02 Mei 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU MENGERAT RAKYAT PELBAGAI BUDAYA

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
BERITA HARIAN, 27 APRIL 2011


Maklum balas kerajaan untuk meneliti kemungkinan dikembalikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam bentuk baru, iaitu penggunaan dua bahasa pengantar berlainan, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk dua kelompok pelajar, menimbulkan dua reaksi yang bertentangan. Ia disenangi oleh mereka yang inginkan PPSMI diteruskan. Sebaliknya, ia tidak dipersetujui oleh mereka yang inginkan hanya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu di negara ini. Dalam hal kemungkinan ini, bahasa, sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris ataupun yang lain, dilihat sebagai semata-mata wahana untuk menyampaikan ilmu. Justeru, penggunaan mana-mana bahasa ini serta yang lain-lain khususnya sebagai alat untuk menyatakan pemikiran, merakamkan fakta serta menukar maklumat adalah lebih daripada sudah memadai. Fungsi asas bahasa begini dapat dimainkan oleh mana-mana bahasa moden, yakni yang telah dibakukan.

Dengan kata lain, untuk sekadar menyampaikan idea atau bertanya untuk memperoleh maklumat kita boleh menggunakan mana-mana bahasa yang menjadi pilihan kita. Syarat utama dalam hal ini ialah bahasa yang digunakan itu perlu difahami bersama. Inilah satu-satunya fungsi bahasa yang diketahui umum. Akan tetapi, ia bukanlah satu-satunya fungsi bahasa yang wujud atau cara tunggal ketika kita menggunakan bahasa. Bahasa mempunyai banyak fungsi lain. Fungsi komunikasi adalah salah satu daripadanya dan sebetulnya ia adalah fungsi yang kecil saja. Sehubungan pelbagai fungsi lain ini, bahasa antaranya digunakan sebagai penanda jati diri, baik yang bersifat etnik mahupun nasional. Ia juga digunakan sebagai wahana untuk mengungkapkan budaya sesebuah kelompok itu. Bahasa adalah juga sumber perpaduan kaum dan integrasi nasional.  Ia juga adalah faktor penentu utama dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan negara itu sendiri. Bahasa adalah antara elemen yang paling sesuai digunakan untuk tujuan penyatuan dan pemupukan kesedaran kebangsaan, selain pelbagai tujuan kenegaraan yang lain.

Hal ini sudah terbukti di merata tempat seluruh dunia. Aspek politik bahasa inilah yang perlu diambil kira dalam isu PPSMI. Sehubungan ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini, perlu dipastikan adalah faktor jati diri paling penting bagi menyatakan ciri, sifat, perasaan dan kepercayaan rakyat negara ini, yang dapat dibezakan dengan rakyat negara lain. Pernyataan begini menerusi bahasa Melayu bukan saja mampu membentuk jati diri nasional, tetapi juga semangat kebangsaan. Pada kelazimannya, semangat kebangsaan, khususnya kecintaan terhadap negara dan jati diri nasional, lebih-lebih lagi pameran citra yang sama mana-mana negara diungkapkan dalam bahasa negara berkenaan. Bahasa negara adalah pengungkapan perasaan etnonasional yang paling dasar. Sehubungan ini, malangnya elit sesetengah negara didapati lebih selesa mengungkapkan jati diri nasional mereka melalui bahasa Inggeris, jika dibandingkan dengan bahasa negara mereka sendiri.

Dalam isu PPSMI yang antaranya adalah pertikaian mengenai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains dan teknologi pada zaman globalisasi ini, bahasa Melayu sebetulnya memiliki warisan budaya yang amat mengagumkan untuk memikul tugas ilmiah ini. Sehubungan ini, kecemerlangan bahasa Melayu pada masa lampau sebagai lingua franca ikut menjadi landasan kuat kepada kemantapannya pada waktu kini sebagai bahasa ilmu tinggi. Dengan warisan sedemikian, bahasa Melayu adalah pilihan tepat untuk memaju rakyat dan negara Malaysia pada setiap masa, dulu, kini dan akan datang. Pada masa dulu, khususnya selepas kemerdekaan, kerajaan menggunakan kaedah pujukan untuk merayu kepada semua rakyat agar menggunakan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara. Kaedah ini selain proses perlahan didapati kurang berkesan dalam mencorakkan perwatakan kebangsaan pada sesetengah sektor rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu.

Untuk masa ini dan akan datang dalam usaha menangani masalah penggunaan ini, kerajaan perlu menggubalkan dasar yang boleh menghasilkan penyatuan bahasa yang lebih cepat. Untuk ini, barangkali kaedah yang lebih keras diperlukan. Ini penting sekali untuk tujuan penyatupaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sehubungan ini, kerajaan perlu mengangkat hanya bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk interaksi yang merentas etnik yang amat diperlukan untuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Bahasa Melayu saja yang mempunyai kelebihan ini di negara ini. Dalam hal ini, kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu saja selaku bahasa negara untuk menggerakkan seluruh rakyat untuk tujuan kenegaraan, khususnya memupuk kesedaran kebangsaan dan membentuk jati diri nasional. Jika bahasa Melayu tidak berjaya digemblengkan untuk tujuan ini, bahasa Melayu boleh dikatakan gagal berfungsi sebagai bahasa negara.

Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan bahasa negara berfungsi dengan baik, khususnya dalam melaksanakan peranan menasionalkan rakyat, dalam erti kata mereka memiliki perwatakan kebangsaan, terletak di tangan kerajaan. Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara adalah tanggungjawab kerajaan. Sehubungan ini, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.  Untuk bahasa Melayu mendukung peranan menasionalkan rakyat ini dengan lebih berkesan, ia perlu diinstitusikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, sebagai satu-satunya bahasa untuk tujuan penyatupaduan dan kemajuan negara. Ini perlu dilakukan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung pelbagai fungsi politik.  Fungsi politik ini perlu digemblengkan melalui saluran pendidikan, yang hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dalam konteks ini, kerajaan perlu bijak memanipulasikan bahasa Melayu, bukan saja untuk membentuk rakyat yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara mereka.

Tetapi juga bagi menyalurkan pelbagai nilai kenegaraan yang lain. Untuk melakukan semua ini dengan jayanya, kerajaan perlu melestari dan mengabsahkan bahasa Melayu pada setiap masa dan sekali-sekala menjadikannya relevan dengan perkembangan semasa.  Semua ini adalah untuk memastikan maruah budaya pada bahasa Melayu sentiasa dipelihara. Dengan hanya menggunakan bahasa Melayu, kesatuan budaya seluruh rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan utuh. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu sentiasa berkait rapat dengan semangat kebangsaan dan jati diri nasional.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

ISU KENEGARAAN : HAYATI PERLEMBAGAAN TUNJANG KEUTUHAN KAUM

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 26 APRIL 2011


Beberapa perkembangan semasa seperti persoalan yang dikemukakan kepada kerajaan mengenai cadangan meminda peruntukan berkaitan Islam di dalam Perkara 3(1) mendorong saya untuk berkongsi dengan pembaca beberapa isu berkaitan falsafah atau prinsip Perlembagaan negara. Perlembagaan adalah ‘manifesto’ negara yang mengetengahkan ideologi dan falsafah atau prinsip untuk diamalkan selepas negara mencapai dan menikmati kemerdekaan. Peruntukan yang dimuatkan di dalam dokumen Perlembagaan ini bukan saja meletakkan ideologi berkenaan semata-mata, tetapi ia juga mengetengahkan beberapa perkara yang menjadi paksi kepada kemantapan falsafah negara. Peruntukan Perlembagaan sebagai ideologi negara digarap sedemikian rupa untuk mewarnai watak dan sifat serta seterusnya membentuk jati diri negara ini. Semuanya adalah hasil daripada sifat tolak ansur dan toleransi pelbagai kaum.

Ia juga bukan hanya pengorbanan, masa dan tenaga, malah air mata dan darah, rakyat dan pemimpin terdahulu. Oleh itu, pembinaan negara bangsa bagi negara yang kita cintai ini amat bergantung kepada prinsip asas yang diperkenalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Walaupun ramai daripada kalangan pembaca yang mempunyai pandangan sendiri mengenai falsafah negara, saya hanya ingin serlahkan prinsip yang tersurat secara harfiah di dalam Perlembagaan dan bukan perkara yang tersirat. Insya-Allah akan saya huraikan prinsip yang tersirat kemudian nanti. Mungkin memahami apa yang tersurat adalah langkah awal untuk setiap kita memahami dasar yang diperkenalkan Perlembagaan. Selain daripada itu, ia adalah lebih mudah dan tidak begitu teknikal bagi pembaca awam. Antara prinsip asas yang ada dalam Perlembagaan ialah, keluhuran atau ketinggian Perlembagaan, Islam sebagai agama negara, jaminan terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, jaminan keistimewaan Melayu dan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia menghargai peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dan berusaha untuk menjadikan pengorbanan, cita-cita dan harapan rakyat dan pemimpin terdahulu sebagai tanggungjawab mereka.  Namun, seperti disedari semua, atas alasan ‘masa sudah berubah’ beberapa isu berkaitan perkara berkenaan sudah dipersoalkan secara sewenang-wenang dan ada ketikanya dengan cara ‘panas’. Ini sebenarnya tidak harus berlaku kerana prinsip itu sudah jelas dan tetap (enshrined) di dalam undang-undang tertinggi negara.  Berbalik kepada ideologi dan falsafah negara, agama Islam yang bersemadi di dalam Perkara 3(1) adalah perkara pokok yang menjadi identiti negara. Peruntukan ini mencerminkan kedudukan agama di dalam negara ini. Kedudukan Islam seperti dimuatkan di dalam Perkara 3(1) adalah manifestasi sejarah dan kehendak masyarakat Malaya yang tidak boleh dipandang remeh. Menerusi peruntukan itu, sehingga kini Malaysia sudah mengekalkan identiti Islam dan negara kita dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif.

Ketika kerajaan diajukan persoalan sama ada mempunyai cadangan bagi meminda peruntukan berkenaan, saya (mungkin ramai lagi rakyat Malaysia) berasa agak terkilan. Perasaan ini lahir kerana saya tidak dapat membayangkan rakyat Malaysia yang sering mempersoalkan perkara yang begitu jelas disebut dan ia adalah peruntukan yang tetap di dalam Perlembagaan. Adakalanya saya tertanya-tanya kepada diri sendiri, kenapa agaknya ada segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi bersifat sedemikian. Adakah mereka masih belum memahami perkara yang sebenar mengenai kedudukan Islam. Saya fikir pembaca mempunyai jawapan yang pelbagai kepada persoalan yang bersarang di minda saya ini. Walau apa alasan untuk menimbulkan persoalan ini, mereka yang bertanya seolah-olah tidak ada perkara lain yang lebih penting untuk diajukan. Seperti yang saya sebut di atas, kedudukan Islam ini sudah begitu jelas dan tetap.

Seperti yang dimaktubkan: “Islam adalah agama bagi Persekutuan...” dan fasal ini tidak menggunakan perkataan ‘rasmi’.  Sudah terlalu banyak penulisan akademik dan perbahasan tertentu mengenai kedudukan Islam dari segi sejarah dan perundangan yang sudah disebarluaskan kepada masyarakat. Oleh itu, saya tidak nampak kewajaran untuk persoalan berkenaan dikemukakan oleh mana-mana pihak.  Walau apapun juga motif persoalan ini ia adalah perlakuan membuang masa dan menampakkan sifat tidak sensitif mereka yang bertanya. Saya tidak menafikan hak kebebasan sesiapapun untuk mengajukan soalan, tetapi ia adalah persoalan ‘menjolok sarang tebuan’ yang mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Perkara sebegini lebih baik dielakkan oleh semua pihak.  Sekiranya mereka yang membuat persoalan mengenai pindaan kepada Perkara 3 menghayati kisah, masalah, sensitiviti masyarakat Islam dan keputusan mahkamah di negara ini (sama ada di dalam lipatan sejarah dan keadaan kini) mengenai kedudukan Islam di dalam Perlembagaan, saya agak mereka harus berfikir seratus kali sebelum mengajukannya.

Sebagai pengakhir kata, suka saya sebut bahawa pengisytiharan mengenai falsafah, sifat dan watak negara banyak terkandung di dalam Perlembagaan. Oleh itu, ia menuntut kesungguhan seluruh rakyat Malaysia, walau apa kaum dan agama untuk menghayatinya. Fahamilah semua prinsip ini dengan hati yang terbuka dan bersandarkan realiti dan sejarah. Sekiranya ada perkara yang perlu dipersoal, perhalusi dan kajilah terlebih dulu sebelum diasak dan digoyah nikmat keamanan yang kita ada.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

ISU BAHASA : SIAPA BERANI DAULATKAN BAHASA MELAYU?

Oleh Azman Anuar


Dalam beberapa hari lalu, pemimpin masyarakat bercakap semula tentang bahasa kebangsaan. Cerita tentang bahasa ini sekejap tenggelam, sekejap timbul. Masa isunya timbul, tak ada pun tindakan berkesan dari segi undang-undang diambil untuk perbetulkan mana yang salah. Isu berlalu begitu sahaja dengan janji-janji akan dilakukan. Apabila isu bahasa kebangsaan dibangkitkan kembali, ada pihak dipersalahkan dan ada pihak lain mempertahankan pendiriannya. Jarang-jarang ada pihak yang mahu mengaku kelemahan sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1956 diamanahkan sebagai institusi penjaga kedaulatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Memang itu pun tugas, fungsi dan agenda yang perlu dimainkan oleh badan berkanun itu hingga kini. Dahulu, DBP tempat lahirnya pejuang sastera dan bahasa Melayu yang hebat. Hari ini, tak ramai yang muncul ke hadapan untuk mengangkat kembali tugas utama DBP – mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Mereka yang berjiwa besar untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini pasti masih ada di dalam bangunan tinggi berbumbung lambang buku gergasi itu. Kecuali, kalau-kalau ada pegawai DBP yang kurang bersemangat atau sudah tidak rasa apa-apa terhadap peranan utama mereka kepada negara dan bangsa. DBP tidak boleh menampakkan kepada orang ramai bahawa badan berkanun itu sudah letih apabila segala teguran dan permintaannya tidak dihormati oleh pihak lain. Malah beberapa kali Akta DBP dipinda tetapi masih tidak diberi kuasa penguatkuasaan. Yang ada kuasa seperti dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pun tidak dimanfaatkan. Selagi DBP tidak ada kuasa menghukum, entah bila kita akan dapat melihat semua jabatan kerajaan dan sektor swasta benar-benar menghormati penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan masing-masing. Tambahan pula sekarang bagaikan ada gelombang membuatkan orang ramai ‘malu-malu’ untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul.

Kita tahu punca dan faktor pendorongnya. Pemimpin kerajaan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri pun kadang kala tak banyak membantu mendaulatkan bahasa kebangsaan. Kalau begini keadaannya, sampai bila DBP harus menggunakan pendekatan mendidik dan berlembut? Sudah 55 tahun DBP memainkan peranannya dan hampir 54 tahun negara kita merdeka – tetapi kedudukan bahasa kebangsaan masih di takuk lama. Melayu, Cina, India, Iban, Kadasan dan kaum-kaum lain masih mengguna bahasa tunggang-langgang. Apa tindakan DBP terhadap kian banyak kesalahan bahasa misalnya pada papan iklan premis perniagaan. DBP mungkin menjawab ia tugas PBT dan PBT pula boleh memberi pelbagai alasan. Masing-masing cuba lepas tangan. Hal ini yang kita dengar dan perhatikan saban tahun tanpa penyelesaian. Agaknya siapa yang berani mengubah kelemahan dan kegagalan kita hari ini supaya semua rakyat menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan?

UTUSAN MALAYSIA
28 APRIL 2011

ISU KESIHATAN : NASI LEMAK OH NASI LEMAK!


Ramai yang berasa lega apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan untuk menangguhkan peraturan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah. Kata beliau, satu kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk memastikan sama ada nasi lemak menjadi punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah. Baru-baru ini isu pemakanan nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai itu telah menjadi bahan perbincangan apabila ia dikatakan menjadi faktor utama kepada kegemukan kanak-kanak. Lantas dicadangkan supaya nasi lemak dikeluarkan daripada menu di kantin sekolah. Jika perlu dibenarkan hanya untuk dijual dua hari sahaja dalam masa seminggu. Cadangan arahan baru itu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang mengatakan cadangan itu sangat baik dilaksanakan dan tidak kurang pula yang menentangnya. Kedua-dua pihak mempunyai alasan yang tersendiri.

Bagi menguatkan hujah mereka menyelitkan pelbagai fakta dan data serta disokong melalui kajian-kajian yang berkaitan dengannya. Sebelum kita menetapkan fikiran sama ada menyokong atau menentang cadangan itu, elok kita buat sedikit kajian tentang isu obesiti dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan obesiti atau masalah kegemukan itu? Secara amnya obesiti bererti pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Pada masa kini obesiti dianggap sebagai suatu penyakit dan ia terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi berlebihan. Obesiti yang melampau boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ di dalam badan dan seterusnya boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lebih serius. Masalah obesiti tidak hanya berkisar dari aspek kesihatan tetapi dikaitkan dengan persepsi terhadap kecantikan dan keanggunan. Di kalangan sebahagian kaum remaja, soal kegemukan menjadi masalah yang cukup besar.

Mereka ingin tampil sebagai manusia yang sempurna yang sering kali dikaitkan dengan memiliki tubuh badan yang ramping dan langsing. Fenomena ini semakin disemarakkan melalui iklan di media massa terutama melalui televisyen dan akhbar yang selalu menonjolkan watak wanita langsing sebagai ikon dan lambang keanggunan dan kejelitaan. Oleh itu muncullah pelbagai jenis petua dan ramuan ubat-ubatan termasuk minuman dan makanan yang boleh menguruskan dan merampingkan tubuh badan. Nampaknya perniagaan ini sangat laris dan membawa keuntungan yang besar kepada golongan peniaga. Persepsi tentang obesiti atau kegemukan ini juga turut dikongsi bersama oleh remaja lelaki. Sebahagian daripada mereka juga merasa takut menjadi gemuk kerana gemuk yang berlebihan akan menyukarkan mereka menarik minat atau perhatian para gadis yang menjadi idaman mereka. Ramai daripada remaja lelaki yang menginginkan untuk mendapat susuk tubuh badan yang sasa dan kelihatan ‘macho.’

Siapakah sebenarnya yang tergolong dalam kalangan obesiti ini? Sesungguhnya mereka yang dimaksudkan itu pada umumnya dikaitkan dengan berat badan yang dua kali lebih berat berbanding dengan ukuran yang ideal mengikut kiraan Indeks Jisim Tubuh atau BMI. Ia adalah ukuran untuk mengira jumlah lemak dalam badan. Nilai BMI adalah berbeza mengikut umur dan jantina, sebagai contoh jika anda remaja lelaki yang berusia 14 tahun maka BMI anda adalah di antara 22.62 hingga 27.63. Sekiranya berlebihan daripada angka tersebut anda boleh dianggap berada dalam golongan obes. Apakah sebenarnya faktor utama yang membawa kepada berlakunya obesiti ini? Pada umumnya makanan yang berlebihan dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang merupakan faktor utama kepada masalah ini. Makan berlebihan boleh menyebabkan kandungan kalori tidak dapat dibakar sepenuhnya.

Akibatnya kalori yang berlebihan itu akan tersimpan di dalam badan dalam bentuk lemak. Lemak yang berlebihan inilah yang menyebabkan tubuh badan menjadi obes atau gemuk. Obesiti juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik yang diturunkan daripada generasi sebelumnya. Kerap kita bertemu ibu bapa gemuk mempunyai kecenderungan memiliki anak-anak yang gemuk juga. Satu lagi faktor yang boleh menyebabkan obesiti ini ialah kegagalan fungsi sistem pengawal yang mengatur perilaku makan yang terletak pada bahagian otak yang dipanggil ‘hipotalamus.’ ‘Hipotalamus’ merupakan suatu kumpulan inti sel yang kompleks mempunyai hubungan dengan bahagian-bahagian lain dari otak dan kelenjar di bawah otak. Sekiranya ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan iaitu ‘hipotalamus lateral’ atau HL yang berfungsi menggerakkan nafsu makan lebih kuat atau dominan daripada ‘hipotalamus ventromedial’ atau HVM iaitu yang menghalang atau mengurangkan nafsu makan maka seseorang akan menjadi rakus atau pelahap makan.

Keadaan ini menjadikan seseorang itu makan secara berlebihan dan akibatnya boleh menyebabkan obesiti itu. Ramai yang berpendapat satu daripada kaedah untuk mengawal masalah kegemukan ialah melalui kerap beriadah atau bersukan. Mereka yang kurang bersukan boleh menyebabkan kekurangan angka metabolisme basal atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh tidak digunakan sepenuhnya. Kebiasaannya semasa melakukan aktiviti sukan kalori akan terbakar, semakin banyak bersukan maka semakin banyaklah kalori yang hilang. Pada dasarnya dengan bersukan boleh menurunkan berat badan kerana ia dapat membakar kalori dan membantu mengatur fungsi metabolisme normal. Kebiasaannya tubuh badan yang sihat sering dikaitkan dengan faktor pemakanan. Diet pemakanan yang seimbang dan mengambil makanan yang berzat akan dapat menghasilkan tenaga dan membantu tubuh badan berfungsi dengan lebih baik.

Tabiat mengambil pemakanan yang manis, berkarbonat dan berlemak tinggi termasuk makanan segera boleh mendatangkan penyakit dan menyebabkan berlakunya pertambahan berat badan. Daripada keterangan di atas ternyata bahawa nasi lemak bukannya satu-satunya faktor yang menyebabkan berlakunya obesiti. Nasi lemak yang mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberikan zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat. Pengumuman Menteri Pelajaran untuk mengkaji isu obesiti yang dikaitkan dengan nasi lemak sangat dialu-alukan.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

30 April 2011

ISU SOSIAL : MELAHIRKAN GENERASI BERINTEGRITI TINGGI

Oleh ROHANA MAN
Utusan Malaysia, 26 April 2011


Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 telah menampakkan banyak hasil yang positif walaupun tiada kajian dilakukan untuk mengukur tahap integriti penduduk negara ini. Kesan nyata yang dapat dilihat adalah masyarakat sekarang lebih bersikap terbuka dan berani melaporkan kejadian jenayah sama ada rasuah, buang bayi dan lain-lain. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd Tap Salleh berkata, ekoran sikap itu juga maka banyak kes-kes jenayah rasuah dan buang bayi dilaporkan dari semasa ke semasa. Daripada laporan yang diterima maka kita melihat seolah-olah statistik jenayah meningkat sedangkan pertambahan itu berlaku kerana adanya laporan media mengenainya.

"Mungkin ada pihak akan berkata kenapa kes rasuah bertambah, kenapa kes buang bayi meningkat. Jadi, timbul persoalan adakah semua tindakan PIN yang telah diambil itu tidak efektif?," katanya dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy. Mohd Tap menjelaskan, peningkatan kes berlaku kerana masyarakat sekarang lebih berani tampil melaporkan kes-kes berkenaan. Berbanding dahulu, orang ramai enggan melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mungkin tidak mahu dituduh 'suka jaga tepi kain orang'. "Saya melihat statistik kes tidak bertambah, tetapi laporan di media yang meningkat.

Sebab itu kita lihat seolah-olah kes-kes seumpama itu meningkat," ujarnya. Beliau berpendapat, perubahan sikap masyarakat itu adalah satu perkembangan yang positif kerana adanya check and balance terhadap sesuatu perkara. Keadaan itu katanya, akan membuatkan seseorang individu berfikir banyak kali untuk melakukan sesuatu jenayah. Mohd Tap juga berkata, banyak tindakan telah diambil oleh IIM untuk meningkatkan integriti masyarakat dan ia dilakukan melalui seminar, bengkel dan aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Semua tindakan itu katanya telah menjadi perbualan masyarakat, justeru mesej program yang dianjurkan itu dapat disampaikan dari mulut ke mulut. Antara aspek yang kerap menjadi perbincangan yang menghasilkan tindakan adalah nilai-nilai murni dalam kepimpinan di semua peringkat sama ada di sekolah mahupun sektor awam.

Selain itu, katanya, faktor-faktor lain yang bersangkut paut adalah persekitaran yang berubah, keadaan ekonomi yang mencabar, pertambahan jenayah lain dan peningkatan pengangguran. "Kesemua faktor-faktor itu saling berkaitan dan jika kita mahu integriti penduduk negara ini berada pada paras yang tertinggi, maka keluarga terutama golongan ibu perlu memainkan peranan masing-masing," tambahnya. Menurutnya, ibu memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai murni di dalam jiwa anak-anak, selain peranan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kerajaan sendiri. Ini kerana katanya, anak-anak lebih rapat dengan ibu, berbanding dengan bapa. Justeru, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terutama wanita dalam mempertingkatkan integriti, IIM akan menganjurkan Seminar Integriti Kepimpinan Wanita bertemakan Pemerkasaan Wanita Sebagai Model Peranan Dalam Integriti di IIM pada 28 April ini.

Antara lain ia bertujuan mendapatkan maklum balas tentang tekad integriti yang terdapat dalam agenda pengukuhan integriti negara, meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan wanita dan mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam ruang keluarga serta masyarakat untuk meningkatkan pembudayaan integriti. Salah seorang pembentang kertas kerja, Datuk Dr. Rafiah Salim yang juga Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM (NIEW) memberitahu beliau akan membentangkan kertas kerja bertajuk Kepimpinan Wanita dalam Sektor Awam: Satu Perspektif Integriti. Menurutnya, beliau akan membincangkan beberapa topik termasuk salah laku kecil dan salah laku besar yang ada kaitan dengan integriti.

Katanya, ada orang menganggap lambat datang kerja itu bukan satu kesalahan, sebaliknya perkara biasa. "Begitu juga sikap sesetengah orang yang suka menipu cuti sakit. Mereka patut menyedari bahawa duit gaji yang diperoleh sepanjang bercuti sakit atau lambat datang kerja itu adalah duit haram. "Hakikatnya, mereka tidak layak menerima gaji sepanjang bercuti sakit yang palsu itu. Jika mereka menerimanya juga, maka itu boleh dianggap sebagai mencuri," katanya. Dr. Rafiah menegaskan, bermula melakukan kesalahan kecil seperti itu, seseorang boleh melarat melakukan kesalahan besar seperti rasuah atau pecah amanah. Bersetuju dengan pandangan Dr. Mohd Tap, beliau menegaskan tindakan pertama bagi mendidik masyarakat supaya lebih berintegriti bermula dari rumah.

"Peranan ibu amat penting dalam menyemai nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak-anak kerana anak-anak lebih rapat dengan ibu. Di sekolah pula, 70 peratus guru adalah wanita. Tiga perempat jawatan baru di PTD juga wanita. Sebab itulah, saya menekankan betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti," katanya. Mengulas lanjut, katanya, peratusan wanita yang melanggar integriti yang serius adalah kurang berbanding dengan lelaki. Misalnya, daripada 62 pegawai kastam yang ditahan pada 3 April lalu, sembilan daripadanya adalah wanita. Manakala daripada lapan pegawai imigresen yang ditahan pada 7 April lalu, seorang daripadanya adalah wanita. Namun, katanya, wanita dikenal pasti mudah hilang integriti apabila ia melibatkan soal keluarga, anak dan suami. Sebab itulah, katanya ada wanita terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga anak di rumah ketika pengasuh bercuti atau menjaga ibu, bapa atau suami yang sakit.

"Mereka takut nak minta cuti, jadi terpaksalah menipu cuti sakit. Bukan sebab sengaja tetapi keadaan memaksa," ujarnya. Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu melihat isu ini dengan serius dan dicadangkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak dibuka di tempat kerja. Selain itu, katanya, keadaan sekarang juga memerlukan pusat jagaan harian orang tua diwujudkan supaya anak yang bekerja boleh menghantar orang tua mereka ke pusat itu pada waktu pergi kerja, dan mengambil mereka semula pada waktu balik kerja. "Jika ini dapat diadakan, maka saya yakin masalah wanita yang terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga keluarga boleh dikurangkan," katanya. Selain itu, katanya, konsep bekerja dari rumah wajar diperluaskan supaya wanita dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah. Begitu juga, isteri mempunyai kuasa yang hebat dalam menasihatkan suami agar tidak terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.

23 April 2011

ISU SOSIAL : ILTIZAM PERANGI DADAH

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia


LANGKAH yang diambil oleh Malaysia untuk menjadi negara bebas daripada dadah menjelang tahun 2015 sangat dialu-alukan tetapi untuk mencapainya, ia memerlukan komitmen, iltizam politik, dan penyertaan sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru. Sama ada matlamat ini tercapai atau tidak menjelang tahun 2015, iaitu empat tahun dari sekarang, masih menjadi tanda tanya. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan telah membelanjakan beratus juta ringgit untuk mengatasi ancaman dadah tetapi masalah berkenaan masih jauh daripada penyelesaiannya. Malahan, ia belum menampakkan hasilnya. Perangkaan mengenai penagih dadah ini semakin membimbangkan. 

Dianggarkan lebih ratusan ribu penagih dadah telah dikenal pasti sejak tahun 1980-an sehingga kini. Berdasarkan perangkaan tersebut dapat diandaikan bahawa bagi seorang penagih dadah yang dikenal pasti, terdapat tiga hingga empat penagih dadah yang belum dikenal pasti. Adalah jelas bahawa usaha memerangi ancaman dadah tidak mampu dilakukan oleh satu pihak sahaja. Kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, badan sukarela dan pertubuhan agama, malahan ibu bapa perlu bekerjasama membantu usaha membendung masalah dadah. Masalah penagihan dadah telah menjadi musuh utama Malaysia sejak lebih dua dekad yang lalu. Malahan, ia masih menjadi masalah utama negara terutama mereka yang berusia antara 19 dan 39 tahun yang menjadikan 72 peratus penagih dadah di negara ini. 

Kebanyakan kes jenayah berlaku berpunca daripada dadah. Penyalahgunaan dadah merupakan penyebab utama berlakunya kes-kes jenayah harta benda dan keganasan di seluruh negara. Sudah sampai masanya semua organisasi, persatuan dan seluruh rakyat Malaysia bekerjasama erat dengan satu tekad iaitu untuk memerangi ancaman dadah demi untuk menyelamatkan generasi muda kita daripada menjadi hamba dadah. Kepada semua anak-anak muda yang merupakan aset yang paling besar dalam negara ini, saya ingin menasihatkan supaya mereka menjauhkan diri daripada najis dadah, bukan sahaja untuk kebaikan diri mereka sendiri tetapi juga demi masa depan negara. Oleh kerana punca utama di dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah terletak pada pencegahan, satu strategi pencegahan peringkat nasional yang melibatkan keluarga, masyarakat dan tempat kerja untuk menghapuskan masalah ini perlu diwujudkan. 

Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat di dalam kempen untuk membasmi penyalahgunaan dadah sangat penting dan perlu dipertingkatkan sekiranya negara ingin memastikan penagihan dadah di kalangan remaja dan anak-anak muda, termasuk pelajar, tidak menjadi lebih buruk. Atas dasar keprihatinan kepada penglibatan golongan remaja dalam dadah, saya ingin memberikan nasihat dan cadangan berikut: a) Golongan belia dan remaja perlu belajar untuk menghadapi berbagai tekanan hidup harian tanpa mengambil dadah. Mereka boleh melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi berfaedah; b) Mereka mesti bijak menangkis pengaruh rakan sebaya yang cuba mempengaruhi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang mereka tahu salah, tidak baik dan boleh membinasakan diri; c) Mereka perlu diberi didikan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan penagihan melalui seminar, bengkel, bahan bacaan dan penerbitan berkaitan. Mereka seharusnya menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan-rakan; d) Mereka perlu memupuk keberanian, disiplin, rasa tanggungjawab dan harga diri untuk membina masa depan diri dan negara yang lebih baik dengan menolak dadah.

UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011

ISU ALAM SEKITAR : PERLU PROGRAM MENGINDAHKAN SUNGAI KITA

Oleh MOHAMAD GHAZALI ZAINAL ABIDIN
UTUSAN MALAYSIA, 23 APRIL 2011



SUNGAI adalah antara sumber air minuman dan jika tidak dijaga dengan baik, sungai juga boleh menyebabkan bencana besar kepada diri, keluarga mahupun negara seperti banjir. Seringkali banjir yang melanda ibu kota dan kawasan pedalaman akibat limpahan air yang tersekat alirannya kerana terhalang oleh timbunan sampah yang dibuang oleh masyarakat yang tidak mempunyai keprihatinan. Namun, kita yakin bahawa kewujudan pelbagai teknologi baru dan canggih dapat menjaga dan menjadikan air sungai di seluruh negara kita bersih dan selamat. Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Korea Selatan untuk melihat sendiri keindahan dan kecantikan sungai di sana. Daripada maklumat yang diperoleh, kerajaan Korea Selatan telah memulakan projek memulihkan sungai-sungai utama di negara itu sejak Julai 2009 dengan membelanjakan kira-kira AS$17 bilion dan ia adalah projek untuk lima tahun. Lebih daripada 929 kilometer (km) panjang sungai-sungai nasional telah dikenal pasti sebahagian daripada projek pemulihan tersebut dan dijangka bertambah kepada 10,000 km aliran sungai untuk dipulihkan. Ia dijalankan oleh syarikat swasta yang dilantik kerajaan.

Kerajaan Korea Selatan sanggup mengeluarkan belanja yang amat besar bagi memulihkan sungai di seluruh negara dan ia bertujuan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan bekalan air bersih, pengawalan banjir, kemarau dan untuk tujuan keindahan. Jumlah pelaburan yang besar ini antaranya juga bertujuan memulihkan kerosakan berkaitan air yang boleh diselamatkan bagi pencegahan bencana. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan bekalan air bersih serta memulihkan ekosistem dan secara tidak langsung ia dapat membangunkan daerah yang berpusat di sungai. Peningkatan suhu global serta perubahan iklim harus dilihat lebih mendalam oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi mengelakkan berlakunya masalah kekurangan air pada masa akan datang atau kewujudan musim kering (kemarau) yang teruk. Kerajaan Malaysia haruslah mencontohi dan mengambil peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Korea Selatan, mencontohi bagaimana negara itu membangunkan infrastruktur sungai menjadi tempat yang cantik dan menarik untuk dikunjungi serta menjadi tempat riadah keluarga.

Peluang penulis melawat Korea Selatan baru-baru ini telah digunakan untuk mengunjungi sungai yang digambarkan oleh rakan penulis sebagai antara lokasi awal yang perlu lawati. Memang benar apa yang diceritakan oleh rakan penulis iaitu kecantikan, keindahan dan kebersihan sungai di sini memang menarik hati dan pemandangan. Dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Korea Selatan baru-baru ini, penulis berharap agar kerjasama di antara kedua-dua kerajaan dapat dijalinkan, sekali gus membuka lembaran baru dalam usaha mencantikkan dan memberi keindahan terhadap sungai-sungai di negara kita, khususnya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kerajaan haruslah lebih berhati-hati memilih syarikat untuk melaksanakan projek mencantikkan sungai-sungai ini. Pastikan setiap duit rakyat dibelanjakan dengan lebih berhemah dan kerajaan tidak kerugian di kemudian hari.

ISU EKONOMI : DIBELENGGU LONJAKKAN INFLASI

Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011


INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga. Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011. Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari. Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus. Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat.

ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah. Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000. Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport.

Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir. Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun. Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah. Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk. Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri.

Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar. "Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi. "Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya. Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat. "Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya.  Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya.

"Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan. "Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya. Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga. "Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'. "Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya.