09 April 2011

ISU KENEGARAAN : TRANSFORMASI KERAJAAN PENDEKATAN BERKESAN

Oleh Saifuddin Abdullah


Pada 3 April lalu, genaplah dua tahun Datuk Seri Najib Tun Razak diamanahkan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Walaupun tempoh itu pendek, tetapi beliau telah berjaya membuktikan kecemerlangannya sebagai pemimpin yang menggerakkan transformasi yang besar lagi berkesan. Najib telah memulakan pembinaan sebuah ‘rumah’, iaitu gagasan 1Malaysia sebagai atapnya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai dua tiangnya, dan Rancangan Malaysia Kesepuluh sebagai lantainya. Beliau menyifatkan pakej inisiatifnya ini sebagai ‘kerangka baru kerajaan’. Saya menggelarnya ‘kerangka governans baru’. Pada 27 Mac lalu, Najib telah membentangkan laporan tahun pertama pelaksanaan GTP, iaitu selepas dilancar secara rasmi pada 28 Januari 2010. Menurutnya, GTP adalah program nekad untuk mentransformasi secara radikal cara bekerja kerajaan agar dapat menghasilkan penyelesaian sebenar bagi isu-isu sebenar supaya kita dapat mara dengan langkah lebih teguh sebagai sebuah negara.

Ia diwujudkan berasaskan keprihatinan rakyat tentang beberapa isu utama yang melanda negara. Ia menyasarkan peningkatan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Antara kejayaan utama GTP iaitu mengikut enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), setakat ini ialah pertama, mengurangkan jenayah: jenayah jalanan berkurangan 35 peratus dan indeks jenayah berkurangan 15 peratus, kesan daripada 14,222 anggota polis membuat rondaan dan 753 buah balai polis dinilai prestasinya. Kedua, membanteras rasuah. Melalui penggubalan Whistleblower Protection Act 2010, sebanyak 36.8 peratus perbicaraan kes rasuah diselesaikan dalam setahun dan laman web MyProcurement menyenaraikan 3,500 kontrak dan tender. Ketiga, meningkatkan pencapaian pelajar: mencapai 72.42 peratus enrolmen pra-sekolah (dari 60,000 kepada 700,000 pelajar), 85 peratus kadar literasi, 91 peratus kadar numerasi dan sekolah-sekolah berprestasi diberi hadiah.

Keempat, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah: 44,535 isi rumah miskin tegar dikeluarkan daripada kategori ini, 15,868 isi rumah miskin dikeluarkan daripada kategori ini dan 35,095 buah rumah murah ditawarkan. Kelima, meningkatkan infrastruktur asas luar bandar: dua juta penduduk luar bandar menikmati kehidupan lebih baik melalui penyediaan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta rumah. Dan keenam, meningkatkan pengangkutan awam di bandar: menaiktaraf 634 perhentian bas awam Lembah Klang dan lebih 2.34 juta penumpang LRT. Pada 2009, melalui bukunya, Menakhoda Zaman, Najib telah menggariskan keperluan memantapkan kepemimpinan yang dinamakan ‘kepemimpinan transformasi’, iaitu satu bentuk kepemimpinan yang menjana penambahbaikan ketara sehingga sesebuah masyarakat ditransformasi menurut visi pemimpin itu.

Transformasi jelas menjadi kata kunci dan strategi terpenting pentadbiran Najib. Menurut Kamus Dewan, transformasi bermakna ‘perubahan bentuk (sifat, rupa, keadaan)’. Makna ini dengan jelas berlaku melalui GTP. Pada saya, GTP punya dua komponen transformasi yang baru, menjadikannya unik dan istimewa. Dua komponen itu ialah ‘kerangka’ dan ‘pendekatan’. Dari segi kerangka transformasi berkerajaan dan governans, ia dapat dibandingkan dengan inisiatif yang hampir sama pernah dilakukan di negara lain. Contoh pertama ialah di United Kingdom, iaitu seperti yang dirakamkan Andrew Massey dan Robert Pyper (2005) dalam bukunya Public Management and Modernisation in Britain. Ia merujuk penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Margaret Thatcher dan Tony Blair yang dikenali sebagai ‘Langkah Berikut’ dan ‘Modenisasi’. Contoh kedua ialah di Amerika Syarikat (AS), seperti yang dibincangkan Elaine C. Kamarck (2007) dalam bukunya The End of Government As We Know It. Ia menceritakan inisiatif Presiden Bill Clinton yang dikenali sebagai ‘Penilaian-semula Prestasi Nasional’.

Dan contoh ketiga ialah seperti yang ditulis Jingjing Huo (2009) dalam bukunya Third Way Reforms. Ia membicarakan tiga bentuk kerangka kerajaan di Eropah dan Pasifik iaitu ‘sosial demokrat’ (Denmark, Sweden, Norway), ‘demokrat-kebajikan Kristian’ (Belanda, Perancis, Jerman) dan ‘kebajikan liberal’ (UK, Australia, New Zealand). Walaupun masih awal untuk membuat kesimpulan yang konklusif, tetapi dengan kejayaan GTP setakat ini, ia telah mencukupi untuk menyatakan bahawa kerangka transformasi berkerajaan dan governans yang dibawa Najib adalah lebih komprehensif daripada ketiga-tiga contoh tersebut. Malahan, ia berada dalam liganya yang tersendiri. Dari segi pendekatan transformasi berkerajaan dan governans pula, GTP bersifat partisipatif dan deliberatif. Ia amat demokratik. Sebagai Perdana Menteri, Najib mempunyai mekanisme dan sumber yang mencukupi untuk menggubal sendiri GTP.

Setelah siap, ia dibentangkan sahaja kepada rakyat untuk dilaksanakan. Tetapi beliau tidak memilih pendekatan dari atas ke bawah begini. Sebaliknya, beliau memilih pendekatan yang baru dan berbeza. Najib amat memahami realiti semasa dan betapa perlunya kerajaan menggunakan pendekatan yang baru, hatta dalam menggubal dasar dan programnya. Kerana itu, beliau telah beberapa kali menyatakan bahawa hari-hari di mana kerajaan mengetahui dan melakukan segala-galanya telah berakhir. Beliau juga mengungkapkan keperluan melaksanakan model baru politik. Justeru, dalam penggubalan GTP, beliau telah menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan pendapat daripada semua pihak. Ini dilakukan melalui proses perundingan yang panjang seperti kajian, laporan media, makmal, pameran dan maklum balas. Setelah GTP dilaksanakan selama setahun, maka, laporannya dibentangkan pula kepada rakyat, iaitu seperti yang berlaku pada 27 Mac lalu.

Pendekatan Najib ini selaras dengan pendapat Russell Dalton (2004) dalam bukunya Democratic Challenges, Democratic Choices, yang menyentuh reformasi demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang diamalkan kini. Konsep partisipasi rakyat yang menggunakan pendekatan elitis yang melihat partisipasi rakyat terhad kepada pemilihan kerajaan semata-mata telah ketinggalan zaman. Sebaliknya, pendekatan yang diingini kini ialah pendekatan yang mengiktiraf partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy). Ia juga sesuai dengan pandangan Graham Smith (2009), dalam bukunya Democratic Innovations, tentang perlunya meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam proses membuat keputusan. Kesimpulannya, GTP adalah transformasi kerajaan yang berkesan kerana dalam perjalanannya, iaitu dari penggubalannya hinggalah kepada penilaian prestasinya, Najib telah menggunakan kerangka dan pendekatan baru yang tepat.

DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH
ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...