03 Februari 2026

DRAMA A+ DALAM DUNIA PENDIDIKAN YANG TIDAK BOLEH DIUBAH BOLEH MEMUDARATKAN

Mentaliti kita tentang peperiksaan hari ini ibarat cermin yang retak. Ia masih memantulkan bayangan kejayaan, tetapi gambarnya kabur dan mengelirukan. Kita mengagungkan A+ seolah-olah itulah satu-satunya pasport menuju kecemerlangan. Semakin banyak A+, semakin tinggi pujian yang diberikan. Semakin rendah GPS, semakin megah bendera kejayaan dikibarkan. Sekolah yang mencatat GPS bawah 3.00 dijulang seperti juara di podium. Guru-gurunya dianggap luar biasa hebat dan pelajarnya dipuji sebagai lambang disiplin serta kecerdikan. Media pula berlumba-lumba menyiarkan kisah kejayaan ini sehingga ia menjadi naratif dominan dalam masyarakat.

Sebaliknya, sekolah yang mencatat GPS sekitar 4.00 atau lebih tinggi sering dipandang dengan kaca mata prejudis. Mereka dianggap lemah, guru dilabel tidak pandai mengajar dan pelajar dituduh bermasalah disiplin. Hakikatnya, kita sedang menghukum dengan angka tanpa memahami cerita di sebalik tabir. Kita menilai lautan hanya dengan melihat permukaan ombak, sedangkan di dasar laut terdapat arus yang kompleks dan sukar dijangka.

Lebih menyedihkan, kita tergamak membandingkan sekolah bandar dengan sekolah pedalaman. Seolah-olah anak yang belajar di kawasan terpencil harus berlari sepantas anak yang membesar dengan kemudahan teknologi, kelas berhawa dingin dan sokongan akademik yang melimpah. Kita membandingkan sekolah harian biasa dengan sekolah asrama penuh dan MRSM yang menapis pelajar sejak awal lagi. Kita juga membandingkan SMK dengan SMJK tanpa mengambil kira perbezaan latar belakang sosial, bahasa, ekonomi keluarga dan persekitaran komuniti. Perbandingan ini ibarat membandingkan bot kecil yang berlayar di tengah ribut dengan kapal besar yang belayar di laut tenang. Apabila bot kecil bergoyang, kita menyalahkan nakhoda, sedangkan ribut itulah faktor yang paling dominan.

Akhirnya, pengetua di sekolah cemerlang menurut angka dianggap hebat dan berwibawa, manakala pengetua di sekolah yang kurang cemerlang dianggap tidak kompeten. Hakikatnya, mengurus sekolah berprestasi tinggi ibarat menjaga taman yang sudah subur. Tugasnya tetap mencabar, tetapi tanahnya telah gembur dan benihnya telah dipilih dengan teliti. Mengurus sekolah berprestasi rendah pula ibarat mengusahakan tanah yang tandus. Ia memerlukan tenaga dua kali ganda, kesabaran yang panjang dan strategi yang lebih halus. Namun usaha ini jarang dipuji, malah sering dipersalahkan.

Kita lupa bahawa pendidikan bukan kilang yang menghasilkan produk seragam. Pendidikan ialah kebun yang menumbuhkan manusia dengan potensi yang berbeza. Ada murid yang cepat memahami, ada yang perlahan tetapi konsisten. Ada yang cemerlang akademik, ada yang unggul dalam kemahiran dan sahsiah. Jika kita hanya menyiram pokok yang sudah subur dan membiarkan yang layu terus kering, kita sebenarnya sedang merosakkan ekosistem pendidikan itu sendiri.

Budaya mengagungkan A+ juga telah menukar bilik darjah menjadi litar perlumbaan. Murid belajar bukan kerana cinta ilmu, tetapi kerana takut gagal. Guru mengajar bukan kerana ingin membina jiwa, tetapi kerana tertekan mengejar silibus dan format peperiksaan. Sekolah berubah menjadi medan persaingan yang sengit. Yang pantas dipuji, yang tercicir ditinggalkan. Ia ibarat perlumbaan maraton yang dinilai hanya pada siapa yang sampai dahulu, sedangkan ramai pelari yang berjuang hingga ke garisan penamat tidak pernah dipandang.

Lebih parah, tekanan ini menyelinap masuk ke dalam jiwa guru. Ada yang mula merasakan nilai dirinya ditentukan oleh keputusan peperiksaan. Ada yang hilang keyakinan hanya kerana kelas yang diajar tidak menghasilkan banyak A. Ada yang bekerja dalam keletihan emosi yang senyap, tersenyum di hadapan murid tetapi menangis sendirian di rumah. Kita jarang bertanya berapa ramai guru yang hampir rebah bukan kerana malas, tetapi kerana terlalu lama memikul beban sistem yang berat sebelah.

Drama ini juga mencipta hierarki palsu dalam dunia pendidikan. Sekolah elit diangkat sebagai simbol kejayaan negara, manakala sekolah biasa dianggap sekadar pelengkap statistik. Hakikatnya, negara ini tidak dibina hanya oleh pelajar straight A. Negara ini berdiri kerana gabungan jurutera, petani, mekanik, jururawat, guru dan pekerja biasa. Ramai daripada mereka bukan produk sekolah elit, tetapi berjaya kerana nilai kerja, disiplin, daya tahan dan kemahiran hidup.

Sampai bilakah drama ini akan berakhir. Jawapannya bergantung kepada keberanian kita mengubah cara berfikir. Kita perlu berhenti menyembah angka dan mula menghormati proses. Kita perlu mengangkat kisah guru yang berjaya menyelamatkan murid tercicir, bukan hanya guru yang melahirkan pelajar terbaik. Kita perlu memuji sekolah yang berjaya membina sahsiah dan mengurangkan masalah disiplin, bukan hanya sekolah yang mencatat GPS rendah.

Sudah tiba masanya kita menilai kejayaan dengan ukuran yang lebih manusiawi. Kita perlu bertanya sama ada murid kita berakhlak, mampu berfikir kritis, menghormati orang lain dan bersedia menghadapi dunia sebenar. Jika jawapannya ya, maka itulah kecemerlangan yang sebenar.

Jika kita terus terperangkap dalam drama A+, kita akan melahirkan generasi yang pandai menjawab soalan, tetapi lemah menyelesaikan masalah. Kita akan melahirkan generasi yang pandai menghafal fakta, tetapi miskin empati. Pendidikan bukan perlumbaan seratus meter. Pendidikan ialah perjalanan jauh yang memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kemanusiaan. Selagi kita tidak mengubah cara berfikir ini, selagi itulah drama ini akan terus berulang, dan yang menjadi mangsa akhirnya ialah masa depan negara sendiri.

Tiada ulasan: