17 Mei 2010

HASIL KARYAKU: SEMPENA HARI GURU YANG KESEKIAN KALINYA INI




Sempena Hari Guru yang kesekian kalinya ini
sudikah kiranya kau berkongsi rasa
merasai kepahitan yang kutelan
memikul beban tugas yang kupikul
mengusung tomahan dan cacian yang kau lempar
agar tiada lagi tawar menawar
moga tiada lagi acu mencacu
kerana aku sudah tidak tahan
melayan kerenah dan kehendakmu
yang mendesak dan mengasak
sampai patah tulang-tulang rajinku

sempena hari guru yang kesekian kalinya ini
relakan kiranya andai kau dan aku berkongsi cerita
supaya kita dapat membuat pengklasifikasian
cerita kaukah yang lebih sedih
atau cerita aku yang penuh dengan duka berganda
siapa pula di antara kita berdua
yang bisa menitiskan mutiara berharga
di penghujung cerita yang dicerita
kerana selama ini
kau sebenarnya tidak pernah menyelam
merasai asam garam
duniaku dan kehidupanku

sempena hari guru yang kesekian kalinya ini
mahukah andainya kau berubah
mengubah persepsi dan pandangan salah
pada kerja muliaku ini
agar kau tidak lagi bersusah payah
menulis di akhbar arus perdana
turun naik mahkamah
atau menjerit-jerit di kedai kopi
tentang diriku dan duniaku ini
kerana bagiku
kau tidak kenal asal usulmu
setelah terlalu tinggi mendaki
kau lupa
bahawa akulah yang membentukmu!


Nukilan
Cikgu Zulkarnain Farihin
15 Mei 2010

SEMPENA HARI GURU YANG DIBERKATI INI


Setelah 15 tahun berkecimpung dalam dunia perguruan, pengalamanku hampir sebaya dengan pelajar Tingkatan 3. Hendak mendabik dada untuk mengatakan diri ini banyak pengalaman mungkin keterlaluan kerana banyak lagi guru lain yang telah melebihi 20 tahun malahan ada yang sudah 30 tahun mengabdikan diri sebagai seorang pendidik. Biar apa pun tafsiran, pandangan, dan pendapat orang tentang guru, bagi aku kerjaya ini merupakan kerjaya yang paling mulia dan suci. Andai kita jujur dan ikhlas menjadi guru kita akan mengecapi nikmat yang tidak terkata pada setiap hari takala kaki melangkah dari rumah pergi ke sekolah tempat kita menabur bakti. Hati sentiasa terhibur dengan ragam pelajar-pelajar yang berwarna-warni. Apabila tiba waktu peperiksaan, sebagai guru Bahasa Malaysia, saya seringkali tersenyum dan ketawa sendirian apabila membaca jawapan pelajar-pelajar saya yang bermacam-macam.

Saat yang paling membahagiakan apabila anak-anak didik yang berjaya mulai menyapa, mengirim khabar dan mengutus berita dari seluruh pelusuk dunia. Terasa diri ini amat disayangi dan dihormati. Yang dekat pula selalu memberi nasihat dan teguran supaya diri ini sentiasa menjaga kesihatan agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Itulah gelagat pelajar-pelajar yang tidak terhitung jumlahnya. Apabila usia semakin senja, pelajar-pelajar ku pula semakin dewasa dan banyak yang berjaya. Kadang-kadang apabila mahu berurusan di pelbagai jabatan, ada sahaja tangan yang menghuluran bantuan dengan sapaan yang penuh sopan. Terpaku aku sejenak, andai aku ini bukan guru, apakah layanan itu akan aku rasai dan nikmati? Mungkin ya dan mungkin juga tidak kerana masyarakat sekrang terlalu invidualistik.

Kadang-kadang layarku dihempas tiupan angin sampai patah dan berterbangan. Kadang-kadang dayungku dihempas ombak ganas sehingga tenggelam ke dasar lautan. Ada ketikanya pula, perahu kesabaranku terhuyung-hayang dipukul gelombang sehingga terdampar kesepian di pantai keikhlasan. Ku anggap semua ini ujian untuk dijadikan perhiasan perjalanan hidup seorang pendidik. Pada suatu ketika pula, rasa gembira dan ceria sampai menjangkau angkasa. Kebahagiaan dan kesejahteraan mewangi dan berseri pada setiap masa. Itulah dunia yang kurasa sepanjang menjadi guru.

Apabila orang bukan guru melemparkan kutukan, cacian, dan tomahan kepada golongan guru, alangkah terhirisnya rasa hati ini. Pada masa yang sama juga, apabila ada segelintir guru yang menjadi nila sampai semua yang putih dipalit biru warnanya, alangkah dukanya jiwa lara ini. Ada ketikanya, guru selalu disisihkan dan dilayan sebagai pekerja bawahan, alangkah pedisnya naluri ini. Namun begitu, apalah yang mampu dilakukan oleh seorang guru untuk menepis, menangkis, dan menyingkirkan semua itu melainkan hanya bertawakal dan berdoa kepada Tuhan agar dibukakan pintu kesedaran pada hati dan jiwa mereka untuk memuliakan dan memartabatkan kerjaya perguruan yang mulia ini.


Selamat hari guru.
Guru Pembina Negara Bangsa
BIAR TIDAK MENDAPAT PENGIKTIRAFAN JANJI DIBERKATI TUHAN DAN DILIMPAHKAN KEBAHAGIAAN SERTA KESEJAHTERAAN HIDUP YANG BERPANJANGAN.
Kalau kita meratapi dan melaung sana sini untuk diagung-agungkan suara kita makin lama makin memuakkan dan kerenah kita semakin membosankan. Realitinya, guru zaman kini semakin terbela dan tidak dipinggirkan walaupun kadang-kadang hati kita terguris dan jiwa sesekali berasa pedis. Apabila tiba masanya kita pasti akan merasai indahnya dunia perguruan tetapi kita kena ada kebolehan, potensi dan berdaya saing kerana dalam dunia perguruan ini selain daripada polis dan askar, kitalah merupakan golongan yang terbanyak. Tempat kita bertugas pula bertaburan di seluruh pelusuk empat penjuru Malaysia yang tercinta ini. Dengan bilangan sekolah melebihi 10, 000 buah dan bilangan guru pula mencecah melebihi 300, 000 orang mustahil untuk kerajaan menyediakan pembantu atau setiausaha untuk mereka yang berada pada gred DG48 dan DG52 ke atas. Jika dibuat analisis, gurulah golongan pejawat awam yang terbanyak diberikan kenaikan pangkat ke DG44 dan ke atas.
Kini, dengan adanya suara yang membela nasib guru, diharapkan nasib setiap orang guru akan terus terbela dan terjaga dengan sebaik-baiknya baik dari segi gaji, beban tugas, mahupun peluang kenaikan pangkat yang selalu menjadi pertikaian pada masa ini. Inilah yang menimbulkan pelbagai polimek dalam kalangan guru. Tidak kira guru itu mengajar di sekolah rendah atau menengah, peluang biarlah sama rata dan syarat pula jangan dibeza-beza. Guru merupakan insan yang paling banyak bermain dengan pelbagai karenah manusia sehingga mereka begitu cekal dan sabar tetapi adakalanya jiwa mereka mudah terguris dan terhiris dengan pelbagai dasar yang dibuat tanpa ditimbang tara dengan sebaik-baiknya.

16 Mei 2010

IDEA UNTUK MENULIS KARANGAN : PEMERDAGANGAN MANUSIA


DILEMA PEMERDAGANGAN MANUSIA
Oleh MOHD. NA'EIM AJIS

Pensyarah Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Antarabangsa, UUM
Utusan Malaysia
01.10.2009


AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi. Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun. Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun. Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.

Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000. Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat. Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000. Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.

Walaupun Laporan Antipemerdagangan Orang 2007 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam menangani isu ini, kewujudan ATIP dan MAO akan membuktikan komitmen negara dalam usaha membanteras fenomena ini. Persidangan Serantau Mengenai Penyeludupan, Perdagangan Manusia dan Jenayah Antara Negara di Bali pada Februari 2002 telah menunjukkan komitmen bersepadu antara negara-negara Asia Pasifik. Persidangan itu sepakat untuk membentuk kerjasama terutama dalam aspek perkongsian maklumat, kepakaran dan undang-undang yang seragam bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung di peringkat akar umbi. Mereka juga menganggap penyeludupan dan perdagangan manusia bukan sahaja melanggar hak sesebuah negara malah ia menimbulkan pelbagai masalah selain menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.

Namun begitu, dalam memperkatakan mengenai isu ini, ramai yang masih keliru di antara konsep penyeludupan dan perdagangan orang. Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau faedah lain kepada pihak-pihak tertentu. Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.

Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. Daripada definisi di atas, terdapat beberapa perbezaan ketara antara perdagangan dan penyeludupan manusia. Hubungan antara penyeludup dan orang yang diseludup akan berakhir apabila seseorang itu dihantar ke destinasi yang dikehendaki oleh mangsa dan unsur pengeksploitasian tidak perlu dibuktikan sebagai sabitan kepada kesalahan tersebut. Apa yang pasti penyeludupan orang akan melibatkan rentas sempadan sesebuah negara secara haram. Kesanggupan mangsa untuk membayar sejumlah wang menunjukkan bahawa migrasi mereka adalah benar-benar terdesak dan mereka menjangka mendapat keuntungan berlipat kali ganda di negara destinasi.

Pada 1993, seramai 300 imigran dari China telah diseludup ke New York dengan menggunakan kapal Golden Venture. Setiap mereka membayar sebanyak AS$30,000 hingga AS$40,000 kepada ejen penyeludupan. Kebanyakan mereka telah berjaya mengaut keuntungan sehingga mampu membina rumah besar dan mewah di negara asal. Perdagangan orang pula tidak semestinya mereka yang terlibat perlu merentas sempadan sesebuah negara tetapi ia juga boleh berlaku secara domestik. Contohnya dalam isu kerja paksa. Ia tidak semestinya melibatkan pekerja asing sahaja tetapi boleh diambil kira nasib pekerja tempatan yang dieksploitasi oleh majikan. Status kemasukan mangsa perdagangan orang boleh berlaku sama ada secara sah atau tidak. Tetapi bagi aktiviti penyeludupan statusnya sudah tentu tidak sah. Apa yang penting dalam isu perdagangan orang ialah wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa.

Oleh itu, jika dilihat dalam kes Siti Hajar Sadli, pembantu rumah Indonesia yang dikatakan telah didera oleh majikan bukan sahaja boleh menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (KAJ) tetapi juga peruntukan dalam Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP). Kesalahan perdagangan orang tidak melibatkan unsur-unsur sukarela antara mangsa dengan orang yang memperdagangkan. Ia juga tidak melibatkan sebarang bentuk ganjaran atau caj perkhidmatan seperti aktiviti penyeludupan. Untuk tujuan pendakwaan dan sabitan, mangsa perlu dibuktikan telah dipaksa dan dieksploitasi. Unsur-unsur paksaan dan pengeksploitasian boleh wujud sama ada sebelum, semasa atau selepas proses perdagangan orang itu berlaku. Dengan itu, adalah sukar pihak berkuasa untuk bertindak pada peringkat awal kerana ia perlu menentukan mangsa telah dieksploitasi atau sebaliknya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan aktiviti penyeludupan boleh menjadi proses awalan kepada aktiviti perdagangan manusia. Ini kerana selalunya kesalahan penyeludupan orang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian aktiviti perdagangan manusia. Justeru itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah komitmen jitu dan pelaksanaan strategik supaya ia tidak menjadi "tin kosong" dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan. Pelaksanaan perlu dilengkapi dan disokong dengan aspek perundangan yang tersusun, kakitangan yang komited dan kewangan yang mantap. Ini kerana tanpa elemen-elemen tersebut adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam pelan induk mengenai antiperdagangan orang. Apa yang pasti mangsa-mangsa perlu diberikan perlindungan sebaik mungkin tanpa mengira agama, gender, bangsa dan negara asal.

Di samping itu, setiap negara juga perlu menandatangani memorandum perjanjian di bawah PBB supaya kos pemulihan dan penguatkuasaan boleh ditanggung bersama jika salah seorang - mangsa atau penjenayah - melibatkan rakyat mereka. Perjanjian itu akan membuatkan semua negara lebih serius untuk menangani isu ini. Oleh itu, aktiviti ini boleh disekat sejak dari negara sumber lagi dan mengurangkan beban kepada negara destinasi serta menggalakkan migrasi secara sah.



UNODC Tampil Manual Anti Pemerdagangan Manusia Baru, BERNAMA
29 Ogos 2009

DUBAI, 29 Ogos (Bernama) -- Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (Unodc) melancarkan manual baru yang disasar untuk menangani sebarang kelemahan yang terdapat di peringkat pengamal undang-undang jenayah, dalam usaha mencegah dan memerangi kegiatan pemerdagangan manusia. Manual baru itu dilihat muncul pada masa yang kritikal, ketika ekonomi dunia yang tidak menentu kini menyebabkan lebih ramai yang terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini, kata Pengarah Pejabat Untuk Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia, Jabatan Negara Amerika, Luis CdeBaca pada majlis pelancaran dokumen itu di Bangkok. "Manual Anti Pemerdagangan Manusia bagi Pengamal Undang-undang Jenayah" itu menerangkan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil di setiap fasa dalam tindak balas perundangan terhadap jenayah pemerdagangan manusia, di samping menjadi panduan praktikal serta bahan latihan buat pengamal undang-undang jenayah," kata Unodc.

Dengan merujuk kepada laporan pada bulan Februari 2009, badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu berkata walaupun jumlah sabitan kes-kes jenayah pemerdagangan manusia semakin meningkat, namun ia tidak dapat menandingi jumlah peningkatan jenayah itu secara keseluruhan. Badan itu berkata antara masalah yang membataskan jumlah sabitan dalam kes-kes ini ialah kurangnya unudang-undang anti pemerdagangan manusia di sesetengah negara, ketidakupayaan menterjemah aspek perundangan jenayah ini kepada tindakan-tindakan tegas oleh pegawai penguatkuasa, tanggapan salah apabila menyamakan pemerdagangan manusia dengan migrasi haram, serta keengganan mangsa untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa akibat diugut. "Manual ini menampilkan respons kepada cabaran-cabaran ini dalam usaha menjayakan sabitan terhadap pesalah jenayah pemerdagangan manusia," kata Unodc. Antara lain ia menampilkan pengalaman sebenar lebih 45 hakim, pendakwa, penyiasat, ahli akademik dan wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia, yang membentuk satu kumpulan pakar menghasilkan manual itu. CdeBaca dilantik sebagai Pengarah Pejabat Untuk Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia, Jabatan Negara Amerika oleh Presiden Barack Obama pada bulan Mei lepas



Seludup organ ibarat jual manusia
Oleh Haika Khazi dan Rashidi Karim
BERITA HARIAN
3 MAC 2010


KDN siasat, hukum penjenayah ikut Akta Antipemerdagangan Orang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkategorikan kesalahan penyeludupan organ manusia mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007 walaupun jenayah berkenaan sukar dikesan kerana memerlukan siasatan menyeluruh. Bagaimanapun, Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata pihaknya tidak memandang ringan kes itu dan tetap mengawasinya dengan meletakkan kesalahan mengikut akta baru kerana hukumannya lebih berat. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Antipemerdagangan Orang peringkat Kebangsaan di Taman Kastam 3, di sini, semalam. Majlis anjuran bersama kerajaan Perlis, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Hadir sama Timbalan Yang Dipertua NCWO, Faridah Khalid. Mengulas kegiatan pemerdagangan orang, beliau berkata, dalam tempoh dua tahun sehingga 7 Februari lalu, pihak berkuasa menyelamatkan 231 orang daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan. “Daripada jumlah itu, 154 ialah wanita yang sebahagian besarnya dijadikan pelacur, selain 17 kanak-kanak dan 60 lelaki diselamatkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata kegiatan penyeludupan organ manusia tidak berlaku di negara ini. “Buat masa ini KDN tidak menerima apa-apa laporan berhubung kes itu, bagaimanapun pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa berhubung dakwaan itu,” katanya ketika meninjau proses baik pulih mesin pengimbas pasport automatik di Lapangan Terbang Antara-bangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam. Dalam perkembangan sama, Md Isa menafikan sempadan darat Perlis-Thailand, terutama di Padang Besar menjadi laluan utama penyeludupan manusia ke negara ini.

Malaysia Sebagai Transit Pemerdagangan Manusia Masih Terkawal
BERITA HARIAN
20 Oktober 2009


KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia oleh sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebenarnya tidak serius dan masih terkawal. Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat berkata ini kerana setiap tindakan pihak berkuasa bagi menangani kegiatan itu adalah yang terbaik dan berterusan sehingga masalah ini dapat diatasi sepenuhnya. Katanya, banyak faktor penyebab jenayah tersebut berlaku dan pihak berkuasa sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran namun kerajaan percaya mereka berupaya menghadapinya dengan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. "Masalah tersebut masih terkawal di negara ini bagaimanapun kita tidak pernah memejam mata malahan terus melipat gandakan usaha dalam memerangi jenayah merentasi sempadan ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perisikan Imigresen Lembagan Pasifik 2009 ke-15 di sini Selasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata tuduhan bahawa negara ini tidak serius dalam menangani kegiatan itu adalah tidak berasas kerana segala tindakan diambil berpandukan peruntukan kuasa dan undang-undang yang ada demi kebaikan negara. Beliau berkata dengan berkongsi maklumat risikan antara negara, mengawasi mereka yang diburu di peringkat antarabangsa dan menjalankan penguatkuasaan bersama, jenayah global terutamanya pemerdagangan manusia boleh ditangani. "PACRIM adalah satu usaha serius bagi memastikan status Malaysia yang diturunkan kepada Tahap 3 daripada Tahap 2 dalam Laporan Permerdagangan Orang 2009," katanya. Abdul Rahman berkata sebelum ini jabatan itu hanya melakukan penguatkuasaan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 tanpa disusuli usaha lain termasuk seminar dan persidangan seperti hari ini. Laporan Pemerdagangan Orang 2009 dikeluarkan pada 16 Jun oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, menyebut status Malaysia diturunkan kepada Tahap 3 daripada Tahap 2 kerana kegagalan negara mematuhi sepenuhnya standard bagi pembasmian pemerdagangan orang dan tidak melaksanakan usaha mencukupi untuk membendung gejala itu.

Antara 17 negara yang disenarai hitam bersama Malaysia ialah Zimbabwe, Sudan, Arab Saudi, Myanmar, Papua New Guinea, Fiji dan Korea Utara. Abdul Rahman berkata persidangan ini merupakan wadah bagi membolehkan perkongsian pintar strategi serta kaedah operasi dalam menangani isu tersebut. "Malaysia sebagai tuan rumah kepada persidangan PACRIM kali ini adalah bukti kesungguhan negara dalam membanteras penyeludupan dan pemerdagangan manusia," katanya. Persidangan ini bertujuan mengumpul, mentafsir dan menganalisis maklumat berhubung kawalan sempadan dan isu penyeludupan manusia.

Persidangan kali ini dengan tema 'Memastikan Perisikan Imigresen Relevan' akan lebih menumpukan kepada keperluan risikan dalam membanteras masalah dokumen palsu dan masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia. PACRIM dianggotai 13 negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jepun, Hong Kong, Korea, Macau, Mexico, New Zealand, Peru, China, Singapura dan Malaysia.

SEKOLAH YANG CEMERLANG DALAM AKADEMIK DAN KOKURIKULUM BAKAL DAPAT IMBUHAN YANG LUMAYAN

KUALA LUMPUR 15 Mei - Mana-mana sekolah yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan dari sudut pencapaian akademik dan kokurikulum akan menerima imbuhan lumayan. Imbuhan tersebut termasuk dalam bentuk kenaikan pangkat dan gaji pengetua, guru-guru serta semua pihak yang terlibat dalam usaha berkenaan selain mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pelajaran. Pengumuman mengenainya dijangka dibuat esok oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuantan. Sehubungan itu, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memantau prestasi semua sekolah di negara ini dan penilaian akan dibuat secara menyeluruh untuk memastikan semua pihak di sekolah terlibat dalam usaha tersebut.

Ini bermakna jika ada pihak yang tidak terlibat dalam usaha mencatatkan kecemerlangan biar pun hanya seorang guru maka sekolah berkenaan tidak layak dipertimbangkan untuk mendapat keistimewaan itu. Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia kelmarin menyifatkan amanat beliau sempena Hari Guru sebagai yang terpenting dalam menentukan hala tuju profesion perguruan di negara ini. Beliau berkata, untuk memartabatkan profesion perguruan, banyak cabang lain yang ada kaitan dengan usaha tersebut mesti diberi perhatian.

Katanya, masih banyak lompong termasuk dalam soal penyediaan kemudahan bagi guru-guru dan masalah tersebut mesti segera diatasi. Beliau turut menarik perhatian mengenai dasar penempatan guru yang akan meningkatkan pengambilan guru-guru dari Sabah dan Sarawak di mana selepas tamat kursus mereka akan ditugaskan di kawasan masing-masing. Langkah tersebut, katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman terutama di kedua-dua negeri itu selain untuk memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran murid-murid di kawasan berkenaan.

KEBENARAN DIBERI : BOLEH TUISYEN, TETAPI USAH ABAI KOKURIKULUM


Ramai guru kini membuka pusat tuisyen sendiri. Tidakkah akan wujud konflik antara tugas hakiki untuk membimbing murid menjadi cemerlang dalam masa yang sama memastikan pusat tuisyen juga cemerlang?

MUHYIDDIN: Itu pun boleh diistilahkan sebagai beban juga. Apabila dia punya tugas ditokok lagi dengan tugasan lain walaupun di luar waktu persekolahan secara tak langsung untuk menambahkan pendapatan, maka akan ada tugas lain yang perlu dilaksanakan. Kita hendak lihat perkara ini. Mungkin akan disyaratkan berapa jam seminggu guru boleh diizinkan beri tuisyen (ini cuma pandangan peribadi saya). Saya tidak kata saya mahu menyekat sebab ini telah menjadi kebiasaan kerana kadang-kadang masyarakat pun memerlukan guru untuk membimbing anak mereka sama ada dibayar atau tidak. Tetapi yang penting dalam menentukan batasan sejauh mana difikirkan sesuai. Kadang-kadang kerana mahu mengejar tuisyen tugas di sekolah seperti mengendalikan aktiviti kokurikulum terganggu. Kita kena lihat perkara ini dengan lebih seimbang dan bukannya samar-samar.

Adakah Tan Sri melihat imbuhan bagi profesion perguruan sekarang ini mencukupi? Jika cukup mengapa trend membuka pusat tuisyen semakin menjadi-jadi?

MUHYIDDIN: Nak katakan profesion perguruan tidak diimbuh dengan gaji yang setimpal tidak juga, kerana telah ada beberapa kali keputusan yang dibuat oleh kerajaan menambah baik ganjaran kepada guru, malah guru adalah profesion yang dibayar gaji yang lumayan. Contohnya seorang guru besar dengan 1,500 hingga 1,800 murid dan tempoh waktu bekerja yang kita tahu dibayar gaji lebih tinggi daripada pegawai daerah yang jaga satu daerah, dia jaga satu sekolah saja, dan dia diberi peluang kenaikan pangkat yang tidak terbatas walaupun dia hanya guru besar atau pengetua. Kalau dikatakan bayaran tidak setimpal saya tidak setuju tetapi yang pastinya sesiapa pun akan cakap gaji tidak cukup. Mesti ada keseimbangan dari segi tugas dan imbuhan yang dibayar. Malahan di kementerian saya lebih 80 peratus bajet dibayar dalam bentuk gaji untuk guru.

Apa pandangan Tan Sri tentang dakwaan bahawa guru-guru dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran sehingga mengganggu tugas-tugas hakiki mereka?

MUHYIDDIN: Perkara ini memang kita telah bincangkan. Satu jawatankuasa jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran sedang mengkaji permasalahan tersebut dan hasil kajian akan diserahkan minggu depan. Dalam kajian itu kita nak pastikan apa sebenarnya tugas guru. Kalau ikut definisi biasa tugas guru adalah mendidik, mengajar. Tetapi di samping itu bagaimana pula dalam perjawatan-perjawatan lain. Biasanya ada bidang-bidang lain yang dipertanggungjawabkan kepada guru misalnya disiplin, kokurikulum, peperiksaan dan kita tahu sejak dari dulu ia telah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru. Jadi apabila dikatakan beban, maka kita nak tahu apa sebenarnya yang dikatakan beban, di peringkat mana kerja itu berlipat kali ganda banyaknya dari segi kuantum kerja itu sehingga menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan tugas seperti biasa. Jadi kita hendak establish betul-betul, sebab itu apabila saya putuskan menubuhkan jawatankuasa itu ia bertujuan untuk memastikan proses P&P itu sesuatu yang dinamik, ia bukan statik. Kita juga hendak pastikan proses pembelajaran itu sentiasa ke hadapan di samping kita tahu juga kadang-kadang ada pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh sekolah, jadi guru besar atau pengetua seorang tidak mampu melaksanakannya dan memerlukan bantuan guru-guru lain atau tenaga lain di sekolah seperti kerani. Yang penting kita nak tentukan apakah bidang tugas sama ada ‘guru++’ atau guru semata-mata.

Kalau benarlah mereka terpaksa menanggung kerja yang lebih daripada sepatutnya dan dakwaan itu dapat dibuktikan berasaskan fakta, maka langkah-langkah lain boleh diambil. Misalnya boleh disediakan tenaga pentadbiran di sekolah supaya kerja-kerja pengkeranian yang terpaksa dipikul oleh guru boleh juga dikongsi oleh pembantu-pembantu tadbir di sekolah. Kalau bukan tugas hakiki sebaliknya tugas tambahan yang sewajarnya tidak ditanggung oleh guru maka mungkin kita boleh tentukan cadangan tenaga pentadbiran diwujudkan di sekolah. Di samping itu kita perlu ambil kira jika seseorang guru itu benar-benar dedikasi dan saya tahu memang ramai guru yang dedikasi mereka tidak akan melihat tugas tersebut sebagai satu beban. Istilah beban itu sesuatu yang tidak disukai, kalau dia minat walaupun tugas itu berat, saya fikir dia bersedia untuk berkorban. Konsep pengorbanan dalam profesion perguruan penting juga dan saya tahu ada guru-guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk melaksanakan tugas membimbing pelajar terutama di kalangan sekolah berprestasi tinggi (SBT). SBT ini tiada kelebihan banding dengan sekolah-sekolah lain tetapi kelebihannya adalah dari segi kepimpinan dan komitmen guru yang jauh lebih tinggi daripada sekolah-sekolah lain. Mereka sanggup datang ke sekolah dan mengadakan tuisyen tanpa diminta oleh ibu bapa.

Sejauh mana usaha kerajaan menambah baik kursus perguruan sedia ada supaya relevan dengan tuntutan semasa?

MUHYIDDIN: Kita membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Hubungan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang menyediakan program ijazah perguruan sentiasa berlangsung dengan baik kerana kita hendak pastikan latihan atau kursus perguruan yang ditawarkan di peringkat ijazah mempunyai kepakaran-kepakaran yang bersesuaian dengan keperluan masa depan. Di peringkat kita pula misalnya di Institut Pendidikan Guru, kurikulumnya sentiasa diperbaharui, lebih-lebih lagi sekarang kita dimasukkan komponen-komponen baru dalam erti kata interaksi dan pedagogi yang digunakan untuk mengajar anak-anak mesti sentiasa tepat. Bagaimanapun kita tidak berharap ia akan berubah selalu. Perubahan yang kerap akan mendatangkan masalah. Bagaimanapun perlu ada pembaharuan, transformasi dari sudut kurikulum sebagai contoh, guru-guru mesti dilatih supaya mereka faham sasaran atau matlamat berkhidmat dalam bidang perguruan tercapai.

Pesanan Tan Sri kepada semua guru?

MUHYIDDIN: Profesion guru amat mulia. Guru-guru mesti memberi sumbangan kepada anak watan dan menyifatkan tanggungjawab mereka itu sebagai sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan secara sukarela. Penting di mana guru jalankan tugas dengan rasa senang hati. Saya ingin memberitahu bahawa kerajaan iktiraf peranan guru dan menghargai sumbangan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu. Kita tahu mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang. Kita mahu supaya mereka berikan tenaga serta masa mereka untuk menjadikan profesion guru sesuatu yang dimuliakan.

Selamat Hari Guru

TEMUBUAL DENGAN TIMBALAN PERDANA MENTERI SELAKU MENTERI PELAJARAN MALAYSIA SEMPENA HARI GURU 2010

MENJADIKAN TUGAS GURU BERKESAN


MINGGUAN: Apa sebenarnya cabaran dalam profesion perguruan sekarang ini?
MUHYIDDIN: Cabaran profesion perguruan tidak boleh dilihat terasing daripada cabaran lain dalam bidang pelajaran. Sebab itu sempena Hari Guru ini bukan hari untuk membicarakan soal guru sahaja. Ucapan saya sempena Hari Guru adalah ucapan terpenting untuk menjelaskan halatuju pelajaran negara kita. Profesion perguruan pun satu perkara utama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran. Pertama, bagaimana hendak perkukuh organisasi kementerian. Dalam tempoh setahun saya lihat walaupun ada kemajuan yang telah dicapai tetapi masih ada ruang, lompang yang mesti diisi terutama dari segi kualiti, tahap keupayaan, proses yang dilakukan secara pantas dan segera, infrastruktur, cara penyampaian memenuhi falsafah pendidikan kita. Apatah lagi apabila kita bandingkan pula dengan pencapaian sistem pendidikan di negara-negara maju umpamanya Korea Selatan negara paling maju dalam bidang pelajaran, begitu juga di kalangan negara-negara membangun.
Kita boleh lihat negara-negara yang sudah maju sebagai contoh dan kita akan buat perbandingan sejauh mana Malaysia telah maju, sejauh mana sistem pendidikan kita telah maju. Kita tidak boleh menilai tahap kita dari segi penanda aras nasional sahaja. Ada mengatakan mutu pelajaran belum sampai ke tahapnya sehingga menjadi dalih untuk tidak menghantar anak ke sekolah kebangsaan kerana dikatakan mutu tidak setanding dengan sekolah swasta. Biar pun itu tanggapan dan persepsi tetapi kita tidak boleh menolak atau ketepikan. Lebih penting lagi kajian-kajian yang dijalankan mesti lebih saintifik, objektif dalam membuat penilaian. Pandangan peribadi saya masih terdapat ruang yang banyak kerana saya sendiri pernah katakan belum lagi berpuas hati walaupun telah ada kemajuan tentang di mana kedudukan bidang pelajaran di negara kita ini. Umpamanya dalam soal antara kaum pencapaian pelajar Melayu dan bukan Melayu, bandar dan luar bandar, infrastruktur yang kita sediakan dan bentuk sokongan, banyak perkara yang kita boleh bincangkan skop itu masih luas untuk diselesaikan. Kita boleh melihat kepada MEB yang hendak dilaksanakan. Maka cabaran sistem pendidikan kita lebih hebat, bukan setakat beri peluang anak-anak kita belajar tapi nak bangunkan masyarakat dan negara terutama dari segi konteks persaingan Malaysia dengan negara-negara lain di dunia. Begitu juga soal modal insan. Kalau kita tidak mampu lahirkan modal insan yang mampu bersaing dan setanding dengan masyarakat antarabangsa kita akan terkebelakang. Contohnya dalam soal penguasaan bahasa Inggeris, sains, matematik dan dalam bidang profesional yang dianggap penting. Malahan kita menghadapi masalah melahirkan modal insan dalam bidang teknikal dan vokasional. Saya pergi Perancis 50 peratus sistem pelajaran adalah vokasional, di Malaysia tak sampai lima peratus. Sedangkan kita mengarah untuk menjadi negara maju dalam bidang teknologi. Saya tidak melihat ini tugas Kementerian Pelajaran untuk menjana sumber manusia yang kita perlukan, kita mesti lihat konteks yang lebih besar. Sebab itu tugasan kita masih banyak dan ruang untuk perbaiki hampir semua bidang masih ada. Saya belum berjaya sepenuhnya, ia satu proses yang harus berterusan bukan setahun atau sepuluh tahun. Perlu ada penglibatan masyarakat, kerana masyarakat tahu apa yang mereka mahu dalam bidang pelajaran.
Di paras mana kualiti perguruan di negara kita?

MUHYIDDIN: Kalau pun kita sudah berjaya, tetapi ia satu proses berterusan. Kalau hari ini sudah baik tetapi tidak bergerak langsung maka benda yang baik pun akan tertinggal di belakang. Mesti ada proses yang berterusan untuk memastikan sistem yang ada bukan saja baik untuk hari ini tetapi juga baik untuk masa depan. Kalau kualiti guru kita baik hari ini mesti ditambah baik lagi, sasaran kita mesti semua guru ada ijazah dari peringkat pra sekolah lagi. Bukan kita kata guru tidak berijazah tak baik tetapi pastinya ijazah itu naik satu tahap lagi. Kita ada 400,000 guru, kalau baru separuh ada ijazah maknanya separuh lagi belum selesai. Sebab itu profesion perguruan mesti ada kualiti dengan adanya kepakaran dan kemahiran. Tuntutan dan cabaran profesion perguruan sememangnya semakin hari semakin meningkat.
Apakah perubahan drastik yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti perguruan dalam masa terdekat?


MUHYIDDIN: Latihan, latihan dan latihan. Pastinya bukan soal guru sahaja tetapi dilengkapkan juga peralatan canggih, suasana pekerjaan kondusif. Bagaimana perguruan dimartabatkan dalam konteks suasana mengajar. Kita mesti selesaikan masalah yang dilihat kecil tetapi sebenarnya penting seperti 50 guru terpaksa bersesak dalam sebuah bilik, guru tidak ada kemudahan tempat tinggal, kuarters guru di pedalaman, kesemua itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Semangat guru kena dijaga sebab itu saya ambil masa panjang berbincang bagaimana nak dimartabatkan profesion perguruan, bukan gaji atau elaun sahaja yang memang diambil kira, tapi banyak perkara lagi.
Bagaimana pula langkah mengatasi masalah guru di pedalaman kerana masalah ini jika tidak diselesaikan pasti memberi kesan kepada para pelajar di kawasan tersebut?

MUHYIDDIN: Satu ketegasan yang kita buat adalah pengambilan guru-guru pada masa akan datang lebih menjurus kepada kalau ada di kawasan itu anak-anak yang berminat menjadi guru dan berkelayakan mungkin kita tidak hadapi masalah untuk menghantar mereka berkhidmat di kampung sendiri. Kadang-kadang mereka mahu menjadi guru di kawasan mereka kalau ada peluang, tetapi mesti ada syarat yang cukup. Umpamanya di Sabah dan Sarawak, kita akan ambil lebih ramai guru dari negeri-negeri itu supaya mereka dapat mengajar di negeri masing-masing. Tidak bermakna kita menolak proses integrasi tapi kadang-kadang ada keperluan untuk kita berbuat begitu. Saya tidak katakan tidak ada guru sesuai dari Semenanjung untuk mengajar di Sabah dan Sarawak. Kita kena lihat juga bentuk imbuhan supaya jadi pendorong bersedia bekerja. Kita perlu ada dasar penempatan guru yang lebih telus, maknanya kalau setiap guru mesti kena mengajar di kawasan pedalaman. Ini bukan mendera tetapi tanggungjawab iaitu apa keadaan sekalipun dia kena berkhidmat di luar bandar, sekarang ini tidak begitu. Ada guru sampai pencen mengajar di satu tempat sahaja, ada pula mengajar di luar bandar dan tidak dapat ke tempat lain. Setiap guru ada peranan membimbing anak bandar dan luar bandar. Mereka tidak boleh menolak atau anggap penderaan dihantar ke kawasan luar bandar. Menerusi dasar penempatan yang lebih jelas, sistem pemantauan dan rekod perkhidmatan guru tidak akan ada guru yang rasa kebal untuk berkhidmat hanya di satu kawasan sahaja.

Profesion guru kini dilihat memperoleh imbuhan lumayan. Sejauh mana Tan Sri lihat gaji serta elaun guru yang tinggi dapat mampu membentuk guru-guru yang berkualiti?

MUHYIDDIN: Memang telah banyak sokongan telah diberikan kepada profesion perguruan bukan sahaja dari segi imbuhan malah pelbagai kemudahan telah disediakan. Namun yang masih kita perlukan adalah meningkatkan kecekapan profesion itu sendiri. Kalau kita lihat hari ini yang ingin kita tekankan adalah soal kualiti pendidikan. Ia bukan saja terkandung dalam kurikulum yang kita sediakan, tetapi juga bagaimana pihak yang bertanggungjawab iaitu guru-guru menyampaikan kurikulum tersebut.
Dahulu kita dilihat hanya fokus kepada kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja tetapi tuntutan semasa adalah proses pembelajaran membentuk peribadi dan perwatakan yang holistik di samping itu memenuhi tuntutan masa depan di mana tenaga modal insan kita mesti kreatif, inovatif selaras dengan Model Ekonomi Baru yang kita rancang. Sebab itu yang penting adalah kita terus beri latihan perguruan kepada guru-guru bukan setakat tertumpu kepada silibus tetapi untuk membolehkan pelajar kita lebih kreatif dan ada interaksi antara guru dan pelajar. Kadang-kadang dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran hanya ada satu track iaitu guru sebagai pendidik dan pelajar anak murid. Tiada interaksi dan kreativiti pun agak terbatas sebab itu sistem pendidikan kita dianggap fokus kepada kecemerlangan akademik. Kita tidak boleh nafikan akademik memang penting tetapi tidak kurang pentingnya adalah melahirkan masyarakat yang lebih kreatif dan di sini pentingnya bagaimana guru dapat memikul tugas itu.

Kita ada Standard Perguruan Malaysia yang dijadikan asas untuk melihat sejauh mana guru telah mencapai tahapnya. Jika sasaran belum tercapai maka kita mesti menyediakan ruang dan peluang latihan secara berterusan yang mampu mendatangkan hasil jangka pendek dan panjang.

Adakah kecemerlangan para pelajar menjadi kayu pengukur kepada kejayaan guru?
MUHYIDDIN: Ia mencerminkan sedemikian, ini kerana tidak mungkin pelajar cemerlang jika guru tidak cemerlang tetapi kecemerlangan pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata. Kita mahu dalam proses pembelajaran, para pelajar didedahkan juga dengan nilai-nilai kepemimpinan misalnya, yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat maju. Ini hanya akan berlaku jika guru itu ada kepimpinan. Guru bukan setakat guru di dalam bilik darjah, mereka juga pemimpin dalam bilik darjah. Mereka boleh memimpin para pelajar dalam sistem moral, akhlak, kreativiti, daya usaha. Kesemua ini bergantung kepada guru sendiri. Sebab itu dalam sistem pendidikan kita, kita tekankan kokurikulum supaya pelajar dapat dinilai dari sudut sikap untuk menjadi kreatif dan ada semangat tambah nilai kepada usaha pelajar di samping kemahiran tambahan.
Masih ada trend kalangan graduan memilih bidang memilih bidang perguruan kerana tidak mendapat kerja dan bukannya kerana minat. Tidakkah trend ini sedikit sebanyak menjejaskan mutu profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Mungkin ada, tetapi saya yakin sebahagian besar yang memohon untuk menjadi guru adalah kerana mereka berminat dan jumlah yang mohon juga besar dan ini terbukti ramai yang telah mendapat jawatan tersebut kekal sebagai guru. Mungkin ada kes di peringkat awal profesion perguruan bukan pilihan utama tetapi apabila sudah biasa dididik dan dibimbing dalam bidang perguruan minat semakin meningkat dan mereka meneruskan kerjaya dalam bidang perguruan. Bagi saya mustahak mereka yang mohon jadi guru adalah betul-betul kerana minat dalam bidang itu. Kita mahu mereka yang benar-benar dedikasi menjadikan guru sebagai profesion dan bukan sebagai pilihan terakhir. Ini kerana guru adalah profesion mulia yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebagai pembimbing dan pendidik guru sentiasa dipandang hormat oleh masyarakat. Jadi atas dasar itu mereka yang mahu berkhidmat sebagai guru mesti menjadi guru profesional. Guru bukan seperti penjawat awam yang lain kerana mereka adalah pembimbing, pembentuk akhlak dan sahsiah, jadi mereka mesti komited sebab itu kita perlukan guru yang benar-benar mementingkan profesion.
Adakah soal kesediaan guru untuk berkorban masa dan tenaga boleh disifatkan cabaran utama dalam profesion perguruan?

MUHYIDDIN: Itu satu daripada cabaran bukan keseluruhannya. Beban bukan faktor utama kerana saya tidak percaya semua guru berasa terbeban. Sebab itu saya mengadakan perbincangan misalnya dalam soal pekeliling yang dikeluarkan oleh kementerian untuk melaksanakan satu projek yang dihantar ke peringkat negeri. Tetapi di peringkat negeri, pengarahnya dia ada kreativiti yang difikirkan sesuai. Pengarah misalnya untuk penambahbaikan, menambah satu lagi tugas dalam pekeliling tersebut, maka jadilah dua perkara mesti dilaksanakan oleh guru-guru. Walaupun niatnya baik tetapi telah menjadi beban. Oleh itu tidak usah ditokok tambah, jadi kita nak pastikan ada pemantauan, jika kita keluarkan pekeliling perkara tertentu, ikut pekeliling itu, kalau ada idea baru di peringkat pengarah negeri ia tidak harus diberi kebebasan menokok kepada arahan sedia ada sehingga menjadi bebanan. Kementerian juga mesti beri arahan yang tepat dan apabila nak dilaksanakan di peringkat negeri, mesti dilaksanakan berdasarkan arahan.

21 Mac 2010

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

ARKIB : 04/03/2010
Ingatan untuk lelaki Malaysia
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

BIMBANGKAH kaum lelaki apabila menyaksikan sektor perkhidmatan kerajaan sekarang dikuasai oleh wanita? Itu persoalan yang timbul apabila Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mendedahkan bahawa sektor itu telah dikuasai oleh golongan wanita. Reaksi yang diterima daripada kenyataan itu adalah pelbagai, ada yang melenting dan ada yang memandang sinis.

Soalnya, mengapa soal gender masih terus dibangkitkan ketika golongan wanita di negara ini telah banyak mencipta kejayaan. Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Lamien Sawiyo menyatakan pendirian yang sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa tiada diskriminasi gender berlaku dalam pengambilan kakitangan awam. SPA yang mengendalikan 250 skim perjawatan setiap tahun menerima hampir sejuta permohonan daripada mereka yang mahu menyertai sektor awam. Sudah pasti, suruhanjaya itu menerima maklumat tentang pelbagai latar belakang pemohon dan tapisan ketat pasti dilakukan kerana cuma 50,000 kekosongan sahaja yang ada setiap tahun.

''Jadi...kita ikut merit, kalau bagus dan melepasi syarat yang ditetapkan, kita ambil. ''Tiada sebarang kuota sama ada lelaki atau perempuan melainkan jawatan itu memerlukan kakitangan wanita," katanya. Justeru, dominasi kaum wanita dalam sektor kerajaan bukan menjadi suatu perkara yang membimbangkan sehingga timbul polemik tentang persoalan gender. Dalam dunia moden hari ini, tiada lagi ruang untuk kita katakan bahawa dunia adalah untuk lelaki sahaja. Proses pemodenan yang antara lain menyentuh soal kebebasan dan keadilan juga memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita untuk turut sama terlibat dalam apa juga bidang.

Cuma, penglibatan wanita mungkin tidak perlu sampai ke tahap menyeberang ke orbit wilayah hukum dan bidang kuasa lain sehingga akhirnya akan menyebabkan kepincangan sosial. Dalam zaman moden dan dengan bilangan ramai serta penguasaan wanita dalam segala sektor, ada kemungkinan kekuasaan atau tugas-tugas penting yang selama ini didominasi oleh lelaki akan diambil alih oleh wanita. Jika lelaki tidak mampu menunjukkan keupayaan dan daya intelektual yang tinggi, suatu hari nanti ruang itu akan diambil alih oleh wanita. Inilah yang berlaku sekarang. Sektor awam seolah-olah tiada pilihan kerana jika tidak berbuat begitu, pembangunan negara dan umat Islam akan terbantut.

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Siri Wacana Perdana bertajuk Peranan Wanita dan Belia Dalam Pembangunan Negara pada hujung tahun lalu. Beliau membayangkan lelaki bakal kehilangan kuasa apabila wanita meningkat maju dalam pelbagai bidang. ''Perubahan kuasa dan autoriti akan berlaku antara dua gender ini, iaitu apabila anda (lelaki) membenarkan orang lain (wanita) melakukan tugas anda. ''Jadi, anda akan bergantung kepada wanita terutama apabila mereka mampu melakukan sesuatu dengan lebih baik. Sekarang, kita lihat golongan lelaki tidak lagi mempunyai kebebasan dan dalam masa yang sama, mereka tidak ada kelayakan," katanya.

Katanya, peningkatan golongan lelaki bersikap terlalu bergantung kepada wanita tidak boleh dibiarkan terus berlaku. ''Akan terjadi keadaan di mana wanita (isteri) boleh berkata kepada lelaki, kamu boleh keluar dari rumah," katanya. Malah ada segelintir orang berfikir, apa guna mereka membuat sesuatu pekerjaan yang orang lain boleh melakukan untuk mereka. Justeru, inilah yang terjadi apabila negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing kerana rakyat tempatan 'malu dan segan' untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan. Ketika itu, rakyat bukan sahaja akan hilang kebebasan, malah lambat laun akan 'kehilangan' negara sendiri.

Mahu tidak mahu wanita perlu dilibatkan sama dalam pembangunan negara. Dengan jumlah populasi sebanyak 27 juta, Malaysia akan menghadapi masalah produktiviti jika tiada penglibatan tenaga kerja wanita. Tidak hairanlah ketika Malaysia hanya mempunyai 13 juta penduduk, Dr. Mahathir yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan negara membuat kejutan apabila mengumumkan negara perlu mencapai 70 juta penduduk. Meskipun, kini jumlah penduduk negara sudah meningkat sehingga 27 juta, kata Dr. Mahathir, beliau tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang kecil. Justeru, katanya, negara perlu memanfaatkan seluruh rakyat termasuk wanita untuk membangunkannya.

Ini kerana, jika wanita diketepikan, maka jumlah guna tenaga akan terbahagi dua. Sebagai pemimpin yang berfikiran jauh, Dr. Mahathir cukup cekap membuat jangkaan masa depan berdasarkan statistik. Dan statistik itulah yang menjadi 'bola kristal' untuk meramal masa depan. ''Apabila kita mempunyai 13 juta rakyat dan jika kita asingkan tenaga kerja wanita, jumlahnya hanya 6.5 juta. ''Ketika itu, hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk boleh bekerja. Jadi, apa akan terjadi jika 40 peratus daripada 6.5 juta rakyat sahaja yang boleh bekerja, sebab itu kita bawa masuk wanita," katanya mengimbas dasar pentadbirannya dahulu.

Pentingnya wanita dilibatkan sama dalam pelbagai sektor pekerjaan adalah kerana kemampuan dan keupayaan mereka. Meskipun masyarakat masih didominasi kaum lelaki, namun sumbangan wanita tidak boleh dipandang ringan. Hakikatnya, gabungan tenaga kerja lelaki dan wanita mampu memperluaskan pasaran produk tempatan dan kuasa beli di peringkat domestik. Dengan itu, ekonomi negara dapat dijana lebih cepat ketika kelembapan ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya. Apa yang kita lihat hari ini adalah wanita bukan sahaja berjaya menampilkan keupayaan dalam pelbagai bidang, malah mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Jangan lupa kualiti filem
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 1 Mac 2010

APABILA bercakap tentang kualiti, ada orang menganggap itu suatu yang subjektif. Ini kerana kualiti tidak boleh diukur dengan angka-angka tertentu. Tetapi pada masa yang sama juga kita kena mengakui bahawa ukuran kualiti itu tetap ada. Apa ukuran kualiti filem tempatan? Adakah jumlah kutipan dan bilangan penonton boleh dijadikan ukuran atau sebenarnya kita sendiri dapat mengukur kualiti sesebuah filem dari sudut yang lain?

Khalayak filem tempatan terlalu disogokkan dengan angka. Lalu mereka menganggap angka-angka ini mewakili kualiti sesebuah filem. Kutipan harian dijadikan satu tarikan untuk membawa penonton ke pawagam tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan kepada penonton bahawa filem itu terbaik untuk mereka. Kalau pun kita tidak mampu menghasilkan filem yang hanya berkualiti, tetapi kita perlu berusaha untuk menawarkan kepada penonton filem yang memenuhi cita rasa massa. Pada masa yang sama pengarah dan produser dengan jujur mempertingkatkan tahap kualitinya.

Kalau setiap filem yang ditayangkan hanya menjaja angka, kita tidak ada dapat menghasilkan filem yang berkualiti. Walaupun ada yang pandai mengelak berkata kualiti itu subjektif tetapi orang yang menghasilkan tentu tahu yang dibuatnya berkualiti atau sekadar untuk kelangsungan perniagaan. Penonton mesti dicerdikkan atau mendorong mereka berfikiran kritis apabila mendepani filem-filem yang buruk di pawagam.

Ini bukan untuk membunuh filem tempatan tetapi apabila penonton berfikiran kritis dan tidak pasif seperti sekarang, pengarah dan produser akan membuat filem yang menepati atau mendekati cita rasa massa. Mereka tidak rugi apa-apa hanya sekadar mengalih daripada cenderung membuat filem yang buruk kepada filem yang lebih baik, bukan saja lebih popular. Membuat filem yang dirasakan berkualiti tidak memerlukan pelaburan tambahan.

Misalnya kalau selama ini mereka menulis skrip dengan sambil lewa asalkan ada gambar bergerak sudah dianggap filem, berubahlah menulis skrip yang ada anjakan pemikiran. Buatlah filem genre apa sekalipun kerana yang membezakan adalah isi kandungannya. Filem komedi boleh menjadi filem yang bagus dan filem yang penuh dengan syarahan pula menjadi sebaliknya. Kalau sebelum ini pembinaan watak tidak diberi perhatian, untuk menjadi lebih baik perlulah membina perwatakan yang diyakini.

Malah membuat filem yang berkualiti boleh menjimatkan apabila memberikan watak kepada pelakon yang boleh berlakon daripada pelakon yang dipaksa berlakon selepas ditawarkan bayaran lumayan. Di sinilah tanggungjawab pengarah untuk mencerdikkan penonton bahawa mereka menjadi penonton filem bukan penonton artis popular.

Memang benar filem adalah sebahagian daripada cabang mendapatkan hiburan. Tetapi kalau penonton yang kritis tidak terhibur dengan sesebuah filem waima disumbat lagu dan artis popular, mereka tidak akan rasa terhibur. Maka pengarah jangan mudah menganggap filem mereka hanya sebuah hiburan. Bagaimana pula kalau filem yang dikatakan hiburan membuat penonton rasa terhina dengan kecetekan filem yang ditonton.

Sekarang hampir semua institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta ada menawarkan pengajian perfileman. Saban tahun beribu orang yang tamat pengajian dan mereka ini mempunyai selera yang tinggi tentang filem. Bayangkan apa akan terjadi apabila kadar celik filem penonton jauh lebih tinggi daripada pengarah? Sekarang filem-filem buruk bernasib baik kerana ada penonton-penonton yang berselera rendah sekalipun menghuni negara semaju Malaysia. Sepatutnya mereka berselera tinggi.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Ketulenan produk cabaran produk organik
Oleh Rohaniza Idris
SUMBER : Berita Harian
Tarikh : 21 Mac 2010

SEJAK kebelakangan ini, permintaan terhadap makanan organik semakin meningkat berikutan bertambahnya kesedaran umum mengenai kesihatan diri, selain kepentingan menjaga alam sekitar.

Pengambilan makanan organik bermula apabila Eropah dilanda kes jangkitan penyakit lembu gila atau madcow disease kira-kira 20 tahun lalu. Bermula dengan kes itu, pelbagai alternatif makanan organik dicari dan hasilnya hari ini, sudah banyak industri makanan dan pertanian yang beralih kepada tanaman dan makanan organik termasuk diusahakan syarikat bertaraf multinasional. Bagaimanapun, bagi kebanyakan industri makanan dan pertanian berasakan industri organik memerlukan perbelanjaan besar menyebabkan harga makanan yang dihasilkan jauh lebih mahal daripada makanan konvensional.

Malah, makanan organik dikategorikan sebagai makanan kesihatan dan eksklusif kerana ia menggunakan bahan semula jadi tanpa sebarang penggunaan baja atau bahan kimia dalam proses penghasilannya.

Di negara ini, industri makanan dan pertanian organik terus berkembang sejak 1987. Malah, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah mengeluarkan sijil Skim Organik Malaysia (SOM) bagi mengiktiraf produk yang dijual sebagai produk organik.

SOM berasaskan Malaysian Standard MS 1529:2001 serta dua standard antarabangsa, iaitu IFOAM (Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa) dan Standard Codex FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Piawaian SOM menggariskan keperluan berkaitan pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan penjualan yang bertujuan memastikan produk organik di pasaran dikeluarkan mengikut kaedah dan standard ditetapkan.

Kerajaan menetapkan selepas Januari 2011, pengeluar produk organik mesti mendapat sijil SOM jika mahu menjual produk sebagai produk organik. Bagaimanapun, hanya produk sayuran dan berasaskan pertanian saja layak mendapat SOM manakala untuk ternakan dan perikanan masih belum dimasukkan di bawah piawaian berkenaan.

Sejak 2002 sehingga kini, hanya 28 ladang organik berjaya mendapat sijil SOM berbanding 149 ladang organik seluruh Semenanjung.

Namun, SOM tidak termasuk bahan makanan berasaskan penternakan dan perikanan kerana ia hanya membabitkan sayuran dan buah-buahan saja.

Untuk itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sedang berusaha mencari formula yang sesuai bagi menetapkan piawaian organik yang sesuai untuk ternakan terutama penternakan ayam organik.

Mardi memulakan penyelidikan mengenai penternakan ayam organik pada 2008 dan kini sudah dua kali hasil diperoleh daripada penternakan ayam organik berkenaan.

Sehingga kini, hasil kajian masih belum diumumkan kerana laporan dan penambahbaikan akan dilakukan supaya piawaian yang sesuai dan menepati Persekutuan Gerakan Pertanian Organik Antarabangsa (IFOAM).

Pegawai Penyelidik Mardi, Aini Zakaria yang mengetuai projek penyelidikan penternakan ayam organik, berkata penyelidikan itu tertumpu untuk memastikan ayam yang diternak benar-benar melalui proses penghasilan menggunakan proses organik sepenuhnya.

Ini bermakna, bukan hanya makanan ayam saja bahan organik tetapi persekitaran penternakan juga mengamalkan cara hidup sihat dan bebas daripada sebarang penggunaan bahan kimia.

Katanya, penternakan organik seboleh-bolehnya mahu bergantung kepada alam semula jadi dengan mikrob organisme membekalkan nutrien kepada tanaman yang menjadi makanan haiwan dan tanah, tempat persekitaran ayam membesar.

“Penggunaan bahan kimia, sama ada baja atau racun menyebabkan bahan ini larut dalam tanah dan apabila hujan, dibawa arus air dan menjadi sumber pencemaran. Petunjuk pencemaran dapat dilihat apabila projek pertanian dijalankan di atas bukit, kawasan bawah bukit kehijauan menunjukkan nitrat banyak di situ. Nitrat yang memasuki sungai boleh menjejaskan hidupan sungai," katanya.

Beliau memberitahu dalam penternakan ayam organik, haiwan terbabit dibiarkan bebas dalam reban yang mana boleh bergerak, bermain dan berinteraksi dengan alam.

“Dalam penternakan konvensional (biasa), ayam biasanya tidak boleh bergerak bebas kerana biasanya hidup dalam satu bilik yang cukup-cukup muat untuk saiz ayam berkenaan. Malah, ayam berkenaan hanya boleh duduk dan berdiri saja, tidak boleh bergolek, mengiring dan bergerak bebas sepanjang hidup sebelum disembelih.

“Dengan kata lain, ayam dalam penternakan konvensional dilihat seakan-akan kejam dan banyak memberi tekanan kepada ayam. Sesetengah pakar pemakanan menyatakan ayam daripada penternakan konvensional menghasilkan daging ayam yang tidak sihat dan turut memberi tekanan kepada mereka yang memakannya.

“Ini berbeza dengan ayam organik yang bukan saja lebih sihat dan kurang tekanan yang akan menghasilkan daging yang apabila dimakan akan memberi kesan yang baik kepada mereka yang memakannya. Bermakna, orang yang makan ayam organik lebih sihat kerana kurang tekanan,” katanya.

Bagi industri ternakan konvensional seluruh dunia, penternakan organik hanya akan menambahkan kos pengeluaran ternakan berkenaan.

Ayam organik perlu makan makanan organik bebas bahan kimia, tidak boleh menggunakan hormon untuk pembesaran serta bahan antibiotik.

Justeru, penternak konvensional mahu pengguna menanggung kos berkenaan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih mahal akibat kos pengeluaran yang meningkat selain hasil pengeluaran lebih lambat jika menggunakan penternakan organik.

Aini berkata, Mardi juga sedang meneliti sejauh mana penternakan organik boleh diintegrasi dengan kitaran hidup persekitaran penternakan ayam yang dapat memberi manfaat kepada industri di sekelilingnya.

Contohnya, kata beliau, sejauh mana najis haiwan berkenaan di manfaat sebagai baja manakala gas daripada najis digunakan sebagai sumber tenaga untuk reban dan bagaimana tanah di kawasan penternakan dimanfaat untuk penanaman makanan haiwan ternakan berkenaan.

“Adalah diharapkan penyelidikan berkenaan dapat dimanfaat dan dijadikan contoh dalam penghasilan piawaian khusus untuk industri ternakan ayam organik di negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan ketika ini tiada piawaian yang khusus untuk penternakan ayam sehingga ramai yang mendakwa ayam keluaran syarikat masing-masing sebagai bahan organik.

Cabaran utama penternakan organik adalah dari segi ketulenan produk. Antara kebimbangan ialah pengeluar produk bukan organik atau tidak memenuhi piawaian organik berlumba-lumba melabelkan produk masing-masing dengan nama organik.

Ini juga didorong harga produk organik lebih mahal. Harga ayam organik yang dikategorikan sebagai makanan ‘eksklusif’ RM10 hingga RM20 sekilogram, berbanding RM2.60 dari ladang konvensional.

Ketika ini, sesiapa pun boleh mendakwa mengeluarkan produk organik walaupun kaedah yang digunakan tidak sepenuhnya organik termasuk memberi makanan yang mengandungi bahan pengubahsuai genetik (GMO).

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Memahami profil pendera kanak-kanak
Bersama Dr Mohamed Fadzil Che Din
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 21 Mac 2010



BELUM sempat kita mencecah 100 hari bagi 2010, dada kita sudah digoncang, fikiran kita sudah dikusut, perasaan kita sudah digelora dan jari-jemari kita sudah terketar dek pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sistem nilai dan sosial kehidupan seharian. Kita digempar dengan pelbagai kisah kehidupan yang tidak tahu menghayati apakah itu nilai nyawa seorang insan dan kegagalan manusia itu untuk berfungsi secara normal dalam masyarakat manusia itu sendiri.

Di sebalik pendedahan media, peringatan pemimpin masyarakat, nasihat orang tua dan teguran ahli agama berkaitan salah laku sosial dan jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, pembunuhan insan yang tidak berdosa, mencabul serta merogol, ia memperlihatkan satu amalan ketidakpedulian yang amat ketara oleh si pelaku atau penjenayah ini. Apakah tabiat memberi peringatan, teguran dan nasihat tidak lagi menjadi kaedah berkesan dalam masyarakat, atau adakah sistem pendidikan keluarga dan komuniti sudah tidak berfungsi, atau adakah kerana kepincangan sosial yang semakin menjerut masyarakat, atau apakah kerana masyarakat itu sendiri memilih untuk belajar menjadi semakin rakus, tamak, penting diri, agresif dan gundah-gulana, lantaran menjana tingkah laku antisosial yang merobek segala keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat hari ini. Agak sukar kita membuat kesimpulan untuk menyalah atau mencari punca isu sosial dengan hanya menjuruskan kepada satu faktor sosial seperti individu, keluarga, komuniti, masyarakat, perundangan negara, penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan sebagainya. Bagi sesetengah pakar sosial kes berkaitan gejala sosial ini dikatakan masih belum serius atau terkawal. Ia sering dilihat secara meluas dengan mengambil kira jumlah ahli masyarakat yang besar dan semakin bertambah saban tahun.

Namun, bagi sesetengah ahli sosial yang menggunakan kanta (magnifying glass) setiap kes adalah penting dan perlu dikaji secara serius dan mendalam. Perbincangan sama ada kes atau gejala sosial sebegini menjadi semakin serius atau penting untuk diperdebatkan perlu ditangguhkan untuk seketika oleh semua ahli masyarakat.

Adalah lebih utama jika kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk memahami profil asas berkaitan kes gejala sosial ini. Memang banyak jenis jenayah terhadap kanak-kanak, gadis dan wanita dilaporkan setiap tahun, namun untuk perkongsian kali ini kita fokuskan kepada kes penderaan kanak-kanak yang merangkumi jenayah pembuangan bayi, pengabaian kanak-kanak, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi-psikologikal dan sumbang mahram.

Kebanyakan pakar psiko-sosial percaya dengan memahami profil kes penderaan kanak-kanak, maka usaha untuk membantu mengatasi, membendung dan menanganinya adalah lebih cerah dan berkesan. Apabila kita berjaya mengenali dan memahami profil jenayah seperti jenis kes, rujukan kes, etnik pelaku atau penjenayah, profil pelaku/penjenayah dan punca berlakunya kes penderaan di komuniti atau sekitar kita, maka usaha bagi menanganinya boleh dirancang dengan lebih teliti dan bermakna.
Melihat kepada statistik kes penderaan dan keganasan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia mengikut Laporan Statistik 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, ia berjaya memberi serba sedikit gambaran dan profil berkaitan kes penderaan berkenaan.

Secara umum pada 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat 501 kes atau 21 peratus daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) kes. Paling banyak kes (56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes) berlaku di kawasan padat penduduk iaitu Lembah Klang (949 kes di Selangor dan 595 kes di Wilayah Persekutuan).
Jenis penderaan paling banyak ialah penderaan seksual (863 kes), diikuti kes pengabaian kanak-kanak (833 kes), dan penderaan fizikal (733 kes). Lebih ramai kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal, manakala amat ketara 95 peratus kanak-kanak perempuan adalah mangsa kepada penderaan seksual (698 kes berbanding 35 kes).

Kes pembuangan bayi bagi 2008 pula menurun lima kes kepada 58 berbanding 63 pada 2007. Kadar ini bersamaan 1.2 kes pembuangan bayi setiap minggu atau 4.8 kes bayi dibuang setiap bulan. Lebih 70 peratus daripada kanak-kanak yang didera adalah berketurunan Melayu (1962 kes), diikuti kanak-kanak India (441 kes) dan kanak-kanak (Cina 299 kes). Hampir dua pertiga (64.6 peratus) kanak-kanak yang didera ialah kanak-kanak perempuan (1,795 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (985 kes). Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang didera ialah dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun (345 kes) dan bawah 3 tahun (276 kes). Kebanyakan kanak-kanak lelaki yang didera pula ialah sekitar umur 13n hingga 18 tahun (866 kes) dan 7-12 tahun (411 kes).

Pendera atau orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah dera ini amat penting untuk diketahui. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti tempat paling sering wujudnya kes penderaan. Merujuk kepada kes penderaan 2008, data memperlihatkan orang yang paling hampir dengan mangsa adalah pendera yang berpotensi. Ibu (772 kes) dan bapa (494 kes) adalah pendera paling ramai iaitu 45.6 peratus berbanding pelaku yang lain. Selain itu, kekasih kanak-kanak juga adalah pendera yang agak signifikan sebanyak 378 kes.

Dengan memahami profil dan ‘baseline’ kes berkaitan penderaan kanak-kanak ini, sudah pasti pakar perawat sosial akan mampu untuk meneroka senario kes dengan lebih meluas dan mendalam serta mampu mencari perhubungan makna antara pelbagai angkubah individu, keluarga, komuniti dan masyarakat. Atas kefahaman ini, diharapkan strategi menangani isu sosial ini akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan berbaloi. Sesungguhnya kita semua mampu untuk membantu pelbagai pihak dalam menangani gejala sosial yang boleh dikawal jika kita dapat melakukannya secara bersama.

Penulis ialah Pengarah Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.