Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011
INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga. Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011. Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun.
Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari. Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus. Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat.
ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah. Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000. Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport.
Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir. Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun. Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah. Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk. Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri.
Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar. "Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi. "Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya. Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat. "Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya. Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya.
"Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan. "Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya. Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga. "Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'. "Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan