09 April 2011

ISU UMUM : INOVASI BERKESAN TINGKAT PERKHIDMATAN

Dr Kamal Jit Singh
BERITA HARIAN, 02 APRIL 2011


Ahli pemikir purba seperti Socrates, Plato dan Aristotle mungkin akan terkejut apabila mendapati konsep pemikiran mereka yang dibangunkan kira-kira 2,500 tahun lalu kini membentuk dasar bahasa pengaturcaraan komputer moden. Mereka adalah pengasas pemikiran kritikal dan mempopularkan pengertian logik iaitu enjin yang menggerakkan rangkaian ekonomi digital hari ini. Berfikir secara kritikal adalah penting dalam mendapatkan kebenaran dan membolehkan kita untuk membuat keputusan berdasarkan fakta. Logik dan alasan pula adalah penggerak utama pemikiran kritikal, manakala faktor lain seperti perasaan, emosi dan naluri dikatakan tidak mempunyai tempat dalam pemikiran kritikal. Sekolah tidak mengajar kita berfikir secara kritikal tetapi mengharapkan kita untuk belajar berfikir melalui subjek Matematik dan Sains. Kedua-dua mata pelajaran ini didasarkan pada model, input dan output yang boleh diramal berdasarkan pada logik dan alasan.

Semua input bergantung kepada spesifikasi khusus yang boleh diproses berdasarkan logik dan alasan, manakala setiap output dapat diramal, boleh dipercayai dan tepat. Namun, benarkah begitu? Jika ditanya kepada mana-mana pengguna komputer, pasti mereka akan ketawa. Contohnya, pernahkah anda mendengar seorang wanita tua yang sudah meninggal dunia masih menerima notis supaya memperbaharui lesen memandunya? Cucunya sudah berputus asa untuk meminta pihak berkuasa menghentikan notis itu. Mereka tidak mahu lagi mayat nenek mereka diganggu dan berharap ia dibiarkan bersemadi dengan aman.  Bagaimana pula dengan borang yang meminta nombor kad pengenalan anda dan pada masa sama turut meminta tarikh lahir anda? Tidakkah tarikh lahir sememangnya termasuk di dalam nombor kad pengenalan? Bahkan, anda boleh memberitahu negeri mana seseorang itu lahir.

Dapatkah anda melihat logik atau alasan dalam salah satu situasi ini? Kita perlu meletakkan pendekatan berfikir secara kritikal dalam konteks logik dan alasan yang signifikan. Ia boleh dilakukan apabila faktor tidak kritikal lain turut diperiksa dan dipersoalkan.  Contohnya, dalam industri perhotelan, logik menyatakan bahawa waktu daftar masuk adalah pada jam 12 tengah hari dan tetamu hanya dibenarkan melakukan daftar masuk sekitar jam 2 petang, iaitu hanya selepas bilik dibersih dan dikemaskan.  Cuba anda jelaskan keadaan ini, mengenai seorang seorang ahli perniagaan yang menaiki penerbangan selama 14 jam dan tiba di hotel berkenaan pada jam 8 pagi tetapi tidak boleh mendaftar masuk kerana belum jam 12 tengah hari, sedangkan dia amat memerlukan masa rehat, mandi serta membersihkan diri. Keadaan itu akan membuatkan anda berfikir secara logik mengenai apa yang anda boleh lakukan bagi mengatasinya.

Sejauh mana berfikir secara kritikal boleh berlangsung dengan baik dalam perkara berkaitan teknikal dan bersifat pengiraan. Ia hanya akan berfungsi apabila anda mempunyai maklumat mencukupi dan semua orang berkelakuan seperti dikehendaki berdasarkan kepada standard yang ditetapkan. Dalam masyarakat zaman Socrates yang secara relatifnya stabil, dengan mempunyai idea yang kreatif dan membina, pemikiran kritikal digunakan untuk memisahkan antara idea yang dilihat mampu berfungsi dengan yang tidak.  Namun, dalam dunia yang dinamik kini, dengan tidak ada sesuatu standard yang tetap kita tidak dapat menerima pemikiran kritikal sebagai satu nilai nominal.  Justeru, jika berdasarkan kebenaran itu, konsep logik dan alasan tidak mendapat tempat dalam kehidupan seharian kita. Jika ia berlaku sudah pasti tidak akan ada peperangan, keganasan atau birokrasi. Tidak akan ada pasaran untuk produk berprestij serta kehebatan jenama tidak akan lagi relevan.

Tidak akan ada perniagaan yang gagal atau rakan kongsi perniagaan yang bermasam muka. Jelaslah, dunia yang kita diami ini tidak hanya berdasarkan kepada pendekatan pemikiran kritikal, sebaliknya ia turut membabitkan pelbagai faktor lain yang akan memberi kesan kepada keputusan dan penilaian kita. Logik dan alasan diperlukan, tetapi setiap keputusan perlu juga mengambil kira faktor lain seperti persepsi, andaian, perasaan dan emosi. Di Barat yang sudah biasa dalam pemikiran kritikal, kini sedar bahawa logik dan alasan saja tidak mencukupi. Kini wujud kesedaran untuk membawa faktor lembut dalam produk inovatif dan perkhidmatan yang direka cipta untuk memberi keselesaan atau lebih mesra pengguna. Kembali kepada kisah perkhidmatan hotel tadi, adalah lebih baik seseorang itu dibenarkan mendaftar masuk pada bila-bila masa pada hari berkenaan. Dengan bilik sentiasa dikemas dan dibersihkan mengikut permintaan.

Sama seperti pihak restoran membersihkan meja makan setiap kali pelanggan selesai menjamu selera. Ia adalah mudah, namun satu inovasi berkesan. Inilah paradoksnya, namun ia hanya boleh dilaksanakan selepas kita menggunakan logik dan alasan untuk menilai situasi. Ironinya, masalah yang kita hadapi di Malaysia adalah bertentangan. Isu lain menjadi faktor penentu, manakala faktor logik dan alasan yang baik tidak hadir atau tertinggal di belakang. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat contoh situasi seharian di mana tidak berlaku pemikiran kritikal. Misalnya, pihak pasar raya enggan memulangkan wang anda dengan segera walaupun sudah menyerahkan barang rosak yang ada beli bersama resit asal, begitu juga syarikat kad kredit yang mengenakan caj atas pembelian itu, sebaliknya mengambil masa 30 hari untuk membatalkan transaksi kredit. Saya percaya anda juga mempunyai pelbagai pengalaman hampir sama berkaitan keadaan ini dengan senarai yang panjang.

ISU EKONOMI : PROJEK AGROPOLITAN BASMI KEMISKINAN DI LUAR BANDAR

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my
BERITA HARIAN 09 APRIL 2011


Usaha mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah termasuk rakyat miskin di kawasan luar bandar adalah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberi tumpuan oleh kerajaan ketika melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Justeru, kerajaan menerusi setiap kementerian dan agensinya dipertanggungjawabkan merencana dan melaksanakan pelbagai projek bagi tujuan berkenaan, sekali gus untuk merapatkan lagi jurang perbezaan antara golongan berpendapatan sederhana dan rendah pada masa akan datang. Agenda kerajaan itu jelas sekali mahu membantu golongan berpendapatan rendah seperti petani, pekebun kecil, penternak dan masyarakat Orang Asli untuk lebih berdaya saing menerusi program pembangunan sosioekonomi yang disediakan supaya mereka mempunyai pekerjaan tetap dan memperoleh pendapatan lebih baik.

Pendekatan ‘memberi joran dan umpan untuk menangkap ikan’ jelas bertepatan dengan usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi projek agropolitan yang dilaksanakan di Pahang, Kelantan dan Terengganu, dengan objektifnya untuk menyediakan pendapatan mapan untuk peserta serta mempercepatkan pembangunan ekonomi luar bandar menerusi aktiviti pertanian dan perladangan.  Buat masa ini, ada empat program Agropolitan ECER yang turut menyasarkan usaha membasmi kemiskinan dan mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar iaitu, di Pekan, Pahang, Gua Musang, Kelantan, Utara Kelantan dan di Besut-Setiu, Terengganu.  Secara keseluruhannya, projek itu membabitkan penyertaan 1,600 keluarga termasuk Orang Asli dengan mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM1,000 hingga RM2,000 dalam tempoh tiga tahun pertama serta meningkat kepada RM5,000 dalam masa lapan tahun akan datang.

Bagi memastikan projek itu sentiasa berdaya maju, ECERDC bekerjasama dengan FELDA sebagai agensi pelaksana bagi projek Agropolitan Pekan dan Besut-Setiu, seterusnya bertanggungjawab mengambil peserta sebagai pekerja, menyediakan latihan dan sokongan teknikal, memantau kualiti produk serta melaksanakan khidmat pembelian semula.  Projek Agropolitan di Gua Musang, Kelantan membabitkan 10 peserta perintis dengan aktiviti utama ialah kelapa sawit dan akuaponik, manakala penanaman koko sebagai aktiviti sekunder dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sebagai agensi pelaksana. Seramai 350 peserta lagi dijangka menyertai program itu bermula Julai ini.  Di Terengganu, 100 rumah dan 52 kandang bagi penternakan kambing Boer akan dibina menerusi projek Agropolitan Besut-Setiu, dengan fasa pertama projek berkenaan membabitkan pembinaan 38 rumah, 20 kandang dan kawasan tanaman rumput yang dijangka siap Ogos ini.

Projek Agropolitan Pekan pula dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ogos 2009, merangkumi tiga lokasi iaitu di Batu 8, mukim Lepar, Runchang dan Tanjung Batu, mukim Bebar dengan tumpuan utama diberi kepada penternakan biri-biri jenis Dorper yang diimport dari Australia serta ladang kelapa sawit.  Bermula di Runchang, projek perintis itu membabitkan 30 peserta Orang Asli yang bekerja di 11 Unit Penternakan Haiwan (APU) bagi penternakan biri-biri Dorper dan selepas hampir dua tahun beroperasi mereka sudah memperoleh pendapatan tetap lebih RM1,000 sebulan dan biri-biri berkenaan juga membiak daripada kira-kira 1,000 ekor ketika mula-mula beroperasi kepada lebih 1,334 ekor setakat ini.  Berikutan perkembangan itu, ECERDC mengorak satu lagi langkah dengan pembukaan satu lagi projek yang sama di Batu 8, mukim Bebar di sini yang akan menawarkan kehidupan baru yang lebih selesa kepada 100 keluarga miskin.

Antara keunikan projek Agropolitan berkeluasan 100 hektar yang akan dirasmikan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, hari ini ialah keluarga miskin berkenaan yang terpilih menyertai projek itu menerusi senarai e-Kasih akan ditempatkan di kawasan penempatan semula di Batu 8 yang disediakan ECERDC.  Setiap peserta disediakan sebuah rumah yang selesa dengan tiga bilik dan dilengkapi perabot termasuk set sofa dan komuniti itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti dewan serba guna, masjid, kedai runcit, taska, taman permainan dan pusat perniagaan.  Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata semua peserta berkenaan terbabit dengan penternakan biri-biri Dorper sebagai aktiviti ekonomi utama selain ternakan ayam dan itik dan menanam sayur-sayuran yang juga aktiviti sekunder.  Ketika ini, katanya, sebanyak 30 APU yang menempatkan 3,000 biri-biri yang akan diusahakan 100 peserta berkenaan yang mula beroperasi sejak Februari lalu.

“Kita akan membina 30 APU lagi yang dijangka siap dibina menjelang Julai depan bagi meningkatkan pengeluaran biri-biri Dorper yang kini sinonim dengan panggilan ‘Dorper Pekan’ dan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.  “Peserta dibayar gaji harian berjumlah RM40 bagi setiap lapan jam bekerja, namun peningkatan pendapatan itu mampu dicapai melalui hasil aktiviti sekunder dan setiap peserta juga akan diberikan insentif khas hasil keuntungan projek berkenaan,” katanya.

ISU KENEGARAAN : TRANSFORMASI KERAJAAN PENDEKATAN BERKESAN

Oleh Saifuddin Abdullah


Pada 3 April lalu, genaplah dua tahun Datuk Seri Najib Tun Razak diamanahkan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Walaupun tempoh itu pendek, tetapi beliau telah berjaya membuktikan kecemerlangannya sebagai pemimpin yang menggerakkan transformasi yang besar lagi berkesan. Najib telah memulakan pembinaan sebuah ‘rumah’, iaitu gagasan 1Malaysia sebagai atapnya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai dua tiangnya, dan Rancangan Malaysia Kesepuluh sebagai lantainya. Beliau menyifatkan pakej inisiatifnya ini sebagai ‘kerangka baru kerajaan’. Saya menggelarnya ‘kerangka governans baru’. Pada 27 Mac lalu, Najib telah membentangkan laporan tahun pertama pelaksanaan GTP, iaitu selepas dilancar secara rasmi pada 28 Januari 2010. Menurutnya, GTP adalah program nekad untuk mentransformasi secara radikal cara bekerja kerajaan agar dapat menghasilkan penyelesaian sebenar bagi isu-isu sebenar supaya kita dapat mara dengan langkah lebih teguh sebagai sebuah negara.

Ia diwujudkan berasaskan keprihatinan rakyat tentang beberapa isu utama yang melanda negara. Ia menyasarkan peningkatan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Antara kejayaan utama GTP iaitu mengikut enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), setakat ini ialah pertama, mengurangkan jenayah: jenayah jalanan berkurangan 35 peratus dan indeks jenayah berkurangan 15 peratus, kesan daripada 14,222 anggota polis membuat rondaan dan 753 buah balai polis dinilai prestasinya. Kedua, membanteras rasuah. Melalui penggubalan Whistleblower Protection Act 2010, sebanyak 36.8 peratus perbicaraan kes rasuah diselesaikan dalam setahun dan laman web MyProcurement menyenaraikan 3,500 kontrak dan tender. Ketiga, meningkatkan pencapaian pelajar: mencapai 72.42 peratus enrolmen pra-sekolah (dari 60,000 kepada 700,000 pelajar), 85 peratus kadar literasi, 91 peratus kadar numerasi dan sekolah-sekolah berprestasi diberi hadiah.

Keempat, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah: 44,535 isi rumah miskin tegar dikeluarkan daripada kategori ini, 15,868 isi rumah miskin dikeluarkan daripada kategori ini dan 35,095 buah rumah murah ditawarkan. Kelima, meningkatkan infrastruktur asas luar bandar: dua juta penduduk luar bandar menikmati kehidupan lebih baik melalui penyediaan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta rumah. Dan keenam, meningkatkan pengangkutan awam di bandar: menaiktaraf 634 perhentian bas awam Lembah Klang dan lebih 2.34 juta penumpang LRT. Pada 2009, melalui bukunya, Menakhoda Zaman, Najib telah menggariskan keperluan memantapkan kepemimpinan yang dinamakan ‘kepemimpinan transformasi’, iaitu satu bentuk kepemimpinan yang menjana penambahbaikan ketara sehingga sesebuah masyarakat ditransformasi menurut visi pemimpin itu.

Transformasi jelas menjadi kata kunci dan strategi terpenting pentadbiran Najib. Menurut Kamus Dewan, transformasi bermakna ‘perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan)’. Makna ini dengan jelas berlaku melalui GTP. Pada saya, GTP punya dua komponen transformasi yang baru, menjadikannya unik dan istimewa. Dua komponen itu ialah ‘kerangka’ dan ‘pendekatan’. Dari segi kerangka transformasi berkerajaan dan governans, ia dapat dibandingkan dengan inisiatif yang hampir sama pernah dilakukan di negara lain. Contoh pertama ialah di United Kingdom, iaitu seperti yang dirakamkan Andrew Massey dan Robert Pyper (2005) dalam bukunya Public Management and Modernisation in Britain. Ia merujuk penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Margaret Thatcher dan Tony Blair yang dikenali sebagai ‘Langkah Berikut’ dan ‘Modenisasi’. Contoh kedua ialah di Amerika Syarikat (AS), seperti yang dibincangkan Elaine C. Kamarck (2007) dalam bukunya The End of Government As We Know It. Ia menceritakan inisiatif Presiden Bill Clinton yang dikenali sebagai ‘Penilaian-semula Prestasi Nasional’.

Dan contoh ketiga ialah seperti yang ditulis Jingjing Huo (2009) dalam bukunya Third Way Reforms. Ia membicarakan tiga bentuk kerangka kerajaan di Eropah dan Pasifik iaitu ‘sosial demokrat’ (Denmark, Sweden, Norway), ‘demokrat-kebajikan Kristian’ (Belanda, Perancis, Jerman) dan ‘kebajikan liberal’ (UK, Australia, New Zealand). Walaupun masih awal untuk membuat kesimpulan yang konklusif, tetapi dengan kejayaan GTP setakat ini, ia telah mencukupi untuk menyatakan bahawa kerangka transformasi berkerajaan dan governans yang dibawa Najib adalah lebih komprehensif daripada ketiga-tiga contoh tersebut. Malahan, ia berada dalam liganya yang tersendiri. Dari segi pendekatan transformasi berkerajaan dan governans pula, GTP bersifat partisipatif dan deliberatif. Ia amat demokratik. Sebagai Perdana Menteri, Najib mempunyai mekanisme dan sumber yang mencukupi untuk menggubal sendiri GTP.

Setelah siap, ia dibentangkan sahaja kepada rakyat untuk dilaksanakan. Tetapi beliau tidak memilih pendekatan dari atas ke bawah begini. Sebaliknya, beliau memilih pendekatan yang baru dan berbeza. Najib amat memahami realiti semasa dan betapa perlunya kerajaan menggunakan pendekatan yang baru, hatta dalam menggubal dasar dan programnya. Kerana itu, beliau telah beberapa kali menyatakan bahawa hari-hari di mana kerajaan mengetahui dan melakukan segala-galanya telah berakhir. Beliau juga mengungkapkan keperluan melaksanakan model baru politik. Justeru, dalam penggubalan GTP, beliau telah menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan pendapat daripada semua pihak. Ini dilakukan melalui proses perundingan yang panjang seperti kajian, laporan media, makmal, pameran dan maklum balas. Setelah GTP dilaksanakan selama setahun, maka, laporannya dibentangkan pula kepada rakyat, iaitu seperti yang berlaku pada 27 Mac lalu.

Pendekatan Najib ini selaras dengan pendapat Russell Dalton (2004) dalam bukunya Democratic Challenges, Democratic Choices, yang menyentuh reformasi demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang diamalkan kini. Konsep partisipasi rakyat yang menggunakan pendekatan elitis yang melihat partisipasi rakyat terhad kepada pemilihan kerajaan semata-mata telah ketinggalan zaman. Sebaliknya, pendekatan yang diingini kini ialah pendekatan yang mengiktiraf partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy). Ia juga sesuai dengan pandangan Graham Smith (2009), dalam bukunya Democratic Innovations, tentang perlunya meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam proses membuat keputusan. Kesimpulannya, GTP adalah transformasi kerajaan yang berkesan kerana dalam perjalanannya, iaitu dari penggubalannya hinggalah kepada penilaian prestasinya, Najib telah menggunakan kerangka dan pendekatan baru yang tepat.

DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH
ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

ISU ANTARABANGSA : PERGOLAKAN DUNIA SEMASA

Saranan Salleh


Pelbagai perkembangan berlaku seminggu dua ini dan penting untuk kita mengambil tahu. Pasaran saham New York dan London naik walaupun Libya, Syria dan Yemen bergelut dengan demonstrasi inginkan perubahan kepimpinan. Libya sudah dikenakan zon larangan terbang dan pengeluar minyak ketujuh terbesar di dunia itu tidak akan dapat membekalkan dunia dengan dua peratus yang dibekalkannya selama hari ini. NATO memimpin serangan ke atas tentera Gadaffi, walaupun kadangkala mereka tersalah sasaran dan pejuang anti-kerajaan menerima padahnya. Pada waktu yang sama, minyak juga naik ke paras AS$108 setong di pasaran New York, paras tertinggi sejak dua tahun lepas. Kenaikan minyak dan emas mencecah paras AS$1,451 seauns di pasaran New York. Sekali imbas dilihat bahawa kekacauan di Timur Tengah tidak mendatangkan kesan buruk kepada pasaran saham dunia.

Walaupun Obama berhadapan dengan kemungkinan ditutup perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat angkara tiada persetujuan dengan speaker yang terdiri daripada Republican tentang pemotongan AS$33 bilion daripada belanjawan negara tersebut, keadaan ekonomi di negara tersebut menunjukkan tanda-tanda pemulihan terutama sekali dari segi pengurangan pengangguran. Laporan pendapatan syarikat juga menunjukkan rata-rata pemulihan korporat. Di rantau sebelah kita, berita terbaru ialah kemungkinan besar kerajaan Australia menolak pembelian Bursa Saham Australia oleh Bursa Saham Singapura. Penggabungan itu sekiranya berlaku akan mewujudkan bursa saham kedua terbesar di rantau Pasifik. Sedikit sebanyak ini akan memberi kesan kepada bursa saham kita. Sudah sampailah masanya bursa saham kita berbuat sesuatu supaya kita dapat terus berdaya saing di rantau ini.

Ini berlatarbelakangkan kemajuan dari semasa ke semasa bursa-bursa lain seperti Thailand dan Indonesia yang semakin hari semakin mengorak langkah yang jauh daripada kita. Ura-ura menyenaraikan saham-saham daripada bursa-bursa di rantau ASEAN ini perlu dipercepatkan kerana entiti demikian hanya satu saja yang boleh wujud dan kalau ditubuhkan oleh orang lain, kita akan melepas lagi. Tumpuan kepada pelabur runcit wajar dipertingkatkan kerana tiada siapa yang tahu kuasa pelabur runcit yang sebenarnya. Kalau kita memperkatakan tentang pelabur institusi, balik-balik kita bercakap tentang institusi-institusi yang sama sahaja seperti KWSP dan PNB. Kalau hendak dikirakan dari segi mutu syarikat yang tersenarai berbanding dengan bursa lain di rantau ini, kita memiliki lebih banyak syarikat yang bermutu tinggi daripada bursa-bursa lain, tetapi kenapa jumlah dagangan dan nilai dagangan orang lain lebih tinggi daripada kita.

Ini bererti faktor-faktor sokongan seperti kemudahan pembiayaan kewangan dan lain-lain faktor yang berkaitan dengan susah/senangnya melakukan urusan dagangan perlu dilihat dan dikaji. Pasaran adalah ibarat burung di dalam genggaman, kalau terlalu ketat burung akan mati, terlalu longgar burung akan terbang. Seorang broker yang telah berkecimpung dalam pasaran saham selama 20 tahun dan telah bersara mengatakan walaupun kita telah mencecah paras 1,500 mata di FBMKLCI tetapi dalam ‘real terms’ (kenaikan sebenar), kita belum mencapai paras 1990-an dahulu. Kita perlu menaikkan minat pelabur runcit kita dan kembali kepada kedudukan pertama di rantau ASEAN seperti sebelum krisis 1998 dan dengan adanya kemajuan teknologi hari ini, kita tidak memerlukan banyak cawangan untuk syarikat broker kita. Kita hanya perlukan ‘kemudahan dalam urusan melalui teknologi’.

Dua perkara penting yang wajar kita beri perhatian ialah kedudukan mata wang kita dan nilai emas dari semasa ke semasa. Mata wang kita telah menunjukkan kenaikan sejak Januari 2011, berbanding dengan Dolar Amerika yang menunjukkan kenaikan daripada AS$1 sebanyak RM3.0640 pada 3 Januari 2011 kepada RM3.0255 untuk AS$1 pada 5 April 2011. Bagi mata wang pound, mata wang kita jatuh daripada RM4.762 untuk satu pound pada 3 Januari 2011 kepada RM4.9466 untuk satu pound pada 5 April 2011 dan untuk Dolar Singapura pula kita juga jatuh daripada RM2.3839 untuk satu Dolar Singapura kepada RM2.4006 bagi satu Dolar Singapura untuk masa yang sama. Apa yang boleh kita rumuskan daripada angka-angka ini ialah kenaikan Ringgit dengan Dolar Amerika dan bukan lain-lain tempat. Ini disebabkan ekonomi Amerika sudah sampai ke tahap yang teruk dan baru hendak kembali pulih.

Bagi emas pula harga penutup pada 5 April 2011 ialah AS$1451.80 seauns dan setahun dulu ialah AS$1132.90 seauns, kenaikan sebanyak 28.15 peratus. Bagi kebanyakan orang ramai, mungkin harga ini terlalu tinggi tetapi di sinilah bursa saham kita perlu melihat ETF untuk emas diperdagangkan. ETF ialah Exchange Traded Fund atau Dana Dagangan Bursa seperti yang digunakan dengan saham indeks atau saham-saham pilihan. Dengan dagangan ETF ini, seseorang pelabur itu tidak perlu mengeluarkan harga satu auns tetapi satu par sepuluh daripada harga semasa. Walau bagaimanapun jika pelabur ingin menyimpan emas secara nyata, bursa mestilah bersedia memberikannya. Pada masa ini, sesiapa yang berminat melabur dalam emas (bukan barangan kemas), ada bank-bank perdagangan yang jual beli emas dengan menggunakan buku simpanan. 

Jadi, bagi mereka yang ada lebihan wang untuk dilaburkan, fikir-fikirkanlah yang mana satu wajar diberikan tumpuan. Satu lagi malapetaka yang melanda ekonomi ketiga terbesar dunia ialah tsunami dan gempa bumi berukuran 8.9 pada 11 Mac 2011 di Jepun dan kesan buruk selepas itu. Kesan utama yang banyak diperkatakan hari ini ialah loji nuklear yang bahan radioaktifnya telah dibuang ke Lautan Pasifik. Pelbagai angka radiasi diberikan sehingga tujuh juta kali ganda paras selamat pernah dinyatakan. Apa yang berlaku di loji nuklear Jepun ini memberi pelbagai implikasi kepada negara-negara yang ingin mendirikan loji nuklear. Malahan ramai yang sudah memberhentikan operasi loji mereka, menunggu apa yang bakal berlaku di Fukushima tersebut dan bagi mereka yang bakal mendirikan loji nuklear, mengkaji semula keinginan tersebut.

UTUSAN MALAYSIA
9 APRIL 2011

ISU UMUM : AWAS, GADIS JANGAN TERPERDAYA DENGAN BOMOH GILA SEKS


Kaum Hawa tidak kira usia, sering tertipu dalam berurusan dengan bomoh. Padahal niat mereka berjumpa bomoh semata-mata sebagai ikhtiar untuk mengubati penyakit setelah rawatan moden menemui jalan buntu. Namun, ikhtiar untuk sembuh hanya membawa padah kepada diri sendiri. Sembuhnya tidak, tetapi akibat usahanya telah menjadi kes polis dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Intipati kes begini ialah mangsa telah dicabuli dan dirogol oleh si bomoh. Maka keadilan dituntut untuk menghukum si bomoh itu. Aku tidak banyak berpeluang untuk meliputi perjalanan kes membabitkan tertuduh, si bomoh. Tetapi, aku masih ingat satu kes yang mangsanya seorang wanita berusia lewat 20-an memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia pergi bertemu bomoh untuk mengubati jiwanya yang tidak tenteram. ''Saya ditemani rakan serumah bertemu bomoh di sebuah hotel murah di Chow Kit," kata mangsa.

Ketika itu galeri awam dalam mahkamah dipenuhi dengan hadirin yang ingin tahu kes tersebut. Mangsa menceritakan, dia dipanggil masuk ke bilik bomoh itu sementara rakannya menunggu di luar. Kata mangsa, dia disuruh oleh bomoh itu menanggalkan pakaian dengan alasan untuk melihat jika terdapat sebarang tanda pada tubuhnya. Pada peringkat ini, mahkamah mengarahkan orang awam keluar kerana perbicaraan akan diadakan secara tertutup. Aku terpaksa melangkah keluar dari mahkamah. Namun selepas itu, aku terdengar beberapa anggota polis yang bertugas dalam mahkamah masa itu sosek-sosek sesama sendiri bahawa mangsa telah dirogol walaupun tidak melawan. Usia mangsa telah melepasi 21 tahun, dan hujah peguam bela bahawa mangsa tahu tindakan bomoh itu. Ini dianggap dia melakukan perbuatan itu dengan kerelaan mangsa. Mahkamah kemudian membebaskan tertuduh.

Mangsa pastinya telah menangis sendirian. Aku berasa kasihan terhadap kaum sendiri tetapi terlintas di hatiku, mengapa mangsa tidak berfikir dengan waras ketika kejadian berlaku. Sebaliknya, dia membiarkan dirinya ditipu dan diperkosa. Dan, undang-undang menerima bukti bahawa mangsa melakukan perbuatan itu dengan kerelaan dan tiada paksaan daripada tertuduh. Namun, ada kes yang benar-benar menganiaya kaum Hawa. Ibu bapa perlu lebih berwaspada apabila berikhtiar bertemu bomoh untuk mengubati penyakit anak gadis sendiri. Di sebuah Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, lebih tiga tahun lalu, seorang bomoh dipenjarakan sembilan tahun kerana didapati bersalah merogol mangsa bawah umur, 16 tahun. Kisahnya, mangsa telah berkunjung ke rumah bomoh itu untuk mendapatkan rawatan mandi tolak bala. Aku memetik satu lagi kes untuk dijadikan renungan dan dijadikan teladan, terutama demi mengawasi keselamatan anak-anak gadis sendiri.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, empat tahun lalu, hakim telah menolak rayuan seorang bomoh yang dikenali sebagai 'ustaz' dan mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 18 kali. Hakim menolak rayuan bomoh berkenaan setelah mahkamah mendapati terlalu banyak fakta yang menyelubungi kes itu, tidak memihak kepadanya. Ceritanya, bomoh itu dikatakan bukan hanya merogol mangsa iaitu gadis remaja yang merupakan sahabat kepada anak perempuannya sendiri. Lebih membangkitkan kemarahan insan biasa ialah, tertuduh ini menumpang bermalam di rumah ibu bapa mangsa. Dia mengaku dirinya bomoh dan mahu merawat mangsa yang mengalami sakit-sakit badan dan pinggang akibat senggugut. Aku memetik kata-kata mutiara hakim: ''Perayu telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih muda. Mengaku bomoh adalah perbuatan yang menjijikkan, begitu juga penipuan tentang nikah batin.

Tegas hakim bahawa mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan dan lelaki itu perlu dikenakan hukuman setimpal.'' Sementara itu, satu kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, enam tahun lalu, seorang bomoh berjaya mengurangkan hukuman penjara kepada 11 tahun atas kesalahan merogol dua mangsa gadis remaja. Di peringkat perbicaraan, dia dihukum penjara 20 tahun. Hukuman dikurangkan kerana fakta menunjukkan bahawa kedua-dua mangsa telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh secara sukarela tanpa paksaan, malah mereka mengikut bomoh itu untuk bersiar-siar. Seorang warganegara Indonesia yang mendakwa dirinya bomoh juga pernah diheret ke Mahkamah Sesyen Seremban kerana dituduh merogol dan mencabul tiga orang mangsa, tujuh tahun lepas. Perbezaan kes yang aku paparkan ini sekadar untuk kita renungkan dan menimbangkan sewaras-warasnya dakwaan seseorang bomoh sama ada boleh melakukan rawatan. Undang-undang hanya memastikan keadilan berlandaskan fakta yang dikemukakan.

UTUSAN MALAYSIA
9 APRIL 2011

05 April 2011

ISU EKONOMI : FENOMENA GLOBAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Setelah beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan. Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut. ''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit. ''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.

Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir. Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun. Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat. ''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.

Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia. Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak. ''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi. Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.

''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal. ''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya. Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat. Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun. Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran. ''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi. ''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya. Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat. Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah. Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah. Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain. Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06). Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06). Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Banyak kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah. Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003. Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih. Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma. Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan. Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012. Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang. Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar. Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam. Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'. Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis. Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar. "Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara. "Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah.

Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya. Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini. Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa. Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini. "Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011

ISU UMUM : POLIMEK TANAH NCR

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my


Dipercayai salah satu isu yang akan dimuatkan dalam Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ialah penjelasan dan komitmen parti pemerintah itu dalam menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Manifesto ringkas dan padat yang bakal dilancarkan sehari dua ini akan memberi input serba sedikit tentang inisiatif kerajaan negeri membabitkan tanah yang wujud berdasarkan adat pelbagai etnik itu. Selebihnya bergantung kepada bagaimana calon-calon BN mampu menjelaskannya kepada rakyat. Tanah NCR diteroka masyarakat Bumiputera sejak kedatangan Rajah Brooke lagi. Ia diusahakan masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak penguasaan British di negeri itu. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka. Tanah yang dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.

Ini meliputi sama ada untuk pembinaan perumahan atau diserahkan kepada syarikat swasta bagi pelbagai tujuan termasuk pembangunan. Justeru, untuk mengelakkan pertelingkahan di antara suku kaum, setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, maka Jabatan Tanah dan Survei negeri akan membuat kerja ukur atau menyukat. "Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kita tidak berbuat demikian. Namun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu," kata Sajeli. Setakat ini kerajaan BN Sarawak mengeluarkan 195,986 geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan 2,557 lot telah diwartakan sebagai tanah untuk kegunaan bersama bagi pelbagai tujuan di bawah Seksyen 6. Hakikatnya, BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah tersebut ke dalam sisten pendaftaran tanah. Dikatakan pengukuran keliling Tanah NCR akan terus dijalankan dalam membendung seterusnya mengatasi kekhuatiran pemilik tanah adat terhadap tanah masing-masing.

Di bawah konsep baru pembangunan Tanah NCR, hampir 500,000 hektar tanah di seluruh kawasan diluluskan setakat ini dengan pesertanya melangkaui 16,000 orang (pemilik tanah). Sejumlah lebih 20,000 hektar tanah juga berjaya disukat meliputi seluas 28 kawasan manakala sejumlah 234,142 hektar lagi melibatkan 107 kawasan akan disukat tahun ini. Malah penyukatan lebih banyak tanah NCR akan dilakukan di bawah inisiatif baru nanti. Kerana itu, Sajeli meminta rakyat Sarawak sentiasa berwaspada dengan dakyah yang cuba dilemparkan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri kononnya telah merampas tanah. Ini lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah, namun masih tertangguh sehingga hari ini. Apatah lagi isu Tanah NCR ini paling mudah 'digula-gulakan' di kawasan pedalaman Sarawak dengan banyak kerusi di kawasan tersebut mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya. Dalam hubungan ini, Sajeli menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh mengambil Tanah NCR begitu sahaja.

Tanah NCR terpaksa diambil hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaaan masyarakat awam. Jika disahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib membayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Perkara ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar Tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang diambil kerajaan negeri di bawah Seksyen 47. Ia tidak sampai satu peratus pun. Bukan sahaja kerajaan negeri Sarawak komited untuk menyelesaikan isu Tanah NCR ini, malah Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diberikan Kerajaan Pusat dan untuk tahun ini pula sebanyak RM30 juta lagi.

Ironinya dalam soal tanah, bukan sahaja Tanah NCR dijamin haknya oleh kerajaan negeri malah jika diamati tanah Sarawak yang berkeluasan 12.4 juta hektar masih dilitupi hutan dan 14 peratus lagi dilitupi hutan sekunder. Selebihnya pula digunakan untuk pertanian, penempatan dan sungai. Itu tidak termasuk komitmen kerajaan negeri menawarkan kadar pembaharuan surat hak milik tanah kediaman dan premis perniagaan lebih rendah untuk tempoh 60 tahun. Sedangkan di Selangor dan Pulau Pinang, pengiraan premium adalah berdasarkan kepada tanah yang mempunyai tempoh berbaki setahun.

UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011