JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Oktober 2011

ISU FILEM : HAYATI TEGURAN TUN DR MAHATHIR TENTANG KUALITI FILEM HANTU CIPTAAN MALAYSIA

Ku Seman Ku Hussain


Sehingga kini belum ada pemimpin besar yang ambil kisah tentang racun yang disebarkan oleh sebahagian besar filem hantu di negara ini. Kepentingan masyarakat yakni penonton yang terdiri daripada orang Melayu tidak menjadi keutamaan kerana banyak yang menganggap filem hantu telah “memajukan” industri filem negara ini. Bingungnya. Kalau di luar negara genre filem seram antara karya yang dikagumi, nilai estetika dan pemikirannya tinggi. Tetapi di negara ini filem hantu disekutukan dengan filem-filem buruk dan pemikiran sebahagian besar pembuatnya yang dangkal. Tetapi kerana filem beracun ini tidak ada nilai politik untuk dipertaruhkan, maka tidak ada yang menegur supaya pembuatan filem ini dinaikkan taraf menjadi karya yang dihormati. Sebaliknya yang menegur adalah kalangan alim ulama. Tetapi sikap bebal sesetengah pembuat filem hantu membuatkan ulama pula menerima kejian. Mujurlah kelmarin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan penuh tanggungjawab menyelar bahawa filem hantu yang begitu banyak diterbitkan telah meracun pemikiran masyarakat. Filem ini menyekat perkembangan pemikiran masyarakat, mereka kembali takut kepada hantu lebih daripada mereka takut kepada Tuhan. Dr. Mahathir telah menongkah arus ketika pemimpin lain diam dari bersuara kerana dibimbangi menjejaskan kedudukan saham politik. Perihal filem beracun bukan agenda utama kerana sesetengah menganggap menyokong kegemaran masyarakat lebih penting.

Dr. Mahathir mempunyai asas yang kuat untuk menongkah arus menganggap filem hantu meracun pemikiran masyarakat. Ini kerana semasa era Dr. Mahathir, filem-filem begini tidak ada, laras penapisan filem juga lebih ketat. Tidak ada filem atau drama hantu seperti sekarang disiarkan di televisyen. Ini tindakan tidak popular tetapi Dr. Mahathir dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat tetap melaksanakan larangan itu. Maka, orang Melayu perlulah merenung dan menghayati teguran Dr. Mahathir dan segera memulaukan filem-filem hantu yang bertaraf sampah sarap itu. Kita tidak perlu mengharapkan pembuat filem hantu berubah. Mereka ini jenis oportunis, apa sahaja jenis filem yang digilai ramai mereka akan mengikutnya. Sekiranya esok ada filem bertemakan dakwah Islam mencatatkan kutipan pecah panggung, pasti mereka juga akan membuat filem jenis yang sama. Kerana itu kita agak kecewa kerana keracunan yang merosakkan pemikiran masyarakat tidak menjadi agenda utama sesetengah pemimpin. Sekali lagi mujur Dr. Mahathir sanggup ambil tahu tentang kepentingan masyarakat dan menegurnya. Padahal Dr. Mahathir boleh saja duduk diam. Tetapi kerana tidak sanggup melihat masyarakat diperbodohkan sedemikian rupa memaksa beliau bersuara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2011


Tiada ulasan: