Oleh ZULKIFLI JALIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my
Dipercayai salah satu isu yang akan dimuatkan dalam Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ialah penjelasan dan komitmen parti pemerintah itu dalam menyelesaikan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Manifesto ringkas dan padat yang bakal dilancarkan sehari dua ini akan memberi input serba sedikit tentang inisiatif kerajaan negeri membabitkan tanah yang wujud berdasarkan adat pelbagai etnik itu. Selebihnya bergantung kepada bagaimana calon-calon BN mampu menjelaskannya kepada rakyat. Tanah NCR diteroka masyarakat Bumiputera sejak kedatangan Rajah Brooke lagi. Ia diusahakan masyarakat Bumiputera untuk tujuan penempatan dan pertanian sejak penguasaan British di negeri itu. Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sajeli Kipli, masalah timbul apabila ada penduduk mendakwa tanah di kawasan lain yang hakikatnya tidak diterokai untuk tujuan penempatan dan pertanian serta tidak diselenggara adalah Tanah NCR milik mereka. Tanah yang dikategorikan milik kerajaan negeri didakwa sebagai tanah NCR milik mereka dan menuduh kerajaan negeri merampasnya apabila dimajukan.
Ini meliputi sama ada untuk pembinaan perumahan atau diserahkan kepada syarikat swasta bagi pelbagai tujuan termasuk pembangunan. Justeru, untuk mengelakkan pertelingkahan di antara suku kaum, setiap permohonan penduduk untuk mendapatkan status tanah NCR, maka Jabatan Tanah dan Survei negeri akan membuat kerja ukur atau menyukat. "Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf tanah NCR tetapi ada orang kata kita tidak berbuat demikian. Namun, orang yang mahukan status itu harus membuktikan dia membuka kawasan pertanian atau penempatan dan menjaga penyelenggaraan kawasan itu," kata Sajeli. Setakat ini kerajaan BN Sarawak mengeluarkan 195,986 geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan 2,557 lot telah diwartakan sebagai tanah untuk kegunaan bersama bagi pelbagai tujuan di bawah Seksyen 6. Hakikatnya, BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah tersebut ke dalam sisten pendaftaran tanah. Dikatakan pengukuran keliling Tanah NCR akan terus dijalankan dalam membendung seterusnya mengatasi kekhuatiran pemilik tanah adat terhadap tanah masing-masing.
Di bawah konsep baru pembangunan Tanah NCR, hampir 500,000 hektar tanah di seluruh kawasan diluluskan setakat ini dengan pesertanya melangkaui 16,000 orang (pemilik tanah). Sejumlah lebih 20,000 hektar tanah juga berjaya disukat meliputi seluas 28 kawasan manakala sejumlah 234,142 hektar lagi melibatkan 107 kawasan akan disukat tahun ini. Malah penyukatan lebih banyak tanah NCR akan dilakukan di bawah inisiatif baru nanti. Kerana itu, Sajeli meminta rakyat Sarawak sentiasa berwaspada dengan dakyah yang cuba dilemparkan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri kononnya telah merampas tanah. Ini lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah, namun masih tertangguh sehingga hari ini. Apatah lagi isu Tanah NCR ini paling mudah 'digula-gulakan' di kawasan pedalaman Sarawak dengan banyak kerusi di kawasan tersebut mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya. Dalam hubungan ini, Sajeli menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh mengambil Tanah NCR begitu sahaja.
Tanah NCR terpaksa diambil hanya untuk melaksanakan projek kerajaan seperti hospital, sekolah, jambatan dan seumpamanya untuk kegunaaan masyarakat awam. Jika disahkan itu tanah NCR, maka kerajaan wajib membayar ganti rugi yang berpatutan berdasarkan nilai semasa pasaran tanah. Perkara ini terkandung dalam Seksyen 13 Perlembagaan. Dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, Tanah NCR yang diambil untuk tujuan itu dilakukan mengikut Seksyen 47. Bagaimanapun, daripada 569,004 hektar Tanah NCR yang ada geran, cuma 0.84 peratus yang diambil kerajaan negeri di bawah Seksyen 47. Ia tidak sampai satu peratus pun. Bukan sahaja kerajaan negeri Sarawak komited untuk menyelesaikan isu Tanah NCR ini, malah Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan khusus untuk perkara ini mengikut Inisiatif Baru Tanah NCR. Pada tahun lepas, sebanyak RM20 juta diberikan Kerajaan Pusat dan untuk tahun ini pula sebanyak RM30 juta lagi.
Ironinya dalam soal tanah, bukan sahaja Tanah NCR dijamin haknya oleh kerajaan negeri malah jika diamati tanah Sarawak yang berkeluasan 12.4 juta hektar masih dilitupi hutan dan 14 peratus lagi dilitupi hutan sekunder. Selebihnya pula digunakan untuk pertanian, penempatan dan sungai. Itu tidak termasuk komitmen kerajaan negeri menawarkan kadar pembaharuan surat hak milik tanah kediaman dan premis perniagaan lebih rendah untuk tempoh 60 tahun. Sedangkan di Selangor dan Pulau Pinang, pengiraan premium adalah berdasarkan kepada tanah yang mempunyai tempoh berbaki setahun.
UTUSAN MALAYSIA
5 APRIL 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan