19 Mac 2012

ISU SOSIAL : KES KANAK-KANAK HILANG : BERAPA RAMAI LAGI?

Oleh :
ANITA ABU HASAN,
SUHARNE ZAINUDIN &
FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN


Berapa ramai lagi? Perkataan itu timbul di benak fikiran selepas mendengar berita kematian Dirang, 12 Mac 2012. Kanak-kanak dengan nama sebenar Nurul Nadirah Abdullah yang baru berumur lima tahun itu, dibakar sehingga hanya tinggal rangka. Tragedi itu seperti ulang tayang kes pada 2007, apabila seorang kanak-kanak perempuan comel, Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang. Dia kemudian ditemui mati dalam keadaan menyayat hati. Dua kes dengan tempoh lima tahun itu mempunyai jalan cerita dan pengakhiran tragik yang serupa.

Di manakah permulaan kisah sedih ini?

Setiap kali berita mengenai kanak-kanak hilang dilaporkan, perkara pertama yang ditanya adalah ‘Macam mana budak tu boleh hilang?’. Jika mangsa hilang semasa bermain seorang diri di taman, atau semasa ke kedai seperti diarahkan ibu, tidakkah ia menggambarkan kecuaian ibu bapa? Mungkin ada yang merasakan kenyataan seperti ini sedikit kasar, tetapi kebenaran itu memang pahit, bukan? Ya, tetapi tidak ramai yang ingin memperkatakannya kerana enggan digelar tidak sensitif. Jika kesedaran ini tidak diterapkan ke dalam ibu bapa, sampai bila negara perlu menangis melihat tubuh longlai kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan manusia berhati binatang atau kemalangan lain? Lihat di sekeliling kita. Berapa ramai ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di dalam kereta sementara mereka ke bank, kedai atau membeli makanan?

Berapa ramai pula yang membiarkan anak berlari-lari di kawasan sibuk seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang? Hanya tiga hari selepas berita kematian Dirang, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun pula ditemui mati terapung setelah hilang semasa bermain di taman permainan­ di Tasik Titiwangsa, minggu lalu. Ibunya mengakui mangsa kerap merenung ke arah tasik dan cuba menghampiri kawasan itu dua kali sebelum hilang. Juga dalam minggu lalu, satu lagi tragedi dilaporkan, melibatkan seorang bayi berumur 15 bulan yang mayatnya ditemui terapung di sungai berhampiran rumahnya, di Kelantan. Mangsa yang baru belajar berjalan keluar dari rumah tanpa disedari ibunya yang sedang mencuci pakaian.

Jadi, apa yang kita perlu lakukan?

Mungkin kita semua perlu mendengar nasihat Sultanah Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah semasa baginda melawat keluarga Dirang, minggu lalu. “Sebagai ibu, saya faham perasaan ibu Dirang. Perkara seperti inilah paling ditakuti setiap ibu bapa. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin juga dalam kenyataan terbaru menyebut, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan memerlukan perhatian dan kerjasama orang ramai. “Sekali lagi pihak polis ingin mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak pada setiap masa, terutamanya yang masih kecil dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan,” katanya.

Peringatan Bakri itu memang tepat.

Ini kerana kes kanak-kanak hilang bukan baru, tetapi nampaknya ramai ibu bapa masih tidak me­ngambil iktibar. Memang benar, jenayah atau kemalangan bukan sesuatu yang boleh dijangka, tetapi persekitaran itu boleh dikawal bagi merendahkan risiko anak-anak kecil ini menjadi mangsa culik atau bunuh, terutama jika kita sendiri maklum dunia kini dipenuhi manusia kurang waras. Umpama pintu rumah yang dikunci berbanding pintu rumah terbuka luas. Yang mana lebih mudah dimasuki pencuri?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Sinar Harian
19 Mac 2012

17 Mac 2012

ISU UMUM : TEKNOLOGI BANTU URUS SISTEM PERJAWATAN

Oleh Kamaruddin Mohd Said
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli Majlis Profesor Negara


Apabila skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diumumkan pada 1 Januari lalu, banyak pihak menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka. Ini ialah kerana SBPA jelas memberikan lebih banyak ganjaran gaji kepada penjawat awam yang berada pada gred gaji tertinggi (kumpulan utama), berbanding mereka yang berada pada gred gaji sederhana dan rendah kumpulan pelaksana dan pengurusan. Hal ini terjadi kerana SBPA digubal tanpa membabitkan kesatuan pekerja perkhidmatan awam. Prinsip kedua yang terpancar ialah bahawa walaupun ada perbezaan pandangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan CUEPACS berkaitan formula SBPA ini, perbezaan pendapat ini disuarakan dengan penuh kesopanan. CUEPACS mencadangkan supaya SBPA dikaji semula dan selepas menerima memorandum daripada CUEPACS dan ribuan komen serta aduan daripada penjawat awam, kerajaan menubuhkan kumpulan petugas yang diberi tanggungjawab meneliti semula cadangan SBPA itu.

Pendapatan penjawat awam dikira berdasarkan tiga perkara: jadual gaji matriks, jadual gaji minimum-maksimum dan kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan gred jawatan. Selain itu, Skim Saraan Malaysia (SSM) mengguna pakai konsep ‘anugerah perkhidmatan cemerlang’ dan ‘anjakan gaji’ sebagai ganjaran yang diberikan kepada penjawat awam berprestasi tinggi.  Sesungguhnya penjawat awam di Malaysia berada di bawah satu sistem pengurusan perjawatan yang kompleks. Ini ialah kerana skim perkhidmatan awam Malaysia mempunyai banyak ‘kumpulan perkhidmatan’, ‘klasifikasi perkhidmatan’ dan jadual ‘gred gaji’.  Oleh itu, sebarang skim saraan baru yang ingin dilaksanakan akan mengganggu, malah menggugat dinamik kedudukan penjawat awam dalam kumpulan perkhidmatan, klasifikasi perkhidmatan dan gred gaji ini. Selain itu, dengan cara memberikan peratusan pelarasan gaji lebih tinggi kepada penjawat awam dalam kumpulan gred gaji 1 hingga 54, iaitu sebanyak 13 peratus daripada gaji sedia ada dan antara tujuh hingga sembilan peratus kepada kumpulan JUSA ke atas, kadar pelarasan gaji ini membayangkan penggunaan prinsip peratus kenaikan yang lebih bagi golongan berpendapatan rendah dan peratus kenaikan yang kurang bagi golongan berpendapatan tinggi.

Kadar kenaikan gaji tahunan bagi penjawat awam gred 1 hingga 54 ialah antara RM80 hingga RM320 setahun. Keputusan ini boleh dianggap mempunyai landasan prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi semua penjawat awam.  Tidak dapat dinafikan bahawa jurang gaji di kalangan penjawat awam ini akan wujud berterusan. Ini juga ialah kerana penentuan gred gaji dan kenaikan gaji tahunan dikira berdasarkan prinsip meritokrasi, terutama meritokrasi kelayakan akademik.  Maksudnya, semakin tinggi kelayakan akademik seseorang, semakin tinggilah gaji yang diberikan kepada kakitangan awam.  Prinsip ini diiktiraf oleh komuniti penjawat awam di Malaysia. Penjawat awam berkelayakan tinggi biasanya memperlihatkan keupayaan setimpal dengan kelayakan akademiknya.  Selain itu, penjawat awam berkelulusan tinggi ini juga perlu membayar kembali kos pengajian tinggi yang mereka tanggung. Oleh itu, kewajaran memberikan mereka kadar gaji lebih tinggi jarang sekali dipersoalkan.  Ada beberapa isu penting di kalangan penjawat awam yang memerlukan langkah penyelesaian jangka panjang, iaitu menerusi penubuhan suruhanjaya semakan skim perkhidmatan.

Satu daripada isu besar ini adalah berkaitan dengan kedudukan penjawat awam yang layak dinaikkan pangkat, tetapi jabatannya tidak mempunyai peruntukan jawatan bagi pangkat berkenaan.  Keadaan ini terjadi kerana jawatan dalam perkhidmatan awam mempunyai terlalu banyak ‘klasifikasi perjawatan’ yang bilangannya terhad. Oleh itu, bagi penjawat awam yang berhadapan dengan klasifikasi kekosongan jawatan untuk kenaikan pangkat akan terus terperangkap dalam sangkar jawatannya yang tidak mempunyai laluan kerjaya terbuka.  Hal ini menyukarkan urusan pengurusan sumber manusia di pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam.  Satu perkembangan positif yang akan membantu memperkemaskan pengurusan perjawatan awam di Malaysia ialah kewujudan sistem Selenggara Skim Perkhidmatan dan Fungsi yang dibangunkan oleh JPA baru-baru ini.  Di bawah sistem ini, pakar saraan mempunyai cara yang lebih cekap untuk menyelenggara gred gaji, termasuk menambah gred gaji baru atau mengemas kini serta menghapus gred gaji yang sedia ada, berdasarkan maklumat terkini dan tersepadu.  Dengan cara ini, setiap usaha untuk melaksanakan pelarasan gaji atau menggubal satu skim perkhidmatan, akan dibantu oleh kewujudan data saraan komprehensif. Nampaknya, pengurusan sistem perjawatan dalam perkhidmatan awam yang kompleks ini memerlukan bantuan teknologi pengurusan maklumat yang canggih. Perkara berkaitan keadilan dan kesaksamaan bagi setiap orang penjawat awam juga akan dapat ditangani dengan menggunakan teknologi pengurusan maklumat yang canggih.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
17 Mac 2012

ISU SOSIAL : RUNDING SEMULA SYARAT PEMBANTU RUMAH

Oleh NORAINI ABD. RAZAK


Jika mahu mengambil pembantu rumah dari Indonesia, fikir apa sebenarnya keperluan anda. Adakah anda memerlukan tukang masak? Atau sekadar khidmat pengasuh bayi? Mungkin juga menjaga orang tua atau semak mata melihat rumah tidak berkemas, perlukan orang untuk mengemas rumah? Jika jawapannya ada perlukan semua perkhidmatan atau sekurang-kurangnya dua (jika tiada orang tua atau bayi), maka bersedialah untuk membayar RM1,400 untuk dua pembantu rumah yang akan menyelesaikan kerja-kerja tersebut. Tetapi jika anda mempunyai ibu dan bayi yang perlu dijaga, maka fikirkan tambahan RM1,400 lagi. Jika tidak mencapai tahap upaya untuk membayar hampir RM3,000 untuk semua kerja tersebut, maka lupakan hasrat mahu menggunakan khidmat pembantu rumah Indonesia. Kita sendiri tidak faham bagaimana Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pembantu rumah boleh mencapai persefahaman seumpama itu. Tidak diketahui juga bagaimana mereka boleh bersetuju untuk membuat keputusan tersebut.

Bukankah perkara utama yang perlu disepakati adalah perihal jumlah bayaran untuk mengambil seorang pembantu rumah yang sebelum ini terlalu tinggi menjangkau RM10,000. Keduanya, soal gaji pembantu rumah yang dikatakan agak rendah di Malaysia dan seterusnya spesifikasi kerja yang perlu mereka lakukan. Justeru apabila pasukan petugas dibentuk bagi membincangkan hal-hal tersebut maka adalah menjadi harapan majikan di negara ini supaya semua urusan pengambilan pembantu rumah bertambah lancar. Paling penting diharapkan agar ada tolak-ansur antara di pihak negara pembekal pembantu rumah serta agensi-agensi yang berkaitan termasuk di Malaysia. Misalnya, jika sebelum ini majikan terpaksa berbelanja besar untuk menggaji seorang pembantu rumah maka turunkan sedikit kadar tersebut. Jika masalah upah yang dikatakan rendah maka majikan bersedia menaikkan kadar upah dengan syarat sediakan tenaga kerja yang mampu memahami arahan dan membuat kerja-kerja asas.

Sebab itu apabila ada istilah berunding, maka ribuan bakal majikan yang menunggu umpama buah tidak gugur mengharapkan sesuatu yang positif. Berunding bukan bermakna untuk menyusahkan, sebaliknya rundingan selalunya berakhir dengan keputusan menang-menang. Namun jika rundingan menelurkan syarat baru iaitu pembantu rumah dibayar RM700 hanya untuk satu tugas khusus, maka apa sebenarnya makna rundingan tersebut. Yang peliknya bagaimana pihak yang mewakili Malaysia boleh bersetuju dengan syarat baru itu sedangkan amat terang lagi jelas bahawa ia sememangnya tidak masuk akal. Bayangkan jika pembantu rumah itu khusus untuk memasak sahaja, adakah masuk akal sepanjang hari tugasnya hanya memasak. Apatah lagi jika kedua-dua majikannya bekerja, anak hanya seorang di rumah dan bersekolah dari pagi hingga ke petang, maka di mana logiknya pengkhususan itu? Begitu juga jika tugas pembantu rumah hanya mengemas rumah - dari pagi hingga ke malam untuk sebuah rumah teres dua tingkat tiap-tiap hari apa agaknya yang perlu dikemas lagi.

Lebih-lebih lagi dengan upah RM700 untuk satu jenis kerja, adakah berbaloi? Siapa yang menang dan siapa pula yang kalah dalam rundingan tersebut. Sepatutnya apabila kadar upah dinaikkan ia hendaklah sejajar dengan beban kerja yang perlu disempurnakan oleh pembantu rumah. Kalau sebelum ini mereka dibayar RM500 untuk membuat kerja-kerja rumah seperti menyediakan masakan yang ringkas, mengemas (selalunya ala kadar) dan menjaga anak majikan, takkan pula RM700 untuk satu jenis kerja sahaja? Apa sebenarnya yang dibincangkan dalam rundingan tersebut sehingga membawa kepada persetujuan yang kini mendapat sanggahan di kalangan bakal-bakal majikan di Malaysia. Mungkinkah keadaan ini didorong oleh sikap tolak ansur Malaysia dengan negara jiran sehingga 'hati' kita tidak pernah dijaga malah adakalanya kita umpama dipermain-mainkan.

Ambil contoh janji negara jiran mahu menghantar pembantu rumah. Dari sehari ke sehari, minggu ke minggu sehinggalah bulan ke bulan, namun pelbagai alasan diberi untuk melewat-lewatkan kemasukan pembantu rumah ke negara ini. Timbul persoalan adakah Indonesia mengenakan syarat yang serupa kepada negara-negara lain termasuk Singapura? Adakah mereka menangguhkan penghantaran pembantu rumah seperti mana yang dilakukan kepada Malaysia? Jika jawapannya tidak, mengapa agaknya layanan berbeza diberi kepada negara-negara yang memerlukan khidmat pembantu rumah itu. Majikan di Malaysia sedia maklum bahawa pembantu rumah dari Indonesia yang dihantar ke sini bukan gred A, tidak juga gred B. Keadaan itu sendiri sudah merupakan double standard, tetapi oleh kerana pembantu rumah kini menjadi satu keperluan, maka tolak-ansur 'menghalalkan' amalan tersebut. Adakah kerana mengetahui bahawa ramai bakal majikan di Malaysia terdesak mahukan khidmat pembantu rumah, maka syarat-syarat yang menekan itu cuba dilaksanakan? Siapa sebenarnya yang cuba mengaut keuntungan daripada kemelut pembantu rumah yang tidak diketahui bilakah kesudahannya?

Sebagai seorang wanita bekerja yang telah menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia sejak 15 tahun lalu, saya tidak nampak kewajaran peraturan baru itu dikuatkuasakan. Saya juga tidak faham mengapa wakil Malaysia dalam jawatankuasa tersebut boleh menerima peraturan baru itu sehingga membawa kepada satu persetujuan. Timbul persoalan adakah peraturan baru (yang diharapkan tidak menjadi kenyataan) turut terpakai kepada pembantu rumah telah pun berada di negara ini. Jika tidak terpakai tentunya menimbulkan suasana kurang tenteram di kalangan mereka lantaran cemburu rakan-rakan yang baru masuk mendapat upah lebih tinggi tetapi beban kerja amat sedikit. Sehubungan itu, adalah menjadi harapan bakal majikan di Malaysia supaya rundingan pasukan petugas itu tidak terhenti setakat keputusan satu amah satu kerja. Timbangkan segala kesan daripada persetujuan tersebut dan adakan rundingan semula, supaya keputusan menang-menang dapat dicapai apatah lagi bagi dua negara serumpun.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
17 Mac 2012

ISU SOSIAL : PEMBANTU RUMAH INDONESIA, BUAT SATU KERJA, GAJI RM700 SEBULAN


PAPA KATA BOLEH RUNDING

Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo berkata penetapan gaji amah Indonesia sebanyak RM700 sebulan dengan pengkhususan kepada satu tugas hanyalah prinsip berdasarkan kurikulum latihan di Indonesia untuk membekalkan amah berkualiti dan profesional. Katanya, masih terdapat kelonggaran dan ruang untuk majikan berunding dengan agensi berhubung bidang tugas pembantu rumah yang bakal berkhidmat dengan mereka. "Yang dimaksudkan (Indonesia) amah hanya dilatih khusus untuk satu bidang, sebagai menjelaskan tugas utama mereka kerana prinsip dan peraturannya begitu. Saya percaya majikan masih boleh berunding dan menerangkan tentang tugas-tugas sampingan yang mungkin diperlukan daripada amah yang bakal digaji," katanya. Menurut Foo, persetujuan daripada pembantu rumah diperlukan terhadap tugas utama, selain kerja sampingan lain yang ditetapkan majikan sebelum mereka dihantar bekerja di negara ini.

Mana-mana pembantu rumah yang tidak bersetuju dengan tugas utama yang ditawarkan majikan atau enggan melakukan sebarang tugas di luar bidang utama tidak akan dihantar berkhidmat dengan majikan berkenaan. "Kalau mereka sudi dan sukarela apa salahnya. Kalau tak ada bantahan dan mahu terima tugas, mereka akan dibawa datang bekerja di sini. Semuanya ikut persetujuan amah," katanya. Bagaimanapun Foo berkata, majikan harus terlebih dahulu memaklumkan kepada agensi pembantu rumah mereka berkaitan tugas utama dan kerja sampingan yang perlu dilakukan pembantu rumah mereka bagi mengelakkan timbulnya masalah. "Selepas agensi terima maklumat daripada majikan, kita akan sampaikan kepada Indonesia dan pihak di sana pula akan tanya mereka yang bakal jadi amah sama ada bersetuju dengan syarat majikan. Syarat dan permintaan adalah secara bertulis oleh majikan. Inilah yang akan dipersetujui amah," ujarnya.

Foo berkata beliau tidak melihat perkara ini menjadi masalah besar kepada kerajaan Indonesia atau pembantu rumah yang dilatih memandangkan gaji yang ditawarkan Malaysia agak tinggi. "Malaysia tawar gaji RM700. Bayar lebih...tak ada masalah mendapat lebih sedikit (khidmat) daripada pembantu mereka," beliau memberi pandangan. Justeru, Foo meminta majikan yang bercadang mendapatkan khidmat pembantu rumah Indonesia supaya tidak melihat penetapan ini sebagai isu besar. Pada Khamis, Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan yang menetapkan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan dihantar mengikut bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah. Ini bermakna seorang amah yang diupah hanya akan melakukan tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.

Mengulas lanjut tentang gaji, Foo percaya penetapan itu dibuat sebagai menghadapi persaingan dari negara-negara lain seperti Hong Kong, China dan Singapura yang membayar lebih untuk khidmat pembantu rumah asing termasuklah dari Indonesia. Katanya, sebagai negara membangun majikan harus akur dengan keputusan sebulat suara yang dicapai oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama beliau turut mengakui angka tersebut dilihat tinggi bagi majikan berpendapatan sederhana. "Bagi majikan yang kurang mampu, mereka anggap gaji sebanyak itu tak berpatutan. Tapi jika dibandingkan dengan latihan kemahiran yang mereka perlu lalui, sudah pasti kerja mereka lebih berkualiti berbanding amah sebelum ini," katanya. Hasil persetujuan Malaysia - Indonesia, kesemua amah harus mengikuti latihan selama 200 jam di pusat bimbingan yang diiktiraf di Indonesia yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 21 hari.

Di Indonesia 12 daripada 176 agensi pekerjaan bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala lima daripada 221 agensi pekerjaan di Malaysia bersetuju menguruskan penempatan mereka. Kumpulan amah pertama seramai 106 orang akan tiba di Malaysia bulan depan selepas selesai menjalani latihan yang bermula, Khamis. Sambil berharap masalah dan rungutan majikan berkaitan kualiti pembantu rumah Indonesia selesai atau sekurang-kurangnya berkurangan, Foo berkata majikan masih boleh menukar pembantu rumah mereka sekiranya mendapati mereka bermasalah.

MAMA KATA TAK RELEVAN

Pengkhususan satu tugas oleh pembantu rumah Indonesia hanya relevan dilaksanakan pada bidang-bidang tertentu yang bersesuaian, kata Ahli Majlis Penasihat Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Sabariah Abdullah. Beliau berkata, dengan gaji minimum RM700 bagi pembantu rumah melakukan satu tugas khusus sahaja dianggap sebagai tidak berpatutan. Bukan semua majikan di Malaysia berkemampuan untuk menggambil ramai pembantu rumah pada satu-satu masa. Kebiasaannya, seorang majikan hanya ambil seorang pembantu rumah sahaja. Sebagai contoh, jika majikan mengambil seorang pembantu rumah untuk mengemas rumah, kalau 10 jam waktu dia bekerja dalam sehari, mungkin hanya dua jam masa yang diperuntukkan untuk mengemas. Selebihnya, dia buat apa? Tak kan dia goyang kaki sahaja menonton televisyen? Banyak waktu dia berehat mengalahkan orang lain yang bekerja di pejabat, itu belum lagi dikira dengan satu hari cuti seminggu yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau mengulas laporan media pada Jumaat mengenai Indonesia yang mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji minimum RM700. Laporan itu berdasarkan hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia. Kesepakatan yang dicapai itu menjelaskan mengenai empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah. Setakat ini, seramai 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari dengan kemahiran khusus masing-masing. Sabariah berkata, pihak Indonesia perlu mengamalkan pendekatan yang lebih fleksibel dalam soal tugas pembantu rumah untuk majikan di Malaysia.

“Dalam mana-mana kerja pun perlu ada ruang untuk rundingan dan budi bicara antara majikan dan pekerja dalam melaksanakan tugas dan peranan mereka. Jika pembantu rumah itu sanggup dan secara sukarela serta berkeupayaan untuk melakukan lebih daripada satu tugas tanpa menjejaskan tugas yang lagi satu, saya rasa ia tidak menjadi masalah. Menjaga orang tua dan mengasuh bayi mungkin boleh dikhususkan untuk satu tugas sahaja. Namun saya berpendapat bahawa tugas memasak dan mengemas boleh diletakkan di bawah satu kategori,” katanya yang turut memaklumkan Mama kini mempunyai keahlian hampir 1,000 majikan di seluruh negara. Beliau menambah, Mama mungkin akan bertemu dengan kerajaan dan pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia bagi membincangkan mengenai perkara tersebut terutama cadangan untuk menjadi tugasan pembantu rumah fleksibel. "Majikan dan bakal majikan di negara ini juga boleh bertemu dan menyertai Mama bagi menyuarakan masalah, pandangan dan cadangan yang melibatkan isu pembantu rumah," katanya.

Sabariah bagaimanapun menjelaskan, tujuan pengkhususan tugas yang dibuat oleh pihak Indonesia itu sebenarnya merupakan usaha negara jiran untuk meningkatkan kualiti pekerja domestik mereka yang akan berkhidmat dengan majikan di Malaysia. Beliau berkata, ini terutama soal keselamatan dan kesihatan bayi majikan, apabila pengasuh bayi merupakan salah satu jawatan yang dikhususkan. “Menjaga bayi tidak sama dengan menjaga kanak-kanak berusia 10 tahun. Mereka memerlukan pengawasan dan pemerhatian sepanjang masa. Pembantu rumah tidak boleh buat dua kerja dalam satu masa sekiranya mereka mengasuh bayi. Aspek keselamatan ini yang perlu dititikberatkan oleh pembantu rumah, juga majikan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. Justeru, pengkhususan satu tugas bagi pembantu rumah hanya bersesuaian untuk bidang tertentu,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA) yang mewujudkan sebuah program kesejahteraan menyeluruh membabitkan pembantu rumah Indonesia di negara ini. Program tersebut dinamakan Sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (Helper).

TIADA PINDAAN MoU

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata tiada sebarang pindaan dilakukan terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia antara kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini. Beliau berkata Mou antara Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Tenaga Buruh Indonesia yang termaktub pada November lepas masih kekal. "Namun sekiranya ada pindaan dilakukan, perkara berkenaan akan diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam," katanya. Maznah mengulas laporan yang memetik Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman berkenaan gaji minimun RM700 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Reyna juga dilapor berkata amah terbabit hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah. Menurut Reyna lagi keputusan itu adalah antara persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia. Mengulas lanjut, Maznah berkata kementeriannya tidak menerima sebarang usul rasmi dari kerajaan Indonesia berhubung permohonan gaji minimum RM700 kepada pembantu rumah mereka yang bekerja di negara ini. "Apa yang kita telah MoU itu (sebelum ini) bahawa bayaran dan upahan adalah mengikut pasaran, telah termaktub dalam MoU bulan Disember yang kita tandatangani semula.Jadi selepas itu kalau ada banyak macam-macam (kenyataan) itu, biasalah, komen kiri dan kanan. Yang penting apa mesti dibuat melalui jawatankuasa task force dibawa ke jawatankuasa induk, selagi tak sampai pada kami (kementerian), tiada apa-apa perubahan," katanya.

Indonesia sebelum ini melaksanakan pembekuan sementara penghantaran amahnya ke Malaysia berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu negara itu oleh majikan Malaysia. Pembekuan sementara itu ditarik balik pada 1 Dis lepas, susulan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lepas. Indonesia dijangka memulakan penghantaran amah ke negara ini mulai April  2012.

IKUT PERSEFAHAMAN DAHULU

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan kenyataan bahawa pembantu rumah dari Indonesia hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji bulanan minimum RM700 sebagai tidak mengikut persefahaman yang dicapai antara Malaysia dengan negara jirannya. Mengulas mengenai laporan dari Jakarta yang memetik seorang pegawai tinggi kerajaan Indonesia yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas, beliau berkata wakil kedua-dua negara berhubung pembantu rumah berkenaan akan mengadakan mesyuarat di Jakarta untuk menyelesaikan perkara itu. Katanya kementerian berkenaan telah meminta pihak di Indonesia memberi latihan secara lebih luas dalam semua bidang supaya pembantu rumah yang dihantar ke negara ini boleh bekerja dengan baik.

"Kita setuju latihan dijalankan dan dalam pada itu ada bidang pengkhususan untuk mereka yang mahukan kerja khusus. Yang (mahu) am, mereka boleh dapatkan pembantu am. Kita akan jelaskan apa yang diputuskan dalam jawatankuasa bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen kewarganegaraan Malaysia kepada 212 penerima di bawah program MyDaftar kebangsaan di sini, Jumaat. Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun, 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia. Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu. Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

MAJIKAN PRIHATIN KEBAJIKAN AMAH

Majikan di negara ini amat bertimbang rasa terhadap pembantu rumah dengan menanggung keperluan asas mereka, selain gaji bulanan yang ditetapkan mengikut perjanjian. Malah, ada majikan tidak memotong bayaran pengambilan atau levi yang mencecah ribuan ringgit daripada gaji pembantu rumah bagi memastikan mereka tidak mengalami kesempitan wang setiap bulan.CPekerja swasta, Herlina Ahmad, 32, berkata beliau tidak pernah lewat memberi gaji kepada pembantu rumah, selain menyediakan makanan dan keperluan diri seperti kelengkapan mandian dan keperluan diri yang diminta. C“Saya mengambil pembantu rumah terus dari Indonesia dengan kos menyediakan permit, pasport, pemeriksaan kesihatan, dan keperluan lain mencecah RM4,000.

Kos tambahan yang diperuntukkan bagi ‘menanggung’ pembantu rumah dianggarkan RM100 hingga RM200 sebulan tetapi tidak pernah terfikir untuk memotong gaji mereka,” katanya. CBeliau juga tidak bersetuju jika gaji pembantu rumah dibayar minimum RM700 kerana ia tidak adil kepada majikan yang selama ini tidak pernah berkira dalam pelbagai keperluan pekerja mereka. CPekerja swasta, Jessina Jaafar Sidek, 35, yang mempunyai pembantu rumah sejak setahun lalu, berkata beliau tidak pernah membezakan layanan kepada pekerja dengan ahli keluarganya. “Pembantu rumah dianggap sebahagian daripada keluarga. Malah, saya tidak memotong kos pengambilan awal mereka daripada gaji bulanan bagi memastikan keperluan mereka sentiasa cukup,” katanya.

PAPA CADANG HENTI AMBIL

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mungkin menghentikan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia kerana tidak bersetuju dengan penetapan gaji minimum RM700 sebulan dengan hanya melakukan satu tugas khusus saja.  Presidennya, Jeffrey Foo, berkata peraturan baru itu amat keterlaluan dan tidak masuk akal, sebaliknya akan membebankan majikan yang terpaksa membayar upah tinggi. Beliau berkata, ketika memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia 2006 yang ditandatangani dua negara itu pada Mei tahun lalu, syarat baru itu langsung tidak ada. Jika kini ada pula syarat baru ditetapkan, maka ia jelas melanggar perjanjian yang ditetapkan sebelum ini, kami berharap perkara ini akan diteliti semula dan jika tiada perubahan PAPA tiada cara, selain mencari alternatif baru untuk memenuhi keperluan rakyat kita,” katanya.  

Jeffrey berkata, berikutan peraturan baru itu, PAPA juga dalam pertimbangan untuk mengambil pembantu rumah dari negara lain, antaranya Filipina dan Kemboja yang tidak meletakkan sebarang pengkhususan kerja.  Beliau berkata, sejak pembekuan sementara pembantu rumah dari Indonesia pada 2009, PAPA kini menerima lebih 3,000 permohonan baru untuk mendapatkan khidmat mereka.  Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, tidak adil kepada majikan yang perlu membayar gaji bulanan RM700 tetapi pembantu rumah hanya melakukan satu tugas khusus saja.  “Ini membebankan majikan yang kemudian terpaksa melakukan tugas lain sebaik mereka pulang ke rumah selepas bekerja. MEF melihat keputusan kerajaan Indonesia itu amat tidak logik,” katanya.  Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika keputusan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih ramai wanita terpaksa berhenti kerja dan menjadi suri rumah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 dan 17 Mac 2012

16 Mac 2012

ISU PERGURUAN : GURU DG41 DIPELAWA MOHON JAWATAN PENSYARAH DG44


PUTRAJAYA 16 Mac 2012 – Guru-guru Gred DG41 yang ingin menjadi pensyarah Gred DG44 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kini dipelawa mengemukakan permohonan. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, permohonan untuk menjadi pensyarah bagi gred itu dibuka pada 13 Mac dan berakhir 30 Mac 2012. "Kita ingin mempelawa mana-mana guru Gred DG41 yang layak supaya memohon jawatan ini, terdapat sebanyak 620 kekosongan untuk jawatan ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas menangani Isu Kekurangan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini hari ini. Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web IPGM. IPGM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang melatih bakal guru sekolah rendah dan menengah. – BERNAMA

KOMEN CIKGU ZUL

Saya amat tertarik dengan kenyataan ini. Saya berharap sangat Ketua Jabatan tidak akan menghalang mana-mana guru untuk memohon dengan alasan kepakaran masih diperlukan atau tidak ada guru yang layak menggantikan seseorang guru bagi mengajar subjek yang berkenaan jika guru tersebut keluar dari sekolah. Saya juga berharap pihak PPD dan JPN tidak akan menghalang mana-mana guru untuk berhijrah menjadi pensyarah di maktab perguruan. Biarlah guru diberikan peluang untuk menimba pengalaman di tempat lain. Kita kena berpegang kepada prinsip hilang satu, ada 1000 lagi akan datang menggantikannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU KESIHATAN : UBAT-UBATAN HALAL : DI MANAKAH UMAT ISLAM?

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Kejahilan dan kekurangan ilmu serta maklumat masyarakat Islam tentang keutamaan dalam Islam kadangkala menyebabkan segelintir meletakkan perkara yang utama itu tidak kena pada tempatnya. Akibatnya, timbul kelompongan dalam masyarakat menyebabkan ia menjadi keributan yang tiada sudahnya. Dilema yang melanda masyarakat Islam hari ini bukan setakat berkisar kepada makanan malah melibatkan perubatan. Ia meliputi penjagaan kesihatan dan ubatan yang turut mengalami kemelut berhubung soal halal dan haram. Masyarakat Islam amat prihatin dengan penggunaan bahan bersumberkan babi kerana ia melibatkan soal halal dan haram serta menjadi satu persoalan dasar dalam setiap penjuru kehidupan. Lantaran isu penggunaan unsur babi dan bahan haram lain menjadi suatu permasalahan yang tiada hujungnya. Meninjau isu-isu terkini dalam dunia farmaseutikal, banyak perubahan dan perkembangan berlaku. Halal memasuki bidang farmaseutikal membawa kepada perubahan dalam penghasilan ubat yang ketat. Malaysia terkehadapan dalam dunia penghasilan vaksin dan biofarmaseutikal kerana mewujudkan standard MS 2424:2010. Ia merupakan perkembangan positif kerana kita amat bergantung kepada dunia luar dalam penghasilan ubat-ubatan.

Banyak sekali penggunaan unsur yang berasaskan babi dan benda haram menjadi bahan dalam penghasilan ubat-ubatan. Disebabkan penggunaan gelatin begitu meluas, masyarakat Islam juga berkemungkinan banyak terdedah kepada penggunaan ubat-ubatan haram disebabkan sumber gelatin yang tidak halal. Sebagai umat Islam, adakah kita dapat memastikan gelatin di dalam ubat yang kita telan datangnya daripada sumber yang halal? Di Malaysia, terdapat beberapa fatwa dan hujah diwartakan. Diharapkan ia mampu melegakan pengguna Islam dalam menangani kemelut berkaitan farmaseutikal. Sudah jelas apa yang diharamkan dalam Islam itu akan membawa kemudaratan. Begitu juga berkenaan babi yang sudah termaktub haram dalam al-Quran disebabkan kemudaratannya. Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada aliran yang menyatakan bahawa boleh menggunakan unsur babi jika tiada alternatif lain. Dalam hal ini, Islam menetapkan kelonggaran atas prinsip darurat jika tiada alternatif selain menggunakan unsur babi.

Dari sudut lain, seandainya ubat-ubatan tersebut sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada ubatan lain yang menyamai fungsinya, terdapat kelonggaran yang membolehkan pengunaan ubat tersebut. Ia juga berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh pakar perubatan yang merawat dan lebih mengetahui tentang keadaan pesakit pada waktu kecemasan itu. Islam amat memudahkan dengan syarat ia digunakan mengikut kadar yang diperlukan sahaja. Walaubagaimanapun, umat Islam tidak seharusnya bergantung selamanya kepada prinsip darurat dalam mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu perkara. Masanya sudah tiba untuk mengubah nasib ummah agar tidak dibelenggu dengan masalah sebegini. Syariat Islam sememangnya menyediakan jalan keluar bagi sesuatu yang rumit melalui prinsip darurat, tetapi umat Islam perlu insaf bahawa Allah sentiasa memberikan peluang kepada mereka mengubah situasi kehidupan.

Satu persoalan yang mungkin timbul ialah sampai bila prinsip darurat itu boleh digunakan? Di sini, pentingnya pihak penguasa mengambil peranan yang sewajarnya kerana masyarakat Islam amat sensitif apabila melibatkan perkara yang berhubung dengan babi. Jadi, sekiranya sudah ada alternatif yang boleh menggantikan ubat sedia ada daripada sumber babi dengan keberkesanan dan impak yang sama, mengapa hujah darurat masih perlu digunapakai? Tidak timbul darurat disebabkan kos yang tinggi untuk pengeluaran ubat yang halal. Pihak berkuasa perlu bersifat proaktif dalam menangani isu kehalalan produk farmaseutikal. Realiti pada hari ini, umat Islam masih keliru dengan penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi adalah haram menurut Islam tetapi penjualannya masih dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, keselamatan dan label produk yang menyatakan sumber haiwan yang digunakan.

Ia dilihat untuk membolehkan mereka yang bukan beragama Islam menggunakannya dan orang bukan Islam mengelakkan daripada menggunakannya ataupun boleh menggunakannya jika atas dasar darurat seperti yang dibenarkan dalam Islam. Oleh itu, apa yang penting di sini perlunya pengamal perubatan yang telus dan bertanggungjawab untuk memberitahu tentang jenis ubat yang dipreskripsikan kepada pesakitnya. Ketelusan pihak hospital dan pakar perubatan amat diharapkan masyarakat Islam dalam hal sebegini. Pengguna juga tidak dapat lari daripada perlu memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar tidak terpedaya atau kelesuan dalam mengikuti arus perdana. Sebagai pesakit atau pengguna, hak yang dimiliki perlu ditegakkan melalui maklumat yang sahih dan tidak mempunyai persepsi bahawa ubat yang halal sahaja yang akan dijual atau dipreskripsikan oleh doktor. Disebabkan itulah, kadangkala umat Islam sendiri terlepas pandang dan akhirnya tidak menyedari menggunakan ubat yang diharamkan dalam Islam. Kita yang sewajarnya memulakan tindakan untuk mendapatkan perkhidmatan/ubatan yang terbaik demi kemaslahatan bersama.

Kesimpulannya, umat Islam seharusnya memantapkan diri dengan ilmu dan maklumat agar lebih mudah menghadapi apa jua permasalahan yang melibatkan persoalan kehidupan. Umat Islam wajar terkehadapan dalam membuat penyelidikan dan penghasilan ubat- ubatan halal selaras dengan permintaan yang tinggi dan kebergantungan mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik selaras dengan tuntutan Islam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : PROMOSI BUDAYA GAY : RUNTUHNYA PROSES MENGADABKAN INSAN

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Tahun lalu negara ini digemparkan dengan penganjuran seksualiti merdeka dan beberapa hari lepas pula kita dikejutkan dengan berita semakin ramai lelaki Melayu terlibat dalam aktiviti mempromosi budaya gay. Melimpahnya laman sembang mempromosikan aktiviti songsang terutama menerusi Facebook (FB) menggambarkan bahawa persoalan adab kehidupan manusia semakin terancam, yakni sedang dicabar agar pengamal budaya keliru itu diberikan pengiktirafan dan hak secara bebas memilih kerana ia adalah prinsip yang dijamin menerusi tafsiran kebebasan asasi. Perjuangan pengamal seks songsang yang bermula di Barat itu sebenarnya dikritik oleh ramai pihak sebagai suatu bentuk kehidupan yang melanggar prinsip semula jadi. Suatu ketika, pemimpin-pemimpin agama mengenakan hukuman bunuh kepada mereka yang mengamalkan budaya songsang itu.

Bagaimanapun, apabila berubahnya persekitaran hidup yang mendominasikan kebebasan membuat pilihan, budaya itu berkembang sehingga berjaya mendesak penggubal undang-undang agar memberikan mereka pengiktirafan. Kini, perkahwinan sejenis dan mengamalkan seks songsang bukan lagi menjadi sesuatu yang ‘salah’ dari segi undang-undang, bahkan sudah pula diiktiraf sebagai budaya yang sah dan halal. Perkembangan tersebut membawa kepada proses perubahan nilai adab dan adat sehingga agama dijelmakan pilihan terakhir sebagai penentu budaya. Ini kerana agama dilihat sebagai penghalang terbesar dan pagar yang kian runtuh dalam diri manusia moden yang berpaksikan kebebasan tanpa had dan sempadan lahiriah. Perubahan itu turut berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam dan golongan lelaki lembut itu boleh dilihat di mana-mana. Bahkan, di kampung fenomena seperti itu tidak lagi dipandang aneh dan keterlaluan, malah ada ketikanya diberikan simpati meskipun secara sinis.

Beberapa bulan lalu, seorang lelaki lembut yang bekerja sebagai ‘mak andam’ meninggal dunia setelah beberapa hari koma akibat kemalangan jalan raya. Sekumpulan lelaki lembut ikut menziarahi rumah rakannya untuk memberikan penghormatan terakhir. Mereka datang secara berkumpulan dengan berpakaian baju Melayu, berseluar jeans, berkasut tumit tinggi dan jalannya melenggok melebihi wanita tanpa menunjukkan segan mempamerkan adab itu sehingga beberapa orang lain menjadi keliru dan tercengang. Mereka turut ke tanah perkuburan dan ketika talkin bermula, barisan hadapan ialah rakan-rakan ini yang terkumat-kamit mengaminkan doa meskipun tidak diketahui sama ada benar-benar memahami apa yang disebut oleh seorang guru agama yang mengetuai ritual itu. Sebaik selesai, kumpulan yang mengalami krisis identiti itu bersembang sesama sendiri, bahkan ada di antara mereka mengambil gambar dan kemudiannya diposkan dalam laman FB masing-masing.

Apa yang mendukacitakan ialah cara mereka menghormati rakan yang sudah meninggal dunia sehingga terdengar raungan dan tangisan setelah upacara pengkebumian selesai. Menerusi laman FB mereka juga merakamkan kesedihan melampau tanpa sedikit pun terpahat emosi kesal hidup dalam kecelaruan jantina. Rasullullah SAW dalam satu hadisnya bersabda, Rabbi Faahsana Ta‘dibi, Tuhanku, didiklah aku dengan didikan terbaik. Maksudnya, bagi Rasullullah SAW ia membawa konsep pembangunan diri, mengharapkan Allah SWT memberikan pedoman dan panduan bagi mendidik diri menjadi manusia yang terbaik. Konsep pendidikan dalam tradisi Islam tidak terhad kepada ilmu pengetahuan sebagaimana diklasifikasikan dalam skema pemikiran masyarakat masa kini. Skema pendidikan yang berteraskan membentuk akal budi, kebijaksanaan berfikir hendaklah berteraskan keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai pengetahuan yang lebih besar dan tidak terbatas, dan kedudukan itu ikut mendisiplinkan manusia agar berupaya mengimbangi antara yang hak dan yang batil.

Manusia berhak hidup dan kehidupan itu pula mesti berteraskan prinsip membuat kebaikan, untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat dengan menjauhkan segala kemungkaran, termasuk mencampurkan nilai dan tabie wanita dalam tubuh yang dilahirkan sebagai lelaki atau sebaliknya. Allah SWT memberikan sempadan jelas, lelaki adalah pasangan bagi wanita, dan diharamkan lelaki memilih pasangan hidupnya sesama lelaki, wanita dengan wanita dan lelaki dan wanita tanpa diikatkan dengan akad nikah. Teknologi yang berlandaskan kehendak bertukar-tukar maklumat secara lebih pantas dan cepat, dalam konteks masa sebenar dan lebih personal akhirnya telah mengkhianati ikatan kemasyarakatan yang dipertahankan. Akal budi yang dijaga dan dipupuk bertukar menjadi akal budi yang sentiasa bercanggah dan semakin bersifat paradoks. Bagi akal budi yang baru dibentuk, pendidikan dilihat sebagai hanya proses pemindahan maklumat dan keterampilan, kerana mereka yang boleh menguasai maklumat dan keterampilan itulah diberikan kedudukan terbaik, dihormati dan dimuliakan dengan status bersifat ganjaran material. Inilah kesilapan yang akhirnya menggelisahkan masyarakat, kerana jalur berfikir tidak lagi menyentuh adab, disiplin akal, kalbu dan amal.

Konteks pengetahuan berpaksikan kepada menguasai maklumat, dan maklumat itulah dikatakan sebagai komoditi yang bukan sahaja memberikan keuntungan yang besar, bahkan sebagai prasyarat utama untuk berkuasa dan menguasai. Unsur adab, kalbu dan amal yang berada di luar lingkaran kognitif dilihat sebagai satu pengkhususan yang hanya perlu dikuasai oleh golongan tertentu, yakni golongan agama. Dalam situasi tertentu, nilai-nilai agama dan tokoh agama hanya penting apabila seseorang itu telah meninggal dunia. Tokoh agama menjadi keperluan mendesak untuk menguruskan proses pengkebumian seseorang buat kali terakhir, dan inilah yang dapat disimpulkan menerusi variasi kelompok ini memberikan penghormatan terakhir kepada rakannya. Tidak seorang pun daripada mereka yang datang pada malam selepas jenazah dikebumikan berada dalam kelompok yang bertahlil. Tentunya, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan pandangan untuk memantau laman web songsang lebih ramai mereka yang melihatnya sebagai langkah tepat. Bagaimanapun, dalam keghairahan memberikan jaminan itu timbul pula soalan, sejauhmanakah Jakim mampu memantaunya?

Persoalan itu semakin menjadi resah yang besar kerana jumlah pengguna FB di Malaysia mencecah hampir 12 juta orang, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan Internet (17 juta atau 60 peratus daripada jumlah penduduk). Semakin sehari semakin membesar kelompok pengguna FB, maka mampukah Jakim nak memantaunya? Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB paling ramai di dunia. Penggunaan FB di Malaysia adalah lebih ramai daripada Australia (10.7 juta) dan Taiwan (11.16 juta) tetapi berada di belakang Thailand (12.9 juta), Sepanyol (15.3 juta) dan Colombia (15.6 juta). 53 peratus adalah lelaki dan 93 peratus berumur di bawah 45 tahun. Kalau pun dapat memantau, apakah hasilnya nanti mampu membendung kemunculan lebih banyak laman sembang seks mahupun FB yang mempromosi budaya LBGT -lesbian, biseksual, gay dan transeksual sehingga kelompok tersebut berada dalam situasi terpedoman dan kembali ke perspektif yang betul? Inilah yang perlu diterjemahkan oleh kita semua, termasuk tokoh agama dan pemimpin politik kalau ingin bersungguh-sungguh mengembalikan pola kehidupan beradab, selaras dengan peranan kita dalam membangun kalbu dengan nilai-nilai kerohanian, rabbaniah sebagai proses transformasi sosial ummah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : USAHA TANGANI KESESAKAN LALU-LINTAS

Oleh M JASNI MAJED


Pengalaman memandu ke Utara Semenanjung pada hari pertama cuti penggal persekolahan baru-baru ini sangat memeritkan. Cuba bayangkan, perjalanan sejauh 480 kilometer mengambil masa sepuluh jam! Biasanya tujuh atau lapan jam boleh sampai termasuk masa yang diambil untuk berhenti rehat sebanyak dua atau tiga kali sama ada di hentian lebuh raya ataupun di jalan biasa. Sepanjang lebuh raya, kenderaan tidak putus-putus dan di setiap hentian rehat dan rawat, bukan senang untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan. Apabila sampai ke Plaza Tol Juru, penulis terpaksa bersesak selama sepuluh minit dan selepas membayar tol tersebut, penulis terpaksa pula bersesak-sesak hampir sejam sebelum sampai ke Plaza Tol Sungai Dua. Seorang rakan yang kebetulan tinggal di Pulau Pinang memberitahu bahawa memang laluan Lebuh raya Utara Selatan antara Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua sesak tidak kira musim apa pun. Jika waktu kemuncak, sejam belum tentu lepas.

Hal ini tidak semestinya berlaku kerana ada kemalangan atau jalan diperbaiki, tetapi disebabkan kenderaan yang semakin banyak sekarang. Tidak dinafikan bahawa setiap kali musim cuti persekolahan, ramai yang bergerak untuk meraikan majlis perkahwinan, membawa anak-anak bercuti dan pelbagai urusan lain yang diambil sempena cuti sekolah. Tulisan ini bukanlah untuk meminta pihak-pihak tertentu menambah tempat parkir di hentian rehat dan rawat atau meminta orang ramai tidak melakukan pergerakan pada awal cuti sekolah, atau menyuruh orang menunda tarikh majlis perkahwinan dan sebagainya, tetapi adalah untuk mencari kaedah melancarkan pergerakan perjalanan kenderaan. Di sesetengah tempat, di samping mengadakan kawalan trafik, usaha penambahbaikan laluan perlu dilakukan untuk melicinkan perjalanan kenderaan. Malah, demi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, usaha membina laluan kedua ataupun jalan bertingkat patut dilakukan di kawasan yang jelas mengalami kesesakan serius sepanjang masa.

Setiap pengguna kenderaan yang menggunakan lebuh raya tentunya menghendaki perjalanan yang cepat dan selamat selaras dengan bayaran tol yang dikenakan ke atas mereka. Pembinaan lebuh raya yang antaranya adalah untuk menjimatkan masa perjalanan dan memendekkan jarak tidak akan mencapai matlamatnya jika pergerakan kenderaan di lebuh raya tersangkut di sana-sini apatah lagi pada musim cuti sekolah, hujung minggu, dan pada musim perayaan. Satu peristiwa yang berlaku ke atas diri penulis dua tahun lepas, iaitu pada Hari Raya ketiga, penulis terpaksa bersesak-sesak di Lebuh Raya Utara Selatan dari Changkat Jering untuk ke Hentian Sungai Perak yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer. Malangnya kesesakan itu berlaku pada pukul 2 pagi yang berpunca daripada kenderaan terlalu banyak mahu memasuki hentian rehat dan Rawat Sungai Perak. Maka terpaksalah penulis mengikut jalan lama iaitu keluar ke Bandar Kuala Kangsar dan mengikut jalan lama menuju ke Sitiawan. Meskipun jalan itu sunyi dan mempunyai pelbagai risiko termasuk kesukaran yang bakal dialami jika kenderaan bermasalah, penulis sampai juga ke Klang dengan mengambil masa empat jam.

Kesimpulannya, pelbagai pihak mesti memikirkan beberapa kaedah untuk menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya sekarang. Tahun lepas, Malaysia mencatatkan 21,159,145 buah kenderaan berdaftar dan angka ini akan meningkat dari setahun ke setahun. Di rumah kita sendiri pun, kadang-kadang terdapat dua atau tiga buah kereta sehingga sukar tiada ruang untuk meletak kenderaan itu. Di jalan raya pun kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan yang sama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

ISU SOSIAL : HIDUP MELARAT PADA USIA EMAS


Memiliki empat cahaya mata yang sudah dewasa, wang simpanan yang mencukupi dan rumah sendiri, Lee Hua menyangka dia boleh menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam suasana yang selesa. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita berusia 77 tahun itu kini terpaksa menyara hidup dengan mengutip barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk dijual. Dengan nada suara yang perlahan dan tidak bermaya, Hua menceritakan bagaimana dia telah dipaksa keluar dari rumahnya dan kini tinggal di sebuah rumah usang yang disewa di Jinshan di luar ibu kota Taiwan. Malah, duit simpanan di dalam bank juga sudah tiada. Lebih memburukkan keadaan, dia turut terputus hubungan dengan tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya. "Sudah terlalu banyak saya menangis sehingga penglihatan saya menjadi kabur. Sekarang, saya cuba untuk tidak memikirkan apa yang telah berlaku," katanya yang duduk di tengah-tengah timbunan kotak, botol-botol plastik dan tin-tin minuman yang dikutip di jalanan.

Hua yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak Tw$500 (RM51.60) hasil menjual sampah yang dikutip kepada perniagaan kitar semula, mewakili kumpulan baharu warga tua di Taiwan yang dipinggirkan anak sendiri lantaran generasi muda sudah hilang ketaatan kepada ibu bapa. Hidup Hua mula tidak keruan selepas kematian suami sejak 13 tahun lalu apabila anak perempuan sulung dan menantunya ingin meminjam wang ketika itu untuk memulakan perniagaan mereka. "Bagaimanapun, wang yang telah dipinjam itu langsung tidak dikembalikan dan mereka juga terus menghilangkan diri," imbau Hua tentang kisah silamnya sambil menahan air mata daripada gugur membasahi pipinya. "Saya tidak sangka anak dan menantu sanggup menipu ibu sendiri sehingga semua wang yang saya miliki hilang begitu sahaja. Inilah takdir saya." Sementara itu, anak keduanya yang juga seorang perempuan turut terputus hubungan dengan Hua apabila dimasukkan ke penjara selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Seorang lagi anak perempuan Hua masih berhubung dengannya, tetapi dia tidak dapat membantu dalam aspek kewangan kerana pendapatan yang diperoleh juga tidak mencukupi.

Nilai kekeluargaan berubah

Berdasarkan statistik, hampir 2,800 warga tua di Taiwan telah memohon bantuan terhadap kes penderaan, diabaikan dan dibuang keluarga pada tahun 2010. Menurut data terbaharu kerajaan, jumlah itu meningkat berbanding hanya 2,100 pada tahun 2009. "Bilangan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan ada juga warga tua yang malu untuk mengakui bahawa mereka mempunyai anak-anak yang tidak bertanggungjawab," jelas Ketua Yayasan Elders di Taiwan, Lee Hsiung. Terang Hsiung, pekerja sosial jauh daripada kes terpencil dan perubahan nilai kekeluargaan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab golongan dewasa terhadap ibu bapa mereka yang sudah tua.

Budaya tradisional Cina amat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa. Malah, lelaki dewasa yang sudah berkahwin juga biasanya akan tinggal serumah dengan ibu bapa mereka supaya kebajikan orang tua terjamin. "Membesarkan anak-anak bermakna keselamatan pada usia tua," ujar Hsiung memetik satu pepatah lama. Memiliki keluarga yang besar pula adalah satu perkara normal. Namun demikian, hari ini struktur keluarga telah berubah. Pasangan yang berkahwin lebih suka memiliki sedikit anak dan ini menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjadi antara yang paling rendah di dunia. Ahli sosiologi pula mengatakan golongan dewasa tidak kira lelaki atau wanita sanggup memilih untuk hidup sendirian daripada berkahwin dan memiliki keluarga sekali gus meningkatkan rasa individulisme. Daripada 23 juta populasi penduduk Taiwan, sebanyak 10.7 peratus mencecah usia 65 tahun ke atas, jauh melebihi paras tujuh peratus untuk kebanyakan negara yang ditakrifkan sebagai penuaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS), bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami kadar kelahiran paling rendah di dunia. Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984. "Ia bukan hanya paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan, tetapi juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi daripada biro tersebut. Kakitangan di Yayasan Elders, Wu Chiang-sheng memberitahu, dia telah mengendalikan banyak kes yang lebih serius berbanding apa yang dialami Hua. Antaranya kes seorang wanita berusia 90 tahun dengan tujuh orang anak yang kesemuanya enggan menjaga ibu mereka kerana sibuk dengan tuntutan kerja.

Undang-undang baharu

Lantaran itu, kerajaan sedang mempertimbangkan satu rang undang-undang untuk memenjarakan anak-anak yang gagal menjaga ibu bapa yang sudah tua. Keputusan itu juga dibuat berikutan kes membuang atau meminggirkan ibu bapa semakin meningkat. "Tidak ketinggalan, terdapat juga kes-kes melibatkan anak-anak yang telah dewasa, tetapi tidak bekerja dan masih bergantung harap kepada kedua-dua orang tua untuk menyara hidup mereka. Walaupun usia telah mencecah 30 hingga 40 tahun, mereka tetap memilih untuk kekal menganggur dan tinggal bersama ibu bapa. Inilah yang disebut sebagai bentuk penderaan ekonomi kepada golongan tua," terang Chiang-sheng lebih lanjut. Kadar pengangguran di Taiwan berada pada tahap 4.18 peratus pada Januari lalu. Pertumbuhan ekonomi di pulau itu juga susut dengan ketara kepada 1.89 peratus pada suku keempat tahun 2011, kadar paling perlahan dalam tempoh lebih dua tahun.

Sementara itu, Persekutuan Kebajikan Warga Tua Taiwan mula mempromosikan konsep keselamatan ekonomi warga tua seperti menggalakkan mereka menyimpan wang dalam unit amanah. Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou menganggap penjagaan warga tua merupakan cabaran besar bagi kerajaan yang merancang untuk menggubal undang-undang baharu penjagaan warga tua jangka panjang sekitar tahun 2017. Tahun ini, kerajaan bersedia untuk memulakan percubaan sistem gadai janji saraan hari tua untuk individu yang tidak mempunyai anak. Melalui sistem ini, mereka boleh menggadai rumah atau hartanah yang ada kepada pihak bank untuk mendapatkan elaun bulanan, tetapi pada masa yang sama mereka masih menetap di rumah tersebut. Pengumpul sampah warga emas, Hua bagaimanapun masih bersikap skeptikal terhadap sejauh mana bantuan yang akan disalurkan kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh melakukan banyak dalam hal ini terutamanya sejak pertumbuhan ekonomi semakin teruk. Saya cuma berharap agar satu hari nanti, anak lelaki saya akan mendapat pekerjaan yang baik supaya dia boleh menjaga saya sehingga kematian menjemput," sayu suara Hua melahirkan harapan yang pada hakikatnya belum pasti sama ada tertunai atau tidak.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Kosmo
16 Mac 2012

ISU IPT : KAD DISKAUN PELAJAR UNIVERSITI


Semua pelajar di semua institusi pengajian tinggi di negara ini akan diberikan kad diskaun yang bakal diperkenalkan pada Jun tahun ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengeluarkan kad berkenaan kepada pelajar universiti bagi membantu mengurangkan beban mereka berikutan kenaikan harga barangan. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat mengenai skim diskaun tersebut. Setakat ini kementerian sudah pun berurusan dengan tujuh syarikat yang mengusahakan perniagaan berkaitan dengan buku, kelengkapan sukan dan pengangkutan, di mana berminat untuk bekerjasama. Tetapi pihak kementerian masih meneliti tentang berapa banyak diskaun yang akan diberikan kepada mereka dari segi jenis barangan dan perkhidmatan. Kementerian tersebut akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Rakyat untuk melancarkan kad berkenaan sebaik sahaja memuktamadkan perkara ini dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat. Beliau menambah, kad diskaun berkenaan akan diberikan secara percuma kepada para pelajar.

KOMEN CIKGU ZUL

Cadangan ini memang relevan dalam situasi kenaikan harga barang yang semakin membinggungkan pada masa ini. Dengan keadaan diri yang belum mempunyai pekerjaan dan hidup bersandarkan kepada biasiswa, pinjaman PTPTN, dan ibu bapa, pelajar universiti memang memerlukan kad ini untuk mengurangkan beban sewaktu mereka berbelanja. Walau bagaimanapun, cadangan ini haruslah dapat membantu pelajar-pelajar ini dengan sebijak-bijaknya. Jika diskaun yang diberikan hanyalah dalam lingkungan 5% hingga 10% sahaja, lebih baik cadangan ini dibatalkan sahaja kerana tidak membawa manfaat yang banyak kepada pelajar. Namun begitu, ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja sebagai seorang bekas pelajar universiti yang bukannya anak orang senang sehingga dalam beberapa ketika terpaksa mengikat perut sebab hendak berjimat belanja. Apa-apa pun, tindakan kerajaan ini memang ada rasionalnya dan jika dilaksanakan pasti akan membawa banyak kemaslahatan kepada pelajar universiti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
mStar Online
16 Mac 2012

15 Mac 2012

ISU UMUM : CADANGAN PEMANSUHAN HUKUMAN MATI PERLU DIPERHALUSI DARI SEMUA SUDUT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES


Hutang nyawa dibalas nyawa. Tiada hukuman lain yang mampu menebusnya. Itu yang dapat disimpulkan daripada kata-kata ibu kepada Nurul Nadhirah Abdullah, kanak-kanak malang yang disahkan dibunuh dan dibakar setelah hilang dari rumahnya hampir dua minggu lalu. Wanita itu juga tidak akan memaafkan orang yang bertanggungjawab ke atas kematian anaknya yang lebih dikenali sebagai Dirang dan mahu si pelaku, dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan. Hukuman yang paling memuaskan hati keluarga Allahyarham Dirang, hanyalah hukuman gantung sampai mati. Di Malaysia, dengan peningkatan kadar jenayah, saya merasakan cadangan sesetengah pihak agar hukuman mati dimansuhkan belum sesuai pada peringkat ini. Ia juga dilihat seolah-olah meminggirkan sensitiviti keluarga yang dirundung malang itu.

Jika pendekatan itu diterima pakai dalam kes-kes melibatkan kematian tragis seperti pembunuhan, hukuman berbentuk pampasan mahupun pemenjaraan dilihat masih sukar untuk diterima apatah lagi dilaksanakan. Pernah dalam kes-kes bunuh berprofil tinggi, ada suara-suara berunsur dendam diluahkan oleh keluarga mangsa, jika si pelaku tidak mati di tali gantung (terlepas hukuman mati), mereka akan pastikan si pelaku akan 'mati' dengan apa jua cara sekalipun. Dalam situasi ini, jika tiada hukuman mati, si pelaku mempunyai potensi untuk mengulangi kesalahan tersebut terhadap orang lain pula apabila dibebaskan kelak. Meskipun seandainya kenyataan itu meleset, namun masyarakat umumnya akan berasa terancam dan dibelenggu ketakutan sekiranya pembunuh masih berkeliaran kerana tidak 'disimpan selamat' di tempat yang sepatutnya.

Hukuman mati telah wujud dalam sejarah kemanusiaan. Pada zaman silam, bukan sahaja hukuman mati wujud malahan ia dijalankan dengan pelbagai cara yang 'kreatif'. Salah satu bantahan terhadap hukuman mati adalah, ia (hukuman) tidak akan dapat diperbetulkan jika pada akhirnya dikesan berlaku kesilapan. Selain itu, bantahan juga kedengaran apabila ada yang mengatakan hanya Tuhan yang berhak menentukan hidup atau mati seseorang. Namun begitu, salah satu cara bagi mengelakkan daripada berlakunya kesilapan, negara ini mempunyai proses rayuan sebanyak dua kali. Selain proses rayuan di mahkamah, terdapat juga proses yang dikendalikan oleh Lembaga Pengampunan bagi menjamin hak tertuduh.

Sudah menjadi lumrah, pihak yang menjadi mangsa sesuatu perlakuan jenayah itu menuntut hukuman semaksimum mungkin seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang. Misalnya, individu yang hilang sebelah matanya seboleh-bolehnya mahukan pesalah itu dibutakan kedua-dua belah matanya. Jika persoalan ini diajukan kepada pengamal undang-undang, mereka berpendapat isu pemansuhan hukuman mati ini perlu dilihat dalam dua konteks yang berbeza. Iaitu adakah hukuman gantung boleh mengelakkan (deterrent) bakal pesalah masa hadapan atau mampu mencegah kesalahan membabitkan jenayah berat seperti bunuh. Konteks kedua pula, seandainya ia dimansuhkan, adakah kesalahan sebegini akan berleluasa.

Peguam Salim Bashir berkata, sehingga kini ramai yang berdebat tentang isu ini misalnya ada yang berpendapat, kita sebagai manusia tidak berhak mengambil nyawa, ada pula yang menyatakan nyawa perlu diganti dengan nyawa. Beliau pula berpendapat, ada beberapa kesalahan berat yang memerlukan kajian sama ada hukuman gantung itu perlu. Misalnya pengedaran dadah yang boleh diganti dengan hukuman penjara. Manakala bagi kesalahan melibatkan jenayah kejam seperti bunuh, katanya, maka kajian yang lebih terperinci dari semua sudut diperlukan sebelum pemansuhan dibuat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Mac 2012