22 Februari 2011

ISU SOSIAL : MENGINGATI IKON 1MALAYSIA


Pada tanggal 22 Februari 1992, Allahyarham Sudirman Haji Arshad menghembus nafas terakhir ketika berumur 38 tahun. Penghibur Nombor 1 Asia ini merupakan seorang ‘penghibur’ asli yang bukan sahaja boleh menyanyi, menari mahupun melukis, malahan mempunyai kelulusan jurusan undang-undang Universiti Malaya. Selepas 19 tahun, dunia seni masih belum mempunyai pengganti ‘penghibur’ seperti Sudirman. Walaupun ramai yang muncul dan hilang serta pada waktu yang sama tidak dinafikan industri seni sudah berkembang hebat tetapi ‘Sudirman tetap Sudirman’ walaupun Datuk Siti Nurhaliza turut memenangi Anugerah Penghibur selepas Sudirman. Barangkali masing-masing ada kekuatan dan keistimewaannya. Pembabitan Sudirman amat menarik. Tanpa adanya Akademi Fantasia mahupun Malaysian Idol, Bintang RTM menjadi perhitungan dan beliau menjadi Johan Bintang RTM 1976. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni, sebanyak 18 buah album dalam bahasa Malaysia dan dua dalam bahasa Inggeris telah dihasilkan. Mengapa Sudirman dilihat sebagai lagenda ikon 1Malaysia? 

Jika beliau boleh dinobat sebagai ikon 1Malaysia, barang kali akan ada kritikan yang menganggap mengapa pemerintah hari ini menekankan konsep 1Malaysia walhal ia sudah wujud untuk sekian lama. Kritikan ini sengaja mahu lupa atau buat-buat tidak faham bagaimana nilai-nilai kemasyarakatan majmuk semakin terhakis kebelakangan ini akibat politiking yang berterusan sepanjang masa sehingga konsep 1Malaysia perlu diperkenalkan agar kita mahu memahami peri pentingnya kehidupan berukun yang turut dipamer melalui industri seni, karya dan perfileman. Yang turut menimbulkan dilema adalah ketandusan penyanyi bukan Melayu yang boleh menyanyi lagu bahasa Malaysia hari ini selain Jaclyn Victor, sedangkan satu ketika dunia seni negara ini dipenuhi dengan nama seperti Alleycats, Memories, Flybait, Ben Nathan, Chris Vadham, Kenny, Remy dan Martin, Cenderawasih, Fredo, Francesca Peter, Elaine Kang, Manimala, Flora Santos, Maureen Santiago.

Penghibur ini ada visinya; ada matlamat dan hala tujunya. Beliau tahu bagaimana untuk mendeskripsikan budaya masyarakat Malaysia yang merangkumi kesemua kumpulan etnik. Sudirman dianggap seniman yang penuh aspirasi dan keistimewaan yang tiada tolok tandingnya. Nama Sudirman melekat di bibir masyarakat keseluruhan warga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, kaum, gender mahupun kepercayaan termasuk ibu penulis yang buta huruf. Keunikan ketara kerana memahami budaya dan gaya hidup masyarakat sehingga lagu-lagunya merangkumi lagu cinta-duka, patriotik, keagamaan, keamanan dan jiwa manusia untuk pelbagai lapisan stratifikasi masyarakat. Setiap kali berhari raya, lagu Sudirman wajib berkumandang seperti lagu Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf adalah nostalgia. Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun tidak lengkap tanpa lagu patriotik Tanggal 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita mahupun Warisan nyanyian beliau.

Lagu-lagu rakyat mahupun klasik turut diberi keutamaan. Lagu Anak Gembala, Basikal Tua, Apa Khabar Orang Kampung, Orang Muda, Pulang Dari Kilang, Punch Card, Aku Penganggur dan Chow Kit Road serta Cintai Malaysia, Kenali Malaysia tinggi nilai dan norma yang mahu dikongsi; padat dengan mesej yang mahu didekati. Malahan lagu Bapak yang ditujukan khas kepada Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Kul It! Yang liriknya menekankan soal keharmonian antara kaum tidak lekang dari ingatan. Lagu Merisik Khabar, Terasing, Milik Siapakah Gadis Ini, Antara Hujan dan Airmata, Di Hari Persandingan Itu, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Salam Terakhir masih boleh terpalit sentuhan ke atas jiwa peminat Sudir. Itulah Sudirman. Setiap konsert beliau memapar nilai ‘kemuafakatan’ dan ‘perkongsian’ masyarakat pelbagai etnik negara ini. Konsert Chow Kit Road terus menjadikan beliau ‘idola’ ramai remaja ketika itu.

Malahan setiap kali beliau hadir di kaca televisyen, bibit-bibit yang melucukan, mendukakan dan yang bersemangat kental menyebabkan penonton mahu terus menyaksikan persembahan penghibur ini. Beliau boleh dilabel sebagai satu-satunya penghibur yang boleh membuat persembahan meyakinkan dan mantap dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin dan Hindi – lagenda ikon 1Malaysia. Ketokohan seni dan keupayaan luar biasa Sudirman membolehkan beliau merangkul anugerah Penghibur Asia Nombor 1 pada tahun 1989 di Dewan Royal Albert, London dengan menggayakan aksi ala Charlie Chaplin yang menunjukkan nilai kepelbagaian kebolehan Sudirman. Kemampuan Sudirman untuk berlakon juga terserlah melalui filem Kami. Rakan sedarjah sekolah rendah penulis, Zulzambrin Zamanhuri di Sekolah Rendah Methodist, Tanjong Malim menjadi pelakon utama bersama Sudirman dalam filem ini; yang kini terus dikenali sebagai ‘Botol’ dari adegan dalam filem ini.

Sudirman juga seorang yang kreatif sehingga menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) yang mengeluarkan minuman tin berkorbonat SUDI yang kemudiannya dipanjangkan perniagaan beliau merangkumi Sudi Shoppe menjual barangan keluaran dirinya. Apa pun kehadiran manusia di dunia bersifat sementara. Ajal ditentukan oleh Tuhan; kita hanya mampu merancang. Selepas bergelut dengan nyawa selama hampir 7 bulan sejak Julai 1991; Sudirman pergi untuk selama-lamanya. Penulis ketika itu baru melangkah masuk ke Universiti Malaya. Yang masih dikesali adalah pada hari beliau kembali ke rahmatullah, penulis bersama beberapa rakan telah berangkat ke rumah kakak beliau di Jalan Taban, Bangsar yang berdekatan dengan Universiti Malaya. Malangnya, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Temerloh sebelum sempat kami sampai. Itu adalah suratan takdir. Walaupun meninggal dunia ketika berusia muda; nama Sudirman sudah terpahat dalam sejarah negara.

Hakikatnya, terlalu banyak bakti yang disumbang kepada negara oleh insan kerdil ini. Hari ini genaplah 19 tahun pemergian Sudir. Barangkali ada yang tidak tahu beliau sudah bergelar ‘Datuk’, kurniaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada tahun 2009 untuk mengiktiraf kedudukan beliau sebagai seorang penghibur yang sukar dicari ganti. Sepanjang riwayatnya, Sudirman sudah melalui pasang-surutnya dengan kehilangan ibu dalam usia muda diikuti dengan pemergian ayahnya apatah lagi kegagalan dalam rumahtangga dengan isteri yang dikenali sejak kecil lagi. Seorang yang perahsia duka dan hiba, beliau menjadi milik seluruh warga Malaysia sepanjang hayatnya. Kepada umat Islam, boleh sama-sama mengadakan majlis tahlil; membaca surah Yasin dan memanjangkan al-Fatihah supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang disayangi di sisi Tuhan; bagi yang lain, boleh mengatur kepercayaan masing-masing untuk menghormati dan menginsafi kehadiran seorang seniman agung; Sudirman Haji Arshad. Sudirman tiada dua.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Utusan Malaysia, 22 Februari 2011

ISU EKONOMI : KADAR INFLASI TERKAWAL

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
Utusan Malaysia, 22 Februari 2011


Malaysia  dijangka mengalami impak inflasi yang paling minimum berbanding negara-negara Asia lain seperti Hong Kong, China dan Indonesia! Di China sahaja dilaporkan kerajaan negara itu terpaksa menaikkan harga bahan api baru-baru ini iaitu kenaikan kali kedua dalam tempoh dua bulan. Di Malaysia, kerajaan masih mempertahankan harga bahan api bersubsidi. Mungkin kebanyakan kita akan menerima kenyataan ini secara sinis. Malah, tidak kurang juga yang melihatnya sebagai jawapan klise setiap kali kerajaan mahu mengumumkan sesuatu kenaikan harga barangan keperluan harian. Namun, percayakah kita bahawa hakikatnya harga makanan dunia boleh naik sehingga 40 peratus pada dekad akan datang? Ini bukan suatu cerita dongeng. Baru-baru ini, Food and Agriculture Organization (FAO) telah memberi indikasi bahawa senario tersebut akan berlaku jika pengeluaran makanan utama tidak meningkat untuk menampung permintaan penduduk dunia.

Antara faktor peningkatan harga komoditi makanan dunia adalah kerana populasi dunia dianggarkan meningkat sebanyak empat peratus. Malangnya kapasiti pengeluaran makanan hanya meningkat satu hingga dua peratus. Sebuah penerbitan, The Agricultural Outlook 2010-2019 menjangkakan, harga gandum boleh melonjak ke tahap antara 15 dan 40 peratus lebih tinggi daripada harga antara tahun 1997 dan 2006. Harga minyak sayuran dan susu pula menurut penerbitan yang sama, meningkat lebih daripada 40 peratus. Pada pertengahan tahun lalu, harga makanan dunia telah meningkat kepada 32 peratus disebabkan oleh kemarau di Rusia, Kazakhstan dan negara-negara Eropah selain banjir di India dan Australia. Peningkatan perdagangan global berkait rapat dengan permintaan pengguna. Dalam hubungan ini, peningkatan kos pengeluaran bermakna harga barangan yang dijual juga akan meningkat atau menjadi lebih mahal daripada biasa.

Permintaan terhadap bahan api etanol yang berasaskan sumber makanan seperti jagung dan tebu, turut telah mengurangkan bekalan bahan mentah beberapa negara pengeluar di dunia. Di Amerika Syarikat, kadar inflasi makanan meningkat sebanyak dua hingga tiga peratus tahun lalu berbanding 2008 manakala inflasi makanan di India meningkat sebanyak 14 peratus pada tahun 2010. Peningkatan terhadap permintaan makanan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, menyebabkan pengguna tiada pilihan lain kecuali membeli barangan ditawarkan dengan harga yang tinggi. Larangan eksport gandum oleh Rusia dan eksport bawang merah oleh India, masing-masing pada Ogos dan Disember 2010, juga mempengaruhi situasi ini. Menurut laporan pakar ekonomi Credit Suisse, inflasi harga makanan di rantau Asia kecuali Jepun, akan meningkat sehingga 15 peratus pada pertengahan tahun ini.

Jelas bahawa dunia semakin tenat dengan kadar inflasi yang tinggi. Malaysia juga tidak terkecuali. Ini terlihat melalui trend peningkatan daripada 1.3 peratus pada Januari kepada 2.2 peratus pada Disember 2010. Secara keseluruhan, inflasi negara bagi tempoh sama pada tahun lalu yang direkodkan ialah di paras 1.7 peratus. Tidak dinafikan, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia telah merekodkan peningkatan. Bagaimanapun, ia masih terkawal dan belum mencecah dua digit seperti yang berlaku di sesetengah negara lain. Menurut kajian, secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan satu pertiga daripada pendapatan mereka ke atas bahan makanan. Teori Engel's Law mengatakan bahawa apabila pendapatan meningkat, perbelanjaan ke atas makanan menurun. Ini bermakna, bagi kumpulan berpendapatan rendah, perbelanjaan mereka ke atas makanan adalah lebih besar berbanding kumpulan berpendapatan tinggi.

Menyedari hakikat ini, mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah bertindak membantu penduduk luar bandar. Langkah itu diambil untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan menikmati harga barangan keperluan pada harga kawalan. Maka, beberapa projek pengedaran barangan perlu, penyeragaman harga gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming telah dilaksanakan. Langkah kawalan harga barangan perlu ini penting kerana ia merupakan faktor penyumbang kepada pengekalan kadar inflasi yang sederhana. ''Ia telah dapat memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini. ''Kawalan harga telah memberikan impak minimum ke atas harga barang-barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di pasaran dunia semakin meningkat," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 347 kawasan luar bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah terbabit dalam projek pengedaran barangan perlu. Sementara itu, 201 kawasan untuk projek penyeragaman harga LPG serta 298 kawasan lagi bagi program Community Drumming. Pelaksanaan program tersebut juga secara tidak langsung membantu penduduk meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan menggalakkan pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan yang terlibat. Usaha menanggung kos pengangkutan barangan keperluan ke kawasan luar bandar ini adalah bagi menjamin barangan dijual dengan harga lebih murah. Contohnya, harga LPG di Bario, Sarawak dijual RM110 setong tetapi selepas pelaksanaan projek, harga LPG dijual pada harga RM25.90 setong. Gula yang sebelum ini dijual pada RM4 sekilogram kini dijual pada RM2.15 sekilogram. Beras sebelum ini berharga RM43 persepuluh kilogram kini diperoleh pada harga RM18 persepuluh kilogram.

Tepung gandum yang berharga RM4 sekilogram pula dijual hanya RM1.45 sekilogram manakala minyak masak yang sebelum ini berharga RM6 sekilogram dapat dibeli pada harga RM2.75 sekilogram. Petrol yang sebelum ini berharga RM5 seliter kini dijual pada harga RM1.85 seliter. Kesannya, seramai 1,985 penduduk di Bario mendapat penjimatan keseluruhan sebanyak RM749,008 sebulan atau RM8,988,090 setahun. Begitu juga yang berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman lain. Negara tidak dapat lari daripada menerima kesan global kerana rantaian ekonomi dunia. Tanpa kesedaran, rakyat tentu akan lebih menderita akibat terpaksa menanggung segala beban keperluan hidup yang tidak pernah terhenti.

SIRI MOTIVASI : KEJAYAANNYA JADI PEMBAKAR SEMANGAT CALON STPM 2011

Anak tukang sapu memperoleh 5A


PASIR MAS 21 Feb. - Sedih melihat ibunya yang terpaksa bekerja sebagai tukang sapu di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, telah mendorong Attarmizi Ramli, 19, mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam STPM 2010 yang diumumkan pada 21 Februari 2011. Kejayaan itu membolehkannya muncul pelajar tunggal di negeri ini mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut. Menurut anak keempat dari tujuh beradik itu, dia sungguh terharu apabila saban hari melihat ibunya, Nor Aizan Mohd. Nor, 46, 'mengusung' penyapu membersihkan kawasan sekolahnya yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya di Kampung Kelar Tok Pukang dekat sini.

Jelasnya, ibunya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah berkenaan sejak 2003 lagi dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan untuk menambah pendapatan keluarga bagi membolehkan dia dan tiga lagi adiknya berusia antara 17 hingga 12 tahun bersekolah. "Saya sungguh terharu kerana ibu sanggup bekerja untuk menyenangkan kami bersekolah dan semangat ibu itu amat dihargai," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Attarmizi, kejayaan cemerlang tersebut merupakan hadiah istimewa untuk ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, seorang peniaga yang turut mengerah kudrat mencari rezeki bagi mereka sekeluarga.

Jelasnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh kejayaan dua abangnya yang kini bertugas sebagai guru dan kakak, seorang jururawat. Mengenai kaedah pembelajaran yang diamalkannya selama ini, Attarmizi yang tinggal di asrama memberitahu, dia sering mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan sejak awal tahun bersama 15 lagi rakannya. Jelasnya, dia bertindak sebagai 'seorang guru' kepada kepada rakan-rakannya itu semasa proses mengulang kaji mata pelajaran Geografi, Sejarah, Pengajian Am, Sastera dan Bahasa Malaysia. "Kebiasaannya kami membaca antara pukul 9 hingga 11 malam, seterusnya menyertai perbincangan 'berguru' sehingga 2 pagi," katanya. Attarmizi berkata, berkat usaha yang mereka lakukan itu turut menyaksikan 10 daripada rakannya itu memperoleh sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan tersebut.

Katanya, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang tersebut kerana hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu. Jelasnya, walaupun ada menerima tawaran ke matrikulasi ketika itu, tetapi dia telah membulatkan tekad untuk menjadi seorang guru dan mahu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam seterusnya memasuki pusat pengajian tinggi. "Harapan saya sekarang adalah untuk memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan," katanya.

TAHNIAH ATTARMIZI

20 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : IKHTIBAR KEBANGKITAN RAKYAT MESIR


Selepas  berakhirnya kepemimpinan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak, masa depan Mesir sebenarnya masih kabur dan keadaan belum reda sepenuhnya. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan diadakan di seluruh Mesir meskipun tentera sebelum mengambil alih pentadbiran buat sementara waktu sehingga pilihan raya September depan.  Apa pun, sebelum ini tumbangnya Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali ibarat sepotong api dicampakkan ke dalam sekam gandum bernama Mesir yang menyimpan api dalam diam. Kekecewaan dan kemarahan rakyat Mesir boleh dianalogikan sebagai ‘api dalam sekam’ yang menjalar di kalangan masyarakat bawahan dan generasi muda serta tidak dapat dihidu oleh kerajaan pimpinan Mubarak. Ia timbul kesan daripada kemiskinan dan kenaikan harga barang yang memburukkan lagi jurang perbezaan antara kelas, rasuah dan kekayaan peribadi yang berlegar di kalangan golongan atasan dan pengangguran di kalangan generasi muda.

Dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International 2010, Mesir berada pada tangga ke-98, manakala kadar celik huruf pula rendah, iaitu 66 peratus menjadikannya sebagai negara terendah di Asia Barat selepas Yaman. Umur purata rakyat Mesir ialah 25 tahun tetapi pengangguran adalah masalah utama belia kerana kira-kira 43 peratus daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan. Kemelut politik, sosial dan ekonomi inilah kemudian meletuskan kemarahan rakyat Mesir sehingga mereka tidak lagi dapat membendungnya daripada melimpah ke Dataran Tahrir, Kaherah pada 25 Januari lalu. Puluhan ribu rakyat Mesir yang rata-ratanya generasi muda, menunjuk perasaan bermatlamat bagi mendesak Mubarak meletak jawatan yang membawa kepada Yaumul Ghadhab atau Hari Kemarahan pada Jumaat, iaitu 28 Januari.  Penunjuk perasaan bukan saja terpaksa berdepan dengan tindakan polis untuk menyuraikan mereka dengan peluru getah dan pancutan air, bahkan menghadapi kelompok pro-Mubarak sehingga tercetusnya pertempuran.

Pada 4 Februari pula, penunjuk perasaan mengadakan Yaum ar-Rahil atau Hari Pengunduran selepas mereka membina khemah dan mewujudkan sekatan di Dataran Tahrir tetapi Mubarak tetap berdegil dan enggan melepaskan jawatan. Tunjuk perasaan bukan hanya terhad di sekitar Dataran Tahrir, bahkan merebak di bandar lain seperti Iskandariah, Mansurah dan Suez. Kerajaan Mesir pada awalnya menganggap kebangkitan rakyat dapat dipadamkan dengan menggunakan instrumen dan modus operandi sedia ada termasuk menyekat capaian internet dengan harapan memutuskan hubungan penunjuk perasaan dengan masyarakat dan dunia luar. Hal ini diakui pengeksport papyrus yang beribu pejabat di Tahrir, Omar Hashim, yang berkata kerajaan memandang rendah keupayaan gerakan pemuda apabila menganggap ia mudah dipatahkan. “Bagaimanapun, penunjuk perasaan membuktikan iltizam mereka untuk tidak berganjak dari Dataran Tahrir sehingga tuntutan mereka ditunaikan.

Rakyat sendiri dapat saksikan Mubarak yang memberikan kenyataan pada malam sebelum Yaum ar-Rahil kedua apabila beliau tidak banyak memandang kamera, sekali gus menunjukkan tanda kekalahan,” katanya. Namun, peletakan jawatan Mubarak tidak berlaku sehinggalah jutaan rakyat Mesir turun ke Dataran Tahrir dan Istana Presiden di Kaherah, selain bandar utama di seluruh Mesir termasuk Iskandariah, Mansurah, Suez, Damanhur dan Ismailiyah. Pengumuman peletakan jawatan Mubarak itu dibuat oleh Timbalan Presiden, Omar Suleiman, mengelakkan keadaan tunjuk perasaan menjadi lebih buruk apabila rakyat Mesir seolah-olah mengambil sikap membujur lalu, melintang patah.  Peletakan jawatan Mubarak bererti kuasa diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata di bawah kepemimpinan Muhammad Hussein Tantawi. Sepanjang tunjuk perasaan, tentera mengawal keadaan tanpa mengambil tindakan yang terlalu memperlihatkan mereka berada di pihak mana.

Tidak hairanlah apabila berita peletakan jawatan itu disiarkan di televisyen, ada di kalangan tentera yang turut menyambutnya. Malah, tentera juga lebih mesra pasca kejatuhan Mubarak apabila orang ramai mengunjungi Dataran Tahrir untuk meraikan ‘Mesir Baru’, sekali gus mengambil peluang untuk bergambar dengan tentera termasuk berlatarbelakangkan kereta kebal dan kereta perisai. Tentera sebenarnya mempunyai kedudukan istimewa di sisi rakyat Mesir khususnya kejayaan mereka merampas kembali Semenanjung Sinai daripada Israel dalam Perang Oktober pada 1973. Bagaimanapun, kedudukan istimewa tentera dalam sejarah dan sosio-politik tempatan itu tidak bermakna orang ramai khususnya mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan, mudah menerima situasi tentera yang berkuasa penuh. Justeru, tidak hairanlah pemimpin muda di kalangan penunjuk perasaan membuat pertemuan dengan kepemimpinan tentera untuk menentukan sebahagian tuntutan berkaitan dengan revolusi.

Rakyat masih kabur dengan masa depan Mesir walaupun mereka mengharapkan keadaan lebih baik, maju dan pengagihan kekayaan yang seimbang. Pada masa sama, kejayaan ‘revolusi rakyat’ itu turut membuka pintu baru kepada masyarakat Mesir untuk mengadakan demonstrasi kecil-kecilan bagi mendesak kerajaan atau syarikat mendengar suara mereka serta memenuhi tuntutan yang dikeluarkan. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan itu diadakan di seluruh Mesir yang sebenarnya menambahkan kekaburan terhadap masa depan Mesir. Kini, rakyat Mesir kembali kepada kehidupan normal mereka tetapi berbekalkan semangat baru selepas menjatuhkan pemimpin yang memerintah tiga dekad dan semangat itu bergantung kepada komitmen dan istiqamah mereka untuk melakukan perubahan.

SUMBER : BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : RUMAH DAN KELAS MENENGAH


Di negara maju atau membangun, golongan kelas menengah menjadi penentu kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Biasanya, mereka adalah golongan majoriti. Sama ada mewakili apa kaum sekali pun, mereka adalah penentu kepada keputusan pilihan raya.  Selain kumpulan ini mempunyai pendirian dan pendapat politik dan sebahagiannya menjadi pemimpin pendapat, mereka juga boleh mempengaruhi pemikiran orang ramai. Boleh dikatakan sebahagian profesyen dalam sektor swasta dan kerajaan diwakili golongan ini yang kebanyakannya menetap di bandar utama. Mereka ada golongan yang cepat bertindak dalam setiap perkembangan politik atau ekonomi.Antara mereka adalah doktor, peguam, pensyarah dan guru. Sebahagian mereka juga adalah suami isteri. Mereka adalah golongan yang sensitif dengan suasana sekeliling. Di kebanyakan negara di dunia, golongan kaya hanya mewakili peratusan kecil bilangan penduduk.

Kekayaan mereka mungkin warisan keturunan, golongan bangsawan atau usahawan, selain golongan teknokrat. Golongan ini biasanya akan menyokong apa juga sistem yang boleh menjamin kesejahteraan hidup mereka dan keluarga, apatah lagi keselamatan harta dan kekayaan mereka. Golongan miskin pula kian lama kian berkurangan berikutan pembelaan dan pembangunan yang dibawa untuk mereka. Pengecualian mungkin di negara yang keadaan semula jadinya tidak subur atau sering ditimpa bencana. Bertambah maju sesebuah negara berikutan kemajuan sistem pendidikan, makin ramai rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan dan memasuki kumpulan pertengahan.  Kemiskinan kehidupan ayah dan ibu dibela oleh anak yang berjaya memasuki universiti dan kemudian mengubah corak pemikiran dan kehidupan keluarga. Di Malaysia, kerajaan mempunyai program berterusan untuk mengeluarkan mereka daripada paras kemiskinan.

Biasanya golongan miskin tahu membalas budi. Mereka akan menyokong kerajaan yang membantu mereka. Bagaimanapun, golongan ini terdedah kepada eksploitasi politik khasnya daripada kumpulan antikerajaan. Mereka bertindak kononnya memperjuangkan nasib orang miskin dan mendedahkan isu kemiskinan untuk mendapatkan sokongan golongan ini. Mereka juga memperalatkan golongan ini untuk meraih simpati pelajar dan masyarakat serta golongan pertengahan supaya menolak kerajaan yang kononnya tidak peka terhadap isu kemiskinan. Di Malaysia, kemiskinan tidak boleh lagi dijadikan isu politik kerana selain bilangannya kian mengecil, kerajaan mempunyai pelbagai program menyediakan kemudahan infrastruktur hinggalah kepada skim perumahan khas untuk mereka.  Kerajaan hari ini menghadapi tuntutan golongan sederhana atau golongan kelas menengah pula.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menggembirakan golongan ini, parti pembangkang boleh melupakan apa saja niat mereka untuk mengurus negara ini. Hari ini pembangkang cuba mendekati golongan ini dengan membawa isu kenaikan harga barang kerana menyedari mereka adalah pengguna terbesar yang menerima kesan daripadanya kerana secara demografinya mereka adalah penduduk bandar dan makan gaji.  Mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan berasa kehidupan mereka terhimpit. Kesempatan ini digunakan untuk menghasut pemikiran mereka supaya menentang kerajaan. Perumahan akan menjadi isu utama kumpulan sederhana ini jika semakin ramai daripada mereka tidak memiliki rumah akibat harga yang kian meningkat.  Di Kuala Lumpur, untuk mencari rumah dalam lingkungan harga RM200,000 hampir sudah tiada. Oleh itu, cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan kuota rumah berharga RM200,000 seunit, adalah berita baik bagi golongan ini.

Cadangan yang mirip konsep program perumahan rakyat (PPR) yang dikhususkan untuk keluarga berpendapatan kurang RM2,500 sebulan itu dijangka dapat memenuhi keperluan keluarga berpendapatan sederhana di antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Di Amerika Syarikat, contohnya, tuntutan golongan kelas menengah ini adalah lebih besar. Bagi mereka untuk menjadi warta kelas menengah, mesti kuat bekerja untuk menampung keluarga dan mesti mempunyai kerja yang terjamin selain mampu memiliki rumah, menghantar anak ke sekolah kelas dunia serta memastikan mereka mendapat jaminan kesihatan bermutu dan memperoleh jaminan pencen.Golongan ini amat kritikal terhadap setiap peraturan yang dikenakan ke atas mereka, malah mereka mengambil tahu soal pasaran. Mereka memberi perhatian mengenai udara dan air bersih, keadilan di tempat kerja, produk yang selamat dan dilindungi keselamatan sosial dan memastikan mendapat rawatan kesihatan yang sempurna.

Pentadbiran Amerika Syarikat menambah dua lagi perlindungan – melindungi pesakit daripada amalan buruk syarikat insurans dan melindungi pengguna daripada produk kewangan berisiko.  Di Malaysia, rakyat tidak mengambil berat soal begini, malah mereka sering terjebak dengan amalan yang buruk. Kerajaan baru-baru ini melancarkan Dasar Perumahan Negara disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Matlamatnya adalah baik, iaitu untuk memastikan setiap keluarga memiliki rumah sendiri menjelang 2020. Jika keluarga berpendapatan pertengahan menikmati mutu hidup lebih baik, kerajaan BN tiada masalah untuk memenangi pilihan raya akan datang. Berdasarkan statistik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), permintaan semasa untuk rumah baru ialah antara 150,000 hingga 200,000 unit setahun. Jika sebahagian besarnya dapat menampung kumpulan berpendapatan sederhana, BN pasti sekali lagi mendapat mandat daripada rakyat.

SUMBER : BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : CABARAN BARU KEPIMPINAN SEKOLAH MELALUI KONSEP BAI'AH


Kualiti pengetua dan guru besar adalah penentu kepada program Tawaran Baru atau Bai'ah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 di Putrajaya baru-baru ini. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan cabaran baru kepada pengetua dan guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang. Konsep Bai'ah ini amat mudah. Sekiranya prestasi sekolah melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk kewangan. Jumlahnya amat menarik iaitu mereka layak menerima RM7,500 seorang. Sementara itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain diberikan RM900 seorang. Nama pengetua dan guru besar yang layak akan diumumkan pada pertengahan tahun ini. Inisiatif ini ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan di bawah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA).

Apa yang jelas, tawaran ini akan membuka satu lembaran baru kepada tanggungjawab pemimpin dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengetua dan guru besar bukan setakat menduduki kerusi teratas dalam hierarki organisasi sekolah, tetapi kualiti mereka akan menentukan sama ada sekolah yang mereka terajui berada di tahap cemerlang. Mereka tidak lagi dianggap sebagai pentadbir sekolah semata-mata tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu membangunkan sumber manusia. Guru dan pelajar menjadi aset utama yang perlu dibangunkan keupayaan dan kebolehan mereka ke tahap maksimum supaya dapat berkongsi membangunkan sekolah ke arah kecemerlangan. Pengetua dan guru besar yang berkesan akan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin instruksional dan pemimpin komuniti yang cekap. Faktor kejayaan sekolah bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan kokurikulum tetapi dinilai dari segi kejayaan sekolah membentuk pelajar yang holistik, serba boleh dan memiliki sahsiah terpuji.

Keupayaan mereka untuk mempengaruhi ibu bapa supaya turut terlibat dalam aktiviti sekolah merupakan satu bonus dan kualiti pemimpin yang diperlukan. Bai'ah ini mula diumumkan oleh Menteri Pelajaran semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei tahun lalu di Kuantan, Pahang. Selepas itu, ia menjadi topik utama perbincangan para pengetua dan guru besar dan ramai daripada mereka telah mengambil langkah awal bagi menyahut cabaran tersebut. Ini terbukti apabila penilaian dilakukan, didapati sebanyak 12.1 peratus sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang telah ditetapkan walaupun sasaran awalnya hanya dua peratus. Pencapaian yang membanggakan itu menunjukkan bahawa tiada sempadan atau halangan untuk meraih kejayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadikan sekolah mereka cemerlang sekiranya ada kemahuan dan diusahakan bersungguh-sungguh. Atau dengan kata lain, jika ada kemahuan di situ ada kejayaan.

Apa yang penting ialah pendekatan dan strategi dirancang dengan teliti dan dapatkan sokongan daripada semua warga sekolah untuk berkongsi matlamat yang telah ditetapkan. Apakah bentuk pengukuran untuk mendapatkan ganjaran tersebut? Setiap sekolah di seluruh negara akan dinilai melalui skor komposit iaitu 70 peratus melalui keputusan peperiksaan awam. Sementara 30 peratus lagi dinilai terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah, termasuk mengendali urusan kewangan. Selain itu, pencapaian pelajar turut dinilai melalui anugerah akademik dan pencapaian dalam kokurikulum. Ini termasuk 'outcome' yang mengambil kira dari segi kejayaan bekas pelajar sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut. Penilaian ini dibuat secara terperinci melalui kaedah Standard Kualiti Pendidikan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sekolah. Apa yang menariknya, Bai'ah ini memberi peluang kepada semua jenis dan lokasi sekolah untuk menyertainya.

Pencapaian yang disasarkan bukan khusus untuk sekolah yang sedia terkenal tetapi boleh disertai sekolah luar bandar dan pedalaman. Bagi sekolah-sekolah ini, penilaian akan mengambil kira tahap lonjakan peningkatan pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum. Disarankan bagi menjayakan program ini, pengetua dan guru besar mestilah berfikiran positif. Anggaplah Bai'ah ini sebagai usaha pihak kementerian untuk mengangkat kualiti dan kecemerlangan sekolah. Sesungguhnya, semua sekolah di negara ini telah disediakan dengan keperluan asas yang mencukupi seperti kemudahan infrastruktur, bilangan guru terlatih, staf sokongan, keperluan kewangan dan peralatan sekolah untuk kegunaan pengajaran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah supaya apa yang telah disediakan itu digembleng secara berkesan hingga ke tahap maksimum.

Sekolah adalah sama seperti organisasi lain yang perlu diurus dengan baik dan teratur. Dengan itu, pengetua dan guru besar hendaklah melengkapkan diri mereka dari aspek strategi pengurusan dan pentadbiran terkini. Ini boleh dilakukan dengan menghadiri kursus, latihan, lawatan sambil belajar, membanyakkan pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang berpengalaman. Membangunkan sumber manusia merupakan satu lagi cabaran kepada pihak pengurusan sekolah. Sebenarnya, guru-guru yang terlatih dan berpengalaman merupakan aset penting yang perlu digembleng sepenuhnya. Mereka boleh memberi sokongan kuat kepada visi dan misi sekolah sekiranya diberi peluang dan tenaga mereka diurus dengan baik. Pada masa ini, pendekatan pengurusan yang terlalu keras dan rigid sudah tidak sesuai lagi. Oleh itu, pendekatan yang mesra, terbuka, telus dan saling hormat menghormati di antara ketua dan pengikut perlu diamalkan dalam urusan seharian.

Satu lagi faktor penting untuk mencapai kejayaan ialah usaha meningkatkan kualiti guru. Peningkatan kualiti ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan budaya pemantauan dan pencerapan guru di dalam bilik darjah sebagai amalan harian. Dengan ini memudahkan bimbingan dan tunjuk ajar diberikan terutama kepada guru-guru baru. Bagi memantapkan kualiti guru, program berbentuk kursus dan latihan dalaman hendaklah sentiasa dianjurkan terutama untuk memperkenalkan kaedah pengajaran baru hasil ledakan maklumat dan kecanggihan ICT. Matlamat untuk mewujudkan sekolah cemerlang tidak akan tercapai jika tidak mendapat kerjasama pelajar. Justeru, visi dan misi sekolah perlu dikongsi bersama supaya semua pelajar dapat memahami dan mengamalkannya. Mereka hendaklah diberitahu bahawa usaha untuk menjadikan sekolah mereka cemerlang sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka juga.

Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kemahiran dan latar belakang yang ada pada mereka boleh digunakan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti. Sumbangan kewangan daripada ibu bapa merupakan sesuatu yang signifikan dan bermakna kepada sekolah. Sebenarnya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan jika sekolah mempunyai sumber kewangan yang besar. Semua ini dapat dilaksanakan sekiranya pengetua dan guru besar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi ibu bapa. Kesimpulannya, ganjaran dalam bentuk kewangan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru melalui Bai'ah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajaran melihat ada persaingan dalam kalangan pengetua dan guru besar untuk memajukan sekolah masing-masing.

OLEH : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran
SUMBER : BERITA HARIAN, 18 FEBRUARI 2011

ISU LUAR NEGARA : TEORI DOMINO MELANDA NEGARA ARAB


Setelah tumbangnya bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 Februari lepas persoalan timbul adakah teori domino yang diuar-uarkan sebelum ini akan berlaku? Sememangnya setelah pengunduran bekas Presiden Tunisia Zine El-Abidin, Hosni menjadi mangsa terbaru kesan kemarahan rakyat. Walaupun perasaan tidak puas hati ini telah bersarang sejak sekian lama namun akhirnya dengan bantuan teknologi maklumat yang menzahirkan penggunaan laman sosial seperti blog, facebook dan twitter. Dianggarkan purata kadar pengangguran di rantau Arab adalah 12 peratus antara 2005-2008 yang kebanyakannya melibatkan golongan belia yang mencecah 30 peratus. Kesan domino dikatakan mula merebak menyaksikan Mesir menjadi mangsa. Malah keadaan kini semakin tidak terkawal dan merebak ke beberapa negara di rantau tersebut. Antara negara yang mula terkesan termasuklah Algeria, Iran, Sudan, Bahrain, Libya dan Yemen.

Di Yemen, beribu-ribu penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdallah Saleh dibubarkan bertempur dengan penyokong kerajaan di Sanaa yang menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan. Pertempuran dilaporkan berlaku selepas sejumlah lelaki bersenjatakan pisau dan kayu memaksa kira-kira 300 penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi menuntut pembubaran kerajaan. Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi. Gerakan ini dilakukan oleh seorang aktivis Yemen Tawakul Karman yang berikrar akan menggerakkan satu revolusi yang diketuai oleh golongan muda. Beliau merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai, menyifatkan janji Ali Abdullah Saleh untuk melaksanakan pembaharuan sebagai menyapu 'abu di mata'.

Hasilnya kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan. Beliau yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding. Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat. Suasana serupa juga melanda Iran apabila beribu-ribu aktivis pembangkang berhimpun bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir dan Tunisia.

Sebuah laman web pembangkang memberitahu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam itu. Laman web tersebut, Kaleme melaporkan, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan beribu-ribu penyokong pembangkang yang berarak menuju ke sebuah dataran di sini. Sehingga kini lapan orang dilaporkan maut dalam tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa minggu. Beberapa siri pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku dan berpuluh-puluh lagi ditahan di bandar Isfahan. Laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dan dianggap mengenang kembali kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.

Di Bahrain pula beribu-ribu penunjuk perasaan dari golongan Syiah berkumpul di ibu negara Bahrain untuk meratapi kematian kedua rakan mereka dalam pertempuran bermula minggu ini. Beratus-ratus orang berkumpul di perarakan pengebumian Ali Abdulhadi Mushaima yang ditembak mati apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur. Mushaima terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes ‘Hari Kemarahan’ bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain. Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan. Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari golongan Sunah yang memerintah negara tersebut telah meminggirkan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.

Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menyandang jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting. Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur. Sheikh Khalifa, ayah saudara kepada Raja Hamad Isa al Khalifa telah mentadbir negara Teluk itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1971 dan dilihat lebih memberi perhatian untuk memastikan keluarga diraja terus berkuasa dalam menentukan ekonomi dan politik negara ini. Di Libya pula dilaporkan lebih 30 orang cedera dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan antirejim di bandar raya Benghazi selama beberapa hari. Insiden itu mendorong penyokong pemimpin veteran, Muammar Gaddafi melancarkan demonstrasi prokerajaan di beberapa bandar di negara ini. Protes itu dilancarkan oleh keluarga kepada 14 orang yang terbunuh dalam satu perhimpunan anjuran golongan berhaluan Islam di Benghazi pada 2006.

Mereka berkumpul di luar balai polis untuk menuntut pembebasan peguam mereka, Fethi Tarbel, lapor portal berita dalam talian, Al-Manara. Tarbel yang ditangkap atas sebab yang belum diketahui dibebaskan akibat tekanan daripada keluarga terbabit. Namun penunjuk perasaan bertambah ramai dan mereka mula melaungkan slogan antirejim seperti 'rakyat akan membanteras rasuah' dan 'darah mereka yang mati syahid tidak akan disia-siakan' sebelum polis bertindak menyuraikan mereka. Rejim Gaddafi yang memerintah Libya sejak empat dekad lalu berhadapan dengan seruan sekumpulan aktivis di Facebook supaya protes dilancarkan esok, selepas mereka mendapat semangat daripada penyingkiran pemimpin autoritarian di dua negara berjiran, Mesir dan Tunisia. Di bawah sepanduk 'Intifada 17 Februari: Hari Mogok di Libya', sekumpulan aktivis Facebook yang menggesa rakyat melancarkan pemberontakan mendapat lebih 5,000 pengikut menjelang semalam, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada hampir 8,000 anggota mempelawa rakyat Libya membanjiri jalan esok 'pada hari kemarahan terhadap rasuah dan nepotisme'.

Perkara sama juga berlaku di Algeria apabila kira-kira 2,000 rakyatnya berarak di Algiers bagi mendesak kerajaan Algeria digulingkan. Penunjuk perasaan turut bertindak ganas dengan merempuh sekatan polis hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan. Mereka mahukan rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup. Melihat kepada apa yang berlaku sememangnya rakyat di sana terlalu dahagakan perubahan dan pembaharuan.

OLEH : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011

ISU LUAR NEGARA : KAPAL SELAM DADAH DI COLOMBIA


Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya iaitu melalui kapal selam yang lebih besar. Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka. Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico. Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut.

Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam krew. Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah. Kapal selam ini yang dilengkapi enjin diesel dikatakan mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta). Ia ditemui berdasarkan maklumat risikan namun ia didapati kosong semasa ditemui. Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini. Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar.

Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain. Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa. Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam. Kebanyakan kapal selam ini dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah. Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik. Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara. Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS. Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah. Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

OLEH : HAFIZAHRIL HAMID
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011