Ramai yang berasa lega apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan untuk menangguhkan peraturan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah. Kata beliau, satu kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk memastikan sama ada nasi lemak menjadi punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah. Baru-baru ini isu pemakanan nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai itu telah menjadi bahan perbincangan apabila ia dikatakan menjadi faktor utama kepada kegemukan kanak-kanak. Lantas dicadangkan supaya nasi lemak dikeluarkan daripada menu di kantin sekolah. Jika perlu dibenarkan hanya untuk dijual dua hari sahaja dalam masa seminggu. Cadangan arahan baru itu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang mengatakan cadangan itu sangat baik dilaksanakan dan tidak kurang pula yang menentangnya. Kedua-dua pihak mempunyai alasan yang tersendiri.
Bagi menguatkan hujah mereka menyelitkan pelbagai fakta dan data serta disokong melalui kajian-kajian yang berkaitan dengannya. Sebelum kita menetapkan fikiran sama ada menyokong atau menentang cadangan itu, elok kita buat sedikit kajian tentang isu obesiti dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan obesiti atau masalah kegemukan itu? Secara amnya obesiti bererti pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Pada masa kini obesiti dianggap sebagai suatu penyakit dan ia terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi berlebihan. Obesiti yang melampau boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ di dalam badan dan seterusnya boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lebih serius. Masalah obesiti tidak hanya berkisar dari aspek kesihatan tetapi dikaitkan dengan persepsi terhadap kecantikan dan keanggunan. Di kalangan sebahagian kaum remaja, soal kegemukan menjadi masalah yang cukup besar.
Mereka ingin tampil sebagai manusia yang sempurna yang sering kali dikaitkan dengan memiliki tubuh badan yang ramping dan langsing. Fenomena ini semakin disemarakkan melalui iklan di media massa terutama melalui televisyen dan akhbar yang selalu menonjolkan watak wanita langsing sebagai ikon dan lambang keanggunan dan kejelitaan. Oleh itu muncullah pelbagai jenis petua dan ramuan ubat-ubatan termasuk minuman dan makanan yang boleh menguruskan dan merampingkan tubuh badan. Nampaknya perniagaan ini sangat laris dan membawa keuntungan yang besar kepada golongan peniaga. Persepsi tentang obesiti atau kegemukan ini juga turut dikongsi bersama oleh remaja lelaki. Sebahagian daripada mereka juga merasa takut menjadi gemuk kerana gemuk yang berlebihan akan menyukarkan mereka menarik minat atau perhatian para gadis yang menjadi idaman mereka. Ramai daripada remaja lelaki yang menginginkan untuk mendapat susuk tubuh badan yang sasa dan kelihatan ‘macho.’
Siapakah sebenarnya yang tergolong dalam kalangan obesiti ini? Sesungguhnya mereka yang dimaksudkan itu pada umumnya dikaitkan dengan berat badan yang dua kali lebih berat berbanding dengan ukuran yang ideal mengikut kiraan Indeks Jisim Tubuh atau BMI. Ia adalah ukuran untuk mengira jumlah lemak dalam badan. Nilai BMI adalah berbeza mengikut umur dan jantina, sebagai contoh jika anda remaja lelaki yang berusia 14 tahun maka BMI anda adalah di antara 22.62 hingga 27.63. Sekiranya berlebihan daripada angka tersebut anda boleh dianggap berada dalam golongan obes. Apakah sebenarnya faktor utama yang membawa kepada berlakunya obesiti ini? Pada umumnya makanan yang berlebihan dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang merupakan faktor utama kepada masalah ini. Makan berlebihan boleh menyebabkan kandungan kalori tidak dapat dibakar sepenuhnya.
Akibatnya kalori yang berlebihan itu akan tersimpan di dalam badan dalam bentuk lemak. Lemak yang berlebihan inilah yang menyebabkan tubuh badan menjadi obes atau gemuk. Obesiti juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik yang diturunkan daripada generasi sebelumnya. Kerap kita bertemu ibu bapa gemuk mempunyai kecenderungan memiliki anak-anak yang gemuk juga. Satu lagi faktor yang boleh menyebabkan obesiti ini ialah kegagalan fungsi sistem pengawal yang mengatur perilaku makan yang terletak pada bahagian otak yang dipanggil ‘hipotalamus.’ ‘Hipotalamus’ merupakan suatu kumpulan inti sel yang kompleks mempunyai hubungan dengan bahagian-bahagian lain dari otak dan kelenjar di bawah otak. Sekiranya ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan iaitu ‘hipotalamus lateral’ atau HL yang berfungsi menggerakkan nafsu makan lebih kuat atau dominan daripada ‘hipotalamus ventromedial’ atau HVM iaitu yang menghalang atau mengurangkan nafsu makan maka seseorang akan menjadi rakus atau pelahap makan.
Keadaan ini menjadikan seseorang itu makan secara berlebihan dan akibatnya boleh menyebabkan obesiti itu. Ramai yang berpendapat satu daripada kaedah untuk mengawal masalah kegemukan ialah melalui kerap beriadah atau bersukan. Mereka yang kurang bersukan boleh menyebabkan kekurangan angka metabolisme basal atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh tidak digunakan sepenuhnya. Kebiasaannya semasa melakukan aktiviti sukan kalori akan terbakar, semakin banyak bersukan maka semakin banyaklah kalori yang hilang. Pada dasarnya dengan bersukan boleh menurunkan berat badan kerana ia dapat membakar kalori dan membantu mengatur fungsi metabolisme normal. Kebiasaannya tubuh badan yang sihat sering dikaitkan dengan faktor pemakanan. Diet pemakanan yang seimbang dan mengambil makanan yang berzat akan dapat menghasilkan tenaga dan membantu tubuh badan berfungsi dengan lebih baik.
Tabiat mengambil pemakanan yang manis, berkarbonat dan berlemak tinggi termasuk makanan segera boleh mendatangkan penyakit dan menyebabkan berlakunya pertambahan berat badan. Daripada keterangan di atas ternyata bahawa nasi lemak bukannya satu-satunya faktor yang menyebabkan berlakunya obesiti. Nasi lemak yang mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberikan zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat. Pengumuman Menteri Pelajaran untuk mengkaji isu obesiti yang dikaitkan dengan nasi lemak sangat dialu-alukan.
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan