TEKS UCAPAN PENGETUA
Sempena Penangguhan Program Kenal Mesra Tingkatan 1 Tahun 2026
Tarikh: 21 Januari 2026 (Rabu)
Tempat: Dewan Citra Madani
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Salam Pendidikan Berkualiti,
Insan Terdidik, Negara Sejahtera. Salam kelestarian Bumi Tuhan.
Alhamdulillah,
setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya,
kita dapat berkumpul pada hari ini bagi menangguhkan Program Kenal Mesra
Tingkatan 1 Tahun 2026. Saya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada
semua murid Tingkatan 1 yang kini secara rasmi menjadi warga sekolah ini.
Kehadiran kamu semua membawa sinar harapan baharu kepada sekolah dan menjadi
penerus kecemerlangan pada masa hadapan.
Dalam
aspek kurikulum, saya ingin menegaskan bahawa semua subjek adalah penting dan
saling melengkapi. Namun begitu, Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan subjek
penentu kelayakan sijil SPM yang perlu diberi perhatian serius. Matematik,
Bahasa Inggeris dan Sains pula amat penting dalam menentukan aliran di
Tingkatan Empat, khususnya aliran STEM A yang membuka peluang kerjaya seperti
juruterbang, jurutera, ahli geologi, doktor dan ahli farmasi. Oleh itu,
kuasailah kemahiran asas 3M – membaca, menulis dan mengira sebagai tunjang
kejayaan akademik.
Selain
itu, murid perlu rajin membaca, konsisten menyiapkan kerja rumah dan menetapkan
sasaran sebelum setiap peperiksaan. Sasaran yang jelas akan menjadi kompas yang
membimbing perjalanan pembelajaran kamu. Saya juga ingin memaklumkan bahawa
murid yang mencapai Gred Purata di bawah 2.00 akan menerima anugerah sebagai
penghargaan terhadap usaha gigih dan disiplin belajar. Ingatlah, kejayaan bukan
berlaku secara kebetulan, tetapi hasil usaha yang berterusan.
Dari
sudut Hal Ehwal Murid, disiplin merupakan asas kepada kejayaan. Penampilan diri
hendaklah sentiasa kemas, beradab ketika bercakap, mengucapkan salam, serta
menghormati guru dan rakan. Jangan lupa memohon restu ibu dan ayah setiap hari
kerana doa merekalah yang menjadi benteng kekuatan kamu. Amalkan ulang kaji
sekurang-kurangnya satu jam sehari dan biasakan satu jam tanpa telefon agar
fokus terhadap pelajaran tidak terganggu.
Saya
juga ingin menekankan kepentingan kehadiran ke sekolah. Sasaran kehadiran kita
ialah 98 peratus setahun, iaitu sekurang-kurangnya 186 hari daripada 190 hari
persekolahan. Murid yang mencapai kehadiran 100 peratus akan diberikan sijil
sebagai pengiktirafan. Elakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin
kerana setiap kesalahan akan meninggalkan kesan kepada masa depan kamu.
Dalam
bidang kokurikulum pula, setiap murid mestilah aktif dalam tiga komponen
kokurikulum iaitu persatuan, sukan permainan dan unit beruniform. Penyertaan
aktif bukan sahaja membina sahsiah dan kepimpinan, malah membuka peluang untuk
mewakili sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa. Sasaran markah PAJSK
sekurang-kurangnya 9 peratus ke atas setiap tahun perlu dijadikan matlamat
bersama.
Anak-anak
sekalian, perjalanan kamu di sekolah ini ibarat sebuah kapal yang belayar di
lautan luas. Guru-guru ialah nakhoda dan kru yang membimbing arah tuju,
manakala kamu ialah penumpang yang perlu bekerjasama agar kapal ini sampai ke
pelabuhan kejayaan. Jika kamu lalai, kapal boleh tersasar. Jika kamu
berdisiplin dan berusaha, kapal akan berlayar dengan selamat menuju destinasi
impian.
Akhir
kata, saya menaruh harapan agar murid Tingkatan 1 Tahun 2026 menjadi generasi
yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. Jadikan sekolah ini sebagai tempat
membina impian dan mengukir kejayaan. Semoga kamu semua terus melangkah dengan
yakin, berani menghadapi cabaran dan sentiasa berusaha menjadi insan yang
cemerlang di dunia dan akhirat.
Sekian,
wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan