JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Oktober 2010

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dengan menguatkuasakan Undang- Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan. Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang itu yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Penguatkuasaan undang-undang ini juga boleh mengelak kesalahan dalam penggunaan bahasa kebangsaan.



Sehubungan dengan itu, semua pemimpin syarikat korporat hendaklah bersikap tidak meminggirkan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan perlulah diberi penegasan. Tindakan ini penting kerana ia bertujuan memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Pada hakikatnya , pembangunan bahasa kebangsaan pada era mendatang harus memberi tumpuan pada dua perkara iaitu penegasan semula Dasar Bahasa Negara dan penyelesaian masalah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan sejajar dengan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Peneguhan sikap pengguna bahasa juga hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program Bulan Bahasa Kebangsaan. Pemupukan sikap dan peneguhan bahasa di kalangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan tidak harus dipandang ringan kerana kita bimbang bahasa yang kurang diungkapkan akan menghilangkan kewibawaannya. Kita khuatir bahasa Melayu yang kita sanjung selama ini akan hilang akarnya. Dalam pada itu,  rakyat pelbagai kaum di negara ini diharapkan dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan selaras dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan - 1Bahasa, 1Bangsa dan 1Negara. Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara.



Penguatkuasaan undang-undang tanpa ada kerelaan diri untuk menghormati bahasa kebangsaan tidak akan mampu menjayakan matlamat yang dihasratkan. Kita ambil pendekatan untuk terus menggesa, menggalakkan, meningkatkan kefahaman kesedaran kerana kita tahu ia adalah satu proses yang sudah kita mulakan, tetapi sebagaimana disebutkan, belum lagi terhasil sepenuhnya. Antara usaha terbaru yang boleh difikirkan sesuai untuk menaikkan imej Bahasa Melayu adalah menggunakan bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa di dalam dan luar negara. Semua pihak perlu menyedari kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan kerana ia juga merupakan komponen terpenting untuk menzahirkan perasaan cintakan negara.

Tiada ulasan: