21 September 2011

ISU KESIHATAN : ORANG YANG MENGIDAP PENYAKIT NYANYUK PERLUKAN BELAIAN KASIH SAYANG YANG SECUKUPNYA

Oleh Liow Tiong Lai
www.liowtionglai.com/blog


Mereka  tidak faham kenapa bapa yang tua itu sudah tidak ingat nama mereka. Kenapa dia masih bertanyakan di mana isterinya yang meninggal dunia 10 tahun lalu? Kenapa dia berdegil mahu pergi ke pasar raya berseorangan sedangkan dia tidak ingat bagaimana mahu pulang ke rumah? Kesabaran mereka semakin tipis dengan bapa, manakala keadaan orang tua itu semakin teruk. Ketika ingatan bapanya kembali seperti sedia kala semakin jarang berlaku dan lama-kelamaan dia perlukan bantuan untuk melakukan tugas biasa seperti memakai baju, mandi dan makan. Apabila pakar geriatrik menjelaskan mengenai penyakit Alzheimer atau nyanyuk kepada mereka, barulah mereka faham keadaan yang menyebabkan mereka kehilangan bapa yang dikenali.  Seandainya mereka dapat mengenal pasti tanda penyakit Alzheimer sejak awal, mereka pasti dapat melihat bagaimana ia meresap dalam kehidupan bapa mereka sejak lima atau enam tahun lalu.  Ini ialah kisah dialami beribu-ribu rakyat Malaysia, yang terpaksa melihat orang tua mereka mengalami penyakit Alzheimer yang menurut anggaran semasa, berjumlah kira-kira 63,000 orang di negara ini.  

Penyakit Alzheimer ialah satu bentuk dementia yang paling kerap berlaku, keadaan degeneratif atau kemerosotan mengakibatkan perubahan kimia dan struktur sel dalam otak. Keadaan ini biasanya dialami mereka berumur 65 tahun ke atas, dan sering disalah anggap sebagai nyanyuk atau penyakit ‘orang tua’. Keadaan bertambah buruk apabila keluarga dan anak hilang kesabaran ketika mereka hilang ingatan dan tingkah laku mereka berubah kerana menyangka orang tua mereka sengaja mahukan perhatian atau melalui semula fasa kanak-kanak. Bagaimanapun penyakit ini menguasai minda dan merampas erti hidup sebagai insan. Ia juga merampas maruah diri sebagai orang tua sehingga individu itu hilang segala-galanya.  Alzheimer amat mengerikan bagi waris pesakit kerana mereka tidak faham bagaimana penyakit itu boleh mengubah keadaan seseorang dari segi asasnya, hingga personalitinya berubah secara drastik (sel penting dalam otak membentuk fikiran, tindakan dan personaliti seseorang sudah mati).  Jika ibu bapa anda disahkan menghidap Alzheimer, diagnosis itu hanya sebahagian daripada jawapan. Yang paling penting anda perlukan ialah bimbingan pakar untuk membantu memahami kenapa ibu bapa anda melalui proses ini dan bagaimana anda boleh menguruskan keadaannya dan memberikan sokongan terbaik.

Peranan ini paling baik dilakukan pakar geriatrik yang mengetuai sepasukan pakar yang boleh menyelia rawatan holistik untuk pesakit. Sebagai pakar dalam penjagaan dan rawatan untuk pesakit sedemikian, tugas pakar geriatrik bukan sekadar mengagihkan pil tidur atau mendengar rungutan pesakit yang nyanyuk saja.  Peranan penting mereka ialah membantu keluarga pesakit melalui proses sokongan. Saya amat sedar bahawa negara kita sangat memerlukan lebih ramai pakar geriatrik, kerana kita mengalami kekurangan dari segi nisbah ideal 1:50,000 pakar geriatrik berbanding jumlah penduduk, seperti disarankan Kesatuan Geriatrik Britain. Untuk jumlah penduduk 28 juta di Malaysia, kita perlukan kira-kira 560 pakar geriatrik. Dengan hanya 13 pakar geriatrik di negara ini, empat daripadanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, kita masih jauh ketinggalan.  Bagaimanapun, melalui program latihan dijalankan Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Singapura dan Australia, kita dapat melahirkan lebih ramai pakar terlatih dan menyediakan khidmat mereka di seluruh negara.  Saya juga amat prihatin bagaimana keluarga pesakit Alzheimer menangani keadaan dialami.

Sebilangan mereka mungkin lebih bernasib baik dan mampu menggaji jururawat sepenuh atau separuh masa untuk menjaga ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Ini belum lagi disentuh mengenai tekanan emosi yang terpaksa mereka lalui.  Namun, bagaimana pula nasib beribu-ribu yang lain, yang tidak mampu menyediakan kemewahan seperti itu? Berhenti kerja untuk menjaga pesakit itu bermakna mereka kehilangan sumber pendapatan.  Ada di antaranya tidak mempunyai pilihan kecuali menghantar orang tua mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan walaupun mereka berasa malu kerana dianggap tiada perasaan kekeluargaan. Walaupun begitu, saya berpendapat masih ada harapan lagi. Apa yang kita perlukan ialah kesedaran mengenai penyakit ini. Dengan lebih banyak maklumat disediakan, kita dapat menarik lebih banyak perhatian dan pembiayaan untuk menjalankan penyelidikan bagi rawatan penyakit ini dan penerimaan lebih meluas di kalangan pesakit Alzheimer ini dan keluarga mereka. Buat masa ini, banyak kemajuan sains perlu dilakukan untuk mengkaji penyakit ini, sementara itu kita hendaklah melayani pesakit dengan rasa hormat dan kasih sayang – ceritakan kepada mereka mengenai pencapaian cucu mereka, bawa mereka bersiar-siar di taman, mainkan muzik kegemaran mereka. Mungkin mereka tidak faham kata-kata atau tindakan anda, tetapi mungkin di satu sudut fikiran mereka masih wujud hubungan sesama insan yang dapat membangkitkan ingatan dan membawakan ketenangan.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia.
www.liowtionglai.com/blog
atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : USAH BIARKAN ISU PEMBEKUAN AMAH TERUS BERLANJUT


Indonesia membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke negara ini pada awal 2009, ekoran beberapa laporan kes penderaan terhadap rakyatnya. Selepas hampir dua tahun dibekukan, kerajaan kedua-dua negara memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pada 30 Mei lalu, untuk menamatkan pembekuan berkenaan dan melaksanakan semula pengambilan pembantu rumah dari Indonesia. Namun hingga saat ini, isu penghantaran pembantu rumah Indonesia belum menampakkan penyelesaiannya kerana Jakarta seolah-olah belum menarik balik pembekuan berkenaan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam yang menandatangani MoU berkenaan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, kelmarin mengaku beliau sendiri tertanya-tanya sebab Jakarta masih tidak berbuat demikian. Walaupun demikian difahamkan isu itu berkemungkinan berkisar kepada kadar bayaran membawa masuk pembantu rumah ditetapkan di bawah MoU itu, iaitu sekitar RM4,500 seorang. Ejen penghantar pembantu rumah dari Indonesia dan ejen pengambilan dari Malaysia, kedua-duanya tidak senang dengan kadar dianggap terlalu rendah untuk menampung kos ditanggung.  Walaupun ejen kedua-dua negara berusaha menyemak kadar bayaran berkenaan, difahamkan Jakarta dijangka mengumumkan penamatan pembekuan itu akhir bulan ini.

Apa sekali pun penyelesaian, isu ini sudah terlalu lama tertangguh sehingga membuatkan sesetengah majikan di Malaysia memikirkan alternatif lain daripada pembantu rumah dari Indonesia. Bagi majikan di Malaysia, isu pembekuan ini sebenarnya lebih kepada cubaan mendapat upah lebih tinggi. Memang benar isu ini dicetuskan oleh beberapa kes penderaan, namun jika diteliti bilangan kes berkenaan dengan jumlah pekerja Indonesia di sini, ia amat kecil. Kebanyakan majikan di sini rasa bertanggungjawab terhadap pembantu rumah mereka sehingga ada yang menganggap mereka sebagai sebahagian keluarga. Malah pelbagai kemudahan disediakan, termasuk satu hari rehat dalam seminggu dan pasport dipegang oleh pembantu rumah sendiri. Namun, agak terkilan juga apabila ada yang masih menganggap semuanya ini masih tidak memadai dan ingin pula menuntut gaji lebih tinggi. Soalnya, apakah mutu perkhidmatan disediakan berbaloi dengan gaji yang dibayar? Sebenarnya, majikan di sini tidak terikat dengan pembantu rumah dari negara tertentu saja. Mereka mempunyai pilihan untuk mengambil pembantu rumah daripada beberapa negara, malah dari Malaysia sendiri. Kita yakin jika upahnya berbaloi tinggi, rakyat tempatan sendiri mungkin juga sanggup membuat kerja berkenaan seperti pernah diamalkan sebelum zaman kemasukan pekerja asing ini yang menyaksikan ramai di antara kita mengambil orang kampung yang miskin untuk bekerja sebagai pembantu rumah di bandar.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : AKTA KESELAMATAN MASYARAKAT MAJMUK!

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Joho              r
Bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dimansuhkan baru-baru ini perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang khusus untuk melindungi kesejahteraan rakyat majmuk di Malaysia. Negara memerlukan undang-undang baru ini untuk mencegah sensitiviti agama, kaum, bahasa, budaya dan ekonomi supaya tidak dijadikan punca konflik etnik (kaum) dan identiti (jati diri). Undang-undang ini perlu bagi mengelakkan pertembungan minat yang boleh mencetuskan persengketaan agama dan kaum sehingga menggugat keselamatan nasional dan kelangsungan negara seperti yang pernah terjadi pada 13 Mei 1969. Malaysia memerlukan undang-undang seperti ini kerana negara-negara membangun, termasuk di Asia, adalah "dibentuk untuk keselamatan dan kelangsungan (survival) negara tersebut" (Sity dan Zarina 2005:18). Undang-undang ini juga penting kerana konflik etnik dan identiti adalah punca utama yang menyebabkan umat sejagat berasa terancam (Kaufman2008:201). Ini terbukti bila tahun 1990-an tercetus 50 konflik etnik berbanding dua sahaja konflik antarabangsa di serata dunia.

Contohnya adalah konflik etnik dan identiti di Bosnia Herzegovina yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik tahun 1990-an, dan di Somalia yang menyebabkan ratusan ribu manusia kebuluran dan terkorban hingga ke hari ini. Lantaran inilah mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa sarjana kajian keselamatan memperluaskan konsep keselamatan supaya merangkumi pelbagai ancaman bukan tradisional, termasuk ancaman keselamatan insan, khususnya keselamatan masyarakat di negara majmuk. PBB dan sarjana Eropah merangkumkan aspek keselamatan masyarakat ini di bawah konsep keselamatan insan dan keselamatan nasional kerana kebanyakan negara mutakhir ini lebih diancam oleh masalah dalaman, bukannya ancaman ketenteraan luaran. Berdasarkan realiti inilah konsep keselamatan insan versi PBB memfokus kepada ancaman kronik seperti kebuluran, penyakit dan penindasan; dan ancaman serius terhadap kehidupan manusia di rumah, tempat kerja atau di dalam masyarakat (Paris 2000:89). Konsep keselamatan insan versi Eropah, pula adalah berbeza dengan versi PBB.

Walaupun ia menghuraikan aspek keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan alam sekitar dan keselamatan masyarakat, huraian versi Eropah ini adalah dalam konteks keselamatan nasional dan kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara majmuk. Oleh itu, jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia. Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.

Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara." Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa. Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik. Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act.  Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya.

Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989. Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21. Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi. Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan. Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011

ISU EKONOMI : PERANAN KERAJAAN PERMUDAH CARA BISNES

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.


Sering kali apa-apa keputusan perniagaan syarikat swasta terutamanya melibatkan pelaburan, ramai beranggapan kerajaan mempunyai peranan yang signifikan. Memang benar, kerajaan mempunyai peranan yang amat penting untuk menjadikan suasana perniagaan lebih kondusif supaya ekonomi negara lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Tanpa sokongan kerajaan, mana mungkin ekonomi negara melalui pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan langsung domestik (DDI) boleh berkembang lebih pantas lagi. Namun demikian, perlu diingat, peranan kerajaan tidak boleh jauh sehingga mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta. Apabila kerajaan dilihat terlalu mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta, para pelabur akan mendapat isyarat seolah-olah bisnes dan ekonomi "diikat" oleh kerajaan tanpa ada kebebasan untuk membuat keputusan. Implikasinya cukup besar sama sekali. Antaranya para pelabur akan takut melabur dalam negara tersebut. Tidak kira sama ada FDI dan DDI, kedua-dua jenis pelaburan ini akan semakin berkurangan. Kerajaan yang campur tangan dan terlibat dalam urusan perniagaan syarikat swasta juga akan dilihat tidak properniagaan.

Oleh yang demikian, apabila keputusan atau perjanjian yang termeterai sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh ExxonMobil untuk menjual Esso Malaysia Bhd. kepada syarikat asing, banyak iktibar perlu dipelajari. Antaranya, sebelum sesebuah syarikat dijual kepada syarikat asing, syarikat tempatan perlu membuktikan kepada mana-mana syarikat induk (penjual) bahawa mereka adalah yang terbaik untuk menjadi pembeli kepada syarikat yang ingin dijual. Tentu sahaja, bagi mana-mana ahli perniagaan dan korporat, mereka akan memikirkan pilihan yang terbaik apabila sesuatu urus niaga bakal dilaksanakan. Hakikatnya Esso telah dijual kepada syarikat asing. Untuk mengambil alihnya semula, biarlah dengan transaksi perniagaan di kalangan sektor swasta tanpa adanya campur tangan kerajaan. Dengan menekan kerajaan untuk mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia bakal memberi implikasi negatif ke atas ekonomi negara. Apabila kerajaan kelihatan mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia seolah-olah boleh menggambarkan kerajaan bertindak terlalu mengawal sektor swasta. Imej Malaysia juga akan terjejas di mata pelabur. Walhal, peranan besar kerajaan adalah sebagai pemudah cara bisnes.

Beri ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh korporat dan profesional menjalankan tugas mereka dalam urusan perniagaan. Campur tangan kerajaan juga boleh dianggap bagi sesetengah pihak sebagai campur tangan politik. Pemudah cara di sini bermakna, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada sektor ekonomi umpamanya galakan cukai. Malahan, suasana yang baik dalam ekonomi negara sejak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam tempoh sebelas bulan lalu memberi kesan positif kepada FDI sehingga mencatatkan lonjakan 76 peratus kepada RM21.3 bilion bagi separuh pertama tahun ini berbanding hanya RM12.1 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu. Melalui suasana yang kondusif jugalah, Malaysia telah berada di tangga ke-21 berbanding di tangga ke-26 pada tahun lalu dalam Laporan Daya Saing Global. Ini menandakan Malaysia sentiasa menjadi destinasi pelaburan yang cukup menarik bagi syarikat asing. Buktinya, syarikat gergasi Jerman, Bosch dan syarikat pengeluar telefon bimbit pintar Blackberry, Research in Motion (RIM) telah memilih negara kita untuk membina kilang masing-masing.

Di sini, nampaklah bahawa keyakinan pelabur perlu "dijaga" rapi. Pandangan pelabur yang positif kepada suasana persekitaran perniagaan negara akan mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. Apabila dikaji secara mendalam apa yang sedang berlaku kepada kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS), kini, adalah kerana krisis keyakinan yang membelenggu AS. Pada dasarnya, sejak krisis subprima 2007, kerajaan AS terlalu mencampuri urusan syarikat-syarikat AS dengan menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat yang tenat. Campur tangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada krisis keyakinan terhadap ekonomi AS, yang sebelum ini melaung-laungkan bahawa mereka mengamalkan pasaran bebas secara total. Sebenarnya, apa yang dikehendaki oleh pelabur dan ahli-ahli perniagaan ialah bantuan-bantuan signifikan daripada kerajaan yang berbentuk pemudah cara yang tidak melibatkan campur tangan dalam urusan perniagaan. Sebagai contoh, usaha kerajaan untuk mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) bermula hari ini sehingga Ahad ini di Putrajaya merupakan satu bantuan yang berbentuk pemudah cara untuk memajukan usahawan desa.

Pengumuman penting akan dibuat oleh kerajaan di KUD nanti, yang mana penulis jangkakan ia merupakan pengumuman yang ditunggu-tunggu usahawan desa untuk memajukan lagi perniagaan mereka. Di sinilah peranan kerajaan bagi merangsang ekonomi desa. Dengan kata mudah, baik syarikat-syarikat besar, syarikat-syarikat bersaiz sederhana mahupun perusahaan desa, kerajaan berperanan sebagai pemudah cara untuk mempertingkatkan lagi aktiviti ekonomi pada tahap terbaik. Lebih-lebih lagi, fokus kerajaan kini lebih terarah untuk merancakkan ekonomi domestik dan ini merupakan berita baik kepada syarikat-syarikat tempatan. Peluang terbentang luas ini melalui bantuan kerajaan sebagai pemudah cara bisnes menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang cukup menarik bukan sahaja untuk syarikat asing tetapi juga untuk syarikat-syarikat tempatan. Kesan akhirnya, rakyat akan meraih keuntungan dalam tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011

19 September 2011

ISU PENDIDIKAN : MARTABATKAN PENDIDIKAN VOKASIONAL

Oleh :
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Bekas Pengarah Pelajaran Malaysia


Apabila transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM. Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga. Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu. Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu. Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat. Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri. Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini. Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%. Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut. Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan. Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.  Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM.

Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan. Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan. Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini. Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 SEPTEMBER 2011

ISU BELIA : USAHA PERDANA MENTERI DEKATI GOLONGAN MUDA BERJAYA


Sebaris  lirik lagu Ronan Keating yang menjadi antara lagu paling diminati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah “anda menyatakan yang terbaik, jika anda tidak berkata-kata langsung” (you say it best when you say nothing at all). Agak ironik, tetapi mungkin apa yang paling menyentuhi remaja di negara ini terhadap kepemimpinan Najib bukan ucapan hampir setiap hari disampaikannya, tetapi hanya dengan kehadiran beliau pada majlis dihadiri remaja berkenaan. Terbaru ialah kelmarin apabila Perdana Menteri meluangkan masa menyaksikan Konsert Suara Kami anjuran Astro di Stadium Merdeka di ibu negara. Najib yang aktif dalam laman sosial mengumumkan kehadirannya itu menerusi akaun twitternya (http://twitter.com/NajibRazak) dan Facebook. Sebelum ini, Perdana Menteri pernah menonton perlawanan akhir Piala Eropah antara Manchester United dan Barcelona pada awal pagi di tapak terbuka bersama-sama beribu-ribu generasi muda ini yang berkumpul di Putrajaya sempena Perhimpunan Sejuta Belia Mei lalu. Pada setiap pertemuan ini, Najib tidak kelihatan terasa janggal, malah kelihatan ceria. Beliau bergaul bebas dengan remaja dan ketika menonton bola sepak bersorak seperti penonton biasa apabila pasukan pilihannya menjaringkan gol.  Gelagat bersahaja Perdana Menteri bersama-sama remaja ini tidak sekali-kali akan mencacatkan imejnya sebagai pemimpin negara. Malah, ia adalah kaedah komunikasi paling berkesan bagi mendekati remaja ini.

Sebagai contoh kehadiran beliau pada konsert malam kelmarin menyaksikan Perdana Menteri bersalaman mesra dengan penonton yang kebanyakannya adalah generasi muda. Bukan sekadar bersalaman, tetapi dengan berpakaian baju T berkolar, Najib mendekati hati remaja ini dengan senyumannya. Tidak ramai pemimpin dunia yang mampu memikat hati remaja. Antara yang agak berjaya ialah Presiden Barack Obama yang dua tahun lalu mendapat undian sokongan 75 peratus daripada pengundi muda. Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mendekati remaja dengan kerap mengunjungi universiti dan apabila berkesempatan bermain bola keranjang dengan mereka. Presiden AS ke-35, John F Kennedy (JFK) yang mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan hak asasi di negaranya pada era 1960-an, turut popular di kalangan remaja berikutan usianya yang muda dan juga semangat idealis yang dibawanya. Remaja pada zaman sekarang lebih terbuka dan tidak menyembunyikan perasaan mereka – terbukti apabila mereka berebut-rebut menghulur tangan untuk bersalaman dengan Najib pada konsert malam kelmarin. Perdana Menteri sudah jelas menyentuh perasaan remaja ini, mungkin seperti JFK, beliau kini dilihat mahu mencorak dunia baru yang lebih baik bagi diwarisi golongan ini.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
19 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : KELIRU ANTARA 31 OGOS DAN 16 SEPTEMBER? KENAPA DAN MENGAPA? PERLU KE KITA KELIRU? SIAPAKAH YANG KELIRU?

Oleh Azrone Sabatin
azrone@bharian.com.my


Apakah negara harus terus menyambut dua hari kebangsaan? Menurut pengkaji sejarah di Sabah perkara itu tidak harus berterusan berikutan 31 Ogos juga ialah hari kemerdekaan negeri di bawah bayu itu. Bekas Pengarang ruangan bahasa Melayu, akhbar Sabah Times, Datuk Jamdin Buyong, berkata pengisytiharan kemerdekaan Sabah masih segar dalam ingatannya kerana beliau terbabit secara langsung membuat liputan dan menyunting berita peristiwa bersejarah itu. Pengkaji sejarah tempatan itu yang juga bekas Pengarah Jabatan Muzium Sabah berkata, Borneo Utara (sekarang Sabah) turut mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, sekali gus bercanggah dengan pandangan beberapa ahli sejarah kononnya, Sabah merdeka ‘menerusi’ Malaysia. Beliau berkata sebenarnya pada 31 Ogos 1963, Gabenor Koloni, Sir William Goode menamatkan era kolonial Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dengan mengisytiharkan Borneo Utara membentuk kerajaan sendiri pada tarikh berkenaan. “Pengisytiharan rasmi kemerdekaan Sabah hanya dibuat pada 16 September 1963 di Padang Merdeka, Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens,” katanya.

Beliau berkata, majlis bersejarah itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Bapa Kemerdekaan Sabah yang juga Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. “Fakta ini harus diperjelaskan dan ia juga sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.  “Ketika ini sambutan Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) dijadikan isu oleh pihak tertentu yang kononnya Malaysia mempunyai dua hari kebangsaan,” katanya yang juga bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Cetak Kerajaan Sabah. Jika hakikat Sabah merdeka pada 31 Ogos diterima, dan Sarawak juga tidak mempunyai masalah terhadap isu berkenaan tidak ada sebab negara tidak boleh menyambut hari kebangsaan pada satu tarikh iaitu 31 Ogos. Sementara itu, Persatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Bumiputera Sabah (P4SBS) turut berpendapat Hari Kebangsaan sepatutnya hanya disambut pada tanggal 31 Ogos dan tidak perlu ada dua Hari Kebangsaan seperti berlaku sekarang. Hamid Abdul Rahmat berkata, walaupun pada 1957 Sabah dan Sarawak tidak terbabit dalam pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, namun selepas itu kedua-dua negeri bersama-sama membentuk Malaysia.

“Ini bermakna, tanggal 16 September yang diisytiharkan Hari Malaysia ialah kesinambungan pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. “Sekiranya ketika itu (1957) Tanah Melayu atau Malaya tidak merdeka maka belum tentu juga Sabah dan Sarawak akan bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Justeru tanggal 16 September hanya pengisian Hari Kemerdekaan,” katanya. Seorang penduduk Sepanggar, Kota Kinabalu, Rahman Musa, 56, menyuarakan kekecewaannya kerana masih ada rakyat negara ini yang tersasul dengan bertanya orang Sabah atau Sarawak yang datang ke Semenanjung, dengan soalan, “bila sampai Malaysia?” menyebabkan rakyat dua negeri terbabit berkecil hati. Katanya, anehnya perkataan itu kadang kala terpacul daripada mulut golongan profesional seperti doktor dan pensyarah. Kalau orang kampung di pedalaman yang bertanya soalan itu tidak mengapa kerana mereka tidak tahu apa-apa mengenai sejarah. “Malah masih ada rakyat Semenanjung yang menggunakan istilah ‘seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak’ yang jelas tidak menepati gagasan 1Malaysia.  Istilah itu seolah-olah menggambarkan ada dua Malaysia,” katanya. Kuasa penjajah bertapak di Borneo Utara pada 1761 apabila pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris di Madras, Alexander Dalrymple, mendarat di Pulau Balambangan, Kudat selepas dibenarkan Sultan Sulu dan 120 tahun kemudian, British secara rasmi menakluki negeri kaya dengan hasil minyak, pertanian, perikanan dan pelancongan itu.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : PASANGAN KEKASIH SONGSANG MAKIN BERANI DEDAH HUBUNGAN

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my


Kebelakangan ini banyak kes simbah asid dilaporkan berlaku. Angkara perbuatan jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu, mangsanya menerima azab sepanjang hayat apabila wajah menjadi cacat.  Apa tidaknya, kerana kebiasaannya pelaku akan menjadikan muka mangsanya sebagai sasaran simbahan asid. Kebanyakan kes simbah asid berpunca daripada motif cemburu atau dendam. Justeru, pelbagai pihak tampil mengemukakan saranan supaya penjualan asid dihadkan dengan mereka yang mempunyai lesen saja dibenarkan menjual bahan kimia berbahaya itu. Cadangan itu wajar dipertimbangkan supaya asid tidak mudah diperoleh oleh sesiapa saja yang mungkin digunakan untuk tujuan jahat. Di ruangan ini penulis bukan mahu mengupas secara mendalam mengenai kes penyalahgunaan asid untuk tujuan jenayah, tetapi secara kebetulan kes simbah asid yang menimpa seorang pemuda, Mohd Hafizzuddin Johari, 20, di Kangar pada awal bulan ini membuka mata banyak pihak di sebalik insiden itu. Kes itu juga menjadi bualan orang ramai, baik tua muda, lelaki juga wanita ketika bersembang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri.

Kejadian yang menimpa Mohd Hafizzuddin itu juga mungkin bermotifkan cemburu kerana dia ada menjalin hubungan dengan seseorang. Seseorang yang dimaksudkan penulis itu adalah lelaki berlagak wanita atau lebih mudah maknyah yang nama glamornya, Natasya Farisha, 28, seorang bekas model sambilan. Ia berdasarkan pengakuan maknyah berkenaan atau nama sebenarnya, Tabri Rashid Abu Hassan yang memberitahu media dia ada menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang meminta dia meninggalkan teman lelakinya itu dua bulan sebelum insiden itu.  Apa yang menarik perhatian ramai ialah pasangan kekasih songsang ini terlalu berani menonjolkan diri, apabila beberapa hari selepas kejadian itu Mohd Hafizzuddin yang bekerja di bidang penyediaan makanan dan Natasya yang juga jurujual kosmetik tampil mengadakan sidang media di Rumah Kelab Media Perlis untuk menjelaskan mengenai hubungan mereka. Agak pelik pasangan terbabit seolah-olah tidak berasa bersalah mengakui hubungan mereka. Mereka tidak segan silu memberitahu masyarakat, tinggal serumah dan mempunyai hubungan istimewa.

Ia menimbulkan persoalan adakah hubungan kekasih antara lelaki dan maknyah sudah boleh diterima masyarakat. Bagaimana pula jiran di Taman Seri Bakau, Kangar, melihat hubungan dua insan terbabit. Adakah tidak timbul syak atau curiga dalam fikiran mereka. Penulis percaya kes hubungan songsang seperti itu banyak berlaku di mana juga. Malah bukan lelaki bercinta dengan maknyah saja, kes wanita bercinta dengan pengkid juga tidak kurang hebatnya. Fenomena hubungan atau seks songsang ini dilihat bagai tiada kesudahan. Ia tidak mengenal siapa, baik pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi, pekerja biasa, eksekutif, pegawai kerajaan dan orang politik juga ada dikaitkan. Penulis masih ingat tidak lama dulu, ketika bersarapan pagi dengan beberapa rakan di sebuah kopitiam di bandar raya Alor Setar ini. Tiba-tiba tumpuan orang ramai yang sedang menikmati hidangan ‘terganggu’ dengan gelagat seorang gadis berusia lingkungan awal 20-an berpimpinan tangan dengan seorang pengkid.  Daripada lagak mereka yang terlalu mesra, penulis percaya mereka ada hubungan istimewa dan bukan sekadar kawan biasa. Malah, dari air muka masing-masing mereka tidak kelihatan rasa bersalah atau malu dengan lagak sedemikian.  

Berdasarkan penampilannya, penulis akui si gadis memang ada rupa dan ada pelajaran, tetapi mengapakah jalan songsang seperti itu yang dipilih?  Dalam kedua-dua kes berkenaan, iaitu Mohd Hafizzuddin dengan Natasya serta gadis berkenaan bersama teman pengkidnya, mengapakah mereka seperti tiada rasa segan silu lagi terhadap hubungan songsang yang jauh tersasar dari landasan agama Islam itu, sedangkan mereka Muslim? Kemanakah pergi perasaan malu masing-masing atau rasa bersalah sehingga berani menunjuk-nunjuk di khalayak ramai? Apakah masyarakat kita sudah mula mengiktiraf kelompok seks sejenis berkenaan. Bukan niat penulis mahu masyarakat menyisihkan golongan terbabit, tetapi biarlah ada pihak yang dapat membantu membimbing mereka kembali ke pangkal jalan supaya mereka tidak terus hanyut dan lebih malang menjadi ikutan orang lain pula.  Dalam hal ini, pihak yang berwajib jangan bersikap pejam mata. Bantulah golongan yang menghadapi kecelaruan gender ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan mengikut fitrah manusia sebagai mana dituntut agama. Kita bimbang penyakit sosial ini akan melarat hingga tidak terkawal.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Kedah

SUMBER
BERITA HARIAN
19 SEPTEMBER 2011

18 September 2011

ISU UMUM : MEDIA DAN TRANSFORMASI POLITIK

Bersama Mior Kamarul Shahid


Antara inisiatif transformasi politik yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia 2011 ialah mengenai kajian semula komprehensif membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Perdana Menteri menyatakan dengan jelas bahawa prinsip pembaharuan tahunan lesen akan dihapuskan dan diganti dengan pengeluaran lesen, sehinggalah ia dibatalkan.  Bagi pengamal dan pemerhati media, termasuk parti politik, syarat pemberian lesen ini adalah satu bentuk kawalan yang dikenakan ke atas media. Mereka beranggapan selagi akta itu wujud, selagi itu kerajaan dianggap mengawal kebebasan media. Bagi media, walau pun akta itu adalah satu alat kawalan kerajaan, tetapi setakat ini kerajaan tidak menggantung permit akhbar sewenang-wenangnya, melainkan jika ia jelas mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Akta itu dihebahkan begitu berkesan dan ditakuti pengamal media khasnya apabila tempoh membaharui lesen setiap tahun kian hampir. Paling takut ialah pemilik syarikat yang menyiarkan banyak berita yang mengelirukan pemikiran rakyat dan mereka yang melanggar syarat pemberian lesen.

Sekali pun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak melulu, di sebalik pemikiran pengamal media, lesen akhbar mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa saja sekiranya terleka. Dalam sesuatu berita, faktor siapa dirujuk kepada setiap mereka yang terbabit dalam sesuatu berita sama ada orang yang menjadi bahan berita atau sumber berita. Ada lagi siapa yang ditakuti, iaitu pihak yang mempunyai kuasa memberi dan menarik lesen akhbar KDN.  Antara kesan buruknya, khasnya berita politik ialah akta itu menjadi faktor pengamal media dan wartawan menjadi terlalu judgemental. Apa juga kenyataan politik dianggap mempunyai motif taktikal. Begitu juga, kian banyak berita berbentuk interpretatif dan analisis ditulis dan paling buruk apabila berlaku tulis oleh spin doctor atas tujuan tertentu. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah suatu akta Malaysia mengenai penggunaan percetakan, penerbitan dan agihan penerbitan menggantikan Akta Mesin Cetak 1948 dan Akta Kawalan Penerbitan Diimport 1958.  Kesan psikologi ke atas pengamal media amat nyata. Masyarakat khalayak juga dipengaruhi supaya mempercayai bahawa peruntukan dalam akta itu menyekat kebebasan media.

Pengamal media pula disifatkan sentiasa beringat bahawa dalam keghairahan menulis dan menyiarkan berita, ada had dan batasannya. Tulisan mereka tertakluk kepada peruntukan akta itu selain beberapa akta lain termasuk Akta Hasutan, Akta Fitnah, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya yang boleh menyebabkan mereka diheret ke muka pengadilan. Sekiranya kajian memperakukan supaya kerajaan menghapuskan akta itu, ia adalah satu transformasi radikal dalam pengurusan media di negara ini. Najib melakukan ini kerana ia adalah tuntutan zaman selari dengan kemajuan negara. Untuk menjadi sebuah negara maju, pemikiran dan tindak tanduk juga mestilah mencerminkan pemikiran dan tindak tanduk negara maju. Bagi orang luar, isu kebebasan media adalah isu sejagat yang selalu diberi perhatian khusus. Penghapusan akta itu bermakna kerajaan memberi kebebasan kepada media untuk menyiarkan berita tanpa perlu lagi takut lesen akhbar mereka akan digantung atau ditarik balik. Di kebanyakan negara di dunia hari ini, khasnya di negara maju kegiatan media diawasi oleh badan bebas yang sering disebut sebagai majlis media, ditubuhkan menerusi akta Parlimen. Majlis ini, selepas mengambil kira pandangan daripada pengamal media, khasnya media cetak dan individu berwibawa termasuk hakim, akan mengawasi perjalanan media. Mereka sendiri yang akan menentukan hukuman setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Cadangan penubuhan majlis media yang dinamakan Akta Majlis Media pernah dibentangkan di Parlimen pada 2001, tetapi disebabkan masih terlalu banyak kelonggarannya dan tidak lengkap, ia tidak diteruskan. Baru-baru ini pula ada usaha mewujudkan Majlis Perundingan Media diterajui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan KDN tetapi perbincangan dengan wakil-wakil media menemui jalan buntu. Bagi media majlis perundingan itu tidak akan berfungsi selagi wujud bayang-bayang kerajaan di dalamnya. Seperti media, tentunya kerajaan juga tidak mahu dianggap sebagai melebarkan cengkamannya ke atas media. Media juga tidak mahu persepsi bahawa media dikawal kerajaan terus menebal. Penubuhan majlis media adalah jalan penyelesaian yang dianggap praktikal dengan melihat kepada model majlis media yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara termasuk di United Kingdom. Namun, ada yang berjaya dan ada juga kecundang. Wartawan atau mereka yang terbabit dalam tugasan editorial, mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khalayaknya. Banyak kajian menunjukkan bahawa petugas dan pengamal media meletakkan pembaca bagi akhbar, pendengar bagi radio dan penonton bagi televisyen sebagai tanggungjawab utama sosial mereka.

Malah, bagi mereka memberikan sesuatu berita yang dikehendaki oleh khalayak mereka adalah kunci kepada prinsip kewartawanan. Seboleh mungkin mereka tidak mahu menyiarkan berita yang berunsur menyogok. Adakalanya mereka terpaksa mengetepikan kepentingan syarikat demi memenuhi tanggungjawab sebagai wartawan. Sebagai contoh, walaupun sesebuah syarikat mempunyai hubungan perniagaan yang besar dengan syarikat media, khasnya di segi iklan disebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas syarikat itu, wartawan perlu menjalankan tanggungjawabnya melaporkan peristiwa itu walaupun laporannya itu menjejaskan hubungan perniagaan kedua-dua syarikat itu. Begitulah juga konteksnya dengan kerajaan. Disebabkan wujud Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini, media tidak berani melaporkan sesuatu yang boleh menimbulkan ketidaksenangan KDN kerana bimbang permit tidak akan diperbaharui nanti. Sekiranya akta ini dimansuhkan, jelas ia menjurus kepada kebebasan kewartawanan.  Selama ini media mungkin dianggap sebagai mengikut apa saja yang diarahkan kerana tidak mahu menghadapi masalah.

Dengan penghapusan akta ini, ia akan memberi satu perspektif baru terhadap dunia kewartawanan. Wartawan tidak lagi bimbang menulis apa saja, walaupun mengenai perkara yang tidak disenangi pihak tertentu. Mereka berasakan kewujudan blog yang bebas, mempertikai kemampuan mereka menyiarkan berita yang menarik. Ketiadaan akta ini juga nanti menandakan berlaku 'pemisahan' hubungan kerajaan-media berasaskan pemahaman sebelum ini. Dengan pemansuhan akta ini nanti wujud satu senario yang jelas bahawa media sebenarnya adalah bekerja untuk rakyat. Tetapi disebabkan selama ini wujud akta itu, andaian media mengikut telunjuk kerajaan begitu menebal, walau pun ia adalah tanggapan yang tidak tepat. Apa pun, dunia kewartawanan perlu balik kepada pemikiran asasnya iaitu idea kewartawanan ialah untuk memenuhi kehendak khalayak. Pengamal media perlu taat kepada pembaca mereka, lebih daripada majikan mereka. Langkah kerajaan ini sebagai asas yang lebih besar terhadap kebebasan editorial khasnya dalam konteks ideologi politik. Ia membolehkan media menyiarkan berita secara adil dan tidak memihak. Langkah ini juga membolehkan wartawan mewujudkan daya profesional yang tinggi kerana mencari bahan berita dan menulisnya dengan cara profesional, bukan didorong oleh rasa takut lesen mereka akan digantung. Pengamal media menghubungkan diri mereka dengan khalayak berasaskan nilai, keputusan, autoriti, keberanian, profesionalisme dan komitmen terhadap masyarakat. Sebenarnya, ini jugalah yang dilakukan kerajaan hari ini menerusi transformasi politiknya.

SUMBER
BERITA MINGGU
18 SEPTEMBER 2011