07 Oktober 2010

SEKUMPULAN PAKAR TEMUI BAHASA BARU

Sepasukan pakar bahasa, semalam mengumumkan bahawa mereka telah menemui satu bahasa baru dan unik yang dipanggil Koro di timur laut India, dan memberi amaran bahasa itu kini terancam. Menurut para penyelidik yang menemui Koro semasa mengadakan ekspedisi projek National Geographic ‘Enduring Voices’, hanya kira-kira 800 orang dipercayai bertutur bahasa Tibet-Burma itu dan beberapa orang daripada mereka berusia bawah 20 tahun. Menurut mereka, bahasa tersebut tidak mempunyai bahasa tulisan. “Kami menemui sesuatu yang terancam dan sedang membawanya keluar,” kata Fellow National Geographic, Gregory Anderson, salah seorang ketua ekspedisi itu yang menemui bahasa Koro. “Jika kami menunggu selama 10 tahun untuk mengadakan ekspedisi ini, kami mungkin tidak dapat bertemu seramai orang seperti ini yang boleh bertutur dalam bahasa tersebut,” katanya.

Bahasa Koro agak berbeza dengan mana-mana bahasa Tibet-Burma dengan hanya kira-kira 150 orang daripadanya sahaja ditemui di India, agak mustahil untuk menemui mana-mana bahasa daripada rumpun yang sama yang ada kaitan rapat dengannya. Bahasa berkenaan ditemui dalam wilayah Arunachal Pradesh, satu kawasan terpencil dan bergunung-ganang yang memerlukan pelawat yang mahu ke sana perlu mendapatkan permit khas. Beberapa orang pakar bahasa yang pernah bekerja di Arunachal Pradesh tidak pernah mencatatkan mengenai bahasa yang dituturkan di sana. Ekspedisi National Geographic yang turut disertai ahli bahasa India, Ganezh Murmu dari Universiti Ranchi, sedang mengesan dua bahasa lain iaitu Aka dan Miji yang diketahui ditutur di sebuah daerah kecil di Arunachal Pradesh.

Mereka pergi dari rumah ke rumah yang diperbuat daripada buluh di perkampungan yang terletak di kawasan berbukit, pasukan penyelidik bercakap dengan penduduk dan merakamkan istilah-istilah yang mereka gunakan. Ketika mereka menjalankan tugas itu, mereka menemui bahasa ketiga, yang tidak didaftarkan dalam senarai bahasa standard antarabangsa mahupun dalam kajian bahasa India. Bahasa ketiga itu ialah bahasa Koro. Pakar bahasa membuat rakaman pertama bahasa Koro dengan mengabadikan beribu-ribu perkataan sepanjang ekspedisi itu yang dimulakan pada 2008. Bahasa itu mempunyai inventori bunyi yang berbeza dengan bahasa-bahasa lain di wilayah itu dan juga mempunyai susunan kata serta ayat yang tersendiri.

Walaupun keadaan geografi mereka sama, namun bunyi kedua-dua bahasa berkenaan berbeza, umpama perbezaan antara bunyi perkataan bahasa Inggeris dan Jepun,” kata seorang lagi fellow National Geographic, David Harrison, yang juga salah seorang ketua ekspedisi itu dalam bukunya The Last Speakers yang diterbitkan, baru-baru. Dengan penemuan bahasa Koro itu, bahasa yang dituturkan di dunia kini berjumlah 6,909 bahasa. Namun menurut ahli bahasa, separuh daripada bahasa tersebut diancam kepupusan ekoran perubahan budaya, sikap pemalu etnik, penindasan kerajaan dan faktor-faktor lain. Salah satu tujuan utama National Geographic melalui projek Enduring Voices ialah untuk mendokumenkan bahasa-bahasa yang diancam kepupusan. Pasukan berkenaan merancang untuk kembali ke India pada November ini untuk meneruskan kajian mengenai bahasa Koro. Satu kajian saintifik mengenai Koro akan disiarkan dalam jurnal Bahasa-bahasa India.





ISU BAHASA : HENTIKAN TINDAK-TANDUK KETEPIKAN BAHASA KEBANGSAAN


Setelah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dipinda beberapa kali, kita terus-terusan diyakinkan bahawa bahasa Melayu tidak akan di kesampingkan. Tetapi hakikatnya, hari demi hari kita dapat melihat keresahan rakyat terhadap sikap tidak peduli banyak pihak terhadap penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.  Bukan setahun dua atau sedekad lalu sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun sejak negara ini merdeka - didapati banyak keadaan bahasa kebangsaan 'dilayan' dengan cara tidak sepatutnya.  Sebagai langkah pertama membetulkan kesilapan itu, kita menyokong gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Perkara ini sepatutnya telah dilakukan oleh penguat kuasa PBT sejak hari pertama Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan dikuatkuasakan. Kita tak dapat nafikan sebagai mana kata Muhyiddin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Kita ingin melihat perubahan ketara diambil oleh PBT setelah peringatan ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri. Atau selepas berakhir Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini, sikap dan pendekatan PBT masih cara lama. Elok berulang kali diingatkan kepada PBT, untuk mengajak masyarakat menghormati bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan, maka kelemahan penguatkuasaan perlu diperbaiki segera.

Tempoh sikap bertolak ansur dan sekadar beri nasihat elok dihentikan. Inilah antara faktor yang mungkin menyebabkan masyarakat memandang ringan dan mengabaikan bahasa kebangsaan sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun lebih 53 tahun negara kita merdeka.  Kerajaan juga patut bertegas melarang penggunaan bahasa lain untuk nama di bangunan pejabat, pusat beli-belah, kondominium, taman perumahan dan kelab rekreasi selain bahasa Melayu.  Masih banyak perbendaharaan kata dalam bahasa kebangsaan yang belum digunakan dan 'manis' sebutannya. Kita cadangkan supaya dikawal dan bertindaklah lebih tegas dalam menangani isu papan tanda dan iklan yang berlesen dan tidak berlesen daripada terus mencemarkan bahasa kebangsaan di seluruh negara.


Ambillah tindakan berani dan bersepadu dengan menurunkan semua papan tanda dan iklan tersebut. Sakit mata kita apabila membaca papan tanda iklan yang membelakangkan bahasa kebangsaan. Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu kini beransur-ansur hilang status dan wibawanya di negara ini.  Oleh itu, tindak-tanduk mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai mana dijamin dalam Perlembagaan wajar dihentikan. Hakikatnya kedudukan bahasa Melayu juga tidak boleh disamakan dengan bahasa lain.

TAN SRI DR. ZULKARNAIN AWANG DILANTIK MENJADI PENGERUSI SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN (SPP) = TAHNIAH DATUK!!


Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selama tiga tahun, menggantikan Datuk Kusaini Hasbullah yang akan tamat perkhidmatan pada 28 Oktober ini. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan berkata, pelantikan Zulkurnain telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan mengikut Fasal 2 Perkara 141A Perlembagaan Persekutuan.  Sidek dalam kenyataannya berkata, kontrak perkhidmatan Zulkurnain sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran yang sepatutnya tamat pada 28 Disember depan telah dipendekkan kepada 28 Oktober ini bagi membolehkannya memegang jawatan Pengerusi SPP mulai 29 Oktober.

06 Oktober 2010

KATA KERJA TAK TRANSITIF


PENDEFINISIAN
1. Kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut.
2. Kata kerja ini tidak boleh dipasifkan.

JENIS-JENIS
1. Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap
2. Kata kerja tak transitif dengan pelengkap

KATA KERJA TAK TRANSITIF

1. Boleh berdiri sendiri
2. Tidak perlukan objek atau penyambut

CONTOH

1. Buah nangka itu sudah jatuh.
2. Akon menyanyi di dalam bilik air. (di dalam bilik air ialah keterangan)
3. Dia ketawa.

KATA KERJA TAK TRANSITIF DENGAN PELENGKAP

1. Memerlukan pelengkap untuk melengkapkan maksudnya.
2. Pelengkap berbeza dengan objek dalam kata kerja transitif.
3. Kata kerja dihadapan pelengkap tidak boleh dipasifkan.

CONTOH

1. Kesihatannya beransur baik.
2. Dia tinggal di Pekan Kapit.
3. Ricky Martin ingin menjadi guru.

KATA KERJA TRANSITIF


PENDEFINISIAN
Kata kerja yang memerlukan objek selepas kata kerja

JENIS-JENIS

Terbahagi kepada dua :

1. Kata kerja transitif aktif.
2. Kata kerja transitif pasif

KATA KERJA TRANSITIF AKTIF

1. Kata kerja yang menerima awalan meN
2. dengan atau tanpa akhiran -i dan -kan
3. Objek boleh digugurkan jika kata kerja berfungsi sebagai kata adjektif

Contoh
= menanak nasi
= menjahit baju Melayu
= menceriakan kami (kami boleh digugurkan)
= mengecewakan mereka (mereka boleh digugurkan)

KATA KERJA TRANSITIF PASIF

1. Kata kerja yang menerima awalan di-
2. Dengan atau tanpa akhiran -i dan -kan.

Contoh
= dimasak
= dijahit
= digoreng
= dipanggang

KATA KERJA


= Kata yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa kerja.
= Menunjukkan sesuatu perbuatan.
= Boleh juga untuk menunjukkan keadaan.

= Terbahagi kepada dua iaitu :

1. Kata kerja transitif

2. Kata kerja tak transitif

PROSES PERLUASAN AYAT


Proses perluasan ayat ialah proses penambahan unsur-unsur dalam ayat  yang baharu.

EMPAT JENIS PERLUASAN AYAT

A. PERLUASAN FRASA NAMA SEBAGAI SUBJEK

AYAT 1 :
Lady Gaga itu penyanyi popular.

AYAT 2 :
Lady Gaga itu pelik.

PERLUASAN AYAT :
Lady Gaga yang pelik itu penyanyi popular.

B. PERLUASAN FRASA PREDIKAT

AYAT 1 :
Datuk Shah Rush Khan mencari diarinya.

AYAT 2 :
Diarynya berwarna hitam keemasan.

PERLUASAN AYAT :
Datuk Shah Rush Khan mencari diarinya yang berwarna hitam keemasan.

C. PERLUASAN DENGAN KATA HUBUNG

AYAT 1 : 
Maher Zain mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang nyanyian.

AYAT 2 :
Suaranya merdu.

PERLUASAN AYAT :
Maher Zain mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang nyanyian kerana suaranya merdu.

D. PERLUASAN MELALUI PROSES KOMPLEMENTASI

AYAT 1 :
Cikgu Shahid Kapoor memberitahu Cikgu Rani Manisha.

AYAT 2 :
Keluarganya akan menghantar rombongan meminang pada minggu depan.

PERLUASAN AYAT
Cikgu Shahid Kapoor memberitahu Cikgu Rani Manisha bahawa keluarganya akan menghantar rombongan meminang pada minggu depan.

BAHASA PASAR


- Bahasa campuran antara bahasa Melayu dan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
- Dikaitkan dengan bahasa Pijin
- Bahasa yang dipermudah untuk proses komunikasi
- Wujud daripada pergaulan masyarakat pelbagai kaum

- Mengabaikan hukum D-M (orang ini – ini orang)
- Kata ganti nama banyak dipengaruhi oleh bahasa ibunda (saya – gua, awak – lu)
- Penyebutan perkataan pelat bahasa Ibunda (orang – olang)
- Penggunaan perkataan “punya” dan “banyak”

ISU BAHASA : PERJUANGAN DASAR BAHASA KEBANGSAAN MASIH BELUM SELESAI

Bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan. Sekali lagi lagu Bahasa Jiwa Bangsa berkumandang pada majlis rasmi, selain di radio dan televisyen sepanjang bulan ini. Justeru, pelbagai kegiatan persuratan diadakan untuk meraikan bulan ini di seluruh negara, baik pada peringkat negeri mahupun daerah. Ikrar Bahasa Kebangsaan ikut dilafazkan untuk memperteguhkan tekad rakyat terhadap bahasa negara ini, sama ada sebagai bahasa kebangsaan dan atau bahasa rasmi.  Lagu ini yang dicipta melodi dan liriknya oleh Dol Ramli sudah berusia sekitar setengah abad. Ia mula dimainkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an. Kempen antaranya untuk menimbulkan keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa rasmi di kalangan rakyat.
 
Sebagai bahasa rasmi, ia wajib digunakan dalam pelbagai bidang penting. Antaranya pendidikan, pentadbiran dan perundangan. Penggunaan inilah yang menimbulkan banyak kontroversi. Sebaliknya, bahasa Melayu diterima baik sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa kebangsaan, peranan bahasa Melayu adalah selaku simbol identiti nasional. Seperti simbol kenegaraan lain, misalnya bendera dan lagu kebangsaan, bahasa Melayu wajib dihormati, dibanggai, dicintai dan ditaati. Dengan kata lain, tidak ada unsur penggunaan yang wajib pada sesuatu bahasa kebangsaan itu, baik sebagai alat komunikasi ataupun bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Justeru, ketiadaan aspek ini, bahasa Melayu lebih mudah diterima sebagai bahasa kebangsaan daripada bahasa rasmi.

Bahasa Melayu mendokong kedua-dua peranan ini di Malaysia. Begitu juga di Indonesia, manakala di Singapura, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, dan bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi utama. Justeru, bahasa Melayu tidak wajib digunakan dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan perundangan di republik itu, melainkan sebagai simbol kenegaraan yang ia pernah menjadi sebuah wilayah Melayu pada asalnya. Sesungguhnya lirik lagu Bahasa Jiwa Bangsa signifikan sekali. Ia mengungkapkan dua fungsi utama ini, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam mendokong fungsi sebagai bahasa kebangsaan, antaranya untuk tujuan perpaduan negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemajmukan etnik, ia diungkapkan pada rangkap ‘Bahasalah Menyatukan Kita Semua’.

Bahasa kebangsaan sesebuah negara itu biasanya ikut dijadikan wahana mengungkapkan cara hidup serta sikap rakyatnya. Hal ini juga digarap pada bahasa Melayu melalui rangkap ‘Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini bererti bahasa Melayu bahagian asas lagi penting dalam nasionaliti rakyat negara ini. Dengan kata lain, karakter nasional negara ini ikut terletak pada bahasa Melayu. Ini bererti perilaku kebahasaan rakyat Malaysia berbeza dengan yang lain, misalnya Thailand. Perbezaan ini diasaskan oleh bahasa Melayu pada rakyat Malaysia. Asas inilah yang memberi identiti kepada kehidupan sosial dan budaya rakyat Malaysia berbanding rakyat negara lain.

Sebagai bahasa rasmi, fungsi utamanya untuk memajukan rakyat dan negara. Bagi kes bahasa Melayu, tempoh 10 tahun, yakni 1957-1967, diberikan untuk memantapkan sistem dalamannya, misalnya penggubalan istilah dan pembakuan nahu. Ini adalah penting agar ia dapat digunakan dengan berkesan sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan perundangan. Tidak dapat dinafikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa ini digubah sebagai seruan kepada rakyat agar menerima dan meyakini bahasa Melayu untuk mendokong peranan sebagai bahasa negara, pada masa negara baru mencapai kemerdekaan. Kini sesudah separuh abad, lagu ini masih digunakan sebagai seruan. Ini bukan saja pelik, tetapi sama sekali amat tidak wajar!

Justeru, apakah yang sudah berlaku pada dasar bahasa negara? Mengapakah dasar bahasa negara tidak berjaya menarik sesetengah pihak untuk menerimanya pada waktu dulu dan juga masa kini? Sesungguhnya banyak lagi soalan yang boleh ditanya. Ini menunjukkan bahawa isu mengenai dasar bahasa negara bukan saja banyak, tetapi masih belum selesai. Maka itu, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010, rakyat Malaysia diminta memperlihat semangat patriotisme yang lebih tinggi, khususnya yang bersifat nasionalistik. Ini perlu dilakukan bukan saja menerima bahasa Melayu sebagai wahana pemersatu dan kemajuan, tetapi ikut merealisasikan kedua-dua fungsi kenegaraannya yang khalis ini, sebagai etos bangsa dan negara Malaysia.


Oleh Teo Kok Seong
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM

ISU PENDIDIKAN : BIBIT VOKASIONAL SEHARUSNYA BERMULA PELAJAR BERADA DALAM TAHUN ENAM.

Pendidikan teknik dan vokasional perlu diperkemas supaya ia sekali lagi dapat diletakkan dalam arus perdana pendidikan negara - di samping pendidikan kebangsaan dan aliran agama, tanpa mengetepikan sekolah aliran Cina dan Tamil. Legasi vokasional hampir terpadam apabila ada gerakan secara pukal menaik taraf sekolah vokasional kepada sekolah teknik serta penyerapan mata pelajaran vokasional dan teknikal ke dalam aliran kebangsaan. Sejak itu takungan tenaga kolar biru negara longlai - umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ke arah itu, tidak keterlaluan jika penulis mencadangkan supaya ura-ura untuk merombak Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilakukan dengan memperkenalkan sistem jurusan mengikut minat vokasional seawal usia 12 tahun.

Apabila melangkah sahaja ke peringkat menengah, remaja kita sudah tahu apa mereka hendak lakukan - daripada tukang membaiki paip domestik, mekanik kereta, atau pengimpal paip minyak mentah di bawah dasar lautan. Pada masa yang sama, kita boleh memperkenalkan semula ujian formatif bukan vokasional peringkat kebangsaan seawal usia 11 tahun atau pada tahun lima.  Ujian ke sekolah berasrama penuh pula boleh diadakan pada tahun enam, tetapi secara sumatif dan melihat kemampuan akademik, psikomatrik dan aptitud sekumpulan pelajar yang dipilih mengikut penilaian berasaskan sekolah, yang dikumpulkan di satu pusat peperiksaan. Bibit awal pendedahan vokasional ini bertujuan untuk melahirkan usahawan teknikal yang cekap dan mahir ketika berusia 23 tahun - sama usia ketika seseorang graduan memegang segulung ijazah.

Oleh itu, dasar Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) sedia ada yang menetapkan hanya setelah murid-murid tingkatan 1 baru mereka diberi pendedahan awal asas kemahiran selama tiga tahun sebelum mereka membuat pilihan kursus mengikut minat dan kebolehan masing-masing, perlu dirombak. Ia perlu bermula seawal tahun enam lagi. Hal ini akan menjadikan kita negara pertama di dunia melaksanakan sistem pendidikan yang menjurus kepada bakat dan minat teknikal pelajar seawal usia 12 tahun. Kenapa tidak? Kalau sekolah vokasional sebelum ini dilabel lekeh, maka perkenalkan sahaja sekolah berasrama penuh vokasional, sekolah berprestasi tinggi vokasional atau sekolah kluster vokasional. Beri label dan promosi yang lebih muluk kepada sekolah vokasional ini supaya ibu bapa berasa senang hati dan berkeyakinan menghantar anak mereka ke sekolah aliran vokasional.

Selain itu, model pendidikan teknikal dan vokasional di luar negara bolehlah dicontohi jika difikirkan sesuai dengan suasana di Malaysia. Beberapa institusi pendidikan teknikal dan vokasional yang tersohor di luar negara seperti TAFE College, Northern Sydney Institute di Australia boleh dicontohi kewajaran kewujudannya di negara ini. Sekolah vokasional ketika kewujudan fizikal berasingan telah berjaya melahirkan ramai pekerja kolar biru serta usahawan, sama ada yang bersifat serius atau usahawan pokok ketapang. Program teknikal yang disulam dengan semangat keusahawanan menjadikan sekolah vokasional secocok dengan jiwa sebahagian besar pelajar - khususnya pelajar lelaki - yang sukakan kerja praktikal, pendapatan segera dan mencabar kreativiti. Hal ini sejajar dengan dasar PTV untuk memberi akses, ekuiti dan pendidikan yang berkualiti kepada murid yang mempunyai kecenderungan, kebolehan, minat dan bakat dalam bidang teknik, vokasional serta kemahiran.

Dalam program memperkasa PTV, Kementerian Pelajaran memang berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan dan mengembangkan sepenuhnya potensi kecemerlangan murid dari kumpulan ini dari peringkat awal, guru dan sekolah sehingga boleh mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.  Adalah diharapkan program memperkasa PTV ini akan dapat mengurangkan kadar keciciran dari sistem persekolahan dan menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan ekonomi negara. Bagi tujuan ini, Kementerian Pelajaran telah menyusun enam strategi utama iaitu:

i. Memperkasakan Kurikulum PTV melalui lepasan sekolah yang mempunyai laluan kerjaya yang jelas dan luas, mendapat pengiktirafan kemahiran dan mempunyai nilai tambah melalui penerapan keusahawanan yang merentas kurikulum. Melalui pemantapan kurikulum PTV murid akan mempunyai pelbagai kemahiran.  Kemahiran murid akan diiktiraf oleh badan profesional bagi memberi nilai tambah untuk kemudahpasaran. Murid bukan sahaja mendapat sijil daripada peperiksaan umum SPM tetapi juga sijil daripada badan profesional dan Sijil Kemahiran Malaysia. Di samping ini juga dua (2) buah Matrikulasi Teknikal telah diwujudkan pada 2009 bagi memberi laluan ke IPT dalam bidang kejuruteraan.

ii. Penambahan Sekolah Vokasional Baru. Penambahan sekolah vokasional ini memberi peluang lebih ramai kepada murid untuk mengikuti aliran vokasional dan kemahiran. Konsep sekolah vokasional baru ini berdasarkan kepada Production Based-Education atau Pendidikan Berasaskan Produksi.

iii. Aliran Asas Kemahiran diperkenalkan kepada murid-murid seawal tingkatan 1 bertujuan untuk memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan instruksional mereka disamping memberi pendedahan awal asas kemahiran selama tiga tahun sebelum mereka membuat pilihan kursus mengikut minat dan kebolehan masing-masing.  Minat dan potensi murid akan dibimbing serta disalurkan kepada bidang-bidang yang dapat memenuhi keperluan negara. Oleh yang demikian, menjadi dasar Kementerian Pelajaran untuk memberi peluang dan ruang kepada semua murid mendapat pendidikan dan kekal di dalam sistem persekolahan. Ini secara langsung dapat membantu mengatasi masalah keciciran murid.

iv. Kementerian Pelajaran akan meningkatkan penglibatan industri dan badan profesional dalam membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PTV khususnya bagi mencapai wawasan negara dan Misi Nasional yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi. Antara program yang telah dirangka adalah termasuk Latihan Sangkutan Industri Guru PTV yang bertujuan mendedahkan guru kepada persekitaran kerja sebenar, mendalami teknologi masa kini yang digunakan oleh industri untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan guru.

v. Dengan adanya penglibatan industri dan badan profesional murid akan didedahkan dengan konsep pelaksanaan School Enterprise yang mengaplikasikan pengetahuan murid dengan persekitaran sebenar supaya menjadikan mereka murid yang kreatif, inovatif, proaktif, berdaya saing dan berdikari. Konsep School Enterprise akan meningkatkan minat dan motivasi murid untuk mendalami pendidikan teknikal dan vokasional. Gabungan pendidikan akademik dan latihan kemahiran juga merupakan kesepaduan ilmu yang dapat membantu murid menjalin hubungan yang rapat dengan komuniti dan seterusnya membantu komuniti menjana ekonomi setempat.

vi. Bagi memastikan pendidikan teknikal dan vokasional sentiasa relevan, Kementerian Pelajaran akan meningkatkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. IPT ini akan menjadi mentor atau payung bagi melestarikan kecemerlangan PTV terutama dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan. Hubungan ini juga akan membantu mengembangkan potensi sekolah, guru dan murid dengan lebih optimum terutama dalam aspek kebitaraan (niche areas) yang berupaya menyerlahkan watak serta melonjakkan kecemerlangan sekolah yang menawarkan PTV.


PENULIS ialah Pengurus/Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dengan menguatkuasakan Undang- Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan. Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang itu yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Penguatkuasaan undang-undang ini juga boleh mengelak kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan.



Sehubungan dengan itu, semua pemimpin syarikat korporat hendaklah bersikap tidak meminggirkan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan perlulah diberi penegasan. Tindakan ini penting kerana ia bertujuan memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Pada hakikatnya , pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberi tumpuan pada dua perkara iaitu penegasan semula Dasar Bahasa Negara dan penyelesaian masalah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Peneguhan sikap pengguna bahasa juga hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program Bulan Bahasa Kebangsaan. Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa di kalangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang kurang diungkapkan akan menghilangkan kewibawaannya. Kita khuatir bahasa Melayu yang kita sanjung selama ini akan hilang akarnya. Dalam pada itu,  rakyat pelbagai kaum di negara ini diharapkan dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan selaras dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan - 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara. Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara.



Penguatkuasaan undang-undang tanpa ada kerelaan diri untuk menghormati bahasa kebangsaan tidak akan mampu menjayakan matlamat yang dihasratkan. Kita ambil pendekatan untuk terus menggesa, menggalakkan, meningkatkan kefahaman kesedaran kerana kita tahu ia adalah satu proses yang sudah kita mulakan, tetapi sebagaimana disebutkan, belum lagi terhasil sepenuhnya. Antara usaha terbaru yang boleh difikirkan sesuai untuk menaikkan imej Bahasa Melayu adalah menggunakan bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa di dalam dan luar negara. Semua pihak perlu menyedari kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan kerana ia juga merupakan komponen terpenting untuk menzahirkan perasaan cintakan negara.