Saya
selalu diberikan tanggungjawab mengajar kelas depan oleh pihak pentadbir. Guru
yang mengajar kelas depan ini cabarannya bukan disiplin pelajar tetapi
kerajinan pelajar yang melampau. Saya saban tahun berhadapan dengan pelajar
yang menghantar karangan extra untuk disemak. Saya hanya bagi satu tajuk
karangan untuk disiapkan tetapi pelajar hantar 5 karangan seorang. Bayangkan
masa yang perlu saya gunakan untuk memeriksa dan menanda kesalahan. Pelajar
pandai ini sangat sensitif dengan penandaan dan guru dia pula bukan saya
seorang. Sebilangan mereka mempunyai seorang atau lebih lagi guru mengajar
Bahasa Melayu di luar waktu persekolahan. Inilah beban yang selalu saya hadapi.
Jumlah pelajar kelas depan ini kalau di sekolah saya dahulu lebih kurang 35
hingga 40 orang.
Tahun
2012 (kalau saya tidak lupa), saya diberikan tanggungjawab mengajar kelas
belakang (Kelas Istimewa) Tingkatan 5. Jumlah pelajar kelas ini cuma 9 orang
sahaja. Akan tetapi, perangai mereka hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saiz badan
mereka pun lebih besar daripada saya. Mereka hormat saya tetapi mulut mereka
tidak henti-henti bercakap semasa saya bercakap. Saya tegur, mereka berhenti
sekejap tetapi kemudian sambung lagi. Kalau tidak bercakap, mereka tidur atau
ada masalah dengan rakan di sebelah, bergaduh dan sebagainya. Tanggungjawab
saya pula ialah saya mesti meluluskan mereka dalam subjek Bahasa Melayu SPM.
Beban saya bukan menyemak tetapi otak saya selalu letih berfikir bagaimanakah
caranya untuk saya menarik minat mereka belajar?
Pada
awalnya saya banyak membaca tentang teknik mengajar yang sesuai untuk pelajar
seperti ini. Saya tidak pernah mengalah dan saya pun tidak pernah marah. Mereka
hendak keluar ke tandas saya bagi kebenaran tetapi dengan syarat kerja mesti
siap. Kerja yang saya bagi pula cuma satu atau dua soalan. Jawapan pun saya
bagi, mereka cuma menulis sahaja. Kalau saya mengajar karangan, saya bukan
sahaja mengajar tetapi saya menulis juga karangan sepatah demi sepatah bersama
mereka hingga habis. Kami bercerita sambil menulis. Saya terpaksa melayan
mereka agar mereka menyiapkan kerja. Cerita kami bukannya ada kaitan dengan
pelajaran. Mereka suka bercerita tentang perempuan cantik, seksi dan menarik.
Lama-kelamaan,
sehingga bulan Ogos mereka mula menunjukkan minat belajar. Walaupun saya tidak
ada duit, sekali sebulan saya akan belanja mereka makan mee di kedai seberang
jalan. Kami mulai berkawan, baiknya mereka ini tetap hormat saya sebagai guru
walaupun perangai nakal lain macam. Mereka mula berminat datang ke sekolah.
Apabila saya bagi ujian topikal mereka pun menulis jawapan dan cuba menjawab
walaupun salah. Saya pula tetap puji dan bagi markah walaupun jawapan mereka
salah. Kadang-kadang mereka tanya, cikgu tak pernah bagi markah 0, saya jawab
dengan jujur, jawapan itu salah tetapi markah tetap ada, lalu saya bagi jawapan
yang betul.
Jaga
mereka ini tidaklah susah, saya sebagai guru kena masuk ke dunia mereka. Salah
seorang pelajar kelas ini agak bengis, tangan dia sentiasa ditampal dengan
plaster di mana-mana. Pada mulanya saya takut dekat dengan dia tetapi
perlahan-lahan saya bantu dia lama kelamaan dia mula menunjukkan minat dan
dalam SPM dia dapat Gred C bagi subjek Bahasa Melayu. Tangan dia bertampal itu
bukannya apa, dia mungkin selalu dipukul oleh orang tuanya. Kadang-kadang dia
datang ke sekolah, masuk kelas terus tidur, matanya merah seolah-olah baru
lepas menangis. Itulah kisahnya. Semua pelajar saya anggap insan yang perlu
dimanusiakan biar tidak berjaya dalam akademik tetapi hati nurani mereka baik
kerana itulah asas kesejahteraan dan keharmonian hidup selepas mereka keluar dari
alam persekolahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan