21 Mac 2010

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Memahami profil pendera kanak-kanak
Bersama Dr Mohamed Fadzil Che Din
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 21 Mac 2010



BELUM sempat kita mencecah 100 hari bagi 2010, dada kita sudah digoncang, fikiran kita sudah dikusut, perasaan kita sudah digelora dan jari-jemari kita sudah terketar dek pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sistem nilai dan sosial kehidupan seharian. Kita digempar dengan pelbagai kisah kehidupan yang tidak tahu menghayati apakah itu nilai nyawa seorang insan dan kegagalan manusia itu untuk berfungsi secara normal dalam masyarakat manusia itu sendiri.

Di sebalik pendedahan media, peringatan pemimpin masyarakat, nasihat orang tua dan teguran ahli agama berkaitan salah laku sosial dan jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, pembunuhan insan yang tidak berdosa, mencabul serta merogol, ia memperlihatkan satu amalan ketidakpedulian yang amat ketara oleh si pelaku atau penjenayah ini. Apakah tabiat memberi peringatan, teguran dan nasihat tidak lagi menjadi kaedah berkesan dalam masyarakat, atau adakah sistem pendidikan keluarga dan komuniti sudah tidak berfungsi, atau adakah kerana kepincangan sosial yang semakin menjerut masyarakat, atau apakah kerana masyarakat itu sendiri memilih untuk belajar menjadi semakin rakus, tamak, penting diri, agresif dan gundah-gulana, lantaran menjana tingkah laku antisosial yang merobek segala keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat hari ini. Agak sukar kita membuat kesimpulan untuk menyalah atau mencari punca isu sosial dengan hanya menjuruskan kepada satu faktor sosial seperti individu, keluarga, komuniti, masyarakat, perundangan negara, penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan sebagainya. Bagi sesetengah pakar sosial kes berkaitan gejala sosial ini dikatakan masih belum serius atau terkawal. Ia sering dilihat secara meluas dengan mengambil kira jumlah ahli masyarakat yang besar dan semakin bertambah saban tahun.

Namun, bagi sesetengah ahli sosial yang menggunakan kanta (magnifying glass) setiap kes adalah penting dan perlu dikaji secara serius dan mendalam. Perbincangan sama ada kes atau gejala sosial sebegini menjadi semakin serius atau penting untuk diperdebatkan perlu ditangguhkan untuk seketika oleh semua ahli masyarakat.

Adalah lebih utama jika kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk memahami profil asas berkaitan kes gejala sosial ini. Memang banyak jenis jenayah terhadap kanak-kanak, gadis dan wanita dilaporkan setiap tahun, namun untuk perkongsian kali ini kita fokuskan kepada kes penderaan kanak-kanak yang merangkumi jenayah pembuangan bayi, pengabaian kanak-kanak, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi-psikologikal dan sumbang mahram.

Kebanyakan pakar psiko-sosial percaya dengan memahami profil kes penderaan kanak-kanak, maka usaha untuk membantu mengatasi, membendung dan menanganinya adalah lebih cerah dan berkesan. Apabila kita berjaya mengenali dan memahami profil jenayah seperti jenis kes, rujukan kes, etnik pelaku atau penjenayah, profil pelaku/penjenayah dan punca berlakunya kes penderaan di komuniti atau sekitar kita, maka usaha bagi menanganinya boleh dirancang dengan lebih teliti dan bermakna.
Melihat kepada statistik kes penderaan dan keganasan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia mengikut Laporan Statistik 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, ia berjaya memberi serba sedikit gambaran dan profil berkaitan kes penderaan berkenaan.

Secara umum pada 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat 501 kes atau 21 peratus daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) kes. Paling banyak kes (56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes) berlaku di kawasan padat penduduk iaitu Lembah Klang (949 kes di Selangor dan 595 kes di Wilayah Persekutuan).
Jenis penderaan paling banyak ialah penderaan seksual (863 kes), diikuti kes pengabaian kanak-kanak (833 kes), dan penderaan fizikal (733 kes). Lebih ramai kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal, manakala amat ketara 95 peratus kanak-kanak perempuan adalah mangsa kepada penderaan seksual (698 kes berbanding 35 kes).

Kes pembuangan bayi bagi 2008 pula menurun lima kes kepada 58 berbanding 63 pada 2007. Kadar ini bersamaan 1.2 kes pembuangan bayi setiap minggu atau 4.8 kes bayi dibuang setiap bulan. Lebih 70 peratus daripada kanak-kanak yang didera adalah berketurunan Melayu (1962 kes), diikuti kanak-kanak India (441 kes) dan kanak-kanak (Cina 299 kes). Hampir dua pertiga (64.6 peratus) kanak-kanak yang didera ialah kanak-kanak perempuan (1,795 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (985 kes). Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang didera ialah dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun (345 kes) dan bawah 3 tahun (276 kes). Kebanyakan kanak-kanak lelaki yang didera pula ialah sekitar umur 13n hingga 18 tahun (866 kes) dan 7-12 tahun (411 kes).

Pendera atau orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah dera ini amat penting untuk diketahui. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti tempat paling sering wujudnya kes penderaan. Merujuk kepada kes penderaan 2008, data memperlihatkan orang yang paling hampir dengan mangsa adalah pendera yang berpotensi. Ibu (772 kes) dan bapa (494 kes) adalah pendera paling ramai iaitu 45.6 peratus berbanding pelaku yang lain. Selain itu, kekasih kanak-kanak juga adalah pendera yang agak signifikan sebanyak 378 kes.

Dengan memahami profil dan ‘baseline’ kes berkaitan penderaan kanak-kanak ini, sudah pasti pakar perawat sosial akan mampu untuk meneroka senario kes dengan lebih meluas dan mendalam serta mampu mencari perhubungan makna antara pelbagai angkubah individu, keluarga, komuniti dan masyarakat. Atas kefahaman ini, diharapkan strategi menangani isu sosial ini akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan berbaloi. Sesungguhnya kita semua mampu untuk membantu pelbagai pihak dalam menangani gejala sosial yang boleh dikawal jika kita dapat melakukannya secara bersama.

Penulis ialah Pengarah Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...