01 Oktober 2010

IMBUHAN PINJAMAN DARIPADA BAHASA ARAB

AKHIRAN

1. - i = abadi, insani
2. - wi = duniawi, syurgawi
3. - iah = ilmiah, lahiriah
4. - in = hadirin, muslimin
5. - ah = hajah, ustazah
6. - at = hadirat, muslimat

IMBUHAN PINJAMAN DARIPADA BAHASA SANSKRIT

AWALAN

1. maha = mahasiswa, mahasiswi
2. pra = prasejarah, prasekolah
3. tata = tatasusila, tatatertib
4. swa = swasta, swalayan
5. eka = ekabahasa, ekanada
6. dwi = dwibahasa, dwifungsi
7. panca = pancaindera, pancalogam

AKHIRAN

1. - man = seniman, budiman
2. - wan = hartawan, jutawan
3. - nita = biduanita
4. - wati = peragawati, seniwati

PERANCANGAN KORPUS BAHASA

DEFINISI
Perancangan korpus bahasa ialah pembinaan bahasa yang melibatkan pengekodan bahasa

TUJUAN
Perancangan korpus bahasa bertujuan untuk menghasilkan bahasa standard atau bahasa baku.

ASPEK YANG TERLIBAT

1. Sebutan
2. Tatabahasa
3. Ejaan
4. Kamus
5. Istilah

PERINGATAN DARIPADA CIKGU ZUL
Aspek ini selalu ditanya dalam Bahasa Malaysia Kertas 1 STPM. Pelajar harus ingat kelima-lima aspek yang terlibat dalam Perancangan Korpus Bahasa di atas.

FORMULA UNTUK MENGINGAT

Saya = Sebutan
Tolak = Tatabahasa
Engkau = Ejaan
Kerana = Kamus
Imej = Istilah

PERANCANGAN TARAF BAHASA

DEFINISI
Perancangan taraf bahasa merupakan usaha meluaskan dan mempertingkatkan taraf dan peranan bahasa kebangsaan.

USAHA YANG DILAKUKAN

1. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 : Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan
2. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 : Bahasa kebangsaan ialah bahasa rasmi negara
3. Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) - Bahasa Kebangsaan ialah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara
4. Kempen Bahasa Kebangsaan seperti Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan sebagainya.

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Ditubuhkan pada tahun 1956 dengan nama Balai Pustaka
Pada tahun 1959 Balai Pustaka ditukar nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Matlamat penubuhan DBP

1. Memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan
2. Mencetak dan menerbitkan bahan-bahan dalam bahasa kebangsaan.
3. Menyemak dan menyelaras sistem ejaan dalam bahasa kebangsaan.
4. Menggubal istilah yang sesuai untuk pelbagai bidang dalam bahasa kebangsaan.
5. Menyusun dan menerbitkan kamus bahasa kebangsaan.

DBP telah melaksanakan perancangan bahasa untuk mencapai matlamat di atas.

1. Perancangan taraf bahasa
2. Perancangan korpus bahasa

JANGANLAH BERSEDIH


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sebagai manusia yang punya akal dan perasaan kita memang berhak untuk bersedih. Kesedihan boleh menjelmakan pelbagai kepuasan kepada setiap individu namun kesedihan jua boleh menambah berat beban yang ditanggung. Kita biasanya bersedih jika impian atau cita-cita kita tidak kesampaian. Kita mudah menyalahkan diri sendiri dan mengatakan orang lain yang berjaya itu memang lebih handal dan lebih hebat daripada kita. Kesedihan yang bertakhta di jiwa kita boleh menyebabkan kita mudah berputus asa dan tidak ingin berusaha untuk bangkit kembali kerana kita begitu mudah menyerah. Akhirnya, kita akan terus menjadi orang yang gagal dan gagal sehingga ke akhir hayat.

Kita juga biasanya bersedih jika perkara yang kita inginkan tidak menjadi seperti yang kita impikan. Seorang guru seperti saya biasanya mahu semua pelajar yang dididik sentiasa berjaya dalam pelajaran dan mempunyai sahsiah yang terpuji. Alangkah hancurnya hati apabila pelajar yang dididik mencemuh dan melawan apabila ditegur. Pelajar yang diharapkan untuk berjaya tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, pelajar tidak faham betapa kasih sayang seorang guru adalah untuk semua pelajar-pelajarnya bukan untuk sebilangan sahaja. Akan tetapi, masih jua ada yang bermakan hati dan menuduh guru tersebut pilih kasih dan sebagainya.

Janganlah bersedih jika berhadapan dengan situasi sebegini kerana kesedihan itu akan memakan diri juga pada akhirnya nanti. Hargailah pada diri sendiri. Sayangi dan cintailah diri sendiri. Jangan dibiarkan kesedihan itu menjadikan kita lebih tua daripada usia kita yang sebenarnya. Percayalah, masih banyak ruang yang tersedia di muka bumi ini untuk kita bergembira demi melenyapkan setiap kesedihan yang datang ke ruang lingkup kehidupan kita.

HASIL KARYAKU: WANITA ITU MILIK AKU

Wanita itu milikku
jangan kau rampas
walau kami tak pernah bercinta
kami telah ditakdirkan
untuk hidup bersama


Wanita itu milikku
jangan kau ganggu
walau kami tak pernah berkasih
kami telah disatukan
sejak lahirnya kami ke dunia


Wanita itu milikku
jangan kau puja
walau kami tak pernah memuja
kerana dia telah diamanahkan
untuk kujaga

wanita itu milikku
jangan kau sayang
walau kami tak pernah merindu
kerana antara kami berdua
banyak persamaannya
Wanita itu milikku
jangan kau pinang
walau kami tak pernah berkahwin
kerana aku berjanji
untuk mengahwininya


Wanita itu milikku
jangan kau luka
hingga menitis air matanya
biarkan kami bahagia
biarkan kami bersatu
biarkan kami bercinta
sehingga ke akhirnya

KARANGAN STPM: MASYARAKAT PENYAYANG


TAJUK KARANGAN
Masyarakat penyayang merupakan salah satu cabaran wawasan 2020. Jelaskan kepentingan masyarakat penyayang dan halangan yang mungkin dihadapi untuk merealisasikannya.

Masyarakat penyayang merupakan sebuah masyarakat yang anggotanya mengamalkan sikap yang sayang-menyayangi, hormat-menghormati, bantu-membantu, dan nilai murni yang lain. Amalan tersebut bukan sahaja harus dipraktikan dalam kalangan ahli keluarga, malah dalam masyarakat yang meliputi pelbagai kaum. Masyarakat seperti ini menjadi impian negara kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Walau bagaimanapun, kita selalu dikejutkan dengan pelbagai berita tentang kes jenayah kejam yang berlaku mengambarkan seolah-olah masyarakat kita tiada perasaan sayang menyayangi antara satu sama lain.. Oleh itu, matlamat untuk mencapai masyarakat penyayang amat sukar tercapai.

Masyarakat penyayang amat penting untuk mewujudkan keluarga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang. Ibu bapa yang saling menyayangi merupakan contoh teladan yang baik bagi anak-anak mereka. Ibu bapa perlu bertanggungjawab menjaga dan memberi didikan kepada anak dengan baik dan penuh dengan kasih sayang sejak kecil lagi seperti bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan itu, mereka tidak akan melakukan jenayah yang amat membimbangkan pihak kerajaan dan rakyat Malaysia. Mereka tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya mereka yang bersikap negatif, sebaliknya mereka lebih menyayangi dan menghormati orang lain yang bersekeliling mereka. Lebih-lebih lagi, mereka juga boleh lebih memahami dan menentukan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang amat penting bagi sesebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Selain itu, masyarakat penyayang juga penting untuk menjamin keamanan dan kedamaian sesebuah negara dengan kurangnya berlaku kes jenayah. Dengan adanya didikan agama dan asuhan ibu bapa yang baik dan penuh dengan kasih sayang, anak mereka tidak akan terlibat dalam jenayah seperti samseng jalanan, kecurian, pembunuhan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana dengan adanya didikan agama dan asuhan ibu bapa yang kuat boleh menyebabkan seseorang remaja tidak dapat bertindak secara rasional apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Pendidikan agama dapat dijadikan benteng yang kukuh untuk menahan seseorang daripada melakukan perkara yang tidak baik. Hidup dalam sesebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan harmoni dapat melahirkan anak yang bersikap suka membantu, menghormati, dan mengambil berat keadaan orang lain yang menghadapi kesusahan. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang dapat menjamin keamanan sesebuah negara dan keselamatan rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang amat penting kerana masyarakat sedemikian dapat menjamin persefahaman dan perpaduaan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etniknya. Apabila anggota sesebuah masyarakat itu mengambil tahu dan mengambil berat akan kehidupan orang lain khususnya orang yang kurang bernasib baik, akan menimbulkan rasa hormat dan saling memahami serta saling menyayangi tanpa mengira kaum, budaya dan agama. Keadaan ini dapat menjamin keharmonian, perpaduan dan kedamaian hidup bersama dalam sesebuah negara seperti bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita robot”. Apatah lagi, keadaan ini juga dapat merapatkan hubungan antara golongan kaya dan golongan miskin dengan saling bantu-membantu yang penuh dengan keikhlasan hatinya. Persefahaman dan perpaduan antara kaum menjadi prasyarat yang paling penting untuk memastikan pencapaian kemajuan dan pembangunan negara.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa sesebuah negara yang mempunyai rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, tidak dapat disangkalkan bahawa usaha mewujudkan masyarakat penyayang menghadapi pelbagai halangan. Pertamanya, sifat masyarakat majmuk itu sendiri. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai budaya, bahasa dan agama yang berbeza. Oleh itu, mereka sukar memahami dan menerima agama dan budaya lain. Dengan itu, keadaan ini amat mudah menimbulkan peselisihan faham dan memburukkan hubungan antara satu sama lain. Lebih buruk lagi, sesetengah mereka juga cuba bertindak memburukkan dan menjejaskan budaya dan agama lain yang akan meruntuhkan keakhlakan dan nilai-nilai murni. Masalah ini akan menjejaskan kedamaian dan keamanan hidup serta keharmonian dan perpaduan juga terjejas di negara kita. Masalah ini akn menyukarkan usaha untuk memupuk dan mewujudkan masyarakat penyayang.

Halangan seterusnya ialah wujudnya sikap individualistik dan materialistik dalam kalangan masyarakat. Pada zaman yang semakin moden ini, kebanyakan individu ingin mengejar kekayaan dan kemewahan sehingga tidak mempunyai masa lapang untuk mempedulikan jirannya. Keadaan ini berlaku disebabkan sudah menjadi lumrah ibu bapa yang rakus mengejar kemewahan dan kebendaan untuk memenuhi naluri mereka sanggup mengabaikan jiran yang menghadapi masalah dan menimbulkan perasaan kecurigaan. Mereka biasanya tidak percaya akan orang lain dan hanya mementingkan diri sendiri. Ibu bapa yang bersikap sedemikian akan mempengarihi sikap anak mereka sendiri. Mereka akan bersikap negatif dan selalu merendahkan pelajar yang miskin atau pelajar yang tidak mempunyai kecemerlangan dalam mata pelajarannya. Tuntasnya, keadaan ini akan menghalang usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang.

Tambahan pula, usaha untuk mewujukan masyarakat penyayang juga akan menghadapi halangan daripada kelonggaran dalam sesebuah keluarga. Dalam kehidupan yang semakin moden ini menyebabkan ramai pasangan tidak mempunyai hubungan yang baik. Hal ini demikian disebabkan kebanyakan pasangan yang berusia masih muda dan tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung kos hidup yang semakin tinggi. Keadaan ini menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan dan selalunya bergaduh. Masalah ini akan menyebabkan keluarganya longgar dan anak mereka akan menjadi mangsa. Dalam sesebuah keluarga yang longgar, anak mereka tidak menerima kasih sayang yang mencukupi dan mereka akan hidup dalam kehidupan yang mengejutkan mereka. Kesannya, psikologi mereka tercemar dan terjejas serta mereka juga mudah terpengaruh rakan sebaya terlibat dalam jenayah. Dengan itu, usaha masyarakat penyayang tidak dapat tercapai dan sebaliknya akan menjejaskan keamanan dan keselamatan negara.

Kesimpulannya, usaha mewujudkan masyarakat penyayang dan seterusnya mengeratkan perpaduan amat penting di negara kita. Dengan itu, semua pihak harus berganting bahu dan bertanggungjawab untuk menjayakan matlamat ini. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi muda yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka membantu orang lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling membantu serta saling menyayangi seperti peribahasa dalam Bahasa Malaysia “ bagai aur dengan tebing”. Kita juga harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Keadaan ini dapat mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai serta penuh dengan kasih sayang.

KARANGAN PELAJAR TINGKATAN ENAM: ISU PERTAHANAN DAN KESELAMATAN NEGARA


TAJUK KARANGAN

Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit Malaysia setiap tahun untuk membeli kelengkapan ketenteraan dan meningkatkan kebajikan pasukan pertahanan. Bincangkan sebab-sebab kekuatan ketenteraan Malaysia perlu ditingkatkan dan masalah yang menyekat perkembangannya.


Malaysia, sebagai sebuah negara yang berdaulat, memerlukan tentera untuk mempertahankan keutuhan wilayahnya. Keselamatan rakyat dan harta juga bergantung pada benteng pertahanan negara yang terdiri daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Diraja Malaysia (TDDM), dan Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM). Setiap negara pasti mementingkan pasukan tenteranya untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Jadi, memang perlu untuk Malaysia meningkatkan kekuatan ketenteraannya asalkan kita mampu. Namun, beberapa masalah timbul dalam usaha kita hendak memperkuat pasukan tentera kita.

Barisan pertahanan yang kuat diperlukan untuk menjamin keselamatan negara sepanjang masa. Sungguhpun kini Malaysia tidak menghadapi ancaman musuh negara, namun kita tidak harus leka dan lalai. Pasukan tentera kita perlu bersedia sepanjang masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dunia ini tiada kawan dan musuh buat selama-lamanya. Penaklukan Kuwait oleh Iraq dapat kita jadikan sebagai iktibar. Kuwait ditakluki jirannya, yang sebelum ini dianggap saudaranya, dalam masa 24 jam sahaja pada tahun1990. keganasan antarabangsa yang banyak berlaku juga menyebabkan Malaysia perlu meningkatkan kelengkapan ketentearannya. Pada tahun 2001, World Trade Centre di New York diserang pengganas. Pengeboman di Bali (Indonesia) dan Golok(Thailand) juga mungkin melarat ke negara ini dan oleh itu perlu diberi perhatian serius. Jadi, memang perlu untuk kita meningkatkan kekuatan pertahanan negara.

Pasukan tentera bukan sahaja berguna untuk menghadapi serangan musuh, tetapi juga berguna untuk memberikan bantuan pada masa kecemasan atau malapetaka. Tenaga perajurit kita dapat dikerah bila-bila masa sahaja. Misalnya, semasa tragedi gempa bumi dan tsunami, pasukan penyelamat tentera telah dikerah untuk menyelamatkan mangsa. Misi kemanusiaan ini amat dialu-alukan oleh negara yang ditimpa bencana tersebut. Malaysia juga sering dilanda banjir. Tentera kita dapat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat. Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) merupakan pasukan komando yang penting untuk menjalankan tugas yang berbahaya dan yang mencemaskan.

Pasukan tentera kita juga dapat menyumbang kepada kebajikan sosial. TUDM, misalnya, sering membuat penerbangan ihsan untuk membawa pesakit yang kronik ke Hospital Kuala Lumpur ataupun Institut Jantung Negara. Para doktor tentera juga memberikan rawatan kesihatan percuma kepada penduduk di kawasan pedalaman. Angkatan tentera kita juga membantu menyediakan kemudahan awam seperti jambatan dan jalan untuk penduduk setempat di kawasan pedalaman. Rumah golongan miskin juga dibina dengan tenaga tentera kita. oleh itu, memang wajar kita meningkatkan mutu ketenteraan kita kerana mereka turut menyumbangkan tenaga pada masa-masa biasa kepada golongan daif dan miskin.

Tentera kita juga mampu menyumbang kepada keamanan dunia selain memgharumkan nama negara. Tentara kita sentiasa berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi keamanan dunia, misalnya dalam pasukan UNIMOG,UNITAG, UNPROFOR dan sebagainya. Tentera kita berjaya dalam memulihkan keamanan dan melindungi mangsa-mangsa perang di negara-negara yang dilanda perang saudara seperti Bosnia-Herzegovina, Kemboja, dan Somalia. Hal ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap keamanan dunia dan meningkatkan imej serta kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Dengan ini, Malaysia kini dianggap wira Dunia Ketiga.

Ekoran pertumbuhan ekonomi negara yang pesat, semakin banyak pemuda pemudi keberatan menyertai pasukan tentera Malaysia. Jika dibandingkan dengan sektor swasta, penawaran gaji dalam bidang ini kurang lumayan. Anggota tentera juga perlu memiliki ketahanan mental dan fizikal yang kental. Anggotanya perlu menjalani latihan yang lasak dan mengamalkan disiplin yang ketat. Tentera kita juga terpaksa berkorban dengan meninggalkan keluarga ketika beroperasi di dalam mahupun di luar negara. Sememangnya risiko kehilangan nyawa juga lebih tinggi berbanding dengan bidang pekerjaan yang lain. Tambahan lagi, pegangan anggota tentera ialah berkorban jiwa dan raga untuk tanah air yang tercinta. Hal ini menakutkan pemuda pemudi yang menginginkan kesenangan hidup.

Kos penyelenggaraan yang besar juga membebankan negara. Kem-kem tentera yang yan lengkap dan tempat tinggal untuk keluarga tentera perlu disediakan. Kos latihan ketenteraan juga menelan belanja yang tinggi, misalnya latihan penerbangan dan sebagainya. Untuk mengekalkan serta meningkatkan mutu ketenteraan, alatan canggih juga perlu dibeli. Misalnya, pembelian jet pejuang dan kapal perang yang menelan belanja berbilion-bilion Ringgit Malaysia setahun. Sekiranya kedudukan kewangan negara kurang kukuh, hal ini pasti akan membebankan kewangan negara dan menambah defisit akaun semasa negara.

Konklusinya, pasukan tentera yang kuat memang diperlukan demi mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah. Perancangan pembangunan ketenteraan penting supaya angkatan tentera kita berupaya menghadapi sebarang kemungkinan. Namun,pembangunan bidang ini janganlah sampai menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi negara. Masalah rakyat kita kurang berminat menyertai pasukan tentera perlu diatasi. Kita , sebagai rakyat, haruslah bersemangat patriotik, rela berkorban untuk bangsa, nusa dan agama.


HASIL KERJA PELAJAR
Nama Pelajar : Lau Kiu Toh
Kelas : U6A1
Tahun : 2009

JENIS-JENIS KATA BILANGAN

BILANGAN TENTU
Berfungsi untuk menunjukkan jumlah tentu

CONTOH PERKATAAN
satu, dua, sepuluh, seribu, seratus, sejuta

BILANGAN TAK TENTU
Berfungsi untuk menunjukkan jumlah tidak tentu

CONTOH PERKATAAN
banyak, semua, segala, beberapa, seluruh

BILANGAN HIMPUNAN
Berfungsi untuk menunjukkan himpunan

CONTOH PERKATAAN
kedua-dua, beratus-ratus, berjuta-juta, beribu-ribu

BILANGAN PECAHAN
Berfungsi untuk menunjukkan pecahan

CONTOH PERKATAAN
setengah, separuh, dua pertiga, satu perempat

BILANGAN PISAHAN
Berfungsi untuk menunjukkan keadaan berpisah-pisah

CONTOH PERKATAAN
tiap-tiap, setiap, masing-masing

PERIBAHASA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN TEBU

PERIBAHASA 1
Tebu masuk mulut gajah

MAKSUD
Binasa sama sekali, tidak dapat ditolong lagi

PERIBAHASA 2
Tebu seruas berulat pula

MAKSUD
Anak seorang sahaja tetapi buruk pula perangainya

PERIBAHASA 3
Tebu setuntung masuk geraham gajah

MAKSUD
Pemberian sedikit kepada orang yang kaya tentu tidak dihargainya

PERIBAHASA 4
Bertanam tebu di bibir

MAKSUD
Mengeluarkan kata-kata yang manis untuk memujuk

PERIBAHASA 5
Dapat tebu rebah

MAKSUD
Mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah

PERIBAHASA 6
Diminta tebu, diberi tembakau

MAKSUD
Yang diminta dikabulkan tetapi kurang daripada yang diminta

PERIBAHASA 7
Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai

MAKSUD
Seia sekata atau bersatu padu

PERIBAHASA 8
Seperti tebu, airnya diminum, hampasnya dibuang

MAKSUD
Tiap-tiap perkataan yang didengar dari mulut orang hendaklah dipilih yang baik daripada yang jahat