JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Oktober 2010

SEKUMPULAN PAKAR TEMUI BAHASA BARU

Sepasukan pakar bahasa, semalam mengumumkan bahawa mereka telah menemui satu bahasa baru dan unik yang dipanggil Koro di timur laut India, dan memberi amaran bahasa itu kini terancam. Menurut para penyelidik yang menemui Koro semasa mengadakan ekspedisi projek National Geographic ‘Enduring Voices’, hanya kira-kira 800 orang dipercayai bertutur bahasa Tibet-Burma itu dan beberapa orang daripada mereka berusia bawah 20 tahun. Menurut mereka, bahasa tersebut tidak mempunyai bahasa tulisan. “Kami menemui sesuatu yang terancam dan sedang membawanya keluar,” kata Fellow National Geographic, Gregory Anderson, salah seorang ketua ekspedisi itu yang menemui bahasa Koro. “Jika kami menunggu selama 10 tahun untuk mengadakan ekspedisi ini, kami mungkin tidak dapat bertemu seramai orang seperti ini yang boleh bertutur dalam bahasa tersebut,” katanya.

Bahasa Koro agak berbeza dengan mana-mana bahasa Tibet-Burma dengan hanya kira-kira 150 orang daripadanya sahaja ditemui di India, agak mustahil untuk menemui mana-mana bahasa daripada rumpun yang sama yang ada kaitan rapat dengannya. Bahasa berkenaan ditemui dalam wilayah Arunachal Pradesh, satu kawasan terpencil dan bergunung-ganang yang memerlukan pelawat yang mahu ke sana perlu mendapatkan permit khas. Beberapa orang pakar bahasa yang pernah bekerja di Arunachal Pradesh tidak pernah mencatatkan mengenai bahasa yang dituturkan di sana. Ekspedisi National Geographic yang turut disertai ahli bahasa India, Ganezh Murmu dari Universiti Ranchi, sedang mengesan dua bahasa lain iaitu Aka dan Miji yang diketahui ditutur di sebuah daerah kecil di Arunachal Pradesh.

Mereka pergi dari rumah ke rumah yang diperbuat daripada buluh di perkampungan yang terletak di kawasan berbukit, pasukan penyelidik bercakap dengan penduduk dan merakamkan istilah-istilah yang mereka gunakan. Ketika mereka menjalankan tugas itu, mereka menemui bahasa ketiga, yang tidak didaftarkan dalam senarai bahasa standard antarabangsa mahupun dalam kajian bahasa India. Bahasa ketiga itu ialah bahasa Koro. Pakar bahasa membuat rakaman pertama bahasa Koro dengan mengabadikan beribu-ribu perkataan sepanjang ekspedisi itu yang dimulakan pada 2008. Bahasa itu mempunyai inventori bunyi yang berbeza dengan bahasa-bahasa lain di wilayah itu dan juga mempunyai susunan kata serta ayat yang tersendiri.

Walaupun keadaan geografi mereka sama, namun bunyi kedua-dua bahasa berkenaan berbeza, umpama perbezaan antara bunyi perkataan bahasa Inggeris dan Jepun,” kata seorang lagi fellow National Geographic, David Harrison, yang juga salah seorang ketua ekspedisi itu dalam bukunya The Last Speakers yang diterbitkan, baru-baru. Dengan penemuan bahasa Koro itu, bahasa yang dituturkan di dunia kini berjumlah 6,909 bahasa. Namun menurut ahli bahasa, separuh daripada bahasa tersebut diancam kepupusan ekoran perubahan budaya, sikap pemalu etnik, penindasan kerajaan dan faktor-faktor lain. Salah satu tujuan utama National Geographic melalui projek Enduring Voices ialah untuk mendokumenkan bahasa-bahasa yang diancam kepupusan. Pasukan berkenaan merancang untuk kembali ke India pada November ini untuk meneruskan kajian mengenai bahasa Koro. Satu kajian saintifik mengenai Koro akan disiarkan dalam jurnal Bahasa-bahasa India.





Tiada ulasan: