09 Mac 2011

ISU PENYAKIT : SIKAP MASYARAKAT PUNCA DEMAN DENGGI TERUS MENULAR

Oleh Liow Tiong Lai
BERITA HARIAN 
09 MAC 2011


Salah satu masalah kesihatan di Malaysia yang paling menghantui saya ialah denggi. Sungguhpun bilangan yang mati akibat denggi tidaklah setinggi penyakit kanser atau jantung, kadar peningkatan serta kesan buruknya amat membimbangkan. Di negara kita biasanya wabak denggi merebak secara besar-besaran sekali dalam empat tahun. Bagaimanapun trend ini telah bertukar – ia kini berlaku setiap tahun. Kalau hendak dikirakan, denggi sepatutnya jauh lebih mudah dikawal dan dicegah berbanding penyakit kronik yang membunuh. Pun begitu, kita masih belum berjaya mencegahnya. Kenapa? Denggi adalah satu penyakit zaman kita. Selepas Perang Dunia Kedua, penduduk Asia berhijrah beramai-ramai ke pekan dan kota di mana mereka mendirikan tempat tinggal dalam keadaan bersesak-sesak dengan ketiadaan sistem bekalan air bersih. Maka nyamuk Aedes aegypti pun mengekori mereka.

Ia menjumpai tempat cukup baik untuk membiak di mana perparitan tidak sempurna dengan air bertakung di merata-rata – sejak itu, keadaan ini kekal berada bersama kita.  Virus denggi melalui putarannya sendiri dari hutan di mana ia berasal, di mana pada mulanya ia cuma memberi kesan ke atas nyamuk lain, menjadi satu jenis (strain) baru yang menyerang manusia dan primat lain. Ini menunjukkan bahawa virus denggi dan vektornya, nyamuk, memiliki kemampuan luar biasa untuk hidup dan juga mampu menyesuaikan diri dengan baik kepada persekitaran yang membolehkannya membiak dengan subur. Persoalan yang tidak pernah lekang di kepala saya ialah, kenapakah kita masih tidak dapat menghapuskan Aedes, walaupun kita sebagai manusia mempunyai akal yang hebat berbanding serangga kecil tidak berakal yang dipanggil nyamuk itu? Kita tahu tanpa sebarang keraguan di mana nyamuk itu membiak, bagaimana hendak menghapuskannya, dan kita juga mempunyai segala-gala yang diperlukan untuk melakukannya.

Pun begitu, angkanya terus meningkat. Tahun lalu saja, 46,171 kes denggi dengan 134 kematian, lebih tinggi daripada 2009. Angka ini jauh melebihi rebakan terbesar yang pernah berlaku iaitu pada 1996 yang mana terdapat 14,255 kes dengan 32 kematian. Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Ke-3 (NHMS) pada 2006, kebanyakan orang lebih cenderung mengambil jalan mudah untuk menghapuskan nyamuk seperti menggunakan semburan. Kurang satu per tiga daripada mereka yang ditinjau, secara bersungguh-sungguh, mencari tempat nyamuk membiak di sekitar tempat tinggal mereka dan memusnahkannya. Kita tidak boleh menyalahkan faktor kejahilan. Denggi berkali-kali menjadi tajuk berita pada tahun lalu, manakala kempen kesedaran pula dipertingkatkan untuk mendidik orang ramai mengenai cara mencegahnya dan cara mengenali penyakit itu pada peringkat awal.

Kita juga tidak boleh menyalahkan faktor kebodohan. Kaedah menghapuskan denggi adalah perkara asas, mudah diterima akal dan tidak susah dilakukan. Kita sebenarnya tidak payah berfikir untuk melakukan apa yang betul bagi memerangi denggi. Akan tetapi, kita bukan makhluk yang rasional sepenuhnya. Kita didorong oleh perasaan, tabiat dan pengaruh. Satu sebab kenapa kaedah mencegah denggi begitu sukar untuk dilaksanakan ialah kerana kita tidak dapat melihat hasilnya dengan serta-merta. Sama jugalah dengan sebab kenapa kita terus merokok dan begitu payah mengamalkan pemakanan sihat, walaupun kita semua tahu apa yang baik dan apa yang betul untuk dilakukan. Apa pun, membersihkan kawasan tempat tinggal, membuang air bertakung dan memastikan tempat membiak sentiasa kering, masih senjata terbaik kita bagi memerangi nyamuk itu.

Walaupun meyakinkan orang ramai supaya melakukan semua ini secara berterusan adalah satu kerja yang tidak mudah, kita tidak boleh mengalah. Penubuhan kumpulan sukarela COMBI di kawasan perumahan di seluruh negara satu cara baru bagi mendapatkan lebih ramai penduduk terbabit dalam usaha mengubah tabiat orang ramai dalam menjaga kebersihan tempat tinggal. Saya gembira melihat sukarelawan daripada ratusan kumpulan COMBI di seluruh negara bekerja keras dan menunjukkan dedikasi dan komitmen terhadap apa yang mereka lakukan. Mereka mendorong penduduk serta keluarga di kawasan masing-masing untuk bersama-sama memusnahkan tempat nyamuk membiak seperti di taman permainan, parit dan tanah kosong serta tempat awam lain. Sukarelawan ini juga, tanpa tahu penat mendidik orang di sekeliling supaya jangan mengambil sikap tidak peduli terhadap tanda awal denggi dengan menekankan pentingnya mereka mendapatkan rawatan segera.

Tinjauan NHMS turut mendapati bahawa hanya sebilangan kecil tahu apa sebenarnya yang dikatakan tempat membiak di dalam dan di luar rumah mereka. Dapatan ini mustahak kerana ia membolehkan kita memberi tumpuan secara lebih khusus dalam usaha mendidik orang ramai memerangi denggi. Dalam pada itu, ‘perang’ terhadap serangga kecil itu terus menjadi lebih mencabar. Virus denggi dan nyamuk Aedes organisme licik yang tahu cara melawan usaha kita. Di sinilah perlunya difikirkan cara baru supaya kita sentiasa berada beberapa langkah di hadapan dalam perang kita terhadap nyamuk itu. Pelepasan cubaan nyamuk jantan genetik ke tempat awam adalah satu usaha baru yang mempunyai potensi besar untuk mendatangkan hasil. Saya memberi jaminan kepada pembaca bahawa Institut Penyelidikan Perubatan menjalankan cubaan itu dengan penuh hati-hati bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Terdapat banyak lagi kaedah baru yang boleh kita guna pakai bagi memerangi denggi. Modul pendidikan untuk sekolah akan dapat menanam tabiat mengawal denggi di kalangan kanak-kanak pada usia muda lagi manakala teknik yang lebih baik dan lebih cepat bagi mengenali penyakit akan memastikan pesakit dapat diberikan rawatan yang betul. Dalam perang yang mana kita berdepan dengan nyamuk yang membunuh, kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia 
(www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

ISU REMAJA : PLKN PERLUAS ILMU REPRODUKTIF

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Isu pendidikan seks di kalangan remaja dan kanak-kanak telah lama hangat diperkatakan ibu bapa dan pihak berwajib dalam usaha mengimbangkan pendedahan ilmu reproduktif dalam mengekang ancaman gejala sosial. Keseimbangan yang rapuh ini perlu diselia dengan baik bagi mengelak terlalu banyak maklumat didedahkan pada usia yang tidak bersesuaian sehingga boleh menyebabkan kejutan budaya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Kepelbagaian bangsa, budaya dan cara hidup terutamanya masyarakat bandar dan luar bandar juga perlu diambil kira bagi mengelak penerapan budaya 'hidup bebas' atau songsang sebagai sesuatu yang boleh diterima dalam komuniti di negara ini. Antara isu utama pendidikan seksual adalah usia yang sesuai untuk pendedahan formal memandangkan ada pihak mencadangkan modul serupa dimulakan seawal prasekolah sehingga ke peringkat universiti.

Memahami keperluan pemahaman dan pendedahan ilmu reproduktif di kalangan remaja, modul baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 17 Februari lalu. Bagi Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, modul baru itu bersesuaian dengan PLKN bagi mendidik golongan muda menghormati anggota badan mengikut nilai-nilai agama dan sosial di negara ini. "Kandungan dan pendekatan modul ini perlu sesuai dengan tahap pemikiran dan umur pelatih PLKN tetapi peringkat usia mereka biasanya sudah mempunyai pengetahuan sistem reproduktif yang jelas akan fungsinya. "Apa yang perlu kita tegaskan adalah perlunya rasa hormat kepada anggota badan manusia, termasuklah bahagian sulit diri sendiri atau orang lain," katanya. Jelasnya, menghormati itu bermakna anggota badan tidak boleh disalah guna dan tidak boleh menceroboh hak orang lain.

Bagi peringkat usia remaja, tarikan antara jantina berlainan adalah satu perkembangan sihat yang normal tetapi batas-batas jalinan hubungan antara jantina yang sama atau berlainan perlu dijelaskan. Dr. Haslee menyatakan pencerobohan hak anggota badan sendiri atau orang lain berlaku jika jalinan terbentuk atas dasar nafsu semata-mata dengan desakan dalaman yang kuat dan naluri yang membuak-buak. "Remaja perlu faham bahawa kasih sayang yang sebenar bukan dizahirkan dengan 'merosakkan' kekasih mereka. Jika hubungan mereka sudah sah sekalipun, tetap ada adab dalam pergaulan. "Jika mesej tentang rasa hormat terhadap anggota badan terutamanya bahagian sulit sendiri dan orang lain dapat disampaikan dengan jelas, golongan remaja kita mungkin dapat mengawal diri dengan lebih baik kelak," tegasnya. Perkataan seks itu kekal sesuatu yang tabu dalam kebanyakan kelompok masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu dan mereka yang beragama Islam.

Walaupun ada pihak menggambarkan persepsi terhadap perkataan itu sebagai satu sifat yang ketinggalan zaman, ia tetap menjadi antara dinding akhir mengekalkan cara 'ketimuran' yang penuh tatasusila dan sopan-santun. Namun, adab ketimuran juga perlu mempunyai pemahaman tentang budaya luar terutamanya di era globalisasi kini yang mendedahkan remaja kepada bermacam budaya songsang dari pelbagai sumber. Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi berkongsi pandangan berkata, pelaksanaan modul PKRS di PLKN kena pada tempat dan masanya. "Umur pelatih sekitar 18 tahun sebenarnya sudah dikira sebagai dewasa dan mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan mereka sendiri. "Asas modul PKRS ini adalah menyampaikan maklumat dan ia amat sesuai untuk golongan remaja yang datang dari pelbagai bentuk latar belakang, sama ada bandar atau kampung. "Sedikit sebanyak, mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar tentang kehidupan dan ini termasuklah pemahaman tentang isu seksual dan sosial," ujarnya. 

Tambahnya, adalah lebih baik golongan remaja mendapatkan maklumat dan tunjuk ajar dari sumber serta pendidik yang sah berbanding internet yang belum tentu boleh dipercayai. "Mungkin mereka yang kurang pendedahan mengenai isu ini akan berasa gelisah sedikit menghadapi modul sedemikian tetapi dengan bimbingan yang baik, PKRS tidak akan memberi tekanan negatif kepada pelatih PLKN. "Pendidikan dan pemahaman ilmu hidup sebegini baik untuk mengelak bermacam kejadian yang tidak diingini.  Seperti mana perkara tersurat dan tersirat (isu seksual) sudah jelas tetapi masih banyak perkara sebaliknya yang berlaku kini," tegasnya. Selain itu, Dr. Mohd. Ismail turut berpendapat modul tersebut dapat memberi manfaat kepada kumpulan remaja di luar melalui perkongsian ilmu bersama bekas pelatih PLKN. "Jika tahap pendidikan modul ini lebih tinggi, pelatih PLKN mungkin mampu berkongsi ilmu tersebut dengan rakan sebaya di luar. "Tetapi lain pula jika modul ini cuma untuk maklumat individu pelatih. 

Bergantung kepada maklumat yang diberikan, sedikit sebanyak mereka dapat memberi tunjuk ajar kepada kumpulan remaja yang lebih muda kelak," katanya. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil sebelum ini menyatakan beliau percaya setiap pelatih akan memberi kesan berganda sebanyak lima kali ganda kerana mereka akan berkongsi apa yang dipelajari dengan sekurang-kurangnya lima individu lain.  "Jika 500,000 peserta berjaya dilatih, 2.5 juta rakyat di luar akan turut mendapat tempias program tersebut," ujarnya. Oleh itu, setiap modul yang dilaksanakan perlu mengambil kira kesan berangkai pelatih di dalam masyarakat dengan tumpuan kepada sudut positif yang boleh dimanfaatkan. PKRS tidak boleh sekadar dilihat untuk pelatih PLKN sahaja malahan sebagai titik mula perkongsian ilmu reproduktif di kalangan golongan muda di seluruh negara. Dengan pelaksanaan yang baik, matlamat utama PKRS untuk membimbing tentang kemahiran hidup berkeluarga, menjalinkan hubungan positif antara gender serta menyalurkan maklumat yang tepat mengenai seks dapat dikembangkan bukan sahaja di PLKN malahan kepada remaja di seluruh negara.

UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI EKONOMI BUKTI KOMITMEN KERAJAAN BERTERUSAN


Pengumuman sembilan lagi projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan semalam menunjukkan komitmen yang berterusan kerajaan memacu ekonomi negara ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Tambahan projek ini merupakan manifestasi usaha berterusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan segala rancangan yang dirangka menjadi kenyataan. Perdana Menteri ketika mengumumkannya menyatakan projek-projek itu meliputi meningkatkan kemudahan pelancongan, memantapkan industri pertanian, menggalakkan projek penjagaan kesihatan dan juga merancakkan pelaksanaan tenaga yang diperbaharui. Di bawah usaha berkenaan, ia diramalkan bakal menarik RM2.26 bilion pelaburan termasuk menjimat dan menjana RM11.71 bilion pendapatan negara kasar (PNK) bagi tempoh tersebut.

Pengumuman terbaharu ini ternyata membuktikan program ETP terus dilaksanakan pada tahap tertinggi dan bukan merupakan satu umpan untuk sekadar memenangi pilihan raya kecil atau umum. Sembilan projek itu, sekiranya digabungkan dengan 11 projek yang diumumkan sebelum ini akan menghasilkan RM14.74 bilion pelaburan, RM20 bilion dalam PNK dan 88,354 lagi pekerjaan. Setakat ini, ETP kini dilihat telah mempunyai kesan pemangkin ketara terhadap ekonomi sebagai mana yang dilihat pada komitmen pelaburan daripada projek permulaan dan asas projek serta kenaikan yang dijangka dalam pendapatan sebenar. Ini menunjukkan segala perancangan yang dilakukan kerajaan kini semakin diyakini oleh banyak pihak sama ada dalam dan juga luar serta mampu untuk menempah kejayaan. Sekiranya tidak masakan pihak-pihak swasta tempatan turut memberikan sambutan yang baik terhadapnya.

Malah, ada pendapat mengatakan bahawa Malaysia kini memperlihatkan kesediaan untuk memenuhi hasrat menjadi negara pendapatan tinggi menjelang 2020. Pendapat sedemikian merupakan antara banyak ulasan yang diberikan oleh bukan saja tokoh tempatan, tetapi juga luar negara sekali gus menunjukkan bahawa negara kita menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan negara-negara Asia lain. Masakan tidak, Malaysia sebelum ini telah menunjukkan rekod pencapaian yang membanggakan apabila mengubah sebuah negara yang sebelumnya bergantung kepada komoditi getah dan timah kepada sebuah negara industri di bawah kepimpinan penerajunya sebelum ini. Bersandarkan hakikat ini, di bawah kepimpinan sedia ada dan juga sokongan yang jitu diberikan kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, negara ini mampu merealisasikan hasrat yang uar-uarkan itu - sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011

08 Mac 2011

TITAH SERI PADUKA BAGINDA : MELAKAR MALAYSIA MAJU DAN BERKUALITI

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim


Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wabihi Nasta'iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian. Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya kita dipermudahkan sehingga dapat berkumpul sekali lagi, di Dewan yang mulia ini untuk Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas. Beta bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap oleh negara selama ini. Beta berharap kesejahteraan negara di bawah Gagasan 1Malaysia akan berterusan, di mana rakyat yang didorong oleh semangat kesatuan akan dapat menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

Tahun 2010 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Prestasi perbelanjaan ke atas projek-projek pembangunan yang telah dilaksanakan mencapai 96.2 peratus daripada peruntukan berjumlah RM230 bilion. Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan, pihak swasta dan rakyat yang bersama-sama menjayakannya. Semoga Rancangan Malaysia Kesepuluh yang mula dilaksanakan pada tahun ini dapat terus meningkatkan kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah, ekonomi Malaysia kembali kukuh dengan mencatat pertumbuhan pesat pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010, berbanding penguncupan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan tinggi ini dicapai berikutan permintaan domestik yang mantap dan disokong oleh prestasi eksport yang menggalakkan. Pemulihan ekonomi yang pantas ini juga hasil daripada dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan. Tanda-tanda pengukuhan ekonomi negara juga boleh dilihat melalui peningkatan keyakinan pelabur sehingga Indeks Bursa Malaysia telah mencatatkan paras tertinggi melebihi 1,570 mata pada awal tahun ini. 

Pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan pula telah meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2010 berbanding RM22.1 bilion yang dicatat pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus. Pelaburan asing terbesar adalah daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura dan Jerman. Pada tahun ini, pertumbuhan ekonomi negara disasarkan antara 5 hingga 6 peratus yang akan dipacu oleh sektor swasta serta eksport yang menggalakkan. Perbelanjaan awam pula dianggarkan meningkat dengan kadar lebih perlahan sejajar dengan matlamat pengurusan fiskal yang berhemat. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, faktor-faktor luaran seperti ekonomi global yang masih tidak menentu akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini merupakan satu cabaran dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengalu-alukan keterbukaan Kerajaan yang mengakui bahawa di sebalik kejayaan ekonomi yang dinikmati selama ini, dikhuatiri kita akan terus terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana sekiranya tiada tindakan konkrit diambil untuk keluar dari situasi tersebut. Dalam hal ini, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan transformasi berlandaskan 4 tonggak utama, iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara, atau NKRA dan Program Transformasi Ekonomi berteraskan Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas. Program Transformasi Kerajaan dan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan merupakan langkah yang berpandangan jauh dan berani demi membawa Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebanyak 12 Bidang Ekonomi Utama Negara, atau NKEA telah dikenal pasti dapat menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion, dengan 92peratus oleh sektor swasta. Pelaksanaan NKEA akan memberi kesan yang menyeluruh kepada rakyat melalui pewujudan lebih kurang 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ini akan memberi lebih banyak pilihan bagi mereka yang mencari pekerjaan serta membolehkan peralihan kepada pekerjaan berpendapatan lebih tinggi. Justeru, rakyat juga akan berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Malaysia komited untuk mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000, atau RM50,000. Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dengan purata sekurang-kurangnya 6 peratus setiap tahun, yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta peningkatan eksport. Usaha-usaha juga akan terus dipertingkatkan bagi menjadikan Malaysia mempunyai ciri-ciri sebagai peneraju pasaran dan amalan tadbir urus cemerlang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Perdagangan luar terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2010 jumlahnya telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding RM988.2 bilion pada tahun 2009. Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara ASEAN, rakan dagang tradisional dan yang sedang berkembang pesat di Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan. Beta mengucapkan tahniah di atas kejayaan Malaysia berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010. Industri dalam negara terutama industri kecil dan sederhana akan terus dimantapkan. Di samping itu, industri berkaitan teknologi hijau juga akan diberi galakan, mengambil kira potensinya selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara untuk mewujudkan ekonomi lestari pada masa hadapan. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai minda kelas pertama serta mampu bersaing di peringkat global amat penting untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta vokasional akan terus diperkasakan. Di peringkat pengajian tinggi pula, penekanan akan diberi kepada program kerjasama universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Beta menyeru supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi. Dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengambil kira keperluan pasaran dan kehendak negara, program-program latihan teknikal dan vokasional kepada golongan lepasan sekolah, belia dan pekerja sedia ada akan dipertingkatkan. Penubuhan Talent Corporation adalah satu usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan yang berkepakaran tinggi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sains, teknologi dan inovasi amat penting dalam memacu pembangunan negara terutama bagi menjana pengetahuan, mencipta kekayaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Usaha-usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menjana pendapatan negara akan terus diberi tumpuan. Beta berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif akan dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti-aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia. Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal dengan menduduki tangga ke-9 dalam senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009. Usaha-usaha inovatif akan terus dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta memperluaskan pasaran di negara-negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi tinggi. Pelancongan berkaitan alam semula jadi serta keunikan masyarakat majmuk negara ini akan juga diberi penekanan.

Sektor pertanian masih penting dari segi penjanaan pendapatan dan menjamin bekalan makanan. Sehubungan itu, Dasar Agro-Makanan 2011 hingga 2020 telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar. Dalam usaha untuk bergerak ke arah negara maju, penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan akan terus dilaksanakan. Ini termasuk kemudahan pengangkutan darat, laut dan udara serta teknologi maklumat dan komunikasi bagi memberi kemudahan kepada rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan. Sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap, cepat dan berkesan sangat penting untuk kemajuan negara. Justeru, pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan termasuk mempelbagaikan saluran penyampaian akan terus dilaksanakan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Beta prihatin bahawa status negara maju tidak bermakna jika rakyat tidak menikmati kehidupan berkualiti. Sehubungan ini, Kerajaan telah menetapkan dan sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, memperkasa prasarana luar bandar, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam bandar bagi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat negara ini sentiasa bertambah baik. Sebagai satu kelangsungan untuk menyediakan masyarakat yang mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan, generasi baru perlu dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sahsiah bermula sejak di awal usia lagi. Akses kepada pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun dan Program PERMATA Negara akan diperluaskan. Pada masa yang sama, kecemerlangan murid akan terus dipertingkatkan melalui pengiktirafan lebih banyak sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Walaupun Indeks Keamanan Dunia 2010 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terbaik di Asia dan ke-22 di dunia, namun Kerajaan Beta tidak akan leka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Beta mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi bagi memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana harmoni, selamat dan tanpa kacau bilau atau persengketaan. Kesungguhan Polis Diraja Malaysia memerangi kegiatan jenayah termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru harus dipuji. Penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Beta juga mengalu-alukan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama. Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara. Peranan Angkatan Tentera Malaysia pada masa ini adalah lebih daripada mempertahankan negara, malah turut membantu mangsa banjir dan membangunkan prasarana luar bandar khususnya melalui Program Jiwa Murni. Pemilihan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu membangunkan keupayaan di Afghanistan, merupakan suatu pengiktirafan ke atas profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat.

Justeru, Kerajaan akan terus mempertingkatkan program untuk menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyertai Angkatan Tentera Malaysia. Selain itu, Program Latihan Khidmat Negara yang dapat meningkatkan semangat patriotik dan kesatuan dalam kalangan pelatih pelbagai kaum juga akan diperkukuhkan. Kerajaan amat komited dalam memerangi rasuah. Ia dilaksanakan bukan sekadar untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, tetapi atas kesedaran bahawa rasuah akan merosakkan negara dan bangsanya. Hanya dengan kerjasama semua pihak, jenayah rasuah boleh dihapuskan. Berilah sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan

Kesejahteraan penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak pernah diabaikan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan seperti jalan luar bandar, infrastruktur awam, bekalan air bersih dan elektrik serta telefon kepada penduduk-penduduk luar bandar akan terus dipertingkatkan. Pada tahun 2010, hampir 800 kilometer jalan baru dan naik taraf, 16,900 unit rumah untuk keluarga miskin dan miskin tegar, bekalan air bersih kepada 35,000 buah rumah dan bekalan elektrik kepada 27,000 buah rumah telah dilaksanakan di seluruh negara. Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan pada tahun 2010. Daripada jumlah lebih 44,000 ketua isi rumah miskin tegar yang dikenal pasti pada awal tahun, ia telah berjaya dikurangkan kepada sekitar 100 pada akhir tahun. 

Bagi memastikan golongan ini tidak kembali menjadi miskin tegar, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program antaranya 1AZAM dan pendekatan pembangunan inklusif. Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar pula telah digubal bagi menggembleng sumber dan tenaga semua pihak agar program-program pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh. Aspek seperti latihan dan pendidikan modal insan, peningkatan ekonomi, infrastruktur, perancangan fizikal, peningkatan kualiti hidup dan pengurusan sumber alam akan diberi tumpuan. Bagi peneroka FELDA pula, walaupun pendapatan mereka telah meningkat dengan kenaikan harga komoditi, namun usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup golongan berkenaan. Pada tahun ini FELDA memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Menyedari potensi kaum wanita dalam pelbagai bidang, golongan ini akan diperkasakan terutama dalam sektor ekonomi melalui latihan keusahawanan dan bantuan modal perniagaan. Setakat ini sasaran melahirkan seramai 1,000 orang usahawan wanita setiap tahun telah berjaya dicapai. Bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai sektor pekerjaan dan 30 peratus menduduki peringkat pembuat keputusan, penggubalan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 dan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan program gender dalam sektor awam sangat dialu-alukan.

Bagi kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan, penjualan lebih 44,000 unit rumah kos rendah kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penyewa sedia ada dan setinggan di Kuala Lumpur, pembinaan lebih 63,000 unit rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa pada kadar yang berpatutan adalah antara bukti komitmen Kerajaan untuk meringankan beban golongan berkenaan. Dalam tempoh RMK-10, lebih 38,000 unit rumah di bawah program yang sama akan dibina untuk disewa dan dijual kepada mereka yang memerlukannya. Kerajaan akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempertingkatkan kemudahan awam, memulihara dan mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dan tempat riadah serta interaksi sosial termasuk untuk golongan orang kurang upaya. Semua pihak hendaklah turut sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar termasuk mengamalkan kitar semula.

Beta mengalu-alukan rancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya metropolis terbaik dan selamat dengan mempunyai kemudahan bermutu tinggi, sungai-sungai yang bersih dan landskap yang menarik menjelang tahun 2020 melalui inisiatif Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Bagi meningkatkan kualiti hidup dan alam sekitar, kemudahan pengangkutan awam akan terus ditambah baik. Di Lembah Klang, Kerajaan menyasarkan 25 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang tahun 2012. Oleh itu, pelbagai langkah telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Juga akan dilaksanakan ialah pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi, atau MRT Sungai Buloh - Kajang melalui Kuala Lumpur sepanjang 60 kilometer. Projek ini apabila siap kelak dapat meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 50 peratus menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama sistem pengangkutan awam antara bandar juga akan ditambah baik.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, Beta mengalu-alukan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia ke kawasan-kawasan terpencil, yang memberi perkhidmatan meliputi rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan penyediaan cermin mata percuma. Pada masa sama, rakyat hendaklah turut memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan. Misalnya, demam denggi boleh dicegah dengan meningkatkan kebersihan persekitaran. Penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik pula boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan belia terbukti melalui dasar dan program-program yang mencakupi pendidikan, latihan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, sukan, sosial, kebudayaan dan sebagainya bagi mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Tiada negara terkecuali daripada menerima kesan perubahan iklim dan pemanasan global termasuk Malaysia, sehingga baru-baru ini negara mengalami dua kejadian banjir kesan daripada monsun timur laut dan fenomena La Nina. Walaupun banjir yang melanda negara kita telah menyebabkan kesukaran kepada rakyat, namun ia dapat dikurangkan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan oleh beberapa agensi serta atas tahap kesiapsiagaan Kerajaan dalam menghadapi bencana alam yang sukar diramal. Demi mengurangkan kesusahan rakyat, sistem amaran awal bencana yang lebih bersepadu merangkumi sistem ramalan cuaca dan iklim serta sistem amaran awal banjir akan diperkukuhkan agar lebih berkesan.

Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak 4 peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak 1 hingga 2 peratus. Ia adalah krisis makanan global. Sebagai negara pengimpot makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan Kerajaan. Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak. Namun, Kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat, di mana Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperolehi barang keperluan asasi seharian pada harga yang berpatutan.

Beta memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari-hari perayaan agama yang mempunyai penganut teramai dijadikan sebagai hari cuti umum. Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini.

Badan-badan bukan Kerajaan diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam pembangunan masyarakat sivil. Di negara ini, badan-badan bukan Kerajaan telah membantu Kerajaan dalam pelbagai bidang. Beta berharap dalam melaksanakan program-program dan aktiviti masing-masing, badan bukan Kerajaan hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara. Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memberi sumbangan untuk mencapai keamanan sejagat. Beta sukacita dengan sambutan yang menggalakkan daripada negara-negara utama dunia terhadap pendekatan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan yang telah diketengahkan oleh Mamanda Perdana Menteri. Ini merupakan antara sumbangan Malaysia untuk mencapai keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan pembangunan sejagat. Hubungan erat dan harmoni terutamanya dengan negara-negara ASEAN akan diberi penekanan berdasarkan Piagam ASEAN ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Berbanding dengan negara-negara tertentu, ketenteraman dan keharmonian di negara ini adalah nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Komitmen Kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melampaui sempadan negara terserlah melalui usaha membawa pulang pelajar-pelajar yang terhimpit dalam pergolakan politik di Mesir melalui Ops Piramid bulan lalu. Sehubungan ini, Beta merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut serta kepada negara-negara sahabat terutamanya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu mempermudahkan Ops Piramid. Beta mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2010 seperti di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki. Beta bersama rakyat amat berharap di Sukan Olimpik 2012, London kelak akan ada atlet memenangi emas pertama untuk Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara. Jadilah warga yang bijak, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah. Untuk ke sekian kalinya Beta mengingatkan bahawa tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini sentiasa diperhatikan dan menjadi teladan kepada masyarakat. Justeru, pamerkanlah tingkah laku yang terpuji, berbahaslah dengan tertib, sumbangkanlah pemikiran yang bernas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dan utamakanlah kepentingan rakyat.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

HUBUNGAN DUA HALA : MALAYSIA - AUSTRALIA PERKUKUH HUBUNGAN


MALAYSIA-Australia melangkah setapak ke hadapan memperbaharui hubungan sedia ada bagi menjadi rakan strategik yang akan memberi faedah yang lebih besar kepada kedua-dua negara pada masa depan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya Julia Gillard senada menyuarakan komitmen bersama untuk memerangi keganasan, jenayah antarabangsa yang membabitkan kedua-dua negara dan membanteras penyeludupan manusia bagi menjadikan rantau ini aman dan selamat. Kedua-dua negara juga berazam tidak mahu menoleh ke belakang dalam meneruskan hubungan mereka yang sebelum ini diselubungi turun naik, sebaliknya komited mahu maju ke hadapan meneroka peluang-peluang baru bagi menjadikan rantau ini pusat pertumbuhan ekonomi baru global. Malaysia-Australia juga komited untuk menjadikan rantau Asia Timur, ASEAN dan Asia Pasifik rantau yang dinamik untuk membawa pelaburan baru yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, semasa lawatan rasmi tiga harinya ke Australia baru-baru ini, lawatan pertamanya ke negara itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib tidak melepaskan peluang untuk bertemu pelabur-pelabur Australia bagi mempelawa mereka melabur di Malaysia. Ini kerana Malaysia melihat Australia sebagai rakan strategik yang penting daripada segi ekonomi, perdagangan, pelaburan serta pendidikan selain pelancongan, sukan dan hubungan penduduk dengan penduduk, yang boleh membantu menyumbang ke arah menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi dan wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Malaysia dan Australia mempunyai hubungan sejarah yang panjang sejak era Perang Dunia Kedua dan semasa era menentang komunis di Malaysia. Kedua-dua negara mahu hubungan itu diterjemahkan dan diisi dengan program-program pembangunan dan pelaburan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Malaysia memerlukan modal insan bagi mengisi program pembangunannya serta menjayakan Pelan Transformasi Ekonominya untuk menjadi negara maju dan Australia boleh menjadi rakan strategik membantu menjayakan usaha itu. Hubungan yang rapat dalam bidang pendidikan yang telah terjalin begitu lama dan dalam bidang sukan yang baru diterokai boleh diperluaskan kepada bidang-bidang baru dengan meneroka potensi dalam bidang pelancongan, serta meningkatkan lagi hubungan dua hala ekonomi, pelaburan dan perdagangan. Malaysia tidak mahu lagi melihat Australia sebagai musuh sebaliknya sebagai rakan strategi yang dapat menyumbang menjayakan misi Malaysia untuk menjadi negara maju dengan meningkatkan hubungan dua hala sedia ada kepada hubungan yang strategik. Sehubungan itu, lawatan Najib ke Australia baru-baru ini dilihat berjaya menukar haluan hubungan antara kedua-dua negara setelah, Gillard memulakan langkah membuka ruang dengan melakukan lawatan ke Malaysia pada Oktober lalu bagi mengukuhkan lagi persahabatan sedia ada.

UTUSAN MALAYSIA
8 MAC 2011

ISU SOSIAL : ISU PERKAUMAN BOLEH JEJAS KESTABILAN NEGARA

Perlembagaan wajar dijadikan paksi kekalkan perpaduan


Di dalam titah pembukaan penggal keempat Parlimen ke-12 semalam, Yang di-Pertuan Agong menyuarakan perhatian mengenai kecenderungan sesetengah pihak membincangkan isu sensitif seperti perkauman. Saya berasa pilu mengingatkan kebimbangan ketua negara mengenai kestabilan negara setelah banyak insiden perkauman berlaku di negara ini.  Secara peribadi saya mengambil titah Yang di-Pertuan Agong sebagai peringatan untuk diri sendiri dan saya catatkan perasaan dan fikiran di ruangan ini untuk dikongsi dengan pembaca. Seperti yang kita semua maklum titah ucapan seperti ini bukan perkara baru untuk masyarakat Malaysia. Sudah banyak kali peringatan dan titah sebegini kita dengar daripada ketua negara. Ini menunjukkan persoalan berkaitan perkauman adalah sesuatu yang amat dibimbangi baginda. Walaupun peringatan dan keprihatinan seumpama ini sering kita dengar, ada yang tidak mengambil perhatian dan ia seumpama mencurah air ke daun keladi – berlalu begitu saja tanpa sebarang kesan.

Ia memang mengecewakan apabila persoalan berkaitan perkauman sentiasa berkumandang atau ketika ia disusuli dengan perlakuan melampau. Adakalanya sebagai rakyat, pemerhati dan ahli akademik dalam bidang undang-undang Perlembagaan, saya berasa rimas dan bimbang. Rimas saya maksudkan sebagai perasaan yang tidak nyaman, tidak enak dan gelisah hati. Perasaan ini datang ke hati saya kerana isu perkauman sebenarnya amat berbahaya kepada negara. Ia seolah-olah mencabar kedudukan kaum yang terbabit.  Saya percaya, perasaan ini bukan saja menimpa saya seorang. Saya pasti semua warga negara yang bertanggungjawab akan berasa rimas seperti apa yang saya rasakan. Saya tidak nafikan bahawa kita tidak dapat mengelak membincangkan perkara berkaitan hubungan antara kaum kerana ia seumpama ‘makanan ruji’ kita. Ini kerana keadaan fabrik masyarakat kita adalah berdasarkan kaum. Itu sudah terang dan nyata.

Ada ketikanya kita perlu menyebut mengenai perkara berkaitan perkauman kerana ia akan menambahkan rasa kefahaman antara kaum. Tetapi perkembangan semasa (mungkin dalam dekad kebelakangan ini) pendekatan mengenai perkara berkaitan perkauman menyerlah lebih keburukan daripada kebaikan kepada hubungan dan integrasi kaum. Ini yang membuatkan saya berasa tidak enak dan tidak nyaman. Dalam banyak keadaan saya sentiasa berfikir dan menilai beberapa teori. Kenapa kita tidak boleh menerima dan menggunakan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai kayu pengukur? Kenapa kita tidak boleh berpaksikan kepada Perlembagaan? Adakah kita terfikir bahawa Perlembagaan telah merangka satu sistem yang baik untuk kita dukung dan menerimanya sebaik mungkin? Atau adakah (atas apa jua alasan) kita tidak dapat menerima seruan yang dibuat Perlembagaan?

Sekiranya kita tatap dan hayati peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kita dapati beberapa prinsip yang mengikat sistem dan cara hidup kita di negara ini. Kita mestilah menerima konsep ketinggian Perlembagaan sepenuhnya. Kita hormati prinsip yang ada.  Sebagai contoh, hak keistimewaan kaum Melayu tidak perlu dipersoalkan lagi. Kedudukannya terserlah di dalam Perlembagaan. Dalam tahun kebelakangan (terutama tahun lalu) kita menyaksikan banyak persoalan ditimbulkan mengenai isu ini. Sekiranya perkara ini dipersoalkan dengan cara provokasi dan menghentam, ia sudah pasti mengundang perasaan tidak puas hati orang Melayu. Melayu akan mula mempertahankan kedudukan mereka. Ini tindakan normal. Ketika melakukan tindakan itu, sudah tentu Melayu akan menimbulkan perkara berkaitan pengorbanan mereka kepada tanah air mereka. Melayu akan mempertahan kedudukan mereka menurut Perlembagaan.

Dalam keadaan ini ramai yang melihat Melayu menjadi juara perkauman. Melayu juga telah banyak dipersalahkan kerana mempertahankan kedudukannya di dalam Perlembagaan.  Amat benar, perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity), sangat perlu untuk kita amalkan dalam menjalani kehidupan di negara yang mempunyai fabrik masyarakat seperti Malaysia. Cadangan sesetengah pihak untuk memadamkan atau memansuhkan ruangan ‘kaum’ atau ‘bangsa’ dalam borang di jabatan kerajaan adalah antara perkara baru yang boleh menjurus kepada satu lagi perdebatan perkauman. Saya terfikir, kenapa cadangan sedemikian dibuat. Apa yang lahir di dalam pemikiran saya ialah, ini mungkin didorong perasaan kurang mempercayai prinsip perpaduan di dalam kepelbagaian. Ia kurang rasa hormat kepada prinsip nyata di dalam Perlembagaan. Ini tidak harus berlaku dalam masyarakat matang.

Identiti bangsa dalam borang ini perlu dilihat dengan kaca mata positif. Ada lebih kebaikan untuk mengenali bangsa setiap individu. Saya tidak fikir dengan meletakkan identiti bangsa akan menimbulkan prejudis. Saya fikir, masyarakat Malaysia seharusnya berfikiran lebih terbuka dan lebih matang dalam soal ini. Selama kita mengecapi kemerdekaan, kita boleh berbangga dengan pengiktirafan dunia mengenai perpaduan kaum di negara. Kita tidak mengamalkan asimilasi yang boleh melunturkan identiti bangsa atau kaum yang ada. Inilah yang membanggakan kita di mata dunia.  Walaupun kita tidak meleburkan batang besi dalam memastikan penyatuan atau perpaduan, kita ikat batang besi itu menggunakan ikatan yang kukuh supaya ia tidak terlerai. Maksudnya ialah sistem Perlembagaan dan pemerintahan negara tidak memaksa mana-mana kaum melunturkan atau meleburkan identiti mereka. Malah, semua kaum digalak mengekalkan atau menyerlah identiti masing-masing. Adakalanya kaum lain turut terpengaruh dengan identiti kaum lain dan ini membanggakan kita. Semoga tiada lagi insiden cabar-mencabar antara kaum di negara ini dan kita dapat hidup tanpa rasa rimas, kecewa dan bimbang.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BERITA HARIAN
8 MAC 2011