JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Mac 2012

ISU SOSIAL : USAHA TANGANI KESESAKAN LALU-LINTAS

Oleh M JASNI MAJED


Pengalaman memandu ke Utara Semenanjung pada hari pertama cuti penggal persekolahan baru-baru ini sangat memeritkan. Cuba bayangkan, perjalanan sejauh 480 kilometer mengambil masa sepuluh jam! Biasanya tujuh atau lapan jam boleh sampai termasuk masa yang diambil untuk berhenti rehat sebanyak dua atau tiga kali sama ada di hentian lebuh raya ataupun di jalan biasa. Sepanjang lebuh raya, kenderaan tidak putus-putus dan di setiap hentian rehat dan rawat, bukan senang untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan. Apabila sampai ke Plaza Tol Juru, penulis terpaksa bersesak selama sepuluh minit dan selepas membayar tol tersebut, penulis terpaksa pula bersesak-sesak hampir sejam sebelum sampai ke Plaza Tol Sungai Dua. Seorang rakan yang kebetulan tinggal di Pulau Pinang memberitahu bahawa memang laluan Lebuh raya Utara Selatan antara Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua sesak tidak kira musim apa pun. Jika waktu kemuncak, sejam belum tentu lepas.

Hal ini tidak semestinya berlaku kerana ada kemalangan atau jalan diperbaiki, tetapi disebabkan kenderaan yang semakin banyak sekarang. Tidak dinafikan bahawa setiap kali musim cuti persekolahan, ramai yang bergerak untuk meraikan majlis perkahwinan, membawa anak-anak bercuti dan pelbagai urusan lain yang diambil sempena cuti sekolah. Tulisan ini bukanlah untuk meminta pihak-pihak tertentu menambah tempat parkir di hentian rehat dan rawat atau meminta orang ramai tidak melakukan pergerakan pada awal cuti sekolah, atau menyuruh orang menunda tarikh majlis perkahwinan dan sebagainya, tetapi adalah untuk mencari kaedah melancarkan pergerakan perjalanan kenderaan. Di sesetengah tempat, di samping mengadakan kawalan trafik, usaha penambahbaikan laluan perlu dilakukan untuk melicinkan perjalanan kenderaan. Malah, demi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan, usaha membina laluan kedua ataupun jalan bertingkat patut dilakukan di kawasan yang jelas mengalami kesesakan serius sepanjang masa.

Setiap pengguna kenderaan yang menggunakan lebuh raya tentunya menghendaki perjalanan yang cepat dan selamat selaras dengan bayaran tol yang dikenakan ke atas mereka. Pembinaan lebuh raya yang antaranya adalah untuk menjimatkan masa perjalanan dan memendekkan jarak tidak akan mencapai matlamatnya jika pergerakan kenderaan di lebuh raya tersangkut di sana-sini apatah lagi pada musim cuti sekolah, hujung minggu, dan pada musim perayaan. Satu peristiwa yang berlaku ke atas diri penulis dua tahun lepas, iaitu pada Hari Raya ketiga, penulis terpaksa bersesak-sesak di Lebuh Raya Utara Selatan dari Changkat Jering untuk ke Hentian Sungai Perak yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer. Malangnya kesesakan itu berlaku pada pukul 2 pagi yang berpunca daripada kenderaan terlalu banyak mahu memasuki hentian rehat dan Rawat Sungai Perak. Maka terpaksalah penulis mengikut jalan lama iaitu keluar ke Bandar Kuala Kangsar dan mengikut jalan lama menuju ke Sitiawan. Meskipun jalan itu sunyi dan mempunyai pelbagai risiko termasuk kesukaran yang bakal dialami jika kenderaan bermasalah, penulis sampai juga ke Klang dengan mengambil masa empat jam.

Kesimpulannya, pelbagai pihak mesti memikirkan beberapa kaedah untuk menampung jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya sekarang. Tahun lepas, Malaysia mencatatkan 21,159,145 buah kenderaan berdaftar dan angka ini akan meningkat dari setahun ke setahun. Di rumah kita sendiri pun, kadang-kadang terdapat dua atau tiga buah kereta sehingga sukar tiada ruang untuk meletak kenderaan itu. Di jalan raya pun kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan yang sama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mac 2012

Tiada ulasan: