JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Mei 2012

ISU PERTANIAN : MELONJAK INDUSTRI BUAH-BUAHAN TEMPATAN


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan,
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe),
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia


Ketika negara-negara Afrika dilanda kemarau dan tanaman tidak menjadi seperti jagung, kita bertuah kerana mendiami muka bumi yang mana tumbuh-tumbuhan tumbuh dengan begitu baik. Inginkan sayur-sayuran yang segar, pergilah ke Cameron Highland, Pahang dan Kundasang, Sabah. Inginkan suasana kehijauan dengan sawah padi terbentang luas, lawatilah Kedah, negeri Jelapang Padi. Inginkan musim buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan, melanconglah ke Perak dan Pahang. Bagi peminat buah nangka pula, Negeri Sembilan tempatnya. Mahu menikmati kelazatan buah mempelam terbaik di Malaysia, jom pergi ke Perlis. Di situ, terdapat sejenis buah mempelam yang dinamakan Harumanis. Musimnya bermula April hingga awal Jun. Sebagai penggemar buah-buahan tempatan, penulis tidak pernah melepaskan peluang menikmati buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan dan sudah tentu tidak terkecuali buah mempelam Harumanis.

Ketika ini, mudah untuk membeli buah durian dan manggis di Kedah. Tetapi buah-buahan ini bukannya buah-buahan tempatan. Buah durian dan manggis diimport dari Thailand. Cukup banyak. Buah-buahnya pula cukup elok. Harga di Thailand juga amat murah. Ambil contoh buah durian jenis Telur Buaya, harganya serendah RM2 sekilogram di Thailand, tetapi apabila dibawa masuk ke Kedah seperti Changlun dan Jitra, harganya boleh mencecah RM10 sekilogram. Begitu juga buah manggis, harganya cukup murah di Thailand dan apabila dibawa masuk ke Malaysia harganya berlipat kali ganda. Walaupun mahal, buah-buahan ini tetap terjual dan laris di Malaysia. Betapa lakunya buah-buahan yang diimport dari Thailand. Faktor utamanya tidak lain tidak bukan kerana kualiti buah-buahan tersebut terutamanya dari segi kelazatan. Di Thailand juga, pelbagai jenis mempelam dieksport ke Malaysia. Antaranya buah mempelam yang terkenal iaitu jenis Tong Dam. Ada yang menggelarnya sebagai "adik" Harumanis, namun sememangnya mempelam Tong Dam tidak mampu menandingi mempelam Harumanis.

Mempelam Harumanis berada dalam kelasnya yang tersendiri. Maka, tidak menghairankan ia ditempah oleh pelbagai pihak terutamanya golongan atasan. Saban tahun, permintaan ke atas buah mempelam Harumanis semakin meningkat. Sebelum ia popular di seluruh negara, harganya sekadar RM5 sekilogram enam tahun lalu, namun harganya telah berlipat kali ganda melebih RM10 sejak dua tahun yang lalu. Buah mempelam Harumanis sedap dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan pulut. Buah mempelam Harumanis juga dieksport ke luar negara. Musim ini, seperti biasa, penulis cuba mendapatkan buah mempelam Harumanis. Namun, amat mengejutkan harganya mencecah sehingga RM18 sekilogram kalau dibeli di luar daripada Jabatan Pertanian. Meskipun harganya ditetapkan pada paras lebih rendah tetapi dek kerana permintaaan yang tinggi, harganya dijual begitu mahal. Bayangkan berbanding harga enam tahun lepas, kini harganya meningkat lebih tiga kali ganda.

Tahun ini juga, buah Harumanis tidak begitu menjadi, dikatakan hanya separuh berbanding tahun lepas. Tambahan pula ia telah ditempah dari awal lagi oleh pembeli-pembeli luar utara terutamanya dari Kuala Lumpur. Untuk mendapatkan harga semurah RM13 sekilogram, ia perlu ditempah awal. Itu pun tidak boleh membeli dengan jumlah yang banyak. Penulis teringat kata-kata peniaga buah mempelam Harumanis, beliau dengan berseloroh mengatakan sebelum ini, kita pernah mendengar catuan air, tetapi kali ini, Harumanis juga dicatu. Inilah penangannya apabila permintaan terlalu tinggi. Adakah pada tahun hadapan, harganya mencecah melebih RM20? Jika tidak kena gayanya, tidak mustahil ia boleh berlaku. Akhirnya buah ini akan digelar sebagai buah mempelam untuk orang kaya sahaja. Bagi yang kurang mampu, mereka akan berfikir panjang untuk membelinya.

Bagi penulis, faktor utama perlu ditangani ialah risiko buah ini tidak menjadi. Jika tahun depan, buah mempelam Harumanis masih tidak menjadi dan semakin berkurangan, ditambah lagi dieksport ke luar negara, harganya akan meningkat lagi. Pihak berkaitan perlu memikirkan bagaimana untuk meningkatkan jumlah pengeluarannya agar rakyat tempatan dapat menikmatinya. Kita perlu banyak belajar teknik-teknik pertanian yang digunapakai oleh petani Thailand. Teknologi terkini jangan dikesampingkan. Thailand mampu mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan secara komersial sehingga dieksport ke Malaysia. Kualitinya pula tidak sama sekali dikompromi. Mereka menanam secara komersial. Bukan setakat buah-buahan, ambil contoh juga bagaimana pihak Thailand mampu mengeluarkan padi secara besar-besaran sehinggakan kita menjadi salah satu negara pengimport terbesar beras Thailand.

Tetapi akhirnya, apabila banjir melanda Thailand tahun lalu, kita pula terpaksa mencari negara lain untuk mengimport beras bagi menampung keperluan rakyat Malaysia. Bukankah negara kita masih mempunyai tanah yang luas yang mana jika diusahakan secara komersial untuk pertanian, serba sedikit boleh mengurangkan kebergantungan ke atas negara-negara lain? Dalam kita mengejar pembangunan, jangan dilupakan industri pertanian. Melalui ini sahajalah, harga makanan dapat dikawal dengan baik kerana tidak tertakluk pada harga pasaran dunia dan seterusnya menjadi menampan utama sebarang krisis makanan dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mei 2012

Tiada ulasan: