JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 September 2011

ISU UMUM : AKTA KESELAMATAN MASYARAKAT MAJMUK!

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Joho              r
Bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dimansuhkan baru-baru ini perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang khusus untuk melindungi kesejahteraan rakyat majmuk di Malaysia. Negara memerlukan undang-undang baru ini untuk mencegah sensitiviti agama, kaum, bahasa, budaya dan ekonomi supaya tidak dijadikan punca konflik etnik (kaum) dan identiti (jati diri). Undang-undang ini perlu bagi mengelakkan pertembungan minat yang boleh mencetuskan persengketaan agama dan kaum sehingga menggugat keselamatan nasional dan kelangsungan negara seperti yang pernah terjadi pada 13 Mei 1969. Malaysia memerlukan undang-undang seperti ini kerana negara-negara membangun, termasuk di Asia, adalah "dibentuk untuk keselamatan dan kelangsungan (survival) negara tersebut" (Sity dan Zarina 2005:18). Undang-undang ini juga penting kerana konflik etnik dan identiti adalah punca utama yang menyebabkan umat sejagat berasa terancam (Kaufman2008:201). Ini terbukti bila tahun 1990-an tercetus 50 konflik etnik berbanding dua sahaja konflik antarabangsa di serata dunia.

Contohnya adalah konflik etnik dan identiti di Bosnia Herzegovina yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik tahun 1990-an, dan di Somalia yang menyebabkan ratusan ribu manusia kebuluran dan terkorban hingga ke hari ini. Lantaran inilah mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa sarjana kajian keselamatan memperluaskan konsep keselamatan supaya merangkumi pelbagai ancaman bukan tradisional, termasuk ancaman keselamatan insan, khususnya keselamatan masyarakat di negara majmuk. PBB dan sarjana Eropah merangkumkan aspek keselamatan masyarakat ini di bawah konsep keselamatan insan dan keselamatan nasional kerana kebanyakan negara mutakhir ini lebih diancam oleh masalah dalaman, bukannya ancaman ketenteraan luaran. Berdasarkan realiti inilah konsep keselamatan insan versi PBB memfokus kepada ancaman kronik seperti kebuluran, penyakit dan penindasan; dan ancaman serius terhadap kehidupan manusia di rumah, tempat kerja atau di dalam masyarakat (Paris 2000:89). Konsep keselamatan insan versi Eropah, pula adalah berbeza dengan versi PBB.

Walaupun ia menghuraikan aspek keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan alam sekitar dan keselamatan masyarakat, huraian versi Eropah ini adalah dalam konteks keselamatan nasional dan kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara majmuk. Oleh itu, jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia. Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.

Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara." Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa. Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik. Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act.  Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya.

Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989. Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21. Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi. Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan. Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: