JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 September 2011

ISU EKONOMI : PERANAN KERAJAAN PERMUDAH CARA BISNES

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.


Sering kali apa-apa keputusan perniagaan syarikat swasta terutamanya melibatkan pelaburan, ramai beranggapan kerajaan mempunyai peranan yang signifikan. Memang benar, kerajaan mempunyai peranan yang amat penting untuk menjadikan suasana perniagaan lebih kondusif supaya ekonomi negara lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Tanpa sokongan kerajaan, mana mungkin ekonomi negara melalui pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan langsung domestik (DDI) boleh berkembang lebih pantas lagi. Namun demikian, perlu diingat, peranan kerajaan tidak boleh jauh sehingga mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta. Apabila kerajaan dilihat terlalu mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta, para pelabur akan mendapat isyarat seolah-olah bisnes dan ekonomi "diikat" oleh kerajaan tanpa ada kebebasan untuk membuat keputusan. Implikasinya cukup besar sama sekali. Antaranya para pelabur akan takut melabur dalam negara tersebut. Tidak kira sama ada FDI dan DDI, kedua-dua jenis pelaburan ini akan semakin berkurangan. Kerajaan yang campur tangan dan terlibat dalam urusan perniagaan syarikat swasta juga akan dilihat tidak properniagaan.

Oleh yang demikian, apabila keputusan atau perjanjian yang termeterai sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh ExxonMobil untuk menjual Esso Malaysia Bhd. kepada syarikat asing, banyak iktibar perlu dipelajari. Antaranya, sebelum sesebuah syarikat dijual kepada syarikat asing, syarikat tempatan perlu membuktikan kepada mana-mana syarikat induk (penjual) bahawa mereka adalah yang terbaik untuk menjadi pembeli kepada syarikat yang ingin dijual. Tentu sahaja, bagi mana-mana ahli perniagaan dan korporat, mereka akan memikirkan pilihan yang terbaik apabila sesuatu urus niaga bakal dilaksanakan. Hakikatnya Esso telah dijual kepada syarikat asing. Untuk mengambil alihnya semula, biarlah dengan transaksi perniagaan di kalangan sektor swasta tanpa adanya campur tangan kerajaan. Dengan menekan kerajaan untuk mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia bakal memberi implikasi negatif ke atas ekonomi negara. Apabila kerajaan kelihatan mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia seolah-olah boleh menggambarkan kerajaan bertindak terlalu mengawal sektor swasta. Imej Malaysia juga akan terjejas di mata pelabur. Walhal, peranan besar kerajaan adalah sebagai pemudah cara bisnes.

Beri ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh korporat dan profesional menjalankan tugas mereka dalam urusan perniagaan. Campur tangan kerajaan juga boleh dianggap bagi sesetengah pihak sebagai campur tangan politik. Pemudah cara di sini bermakna, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada sektor ekonomi umpamanya galakan cukai. Malahan, suasana yang baik dalam ekonomi negara sejak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam tempoh sebelas bulan lalu memberi kesan positif kepada FDI sehingga mencatatkan lonjakan 76 peratus kepada RM21.3 bilion bagi separuh pertama tahun ini berbanding hanya RM12.1 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu. Melalui suasana yang kondusif jugalah, Malaysia telah berada di tangga ke-21 berbanding di tangga ke-26 pada tahun lalu dalam Laporan Daya Saing Global. Ini menandakan Malaysia sentiasa menjadi destinasi pelaburan yang cukup menarik bagi syarikat asing. Buktinya, syarikat gergasi Jerman, Bosch dan syarikat pengeluar telefon bimbit pintar Blackberry, Research in Motion (RIM) telah memilih negara kita untuk membina kilang masing-masing.

Di sini, nampaklah bahawa keyakinan pelabur perlu "dijaga" rapi. Pandangan pelabur yang positif kepada suasana persekitaran perniagaan negara akan mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. Apabila dikaji secara mendalam apa yang sedang berlaku kepada kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS), kini, adalah kerana krisis keyakinan yang membelenggu AS. Pada dasarnya, sejak krisis subprima 2007, kerajaan AS terlalu mencampuri urusan syarikat-syarikat AS dengan menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat yang tenat. Campur tangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada krisis keyakinan terhadap ekonomi AS, yang sebelum ini melaung-laungkan bahawa mereka mengamalkan pasaran bebas secara total. Sebenarnya, apa yang dikehendaki oleh pelabur dan ahli-ahli perniagaan ialah bantuan-bantuan signifikan daripada kerajaan yang berbentuk pemudah cara yang tidak melibatkan campur tangan dalam urusan perniagaan. Sebagai contoh, usaha kerajaan untuk mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) bermula hari ini sehingga Ahad ini di Putrajaya merupakan satu bantuan yang berbentuk pemudah cara untuk memajukan usahawan desa.

Pengumuman penting akan dibuat oleh kerajaan di KUD nanti, yang mana penulis jangkakan ia merupakan pengumuman yang ditunggu-tunggu usahawan desa untuk memajukan lagi perniagaan mereka. Di sinilah peranan kerajaan bagi merangsang ekonomi desa. Dengan kata mudah, baik syarikat-syarikat besar, syarikat-syarikat bersaiz sederhana mahupun perusahaan desa, kerajaan berperanan sebagai pemudah cara untuk mempertingkatkan lagi aktiviti ekonomi pada tahap terbaik. Lebih-lebih lagi, fokus kerajaan kini lebih terarah untuk merancakkan ekonomi domestik dan ini merupakan berita baik kepada syarikat-syarikat tempatan. Peluang terbentang luas ini melalui bantuan kerajaan sebagai pemudah cara bisnes menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang cukup menarik bukan sahaja untuk syarikat asing tetapi juga untuk syarikat-syarikat tempatan. Kesan akhirnya, rakyat akan meraih keuntungan dalam tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: