Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Entah mengapa
pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan kurang mendapat perhatian
berbanding pencapaian akademik, menjadikan aspek itu kurang bernilai di mata
masyarakat. Tambahan pula, bukan semua mahasiswa mampu memberi sepenuh
komitmen, menjadikan aktiviti itu dianggap tempat ‘bersuka ria’ yang hanya
menimbulkan pembaziran masa dan tenaga. Apatah lagi, jangka hayat aktiviti itu
singkat menjadikan masyarakat luar mempunyai pelbagai modal untuk mengkritik. Benarkah
pandangan masyarakat yang menyatakan aktiviti itu hanya satu pembaziran dalam
diam dan gagal mencapai matlamatnya? Atau adakah mahasiswa hanya menjadi mangsa
keadaan dan tempat melampiaskan rasa kurang senang masyarakat terhadap golongan
itu?
Ketua Pusat
Tanggungjawab Sosial Universiti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Martinelli Hashimberkata, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti sosial bukan satu
pembaziran, malah sangat bermanfaat. Beliau berkata, istilah pembaziran dan
tanggapan aktiviti itu tidak mencapai matlamat adalah dangkal selain mahu
menjatuhkan kredibiliti mahasiswa tanpa usul periksa. Menurut beliau, ramai beranggapan aktiviti seperti ini hanya
seperti mahu mengundang keseronokan tanpa mencapai matlamatnya. Malangnya
tanggapan itu silap. Membabitkan diri dalam aktiviti sosial anjuran institusi
itu banyak kelebihan dan manfaatnya, jadi jangan sewenang-wenangnya memberi
persepsi negatif jika tidak tahu hujung pangkal. Sikap masyarakat yang mudah
melabelkan sesuatu hanya pada pandangan kasar perlu diubah kerana ia tidak
membantu membangunkan minda, sekali gus membantutkan usaha melahirkan mahasiswa
cemerlang.
Kesal dengan
tanggapan seperti itu, beliau berkata, masyarakat sering kali memberi tanggapan
hanya melihat pada aspek luaran semata-mata. Katanya, mereka hanya melihat
secara kasar dan sekali imbas tanpa mahu menghargai penat lelah mahasiswa yang
bertungkus-lumus menjayakan aktiviti itu. Bercakap memang mudah, namun adakah
mereka tahu kepayahan dan kepenatan mahasiswa melaksanakan program terbabit? Ini
bukan program main-main kerana ia membabitkan imej institusi. Cuba letakkan
diri di tempat mahasiswa itu, adakah anda sanggup bersengkang mata, berpanas
berhujan semata-mata menjayakan matlamat sesuatu program? Beliau percaya,
mahasiswa juga tidak mahu aktiviti dijalankan itu menjadi buah mulut orang dan
dilabelkan gagal. Jadi mereka pasti akan melaksanakannya bersungguh-sungguh. Bukan
sesuatu yang menghairankan apabila ada segelintir masyarakat yang celupar
melabelkan khidmat sosial berkenaan sebagai satu pembaziran. Alasannya,
mahasiswa tidak begitu fokus dalam pelaksanaan selain melakukan aktiviti sama
setiap kali penganjuran program.
Menyangkalnya, beliau
berkata, bukan semua mahasiswa pergi untuk ‘bersuka ria’, sebaliknya mereka
tetap memanfaatkan setiap tanggungjawab itu. Beliau turut mengiyakan kerana mungkin
ada yang terpesong matlamatnya, namun bukan semua yang sanggup melepaskan
tanggungjawab diberikan sewenang-wenangnya. Malah, perlu diingat, setiap
pelaksanaan projek ada struktur perancangannya, jadi mana mungkin mereka
melaksanakannya atas dasar ‘suka-suka’. Janganlah kerana seorang dua yang lepas
tangan, semua terkena tempiasnya. Ini tidak adil,” katanya menegaskan antara
manfaat terbesar diperoleh ialah membina sikap prihatin mahasiswa terhadap
permasalahan masyarakat. Ini manfaat paling baik sebab bukan mudah mahu
membentuk sikap peduli golongan muda terhadap masyarakat. Program seperti ini
mengasuh dan mendidik emosi mereka supaya tidak lepas tangan. Namun, ada
kalangan masyarakat menganggap program ini sebagai satu pembaziran. Hakikatnya
mereka sendiri tidak mahu ‘membuka mata’ seluas-luasnya melihat apa yang
diperoleh mahasiswa menerusi program ini.
Program ini, katanya,
perlu dilaksanakan dalam situasi santai kerana menjadi tempat mahasiswa
meredakan sebentar tekanan belajar, selain memikat hati golongan sasaran.
Beliau berpendapat, jika program dilaksanakan dengan protokol ketat, golongan
sasaran mungkin tidak suka kerana program itu akan membosankan. Biarpun
pelbagai program diadakan seperti bersama keluarga angkat, matlamat dan
pengisian pasti ada perbezaannya. Memberi pendapat bahawa masyarakat mahukan
hasil segera, beliau berkata, ia mungkin mustahil kerana pembentukan nilai
murni di kalangan mahasiswa memerlukan masa dan banyak pendedahan. Akuinya,
mereka masih memerlukan bimbingan, tunjuk ajar serta tatacara betul untuk
berada di landasan betul, sekali gus memperbetulkan tindakan andai kata
bertentangan dengan matlamat.
Sebagai generasi
muda, mereka ada terlalu banyak cabang pilihan seperti melakukan keseronokan,
tanggungjawab dan perasaan. Masyarakat lebih dewasa perlu memberi bimbingan
bukan kritikan yang boleh melemahkan mereka. Malangnya, itulah sikap sebahagian
besar masyarakat hari ini. Daripada memberi bimbingan, mereka gemar mengkritik
yang bukan-bukan. Akibatnya, ia melemahkan daya juang mahasiswa, sekali gus
memadamkan keinginan mendekati masyarakat. Ini satu kerugian yang perlu
dielakkan. Masyarakat juga perlu melihat apa yang cuba dilaksanakan golongan
mahasiswa sebagai satu percubaan meneroka alam baru yang lebih mencabar. Mereka
ibarat baru bertatih, justeru apa salahnya jika masyarakat memberi sokongan
padu sebagai pembakar semangat. Tanggapan bahawa mereka hanya ingin berseronok
dan aktiviti ini tidak mampu memberi manfaat adalah keterlaluan. Bukankah ini
satu ilmu baru yang mampu menjana pengalaman lebih praktikal? Beliau hairan
apabila aktiviti seperti ini digambarkan sebagai tempat mengambil kesempatan. Jangan
terlalu sempit menilai atau memberi persepsi salah, nanti merugikan golongan
terbabit.
Pada masa sama,
beliau mengingatkan mahasiswa menggunakan peluang diberikan bagi menjadikan
diri sebagai insan prihatin dan disayangi masyarakat. Menurutnya, dengan
pelbagai isu mengaitkan mahasiswa hari ini, ia sedikit sebanyak memburukkan
imej golongan terbabit. Walaupun hanya segelintir (berbuat salah), tempiasnya
tetap kena pada mahasiswa. Justeru, jangan rosakkan nama baik itu dengan
tanggapan salah. Sebaliknya, buktikan mahasiswa memang ikhlas dan ingin
mendapat manfaat daripada aktiviti ini. Masyarakat tidak tahu jika tidak
melihat hasilnya. Beliau turut mengakui, program itu memberi pendedahan positif
terutama pembentukan jati dan kemahiran diri. Jika tiada kepentingannya, tentu
program seperti ini tidak ditekankan di institusi pengajian tinggi. Melihat
kepada manfaatnya, ia menjadi antara agenda wajib yang perlu dilaksanakan
mahasiswa. Kebaikan diperoleh apabila tamat pengajian. Bagi yang aktif terbabit
dalam pelbagai program, karisma diri pasti terserlah berbanding melakukannya
kerana terpaksa. Justeru, jangan anggap aktiviti ini tidak berfaedah mahupun
hanya membazir. Masyarakat sering menyuruh mereka berfikir di luar kotak, jadi
sokonglah mereka.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Harian Metro
28 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan