Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Isu pendidikan seks di kalangan remaja dan kanak-kanak telah lama hangat diperkatakan ibu bapa dan pihak berwajib dalam usaha mengimbangkan pendedahan ilmu reproduktif dalam mengekang ancaman gejala sosial. Keseimbangan yang rapuh ini perlu diselia dengan baik bagi mengelak terlalu banyak maklumat didedahkan pada usia yang tidak bersesuaian sehingga boleh menyebabkan kejutan budaya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Kepelbagaian bangsa, budaya dan cara hidup terutamanya masyarakat bandar dan luar bandar juga perlu diambil kira bagi mengelak penerapan budaya 'hidup bebas' atau songsang sebagai sesuatu yang boleh diterima dalam komuniti di negara ini. Antara isu utama pendidikan seksual adalah usia yang sesuai untuk pendedahan formal memandangkan ada pihak mencadangkan modul serupa dimulakan seawal prasekolah sehingga ke peringkat universiti.
Memahami keperluan pemahaman dan pendedahan ilmu reproduktif di kalangan remaja, modul baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 17 Februari lalu. Bagi Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, modul baru itu bersesuaian dengan PLKN bagi mendidik golongan muda menghormati anggota badan mengikut nilai-nilai agama dan sosial di negara ini. "Kandungan dan pendekatan modul ini perlu sesuai dengan tahap pemikiran dan umur pelatih PLKN tetapi peringkat usia mereka biasanya sudah mempunyai pengetahuan sistem reproduktif yang jelas akan fungsinya. "Apa yang perlu kita tegaskan adalah perlunya rasa hormat kepada anggota badan manusia, termasuklah bahagian sulit diri sendiri atau orang lain," katanya. Jelasnya, menghormati itu bermakna anggota badan tidak boleh disalah guna dan tidak boleh menceroboh hak orang lain.
Bagi peringkat usia remaja, tarikan antara jantina berlainan adalah satu perkembangan sihat yang normal tetapi batas-batas jalinan hubungan antara jantina yang sama atau berlainan perlu dijelaskan. Dr. Haslee menyatakan pencerobohan hak anggota badan sendiri atau orang lain berlaku jika jalinan terbentuk atas dasar nafsu semata-mata dengan desakan dalaman yang kuat dan naluri yang membuak-buak. "Remaja perlu faham bahawa kasih sayang yang sebenar bukan dizahirkan dengan 'merosakkan' kekasih mereka. Jika hubungan mereka sudah sah sekalipun, tetap ada adab dalam pergaulan. "Jika mesej tentang rasa hormat terhadap anggota badan terutamanya bahagian sulit sendiri dan orang lain dapat disampaikan dengan jelas, golongan remaja kita mungkin dapat mengawal diri dengan lebih baik kelak," tegasnya. Perkataan seks itu kekal sesuatu yang tabu dalam kebanyakan kelompok masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu dan mereka yang beragama Islam.
Walaupun ada pihak menggambarkan persepsi terhadap perkataan itu sebagai satu sifat yang ketinggalan zaman, ia tetap menjadi antara dinding akhir mengekalkan cara 'ketimuran' yang penuh tatasusila dan sopan-santun. Namun, adab ketimuran juga perlu mempunyai pemahaman tentang budaya luar terutamanya di era globalisasi kini yang mendedahkan remaja kepada bermacam budaya songsang dari pelbagai sumber. Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi berkongsi pandangan berkata, pelaksanaan modul PKRS di PLKN kena pada tempat dan masanya. "Umur pelatih sekitar 18 tahun sebenarnya sudah dikira sebagai dewasa dan mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan mereka sendiri. "Asas modul PKRS ini adalah menyampaikan maklumat dan ia amat sesuai untuk golongan remaja yang datang dari pelbagai bentuk latar belakang, sama ada bandar atau kampung. "Sedikit sebanyak, mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar tentang kehidupan dan ini termasuklah pemahaman tentang isu seksual dan sosial," ujarnya.
Tambahnya, adalah lebih baik golongan remaja mendapatkan maklumat dan tunjuk ajar dari sumber serta pendidik yang sah berbanding internet yang belum tentu boleh dipercayai. "Mungkin mereka yang kurang pendedahan mengenai isu ini akan berasa gelisah sedikit menghadapi modul sedemikian tetapi dengan bimbingan yang baik, PKRS tidak akan memberi tekanan negatif kepada pelatih PLKN. "Pendidikan dan pemahaman ilmu hidup sebegini baik untuk mengelak bermacam kejadian yang tidak diingini. Seperti mana perkara tersurat dan tersirat (isu seksual) sudah jelas tetapi masih banyak perkara sebaliknya yang berlaku kini," tegasnya. Selain itu, Dr. Mohd. Ismail turut berpendapat modul tersebut dapat memberi manfaat kepada kumpulan remaja di luar melalui perkongsian ilmu bersama bekas pelatih PLKN. "Jika tahap pendidikan modul ini lebih tinggi, pelatih PLKN mungkin mampu berkongsi ilmu tersebut dengan rakan sebaya di luar. "Tetapi lain pula jika modul ini cuma untuk maklumat individu pelatih.
Bergantung kepada maklumat yang diberikan, sedikit sebanyak mereka dapat memberi tunjuk ajar kepada kumpulan remaja yang lebih muda kelak," katanya. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil sebelum ini menyatakan beliau percaya setiap pelatih akan memberi kesan berganda sebanyak lima kali ganda kerana mereka akan berkongsi apa yang dipelajari dengan sekurang-kurangnya lima individu lain. "Jika 500,000 peserta berjaya dilatih, 2.5 juta rakyat di luar akan turut mendapat tempias program tersebut," ujarnya. Oleh itu, setiap modul yang dilaksanakan perlu mengambil kira kesan berangkai pelatih di dalam masyarakat dengan tumpuan kepada sudut positif yang boleh dimanfaatkan. PKRS tidak boleh sekadar dilihat untuk pelatih PLKN sahaja malahan sebagai titik mula perkongsian ilmu reproduktif di kalangan golongan muda di seluruh negara. Dengan pelaksanaan yang baik, matlamat utama PKRS untuk membimbing tentang kemahiran hidup berkeluarga, menjalinkan hubungan positif antara gender serta menyalurkan maklumat yang tepat mengenai seks dapat dikembangkan bukan sahaja di PLKN malahan kepada remaja di seluruh negara.
UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan