17 Mac 2012

ISU UMUM : TEKNOLOGI BANTU URUS SISTEM PERJAWATAN

Oleh Kamaruddin Mohd Said
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli Majlis Profesor Negara


Apabila skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diumumkan pada 1 Januari lalu, banyak pihak menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka. Ini ialah kerana SBPA jelas memberikan lebih banyak ganjaran gaji kepada penjawat awam yang berada pada gred gaji tertinggi (kumpulan utama), berbanding mereka yang berada pada gred gaji sederhana dan rendah kumpulan pelaksana dan pengurusan. Hal ini terjadi kerana SBPA digubal tanpa membabitkan kesatuan pekerja perkhidmatan awam. Prinsip kedua yang terpancar ialah bahawa walaupun ada perbezaan pandangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan CUEPACS berkaitan formula SBPA ini, perbezaan pendapat ini disuarakan dengan penuh kesopanan. CUEPACS mencadangkan supaya SBPA dikaji semula dan selepas menerima memorandum daripada CUEPACS dan ribuan komen serta aduan daripada penjawat awam, kerajaan menubuhkan kumpulan petugas yang diberi tanggungjawab meneliti semula cadangan SBPA itu.

Pendapatan penjawat awam dikira berdasarkan tiga perkara: jadual gaji matriks, jadual gaji minimum-maksimum dan kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan gred jawatan. Selain itu, Skim Saraan Malaysia (SSM) mengguna pakai konsep ‘anugerah perkhidmatan cemerlang’ dan ‘anjakan gaji’ sebagai ganjaran yang diberikan kepada penjawat awam berprestasi tinggi.  Sesungguhnya penjawat awam di Malaysia berada di bawah satu sistem pengurusan perjawatan yang kompleks. Ini ialah kerana skim perkhidmatan awam Malaysia mempunyai banyak ‘kumpulan perkhidmatan’, ‘klasifikasi perkhidmatan’ dan jadual ‘gred gaji’.  Oleh itu, sebarang skim saraan baru yang ingin dilaksanakan akan mengganggu, malah menggugat dinamik kedudukan penjawat awam dalam kumpulan perkhidmatan, klasifikasi perkhidmatan dan gred gaji ini. Selain itu, dengan cara memberikan peratusan pelarasan gaji lebih tinggi kepada penjawat awam dalam kumpulan gred gaji 1 hingga 54, iaitu sebanyak 13 peratus daripada gaji sedia ada dan antara tujuh hingga sembilan peratus kepada kumpulan JUSA ke atas, kadar pelarasan gaji ini membayangkan penggunaan prinsip peratus kenaikan yang lebih bagi golongan berpendapatan rendah dan peratus kenaikan yang kurang bagi golongan berpendapatan tinggi.

Kadar kenaikan gaji tahunan bagi penjawat awam gred 1 hingga 54 ialah antara RM80 hingga RM320 setahun. Keputusan ini boleh dianggap mempunyai landasan prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi semua penjawat awam.  Tidak dapat dinafikan bahawa jurang gaji di kalangan penjawat awam ini akan wujud berterusan. Ini juga ialah kerana penentuan gred gaji dan kenaikan gaji tahunan dikira berdasarkan prinsip meritokrasi, terutama meritokrasi kelayakan akademik.  Maksudnya, semakin tinggi kelayakan akademik seseorang, semakin tinggilah gaji yang diberikan kepada kakitangan awam.  Prinsip ini diiktiraf oleh komuniti penjawat awam di Malaysia. Penjawat awam berkelayakan tinggi biasanya memperlihatkan keupayaan setimpal dengan kelayakan akademiknya.  Selain itu, penjawat awam berkelulusan tinggi ini juga perlu membayar kembali kos pengajian tinggi yang mereka tanggung. Oleh itu, kewajaran memberikan mereka kadar gaji lebih tinggi jarang sekali dipersoalkan.  Ada beberapa isu penting di kalangan penjawat awam yang memerlukan langkah penyelesaian jangka panjang, iaitu menerusi penubuhan suruhanjaya semakan skim perkhidmatan.

Satu daripada isu besar ini adalah berkaitan dengan kedudukan penjawat awam yang layak dinaikkan pangkat, tetapi jabatannya tidak mempunyai peruntukan jawatan bagi pangkat berkenaan.  Keadaan ini terjadi kerana jawatan dalam perkhidmatan awam mempunyai terlalu banyak ‘klasifikasi perjawatan’ yang bilangannya terhad. Oleh itu, bagi penjawat awam yang berhadapan dengan klasifikasi kekosongan jawatan untuk kenaikan pangkat akan terus terperangkap dalam sangkar jawatannya yang tidak mempunyai laluan kerjaya terbuka.  Hal ini menyukarkan urusan pengurusan sumber manusia di pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam.  Satu perkembangan positif yang akan membantu memperkemaskan pengurusan perjawatan awam di Malaysia ialah kewujudan sistem Selenggara Skim Perkhidmatan dan Fungsi yang dibangunkan oleh JPA baru-baru ini.  Di bawah sistem ini, pakar saraan mempunyai cara yang lebih cekap untuk menyelenggara gred gaji, termasuk menambah gred gaji baru atau mengemas kini serta menghapus gred gaji yang sedia ada, berdasarkan maklumat terkini dan tersepadu.  Dengan cara ini, setiap usaha untuk melaksanakan pelarasan gaji atau menggubal satu skim perkhidmatan, akan dibantu oleh kewujudan data saraan komprehensif. Nampaknya, pengurusan sistem perjawatan dalam perkhidmatan awam yang kompleks ini memerlukan bantuan teknologi pengurusan maklumat yang canggih. Perkara berkaitan keadilan dan kesaksamaan bagi setiap orang penjawat awam juga akan dapat ditangani dengan menggunakan teknologi pengurusan maklumat yang canggih.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
17 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...