JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Oktober 2010

ISU BAHASA : PERJUANGAN DASAR BAHASA KEBANGSAAN MASIH BELUM SELESAI

Bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan. Sekali lagi lagu Bahasa Jiwa Bangsa berkumandang pada majlis rasmi, selain di radio dan televisyen sepanjang bulan ini. Justeru, pelbagai kegiatan persuratan diadakan untuk meraikan bulan ini di seluruh negara, baik pada peringkat negeri mahupun daerah. Ikrar Bahasa Kebangsaan ikut dilafazkan untuk memperteguhkan tekad rakyat terhadap bahasa negara ini, sama ada sebagai bahasa kebangsaan dan atau bahasa rasmi.  Lagu ini yang dicipta melodi dan liriknya oleh Dol Ramli sudah berusia sekitar setengah abad. Ia mula dimainkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an. Kempen antaranya untuk menimbulkan keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu, khususnya sebagai bahasa rasmi di kalangan rakyat.
 
Sebagai bahasa rasmi, ia wajib digunakan dalam pelbagai bidang penting. Antaranya pendidikan, pentadbiran dan perundangan. Penggunaan inilah yang menimbulkan banyak kontroversi. Sebaliknya, bahasa Melayu diterima baik sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa kebangsaan, peranan bahasa Melayu adalah selaku simbol identiti nasional. Seperti simbol kenegaraan lain, misalnya bendera dan lagu kebangsaan, bahasa Melayu wajib dihormati, dibanggai, dicintai dan ditaati. Dengan kata lain, tidak ada unsur penggunaan yang wajib pada sesuatu bahasa kebangsaan itu, baik sebagai alat komunikasi ataupun bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Justeru, ketiadaan aspek ini, bahasa Melayu lebih mudah diterima sebagai bahasa kebangsaan daripada bahasa rasmi.

Bahasa Melayu mendokong kedua-dua peranan ini di Malaysia. Begitu juga di Indonesia, manakala di Singapura, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, dan bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi utama. Justeru, bahasa Melayu tidak wajib digunakan dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan perundangan di republik itu, melainkan sebagai simbol kenegaraan yang ia pernah menjadi sebuah wilayah Melayu pada asalnya. Sesungguhnya lirik lagu Bahasa Jiwa Bangsa signifikan sekali. Ia mengungkapkan dua fungsi utama ini, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam mendokong fungsi sebagai bahasa kebangsaan, antaranya untuk tujuan perpaduan negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemajmukan etnik, ia diungkapkan pada rangkap ‘Bahasalah Menyatukan Kita Semua’.

Bahasa kebangsaan sesebuah negara itu biasanya ikut dijadikan wahana mengungkapkan cara hidup serta sikap rakyatnya. Hal ini juga digarap pada bahasa Melayu melalui rangkap ‘Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini bererti bahasa Melayu bahagian asas lagi penting dalam nasionaliti rakyat negara ini. Dengan kata lain, karakter nasional negara ini ikut terletak pada bahasa Melayu. Ini bererti perilaku kebahasaan rakyat Malaysia berbeza dengan yang lain, misalnya Thailand. Perbezaan ini diasaskan oleh bahasa Melayu pada rakyat Malaysia. Asas inilah yang memberi identiti kepada kehidupan sosial dan budaya rakyat Malaysia berbanding rakyat negara lain.

Sebagai bahasa rasmi, fungsi utamanya untuk memajukan rakyat dan negara. Bagi kes bahasa Melayu, tempoh 10 tahun, yakni 1957-1967, diberikan untuk memantapkan sistem dalamannya, misalnya penggubalan istilah dan pembakuan nahu. Ini adalah penting agar ia dapat digunakan dengan berkesan sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan perundangan. Tidak dapat dinafikan lagu Bahasa Jiwa Bangsa ini digubah sebagai seruan kepada rakyat agar menerima dan meyakini bahasa Melayu untuk mendokong peranan sebagai bahasa negara, pada masa negara baru mencapai kemerdekaan. Kini sesudah separuh abad, lagu ini masih digunakan sebagai seruan. Ini bukan saja pelik, tetapi sama sekali amat tidak wajar!

Justeru, apakah yang sudah berlaku pada dasar bahasa negara? Mengapakah dasar bahasa negara tidak berjaya menarik sesetengah pihak untuk menerimanya pada waktu dulu dan juga masa kini? Sesungguhnya banyak lagi soalan yang boleh ditanya. Ini menunjukkan bahawa isu mengenai dasar bahasa negara bukan saja banyak, tetapi masih belum selesai. Maka itu, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010, rakyat Malaysia diminta memperlihat semangat patriotisme yang lebih tinggi, khususnya yang bersifat nasionalistik. Ini perlu dilakukan bukan saja menerima bahasa Melayu sebagai wahana pemersatu dan kemajuan, tetapi ikut merealisasikan kedua-dua fungsi kenegaraannya yang khalis ini, sebagai etos bangsa dan negara Malaysia.


Oleh Teo Kok Seong
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM

Tiada ulasan: