JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Mac 2012

ISU SOSIAL : HIDUP MELARAT PADA USIA EMAS


Memiliki empat cahaya mata yang sudah dewasa, wang simpanan yang mencukupi dan rumah sendiri, Lee Hua menyangka dia boleh menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam suasana yang selesa. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita berusia 77 tahun itu kini terpaksa menyara hidup dengan mengutip barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk dijual. Dengan nada suara yang perlahan dan tidak bermaya, Hua menceritakan bagaimana dia telah dipaksa keluar dari rumahnya dan kini tinggal di sebuah rumah usang yang disewa di Jinshan di luar ibu kota Taiwan. Malah, duit simpanan di dalam bank juga sudah tiada. Lebih memburukkan keadaan, dia turut terputus hubungan dengan tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya. "Sudah terlalu banyak saya menangis sehingga penglihatan saya menjadi kabur. Sekarang, saya cuba untuk tidak memikirkan apa yang telah berlaku," katanya yang duduk di tengah-tengah timbunan kotak, botol-botol plastik dan tin-tin minuman yang dikutip di jalanan.

Hua yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak Tw$500 (RM51.60) hasil menjual sampah yang dikutip kepada perniagaan kitar semula, mewakili kumpulan baharu warga tua di Taiwan yang dipinggirkan anak sendiri lantaran generasi muda sudah hilang ketaatan kepada ibu bapa. Hidup Hua mula tidak keruan selepas kematian suami sejak 13 tahun lalu apabila anak perempuan sulung dan menantunya ingin meminjam wang ketika itu untuk memulakan perniagaan mereka. "Bagaimanapun, wang yang telah dipinjam itu langsung tidak dikembalikan dan mereka juga terus menghilangkan diri," imbau Hua tentang kisah silamnya sambil menahan air mata daripada gugur membasahi pipinya. "Saya tidak sangka anak dan menantu sanggup menipu ibu sendiri sehingga semua wang yang saya miliki hilang begitu sahaja. Inilah takdir saya." Sementara itu, anak keduanya yang juga seorang perempuan turut terputus hubungan dengan Hua apabila dimasukkan ke penjara selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Seorang lagi anak perempuan Hua masih berhubung dengannya, tetapi dia tidak dapat membantu dalam aspek kewangan kerana pendapatan yang diperoleh juga tidak mencukupi.

Nilai kekeluargaan berubah

Berdasarkan statistik, hampir 2,800 warga tua di Taiwan telah memohon bantuan terhadap kes penderaan, diabaikan dan dibuang keluarga pada tahun 2010. Menurut data terbaharu kerajaan, jumlah itu meningkat berbanding hanya 2,100 pada tahun 2009. "Bilangan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan ada juga warga tua yang malu untuk mengakui bahawa mereka mempunyai anak-anak yang tidak bertanggungjawab," jelas Ketua Yayasan Elders di Taiwan, Lee Hsiung. Terang Hsiung, pekerja sosial jauh daripada kes terpencil dan perubahan nilai kekeluargaan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab golongan dewasa terhadap ibu bapa mereka yang sudah tua.

Budaya tradisional Cina amat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa. Malah, lelaki dewasa yang sudah berkahwin juga biasanya akan tinggal serumah dengan ibu bapa mereka supaya kebajikan orang tua terjamin. "Membesarkan anak-anak bermakna keselamatan pada usia tua," ujar Hsiung memetik satu pepatah lama. Memiliki keluarga yang besar pula adalah satu perkara normal. Namun demikian, hari ini struktur keluarga telah berubah. Pasangan yang berkahwin lebih suka memiliki sedikit anak dan ini menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjadi antara yang paling rendah di dunia. Ahli sosiologi pula mengatakan golongan dewasa tidak kira lelaki atau wanita sanggup memilih untuk hidup sendirian daripada berkahwin dan memiliki keluarga sekali gus meningkatkan rasa individulisme. Daripada 23 juta populasi penduduk Taiwan, sebanyak 10.7 peratus mencecah usia 65 tahun ke atas, jauh melebihi paras tujuh peratus untuk kebanyakan negara yang ditakrifkan sebagai penuaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS), bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami kadar kelahiran paling rendah di dunia. Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984. "Ia bukan hanya paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan, tetapi juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi daripada biro tersebut. Kakitangan di Yayasan Elders, Wu Chiang-sheng memberitahu, dia telah mengendalikan banyak kes yang lebih serius berbanding apa yang dialami Hua. Antaranya kes seorang wanita berusia 90 tahun dengan tujuh orang anak yang kesemuanya enggan menjaga ibu mereka kerana sibuk dengan tuntutan kerja.

Undang-undang baharu

Lantaran itu, kerajaan sedang mempertimbangkan satu rang undang-undang untuk memenjarakan anak-anak yang gagal menjaga ibu bapa yang sudah tua. Keputusan itu juga dibuat berikutan kes membuang atau meminggirkan ibu bapa semakin meningkat. "Tidak ketinggalan, terdapat juga kes-kes melibatkan anak-anak yang telah dewasa, tetapi tidak bekerja dan masih bergantung harap kepada kedua-dua orang tua untuk menyara hidup mereka. Walaupun usia telah mencecah 30 hingga 40 tahun, mereka tetap memilih untuk kekal menganggur dan tinggal bersama ibu bapa. Inilah yang disebut sebagai bentuk penderaan ekonomi kepada golongan tua," terang Chiang-sheng lebih lanjut. Kadar pengangguran di Taiwan berada pada tahap 4.18 peratus pada Januari lalu. Pertumbuhan ekonomi di pulau itu juga susut dengan ketara kepada 1.89 peratus pada suku keempat tahun 2011, kadar paling perlahan dalam tempoh lebih dua tahun.

Sementara itu, Persekutuan Kebajikan Warga Tua Taiwan mula mempromosikan konsep keselamatan ekonomi warga tua seperti menggalakkan mereka menyimpan wang dalam unit amanah. Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou menganggap penjagaan warga tua merupakan cabaran besar bagi kerajaan yang merancang untuk menggubal undang-undang baharu penjagaan warga tua jangka panjang sekitar tahun 2017. Tahun ini, kerajaan bersedia untuk memulakan percubaan sistem gadai janji saraan hari tua untuk individu yang tidak mempunyai anak. Melalui sistem ini, mereka boleh menggadai rumah atau hartanah yang ada kepada pihak bank untuk mendapatkan elaun bulanan, tetapi pada masa yang sama mereka masih menetap di rumah tersebut. Pengumpul sampah warga emas, Hua bagaimanapun masih bersikap skeptikal terhadap sejauh mana bantuan yang akan disalurkan kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh melakukan banyak dalam hal ini terutamanya sejak pertumbuhan ekonomi semakin teruk. Saya cuma berharap agar satu hari nanti, anak lelaki saya akan mendapat pekerjaan yang baik supaya dia boleh menjaga saya sehingga kematian menjemput," sayu suara Hua melahirkan harapan yang pada hakikatnya belum pasti sama ada tertunai atau tidak.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Kosmo
16 Mac 2012

Tiada ulasan: