05 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : PESANAN BUAT SISWAZAH - LAKARKAN KEHIDUPAN YANG LEBIH BERKUALITI

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK
Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.


PIRAMID PRA-COLOMBIA, 
TEOTIHUACAN, MEXICO

Bulan ini musim universiti mengijazahkan pelajar yang bakal melangkah ke alam baru - baik alam pekerjaan ataupun selainnya. Apa pun, alam baru itu akan diharungi berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari bidang kepakaran masing-masing. Bagi Universiti Sains Malaysia (USM), metafora "Universiti Dalam Taman" yang dipupuk selama ini sekali gus menafikan bahawa siswazah USM adalah bahan produk perkilangan yang hanya mengejar pekerja dan harta benda sebagai sebahagian modal insan berjenama USM. Sebaliknya USM meyakini bahawa siswazah mempunyai banyak kemampuan dan bakat lain. Malah sebagai individu berilmu, mereka berupaya melakarkan kehidupan yang lebih berkualiti bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manusia teramai yang melata hidupnya, berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat. Dengan kata lain, siswazah boleh merentasi konsep model insan semata-mata, dan boleh kesudahannya menggarap makam yang lebih tinggi sebagai insanul-kamil. Ini bermakna pendidikan kita tidak sepatutnya dilihat sebagai perhiasan luaran dengan jubah dan gelaran ijazah yang pelbagai rupa, sedangkan hatinya buta diselaputi hasad dan dengki. Jika inilah yang berlaku, maka hati kita belum lagi terdidik dan ijazah tidak bermakna sama sekali.

Oleh sebab itulah universiti seperti USM gigih berusaha meletakkan ilmu pengetahuan dan pengajian tinggi secara jelas untuk menolong golongan yang terkebawah dan yang tercicir sebagai mengisi kekosongan yang ada, tidak kira melalui hasil penyelidikan dan pengajaran, apa lagi kerja-kerja kemasyarakatan yang boleh mencelikkan hati kepada derita masyarakat sekitar kita. Yang jelas era dunia berlandaskan ekonomi sudah mula meleset kerana keadaan semasa tidak lagi menggambarkan yang ekonomi mampu membawa manfaat kepada manusia sejagat; tetapi sebaliknya manusialah yang membawa manfaat kepada ekonomi bagaikan hamba abdi. Hatta ilmu dijadikan modal begitu juga insan untuk dijual beli bagi menggerakkan ekonomi. Pendek kata kita adalah hamba kepada ekonomi dan bukan lagi sebaliknya seperti diramalkan. Sama juga dengan kita menjadi hamba kepada teknologi dan bukan lagi sebaliknya. Akibatnya kini berbagai soal dan isu moral dan sosial timbul yang seolah-olah tidak ada penyelesaiannya selagi soal "perhambaan" - selain daripada kepada Ilahi - tidak dapat dirungkai dengan sempurna. Kehidupan menjadi tidak sejahtera, dan kalaupun sejahtera hanya pada dimensi luarannya sahaja. Jiwanya tidak tenteram dan menderita kerana fitrahnya terus terbelenggu. Saya tidak tahu sama ada transformasi yang sedang ditaja mengambil kira soal-soal seumpama ini, dan melewati agenda perkiraan untung-rugi semata-mata.

Jika begitu halnya, apa pula perkiraan untung-rugi yang dikenakan untuk mententeramkan hati dan jiwa seseorang yang daif itu. Walhal bak kata-kata hikmat berikut: Life is not measured by the number of breaths we take; but by the moments that take our breath away. (Kehidupan tidak diukur dari bilangan nafas yang dihela, tetapi oleh detik ketika yang menghela nafas kita) Malangnya kita masih berkira-kira sedang yang dikira itu tidak mutlak sifatnya. Oleh yang demikian dalam menerokai alam baru, masing-masing para siswazah penting melihat jauh ke hadapan kewajaran dan keikhlasan mereka sesama manusia dan alam seluruhnya. Kita harus membuktikan kesanggupan mengungkap keprihatinan tentang isu-isu global yang dini hari terumbang-ambing kerana belenggu fitrah tadi. Pembuktian akan hanya berlaku apabila para siswazah sebagai golongan cendekiawan mula menghayati peranannya yang lebih besar dan luas dari tumpuan alam pekerjaan mereka. Bak kata pepatah: "Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya" - yang dengan jelas berkehendakan kita memecahkan batasan paradigma yang ada, serta mencabar status quo.Maka buktikanlah siswazah lebih terkehadapan dari segi pemikiran, amalan dan tingkah laku, apatah lagi dalam soal kepemimpinan. Namun ingat juga pepatah: "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" ; dan "Ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk".

Tunjukkan betapa para siswazah amat mementingkan nilai sejagat lagi universal dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan. Bertindaklah di atas landasan ilmu pengetahuan dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara dalam acuan yang kita ingini tanpa menggadaikan bahasa, budaya dan agama. Ia menekankan bahawa para siswazah adalah contoh ikutan untuk kesejahteraan bersama, walaupun ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu "keangkuhan" yang disalahtafsirkan oleh desakan hati yang resah dan gelisah. Umpama pohon yang lebat buahnya; lebih sering pula ia dilempar batu! Begitu juga dengan setiap kejayaan yang sarat dengan ilmu pengetahuan. Ini bermakna menempa kejayaan demi kejayaan bukannya mudah selagi soal hati tadi tidak disesuaikan dengan fitrahnya. Ramai yang mudah beralah asalkan sahaja kejayaan luaran kekal malah diagung-agungkan. Dengan kata lain, pendidikan tidak akan berakhir sebagai seorang siswazah saja! Sebaliknya ia satu permulaan kerana alam baru yang bakal diterokai akan menuntut banyak lagi kebijaksanaan yang berpunca dari hati sanubari yang peka dan suci. Namun kita percaya bahawa setiap seorang mempunyai peluang untuk terus berjaya sekiranya ilmu pengetahuan dijadikan obor untuk menerangi liku-liku hidup. Jadilah seorang ilmuwan yang disegani melalui keluhuran jiwa dan hati yang benar-benar memahami: "Orang berbudi kita berbahasa. Kita memberi, orang merasa!"

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OKTOBER 2011


RANGKA KARANGAN DASAR 1 MURID 1 SUKAN


RAMALAN 3
ISU : DASAR 1MURID 1SUKAN

SOALAN YANG DIJANGKA

Baru-baru ini, kerajaan telah melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan yang disusuli dengan pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan di seluruh negara. Jelaskan rasionalnya kerajaan mengadakan dasar ini dan apakah kebaikannya?

PENDAHULUAN

Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia Tan sri Myuhidin Yassin secara serentak di seluruh negara pada 2 Julai 2011 – Larian Serentak Dasar 1Murid 1Sukan
Sukan penting dalam kehidupan setiap warganegara Malaysia – masyarakat yang sihat dan berdaya saing
Rasional Dasar 1Murid 1Sukan dan kebaikannya akan dibincangkan

Rasional Dasar 1Murid 1Sukan

Ramai pelajar tidak berminat bersukan – hanya menjadi ulat buku – tidak sedar kepentingan sukan dalam kehidupan – lebih suka melakukan aktiviti lain untuk mengisi masa lapang daripada bersukan – melayari internet – menonton televisyen – tidak memerlukan pergerakan seperti bersukan

Semakin banyak rakyat Malaysia yang mengidap penyakit kronik disebabkan kurang bersukan dan bersenam – penyakit darah tinggi dan kencing manis – pada masa yang sama tidak suka menjaga pemakanan – makan makanan segera – tidak dapat diproses dengan baik – menjadi toksin yang berbahaya kepada kesihatan

Ibu bapa tidak menerapkan budaya bersukan dan bersenam dalam kalangan anak-anak semasa berada di rumah – ghairah mengejar kebendaan, pangkat, dan nama – setiap masa digunakan untuk bekerja – tidak memperuntukkan masa untuk bersenam bersama anak-anak

Sukan semakin penting untuk mengangkat imej negara di mata dunia – kemenangan dalam sukan menyebabkan kita digeruni dan dihormati – dapat menjana pendapatan negara melalui sukan – penganjur sukan bertaraf antarabangsa – ramai pelancong datang untuk menyaksikan acara sukan

Kebaikan Dasar 1Murid 1Sukan

Melahirkan pelajar yang sihat dari segi mental dan fizikal – dapat memberikan tumpuan penuh semasa guru mengajar – jarang sakit atau demam – tidak mengantuk di dalam kelas

Memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang pelbagai kaum melalui aktiviti sukan – pelajar dapat mengenali budaya setiap suku kaum – bergaul dan bermesra sambil bersukan – hilang segala rasa curiga dan prasangka – hidup dalam keadaan rukun dan damai

Membina kerjasama yang erat antara warga sekolah melalui aktiviti sukan – kerjasama dalam pasukan untuk mendapat kemenangan dalam pertandingan – kerjasama untuk mengelolakan aktiviti sukan – penting untuk kemajuan sesebuah sekolah – dapat memenangi pelbagai pertandingan di pelbagai peringkat

Membentuk modal insan yang berdisiplin dan bersahsiah terpuji – sukan memerlukan insan-insan yang berdisiplin tinggi – orang yang tidak berdisiplin tidak boleh menjadi ahli sukan yang baik – kena jaga bentuk badan dan aspek pemakanan – sanggup menggunakan masa untuk berlatih – patuh kepada arahan jurulatih – sentiasa ingin maju untuk memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi

PENUTUP

Dasar 1Murid 1Sukan membawa banyak kebaikan jika dilaksanakan sepenuhnya
Semua pihak harus memberikan sokongan dalam menjayakannya
Jadikan sukan sebagai rutin harian ke arah kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.

04 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : ADAKAH PPSMI AKAN DIKAJI SEMULA?

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad


REGISTAN DI SAMARKAND, 
UZBEKISTAN

Teka-teki sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikaji semula terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dasar PPSMI tetap digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2012. Perubahan dasar tersebut mengambil masa beberapa tahun sehingga pelajar menamatkan persekolahan melalui kaedah soft landing. Ini bagi memastikan tidak ada pelajar yang menghadapi masalah atau terabai dalam pembelajaran mereka. Kenyataan tersebut dibuat dalam lawatan kerja beliau di dua buah universiti iaitu UKM (23.9.2011) dan UPM (30.9.2011). Dalam ucapan semasa pertemuan dengan warga UKM, beliau telah meminta pentadbiran universiti berkenaan meneruskan perjuangannya untuk mendaulatkan bahasa Malaysia dengan menggalakkan penyelidikan dan penulisan jurnal ditulis dalam bahasa tersebut. Ini disebabkan penubuhan UKM merupakan suatu wadah dan perjuangan panjang pejuang bahasa bagi menegakkan kedaulatan bahasa sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Pelaksanaan dasar MBMMBI adalah untuk meletakkan kembali kedaulatan bahasa ke landasan yang betul. Kekuatan sesuatu bahasa akan terjejas dan merosot sekiranya dihilangkan kandungan elemen keilmuan terutama yang merangkumi bidang sains, matematik dan teknologi.

Dibimbangi akhirnya bahasa itu akan berada di tahap rendah dan hanya layak dipertuturkan di kedai-kedai kopi atau di tepi-tepi jalan sahaja. Ia tidak akan dapat digunakan secara rasmi dalam majlis-majlis keilmuan berskala tinggi dalam seminar, konvensyen atau perbincangan-perbincangan. Malah lebih menyedihkan usaha yang telah dirintis oleh pelbagai pihak untuk mengangkat martabat bahasa tersebut hingga ke peringkat antara bangsa akan menjadi sia-sia. Amat malang bagi perkembangan bahasa Malaysia yang ditutur hanya kira-kira 27 juta orang yang tinggal dari Arau, Perlis hingga ke Tawau, Sabah jika rohnya tidak diangkat dan didaulatkan. Ramai daripada pejuang bahasa yang banyak berjasa bagi mengangkat martabat bahasa telah meninggal dunia. Jika ada yang masih hidup mereka pasti akan menggelengkan kepala melihat bagaimana generasi kini telah luntur semangat cintakan bahasa. Tidak seperti di negara lain di mana rakyatnya sangat sayangkan bahasa dan bangga menggunakan bahasa mereka. Jelas sekali tidak ada perasaan rendah diri atau rasa bersalah jika bahasa mereka digunakan walaupun dalam persidangan bertaraf antarabangsa atau majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh warga luar negara. Dasar MBMMBI Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia di peringkat menengah bermula tahun hadapan. Bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris, kurikulum baru KSSR telah diperkenalkan di mana pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut ditambah nilai supaya menjadi lebih menarik dan menyeronokkan pelajar.

Elemen gerak karja seperti nyanyian, lakonan, kuiz, perbincangan, pembacaan dan lain-lain akan diperbanyakkan. Bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa itu tambahan masa dalam jadual pengajaran telah ditingkatkan hampir sekali ganda lagi. Seperti yang dimaklumi bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa tersebut lebih 300 orang guru berpengalaman yang terdiri dari penutur jati daripada United Kingdom telah didatangkan. Difahamkan tidak lama lagi guru-guru daripada Amerika Syarikat akan dibawa masuk di mana perbincangan-perbincangan peringkat akhir telah pun dilaksanakan. Amat wajar sekali dasar PPSMI ditukar kepada MBMMBI kerana menurut laporan UNESCO yang membuat kajian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran didapati ia lebih berkesan jika diajar melalui bahasa ibunda atau bahasa yang mereka fahami. Itulah sebabnya kita masih lagi mengekalkan sekolah aliran Cina dan India kerana pembelajaran menjadi lebih mudah jika dilaksanakan dalam bahasa yang mereka telah biasa gunakan. Demikian juga bakal guru dan guru-guru digalakkan mempelajari bahasa atau dialek yang digunakan oleh Orang Asli atau dialek penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ini bertujuan untuk memudahkan guru menjelaskan maksud sesuatu perkataan atau istilah yang sukar difahami dengan lancar kepada pelajar-pelajarnya. Dalam pelaksanaan dasar PPSMI, faktor guru juga memainkan peranan penting. Kebanyakan guru adalah mereka yang terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan, oleh itu untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran mungkin memerlukan sedikit masa lagi. Ini diikuti pula faktor keyakinan diri terutama mereka yang mengajar di kawasan bandar yang kebanyakan pelajarnya mempunyai latar belakang bahasa Inggeris.

Satu lagi isu yang dihadapi ialah berkaitan dengan kefahaman pelajar mengikuti pembelajaran mata pelajaran tersebut terutama dari segi konsep atau istilah-istilah baru. Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar ada kalanya guru terpaksa menggunakan bahasa Malaysia bagi menerang atau menjelaskan sesuatu yang tidak difahami oleh pelajar. Keadaan tersebut boleh menyebabkan pembaziran masa di mana guru terpaksa mengulang beberapa kali dengan mengalih bahasa dalam pengajarannya. Sebagai guru yang berkesan, apa yang penting ialah kefahaman pelajar tentang perkara yang diajarnya. Walaupun guru menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang canggih tetapi akhirnya yang diukur dan diambil kira ialah sejauh mana kefahaman pelajar terhadap apa yang diajar oleh guru. Kesan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan mulai 2003 terbukti melalui penilian yang dibuat oleh badan antara bangsa pada tahun 2009. Didapati pencapaian pelajar menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Akibatnya ranking negara dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran turut terjejas jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Penukaran dasar PPSMI kepada MBMMBI bukanlah bermakna kita anti bahasa Inggeris. Namun demikian sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kumpulan NGO yang menyuarakan pendapat supaya PPSMI dikaji semula. Ada di antara mereka yang mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris atau setidak-tidaknya memberi pilihan kepada ibu bapa dan sekolah untuk meneruskan dasar PPSMI. Difahamkan ada di antara NGO tersebut telah menghantar memorandum kepada pihak tertentu supaya cadangan mereka diberi perhatian. Sesungguhnya perubahan dasar PPSMI kepada MBMMBI akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan memberi manfaat yang besar kepada semua pelajar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 OKTOBER 2011


RANGKA KARANGAN KEMALANGAN BAS EKSPRES


RAMALAN 2
ISU : KEMALANGAN BAS EKSPRESS

SOALAN YANG DIJANGKA

Sejak akhir-akhir ini, kita selalu dikejutkan dengan kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress. Sikap pemandu bas ekspress yang tidak bertanggungjawab dikatakan sebagai punca kemalangan yang melibatkan bas ekspress semakin menjadi-jadi. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?

PENDAHULUAN

Fenomena yang berlaku di negara kita hampir setiap tahun
Melibatkan banyak nyata yang terkorban atau cedera parah
Sikap pemandu dikatakan sebagai punca utama tetapi faktor-faktor lain juga harus diambil kira dalam membincangkan isu ini.

SIKAP PEMANDU BAS EKSPRESS

Suka memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuh raya – memotong kenderaan lain sesuka hati tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari sebelah kanan atau dari depan.

Sebilangan pemandu telah keletihan kerana memandu dalan jarak perjalanan yang jauh – mudah mengantuk – menyebabkan bas terbabas dan seterusnya mengakibatkan kemalangan berlaku.

Pemandu yang menggunakan dadah dan meminum minuman keras menyebabkan mereka mudah khayal atau mabuk – memandu bas ekspress  dengan tidak berhati-hati.

Pemandu yang menghadapi tekanan hidup seperti masalah rumah tangga, kewangan, dan sebagainya – melepaskan geram dan kemarahan dengan memandu secara berbahaya

FAKTOR-FAKTOR LAIN 

Keadaan bas ekspress yang kurang elok akibat tidak diselenggara – brek tidak berfungsi, tayar pancit, dan pelbagai lagi masalah – bas tidak dihantar untuk pemeriksaan kepada pihak PUSPAKOM.

Pihak polis traffik dan Jabatan Pengangkutan Jalan kurang mengadakan sekatan jalan raya menyebabkan pemandu bas ekspress yang tidak berdisiplin bermaharajalela semasa memandu.

Pihak pengurusan syarikat bas ekspress mengaji pemandu bas warga asing yang diragui kebolehan dan pengalaman mereka semasa memandu – nilai tanggungjawab mereka juga kurang dan boleh dipersoalkan – ada yang menggunakan lesen palsu.

PENUTUP

Pemandu bas ekspress bertanggungjawab ke atas keselamatan penumpang
Kecuaian mereka boleh menyebabkan kehilangan banyak nyawa
Kemalangan yang melibatkan bas ekspress harus dihentikan segera
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini kerana melibatkan ramai nyawa manusia yang tidak berdosa

RANGKA KARANGAN KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH


RAMALAN 1
ISU : MATA PELAJARAN SEJARAH

SOALAN YANG DIJANGKA

Tindakan kerajaan mengumumkan mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 ada rasionalnya. Pada pendapat anda, apakah kepentingan mata pelajaran Sejarah dan nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan pelajaran Sejarah tidak diminati oleh kebanyakan pelajar di sekolah?

PENDAHULUAN KARANGAN

Subjek Sejarah diwajibkan lulus pada tahun 2013 di peringkat SPM
Kerajaan sedar subjek Sejarah penting untuk mengekalkan rasa cinta dan taat setia kepada negara yang tercinta.
Generasi muda juga semakin banyak yang buta sejarah negara sendiri.
Kepentingan subjek sejarah dan faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran sejarah akan dibincangkan.

Kepentingan Mata Pelajaran Sejarah

Melahirkan pelajar yang mempunyai semangat cintakan negara dan rela berkorban demi mempertahankan kemerdekaan negara pada bila-bila masa.

Melahirkan pelajar yang bersatu padu, bertolenransi, dab hormat-menghormati antara satu sama lain demi mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup di Malaysia.

Melahirkan pelajar yang tahu menghargai jasa dan sumbangan orang terdahulu yang bersusah payah membebaskan negara daripada penjajah dan anasir-anasir jahat seperti komunis dan sebagainya.

Melahirkan pelajar yang tahu hak dan asal usul setiap kaum di Malaysia supaya mereka tidak mempersoalkan keistimewaan dan hal kaum lain sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakamanan dan kekacauan.

Faktor yang menyebabkan pelajar tidak meminati mata pelajaran Sejarah

Terlalu banyak fakta untuk dihafal dan diingat pada setiap masa – pelajar mudah berputus asa belajar subjek sejarah.

Pengajaran guru Sejarah yang membosankan – membaca buku teks atau secara kuliah menyebabkan pelajar mengantuk

Sukatan pelajaran terlalu banyak dan lama – tidak pernah ditukar atau disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Kebolehan pelajar berbahasa Melayu amat terhad menyebabkan mereka sukar untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Sokongan daripada ibu bapa dan para guru amat kurang – pelajar menganggap subjek sejarah ini tidak penting untuk dipelajari.

PENUTUP

Subjek Sejarah mengajar kita mengenali negara sendiri
Kedaulatan dan keharmonian negara harus dihargai
Jangan sampai kita menggadai kemerdekaan negara kerana kita buta sejarah
Semua pihak harus prihatin dengan isu ini.

03 Oktober 2011

ISU FILEM : HAYATI TEGURAN TUN DR MAHATHIR TENTANG KUALITI FILEM HANTU CIPTAAN MALAYSIA

Ku Seman Ku Hussain


Sehingga kini belum ada pemimpin besar yang ambil kisah tentang racun yang disebarkan oleh sebahagian besar filem hantu di negara ini. Kepentingan masyarakat yakni penonton yang terdiri daripada orang Melayu tidak menjadi keutamaan kerana banyak yang menganggap filem hantu telah “memajukan” industri filem negara ini. Bingungnya. Kalau di luar negara genre filem seram antara karya yang dikagumi, nilai estetika dan pemikirannya tinggi. Tetapi di negara ini filem hantu disekutukan dengan filem-filem buruk dan pemikiran sebahagian besar pembuatnya yang dangkal. Tetapi kerana filem beracun ini tidak ada nilai politik untuk dipertaruhkan, maka tidak ada yang menegur supaya pembuatan filem ini dinaikkan taraf menjadi karya yang dihormati. Sebaliknya yang menegur adalah kalangan alim ulama. Tetapi sikap bebal sesetengah pembuat filem hantu membuatkan ulama pula menerima kejian. Mujurlah kelmarin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan penuh tanggungjawab menyelar bahawa filem hantu yang begitu banyak diterbitkan telah meracun pemikiran masyarakat. Filem ini menyekat perkembangan pemikiran masyarakat, mereka kembali takut kepada hantu lebih daripada mereka takut kepada Tuhan. Dr. Mahathir telah menongkah arus ketika pemimpin lain diam dari bersuara kerana dibimbangi menjejaskan kedudukan saham politik. Perihal filem beracun bukan agenda utama kerana sesetengah menganggap menyokong kegemaran masyarakat lebih penting.

Dr. Mahathir mempunyai asas yang kuat untuk menongkah arus menganggap filem hantu meracun pemikiran masyarakat. Ini kerana semasa era Dr. Mahathir, filem-filem begini tidak ada, laras penapisan filem juga lebih ketat. Tidak ada filem atau drama hantu seperti sekarang disiarkan di televisyen. Ini tindakan tidak popular tetapi Dr. Mahathir dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat tetap melaksanakan larangan itu. Maka, orang Melayu perlulah merenung dan menghayati teguran Dr. Mahathir dan segera memulaukan filem-filem hantu yang bertaraf sampah sarap itu. Kita tidak perlu mengharapkan pembuat filem hantu berubah. Mereka ini jenis oportunis, apa sahaja jenis filem yang digilai ramai mereka akan mengikutnya. Sekiranya esok ada filem bertemakan dakwah Islam mencatatkan kutipan pecah panggung, pasti mereka juga akan membuat filem jenis yang sama. Kerana itu kita agak kecewa kerana keracunan yang merosakkan pemikiran masyarakat tidak menjadi agenda utama sesetengah pemimpin. Sekali lagi mujur Dr. Mahathir sanggup ambil tahu tentang kepentingan masyarakat dan menegurnya. Padahal Dr. Mahathir boleh saja duduk diam. Tetapi kerana tidak sanggup melihat masyarakat diperbodohkan sedemikian rupa memaksa beliau bersuara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011


ISU SOSIAL : GAJI SATU LAPIS SEKTOR AWAM MUNGKIN AKAN DIWUJUDKAN SEMULA, KENAIKAN GAJI DIJANGKA SEHINGGA 40 PERATUS


Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus. Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek). Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB. Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu. Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum. Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus. Bulan Ogos 2011, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Menurut sumber lain, langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred. Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat disebabkan permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB. Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu. Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan. Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam ... kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing. Maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan. Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus. Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana.

Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan. SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam. SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota. Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi. The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991. Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran. Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini. Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

SUMBER
BERNAMA
30 SEPTEMBER 2011



02 Oktober 2011

HASIL KARYAKU : KAU CUBALAH JADI DIRIKU

Cubalah kau jadi diriku
Walau seminit
Kau mengajar aku belajar
Kau tekun mengajar
Aku berlaku nakal
Kau melarang
Aku pura-pura tak dengar
Kau pukul meja
Aku ketawa mempersenda

Jadilah diriku walau sehari
Kau suruh hantar buku aku tak peduli
Kau suruh bentang aku membisu
Kau tanya soalan aku termanggu
Kau marah aku termati kutu
Kau tanya punca aku geleng kepala
Kau mengetap bibir kegeraman
Langsung tidak menakutkan aku

Cubalah jadi diriku walau seminggu
Yang kau larang aku halalkan
Yang kau halakan aku berpantang laku
Yang kau suruh aku tak endahkan
Yang kau mahu aku tak tunaikan
Yang kau ajar aku tak praktikkan
Yang kau nasihat aku muntahkan
Yang kau ingin aku tak teringin
Yang kau suka aku buat selamba saja

Jadilah diriku
Supaya kau tahu
Betapa hancur luluhnya jiwaku
Kerana tak mampu  menyepak batu kedegilanmu
Tidak mampu meranapkan bukit kemalasanmu
Supaya kau mengerti
Tatkala patahnya dahan impian
Melihat kau dan kawan-kawanmu
Berpesta kegagalan
Pada setiap kali keputusan diumumkan

Letakkan dirimu ditempatku
Supaya kau rasa
Apa yang aku rasa
Supaya kau tahu
Seksanya jiwa raga
Guru-guru sepertiku
Yang terlalu cinta
Teramat kasih
Sungguh-sungguh ikhlas
Paling sabar
Berhadapan denganmu

NUKILAN
ZULKARNAIN FARIHIN
SMK SACRED HEART
2 OKTOBER 2011
10.00 MALAM