07 September 2011

ISU SOSIAL : HEBATNYA PEMANDU TEKSI KITA


Pada 6 September 2011 tersiar satu surat dalam akhbar NST bertajuk Taxi drivers not using meter atau pemandu teksi tidak guna meter. Di Malaysia, negara kita tercinta ini, terutamanya di kota raya Lembah Klang, ia bukan sesuatu yang luar biasa. Ia sudah biasa. Di negara lain, pemandu-pemandu teksinya takut kepada pihak penguat kuasa. Di negara kita, pemandu tidak takut dengan pihak penguat kuasa. Mungkin, penguat kuasa yang takut dengan mereka? Atau mungkin kerana pihak penguat kuasa tidak menguatkuasakan kekuatan mereka ke atas pemandu-pemandu berkenaan. Jika tidak sudah tentu masalah begitu tidak akan berlaku? Banyak ketika, penumpang yang mengadu kepada pemandu teksi, mengapa tak pakai meter, mereka pula kena herdik: ''Pergilah repot!'' Wow, begitu berani sekali mereka. Untuk berlaku adil bukan semua pemandu teksi berkelakuan begitu. Tapi banyak yang berkelakuan begitu. Penulis surat di NST itu memberi nama Steenk dari Hong Kong. Tulisannya berbunyi: "Saya amat tertarik membaca rencana dalam akhbar tuan mengenai pemandu-pemandu teksi yang mengenakan caj tanpa menggunakan meter. Saya berada di Kuala Lumpur lebih tiga minggu dan menghadapi situasi itu setiap hari. Ia menakutkan dan memenatkan. Ia bukan sahaja berlaku di perhentian kereta api atau bas, tapi berlaku di seluruh bandar raya, dan bagi saya yang paling teruk ialah di Subang Parade, terutama di luar pusat membeli-belah Carrefour.

Pemandu-pemandu yang kasar mengancam penumpang yang enggan membayar apa yang mereka tuntut. Sungguh mengecewakan kerana gelagat seperti ini masih berlaku." Itulah kisah pelawat dari negara luar itu. Saya pernah ke Hong Kong, pemandu teksinya sama seperti negara-negara maju lain. Mereka tidak menganiaya penumpang. Mereka ikut peraturan. Baru-baru ini saya ke Dubai selama seminggu. Selama itu juga banyak kali saya menggunakan teksi. Kebanyakan pemandu ialah dari India, Pakistan dan Yaman. Kesemua mereka cukup mesra dengan penumpang asing, seperti saya. Pemandu-pemandu itu semuanya makan gaji dengan pengusaha teksi yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Dubai. Mereka tidak 'kongkalikong' dengan penumpang kerana takut kena pecat. Kalau kena pecat kena hantar balik kampung. Mereka juga takut dengan pihak berkuasa sekiranya mereka didapati menyeleweng dengan penumpang, mereka boleh masuk penjara. Di dalam teksi tertera pelekat tertulis: ''Jika pemandu tidak menggunakan meter, penumpang tidak perlu membayar tambang." Namun, bagi pemandu kita di sini, para pelancong asing, terutamanya pelancong Arablah yang sering menjadi mangsa mereka. Kita pun tidak terkecuali.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 SEPTEMBER 2011

06 September 2011

ISU UMUM : MISI KEMANUSIAAN PERLU PROSEDUR OPERASI STANDARD

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Kementerian Penerangan telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara terutama di negara sedang bergolak atau berlaku perang saudara. SOP akan menjadi panduan kepada sesiapa saja yang menyertai misi kemanusiaan termasuk sukarelawan dan wartawan yang membuat liputan mengenai misi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk terkena tembakan curi kumpulan bertelagah. Saranan itu terbit selepas jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, maut akibat terkena peluru sesat pada Jumaat lalu ketika membuat liputan misi kemanusiaan selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 8 September lalu bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia. Kematian Noramfaizul membuka mata banyak pihak mengenai langkah wajar perlu diambil sebelum mengikuti misi kemanusiaan, lebih-lebih lagi di negara diklasifikasi sebagai tidak selamat untuk dikunjungi. Keberanian 55 sukarelawan termasuk 17 wakil media ke Somalia bagi menjayakan misi kemanusiaan terutama menjelang Aidilfitri wajar dihargai kerana ia satu pengorbanan berjauhan dengan keluarga di samping membawa nama Malaysia di luar negara.

Pelbagai persiapan juga perlu diambil kira pengamal media sebelum mengikuti misi kemanusiaan. Antaranya mengikuti kursus khas dikendalikan pakar keselamatan atau peperangan yang biasanya veteran tentera berpengalaman.  Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata menghantar peserta misi kemanusiaan mengikuti kursus khas satu kemestian jika negara dituju itu berdepan konflik termasuk perang saudara atau perbalahan berpanjangan. Kursus itu penting supaya peserta mendapat pengetahuan am dan asas keadaan geografi, lokasi dan risiko berada di kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan rapi.  “Pakar yang memberi kursus perlu mahir selok-belok sesuatu negara atau kawasan, memberi tunjuk ajar menyelamatkan diri jika diserang termasuk memilih tembok atau tempat berlindung,” katanya.  Beliau yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, Kolej Universiti HELP menjelaskan, segala input dan maklumat dibekalkan pakar perlu dijadikan pedoman kepada anggota misi kerana ia menentukan hidup mati mereka. “Memang ajal dan maut adalah ketentuan Allah, namun persediaan rapi membantu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Anggota misi juga wajar dibekalkan peralatan khas seperti jaket dan topi kalis peluru. Sambil mengakui jaket dan topi kalis peluru tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pemakainya kerana masih mempunyai kelemahan, ia juga banyak membantu mengurangkan kematian dan kecederaan.  “Jaket kalis peluru mempunyai jenis dan kualiti berbeza. Jaket kalis peluru diperbuat daripada seramik dan besi mampu menahan peluru mesingan dan jaket biasa mampu kalis tembakan pistol. “Tidak semua tempat selamat untuk memakai jaket kalis peluru kerana negara Amerika Selatan seperti di Colombia, pemakainya dianggap ejen pihak berkuasa dan tidak akan terlepas daripada sasaran penembak,” katanya. Selain itu, penganjur misi kemanusiaan perlu menjalin hubungan rapat dengan kumpulan pemerhati antarabangsa dan NGO kemanusiaan negara asing yang sudah lama bertapak di sesuatu kawasan. Kumpulan atau NGO ini biasanya sudah ‘masak’ dengan kegiatan pihak tertentu termasuk pemberontak atau penembak hendap, sekali gus membolehkan penganjur menyusun jadual perjalanan lebih selamat. Paling penting, anggota misi kemanusiaan tidak terlalu menonjolkan diri kepada penduduk setempat bagi mengelak menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka.

“Sebolehnya, kita bersikap pasif, merendah diri dan tidak terlalu ghairah menonjolkan kehadiran di tempat berisiko tinggi.  “Bukan semua orang di tempat yang kita hantar bantuan itu suka dengan kita. Mungkin puak yang berperang tidak suka kehadiran kita kerana dianggap menjejaskan kepentingan dan pengaruh mereka. Berbaik dengan pasukan pemerhati antarabangsa kerana mereka lebih tahu bila masa terbaik boleh keluar. Hubungan dengan wartawan tempatan juga penting kerana mereka mahir keadaan di sana,” katanya. Akhbar turut mencadangkan supaya SOP atau apa juga panduan yang ditetapkan itu mewajibkan sukarelawan mengikuti kursus kaunseling sebelum dan selepas misi bagi mengatasi masalah trauma yang mungkin dilalui.  “Aspek emosi dan tekanan mereka juga perlu diambil kira. Dalam kes Noramfaizul, ada wartawan trauma dengan kejadian itu dan perlu diberi kaunseling. Trauma mungkin sehingga enam atau lapan minggu. Jika tidak dirawat, ia memberi kesan seperti hilang selera makan dan lemah semangat kerana tidak dapat melupakan peristiwa berdarah menimpa rakan mereka,” katanya.

Paling penting wartawan yang membuat liputan di kawasan bergolak perlu bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selaras dengan Protokol Tambahan, Konvensyen Geneva 1949, berkaitan Perlindungan Terhadap Mangsa Konflik Bersenjata Antarabangsa (Protokol I) 1977. Protokol itu menetapkan wartawan yang membuat liputan dalam misi profesional berbahaya di kawasan konflik senjata dianggap sebagai orang awam, mereka dilindungi mengikut konvensyen dan protokol berkenaan dan memiliki kad pengenalan yang sah dikeluarkan kerajaan di mana wartawan itu menetap.

SUMBER
BERITA HARIAN
6 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : MEMBETULKAN MATLAMAT SEKOLAH BERASRAMA PENUH

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM 
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran.


Ramai  yang merasa lega dan sangat bersetuju apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kriteria baru bagi pelajar miskin dan luar bandar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 2012. Kelulusan UPSR 3A dan 1B bagi pelajar daripada keluarga miskin dan 4A dan 1B bagi pelajar luar bandar sangat berpatutan dan sesuai dengan kekurangan yang mereka alami jika dibandingkan dengan pelajar lain yang dikira lebih bernasib baik. Ini memberi peluang kepada pelajar yang kurang mampu tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seterusnya dapat mengubah nasib serta masa depan mereka. SBP yang terawal ditubuhkan ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan pada tahun 1905. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Melayu dan setelah menamatkan pengajian mereka diserapkan dalam pentadbiran kerajaan Inggeris. Kejayaan Kolej Melayu yang dihuni sepenuhnya oleh pelajar lelaki telah membawa kepada penubuhan sebuah lagi SBP iaitu Kolej Tengku Khursiah, Seremban.

Sekolah ini menempatkan sepenuhnya pelajar perempuan dan ke semua mereka tinggal di asrama. Dengan kemudahan dan kelengakapan pendidikan yang mencukupi termasuk guru yang terlatih, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya untuk memahami perkembangan pendidikan SBP kita seharusnya merujuk kepada sejarah kedatangan penjajah ke negara ini. Penjajah Inggeris bukan sahaja memperkenalkan sistem pentadbiran negara yang moden tetapi turut membawa bersama mereka sistem pendidikan yang baru. Sekolah rendah dan menengah mula didirikan dengan menggunakan kurikulum pengantar bahasa Inggeris. Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh badan-badan mubaligh Kristian yang berpusat di England, Belanda, Perancis dan Itali. Sesungguhnya penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini telah melebarkan lagi jurang pendidikan di kalangan kanak-kanak pelbagai kaum kerana kebanyakan pelajar di sekolah tersebut adalah terdiri daripada pelajar keturunan Cina dan India. Sementara itu kebanyakan kanak-kanak Melayu lebih berpusat di sekolah-sekolah Melayu atau sekolah aliran agama yang menggunakan sistem Pondok.

Terdapat beberapa sebab mengapa jumlah pelajar Melayu sangat sedikit bilangannya yang belajar di sekolah Inggeris jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. Faktor utama ialah kerana lokasi atau kedudukan sekolah-sekolah tersebut terletak di kawasan bandar, misalnya Penang Free School, Victoria Institution Kuala Lumpur, St. Micheal Ipoh, Malacca High School, Muar High School dan puluhan sekolah yang lain. Kekurangan pelajar Melayu disebabkan juga faktor persepsi. Kebanyakan ibu bapa Melayu merasa kurang selesa dan bimbang terhadap pengaruh agama Kristian. Pada hakikatnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Inggeris ini sangat beruntung kerana mendapat pendidikan akademik yang baik berasaskan kurikulum dan sistem pendidikan di United Kingdom. Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan mereka diajar oleh guru-guru terlatih yang pada peringkat awalnya kebanyakan berasal dari India dan Sri Lanka. Sementara itu kebanyakan pengetua dan guru besar sekolah adalah terdiri daripada orang Inggeris yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sekolah di negara asalnya. Kenyataannya ramai pelajar lepasan sekolah tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya ke England, Australia atau New Zealand.

Di samping itu pelajar-pelajar lain mempunyai pilihan yang luas dalam memilih bidang kerjaya masing-masing. Dengan kebolehan menguasai bahasa Inggeris yang baik amat mudah mereka diserapkan dalam pentadbiran penjajah atau bekerja di syarikat-syarikat swasta kepunyaan Inggeris yang menguasai ekonomi negara ketika itu. Datuk Abdul Razak Hussain yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran sangat menyedari situasi tersebut dan implikasinya terhadap pembinaan negara bangsa. Itulah sebabnya dalam Laporan Razak (1956) beliau mencadangkan ditubuhkan SBP untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang miskin dan tinggal di luar bandar tetapi berbakat untuk diberikan pendidikan yang terbaik dan setaraf dengan sekolah-sekolah Inggeris. Melalui cadangan dan pengakuan dalam Laporan Razak itu maka tertubuhlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada tahun 1956 untuk menempatkan pelajar luar bandar yang berkebolehan. Kemudian diikuti SBP lain seperti Sekolah Alam Shah, Cheras; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur; Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Dengan tertubuhnya SBP di awal era kemerdekaan ini telah memberi peluang kepada ribuan pelajar-pelajar miskin dan mereka yang datang daripada luar bandar mendapat pendidikan yang terbaik. Semua pelajar tinggal di asrama dengan mendapat makanan yang berzat, kehidupan di asrama yang teratur, diajar oleh guru-guru yang terlatih dan pengurusan sekolah sentiasa dipantau oleh Unit SBP, Kementerian Pelajaran. Penubuhan SBP yang lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) di mana sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains. Kejayaan yang dibuktikan melalui pendidikan SBP menyebabkan ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka bersekolah di sana. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang telah terbukti menyebabkan Kementerian Pelajaran menambah bilangan SBP setiap tahun. Hingga kini bilangannya lebih 60 buah yang terdapat di seluruh negara. Kini isu yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun yang lepas ialah terlalu ramai bilangan permohonan untuk memasuki sekolah itu. 


Walaupun kelulusan minimum yang ditetapkan ialah 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A adalah jauh lebih besar daripada tempat yang disediakan di SBP. Pelbagai cara digunakan oleh ibu bapa untuk memastikan agar anak mereka dapat ditempatkan di sekolah berkenaan. Dasar meritokrasi yang diamalkan dalam pemilihan untuk memasuki SBP telah melenyapkan peluang anak-anak daripada keluarga miskin dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Secara logiknya anak-anak dari golongan berada dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Oleh itu perubahan dasar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah lama dinantikan dan ada berkaitan dengan usaha untuk memperbetulkan semula matlamat asal penubuhan SBP. Diharapkan peluang ini membolehkan pelajar miskin dan pelajar daripada kawasan luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik melalui sistem pendidikan di SBP. Inilah yang dinamakan 'pendemokrasian dalam pendidikan.' Moga-moga anak-anak yang kurang bernasib baik ini akan terbela nasib mereka dan mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pendidikan yang disediakan di SBP.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 SEPTEMBER 2011

05 September 2011

ISU UMUM : PEMERGIAN NORAMFAIZUL JADI TITIK TOLAK

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my


Kematian wartawan dan pengamal media ketika bertugas, terutama di medan perang atau di negara yang menghadapi perang saudara bukan perkara baru. Ratusan wartawan, jurugambar dan jurukamera televisyen terkorban ketika membuat liputan perang saudara di Amerika Selatan dan beberapa negara di Afrika serta pergolakan di Asia Barat, peperangan di Bosnia, Iraq dan Afghanistan. Badan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF) melaporkan 38 wartawan terkorban ketika melaksanakan tugas mereka di seluruh dunia tahun ini. Di Somalia saja, negara yang dikategorikan oleh RSF sebagai paling berbahaya untuk pengamal media, 23 wartawan dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan perang saudara di negara itu sejak 2007. Statistik itu tidak termasuk Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang terkorban terkena tembakan curi ketika menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Jumaat lalu.  Tahun lalu, 57 wartawan terkorban ketika bertugas termasuk tiga di Somalia, manakala setahun sebelum itu, 75 wartawan terbunuh dan sembilan daripadanya berlaku di Somalia.

Di Somalia jugalah lima tentera Malaysia terkorban ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara 1993 hingga 1994.  Yang jelas, kerjaya wartawan sama seperti polis, tentera dan bomba, terdedah kepada risiko dan bahaya.  Dalam mengejar berita muka depan atau mendapatkan gambar dan visual yang menarik untuk dipilih sebagai tajuk utama, wartawan dan jurukamera terpaksa berdepan dengan bahaya, terutama di kawasan berisiko tinggi.  Malah di negara aman seperti Malaysia pun, wartawan berdepan dengan risiko lain seperti diancam, disaman dan dimusuhi oleh pihak yang berasakan sesuatu laporan itu tidak menyebelahi mereka.  Kejadian menimpa Allahyarham Noramfaizul dan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan terkena tembakan itu, mengejutkan semua pihak kerana mereka ke sana bukan membuat liputan perang, tetapi mengenai usaha rakyat Malaysia menghulur bantuan kepada rakyat Somalia yang menderita kebuluran.  Berdasarkan cerita daripada rakan wartawan yang berada dalam kenderaan itu ketika kejadian, ia berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sudah hampir ke pusat penginapan dengan diiringi sendiri oleh tentera kerajaan.

Mereka tidak diberikan jaket kalis peluru kerana pihak berkuasa di sana sudah memberi jaminan keadaan terkawal dan keselamatan peserta misi itu sentiasa diawasi oleh tentera.  Kepada masyarakat pengamal media tempatan, kejadian ini menyedihkan kerana ia pertama kali membabitkan kematian rakan seperjuangan ketika bertugas di luar negara. Wartawan Malaysia pernah diserang hendap ketika menyertai misi kemanusiaan seperti di Iraq pada 2003 dan apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk Gaza tahun lalu, tetapi semuanya terselamat.  Sementara bersedih atas pemergian beliau, kita juga berbangga dengan ciri wartawan sejati yang ditunjukkan Allahyarham ketika melaksanakan tugas ketika hayatnya untuk menyajikan laporan terbaik kepada rakyat negara ini. Walaupun kejadian yang menimpa Noramfaizul ini diharap tidak akan mematahkan usaha Misi Kemanusiaan Kelab Pemuda 1Malaysia ke luar negara dan semangat wartawan untuk terus membuat liputan di negara berisiko tinggi, ia juga harus menjadikan kita lebih berhati-hati dan mengetatkan prosedur keselamatan pada masa depan.


Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kejadian yang menimpa Allahyarham Noramfaizul itu sesuatu yang tidak diduga dan dikategorikan sebagai ‘collateral damage.’ Namun tidak salah untuk semua pihak – penganjur dan agensi media – mengkaji semula prosedur sedia ada bagi memastikan keselamatan peserta dan wartawan yang menyertai misi seumpamanya pada masa akan datang. Kepada keluarga Noramfaizul, kita berharap mereka reda dengan ketentuan Allah ini. Hanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang dapat memahami kesedihan atas pemergian Allahyarham. Bagaimanapun, satu hari nanti anak Allahyarham boleh berbangga kerana ayah mereka terkorban ketika menyertai misi untuk membantu insan yang memerlukan. 

Al-Fatihah.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : INSTITUSI MEDIA TEMPATAN PATUT RANGKA LATIHAN BERDEPAN NEGARA KONFLIK


Kematian  jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, ketika bertugas di Somalia, Jumaat lalu, secara pilu menggambarkan kepada kita bahawa bahayanya tugas wartawan di zon konflik. Noramfaizul – menjadi wartawan pertama Malaysia terbunuh dalam zon konflik pada era moden ini – ditembak mati oleh penembak curi ketika dalam perjalanan bersama kumpulan wartawan yang membuat liputan misi bantuan Malaysia ke negara Afrika utara bergolak itu yang dilanda kebuluran. Seorang lagi jurugambar, Aji Saregar Mazlan daripada TV3 yang berada dalam kenderaan sama dengan Allahyarham cedera di bahu. Kejadian malang berkenaan menambahkan lagi jumlah kematian wartawan ketika bertugas di seluruh dunia. April lalu, dua wartawan masing-masing dari Britain dan Amerika Syarikat mati ketika membuat liputan di Libya, manakala pada November 2009, dunia dikejutkan dengan pembunuhan 29 orang wartawan dalam satu serang hendap di selatan Filipina. Menurut perangkaan Committee to Protect Journalists (CPJ) atau Jawatankuasa Perlindungan Wartawan, 40 wartawan terbunuh ketika bertugas dalam zon konflik tahun lalu, menyusuli 72 yang terbunuh pada tahun sebelumnya. Statistik berkenaan kemungkinan akan terus dicatatkan pada masa akan datang. Bagaimanapun, ia tidak akan melunturkan semangat institusi media untuk terus menghantar wartawan masing-masing bagi memberi laporan langsung dari medan konflik.

Institusi media di negara kita tidak terkecuali. Sejak perang Iraq, bencana alam tsunami, keganasan Israel di Lubnan, Gaza dan perang di Bosnia, Afghanistan serta Somalia berpuluh-puluh wartawan Malaysia sudah menyabung nyawa membuat liputan di zon konflik terbabit. Walaupun serba kekurangan, wartawan Malaysia tidak hanya terperuk di hotel seperti dilakukan oleh sesetengah wartawan ternama dari agensi berita Barat. Walaupun tidak dibekalkan baju kalis peluru, topi besi mahupun perlindungan insurans perang seperti dinikmati rakan sejawatan mereka dari negara Barat, wartawan Malaysia ini tetap cekal membuat liputan dari tempat berbahaya. Institusi media Barat tidak mungkin akan menghantar wartawan mereka ke zon konflik tanpa kemudahan berkenaan, selain memastikan wartawan mereka menjalani latihan ‘suasana ganas’ terlebih dulu. Mungkin sudah tiba masa institusi media negara ini merangka latihan sedemikian serta membekalkan wartawan mereka dengan kemudahan keselamatan dan perlindungan insurans yang memadai bagi mengurangkan risiko terkorban di medan konflik. Bagi memperingati pengorbanan Noramfaizul, ada baiknya juga jika Institut Akhbar Malaysia pada masa depan memperkenalkan anugerah jurugambar zon konflik cemerlang atas nama Allahyarham.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN MAMPU MERAPATKAN JURANG BUDAYA AKADEMIA DAN PASARAN TEKNOLOGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my


Universiti penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.  Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing. Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.  Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.  Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.  Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti.

Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.  Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.  Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.  Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.  

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.  Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.  Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.  

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik. Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan. Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi. Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran. Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan.

Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka. Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian. Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan. Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti. Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme. Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS. Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi. Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : MENCARI 100 NAMA PEJUANG MERDEKA

Ku Seman Ku Hussain


Mencari  seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat. Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi. Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British. Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka.

Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah. Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa? Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan. Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 SEPTEMBER 2011

04 September 2011

ISU UMUM : HARI RAYA, LEBUH RAYA, JALAN RAYA, JEM RAYA ...

Untung Sabut Timbul


Ini cerita lama: kesesakan lalu lintas di semua bandar-bandar dan pekan-pekan kecil semasa menjelang dan ketika hari raya. Juga kesesakan lalu lintas ketika kenderaan keluar dari Lembah Kelang menjelang hari raya. Sama juga dengan kesesakan lalu lintas semasa kenderaan masuk ke dalam Lembah Kelang ketika habis hari raya. Selain itu, kesesakan lalu lintas pada hujung minggu sepanjang bulan Syawal di Lembah Kelang lantaran warga kota mengadakan rumah-rumah terbuka. Cerita barunya: kesesakan lalu lintas bertambah teruk tahun ini berbanding tahun-tahun dahulu. Walaupun kelihatan banyak jalan-jalan baru dan lebuh-lebuh raya baru yang telah siap dibina. Juga boleh dikatakan semua bandar dan pekan-pekan di seluruh negara tidak akan dapat selesaikan masalah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya. Adakah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya itu suatu masalah? Kalau kita anggap ia menyusahkan kita, maka ia menjadi masalah. Maka apabila kita berasa susah hati kerana tersangkut sangkut dalam kesesakan lalu lintas, ia benar-benar adalah masalah.

Tetapi jika kita anggap kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan kita, maka ia tidak menjadi masalah. Umpamanya jika kita mempunyai perasaan sabar yang tinggi dan menganggap bahawa kesesakan lau lintas itu adalah takdir yang wajar kita terima dengan reda, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kesesakan lalu lintas itu adalah takdir. Ia merupakan hukum alam yang telah ditetapkan Tuhan. Maka kita akan sabar dengan gejala itu apabila kita terima bahawa ia merupakan hukum Tuhan. Adalah jelas apabila kenderaan banyak menuju satu tempat yang kecil dengan laluan terhad, sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Ilmu matematik, fizik, geografi dan kajian perancangan bandar semuanya mematuhi hukum Tuhan bahawa dalam keadaan sedemikian pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Dalam kesesakan lalu lintas begini, kalau kita bertafakur, maknanya berfikir, dan kemudian capai tasbih dan berzikir dalam kereta, insya-Allah kesabaran kita boleh ditingkatkan dan kita menjadi reda dengan takdir dan hukum Tuhan. Makanya kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan dan justeru bukan masalah bagi golongan as-sabirin, atau orang-orang yang sabar.

Tetapi hukum Tuhan juga menunjukkan bahawa tidak semua orang boleh mencapai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sebegini. Maka orang kebanyakan ini tentulah merasakan bahawa kesesakan lalu lintas ini adalah suatu masalah. Seringkali apabila disebut masalah, maka difikirkan mengenai penyelesaian. Anggapannya ialah apabila ada masalah, tentulah ada penyelesaiannya. Hakikatnya tidak demikian. Dalam sejarah, banyak masalah tidak ada penyelesaian. Ia terus menjadi masalah walaupun dicuba pelbagai ikhtiar. Ada kalanya masalah itu hilang dengan sendirinya apabila berlaku perubahan keadaan persekitaran menjadikan sesuatu komponen masalah itu tidak relevan lagi. Sementara ada puila masalah yang semakin membesar dan membarah, hingga berkait-kait dan menjalar ke sana sini. Jadi, adakah masalah kesesakan lalu lintas ini boleh diatasi atau tidak? Pertamanya, ia kemungkinan besar tidak boleh diselesaikan. Untuk memahami masalah ini cuba lihat puncanya.

Punca utama ialah orang Melayu yang balik ke kampung pada hari raya setiap tahun semakin bertambah. Sementara jalan ke kampung-kampung walaupun bertambah tetapi tidaklah sepesat dengan bilangan orang yang pulang ke kampung saban tahun. Itu belum lagi dilihat punca kedua dan punca ketiga. Hal punca utama pun tidak dapat diselesaikan. Pertambahan penduduk orang Melayu memang tidak boleh disekat. Kehendak mereka mahu pulang ke kampung setiap hari raya juga tidak boleh disekat. Penambahan jalan juga tidak boleh dibuat lebih pesat lagi. Bukan saja soal belanja tetapi jalan itu tidak ada gunanya di luar musim hari raya. Tetapi menarik juga untuk diteliti mengapa orang perlu balik ke kampung pada hari raya? Ini kerana kebanyakan orang Melayu masih berasal dari kampung. Mereka bermastautin di bandar tetapi ibu bapanya masih ada di kampung. Tentulah mereka perlu balik kampung. Tetapi banyak juga yang ibu bapa mereka sudah meninggal dunia, tetapi mereka tetap mahu balik kampung masa hari raya. Ini kerana mereka masih mempunyai ibu bapa saudara dan adik beradik di kampung.

Ada pula mahu berhari raya di kampung kerana mahu ziarah pusara ibu bapa mereka. Tetapi adakalanya bukannya kerana sanak saudara itu. Mereka membesar di kampung dan mahu terus menikmati hari raya seperti masa mereka kanak-kanak. Pendek kata, mereka berhari raya kerana nostalgia dan cuba kembali pada zaman lalu. Tentulah suatu yang mustahil. Namun andai kata pada satu hari kebanyakan orang Melayu sudah tinggal di bandar-bandar, maka tidak lagi timbul keadaan balik kampung. Atau kampung-kampung sudah tidak wujud. Semuanya sudah menjadi bandar, maka tidaklah ada lagi gejala balik kampung. Tetapi kalau tiada kampung pun, tentulah orang masih bertumpu-tumpu di bandar-bandar asal mereka. Maknanya, bukanlah gejala balik kampung, tetapi balik ke bandar asal. Selagi orang bermastautin di luar dari tempat asal mereka, maka akan berlaku kesesakan lalu lintas juga pada hari raya. Jadi untuk atasi kesesakan lalu lintas masa hari raya, seseorang itu usah tinggal di bandar yang berasingan daripada ibu bapa mereka. Contohnya kalau seseorang itu bermastautin di Lembah Kelang, maka seharusnya dia pindahkan ibu bapanya ke situ.

Bukan itu saja, dia pun wajar pindahkan adik beradiknya ke Lembah Kelang. Tidak cukup dengan itu, mereka pula perlu mencari pasangan di Lembah Kelang. Anak-anaknya pula wajar bersekolah dan belajar universiti di Lembah Kelang juga, dan akhirnya bekerja di situ. Maka tiadalah kesesakan lalu lintas semasa hari raya di bandar dan pekan-pakan kecil di luar Lembah Kerlang. Yang sesak pula ialah Lembah Kelang. Begitu juga sebaliknya di negeri-negeri. Umpamanya orang yang lahir di Johor. Biarlah mereka bersekolah di Johor. Kalau masuk MRSM, biarlah yang ada di negeri itu. Bila masuk universiti pula, biarlah yang berhampiran di rumah. Begitu juga bila bekerja, dapatkanlah pekerjaan yang berhampiran dengan bandar asal. Maka begitu juga apabila berkahwin. Carilah pasangan berhampiran dengan rumah. Jika begini berlaku, maka apabila menyambut hari raya, tidaklah berasa tertekan untuk balik ke bandar lain beratus-ratus batu dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Tetapi tentulah perkara itu mustahil. Manusia bukan pokok, ia ada kaki dan otak. Selain itu, ia juga ada kesabaran,

Dan reda dengan hukum Tuhan.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : APABILA PEREMPUAN GILA TALAK

Kucing Jantan


Kebiasaannya  kaum perempuan selalu menceritakan bagaimana buruknya kaum lelaki bila gila talak, maksudnya masih tergila-gilakan isteri yang diceraikan. Tetapi bagaimana pula kalau perempuan yang gila talak? Minggu ini Bro nak ceritakan mengenai seorang kawan Bro yang berkahwin dengan seorang duda terus diganggu oleh bekas isteri lelaki berkenaan. Pelbagai usaha dilakukan oleh perempuan tersebut termasuklah menuduh kawan Bro tu perampas suami orang sedangkan hakikatnya lelaki itu bertemu dengan kawan Bro selepas beberapa tahun bercerai. Maknanya, perceraian yang berlaku bukan disebabkan kehadiran kawan Bro tetapi kerana kegagalan perempuan berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sehingga memungkinkan perceraian berlaku. Bro bukan hendak memihak kepada kawan Bro tetapi sebagai manusia kita tidak boleh menafikan fakta kerana yang benar itu benar, yang salah itu salah. Akibat gangguan yang dilakukan oleh bekas isteri tersebut, kawan Bro terpaksa beberapa kali menukar nombor telefonnya, kalau tidak, siang malam SMS yang bukan-bukan diterima olehnya.

Bro hairan kenapa perempuan itu hendak ganggu kawan Bro tersebut sedangkan semasa kahwin dulu tidak mahu layan suami betul-betul, bila dah bercerai mulalah nak jadi ‘hantu raya tak bertuan’ kacau kehidupan orang lain. Mungkin perempuan itu tidak boleh terima hakikat kerana anak-anaknya menerima dengan baik ibu tiri mereka, apatah lagi kawan Bro layan anak-anak tirinya bagaikan anak kandung sendiri. Lanjutan itu tidak wujud sekumit pun perasaan benci anak-anak tiri tersebut kepada emak tiri mereka. Sepatutnya perempuan yang berkenaan bersyukur kerana biar pun dia sudah tidak ada jodoh dengan suaminya tetapi anak-anaknya hidup bahagia. Tetapi malangnya, perempuan berkenaan tidak puas hati dan seperti biasa perasaan benci kaum hawa lebih dahsyat daripada kaum lelaki sebab itulah dia ganggu kehidupan bahagia kawan Bro itu. Sebab itulah Bro hendaklah nasihat kaum perempuan, apabila bergelar isteri jagalah rumah tangga dengan sebaik-baiknya. Berusahalah menjadi isteri yang terbaik di muka bumi Allah SWT ini. Jangan bertindak ikut emosi apabila masalah berlaku sebaliknya selesailah dengan cara sebaik-baiknya.

Bro selalu memperingatkan kawan-kawan perempuan Bro supaya dalam apa juga tindakan jangan sampai suami, tunang atau teman lelaki mereka ‘pejam mata’. Maksud Bro, apabila seseorang lelaki ‘pejam mata’ maka dia boleh melakukan tindakan di luar dugaan termasuklah memutuskan hubungan tanpa mahu fikir apa-apa lagi. Bro sudah saksikan bagaimana kawan-kawan lelaki Bro yang baik, penyabar dan penyayang akhirnya seolah-olah menjadi ‘lelaki paling kejam’, bukan kerana mereka mahu bersikap demikian tetapi akibat terpaksa. Segala-galanya kerana pasangannya mereka bertindak di luar batasan yang menguji kesabaran mereka ke tahap maksimum. Ada kawan Bro yang mempunyai anak lima dah besar-besar belaka pun bercerai, segalanya kerana isteri tidak mahu berubah perangai dan terus melakukan kesalahan yang sama sejak awal perkahwinan lagi. Kaum wanita kena ingat bahawa perkahwinan bukanlah bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja kepada suami mereka, jangan ingat apabila suami mereka baik dan sabar, lelaki tersebut akan terus bersabar dengan kerenah atau perangai buruk mereka.

Perkara paling bahaya apabila si suami membandingkan perangai isteri dengan wanita-wanita yang dia temui sama ada di pejabat atau ketika melaksanakan urusan kerja. Apabila perbandingan itu dilakukan ia permulaan kepada keretakan rumah tangga, apatah lagi apabila si suami merasakan di luar lebih damai berbanding balik ke rumah yang bagaikan berada dalam ‘kandang singa betina’. Justeru kepada perempuan-perempuan yang gila talak atau telah bercerai kerana kesilapan sendiri tak payahlah hendak menganggu gugat kehidupan suami anda, biarlah dia bahagia dengan orang lain. Kalau rasa bekas suami tidak adil dalam pembahagian nafkah biar mahkamah selesaikan, tak usah buat kerja gila dengan menyerang atau menganggu isteri atau pasangan baru bekas suami. Sedarlah perempuan sememangnya kelompok yang paling ramai melupakan pepatah, ‘‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.” Sebab itulah, mereka bertindak ikut perasaan seolah-olah merekalah paling hebat termasuk dalam urusan rumahtangga sehinggakan si suami kadang kala tidak dihormati langsung. Ini belum lagi termasuk perempuan yang gunakan ‘ilmu penunduk’ untuk pastikan si suami ikut cakap mereka dan tidak berani menegur kesalahan mereka. Namun kaum perempuan kena ingat, sesuatu perbuatan yang salah dan tidak diredai oleh Allah SWT tidak akan kekal lama, apabila tiba masanya mereka pasti akan tewas dengan kehendak-Nya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2011