Isu antara PETRONAS dengan PETROS, atau lebih luas lagi antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak, bukan sekadar pertembungan angka, kontrak dan perundangan. Ia adalah pertembungan emosi sejarah, tuntutan maruah, serta harapan generasi masa depan. Inilah medan ujian sebenar kepada kebijaksanaan kepimpinan negara, yakni ujian yang menuntut kita menarik rambut dalam tepung: rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Kita harus sedar, situasi ini bukan statik seperti batu di tepi sungai. Ia bergerak, berubah, dan berevolusi seperti arus deras yang mengukir bentuk tebing dari masa ke masa. Dahulu, ada fakta yang terkunci dalam lipatan sejarah, terbenam dalam debu dokumen dan dilupakan oleh generasi. Hari ini, fakta itu digali semula, dibaca dengan mata yang lebih celik, dan diperjuangkan dengan suara yang semakin lantang. Mereka yang berhujah bukan semata-mata kerana emosi, tetapi kerana luka lama yang mahu dirawat, dan hak yang mahu ditegakkan.
Namun demikian, dalam semangat memperjuangkan hak, kita jangan tersasar daripada adab dan hikmah. Media sosial hari ini ibarat pasar terbuka tanpa sempadan, sesiapa sahaja boleh menjerit, menghina, dan melontar kata nista. Jika hujah dibina atas bara kebencian, yang terbakar bukan sahaja lawan, tetapi rumah kita sendiri. Kita tidak boleh berhujah seperti memegang parang di tangan yang goyah; silap langkah, luka sendiri yang parah. Kata-kata pedih dan hinaan tidak membina jambatan, sebaliknya menggali parit perpecahan yang semakin dalam.
Malaysia tidak lahir daripada paksaan, tetapi daripada kesepakatan. Ia dibina atas meja rundingan, bukan di medan permusuhan. Oleh itu, segala masalah, termasuk isu PETRONAS-PETROS dan hubungan Persekutuan-Sarawak mesti kembali ke meja perundingan, bukan ke pentas retorik. Di sinilah pentingnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai dokumen asas pembentukan negara. Ia bukan kertas usang untuk dipamerkan di muzium sejarah, tetapi kompas yang sepatutnya memandu arah pentadbiran hari ini. Apa yang selama ini terabai, perlu dikaji semula. Apa yang sepatutnya menjadi hak, perlu dipulangkan mengikut semangat perjanjian asal.
Jika kita gagal berbuat demikian, kita akan terus hidup dalam kitaran drama yang tidak berpenghujung. Seperti roda yang berpusing di lumpur, semakin ditekan, semakin tenggelam. Api ketidakpuasan akan terus ditiup, menjadi bara yang membakar kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan. Akhirnya, yang menanggung akibat bukan sahaja kerajaan atau syarikat, tetapi rakyat biasa seperti petani, nelayan, dan peniaga kecil yang hanya mahukan kestabilan untuk meneruskan kehidupan.
Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, perpaduan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Kita tidak boleh leka melihat perpecahan dalaman, sedangkan di luar sana, ancaman bentuk baharu sedang menunggu peluang. Lihatlah apa yang berlaku di Venezuela, sebuah negara yang pernah kaya dengan hasil bumi, tetapi akhirnya terjerumus dalam krisis akibat pergolakan politik, pengurusan sumber yang lemah, dan perpecahan dalaman. Penjajahan hari ini bukan lagi datang dengan kapal perang semata-mata, tetapi melalui tekanan ekonomi, manipulasi pasaran, dan campur tangan kuasa luar. Jika kita terus longgar dalam soal perpaduan, saling menuding jari dan menafikan hak sesama sendiri, kita membuka pintu kepada penjajahan versi moden.
Sarawak bukan beban, dan Persekutuan bukan musuh. Hubungan ini seharusnya seperti dua sayap burung, satu di timur, satu di barat, yang perlu bergerak seiring untuk membolehkan negara terbang tinggi. Jika satu sayap patah, burung itu akan jatuh, tidak kira sekuat mana sayap yang satu lagi.
Akhirnya, isu PETRONAS dan PETROS, isu Persekutuan dan Sarawak, bukan soal siapa menang atau kalah. Ia soal bagaimana kita menang bersama. Kemenangan sebenar bukan apabila satu pihak tunduk, tetapi apabila kedua-duanya berdiri dengan maruah. Inilah seni kepimpinan bukan sekadar memegang kuasa, tetapi memegang amanah. Menarik rambut dalam tepung bukan kerja mudah, tetapi jika dilakukan dengan kebijaksanaan, kesabaran dan kejujuran, ia mampu menghasilkan adunan yang lebih kukuh: negara yang stabil, rakyat yang bersatu, dan masa depan yang lebih cerah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan