Oleh Liow Tiong Lai
www.liowtionglai.com/blog
Mereka tidak faham kenapa bapa yang tua itu sudah tidak ingat nama mereka. Kenapa dia masih bertanyakan di mana isterinya yang meninggal dunia 10 tahun lalu? Kenapa dia berdegil mahu pergi ke pasar raya berseorangan sedangkan dia tidak ingat bagaimana mahu pulang ke rumah? Kesabaran mereka semakin tipis dengan bapa, manakala keadaan orang tua itu semakin teruk. Ketika ingatan bapanya kembali seperti sedia kala semakin jarang berlaku dan lama-kelamaan dia perlukan bantuan untuk melakukan tugas biasa seperti memakai baju, mandi dan makan. Apabila pakar geriatrik menjelaskan mengenai penyakit Alzheimer atau nyanyuk kepada mereka, barulah mereka faham keadaan yang menyebabkan mereka kehilangan bapa yang dikenali. Seandainya mereka dapat mengenal pasti tanda penyakit Alzheimer sejak awal, mereka pasti dapat melihat bagaimana ia meresap dalam kehidupan bapa mereka sejak lima atau enam tahun lalu. Ini ialah kisah dialami beribu-ribu rakyat Malaysia, yang terpaksa melihat orang tua mereka mengalami penyakit Alzheimer yang menurut anggaran semasa, berjumlah kira-kira 63,000 orang di negara ini.
Penyakit Alzheimer ialah satu bentuk dementia yang paling kerap berlaku, keadaan degeneratif atau kemerosotan mengakibatkan perubahan kimia dan struktur sel dalam otak. Keadaan ini biasanya dialami mereka berumur 65 tahun ke atas, dan sering disalah anggap sebagai nyanyuk atau penyakit ‘orang tua’. Keadaan bertambah buruk apabila keluarga dan anak hilang kesabaran ketika mereka hilang ingatan dan tingkah laku mereka berubah kerana menyangka orang tua mereka sengaja mahukan perhatian atau melalui semula fasa kanak-kanak. Bagaimanapun penyakit ini menguasai minda dan merampas erti hidup sebagai insan. Ia juga merampas maruah diri sebagai orang tua sehingga individu itu hilang segala-galanya. Alzheimer amat mengerikan bagi waris pesakit kerana mereka tidak faham bagaimana penyakit itu boleh mengubah keadaan seseorang dari segi asasnya, hingga personalitinya berubah secara drastik (sel penting dalam otak membentuk fikiran, tindakan dan personaliti seseorang sudah mati). Jika ibu bapa anda disahkan menghidap Alzheimer, diagnosis itu hanya sebahagian daripada jawapan. Yang paling penting anda perlukan ialah bimbingan pakar untuk membantu memahami kenapa ibu bapa anda melalui proses ini dan bagaimana anda boleh menguruskan keadaannya dan memberikan sokongan terbaik.
Peranan ini paling baik dilakukan pakar geriatrik yang mengetuai sepasukan pakar yang boleh menyelia rawatan holistik untuk pesakit. Sebagai pakar dalam penjagaan dan rawatan untuk pesakit sedemikian, tugas pakar geriatrik bukan sekadar mengagihkan pil tidur atau mendengar rungutan pesakit yang nyanyuk saja. Peranan penting mereka ialah membantu keluarga pesakit melalui proses sokongan. Saya amat sedar bahawa negara kita sangat memerlukan lebih ramai pakar geriatrik, kerana kita mengalami kekurangan dari segi nisbah ideal 1:50,000 pakar geriatrik berbanding jumlah penduduk, seperti disarankan Kesatuan Geriatrik Britain. Untuk jumlah penduduk 28 juta di Malaysia, kita perlukan kira-kira 560 pakar geriatrik. Dengan hanya 13 pakar geriatrik di negara ini, empat daripadanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, kita masih jauh ketinggalan. Bagaimanapun, melalui program latihan dijalankan Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Singapura dan Australia, kita dapat melahirkan lebih ramai pakar terlatih dan menyediakan khidmat mereka di seluruh negara. Saya juga amat prihatin bagaimana keluarga pesakit Alzheimer menangani keadaan dialami.
Sebilangan mereka mungkin lebih bernasib baik dan mampu menggaji jururawat sepenuh atau separuh masa untuk menjaga ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Ini belum lagi disentuh mengenai tekanan emosi yang terpaksa mereka lalui. Namun, bagaimana pula nasib beribu-ribu yang lain, yang tidak mampu menyediakan kemewahan seperti itu? Berhenti kerja untuk menjaga pesakit itu bermakna mereka kehilangan sumber pendapatan. Ada di antaranya tidak mempunyai pilihan kecuali menghantar orang tua mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan walaupun mereka berasa malu kerana dianggap tiada perasaan kekeluargaan. Walaupun begitu, saya berpendapat masih ada harapan lagi. Apa yang kita perlukan ialah kesedaran mengenai penyakit ini. Dengan lebih banyak maklumat disediakan, kita dapat menarik lebih banyak perhatian dan pembiayaan untuk menjalankan penyelidikan bagi rawatan penyakit ini dan penerimaan lebih meluas di kalangan pesakit Alzheimer ini dan keluarga mereka. Buat masa ini, banyak kemajuan sains perlu dilakukan untuk mengkaji penyakit ini, sementara itu kita hendaklah melayani pesakit dengan rasa hormat dan kasih sayang – ceritakan kepada mereka mengenai pencapaian cucu mereka, bawa mereka bersiar-siar di taman, mainkan muzik kegemaran mereka. Mungkin mereka tidak faham kata-kata atau tindakan anda, tetapi mungkin di satu sudut fikiran mereka masih wujud hubungan sesama insan yang dapat membangkitkan ingatan dan membawakan ketenangan.
Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia.
www.liowtionglai.com/blog
atau Twitter (@liowtionglai)
SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan