JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Mac 2012

ISU SOSIAL : PROMOSI BUDAYA GAY : RUNTUHNYA PROSES MENGADABKAN INSAN

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Tahun lalu negara ini digemparkan dengan penganjuran seksualiti merdeka dan beberapa hari lepas pula kita dikejutkan dengan berita semakin ramai lelaki Melayu terlibat dalam aktiviti mempromosi budaya gay. Melimpahnya laman sembang mempromosikan aktiviti songsang terutama menerusi Facebook (FB) menggambarkan bahawa persoalan adab kehidupan manusia semakin terancam, yakni sedang dicabar agar pengamal budaya keliru itu diberikan pengiktirafan dan hak secara bebas memilih kerana ia adalah prinsip yang dijamin menerusi tafsiran kebebasan asasi. Perjuangan pengamal seks songsang yang bermula di Barat itu sebenarnya dikritik oleh ramai pihak sebagai suatu bentuk kehidupan yang melanggar prinsip semula jadi. Suatu ketika, pemimpin-pemimpin agama mengenakan hukuman bunuh kepada mereka yang mengamalkan budaya songsang itu.

Bagaimanapun, apabila berubahnya persekitaran hidup yang mendominasikan kebebasan membuat pilihan, budaya itu berkembang sehingga berjaya mendesak penggubal undang-undang agar memberikan mereka pengiktirafan. Kini, perkahwinan sejenis dan mengamalkan seks songsang bukan lagi menjadi sesuatu yang ‘salah’ dari segi undang-undang, bahkan sudah pula diiktiraf sebagai budaya yang sah dan halal. Perkembangan tersebut membawa kepada proses perubahan nilai adab dan adat sehingga agama dijelmakan pilihan terakhir sebagai penentu budaya. Ini kerana agama dilihat sebagai penghalang terbesar dan pagar yang kian runtuh dalam diri manusia moden yang berpaksikan kebebasan tanpa had dan sempadan lahiriah. Perubahan itu turut berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam dan golongan lelaki lembut itu boleh dilihat di mana-mana. Bahkan, di kampung fenomena seperti itu tidak lagi dipandang aneh dan keterlaluan, malah ada ketikanya diberikan simpati meskipun secara sinis.

Beberapa bulan lalu, seorang lelaki lembut yang bekerja sebagai ‘mak andam’ meninggal dunia setelah beberapa hari koma akibat kemalangan jalan raya. Sekumpulan lelaki lembut ikut menziarahi rumah rakannya untuk memberikan penghormatan terakhir. Mereka datang secara berkumpulan dengan berpakaian baju Melayu, berseluar jeans, berkasut tumit tinggi dan jalannya melenggok melebihi wanita tanpa menunjukkan segan mempamerkan adab itu sehingga beberapa orang lain menjadi keliru dan tercengang. Mereka turut ke tanah perkuburan dan ketika talkin bermula, barisan hadapan ialah rakan-rakan ini yang terkumat-kamit mengaminkan doa meskipun tidak diketahui sama ada benar-benar memahami apa yang disebut oleh seorang guru agama yang mengetuai ritual itu. Sebaik selesai, kumpulan yang mengalami krisis identiti itu bersembang sesama sendiri, bahkan ada di antara mereka mengambil gambar dan kemudiannya diposkan dalam laman FB masing-masing.

Apa yang mendukacitakan ialah cara mereka menghormati rakan yang sudah meninggal dunia sehingga terdengar raungan dan tangisan setelah upacara pengkebumian selesai. Menerusi laman FB mereka juga merakamkan kesedihan melampau tanpa sedikit pun terpahat emosi kesal hidup dalam kecelaruan jantina. Rasullullah SAW dalam satu hadisnya bersabda, Rabbi Faahsana Ta‘dibi, Tuhanku, didiklah aku dengan didikan terbaik. Maksudnya, bagi Rasullullah SAW ia membawa konsep pembangunan diri, mengharapkan Allah SWT memberikan pedoman dan panduan bagi mendidik diri menjadi manusia yang terbaik. Konsep pendidikan dalam tradisi Islam tidak terhad kepada ilmu pengetahuan sebagaimana diklasifikasikan dalam skema pemikiran masyarakat masa kini. Skema pendidikan yang berteraskan membentuk akal budi, kebijaksanaan berfikir hendaklah berteraskan keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai pengetahuan yang lebih besar dan tidak terbatas, dan kedudukan itu ikut mendisiplinkan manusia agar berupaya mengimbangi antara yang hak dan yang batil.

Manusia berhak hidup dan kehidupan itu pula mesti berteraskan prinsip membuat kebaikan, untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat dengan menjauhkan segala kemungkaran, termasuk mencampurkan nilai dan tabie wanita dalam tubuh yang dilahirkan sebagai lelaki atau sebaliknya. Allah SWT memberikan sempadan jelas, lelaki adalah pasangan bagi wanita, dan diharamkan lelaki memilih pasangan hidupnya sesama lelaki, wanita dengan wanita dan lelaki dan wanita tanpa diikatkan dengan akad nikah. Teknologi yang berlandaskan kehendak bertukar-tukar maklumat secara lebih pantas dan cepat, dalam konteks masa sebenar dan lebih personal akhirnya telah mengkhianati ikatan kemasyarakatan yang dipertahankan. Akal budi yang dijaga dan dipupuk bertukar menjadi akal budi yang sentiasa bercanggah dan semakin bersifat paradoks. Bagi akal budi yang baru dibentuk, pendidikan dilihat sebagai hanya proses pemindahan maklumat dan keterampilan, kerana mereka yang boleh menguasai maklumat dan keterampilan itulah diberikan kedudukan terbaik, dihormati dan dimuliakan dengan status bersifat ganjaran material. Inilah kesilapan yang akhirnya menggelisahkan masyarakat, kerana jalur berfikir tidak lagi menyentuh adab, disiplin akal, kalbu dan amal.

Konteks pengetahuan berpaksikan kepada menguasai maklumat, dan maklumat itulah dikatakan sebagai komoditi yang bukan sahaja memberikan keuntungan yang besar, bahkan sebagai prasyarat utama untuk berkuasa dan menguasai. Unsur adab, kalbu dan amal yang berada di luar lingkaran kognitif dilihat sebagai satu pengkhususan yang hanya perlu dikuasai oleh golongan tertentu, yakni golongan agama. Dalam situasi tertentu, nilai-nilai agama dan tokoh agama hanya penting apabila seseorang itu telah meninggal dunia. Tokoh agama menjadi keperluan mendesak untuk menguruskan proses pengkebumian seseorang buat kali terakhir, dan inilah yang dapat disimpulkan menerusi variasi kelompok ini memberikan penghormatan terakhir kepada rakannya. Tidak seorang pun daripada mereka yang datang pada malam selepas jenazah dikebumikan berada dalam kelompok yang bertahlil. Tentunya, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan pandangan untuk memantau laman web songsang lebih ramai mereka yang melihatnya sebagai langkah tepat. Bagaimanapun, dalam keghairahan memberikan jaminan itu timbul pula soalan, sejauhmanakah Jakim mampu memantaunya?

Persoalan itu semakin menjadi resah yang besar kerana jumlah pengguna FB di Malaysia mencecah hampir 12 juta orang, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan Internet (17 juta atau 60 peratus daripada jumlah penduduk). Semakin sehari semakin membesar kelompok pengguna FB, maka mampukah Jakim nak memantaunya? Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB paling ramai di dunia. Penggunaan FB di Malaysia adalah lebih ramai daripada Australia (10.7 juta) dan Taiwan (11.16 juta) tetapi berada di belakang Thailand (12.9 juta), Sepanyol (15.3 juta) dan Colombia (15.6 juta). 53 peratus adalah lelaki dan 93 peratus berumur di bawah 45 tahun. Kalau pun dapat memantau, apakah hasilnya nanti mampu membendung kemunculan lebih banyak laman sembang seks mahupun FB yang mempromosi budaya LBGT -lesbian, biseksual, gay dan transeksual sehingga kelompok tersebut berada dalam situasi terpedoman dan kembali ke perspektif yang betul? Inilah yang perlu diterjemahkan oleh kita semua, termasuk tokoh agama dan pemimpin politik kalau ingin bersungguh-sungguh mengembalikan pola kehidupan beradab, selaras dengan peranan kita dalam membangun kalbu dengan nilai-nilai kerohanian, rabbaniah sebagai proses transformasi sosial ummah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

Tiada ulasan: