Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib
Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau
Pinang
Menjelang Jun dan sekitar Julai nanti,
beribu-ribu anak muda kita, termasuk warga emas akan ditawarkan mengikuti
pengajian di universiti awam di seluruh negara. Tidak kurang juga yang kecewa
kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mengambil semula peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau
peperiksaan lain yang setaraf untuk memasuki universiti sama ada mengikuti pengajian
diploma atau pada peringkat ijazah. Pilihan lain adalah dengan memasuki
institusi pengajian tinggi swasta. Namun tidak ramai yang sedar dan benar-benar
menghargai peluang ini. Sesetengahnya memasuki dengan tangan kosong dan
menyerahkan sepenuhnya kepada universiti untuk menentukan kejayaannya, tidak
bersedia, tidak berusaha memanfaatkan peluang yang ada.
Idea dan persepsinya terhadap
universiti tidak lebih daripada belajar di sekolah tinggi. Hanya pergi kuliah,
buat tugasan dan menduduki peperiksaan, lulus, dapat ijazah dan mencari
pekerjaan. Jika gagal mendapat pekerjaan, universiti dan kerajaan akan dipersalahkan
serta dianggap gagal memainkan peranan. Ramai juga yang beranggapan, jika
seseorang itu cemerlang di sekolah maka ia akan diteruskan di peringkat
universiti, menghafal sebahagian besar apa yang diterima dalam kuliah dan
tutorial lalu kemudiannya meluahkan ia ketika menjawab soalan peperiksaan yang
soalannya sebahagiannya sudah pun dapat diduga atau diberikan bayangan oleh
pensyarah. Kerana itu, terdapat segelintir yang menghabiskan masanya di
universiti secara sia-sia. Sebahagian hanya mengejar ijazah dan berakhir dengan
konvokesyen. Jika keputusannya cemerlang akan meneruskan pengajian pada
peringkat sarjana dan pada peringkat seterusnya tanpa banyak belajar untuk
menjadi seorang siswa atau siswi yang cintakan ilmu dan melakukan perubahan
terhadap kehidupannya.
Jauh sekali untuk menjadi seorang
perekacipta yang inovatif atau melakukan hal-hal yang boleh memberi faedah yang
lebih besar dalam penggunaan ilmu pengetahuan dan fikiran untuk pembangunan
diri mahu pun masyarakat dan negaranya. Apatah lagi untuk mencipta peluang
pekerjaan baru dan tidak bergantung kepada orang lain. Segelintir lagi pula
siswa-siswi menggunakan kampus sebagai pentas untuk eksperimen idealisme mereka
yang melihat kehidupan dengan begitu 'ideal'. Mereka belajar dan melihat segalanya
dalam konteks yang serba serbi indah, membayangkan kejayaan-kejayaan dan
keindahan hidup jika idealismenya dilaksanakan walau pun menggadaikan maruah
bangsa, perjuangan mengekalkan kedamaian dan kesentosaan, malah ada ketikanya
melanggar apa jua peraturan yang dibuat. Mereka tidak peduli lagi tentang adab
sopan dan kesusilaan sebagai orang berilmu, malah sesetengahnya tidak malu
untuk menyertai aktiviti yang menyusahkan orang ramai, bertindak ganas dan apa
jua untuk mencapai idealisme sehingga lupa yang pengajiannya dibiayai dari wang
orang ramai melalui kerajaan yang membiayai pengajian tinggi negara.
Apa jua yang menghalang akan dianggap
musuh dan anti kepada kepercayaan dan keyakinannya. Hatta menceroboh sekali pun
dianggap betul untuk mencapai cita-cita dan keyakinannya, seolah-olah dia
sahaja yang ada hak sedangkan orang lain tidak mempunyai hak yang serupa
dengannya. Mereka kerap kali dipengaruhi oleh pihak tertentu yang sesetengahnya
amat jelas menggunakan 'amarah' dan 'kegelisahan' anak-anak muda ini dalam
melakukan perjuangan menegakkan idealismenya. Provokasi terhadap jiwa muda ini
dilakukan berterusan yang bakal merosakkan masa hadapan mereka. Hakikatnya
universiti adalah tempat yang berupaya mendidik anak-anak muda dalam
menseimbangkan antara idealisme dengan hakikat sebenar kehidupan. Universiti
sepatutnya yang menjadi tempat yang memaknakan kebebasan yang ditunjukkan dalam
autonominya dengan penuh tanggung jawab dan berhemah selaras dengan adab dan
akal budi orang berilmu. Universiti adalah tempat untuk mencari kebenaran dan
berdebat tentang ilmu berasaskan fakta dan data, tetapi melihat juga kepada
kepentingan masyarakat terbanyak tanpa menggadaikan apa yang sedia ada,
kedamaian yang dinikmati dan kebebasan yang diberi.
Siswa-siswi perlu mengambil peluang
berinteraksi dengan para ilmuan, mengkaji ilmu, melihat dengan pelbagai
perspektif dan dimensi, saling hormat untuk meningkatkan darjah kematangan
dalam perdebatan dan perbincangan sekali gus mendewasakan anak muda malah juga
menjadikan ilmu pengetahuan sebagai teras yang berguna dalam memartabat dan
mendaulatkan satu bangsa. Ruang kebebasan digunakan untuk mereka yang dahagakan
ilmu dengan menjadikan perpustakaan dan Internet untuk mendapat idea-idea dari
buku dan bacaan sebagai asas memperkayakan diri. Pensyarah menjadi fasilitator
bukan lagi sebagai guru yang memberikan segalanya, sebaliknya menjadi
pembimbing yang akan mencabar daya fikir dan kreativiti siswa-siswi dalam
mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan untuk dunia
seluruhnya. Cabaran dalam sains dan teknologi, malah juga seni, budaya,
kemanusiaan, kemasyarakatan, sains politik, falsafah dan lain-lainnya
dirungkai, dilihat bersepadu dan berkait rapat antara satu sama lain. Alam
menjadi medan pengajaran berguna untuk menjadi lebih kreatif dan melahirkan
inovasi baru untuk manusia dan masa hadapannya.
Kerana itu, sudah sampai masanya
mereka yang ingin memasuki universiti berfikir sedalam-dalamnya matlamat
penerokaan ilmunya. Mereka harus melihat dalam kerangka yang betul agar
kehadirannya akan berupaya mengubah dirinya dalam membantu melakukan perubahan
bermakna dalam masyarakat secara realistik. Universiti yang dalam proses
membuat pemilihan perlu juga melihat kualiti calon yang diinginkannya
terutamanya bagi kursus yang mempunyai temuduga dan ujian tertentu. Walau pun
kelulusannya di peringkat sekolah agak rendah, namun jika pandangannya terhadap
dunia ilmu dengan matlamat masa depan yang betul, lebih wajar diberikan
pertimbangan berbanding dengan mereka yang jelas terlalu cetek pemikirannya dan
melihat dunia dalam perspektifnya semata-mata. . Jika memasuki universiti
dengan keinginan yang kuat untuk mengubah diri, peluang terbuka luas di sini.
Akhirnya, yang akan menentukan
kejayaan di universiti ialah kebijaksanaan membuat pilihan, tidak tenggelam
oleh idealisme tertentu atau keseronokan seketika serta kefahaman terhadap
makna sebenar universiti. Kelekaan dan taksub terhadap sesuatu idealisme akan
hanya menjadikan peluang yang diberi menjadi sia-sia. Peluang memasuki
universiti perlu dihargai atau sebaliknya buatlah pilihan lain yang sesuai jika
ia hanya akan menimbulkan masalah kepada diri dan orang lain apatah
mengecewakan ibu bapa, masyarakat terbanyak dan negara.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
31 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan