01 Disember 2025

AI DALAM PENDIDIKAN: GURU DIGANTI ROBOT ATAU DIPERKASA TEKNOLOGI?

 


Dewasa ini penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence semakin meluas dalam pelbagai sektor termasuk bidang pendidikan. Pada masa ini kecerdasan buatan mula diaplikasikan dalam pengurusan data pelajar, penilaian prestasi dan penyediaan bahan pembelajaran yang bersesuaian. Umum mengetahui bahawa revolusi digital telah mengubah landskap pendidikan secara drastik. Sehubungan dengan itu timbul persoalan dalam kalangan pendidik dan masyarakat sama ada kecerdasan buatan bakal menggantikan tugas guru atau menjadi alat untuk memperkasa peranan mereka.

Sejak sedekad yang lalu kemajuan teknologi telah memperkenalkan pelbagai platform pembelajaran digital yang membolehkan pelajar belajar secara kendiri. Bertitik tolak daripada hal ini terdapat pandangan bahawa teknologi mampu mengambil alih fungsi pengajaran. Walaupun sistem pembelajaran digital dapat menyediakan kandungan yang interaktif dan menarik peranan guru tetap penting dalam membimbing serta memupuk nilai insaniah dalam diri pelajar. Tambahan pula guru bukan sahaja penyampai ilmu tetapi juga pembentuk sahsiah dan akhlak. Dalam nada yang berbeza kecerdasan buatan berfungsi sebagai alat bantu untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran.

Selain itu kecerdasan buatan dapat mengumpul dan menganalisis data akademik pelajar dan membantu guru menyediakan intervensi secara tepat. Contohnya sistem analitik pembelajaran dapat mengenal pasti kelemahan murid dalam sesuatu mata pelajaran secara lebih awal. Dengan itu guru boleh merangka strategi pengajaran yang bersesuaian mengikut keperluan individu pelajar. Misalnya seorang pelajar yang lemah dalam tatabahasa bahasa Melayu boleh diberikan latihan tersuai oleh sistem dan bimbingan khusus oleh guru. Lanjutan daripada itu kualiti pendidikan akan meningkat kerana pengajaran berfokus dapat dilaksanakan.

Namun demikian terdapat kebimbangan bahawa pergantungan keterlaluan kepada teknologi akan melemahkan interaksi manusia dalam proses pembelajaran. Sebagaimana yang kita sedia maklum perhubungan antara guru dan murid bukan sahaja melibatkan penyampaian ilmu tetapi juga pembentukan sahsiah dan nilai murni. Dalam konteks ini kecerdasan buatan tidak mampu menggantikan empati motivasi dan sentuhan insan yang diberikan oleh seorang pendidik. Bak kata peribahasa Melayu “guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi orang lain” gambaran ini jelas menunjukkan peranan guru lebih daripada sekadar penyampaikan maklumat.

Di samping itu pelaksanaan kecerdasan buatan dalam pendidikan turut menimbulkan isu etika dan keselamatan data. Sehubungan dengan itu pihak sekolah dan pembuat dasar perlu memastikan bahawa data murid diproses secara selamat dan tidak disalahgunakan. Tambahan pula pelajar perlu dididik tentang penggunaan teknologi secara beretika agar tidak berlaku ketagihan digital atau kebergantungan kepada aplikasi pintar. Satu cara untuk mengatasi perkara ini ialah dengan menggabungkan penggunaan teknologi secara terkawal bersama pendidikan karakter dan kemahiran insaniah.

Seterusnya dari sudut profesionalisme pendidik guru perlu bersedia secara proaktif untuk mengadaptasi teknologi dalam pengajaran. Selain itu latihan profesional berterusan harus diberikan agar guru mampu memanfaatkan kecerdasan buatan secara optimum. Begitu juga dengan penyediaan infrastruktur pendidikan yang mencukupi supaya penggunaan teknologi tidak menjadi beban kepada sekolah dan guru. Sekiranya guru dilengkapi dengan kemahiran digital yang baik maka kecerdasan buatan akan menjadi alat bantu yang berkesan bagi meningkatkan kecekapan kerja serta kualiti pengajaran.

Antara faedah utama kecerdasan buatan ialah kemampuannya menyokong pembelajaran sepanjang hayat. Pelajar dapat belajar mengikut kadar kemampuan sendiri dan mengulang kandungan pelajaran bila bila masa. Selain itu teknologi juga memperluas akses pendidikan kepada pelajar di kawasan luar bandar. Dalam nada yang berbeza cabaran yang timbul ialah jurang digital yang masih wujud antara sekolah bandar dan luar bandar. Oleh itu pelaksanaan teknologi perlu dilakukan secara adil dan inklusif agar tidak berlaku ketidakseimbangan dalam kualiti pendidikan.

Akhir sekali guru harus dilihat sebagai pemimpin pembelajaran walaupun kecerdasan buatan digunakan secara meluas. Sementelahan guru merupakan insan yang mampu menghubungkan ilmu dengan realiti kehidupan dan memberikan inspirasi kepada pelajar. Kecerdasan buatan hanya mampu memberikan maklumat tetapi tidak dapat membentuk nilai kemanusiaan. Sehubungan dengan itu teknologi harus menjadi pelengkap kepada pendidikan bukan menggantikan sepenuhnya peranan guru.

Kesimpulannya penggunaan kecerdasan buatan dalam pendidikan membawa banyak manfaat terutama dalam aspek analisis data pemantauan prestasi pelajar dan pembelajaran tersuai. Namun kehadiran teknologi tidak mampu menggantikan sepenuhnya peranan guru sebagai pembimbing sahsiah dan pencetus inspirasi. Oleh hal yang demikian guru perlu diberi pendedahan dan latihan tentang penggunaan teknologi secara berkesan. Secara tuntas kecerdasan buatan harus dilihat sebagai alat pengupaya yang memperkasa sistem pendidikan dan bukan ancaman kepada profesion keguruan. Sebagai penghias bicara guru yang bijak ialah guru yang mampu menggunakan teknologi secara kreatif namun tetap mempertahankan nilai kemanusiaan dalam proses pendidikan.

Tiada ulasan: