JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : PESANAN BUAT SISWAZAH - LAKARKAN KEHIDUPAN YANG LEBIH BERKUALITI

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK
Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.


PIRAMID PRA-COLOMBIA, 
TEOTIHUACAN, MEXICO

Bulan ini musim universiti mengijazahkan pelajar yang bakal melangkah ke alam baru - baik alam pekerjaan ataupun selainnya. Apa pun, alam baru itu akan diharungi berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari bidang kepakaran masing-masing. Bagi Universiti Sains Malaysia (USM), metafora "Universiti Dalam Taman" yang dipupuk selama ini sekali gus menafikan bahawa siswazah USM adalah bahan produk perkilangan yang hanya mengejar pekerja dan harta benda sebagai sebahagian modal insan berjenama USM. Sebaliknya USM meyakini bahawa siswazah mempunyai banyak kemampuan dan bakat lain. Malah sebagai individu berilmu, mereka berupaya melakarkan kehidupan yang lebih berkualiti bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manusia teramai yang melata hidupnya, berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat. Dengan kata lain, siswazah boleh merentasi konsep model insan semata-mata, dan boleh kesudahannya menggarap makam yang lebih tinggi sebagai insanul-kamil. Ini bermakna pendidikan kita tidak sepatutnya dilihat sebagai perhiasan luaran dengan jubah dan gelaran ijazah yang pelbagai rupa, sedangkan hatinya buta diselaputi hasad dan dengki. Jika inilah yang berlaku, maka hati kita belum lagi terdidik dan ijazah tidak bermakna sama sekali.

Oleh sebab itulah universiti seperti USM gigih berusaha meletakkan ilmu pengetahuan dan pengajian tinggi secara jelas untuk menolong golongan yang terkebawah dan yang tercicir sebagai mengisi kekosongan yang ada, tidak kira melalui hasil penyelidikan dan pengajaran, apa lagi kerja-kerja kemasyarakatan yang boleh mencelikkan hati kepada derita masyarakat sekitar kita. Yang jelas era dunia berlandaskan ekonomi sudah mula meleset kerana keadaan semasa tidak lagi menggambarkan yang ekonomi mampu membawa manfaat kepada manusia sejagat; tetapi sebaliknya manusialah yang membawa manfaat kepada ekonomi bagaikan hamba abdi. Hatta ilmu dijadikan modal begitu juga insan untuk dijual beli bagi menggerakkan ekonomi. Pendek kata kita adalah hamba kepada ekonomi dan bukan lagi sebaliknya seperti diramalkan. Sama juga dengan kita menjadi hamba kepada teknologi dan bukan lagi sebaliknya. Akibatnya kini berbagai soal dan isu moral dan sosial timbul yang seolah-olah tidak ada penyelesaiannya selagi soal "perhambaan" - selain daripada kepada Ilahi - tidak dapat dirungkai dengan sempurna. Kehidupan menjadi tidak sejahtera, dan kalaupun sejahtera hanya pada dimensi luarannya sahaja. Jiwanya tidak tenteram dan menderita kerana fitrahnya terus terbelenggu. Saya tidak tahu sama ada transformasi yang sedang ditaja mengambil kira soal-soal seumpama ini, dan melewati agenda perkiraan untung-rugi semata-mata.

Jika begitu halnya, apa pula perkiraan untung-rugi yang dikenakan untuk mententeramkan hati dan jiwa seseorang yang daif itu. Walhal bak kata-kata hikmat berikut: Life is not measured by the number of breaths we take; but by the moments that take our breath away. (Kehidupan tidak diukur dari bilangan nafas yang dihela, tetapi oleh detik ketika yang menghela nafas kita) Malangnya kita masih berkira-kira sedang yang dikira itu tidak mutlak sifatnya. Oleh yang demikian dalam menerokai alam baru, masing-masing para siswazah penting melihat jauh ke hadapan kewajaran dan keikhlasan mereka sesama manusia dan alam seluruhnya. Kita harus membuktikan kesanggupan mengungkap keprihatinan tentang isu-isu global yang dini hari terumbang-ambing kerana belenggu fitrah tadi. Pembuktian akan hanya berlaku apabila para siswazah sebagai golongan cendekiawan mula menghayati peranannya yang lebih besar dan luas dari tumpuan alam pekerjaan mereka. Bak kata pepatah: "Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya" - yang dengan jelas berkehendakan kita memecahkan batasan paradigma yang ada, serta mencabar status quo.Maka buktikanlah siswazah lebih terkehadapan dari segi pemikiran, amalan dan tingkah laku, apatah lagi dalam soal kepemimpinan. Namun ingat juga pepatah: "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" ; dan "Ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk".

Tunjukkan betapa para siswazah amat mementingkan nilai sejagat lagi universal dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan. Bertindaklah di atas landasan ilmu pengetahuan dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara dalam acuan yang kita ingini tanpa menggadaikan bahasa, budaya dan agama. Ia menekankan bahawa para siswazah adalah contoh ikutan untuk kesejahteraan bersama, walaupun ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu "keangkuhan" yang disalahtafsirkan oleh desakan hati yang resah dan gelisah. Umpama pohon yang lebat buahnya; lebih sering pula ia dilempar batu! Begitu juga dengan setiap kejayaan yang sarat dengan ilmu pengetahuan. Ini bermakna menempa kejayaan demi kejayaan bukannya mudah selagi soal hati tadi tidak disesuaikan dengan fitrahnya. Ramai yang mudah beralah asalkan sahaja kejayaan luaran kekal malah diagung-agungkan. Dengan kata lain, pendidikan tidak akan berakhir sebagai seorang siswazah saja! Sebaliknya ia satu permulaan kerana alam baru yang bakal diterokai akan menuntut banyak lagi kebijaksanaan yang berpunca dari hati sanubari yang peka dan suci. Namun kita percaya bahawa setiap seorang mempunyai peluang untuk terus berjaya sekiranya ilmu pengetahuan dijadikan obor untuk menerangi liku-liku hidup. Jadilah seorang ilmuwan yang disegani melalui keluhuran jiwa dan hati yang benar-benar memahami: "Orang berbudi kita berbahasa. Kita memberi, orang merasa!"

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: