JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Mei 2011

ISU KENEGARAAN : HAYATI PERLEMBAGAAN TUNJANG KEUTUHAN KAUM

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 26 APRIL 2011


Beberapa perkembangan semasa seperti persoalan yang dikemukakan kepada kerajaan mengenai cadangan meminda peruntukan berkaitan Islam di dalam Perkara 3(1) mendorong saya untuk berkongsi dengan pembaca beberapa isu berkaitan falsafah atau prinsip Perlembagaan negara. Perlembagaan adalah ‘manifesto’ negara yang mengetengahkan ideologi dan falsafah atau prinsip untuk diamalkan selepas negara mencapai dan menikmati kemerdekaan. Peruntukan yang dimuatkan di dalam dokumen Perlembagaan ini bukan saja meletakkan ideologi berkenaan semata-mata, tetapi ia juga mengetengahkan beberapa perkara yang menjadi paksi kepada kemantapan falsafah negara. Peruntukan Perlembagaan sebagai ideologi negara digarap sedemikian rupa untuk mewarnai watak dan sifat serta seterusnya membentuk jati diri negara ini. Semuanya adalah hasil daripada sifat tolak ansur dan toleransi pelbagai kaum.

Ia juga bukan hanya pengorbanan, masa dan tenaga, malah air mata dan darah, rakyat dan pemimpin terdahulu. Oleh itu, pembinaan negara bangsa bagi negara yang kita cintai ini amat bergantung kepada prinsip asas yang diperkenalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Walaupun ramai daripada kalangan pembaca yang mempunyai pandangan sendiri mengenai falsafah negara, saya hanya ingin serlahkan prinsip yang tersurat secara harfiah di dalam Perlembagaan dan bukan perkara yang tersirat. Insya-Allah akan saya huraikan prinsip yang tersirat kemudian nanti. Mungkin memahami apa yang tersurat adalah langkah awal untuk setiap kita memahami dasar yang diperkenalkan Perlembagaan. Selain daripada itu, ia adalah lebih mudah dan tidak begitu teknikal bagi pembaca awam. Antara prinsip asas yang ada dalam Perlembagaan ialah, keluhuran atau ketinggian Perlembagaan, Islam sebagai agama negara, jaminan terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, jaminan keistimewaan Melayu dan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia menghargai peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dan berusaha untuk menjadikan pengorbanan, cita-cita dan harapan rakyat dan pemimpin terdahulu sebagai tanggungjawab mereka.  Namun, seperti disedari semua, atas alasan ‘masa sudah berubah’ beberapa isu berkaitan perkara berkenaan sudah dipersoalkan secara sewenang-wenang dan ada ketikanya dengan cara ‘panas’. Ini sebenarnya tidak harus berlaku kerana prinsip itu sudah jelas dan tetap (enshrined) di dalam undang-undang tertinggi negara.  Berbalik kepada ideologi dan falsafah negara, agama Islam yang bersemadi di dalam Perkara 3(1) adalah perkara pokok yang menjadi identiti negara. Peruntukan ini mencerminkan kedudukan agama di dalam negara ini. Kedudukan Islam seperti dimuatkan di dalam Perkara 3(1) adalah manifestasi sejarah dan kehendak masyarakat Malaya yang tidak boleh dipandang remeh. Menerusi peruntukan itu, sehingga kini Malaysia sudah mengekalkan identiti Islam dan negara kita dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif.

Ketika kerajaan diajukan persoalan sama ada mempunyai cadangan bagi meminda peruntukan berkenaan, saya (mungkin ramai lagi rakyat Malaysia) berasa agak terkilan. Perasaan ini lahir kerana saya tidak dapat membayangkan rakyat Malaysia yang sering mempersoalkan perkara yang begitu jelas disebut dan ia adalah peruntukan yang tetap di dalam Perlembagaan. Adakalanya saya tertanya-tanya kepada diri sendiri, kenapa agaknya ada segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi bersifat sedemikian. Adakah mereka masih belum memahami perkara yang sebenar mengenai kedudukan Islam. Saya fikir pembaca mempunyai jawapan yang pelbagai kepada persoalan yang bersarang di minda saya ini. Walau apa alasan untuk menimbulkan persoalan ini, mereka yang bertanya seolah-olah tidak ada perkara lain yang lebih penting untuk diajukan. Seperti yang saya sebut di atas, kedudukan Islam ini sudah begitu jelas dan tetap.

Seperti yang dimaktubkan: “Islam adalah agama bagi Persekutuan...” dan fasal ini tidak menggunakan perkataan ‘rasmi’.  Sudah terlalu banyak penulisan akademik dan perbahasan tertentu mengenai kedudukan Islam dari segi sejarah dan perundangan yang sudah disebarluaskan kepada masyarakat. Oleh itu, saya tidak nampak kewajaran untuk persoalan berkenaan dikemukakan oleh mana-mana pihak.  Walau apapun juga motif persoalan ini ia adalah perlakuan membuang masa dan menampakkan sifat tidak sensitif mereka yang bertanya. Saya tidak menafikan hak kebebasan sesiapapun untuk mengajukan soalan, tetapi ia adalah persoalan ‘menjolok sarang tebuan’ yang mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Perkara sebegini lebih baik dielakkan oleh semua pihak.  Sekiranya mereka yang membuat persoalan mengenai pindaan kepada Perkara 3 menghayati kisah, masalah, sensitiviti masyarakat Islam dan keputusan mahkamah di negara ini (sama ada di dalam lipatan sejarah dan keadaan kini) mengenai kedudukan Islam di dalam Perlembagaan, saya agak mereka harus berfikir seratus kali sebelum mengajukannya.

Sebagai pengakhir kata, suka saya sebut bahawa pengisytiharan mengenai falsafah, sifat dan watak negara banyak terkandung di dalam Perlembagaan. Oleh itu, ia menuntut kesungguhan seluruh rakyat Malaysia, walau apa kaum dan agama untuk menghayatinya. Fahamilah semua prinsip ini dengan hati yang terbuka dan bersandarkan realiti dan sejarah. Sekiranya ada perkara yang perlu dipersoal, perhalusi dan kajilah terlebih dulu sebelum diasak dan digoyah nikmat keamanan yang kita ada.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tiada ulasan: