juga pengguna Whatsapp. Kelebihan ini juga membezakannya daripada pengguna BlackBerry (BB) yang seperti Facebook perlu mempelawa kenalan anda menjadi rakan BBM. Itupun kalau anda mengetahui nombor pin BBM mereka. Atas kelebihan inilah mungkin ramai yang kini menggunakan Whatsapp. Yang pastinya, ia tidak terhad kepada satu jenama telefon bimbit. Tidak seperti BBM yang eksklusif untuk pengguna BB. Pendekata, pengguna BB pun boleh menggunakan aplikasi ini. Namun biasalah aplikasi baru, gajet pun kenalah baru dan terkini. Akhir-akhir ini bagaikan satu trend, sebagaimana juga gelombang K-pop yang melanda, rata-rata peminat gajet telekomunikasi cukup gemar menggunakan telefon bimbit bersaiz besar - tidak lagi saiz genggaman tangan -paling popular Samsung Galaxy Tab atau Note. Saiznya yang besar sehingga melebihi lebar tapak tangan, tidak lagi dianggap satu kekurangan sebaliknya sesuatu yang trendy. Memegang Tab atau Note sambil berhubungan dengan contact Whatsapp seolah-olah memberikan imej individu yang berjaya dan bergaya.

Kebimbangan

Namun kerana saiznya yang lebih besar daripada telefon genggam, ia nampak janggal jika disimpan dalam poket depan kemeja lelaki malah tidak selesa diletakkan dalam poket seluar. Bagi pengguna perempuan memang tidak ada masalah sebab dengan senang-senang sahaja boleh dimasukkan ke dalam beg tangan. Bagaimana pula dengan pengguna lelaki? Takkan mereka pun kena ada beg tangan? Namun itu hanyalah `kebimbangan' penulis. Bercakap soal trend, rupa-rupanya akhir-akhir ini lelaki pun tanpa rasa janggal memakai beg tangan. Mungkin agar senang menyimpan gajet yang bukan lagi sebesar genggaman seperti iPad, Tab dan Note. Jika suatu masa dulu, melihat lelaki muda memaka sling bag atau beg sandang pun boleh membuatkan orang cepat melontarkan gelaran terhadap mereka, sekarang rata-rata golongan eksekutif muda menyandangnya.

Tiada lagi mata yang memandang serong. Masyarakat Malaysia sebenarnya amat bertimbangrasa. Mereka cukup cepat dan mudah menyerap sesuatu amalan baru menjadi budaya. Mungkin sifat majmuk yang ada pada rakyat negara ini, menjadikan kita mudah bertolak-ansur, tidak rigid malah kadang-kala sambil lewa. Facebook, BBM, Whatsapp, gajet dan beg sandang mungkin bukan ukuran atau perbandingan tepat untuk menggambarkan sifat trendy masyarakat. Malaysia, apatah lagi ia contoh-contoh kecil yang tidak banyak atau mungkin tidak ada kesan negatifnya. Apa yang diharapkan, sifat trendy dan mudah menyerap perkara baru itu tidak melangkaui budaya kuning yang boleh mencalar jati diri kita rakyat Malaysia yang berbudaya timur dan hidup berpaksikan agama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
27 Mei 2012

ISU AIR : KRISIS AIR : REALITI ATAU RETORIK?


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Rozali Ismail
Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad
Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).


Penduduk di Lembah Klang terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung kepada 33 loji rawatan yang beroperasi untuk membekalkan air di ketiga-tiga kawasan ini. Dalam konteks ini, peranan yang perlu dimainkan oleh pengendali loji rawatan air seperti Puncak Niaga, Splash dan Konsortium Abass menjadi semakin mencabar bagi memastikan pengeluaran loji-loji mereka mencukupi untuk membekalkan air kepada 7 juta pengguna. Kebanyakan loji rawatan air utama yang beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya. Misalnya loji rawatan air Sungai Langat yang reka bentuk kapasitinya adalah 386 juta liter sehari (JLH) beroperasi 447.42 JLH iaitu melebihi 15.9 peratus (%) daripada keupayaan sebenarnya. Demikian juga dengan loji rawatan air Sungai Semenyih yang kapasiti reka bentuknya 546 JLH telah beroperasi pada tahap 665.92 JLH iaitu melebihi 22%.

Semua ini berikutan pertambahan permintaan air yang meningkat pada kadar 3.5% setiap tahun. Jika keadaan ini berterusan tanpa penaiktarafan atau penyelenggaraan yang rapi, dikhuatiri loji-loji ini akan mengalami tekanan akibat beban pengeluaran dan boleh menyebabkan ia rosak pada peringkat-peringkat tertentu dan seterusnya mengakibatkan bekalan air terputus. Pertambahan jumlah penduduk, pembangunan kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian baru dan sebagainya banyak menyumbang ke arah itu. Situasi ini jelas menunjukkan jumlah bekalan air bersih yang semakin banyak diperlukan untuk menampung keperluan yang meningkat ini. Dalam hal ini, syarikat yang bertanggungjawab untuk mengagihkan bekalan air kepada pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu Syabas sudah pasti berhadapan tekanan yang bukan sedikit untuk mencapai tahap perkhidmatannya yang terbaik kepada pengguna disebabkan kekangan tersebut.

Hari ini, jumlah permintaan air terawat adalah sebanyak 4,219 JLH atau hampir sama dengan jumlah yang mampu dibekalkan, iaitu 4,326 JLH. Ini menjadikan kapasiti rezab hanya pada kadar 2.47%. Dengan pembangunan yang telah dijangkakan, kemungkinan berlaku masalah kekurangan bekalan air pada 2014 tidak dapat dinafikan. Senario ini membawa kepada keadaan di mana sesetengah kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami kekurangan bekalan air bersih terutamanya apabila berlaku sebarang gangguan kepada bekalan ataupun semasa penggunaan puncak. Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan water stress terutama yang terletak di lokasi berpenduduk padat. Walaupun bekalan air disalurkan ke kawasan ini dengan kapasiti sedia ada sepenuhnya, tetapi keseluruhannya digunakan bagi memenuhi permintaan harian.

Walaupun kebanyakan loji rawatan beroperasi melepasi kapasiti reka bentuknya, tetapi masih ada loji rawatan yang beroperasi di bawah kapasiti sebenar. Sebagai contoh, loji rawatan air Sungai Rasa yang berkapasiti 250 JLH hanya beroperasi ditahap pengeluaran 138.71 JLH sahaja. Walaupun pengeluaran loji ini boleh dipertingkatkan namun loji rawatan ini tidak dapat membantu membekalkan air ke kawasan water stress disebabkan tiada jajaran paip untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan tersebut. Ironinya, loji rawatan air Sungai Rasa ini terletak di utara Selangor sementelahan kebanyakan kawasan water stress terletak di kawasan Lembah Klang dan selatan Selangor. Justeru sistem rangkaian agihan paip perlu dinaik taraf. Pun begitu kelulusan pihak berkuasa perlu ada untuk kerja kerja ini dilakukan oleh pembekal air, terutama sekali apabila Perbelanjaan Modal (CAPEX) masih dibekukan sehingga kini.

Kesan kepada pembangunan

Kita sedia maklum bahawa negara sedang menjalani proses transformasi di mana usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan Malaysia mengalami arus pembangunan mapan dan terancang. Namun usaha-usaha ke arah pembangunan secara fizikal, termasuk penarikan pelaburan asing hingga ke arah memastikan tahap kehidupan yang berkualiti tidak akan terkesan jika kemudahan sepenting air tidak boleh disediakan. Berdasarkan tiga faktor utama yang dinyatakan, kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa krisis bekalan air boleh berlaku malah kesannya telah dirasai di Lembah Klang. Awal tahun ini satu gelombang krisis air peringkat pertama melibatkan empat daerah telah berlaku melibatkan Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan sebahagian Petaling sehingga beberapa hari akibat penyusutan kolam-kolam perkhidmatan dalam tempuh yang singkat akibat kadar penggunaan tinggi.

Dalam situasi tersebut walaupun loji-loji rawatan telah meningkatkan pengeluaran ke tahap maksimum, namun peningkatan paras kolam amat perlahan. Situasi ini telah memberikan kesan secara langsung terhadap projek projek pembangunan baru. Akibat senario tersebut, dalam tempoh 1 Januari 2012 hingga 12 Mac 2012, sejumlah 75 projek pembangunan tidak dapat diluluskan oleh Syabas berikutan bekalan air yang tidak cukup untuk menampung keperluan permintaan sedia ada. Pada masa ini kawasan-kawasan seperti di Kuala Lumpur, Petaling dan Klang sering menghadapi masalah kekurangan air atau tekanan rendah kerana kawasan-kawasan ini dibanjiri industri dan mempunyai kepadatan penduduk yang ramai.

Bayangkan sekiranya situasi ini berterusan sudah pasti segala perancangan pembangunan akan terencat dan memberi implikasi bukan sedikit kepada sosioekonomi di negara ini. Apatah lagi Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan hab ekonomi negara ini. Apa yang dikhuatiri pengguna yang terpaksa berdepan dengan masalah ini sekiranya tiada tindakan proaktif diambil. Bila situasi ini terjadi, apakah negara ini masih gah sebagai destinasi pelaburan terulung? Apakah kualiti hidup yang diuar-uarkan masih relevan dan realiti? Apakah Malaysia yang mempunyai pelbagai pencapaian di pentas dunia masih tergapai-gapai mengendalikan isu keperluan asas? Selepas gelombang pertama krisis dirasai pada awal tahun ini, gelombang kedua krisis bekalan air di kawasan-kawasan yang tersenarai telahpun berlaku dan ini boleh lebih memudaratkan jika projek projek pembangunan di kawasan-kawasan tersebut diteruskan. Maka tindakan tidak meluluskan pembangunan di kawasan-kawasan tersebut merupakan satu tindakan perlu untuk memastikan bekalan air yang berterusan.

Langkah penyelesaian

Mengatasi situasi seperti ini memerlukan komitmen semua pihak dan masing-masing perlu memainkan peranan dengan berkesan. Ia berbalik kepada pengurusan bekalan air secara pendekatan holistik. Sumber air perlu dikawal daripada pencemaran selain memastikan ia mencukupi tanpa bergantung semata-mata kepada faktor cuaca. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak di bahu pihak kerajaan mahupun agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli, Lembaga Urus Air Selangor, pengendali loji dan Syabas semata-mata. Lebih daripada itu ialah sikap orang ramai yang perlu menjaga sungai daripada pencemaran. Ini penting untuk menjamin kelangsungannya.

Selain itu peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat perlu dilakukan dengan menaik taraf segala infrastruktur pembekalan air termasuk loji loji rawatan dan sistem agihan iaitu jajaran paip dan connectivity. Penambahan loji rawatan adalah antara usaha berkesan yang perlu disegerakan termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Langat Dua yang masih tertangguh pembinaannya. Semua usaha usaha ini melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan kelulusan pihak berkuasa sama ada Kerajaan Pusat mahupun negeri. Dalam konteks ini, penyelesaian segera isu isu yang masih tertangguh termasuk penstrukturan semula industri air di Selangor wajar diberi perhatian serius. Sehingga persefahaman dan persetujuan di antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kerajaan pusat dicapai dan dimuktamadkan, situasi pembekalan air di negeri Selangor, Kuala lumpur dan Putrajaya dikhuatiri akan terus terbelenggu.

Justeru, sempena dengan hari air sedunia yang disambut diseluruh dunia baru-baru ini, kita berharap satu titik pertemuan yang positif dapat capai antara kedua-dua pihak bagi memastikan masalah yang membelenggu industri bekalan air ini dapat dirungkai. Apa yang penting, teras paling utama terhadap usaha ini perlu difokuskan kepada hak manusia terhadap air bersih dan kesinambungan kehidupan berkualiti. Sebagaimana air dilihat sebagai penyambung kehidupan, begitulah juga usaha untuk mengekalkannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
25 Mei 2012

26 Mei 2012

ISU KENEGARAAN : RAKYAT, NEGARA, DAN KELANGSUNGANNYA


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK RUHANIE AHMAD
Mantan Ahli Parlimen Parit Sulong


Menurut kajian keselamatan, rakyat, tanah air dan pemerintah adalah jasad fizikal negara. Tanpa rakyat, wilayah dan pemerintah, sebuah negara hanya wujud sebagai satu gagasan. Ambil contoh Iraq sebelum ditakluki Amerika Syarikat (AS) atas alasan menghapuskan Saddam Hussein dan senjata pemusnahnya. Berdasarkan konsep gagasan negara, Iraq sebelum perang dengan Iraq sesudah ditakluki AS tetap bernama Iraq. Namun kerana rakyat, wilayah dan pemerintahnya adalah jasad lahiriah kepada Iraq, ini bermakna yang ditakluki AS secara fizikal adalah bumi Iraq, yang dibinasakan adalah pemerintah Iraq, yang dibunuh adalah rakyat Iraq. Hari ini, AS sudah belanja ribuan juta dolar, setiap padang bola sudah digali, setiap masjid sudah diselongkar, namun senjata pemusnah tidak ditemui, Saddam Hussein dibunuh di tali gantung.

Apa terjadi di Iraq adalah angkara tali barut asing di negara tersebut yang memperjudikan keselamatan negaranya untuk lakukan regime change (guling kerajaan). Akhirnya, Iraq dilanda perang saudara sejak Mac 2003 hingga sekarang. Demikian kaitan keselamatan nasional dengan negara. Dalam konteks Malaysia, rakyat Malaysia, muka bumi Malaysia dan pemerintah Malaysia adalah jasad fizikal Malaysia. Apa jua keganasan, kehuru-haraan dan kebinasaan yang terjadi, Malaysia tetap Malaysia. Jasad lahiriah negara yang rosak binasa adalah pemerintah, rakyat dan bumi Malaysia. Ketiga-tiganya adalah elemen yang menzahirkan negara bernama Malaysia. Elemen batiniah Malaysia yang jadi mangsa adalah nilai-nilai terasnya, iaitu ketenteraman, keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kemakmuran, perpaduan dan ketahanan yang dilandasi Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Konsep 1Malaysia.

Ini sebabnya bila pakatan pembangkang mengaktifkan pertukaran kerajaan atau regime change, kerana orang besarnya gairah merampas takhta di Putrajaya, perbuatan ini ditujukan kepada rakyat, muka bumi, pemerintah serta nilai-nilai teras Malaysia. Namun kerana regime change ini dilandasi budaya ganas, lazimnya didalangi anasir luaran, keganasan ini juga disasarkan kepada rakyat, muka bumi, pemerintah serta nilai-nilai teras Malaysia. Kelompok tali barut ini disyaki menerima dana asing melalui organisasi topeng, khususnya pengangkara Bersih. Niatnya bukan perjuangkan demokrasi. Tujuan tersiratnya mahu cetuskan anarki. Topeng-topeng ini menyasarkan matlamatnya kepada rakyat, muka bumi dan pemerintah Malaysia supaya boleh dipajakkan secara politik kepada pihak pemberi dana.

Topeng-topeng ini jahil tentang keselamatan nasional. Jika tanpa hujung pangkal yang sah, nyata dan demokratik, rakyat diadu-dombakan, wilayah dihuru-harakan dan pemerintah dikucar-kacirkan, perbuatan ini adalah tindakan menggugat negara. Bila rakyat pecah-belah, muka bumi huru-hara dan pemerintah kucar-kacir, inilah saatnya kuasa asing, khususnya negara besar yang mahu kuasai geostrategik Malaysia, campur tangan dalam urusan negara kita. Ini sebabnya Al-Mashat (1985), Azar & Moon (1988), McLaurin (1988), Buzan (1988), Ayoob (1995), Sity Daud & Zarina Othman (2005), dan Kamarulnizam Abdullah (2010) merumuskan, negara majmuk dan negara membangun, termasuk Malaysia, perlu titik beratkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi, kedaulatan dan survivalnya.

Menurut Al-Mashat, kesejahteraan wujud bila rakyat berjaya menangkis kebinasaan sosio-ekonomi. Menurut Buzan, negara membangun dan majmuk mesti titikberatkan pemerintah yang kukuh supaya berupaya menangkis dominasi asing. McLaurin berkata, keruntuhan ekonomi boleh cetuskan keganasan rakyat dan kehuru-haraan negara. Azar & Moon menegaskan, huru-hara di negara majmuk mendorong gerakan pemisah dan mungkin wilayah baru seperti Yugoslavia yang terbelah kepada Bosnia, Serbia dan Croatia di awal tahun 1990-an. Dalam konteks ini, jangan kita lupa, Malaysia menyingkirkan Singapura pada tahun 1965 sebab ketika itu ada pihak berusaha mencetuskan konflik dan anarki. Rujuk Ghazali (1990), Lau (2001) dan Keith (2005).

Ayoob menghuraikan, selamat atau tidaknya sesebuah negara bergantung pada tahap keterdedahan rakyatnya kepada ancaman dalaman dan luaran yang membinasa dan meruntuhkan seluruhnya. Sity & Zarina (2005) merumuskan, pengukuhan ekonomi dan memperbaiki keadaan sosial menjadi mekanisme keselamatan. Kepincangannya jadi punca ketidakamanan dan mengancam keselamatan negara. Kamarulnizam (2010) pula menyimpulkan, keselamatan nasional Malaysia menitikberatkan faktor struktural dan sosial untuk memelihara survival rakyat majmuk dan kedaulatan negara yang mempunyai kekuatan geostrategik di Asia Tenggara.

Iktibarnya, setiap perilaku melibatkan keselamatan. Umat Islam beratkan keselamatan dunia akhirat. Bukan Islam dan golongan susah, pilih keselamatan ekonomi. Rakyat majmuk utamakan keselamatan identiti. Pemerintah perlukan keselamatan nasional. Seluruh corak keselamatan ini saling berkait. Rosak satu, binasa semua. Jangan perjudikan dan kompromi keselamatan negara. Memelihara keselamatan bukan hanya tugas pemerintah, polis dan tentera. Ia tanggungjawab semua, termasuk pemimpin dan ahli pembangkang serta organisasi topengnya. Kesimpulannya, orang besar pembangkang dan topeng-topengnya, jangan perjudikan keselamatan Malaysia, kedaulatan dan kelangsungannya. Akhir sekali, usah diamalkan budaya politik asing dan ganas di Malaysia. Sebaik-baik siasah adalah yang serasi dengan lasnskap budaya Malaysia, demi rakyat, demi tanah air tercinta!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
26 Mei 2012

24 Mei 2012

ISU PERTANIAN : MELONJAK INDUSTRI BUAH-BUAHAN TEMPATAN


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan,
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe),
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia


Ketika negara-negara Afrika dilanda kemarau dan tanaman tidak menjadi seperti jagung, kita bertuah kerana mendiami muka bumi yang mana tumbuh-tumbuhan tumbuh dengan begitu baik. Inginkan sayur-sayuran yang segar, pergilah ke Cameron Highland, Pahang dan Kundasang, Sabah. Inginkan suasana kehijauan dengan sawah padi terbentang luas, lawatilah Kedah, negeri Jelapang Padi. Inginkan musim buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan, melanconglah ke Perak dan Pahang. Bagi peminat buah nangka pula, Negeri Sembilan tempatnya. Mahu menikmati kelazatan buah mempelam terbaik di Malaysia, jom pergi ke Perlis. Di situ, terdapat sejenis buah mempelam yang dinamakan Harumanis. Musimnya bermula April hingga awal Jun. Sebagai penggemar buah-buahan tempatan, penulis tidak pernah melepaskan peluang menikmati buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan dan sudah tentu tidak terkecuali buah mempelam Harumanis.

Ketika ini, mudah untuk membeli buah durian dan manggis di Kedah. Tetapi buah-buahan ini bukannya buah-buahan tempatan. Buah durian dan manggis diimport dari Thailand. Cukup banyak. Buah-buahnya pula cukup elok. Harga di Thailand juga amat murah. Ambil contoh buah durian jenis Telur Buaya, harganya serendah RM2 sekilogram di Thailand, tetapi apabila dibawa masuk ke Kedah seperti Changlun dan Jitra, harganya boleh mencecah RM10 sekilogram. Begitu juga buah manggis, harganya cukup murah di Thailand dan apabila dibawa masuk ke Malaysia harganya berlipat kali ganda. Walaupun mahal, buah-buahan ini tetap terjual dan laris di Malaysia. Betapa lakunya buah-buahan yang diimport dari Thailand. Faktor utamanya tidak lain tidak bukan kerana kualiti buah-buahan tersebut terutamanya dari segi kelazatan. Di Thailand juga, pelbagai jenis mempelam dieksport ke Malaysia. Antaranya buah mempelam yang terkenal iaitu jenis Tong Dam. Ada yang menggelarnya sebagai "adik" Harumanis, namun sememangnya mempelam Tong Dam tidak mampu menandingi mempelam Harumanis.

Mempelam Harumanis berada dalam kelasnya yang tersendiri. Maka, tidak menghairankan ia ditempah oleh pelbagai pihak terutamanya golongan atasan. Saban tahun, permintaan ke atas buah mempelam Harumanis semakin meningkat. Sebelum ia popular di seluruh negara, harganya sekadar RM5 sekilogram enam tahun lalu, namun harganya telah berlipat kali ganda melebih RM10 sejak dua tahun yang lalu. Buah mempelam Harumanis sedap dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan pulut. Buah mempelam Harumanis juga dieksport ke luar negara. Musim ini, seperti biasa, penulis cuba mendapatkan buah mempelam Harumanis. Namun, amat mengejutkan harganya mencecah sehingga RM18 sekilogram kalau dibeli di luar daripada Jabatan Pertanian. Meskipun harganya ditetapkan pada paras lebih rendah tetapi dek kerana permintaaan yang tinggi, harganya dijual begitu mahal. Bayangkan berbanding harga enam tahun lepas, kini harganya meningkat lebih tiga kali ganda.

Tahun ini juga, buah Harumanis tidak begitu menjadi, dikatakan hanya separuh berbanding tahun lepas. Tambahan pula ia telah ditempah dari awal lagi oleh pembeli-pembeli luar utara terutamanya dari Kuala Lumpur. Untuk mendapatkan harga semurah RM13 sekilogram, ia perlu ditempah awal. Itu pun tidak boleh membeli dengan jumlah yang banyak. Penulis teringat kata-kata peniaga buah mempelam Harumanis, beliau dengan berseloroh mengatakan sebelum ini, kita pernah mendengar catuan air, tetapi kali ini, Harumanis juga dicatu. Inilah penangannya apabila permintaan terlalu tinggi. Adakah pada tahun hadapan, harganya mencecah melebih RM20? Jika tidak kena gayanya, tidak mustahil ia boleh berlaku. Akhirnya buah ini akan digelar sebagai buah mempelam untuk orang kaya sahaja. Bagi yang kurang mampu, mereka akan berfikir panjang untuk membelinya.

Bagi penulis, faktor utama perlu ditangani ialah risiko buah ini tidak menjadi. Jika tahun depan, buah mempelam Harumanis masih tidak menjadi dan semakin berkurangan, ditambah lagi dieksport ke luar negara, harganya akan meningkat lagi. Pihak berkaitan perlu memikirkan bagaimana untuk meningkatkan jumlah pengeluarannya agar rakyat tempatan dapat menikmatinya. Kita perlu banyak belajar teknik-teknik pertanian yang digunapakai oleh petani Thailand. Teknologi terkini jangan dikesampingkan. Thailand mampu mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan secara komersial sehingga dieksport ke Malaysia. Kualitinya pula tidak sama sekali dikompromi. Mereka menanam secara komersial. Bukan setakat buah-buahan, ambil contoh juga bagaimana pihak Thailand mampu mengeluarkan padi secara besar-besaran sehinggakan kita menjadi salah satu negara pengimport terbesar beras Thailand.

Tetapi akhirnya, apabila banjir melanda Thailand tahun lalu, kita pula terpaksa mencari negara lain untuk mengimport beras bagi menampung keperluan rakyat Malaysia. Bukankah negara kita masih mempunyai tanah yang luas yang mana jika diusahakan secara komersial untuk pertanian, serba sedikit boleh mengurangkan kebergantungan ke atas negara-negara lain? Dalam kita mengejar pembangunan, jangan dilupakan industri pertanian. Melalui ini sahajalah, harga makanan dapat dikawal dengan baik kerana tidak tertakluk pada harga pasaran dunia dan seterusnya menjadi menampan utama sebarang krisis makanan dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mei 2012

ISU BELIA : MENJADIKAN BELIA GOLONGAN TAHAN UJI


Rencana ini ditulis oleh : 
M JASNI MAJED


Jumlah belia di negara kita bukanlah sedikit. Mengikut statistik, golongan yang berusia antara 15 hingga 40 tahun seramai 11.9 juta iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Tidak dinafikan bahawa dalam sebuah negara yang sedang membangun seperti negara kita, pelbagai cabaran hebat mengitari golongan belia. Pelbagai gejala negatif kebanyakannya membabitkan golongan belia. Golongan belia menghadapi pelbagai masalah terutamanya isu dadah dan gejala sosial lain. Dalam kes dadah, statistik menunjukkan bahawa setiap tahun berlaku peningkatan bagi kes ini yang membabitkan belia. Amat malang bagi golongan ini kerana merekalah yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

Golongan belia juga terbabit dengan pelbagai isu yang membimbangkan masyarakat dan pihak berkuasa. Contoh paling jelas adalah gejala mat rempit, gengsterisme, vandalisme dan lain-lain lagi. Di samping itu, masalah-masalah sosial lain seperti pergaulan bebas, buang bayi dan anak luar nikah turut membabitkan golongan belia. Malah, golongan belia jugalah yang rata-rata terbabit dengan demonstrasi jalanan di ibu negara yang menjadi topik hangat media massa sejak hujung April sampai kini. Untuk menangani masalah golongan belia, pelbagai pihak mesti memainkan peranan demi memastikan golongan belia terbela dan tidak mendatangkan masalah kepada negara.

Paling penting adalah institusi pendidikan mampu menyemai nilai-nilai murni yang sedikit sebanyak mampu mengekang gejala tidak sihat dalam kalangan murid sebagai bekalan apabila mereka melangkah keluar dari alam persekolahan. Golongan belia yang tahan diuji adalah golongan yang tidak mudah terpengaruh dengan segala anasir negatif yang boleh menjejaskan maruah mereka, masa depan mereka dan cita-cita murni mereka. Mereka mestilah mematuhi norma-norma hidup yang murni sesuai dengan hasrat kerajaan mahu melahirkan golongan belia yang mampu membawa negara ke arah kecemerlangan kelak. Oleh itu, golongan belia mestilah mencari jalan agar mampu mengubah landskap negara menjadi sebuah negara yang lebih maju.

Golongan ini mesti mementingkan ilmu, meningkatkan produktiviti negara dan menghormati setiap undang-undang yang telah ditetapkan demi kedaulatan sebuah negara. Golongan belia yang memandang enteng kepada setiap peraturan dan tidak memperlihatkan sahsiah yang baik akan menjerumuskan negara ke arah kemunduran. Mereka mestilah mendukung Rukun Negara, menghormati pemimpin, taat akan perintah agama dan paling penting adalah Sambutan Hari Belia yang diisi dengan aktiviti-aktiviti positif harus menjadi wadah memperjuangkan cita-cita memajukan diri dan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 13 RESOLUSI UNTUK MANTAPKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh:
NIZAM YATIM


Sidang Meja Bulat Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu telah meluluskan 13 resolusi. Ia diluluskan secara sebulat suara oleh para hadirin yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan cendekiawan Melayu. Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya. Berikut adalah inti pati resolusi-resolusi yang diluluskan pada persidangan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkenaan.

RESOLUSI 1

Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antaranya menggariskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan digunakan di peringkat kebangsaan. Istilah bahasa Melayu mesti dikembalikan dan dinobatkan penggunaannya dengan rasmi menggantikan perkataan bahasa Malaysia. Pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah, menengah, prauniversiti dan peringkat tertiari hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantarnya. Mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikehendaki mengambil bahasa Melayu sebagai subjek wajib lulus dan tuntutan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris tidak wajar dilayan.

RESOLUSI 2

Perlu dipelihara dan dikekalkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dalam bidang pendidikan tanpa tolak ansur oleh kepentingan mana-mana pihak dan tekanan politik. Sehubungan itu, kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjut pelajaran melalui Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) wajar dikembalikan kepada nisbah asal 90 peratus Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera seperti sebelum 2008. Dasar meritokrasi hanya dilaksanakan sesama atau dalam kalangan Melayu dan bumiputera sahaja, sementara kaum-kaum lain bertanding sesama mereka.

RESOLUSI 3

Kerajaan tidak seharusnya dari semasa ke semasa meminda atau memperkenalkan dasar baru pendidikan dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada akta dan dasar pendidikan yang sedia ada. Ini termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997.

RESOLUSI 4

Kementerian Pelajaran digesa memperkukuhkan dan memperluaskan kurikulum pendidikan agar sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan antarabangsa. Perlu dikaji semula dasar penggredan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimulakan pada 2010 berasaskan A+, A dan A- bagi memilih pelajar tercemerlang daripada kalangan cemerlang kerana ia menimbulkan perlumbaan tidak sihat di kalangan pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah.

RESOLUSI 5

Kementerian Pelajaran digesa mengambil langkah serius, drastik dan pragmatik supaya matlamat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang digunakan dalam pentadbiran awam dan swasta tercapai dengan jayanya.

RESOLUSI 6

Mengakui bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini wajib diajar dan dipelajari oleh semua murid. Sehubungan itu, perlu digembleng semula tenaga guru-guru bahasa Inggeris yang mendapat latihan di luar negara sejak awal 1970-an bagi mengurangkan kos perbelanjaan membawa masuk tenaga pengajar asing.

RESOLUSI 7

Kerajaan perlu memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana dengan memberikan peruntukan kewangan, lain-lain perbelanjaan berulang tahunan (LPBT), peruntukan penyelengaraan dan peruntukan mata pelajaran, 100 peratus lebih banyak berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil. Harus diperbanyakkan kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga di sekolah kebangsaan. Pelaksanaan kurikulum dan pengajaran sekolah kebangsaan perlu lebih fleksibel dan bijak, bukan birokratik dan mengongkong supaya anak-anak daripada semua kaum boleh belajar dengan kreatif di bawah satu bumbung.

RESOLUSI 8

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu terus memainkan peranan bagi melahirkan golongan intelek yang bakal menjadi pemimpin dan golongan profesional Melayu serta bumiputera dalam pelbagai bidang. Kementerian Pelajaran digesa meneruskan dasar memberi keutamaan kepada pelajar Melayu dan bumiputera cemerlang dari keluarga miskin terutama dari luar bandar dalam pengambilan pelajar SBP.

RESOLUSI 9

Perlu dipastikan nisbah murid yang mengikuti mata pelajaran sains khusus tidak tergelincir daripada sasaran. Menggesa Kementerian Pelajaran menyemak semula dasar nisbah 60:40 bagi subjek sains dan sastera yang sehingga kini didapati sukar untuk dicapai.

RESOLUSI 10

Harus dikawal pembukaan sekolah antarabangsa yang kini berkembang pesat akibat liberalisasi pendidikan swasta kerana ia hanya memberi manfaat kepada golongan berada dan boleh menghakis semangat patriotik terhadap negara. Perlu dipastikan sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang mempunyai aliran antarabangsa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.

RESOLUSI 11

Menggesa kerajaan menarik balik pengiktirafan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) kerana ia bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan. Pengiktirafan ini akan menebalkan lagi polarisasi kaum kerana ia menggalakkan murid Cina bersekolah di SJKC dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan Cina dan Sekolah Persendirian Gabungan Cina yang kini berjumlah 60 buah dengan 60,481 pelajar.

RESOLUSI 12

Perlu ditambah bilangan pusat matrikulasi bagi menampung permohonan pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan. Kerajaan digesa mengekalkan nisbah kuota pengambilan pelajar di pusat matrikulasi iaitu 90 peratus kaum Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera.

RESOLUSI 13

Subjek Pengetahuan Agama Islam perlu dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi pelajar Islam dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM. Murid harus memahami bacaan dalam solat dan boleh membaca serta menulis asas-asas jawi pada akhir tahun dua.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mei 2012