01 Disember 2025

TEKANAN HIDUP GENERASI Z: PINTAR TEKNOLOGI, TETAPI RAPUH EMOSI?

 


Dewasa ini tekanan hidup dalam kalangan generasi muda khususnya Generasi Z semakin menjadi perhatian masyarakat. Kebelakangan ini peningkatan kes masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan emosi dalam kalangan remaja menimbulkan kerisauan banyak pihak. Umum mengetahui bahawa generasi ini sangat terdedah kepada dunia digital dan teknologi moden. Pada masa yang sama persoalan timbul sama ada kecanggihan dan kepantasan teknologi benar benar memberi kemudahan atau sebaliknya menyumbang kepada keruntuhan kesejahteraan emosi generasi ini.

Sejak awal usia generasi Z telah didedahkan kepada penggunaan telefon pintar, media sosial dan internet tanpa had. Tambahan pula mereka menjadikan platform digital sebagai medan utama untuk berkomunikasi, memperoleh maklumat dan membina identiti diri. Dalam nada yang berbeza kebergantungan terhadap teknologi menjadikan mereka kurang terdedah kepada pengalaman sosial secara realiti. Sehubungan dengan itu proses pembentukan emosi dan mental tidak berkembang secara optimum. Misalnya interaksi bersemuka yang merupakan asas kepada kemahiran sosial semakin berkurangan dalam kalangan mereka.

Walaupun teknologi memudahkan kehidupan pelbagai aspek cabaran yang dihadapi generasi ini tidak boleh dipandang ringan. Antaranya tekanan untuk kelihatan sempurna di media sosial, persaingan akademik, harapan keluarga dan ketidakpastian masa depan. Selain itu fenomena perbandingan sosial melalui media digital menyebabkan ramai remaja berasa rendah diri apabila melihat kejayaan atau kebahagiaan palsu orang lain di internet. Natijahnya mereka berasa tidak cukup baik dan mula mengalami tekanan perasaan. Lanjutan daripada itu mereka mudah murung walaupun pencapaian mereka dalam kehidupan sebenar tidaklah seteruk yang digambarkan.

Di samping itu isu buli siber juga semakin berleluasa. Tamsilnya terdapat pelajar yang menjadi mangsa penyebaran khabar angin, penghinaan atau kata kata kesat di media sosial. Akibatnya mereka mengalami tekanan emosi yang serius dan ada yang mengambil tindakan drastik seperti ponteng sekolah atau mencederakan diri. Dalam konteks pendidikan keadaan ini menjadi cabaran kepada guru kerana keadaan emosi pelajar mempengaruhi prestasi akademik mereka. Seperti yang kita sedia maklum seseorang pelajar yang tidak stabil dari segi emosi tidak mampu memberi fokus kepada pembelajaran.

Seterusnya dari sudut gaya hidup, generasi ini kurang mengamalkan rutin sihat kerana terlalu asyik dengan teknologi. Misalnya mereka kurang bersukan, tidak cukup tidur dan sering mengambil makanan segera. Lanjutan daripada itu tahap kecergasan fizikal merosot dan secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan mental. Bak kata peribahasa, “akal yang sihat terletak pada tubuh yang sihat”. Ini menunjukkan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental amat penting untuk mencapai kesejahteraan hidup.

Namun demikian tidak semua kesan teknologi negatif terhadap emosi generasi muda. Dalam nada yang berbeza teknologi juga menyediakan ruang sokongan emosi seperti kaunseling atas talian dan komuniti maya untuk berkongsi pengalaman. Selain itu platform digital boleh digunakan untuk menyebarkan mesej positif dan kempen kesedaran tentang kesihatan mental. Bertitik tolak daripada hal ini pendekatan pendidikan yang bijak dan penyeliaan yang baik mampu mengurangkan kesan buruk teknologi terhadap kesejahteraan emosi pelajar.

Antara langkah yang boleh diambil ialah institusi pendidikan memperkenalkan program kesedaran kesihatan mental secara berkala. Di samping itu guru boleh dilatih untuk mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dalam kalangan pelajar. Satu contoh ialah pelaksanaan modul Pendidikan Kesihatan Mental dan Emosi dalam kokurikulum. Selain itu pihak sekolah boleh menggalakkan pelajar menyertai aktiviti luar bilik darjah seperti sukan, kelab dan persatuan bagi meningkatkan interaksi sosial secara sihat.

Begitu juga dengan peranan ibu bapa yang sangat penting dalam membentuk keseimbangan kehidupan anak anak. Sementelahan ibu bapa perlu memantau penggunaan teknologi anak dengan bijak bukan dengan sekatan semata mata tetapi melalui bimbingan. Misalnya menetapkan waktu penggunaan peranti, menggalakkan aktiviti fizikal dan mengadakan komunikasi berkualiti dalam keluarga. Sehubungan dengan itu anak anak akan membesar dengan lebih seimbang dari sudut intelek dan emosi.

Seterusnya sokongan komuniti dan pihak berkuasa juga diperlukan. Antaranya kempen kesedaran awam tentang kesihatan mental dan penggunaan teknologi secara sihat harus diperluaskan. Selain itu penyedia platform media sosial perlu bertanggungjawab dalam menapis kandungan yang tidak sesuai dan menyediakan sistem keselamatan digital yang kukuh. Begitu juga dengan penguatkuasaan undang undang terhadap buli siber wajar diperketat untuk melindungi generasi muda.

Sebelum mengakhiri wacana ini perlu ditegaskan bahawa generasi Z mempunyai potensi besar kerana kecekapan mereka menguasai teknologi. Namun potensi itu akan terbantut sekiranya kesejahteraan emosi tidak diberi perhatian. Oleh hal yang demikian keseimbangan antara kecanggihan teknologi dan kestabilan mental perlu dicapai melalui pendidikan sokongan keluarga dan bimbingan berterusan. Konklusinya generasi muda harus diajar bukan sahaja cara menggunakan teknologi tetapi juga cara mengurus emosi secara bijak.

Akhir kata usaha membentuk generasi pintar teknologi dan seimbang emosi bukan tanggungjawab sekolah semata mata. Sebaliknya ia memerlukan kerjasama guru, ibu bapa, komuniti dan kerajaan. Dengan sokongan dan bimbingan yang betul generasi Z akan menjadi pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek tetapi juga teguh dari segi emosi. Tuntasnya pelajar bukan sekadar perlu mahir teknologi tetapi juga perlu mempunyai kekuatan dalaman untuk menghadapi cabaran kehidupan moden.

Tiada ulasan: