JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Mac 2011

ISU PENYAKIT : SIKAP MASYARAKAT PUNCA DEMAN DENGGI TERUS MENULAR

Oleh Liow Tiong Lai
BERITA HARIAN 
09 MAC 2011


Salah satu masalah kesihatan di Malaysia yang paling menghantui saya ialah denggi. Sungguhpun bilangan yang mati akibat denggi tidaklah setinggi penyakit kanser atau jantung, kadar peningkatan serta kesan buruknya amat membimbangkan. Di negara kita biasanya wabak denggi merebak secara besar-besaran sekali dalam empat tahun. Bagaimanapun trend ini telah bertukar – ia kini berlaku setiap tahun. Kalau hendak dikirakan, denggi sepatutnya jauh lebih mudah dikawal dan dicegah berbanding penyakit kronik yang membunuh. Pun begitu, kita masih belum berjaya mencegahnya. Kenapa? Denggi adalah satu penyakit zaman kita. Selepas Perang Dunia Kedua, penduduk Asia berhijrah beramai-ramai ke pekan dan kota di mana mereka mendirikan tempat tinggal dalam keadaan bersesak-sesak dengan ketiadaan sistem bekalan air bersih. Maka nyamuk Aedes aegypti pun mengekori mereka.

Ia menjumpai tempat cukup baik untuk membiak di mana perparitan tidak sempurna dengan air bertakung di merata-rata – sejak itu, keadaan ini kekal berada bersama kita.  Virus denggi melalui putarannya sendiri dari hutan di mana ia berasal, di mana pada mulanya ia cuma memberi kesan ke atas nyamuk lain, menjadi satu jenis (strain) baru yang menyerang manusia dan primat lain. Ini menunjukkan bahawa virus denggi dan vektornya, nyamuk, memiliki kemampuan luar biasa untuk hidup dan juga mampu menyesuaikan diri dengan baik kepada persekitaran yang membolehkannya membiak dengan subur. Persoalan yang tidak pernah lekang di kepala saya ialah, kenapakah kita masih tidak dapat menghapuskan Aedes, walaupun kita sebagai manusia mempunyai akal yang hebat berbanding serangga kecil tidak berakal yang dipanggil nyamuk itu? Kita tahu tanpa sebarang keraguan di mana nyamuk itu membiak, bagaimana hendak menghapuskannya, dan kita juga mempunyai segala-gala yang diperlukan untuk melakukannya.

Pun begitu, angkanya terus meningkat. Tahun lalu saja, 46,171 kes denggi dengan 134 kematian, lebih tinggi daripada 2009. Angka ini jauh melebihi rebakan terbesar yang pernah berlaku iaitu pada 1996 yang mana terdapat 14,255 kes dengan 32 kematian. Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Ke-3 (NHMS) pada 2006, kebanyakan orang lebih cenderung mengambil jalan mudah untuk menghapuskan nyamuk seperti menggunakan semburan. Kurang satu per tiga daripada mereka yang ditinjau, secara bersungguh-sungguh, mencari tempat nyamuk membiak di sekitar tempat tinggal mereka dan memusnahkannya. Kita tidak boleh menyalahkan faktor kejahilan. Denggi berkali-kali menjadi tajuk berita pada tahun lalu, manakala kempen kesedaran pula dipertingkatkan untuk mendidik orang ramai mengenai cara mencegahnya dan cara mengenali penyakit itu pada peringkat awal.

Kita juga tidak boleh menyalahkan faktor kebodohan. Kaedah menghapuskan denggi adalah perkara asas, mudah diterima akal dan tidak susah dilakukan. Kita sebenarnya tidak payah berfikir untuk melakukan apa yang betul bagi memerangi denggi. Akan tetapi, kita bukan makhluk yang rasional sepenuhnya. Kita didorong oleh perasaan, tabiat dan pengaruh. Satu sebab kenapa kaedah mencegah denggi begitu sukar untuk dilaksanakan ialah kerana kita tidak dapat melihat hasilnya dengan serta-merta. Sama jugalah dengan sebab kenapa kita terus merokok dan begitu payah mengamalkan pemakanan sihat, walaupun kita semua tahu apa yang baik dan apa yang betul untuk dilakukan. Apa pun, membersihkan kawasan tempat tinggal, membuang air bertakung dan memastikan tempat membiak sentiasa kering, masih senjata terbaik kita bagi memerangi nyamuk itu.

Walaupun meyakinkan orang ramai supaya melakukan semua ini secara berterusan adalah satu kerja yang tidak mudah, kita tidak boleh mengalah. Penubuhan kumpulan sukarela COMBI di kawasan perumahan di seluruh negara satu cara baru bagi mendapatkan lebih ramai penduduk terbabit dalam usaha mengubah tabiat orang ramai dalam menjaga kebersihan tempat tinggal. Saya gembira melihat sukarelawan daripada ratusan kumpulan COMBI di seluruh negara bekerja keras dan menunjukkan dedikasi dan komitmen terhadap apa yang mereka lakukan. Mereka mendorong penduduk serta keluarga di kawasan masing-masing untuk bersama-sama memusnahkan tempat nyamuk membiak seperti di taman permainan, parit dan tanah kosong serta tempat awam lain. Sukarelawan ini juga, tanpa tahu penat mendidik orang di sekeliling supaya jangan mengambil sikap tidak peduli terhadap tanda awal denggi dengan menekankan pentingnya mereka mendapatkan rawatan segera.

Tinjauan NHMS turut mendapati bahawa hanya sebilangan kecil tahu apa sebenarnya yang dikatakan tempat membiak di dalam dan di luar rumah mereka. Dapatan ini mustahak kerana ia membolehkan kita memberi tumpuan secara lebih khusus dalam usaha mendidik orang ramai memerangi denggi. Dalam pada itu, ‘perang’ terhadap serangga kecil itu terus menjadi lebih mencabar. Virus denggi dan nyamuk Aedes organisme licik yang tahu cara melawan usaha kita. Di sinilah perlunya difikirkan cara baru supaya kita sentiasa berada beberapa langkah di hadapan dalam perang kita terhadap nyamuk itu. Pelepasan cubaan nyamuk jantan genetik ke tempat awam adalah satu usaha baru yang mempunyai potensi besar untuk mendatangkan hasil. Saya memberi jaminan kepada pembaca bahawa Institut Penyelidikan Perubatan menjalankan cubaan itu dengan penuh hati-hati bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Terdapat banyak lagi kaedah baru yang boleh kita guna pakai bagi memerangi denggi. Modul pendidikan untuk sekolah akan dapat menanam tabiat mengawal denggi di kalangan kanak-kanak pada usia muda lagi manakala teknik yang lebih baik dan lebih cepat bagi mengenali penyakit akan memastikan pesakit dapat diberikan rawatan yang betul. Dalam perang yang mana kita berdepan dengan nyamuk yang membunuh, kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia 
(www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

Tiada ulasan: