JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : 400 HARI DI SMK SIBU JAYA


Pagi itu saya dikejutkan dengan suatu berita yang betul-betul melemaskan fikiran, setelah 19 tahun menabur bakti di SMK Sacred Heart, tawaran untuk menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sibu Jaya tiba-tiba datang menyapa dengan lambaian yang sungguh damai dan mesra. Entah kenapa, hati saya tertarik dengan tawaran tersebut. Dalam hati, saya sebenarnya sudah memasang niat untuk berkhidmat di SMK Sacred Heart sehingga bersara. Itulah impian dan janji hati saya. Namun demikian, hati manusia ibarat muara sungai yang sentiasa berubah pandangan fizikal setiap kali ombak menghempas. Walaupun saya hanyalah seorang guru kerdil di sekolah ternama itu, namun ramai juga rakan-rakan yang merenjiskan embun peringatan agar saya memikirkan niat untuk menerima tawaran itu dengan mempertimbangkan beberapa perkara. Pada pandangan mereka saya merupakan orang akademik, jawatan itu memang tidak sesuai dengan diri saya, apatah lagi beberapa minggu lepas saya baru sahaja menerima surat pelantikan sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Pemergian saya ke SMK Sibu Jaya tidak membawa apa-apa keuntungan jika diambilkira dari segi kenaikan pangkat dan gred jawatan. 

Selepas tamat sesi persekolahan pada 20 April 2016, tanpa memberitahu sesiapa, saya terus memandu ke SMK Sibu Jaya. Semasa saya datang, saya tidak bertemu dengan Tuan Pengetua, saya hanya berjumpa dengan Penolong Kanan Pentadbiran. Keadaan saya pada masa itu amat berkecamuk ibarat ditelan mati emak diluah mati bapa. Rasa sayang, kasih, dan cinta terhadap SMK Sacred Heart telah lama mendarahdaging dalam jiwa saya sehingga cara percakapan saya mirip cara percakapan orang Cina. Saya membesar dan menjadi dewasa di SMK Sacred Heart. Saya belajar mengenai sebuah kehidupan dan mencedok banyak pengalaman di SMK Sacred Heart. Rakan-rakan sejawat mengingatkan supaya saya membuat pilihan yang bijak. Mereka takut semua yang saya miliki akan hilang jika saya pergi ke stesen baharu, semua ini menjadikan saya lebih takut. Kenapa saya jadi begini? Sepatutnya, saya tanya hati untuk membuat keputusan bukannya dipengaruhi oleh pendapat orang lain. Ya Allah, saya lemah dalam hal ini. Malam itu, saya tiba-tiba air mata membasahi pipi atas alasan yang saya sendiri tidak ketahui. Tiba-tiba muncul kekuatan yang meyakinkan supaya saya memilih untuk berpindah. Berpindah ke SMK Sibu Jaya.

TUHAN IZINKAN AKU PERGI

Perjalanan hidup saya memang sukar diramal. Setiap perkara yang berlaku sepanjang berkecimpung dalam dunia perguruan berlaku bagaikan mimpi. Saya datang ke SMK Sacred Heart pada 1 Januari 1997 dengan hanya berbekalkan segulung Sijil Perguruan. Saya tidak pernah menduga untuk memegang segulung sarjana. Perjalanan ini amat indah buat seorang anak pedalaman seperti saya. Kepercayaan pelbagai pihak terhadap diri saya amat mengagumkan sehinggalah saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu yang memegang beberapa jawatan penting di peringkat Bahagian, Negeri, dan Kebangsaan. Saya terlibat sebagai panel dan pelbagai lagi tugas-tugas penting yang berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu. Di SMK Sacred Heart, saya pernah mengajar Tingkatan Peralihan hingga ke Tingkatan Enam. Pengalaman yang bukan semua guru boleh mengalaminya. Saya memegang jawatan sebagai Penyelaras, Ketua Panitia, dan Ketua Bidang Bahasa. Pada tahun 2014 pula, saya mulai aktif berkolaboratif dengan guru-guru lain di Semenanjung Malaysia untuk menghasilkan beberapa buah buku rujukan Bahasa Melayu STPM. Semua ini tidak pernah termimpi tetapi menjadi realiti tanpa saya sedari.

Keputusan saya untuk menerima tawaran untuk menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sibu Jaya benar-benar menguji kematangan saya untuk berfikir. Akan tetapi, saya yakin bahawa keputusan saya tidak salah. Saya perlukan pengalaman baharu dan menghirup udara baharu di tempat baharu. Perpindahan ini merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah perkhidmatan saya. Ucapan tahniah daripada kawan-kawan yang mengenali menjadikan saya lebih yakin. SMK Sibu Jaya merupakan sebuah sekolah yang amat indah dan tenteram. Sejujurnya, saya bermula dengan kosong. Kosong ilmu. Kosong pengalaman. Saya memang aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah. Saya pernah pernah melatih pelajar berpidato hingga ke peringkat negeri. Saya pernah mengikuti perkemahan Kadet Remaja Sekolah. Saya pernah menjadi Ketua Hakim banyak pertandingan aktiviti sokongan kurikulum. Akan tetapi, semua tugas-tugas itu saya buat atas tiket guru penasihat dan jurulatih. Saya bukan pentadbir. Pada minggu pertama, saya banyak bertanya dan membaca tentang tugas-tugas saya. Agak kelam kabut juga keadaan di SMK Sibu Jaya dengan karenah saya pada minggu-minggu awal saya memulakan tugas. Saya tahu, ramai yang mungkin membenci kehadiran saya kerana banyak benda yang saya timbulkan sehingga mengundang kemarahan namun tidaklah sampai parah. Dugaan yang berlaku pada peringkat awal kadang-kadang menyebabkan saya ingin kembali ke SMK Sacred Heart tetapi saya tidak boleh kembali lagi. Tidak boleh.

MEKARNYA CINTA

Masa terus berlalu dan berlalu. Jiwa saya semakin sebati dengan SMK Sibu Jaya dan warganya. Rasa rindu terhadap sekolah lama kian lenyap hari demi hari. Saya terus belajar dan belajar. Walaupun saya bukanlah yang terbaik, sekurang-kurangnya saya tidak gagal dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Pandangan negatif orang lain saya tolak ketepi manakala yang positif saya jadikan ikhtibar. Banyak juga perkara yang membanggakan yang saya lakukan tetapi biarlah saya simpan kerana usia saya di daerah ini masih baru setahun jagung, darah masih setampuk pinang. Saya akui tugas baharu saya bukan mudah tetapi saya pasrah kerana hati saya nekad untuk meneruskan. SMK Sibu Jaya mempunyai guru-guru yang hebat dan sedia bekerjasama. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik apabila diminta. Mereka lakukan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi. Saya masih ingat, bulan pertama di SMK Sibu Jaya, saya diarahkan oleh pihak PPD Sibu untuk mengikuti Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum (Kategori Luar Bandar). Pada masa itu, saya amat terharu dengan kerjasama yang diberikan oleh guru-guru SMK Sibu Jaya. Kenangan itu tidak akan saya lupakan hingga ke akhir hayat saya. Itulah sejarah pertama yang terpahat dalam lipatan memori saya sampai bila-bila.

Keyakinan saya bertambah semasa penganjuran Hari Sukan Sekolah SMK Sibu Jaya kali ke-13, sekali lagi saya rasa amat terharu dengan komitmen para guru. Mereka lakukan tugas yang diberikan tanpa mengeluh. Sukan Tahunan tersebut berlangsung dengan amat lancar dan teratur. Saya amat berterima kasih kepada semua guru dan warga SMK Sibu Jaya kerana tanpa mereka saya tidak dapat melakukan tugas saya dengan mudah. Hari-hariku diisi dengan kebahagiaan sehingga berat badan naik lebih kurang 5 kilogram. Dunia baharu ini banyak mengajar saya makna sebuah ikatan silaturrahim dan persahabatan. Jika dahulu waktu saya banyak diisi dengan urusan akademik, kini akibat beban tugas sudah berbeza, saya banyak gunakan masa untuk mentadbir dan mengurus. Saya mengenali semua guru di SMK Sibu Jaya walaupun kadang kala saya ditertawakan oleh Setiausaha Kokurikulum saya yang cute dan aktif, Puan Julina, kerana tersalah menyebut nama guru. Saya beruntung mempunyai Setiausaha Kokurikulum yang amat hebat iaitu Puan Julina Labang dan Puan Mujalifah Binti Kassim. Setiausaha Sukan yang bekerja dengan saya, Encik Boyington Randy juga hebat. Mereka sentiasa membantu apabila diperlukan.

MERANGKUL JAYA

Awal tahun 2017 bermula dengan ribuan rahmat dan berkat daripada Yang Maha Esa. Masalah pelajar ponteng aktiviti kokurikulum dapat diatasi dengan pelaksanaan dasar baharu, iaitu aktiviti kokurikulum diadakan pada setiap hari Rabu. Oleh sebab komitmen guru dan pelajar amat baik dan menggagumkan urusan pelaksanaan aktiviti kokurikulum tidaklah menyesakkan nafas. Saya amat menghargai bantuan para guru yang banyak melicinkan perjalanan aktiviti kokurikulum. Kejayaan pasukan olahraga sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah Bahagian Sibu merupakan kenangan manis kerana kerjasama para guru begitu hebat. Nama SMK Sibu Jaya mula menjadi sebutan dan digeruni oleh atlit dari sekolah lain. Walaupun tidak mampu meraih juara tetapi Stadium Tun Zaidi Adruce tetap bergema dengan laungan SMK Sibu Jaya. Ramai yang membuka mata mengenai kebangkitan SMK Sibu Jaya. Kejayaan ini memang bukan kejayaan saya. Kejayaan ini merupakan kejayaan para guru dan pelajar-pelajar. Mereka tidak perlu disuruh untuk menjalani latihan. Mereka lakukannya dengan ikhlas tanpa pengawasan dan pemantauan. Mereka cuma minta disediakan keperluan dan tugas saya hanyalah membuat pembelian. Yang berpanas dan berhujan di padang ialah mereka. Saya tidak pernah mendengar keluhan dan runggutan. Yang saya selalu dengar ialah gurauan yang menghias hari-hari indah selama saya menjadi warga SMK Sibu Jaya.

Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Sibu Jaya dalam bidang kokurikulum. Semangat berpasukan telah membawa kemenangan kepada Pasukan Bola Sepak Bawah 15 Tahun (Naib Juara) dan Pasukan Sofbol (Tempat Ketiga). Para guru dan pelajar-pelajar memang berusaha bersungguh-sungguh apabila mereka menyertai sesuatu pertandingan kokurikulum. Semasa SMK Sibu Jaya menjadi Tuan Rumah Pertandingan Drama Bahasa Inggeris, urusan amat lancar di bawah seliaan Ketua Bidang Bahasa. Terdetik di hati saya, guru-guru sekolah ini memang hebat dan berbakat. Saya tidak mampu melakukan perkara yang mereka lakukan. Jika tiada mereka, saya bukanlah sesiapa. Mereka yang menjadikan SMK Sibu Jaya semakin hebat dan menyinar.

GAGAL ATAU BERJAYA

Saya tidak dapat menjangkakan berapa lama saya akan terus berkhidmat di SMK Sibu Jaya. Jika diikutkan kata hati, biarlah kerjaya saya berakhir disini tetapi hati saya hanya merancang bukannya mentakdirkan. Jika ditanya, apakah impian dan harapan saya? Saya mahu SMK Sibu Jaya cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Usia SMK Sibu Jaya barulah 14 tahun, seusia dengan pelajar tingkatan dua. Oleh itu, saya tidak mahu orang lain membandingkan SMK Sibu Jaya dengan sekolah-sekolah yang sudah berusia puluhan tahun. SMK Sibu Jaya merupakan satu-satunya sekolah di Bandar Sibu Jaya. Semua pelajar diterima masuk ke SMK Sibu Jaya kerana tiada sekolah lain yang berdekatan disediakan untuk mereka. Sesungguhnya, bukan mudah untuk menguruskan sebuah sekolah yang mempunyai pelajar yang ramai dan ibu bapa mereka pula secara puratanya berada dalam lingkungan yang berpendapatan sederhana. Komitmen semua pihak amatlah dituntut. SMK Sibu Jaya tetap beruntung kerana memiliki para guru yang berkomitmen tinggi dan jitu dalam melaksanakan amanah negara.

Saya akui saya bukanlah seorang penolong kanan yang cemerlang. Saya perlu belajar dan belajar untuk membaiki diri. Jika di SMK Sacred Heart saya perlukan masa selama 19 tahun untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu, tidak mustahil di SMK Sibu Jaya pun saya perlukan tempoh masa yang sebegitu. Tugas ini bukannya mudah kerana melibatkan banyak kerja-kerja pentadbiran dan pada masa yang sama saya perlu memperuntukan banyak masa untuk tugas-tugas akademik. Jika diberikan pilihan untuk kembali semula ke pangkal jalan, apakah saya akan menerimanya? Jawapannya, biarlah rahsia. Setelah 400 hari, saya masih gagal untuk memberi sepenuhnya jiwa dan raga saya untuk jawatan baharu ini. Saya selalu ingin kembali ke masa lalu. Saya rindu untuk mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam yakni bidang kebitaraan saya yang telah dimaklumi oleh semua pihak. Saya sudah terlalu jauh berkecimpung dengan pelbagai urusan berkaitan dengan subjek Bahasa Melayu Tingkatan Enam dan pengurusan Tingkatan Enam. Jadi, saya terus menerus memasang impian untuk melepaskan jawatan ini dan memberikannya kepada mereka yang lebih berhak dan berminat. Semoga suatu hari, Allah akan memberikan ruang untuk saya berundur. Jika peluang itu tiba, saya rela ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara asalkan saya kembali menjadi seperti diri saya yang dahulu. Itu janji saya. 

Selagi saya masih disini, selagi itulah saya bekerja untuk melunaskan segala amanah dan kewajiban yang terpikul di bahu saya. Yang baik itu datang daripada Yang Maha Esa manakala yang kurang itu datang daripada saya insan yang hina. SMK Sibu Jaya amat dekat dengan jiwa saya. Apabila saya memandang pelajar-pelajarnya, saya memandang diri saya suatu ketika dahulu. Mereka bagaikan jelmaan kehidupan saya pada masa lampau tetapi keadaan mereka jauh lebih baik daripada keadaan diri saya. Saya yakin Tuhan ada perancangan yang indah untuk saya sehingga menggerakkan hati saya untuk terus ke sini. Saya tahu perancangan Tuhan adalah yang terbaik.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak.

25 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : NAMA IBU DAN AYAH MERUPAKAN MARUAH BAGI KAUM IBAN, JIKA DIPERMAINKAN BOLEH MENYEBABKAN “TULAH”


Isu hangat yang menyerang hendap di media sosial beberapa hari ini ialah isu pengacara sebuah stesen televisyen yang melakukan aksi melampau apabila menyebut nama mendiang ayah bekas Pelari Pecut Negara, Watson Nyambek. Tindakan pengacara tersebut telah menyinggung perasaan ramai pihak yang mengenali beliau terutamanya rakyat jelata negeri Sarawak. Saya tidak mahu mengulas perkara yang sudah berlaku ini dengan panjang lebar kerana masing-masing sedia maklum dengan tindakan pihak yang melakukan perkara itu dan pihak Watson Nyambek berhubung dengan isu ini. Perkara yang mahu saya ketengahkan ialah budaya dan adat istiadat kaum Iban yang begitu menghargai nama ibu dan bapa mereka. Bagi masyarakat bukan Iban, hal ini mungkin dianggap remeh. Ada apa dengan nama? Akan tetapi, bagi masyarakat Iban, nama ayah dan ibu mereka merupakan maruah yang perlu dijaga. Orang lain tidak boleh mempersendakan nama ayah dan ibu mereka. Jika keadaan ini berlaku, pergaduhan boleh tercetus dan kes ini mungkin menjadi besar sehingga terpaksa diadili oleh Tuai Rumah (Ketua Kampung), Penghulu, mahupun Pemanca. 

NAMA YANG UNIK

Nama orang Iban sangat unik kerana kehidupan seharian mereka begitu dekat dengan alam sekitar yang sentiasa terpelihara keaslian dan keindahannya. Nama anak kadang-kadang diberikan berdasarkan kejadian yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka begitu menghayati dan mengagumi setiap kejadian alam ciptaan Tuhan sehingga sanggup mengabdikan peristiwa-peristiwa itu pada nama anak-anak mereka. Akan tetapi, setiap nama itu mempunyai identiti dan makna yang tersendiri. Mereka menamai anak mereka dengan pelbagai makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Walaupun mungkin maksud nama yang diberikan itu dalam bahasa Melayu atau bahasa kaum lain mungkin pelik, ganjil, atau lucu tetapi bagi mereka nama itu adalah maruah dan kedaulatan yang menjadi pengenalan diri. Oleh itu, mereka tidak malu menunjukkan identiti diri dengan menggunakan nama yang tercatat dalam Kad Pengenalan mereka. Kita haruslah memahami hakikat ini. Orang yang tidak faham mungkin tidak kering gusi mentertawakan tetapi tindakan sebegini hanya melibatkan sekumpulan kecil individu yang kurang cerdik. Jika kita berilmu dan faham kepercayaan dan pegangan setiap suku kaum kita tidak akan tergamak mencaci atau menghina orang hanya kerana nama, kita akan melihat semua itu daripada sudut yang positif. Yang penting ialah hati yang ikhlas dan jujur dalam diri seseorang. Seindah manapun nama kita kalau hati kita penuh dengan niat jahat dan keji, orang tetap tidak akan menghormati kita. 

Bagi orang Iban, nama itu mewakili diri, keluarga, dan bangsa. Mereka dikenali sebagai orang Iban kerana nama mereka yang melambangkan ciri-ciri masyarakat Iban. Walaupun ramai yang sudah menggunakan nama bercorak kebaratan kerana memeluk agama kristian tetapi mereka sedaya upaya akan memasukkan juga nama Iban dalam kad pengenalan anak mereka sebagai tanda hormat kepada nenek moyang mereka. Kita tidak boleh melihat perkara ini sebagai kolot atau ketinggalan zaman. Ini merupakan kepercayaan dan pegangan suku kaum Iban. Sebagai seorang guru, saya berhadapan dengan ratusan pelajar yang mempunyai nama-nama yang pelik dan unik, bukan sahaja melibatkan pelajar kaum Iban tetapi kaum-kaum lain juga. Akan tetapi, saya tidak pernah mempermain-mainkan nama mereka kerana saya tahu perkara itu amat sensitif. Nama itu identiti. Secanggih manapun nama kita, kalau kita gagal dalam peperiksaan, nama itu tidak mampu membawa kita kemana-mana. Yang penting ialah kesedaran dan usaha untuk kita mara ke hadapan. 

KONSEP TULAH

Kamus Dewan mentakrifkan tulah sebagai kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan seperti melakukan sesuatu yang kurang baik terhadap orang tua-tua, menderkaha kepada Raja, dan sebagainya. Tulah boleh mendatangkan kesengsaraan atau mengakibatkan seseorang mendapat kecelakaan akibat daripada perbuatannya itu. Takrifan tulah ini adalah sama dengan konsep yang dipegang oleh kaum Iban di Sarawak secara turun temurun. Orang yang melakukan tulah akan mendapat ketulahan. Dalam konteks seseorang yang suka mempersendakan nama ibu atau bapa seseorang, orang yang mempermainkan atau mempersendakan nama ayah atau ibu orang lain dianggap boleh mendapat tulah. Mereka dianggap tidak menghormati maruah dan keturunan orang yang dipersendakan itu. 

Dalam masyarakat Iban, jika kita menjadi menantu dalam sesebuah keluarga, kita tidak boleh langsung menyebut nama sebenar mertua lelaki mahupun mertua perempuan kita. Jika diminta berbuat demikian secara lisan, kita dilarang daripada melakukannya. Kita boleh mewakilkan orang lain yang tidak berkaitan untuk menyebutkan nama mertua kita atau kita boleh menulis atau mencatat namanya pada sekeping kertas. Hal ini dikatakan demikian kerana menantu yang dengan sengaja menyebut nama mertua mereka akan dianggap tulah dan orang yang tulah itu dikhuatiri akan mendapat pelbagai kecelakaan dalam hidup mereka. Hidup mereka tidak akan sejahtera. Mereka akan selalu ditimpa malang. Mereka sukar untuk mendapatkan kebahagiaan. Pada pandangan saya, kepercayaan sebegini bukannya kolot tetapi merupakan salah satu cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang tua-tua terutamanya mertua kita. Oleh itu, orang Iban akan memanggil ayah mereka “Apai” dan ibu mereka “Indai”. Konsep menghormati mertua ini masih lagi menjadi pegangan masyarakat Iban hingga kini biarpun semakin ramai anak-anak muda yang berpendidikan dan berjawatan tinggi. Tradisi dan identiti masyarakat Iban masih mereka pegang hingga ke hari ini.

SEMPIT FIKIRAN

Konsep menghormat ibu bapa dan orang tua-tua dalam masyarakat Iban amat tebal. Jurang antara orang tua-tua dengan anak-anak muda amat dijaga. Mereka yang tidak menghormati orang tua-tua akan dianggap menderhaka. Oleh itu, apabila orang lain mempersendakan nama ibu atau bapa mereka, perkara ini boleh menyebabkan amarah mereka meledak sehingga sukar dikawal. Bagi orang Iban, tindakan menyamakan nama ibu atau ayah mereka dengan binatang atau hidupan lain di muka bumi ini amatlah dikesali kerana itu dianggap penghinaan ke atas keluarga dan keturunan mereka.  Ibu atau bapa bagi mereka merupakan simbol kedaulatan dan perpaduan keluarga. Mereka amat mengasihi dan menyayangi ibu bapa mereka seperti juga kaum-kaum yang lain. Apabila kita mempersenda nama ibu bapa mereka bermakna kita sengaja cari ‘pasal’ dengan mereka, bak kata pepatah, “jangan dijolok sarang tebuan”.  Jika dijolok juga, tabuan itu tidak akan berhenti mengejar kita sehingga kita parah disengat tanpa rasa belas dan kasihan. 

Nama ibu atau nama bapa sahaja pun? Ya, memang. Akan tetapi, kita hidup dalam sebuah masyarakat majmuk harus faham adat istiadat dan kepercayaan setiap suku kaum. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan nama, adat, kepercayaan, bentuk fizikal dan kecacatan seseorang untuk dijadikan bahan lawak. Kali pertama, kita mungkin kita terlepas. Kali kedua dan ketiga, kita mungkin bernasib malang apabila orang yang kita jadikan modal untuk mengacara atau melawak itu mengambil tindakan mahkamah terhadap kita. Orang Iban boleh memaafkan kita bagi kesalahan lain yang kita lakukan namun apabila perkara itu bersangkutan dengan ibu atau bapa mereka, jangan menyesal kalau mereka bersungguh-sungguh memperjuangkannya. Oleh itu, demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat kita harus memandang perkara ini dengan kedua-dua belah mata agar kita tidak mencetuskan kontroversi sehingga boleh menyebabkan kita dikenakan tindakan tatatertib dan sebagainya.

SENSITIFNYA ORANG SARAWAK

Tuduhan ini sebenarnya tidak berasas. Kita harus melihat dengan teliti, apabila timbulnya sesuatu isu, bukan mereka yang mencetuskan isu tersebut. Masyarakat di Sarawak terutamanya golongan belia semakin bijak melihat sesuatu perkara terutamanya aspek pembangunan dan hak mereka sebagai pribumi. Apabila semakin banyak yang berilmu dan berpendidikan tinggi, sedikit demi sedikit mereka mula mengkaji dan meneliti sejarah dan mereka selalu beranggapan selama ini mereka hanyalah “anak tiri” maka jiwa mereka menjadi teramat sensitif serta mudah tersentuh. Walau bagaimanapun, saya tidak menganggap semuanya begitu. Ramai lagi rakyat Sarawak yang matang dalam melihat sesuatu perkara. Mereka redha dengan nasib dan apa-apa yang mereka ada. Mereka tidak mengeluh mahupun melaungkan pelbagai slogan demi menuntut hak dan sebagainya. Cuma, dengan kemajuan media sosial apabila tercetus isu-isu yang menyentuh kaum, negeri, adat, dan kepercayaan, mereka memang lantang mempertahankan diri. Oleh itu, elakkan daripada mengutuk atau menghina apa-apa sahaja yang berkaitan dengan setiap suku kaum di Malaysia.

Kita tidak boleh menilai seseorang hanya dengan mendengar cerita daripada orang yang cetek ilmunya tentang orang lain. Saya teringat akan suatu peristiwa semasa saya dijemput memberikan ceramah di salah sebuah negeri, saya berbual-bual dengan seorang penceramah yang pernah lima tahun mengajar di Sarawak. Tanpa diminta,  beliau bercerita tentang pelbagai perkara tentang kehidupan di Sarawak yang kebanyakan cerita yang diceritakan itu tidak betul tentang masyarakat di Sarawak. Hampir 90% cerita beliau merupakan fantasi yang mungkin dijana di minda bijaksana seorang penceramah yang bijak berkata-kata. Beliau sebenarnya tidak tahu saya orang Sarawak. Selepas beliau tamat bercerita, saya memperkenalkan diri dari Sibu Sarawak. Ketika itu saya melihat mukanya merah padam dan dia terus menghilang dari majlis. Kebetulan pula slot ceramah beliau sudah berakhir. Walau bagaimanapun, saya tidak membenci beliau malahan saya mendoakan agar suatu ketika ilmu beliau tentang Sarawak dan warganya akan bertambah. Yang saya risau ialah orang yang mendengar celoteh nakal beliau itu, mereka semuanya tidak pernah ke Sarawak dan mereka ini mendapat pengalaman daripada cerita beliau itu untuk disebarluaskan kepada orang lain pula. 


Lawak yang bermodalkan penghinaan dan sindiran khusus kepada individu, kaum atau masyarakat di sesebuah negeri sewajarnya diharamkan. Saya amat kecewa apabila melihat pelawak atau pengacara yang mengajuk, mempersendakan ramai individu yang berjaya, seperti Datuk Seri Vida. Saya melihat dan membaca sejarah jatuh bangun beliau. Kekecewaan itu muncul dibenak fikiran apabila yang mencaci maki beliau kebanyakannya remaja yang baru nak up tetapi lebih sudu dari kuah. Oleh itu, saya anggap semua cacian dan penghinaan ke atas beliau merupakan cetusan idea daripada orang yang daif minda dan miskin ilmu. 

Sebenarnya, saya tidak memuji tetapi ingin menarik anda untuk bertapak di paksi realiti tentang masyarakat Iban di Sarawak. Mereka amat menghormati tetamu. Jika kita berkunjung ke rumah panjang, mereka akan memberikan layanan yang boleh membuat kita rasa terharu. Walaupun mereka serba ketiadaan, mereka sedaya upaya untuk menyediakan sesuatu suasana yang membuat kita selesa. Kita dilayan bagai raja. Cubalah bertanya kepada guru-guru dari Semenanjung yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang tidak segan bergaul dengan mereka. Orang Iban amat menghormati dan memuliakan mereka. Mereka tidak pernah dikasari atau dipersendakan. Mereka diterima sebagai ahli keluarga yang sentiasa didahulukan dalam semua perkara. Bagi orang Iban, tetamu itu pembawa rezeki. Setiap tetamu yang datang mereka akan layan dan sajikan dengan semua yang mereka ada. Mereka sanggup tidak mandi dari pagi hingga ke malam semata-mata melayan tetamu kerana jika mereka tidak berbuat demikian mereka dianggap tidak sopan dan tidak beradab. Walau bagaimanapun, pengalaman ini hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang pandai bergaul. Sebilangan yang berpersepsi negatif, mereka sentiasa berkurung dan menutup pintu pergaulan dengan masyarakat setempat. Golongan sebegini, walaupun hidup di Bumi Kenyalang 100 tahun, persepsinya tetap juga negatif kerana mindanya telah diprogramkan sebegitu. Walau digondam sekalipun, kita tetap tidak akan berjaya menghapus syak wasangkanya. 

HORMATI DAN TERIMALAH

Sudah sampai masanya kita perlu menerima kepelbagaian itu suatu keunikan. Keunikan itu identiti. Identiti itu bukan bahan yang boleh dipersendakan. Kita amalkan konsep 1Malaysia demi kesejahteraan hidup bersama. Baik buruk setiap suku kaum kita kena terima kerana kita semua merupakan anak Malaysia. Alangkah ceteknya ilmu kita jika kita masih jahil dengan masyarakat yang mendiami sesebuah negeri di Malaysia. Zaman ini zaman digital, kaunter pertanyaan meluas di segenap empat penjuru dunia. Sebelum melakukan sesuatu kita harus bertanya dan melakukan kajian. Jika molek kita teruskan. Jika bobrok kita singkirkan. Kita tidak boleh meraih rezeki dengan menghina atau mempersendakan orang lain apatah lagi di kaca TV yang menjadi tontonan jutaan orang di seluruh dunia dan di alam maya. Apabila melakukan kesalahan, gunakan tenaga, mulut, dan kekuatan, jumpalah berdepan untuk memohon ampun dan kemaafan. Jangan hanya pandai mengarang kata-kata maaf di Facebook atau Instagram. Itu bukanlah memohon kemaafan secara ikhlas. Kemarahan orang mungkin tidak boleh kita padamkan tetapi boleh kita redakan andai setiap isu ditangani dengan matang dan berhemah.

Bumi mana tidak ditimpa hujan dan lautan mana tidak bergelombang. Kita sebagai manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Akan tetapi, ambillah ikhtibar daripada kesilapan itu untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Sarawak bukan sahaja negeri yang terbesar di Malaysia malah suku kaum yang menjadi penghuni bumi Sarawak juga banyak, justeru luaskan pergaulan dan tambahkan pengalaman kita. Jangan sampai tercetus lagi isu-isu sebegini yang boleh mengeruhkan tenangnya air di kali hati kita. Apabila kita menganggap diri kita lebih maju daripada orang lain kita megah mendabik dada sehingga terlupa bahawa orang lain juga hebat seperti kita. Apabila kita terlalu percaya diri kita hebat maka kita mudah melakukan perkara-perkara jahat ke atas orang lain wahal semua itu akan mendatangkan duka nestapa ke atas diri kita juga. Dunia ini hanya pinjaman, sementara hidup luaskan pergaulan, tambahkan pengalaman, dan jalinkan persahabatan tanpa mengira kaum, agama, dan pegangan kerana semakin banyak yang kita faham tentang orang lain semakin banyak nikmat hidup yang akan kita kecapi.


Didiklah diri kita supaya menghormati orang lain kerana dengan cara itu Allah akan merahmati perjalanan hidup kita. 
Biar pengemis sekalipun kita tidak boleh mentertawakan mereka kerana mereka juga makhluk Tuhan yang mendapat hak yang sama seperti kita disisi-Nya. Kehadiran kita di dunia ini, biarlah disayangi dan dikasihi oleh semua orang yang mengenali. Oleh itu, kita harus mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap orang lain kerana dari situ kita akan sentiasa disanjungi, dimuliakan, dan diingati sepanjang zaman. 

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak. 

09 April 2017

RENCANA : GRADUAN TULEN DAN GRADUAN "COPY AND PASTE"

DR. EMA IZATI ZULL KEPILIL
Pensyarah Kanan Kewangan dan Ekonomi,
Pusat Pengajian Pengurusan,
Universiti Sains Malaysia.


Corak pembelajaran di universiti kini sedang mengikuti arus perubahan yang ketara. Dalam mendepani cabaran globalisasi, corak pembelajaran sedang ditingkatkan ke arah pembelajaran bersepadu (blended-learning) dan tidak lagi 100 peratus menggunakan konsep pembelajaran tradisional iaitu secara satu arah. Di kuliah, peranan pembelajaran telah dipulangkan secara aktif kepada pelajar (flipped learning). Dalam perubahan ini, ada pelajar universiti yang akan bakal menjadi graduan tulen - mendapat imbuhan dari perubahan ini dan ada kelompok pelajar yang masih terleka dengan corak pembelajaran tradisional. Kelompok pelajar yang malang ini akan menjadi graduan ‘salin dan tampal’ (copy & paste) kerana pelbagai sebab. Perbezaan ciri-ciri kelompok dua pelajar ini dilihat lebih ketara dengan penyebaran ilmu di internet. Di bawah ini sebahagian daripada karakter yang membezakan seseorang itu adalah graduan tulen atau copy & paste tersebut.

KARAKTER PERTAMA

Pembelajaran bersepadu meliputi arahan pembelajaran dilakukan sebelum pelajar memasuki kuliah. Graduan tulen ialah mereka yang mengikut arahan tersebut, membaca dan menyelidiki sesuatu informasi di internet sebelum kuliah bermula. Mereka tahu mereka tidak semestinya faham bab baru dalam sesuatu subjek, tetapi dengan mengambil tahu secara rambang sebelum kuliah, secara separa sedar, graduan tulen telah menyediakan minda mereka untuk menerima jawapan dari ketidakfahaman mereka. Ini kerana, sewaktu di kuliah, pembelajaran secara aktif akan berlangsung. Pensyarah tidak akan lagi mengulang arahan, tetapi terus kepada diskusi lanjutan.

Bagaimanapun, graduan copy & paste yang tidak bersedia membaca sebelum masuk kuliah, akan ketinggalan dan menjadi kabur dalam kuliah.


KARAKTER KEDUA

Pembelajaran bersepadu meletakkan peranan pensyarah sebagai pembimbing dan fasilitator. Gra­duan tulen memahami perbezaan antara fasilitator dan guru. Sebagai seorang yang dewasa, mereka faham bahawa corak pengajaran untuk orang dewasa adalah berbeza dari remaja. Corak pengajaran untuk dewasa berbentuk abstrak dan lebih menjurus kepada penggunaan kemahiran aras tinggi dan soalan berbentuk aplikasi, sintesis dan kemahiran membuat keputusan.

Lain dari graduan copy & paste, mereka mengharap pensyarah akan memberi nota, soalan dan skema jawapan. Mereka berpendapat pensyarah seharusnya menjadi seperti seorang guru yang menyediakan segalanya untuk mereka.

KARAKTER KETIGA

Pembelajaran bersepadu lebih interaktif dan bercorak amali (hands-on). Graduan tulen menghargai corak pembelajaran yang mengangkat intelektual mereka. Sebagai seorang yang dewasa, graduan tulen lebih terdorong kepada kuliah yang lebih interaktif, tidak terlalu mengikut sorotan power-point, tetapi lebih kepada soalan, aktiviti dan latihan yang mencabar keupayaan intelektual mereka.

Namun begitu, graduan copy & paste lebih selesa duduk di belakang dewan kuliah dan melayani Facebook, WhatsApp dan internet ketika kuliah sedang berlangsung. Tindak balas mereka terhadap latihan dan aktiviti kuliah adalah pasif dan cepat mengeluh.

KARAKTER KEEMPAT

Pembelajaran bersepadu me­manfaatkan masa sepenuhnya untuk mencapai kemahiran insaniah. Oleh sebab ini, graduan tulen yang faham akan menghormati ilmu dan waktu kuliah. Mereka datang awal ke kuliah, duduk di hadapan dan menunjukkan minat untuk belajar. Mata mereka seperti galak mahu tahu lebih daripada syarahan yang disampaikan. Adab mereka adalah tinggi kerana mereka faham, menghormati pendidik akan mendatangkan keberkatan ilmu dan melancarkan pemahaman.

Graduan copy & paste sebaliknya datang lewat, duduk seperti bersantai di tepi pantai, tidak membawa pen dan alat tulis, terlalu bergantung kepada rakan dan tidak menunjukkan minat untuk ke kuliah. Adab belajar dan berguru juga rendah.

KARAKTER KELIMA

Graduan tulen yang memohon pinjaman selalunya bijak me­rancang kewangan mereka. Mereka faham yuran pendidikan dan perkara berkaitan adalah mahal. Mereka juga faham bahawa mereka perlu membayar semula pinjaman selepas mendapat pekerjaan kelak. Dengan kefahaman ini, mereka sedaya upaya mendapat keputusan yang baik dan membina sahsiah yang lebih berintegriti. Mereka pandai merencana pelaburan mereka.

Graduan copy & paste pula selalunya terlupa tentang bayaran balik pembiayaan mereka dan tidak melabur sebaik-baik­nya menimba ilmu pengetahuan dan memperelokkan adab.

KARAKTER KEENAM

Pembelajaran bersepadu dilaksanakan di dalam kuliah berdasarkan objektif untuk menerap­kan falsafah pendidikan negara. Graduan tulen yang mengikuti pembelajaran bersepadu akan lebih arif dalam memacu ilmu mereka dalam membangunkan negara. Di universiti, mereka melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran luar dewan kuliah. Mereka telah mengasah tajam pemikiran kritis mereka dalam mendepani isu-isu realiti. Objektif mereka adalah untuk membangunkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Lain halnya dengan graduan copy & paste. Oleh kerana mereka selalunya mengambil mudah salin dan tampal tugasan mereka, minda mereka tidak dilatih berfikir secara kritikal. Minda salin dan tampal hanya mendorong kepada mendapatkan matlamat jangka pendek - kekayaan diri sendiri. Kesudahannya, apabila graduan ini berdepan dengan realiti yang mencabar, mereka lekas melenting dan menuding jari mencari kesalahan orang lain. 

Dengan laporan World Econo­mic Forum yang mengatakan pada 2025, 50 peratus pekerjaan di dunia akan diambil oleh teknologi, graduan tulen lebih mempunyai masa depan yang cerah untuk kekal signifikan dalam dunia. Mereka ini sejak awal peringkat universiti telah melatih akal untuk sentiasa bekerja keras untuk kekal berdaya saing.


Bagi graduan copy & paste, mereka bakal ditelan arus dan menjadi tidak relevan dengan cepat. Persoalannya, dengan jumlah puluhan ribu graduan universiti tempatan yang keluarkan, adakah sebahagian besar graduan kita tulen atau copy & paste?

04 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PEJAMKAN MATA, MATA YANG LESU ITU, MIMPIKAN YANG INDAH, MIMPIKAN AKU





Sewaktu menonton filem “Kabhi Khushi Kabhi Gham” saya selalu teringat akan kata-kata yang diungkapkan oleh Shah Rukh Khan kepada adiknya Hrithik Roshan yang berbunyi, “Untuk menjadi seseorang dalam hidup, hasilkan sesuatu dalam hidup, menangi sesuatu, selalulah mendengar kata hati, dan kalau hati tak jawab, tutuplah mata, sebutlah nama ayah dan ibu, selepas itu, tengoklah, semua impian akan tercapai, kau akan menang!” Apabila menonton sesebuah filem terutamanya filem Hindi saya selalu menulis kata-kata yang indah kerana mereka sentiasa menggunakan ayat-ayat yang puitis dan gramatis sehingga sampai menusuk hati. Itulah kehebatan filem Hindi. Kata-kata yang saya kumpul itu akan saya taip dan gantung di dinding kamar sebagai motivasi kendiri. Apabila berhadapan dengan masalah baik masalah keluarga, masalah di tempat kerja, atau masalah dengan pelajar, saya selalu pejamkan mata sambil menyoroti kembali salasilah bermulanya masalah itu. Jika segalanya bermula daripada diri saya, maka dengan rasa rendah dirinya saya memohon kemaafan dan memperbetul keadaan agar segalanya tidak berlarutan sehingga menjejaskan emosi diri.

Manusia di dunia ini tiada yang dilahirkan dengan sifat yang terlalu sempurna sehingga tiada calar nodanya. Sewaktu kita melayarkan bahtera di lautan kehidupan, kadang-kadang kapal yang dinakhodakan terumbang-ambing dipukul gelombang sehingga adakalanya kita karam dan hampir kelemasan dihempas badai yang tidak kenal simpati dan kasihan. Akan tetapi, selagi nadi masih berdenyut kita tahu bahawa kita masih hidup untuk terus menghirup udara di bumi yakni dunia pinjaman tempat kita beraksi dan berlakon sebagai manusiawi ciptaan Ilahi. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Tawa senda dan air mata seolah-olah hiasan wajah yang saling bertukar ganti tanpa mengira waktu dan tempat. Kadang-kadang yang kita undang tak pernah datang, yang kita halau itu yang melutut sehingga kita menjadi rimas dengan permainan dunia yang dirasakan tidak adil dan menzalimi kita. Kita selalu bermohon kepada Tuhan agar diberikan kesempatan dan kekuatan semata-mata untuk menaikkan imej dan maruah diri wahal yang kita kejar sepatutnya iman dan takwa bukannya pangkat, harta, dan puji-pujian.

PEJAMKAN MATA, BEREHATLAH

Segelintir kita terlalu kuat bekerja sehingga tidak sedar dunia sudah beralih siang dan malamnya. Kita terlalu taksub dengan nama, pangkat, sanjungan, dan pujian sehingga menzalimi diri sendiri. Kita abaikan keluarga, kita tinggalkan isteri tercinta, dan kita tidak pedulikan anak-anak yang tersayang semata-mata untuk pergi jauh demi mendapatkan gaji yang tinggi wahal kita tidak terjawab apabila ditanya, tidak cukupkah yang dicari selama ini? Kita selalu mengatakan diri kita terlalu sibuk dengan tugas-tugas di pejabat sehingga kita rasa terasing dan bersendirian. Seorang guru di sekolah kerana terlalu ghairah dengan tugas mendidik kadang-kadang terlupa majlis hari jadi anak sendiri. Ada pula yang terlupa sarapan pagi dan makan tengahari. Mereka terkejar-kejar ke sana dan ke sini. Kesibukan sentiasa bergayut di kasut mereka yang memijak perut bumi sehingga apabila kaki hendak melangkah, langkahan itu menjadi amat lemah dan tidak terarah. Ajakan kawan tidak diendahkan kerana kerja menjadi keutamaan. Berhentilah dan berehatlah!


Apabila kita sakit, yang sakit badan, yang merasa sakit kita, yang menanggung azabnya kita, yang bersedih keluarga dan saudara mara serta sahabat handai. Fail-fail yang berlambak di pejabat tidak akan berjalan untuk mengucapkan simpati. Pingat dan anugerah cemerlang yang kita peroleh, tidak akan menyuapkan bubur nasi tatkala kita tidak mampu bergerak. Majikan yang memaksa kita bekerja siang dan malam, mungkin hanya mengirimkan pesanan SMS memberikan kebenaran bercuti sambil menghantar buah yang menjadi hiasan katil kita. Itulah hakikat apabila kita tidak sayangkan diri sendiri. Kita terlalu takut jika kita kurang memberi kasih kepada kerja dan majikan kita. Kita terlalu menjaga nama dan taksub untuk berada ditangga pertama sebagai pekerja kesayangan wahal semua itulah yang merobek sedikit demi sedikit kekuatan dalaman kita. Lebih menyedihkan jika ada antara kita yang sanggup merancang strategi menjatuhkan orang lain untuk menaikkan diri kita sendiri. Peluang orang kita cantas. Periuk nasi orang kita telungkupkan. Yang lemah kita tindas. Ladang rezeki orang kita tebas. Apabila tiba masanya, semua ini akan tertayang di skrin rasa berdosa satu persatu sehingga kita menangisi kesilapan lalu. Tangisan kita itu akan makin kuat jika orang yang kita khianati itulah yang menjaga dan membelai kita semasa kita tiada sesiapa. Berehatlah, pejamkan mata, kadang-kadang apabila kita terlalu leka dengan nikmat dunia kita rasa kitalah raja tetapi sebenarnya kitalah makhluk Tuhan yang paling malang di dunia.

Apabila kita berada di atas, silap orang kita nampak dengan amat jelas. Cacian kita jadi santapan mereka. Kutukan kita jadi hidangan harian mereka. Kata-kata nista kita jadi ulam-ulaman mereka. Kita bangga apabila mereka lahap menghadam semua itu kerana kitalah yang berkuasa ke atas mereka. Demi imej diri kita dan institusi, kita kesampingkan nilai kemanusiaan dan silatturrahim dengan orang lain sehingga mereka hilang rasa hormat dan simpati terhadap kita. Hormat mereka kerana terpaksa. Suka mereka kerana terpaksa. Sayang mereka bukannya dari hati. Kasih mereka bukanlah asli. Apabila Tuhan putarkan roda, dan kita terlenyek di bawah, lihatlah dunia, tiada sesiapapun yang peduli kepada kita lagi. Jumpa dijalanan, kita tersenyum manakala mereka memalingkan muka. Hati mereka telah lama mati untuk mengucapkan salam dan bertanya khabar kerana kita telah racun rasa itu dengan tindakan kita suatu masa dahulu. Kita mudah lupa semua manusia punya jiwa dan perasaan apabila kita enak duduk di kerusi empuk dengan panggilan keramat “tuan”. Pejamkanlah mata, kasihani diri sendiri, jangan terlalu bongkak dan angkuh dengan semua yang kita miliki hari ini kerana tiada yang kekal abadi.

PEJAMKAN MATA, MUHASABAHLAH

Kita terlalu mudah bertindak dan menghukum orang lain hanya dengan mendengar kata-kata orang yang rapat dengan kita tentang keburukan, kejahatan, dan kedangkalannya. Lantas, tanpa usul periksa kita sisihkan dan singkirkan dia. Kita guna kuasa yang ada pada kita untuk memadamkan kebolehan dan kreativitinya. Kita humban dia jauh-jauh daripada diri kita wahal segala yang kita dengar itu hanyalah fitnah dan hasutan. Sebenarnya, kita dijadikan batu loncatan untuk orang lain mendapatkan hajat dan impian. Namun begitu, tatkala kita sedar, kita menjadi malu untuk mengakui silap diri. Kita terus diburu rasa bersalah sehingga malam-malam kita dibungkus resah dan rasa bersalah. Sesungguhnya, bagi orang yang mudah termakan hasutan, penyesalan selalu datang kemudian. Bagi orang yang kenal hati budi orang yang dipercayainya, penyesalan selalu memberikan isyarat yang membatalkan niat, dan mereka tidak pernah kehilangan semua yang berharga dalam hidup mereka. Pejamkanlah mata, bermuhasabahlah, apa yang kita buat di dunia ini sentiasa diperhatikan dan memang ada orang yang sentiasa berfikir 24 jam untuk menjatuhkan dan menyingkirkan setiap individu yang bermakna disisi kita.


Perjalanan hidup ini adalah berlainan, ikutlah jalan yang betul, di mana kita tidak perlu tunduk atau jatuh. Jangan ambil langkah yang salah di mana nama keluarga kita akan tercemar. Semua orang boleh mendapat wang tetapi bukan senang untuk memperoleh penghormatan.

Apabila kita gagal dalam sesuatu kita selalu menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan kita itu. Kita rasakan diri kita selalu hebat dan tidak boleh gagal wahal kita terlalu banyak kekurangan dan ketiadaan yang kita tidak nampak kerana cermin yang kita lihat retak sejuta. Kita selalu memandang yang indah-indah terhadap diri kita kerana terlalu syok sendiri dibuai mimpi bahawa kitalah yang terbaik atau makhluk Tuhan paling beriman. Salah orang amat jelas di mata kita, salah sendiri terlindung dek rasa riak dan takbur yang beraja di hempedu hati kita. Oleh itu, sampai bila-bila pun kita akan gagal dan gagal kerana kegagalan itu sudah sebati dengan jiwa dan naluri manusia seperti kita. Apabila orang menegur kekurangan kita, kita mudah melenting dan terasa hati sehingga kita anggap teguran itu suatu ancaman. Kita terlupa bahawa dia amat menyayangi kita. Lalu, sedikit demi sedikit Allah hilangkan mereka daripada terus berada di sisi kita. Dan, sedikit demi sedikit juga, yang kita miliki Allah matikan sinarnya. Pejamkanlah mata, bermuhasabahlah bahawa orang yang berjaya itu sentiasa perlukan dorongan dan kritikan. Orang yang berjaya itu sentiasa terjatuh dan tersungkur. Orang yang berjaya itu sentiasa gagal. Bezanya, mereka terus membaiki kekurangan diri sehingga mampu berdiri megah seperti hari ini.

PEJAMKAN MATA

Tuhan hanya memberikan kita satu peluang untuk mengecapi nikmat dunia. Tuhan juga bagi kita peluang untuk bertaubat. Walau bagaimanapun, kita harus ingat, yang hilang akan terus hilang dari hidup kita. Yang hilang memang berganti tetapi yang menggantikannya bukanlah sama. Itulah hakikat putaran dunia. Dendam yang ibarat api membakar sekam akan terus berasap di jiwa orang yang pernah kita cerca, caci dan hina. Biarpun di hadapan kita mereka mungkin tersenyum tetapi dalam lipatan sejarah hidup mereka nama dan perbuatan kita akan selalu disebut dan diingat kerana kita pernah hadir dalam hidup mereka sebagai Hitler. Kita boleh menghulurkan tangan memohon kemaafan tetapi kita tidak boleh membasuh hati yang sarat mengundan marah dan dendam. Oleh itu, Tuhan berikan kita otak untuk berfikir, sebelum terlajak perahu yang dikemudikan, lebih baik kita berhati-hati dalam setiap perbuatan kerana terlajak kata buruk padahnya. Setiap manusia punya hak untuk dihormati. Setiap manusia punya hak untuk disayangi. Bukan semua orang berharta dan berpangkat seperti kita, sebab itu kita tidak boleh menggunakan harta dan pangkat kita untuk memingirkan hak orang lain yang hina di mata angkuh kita.


Kita pandu kereta BMW atau Proton Saga, kita tetap memandu di jalan raya yang sama. Kita duduk di kelas perniagaan atau di kelas ekonomi, destinasi penerbangan kita tetap sama. Kita guna jam tangan Rolex atau Titan, sampai masa kita tetap melihat masa yang sama. Kita guna telefon pintar jenama Apple atau Nokia, orang yang memanggil kita tetap orang yang sama. Tidak salah untuk mengimpikan yang terbaik. Tidak salah untuk berangan-angan menjadi mewah dan kaya. Yang salah apabila kita tamak dan merebut hak orang lain. Orang yang tamak tidak mampu memenuhi keinginannya sehingga dunia ini kiamat.


Ingatlah, kita maju kerana sokongan daripada ramai orang yang muncul dalam hidup kita. Seorang guru mungkin hina pada mata kita tetapi tanpa mereka kita tidak mampu menjawab soalan peperiksaan sehingga memperoleh kecemerlangan. Merekalah yang menjadi tongkat sebenar kejayaan kita. Ibu dan bapa kita mungkin miskin dan tidak berpendidikan tetapi tanpa mereka tiadanya kita di dunia ini. Merekalah yang membesarkan dan membiayai kehidupan kita sehingga kita berjaya. Isteri kita mungkin bukanlah bidadari tetapi dialah yang selalu meniupkan semangat untuk kita berjaya. Anak-anak kita mungkin bukanlah sebijak anak rakan-rakan kita tetapi merekalah pewaris keturunan kita. Jangan lupa bahawa kita ada adik beradik yang sentiasa bersatu jiwa dengan kita. Darah kita dan darah mereka sama jenisnya. Kawan-kawan kita, tidak kira apapun pekerjaan dan status hidup mereka, terimalah seadanya kerana mereka akan hadir apabila kita memerlukan. Pejamkanlah mata, hidup akan jadi indah jika kita baik dengan semua orang. Hidup akan jadi indah jika kita tidak memusuhi orang lain. Hidup akan jadi indah apabila kita sedar siapakah diri kita. 


Cetusan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu, Sarawak

03 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK KAPIT, BUDI DISANJUNG, BAKTI DIJUNJUNG


Tanggal 1 April 2017, tepat pukul 4:00 pagi saya sudah mandi dan menyediakan sarapan pagi untuk diri sendiri. Pagi ini, saya akan ke Kapit untuk memberikan Ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM Penggal 2 kepada pelajar Prauniversiti di Zon Kapit. Daerah Kapit merupakan destinasi wajib saya untuk berkongsi ilmu dan kepakaran kerana jiwa saya terlalu dekat dengan masyarakat di Kapit. Saya merupakan anak pedalaman yang menuntut ilmu di Bahagian Kapit pada suatu masa dahulu, dari Darjah 1 hingga Tingkatan Enam. Jika dikira, bekas tapak kaki saya di bumi Kapit mungkin berjuta-juta kerana disitulah bermulanya sejarah hidup saya. Oleh itu, jika tidak dijemput, saya akan menawarkan diri untuk berjumpa dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu kerana saya ikhlas membantu demi kecemerlangan anak-anak didik di daerah itu. Walaupun sumbangan saya hanyalah kepada subjek Bahasa Melayu namun harapan saya untuk menyuntik semangat kepada anak-anak didik di Kapit sentiasa membara.

Saya bangga menjadi anak Kapit kerana saya tahu hampir kesemua anak-anak Kapit yang berjaya dalam hidup asalnya sama iaitu hidup bergelut dengan kemiskinan dan ketiadaan. Mereka tidak pernah dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Belajar di asrama yang usang sambil ditemani cahaya lilin. Hidup terikat dengan peraturan warden asrama. Akan tetapi, kerana peraturan-peraturan itulah kami maju membawa diri ke hadapan. Kami hidup berdikari. Makan maggie dalam baldi, kami kongsi bersama sebagai alas perut. Itulah sejarah hidup kami yang tidak sama dengan sejarah hidup rakan-rakan di bandar. Lantaran itu, hati saya selalu teringatkan Kapit. Walaupun belum ada kesempatan berkhidmat sepenuhnya di Kapit, sepanjang 20 tahun perkhidmatan menjadi guru ini nama Bahagian Kapit tidak pernah lenyap dari ingatan saya. Apabila melihat anak-anak Kapit yang berjaya dan berjawatan tinggi, saya tumpan bangga dan gembira. Walaupun mereka tidak mengenali saya atau menegur serta menyapa, saya tetap mendoakan agar lebih ramai anak-anak dari Bahagian Kapit seperti mereka. Belia berilmu harus beranak-pinak di Bahagian Kapit untuk memacu pembangunan di kawasan itu agar setanding dan seiring dengan tempat-tempat lain di Malaysia.


PERJALANAN MENGUJI KESABARAN

Pukul 5:20 pagi, saya memandu kereta ke Warf Ekspres Kapit di tepi Sungai Rejang. Sepanjang perjalanan, saya begitu bersemangat sambil mendengar lagu baharu nyanyian Malique ft Dayang Nurfaizah berjudul “Pejamkan Mata”. Saya ulang lagu itu sehingga lima kali, barulah sampai ke destinasi. Selepas mengunci kereta saya pun pergi untuk membeli tiket ekspres, malangnya saya dikhabarkan oleh penjual tiket bahawa tiket sudah habis. Saya merayu supaya dibenarkan masuk. Rayuan saya dilayan. Saya terpaksa berdiri dengan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 jam untuk sampai di Kapit. Niat hati saya untuk membaiki slaid power point ceramah saya hancur musnah. Walau bagaimanapun, demi akan-anak didik di Kapit, saya gagah berdiri. Saya kuatkan semangat dengan mengimbau kenangan semasa kecil, saya dan kawan-kawan saya merupakan anak-anak yang lasak dan tahan dengan segala macam kesakitan. Jika dahulu saya mampu berenang untuk pergi ke sekolah, mengapa berdiri selama tiga jam itu menjadi masalah? Hati saya tersenyum tetapi kaki saya mulai lengguh. Saya mungkin lemah kerana usia.

Lebih kurang dua jam perjalanan, ekspres yang dinaiki pun sampai di Pekan Song, tempat saya dilahirkan. Hati saya berdoa agar ada penumpang yang keluar supaya saya mendapat tempat duduk. Saya berjalan ke tempat Kelas Ekonomi setelah diberitahu tidak ada penumpang yang akan keluar dari kelas perniagaan.  (Naik ekspress pun seperti naik kapal terbang, ada kelas ekonomi dan kelas perniagaan). Nasib saya lagi malang, tempat duduk di kelas ekonomi penuh. Seorang pun penumpang tidak keluar, semuanya pergi ke Kapit. Hati saya tertanya, apakah acara penting yang sedang berlangsung di Kapit pada pagi ini? Saya duduk di tangga ekspres. Tiba-tiba sekumpulan penumpang dari Pekan Song masuk ke dalam ekspres. Keadaan menjadi sesak. Seorang nenek duduk di tepi saya. Kemudian, seorang lagi nenek, tiba-tiba masuk dan berdiri di tepi kami. Saya pada mulanya, tidak mahu memberikan tempat duduk di tangga itu kerana kepenatan berdiri selama dua jam dari Sibu, mulai bersimpati. Mahu tidak mahu saya berdiri sambil mempersilakan nenek itu duduk. Dia amat berterima kasih sambil memegang tangan saya dan mengusap rambut saya. (Cara orang Iban menzahirkan kasih sayang kepada anak muda). Saya berasa amat terharu.


Apa yang saya kesalkan, anak-anak muda yang duduk di kerusi empuk ekspres langsung tidak mahu memberikan tempat duduk kepada orang-orang tua dan ibu yang mengendong anak. Mereka seolah-olah tiada perasaan simpati terhadap orang sebegini. Lebih memilukan lagi, 3 orang remaja yang asyik berswafoto tanpa memperdulikan orang lain dalam ekspres. Inilah sikap masyarakat sekarang. Apabila saya menoleh ke barisan belakang, lebih kurang 6 barisan diduduki oleh sekumpulan wanita yang berpakaian seragam. Mereka mungkin terdiri daripada kakitangan kerajaan. Di sebelah mereka ada dua orang ibu yang sedang mendukung anak kecil. Seorang pun tidak memberikan peluang untuk mereka duduk. Pihak pengusaha ekspres yang tamak mengaut untung tetap juga mengutip tambang buat ibu mengandung dan warga tua seperti dua orang nenek di tepi saya. Akan tetapi, hari ini mungkin Allah murahkan rezeki mereka berdua, saya membayarkan tambang untuk mereka. Rasa kasihan amat mendalam apabila saya melihat mereka batuk tidak henti-henti. Apabila saya bertanya, mereka memberitahu pergi ke Kapit untuk mendapatkan rawatan. Saya kata hari ini hari Ahad, klinik tak buka. Mereka berdua tertawa. Mereka kata hospital tak pernah tutup di Kapit. Saya pula macam tak pernah pergi ke sekolah. Mudah-mudahan mereka sentiasa sihat walafiat. Amin.

CERAMAH DI SMK KAPIT


Saya keluar dari Ekspres pada pukul 9:00 pagi. Kedatangan saya disambut oleh seorang guru yang amat baik dan bertanggungjawab iaitu Cikgu Teoh Say Beng. Saya dengan Cikgu Philip Nyipa dan tiga orang pelajar dari SMK Belaga di bawa ke Dewan SMK Kapit. Saya terharu dengan kedatangan guru dan pelajar dari SMK Belaga. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan perbelanjaan sendiri dan melalui perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendengar ceramah saya. Walaupun bibir saya tidak mengucapkan rasa kekaguman itu tetapi hati saya mendoakan agar mereka mendapat sesuatu untuk dibawa balik ke SMK Belaga dan dikongsikan dengan rakan-rakan di sana. Saya mulakan ceramah saya pada pukul 9:40 pagi. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, pelajar-pelajar menunjukkan sikap yang amat positif. Mereka tidak pergi ke tandas. Mereka tidak berbual-bual dengan kawan. Mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ceramah yang saya sampaikan. Ceramah saya mengandungi tiga bahagian. Setiap bahagian memerlukan masa satu jam 15 minit untuk dilangsaikan. Semua perkara itu pula amat penting untuk dikongsikan. Apa-apapun, saya tetap akan menghabiskan semua slaid sebelum waktu menunjukkan pukul 2:30 kerana pada pukul 3:15 saya akan balik ke Sibu.


Tuhan selalu mempermudahkan kerja saya apabila sampai di Kapit. Masa yang sentiasa cemburu apabila di tempat lain menjadi amat mesra apabila saya berada di SMK Kapit. Walaupun tergendala disebabkan minum pagi dan makan tengahari, ceramah saya tetap sampai ke titik noktahnya. Saya amat berterima kasih dengan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Kapit, Cikgu Jargalia Lidek yang juga merupakan guru Bahasa Melayu STPM yang banyak membantu melancarkan majlis. Beliau seorang guru yang amat rajin dan bertanggungjawab. Pelajar-pelajar beliau amat menyayangi beliau. Komitmen tinggi yang ditunjukkan menyebabkan saya mengagumi beliau. Guru-guru seperti beliau harus beranak-pinak di Bahagian Kapit kerana anak-anak didik amat memerlukan guru-guru yang komited dan berdedikasi. Beliau seperti guru-guru yang mengajar saya 25 tahun dahulu sewaktu saya menuntut di SMK Kapit (1992-1993). Jika bukan kerana jasa Cikgu Mat Yaakub, Cikgu Shahran Haris, Cikgu Mustafa Mohammad, Cikgu Gan, Cikgu Subramaniam, Cikgu Letcheumanan, Cikgu Sammy, Cikgu Nobert Rabar Sumuk, dan sebagainya, tidak mungkin saya akan menjadi seperti hari ini. Cikgu Jargalia merupakan guru yang sehebat mereka.


SAFARI BERAKIT

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Warf Ekspres Kapit barulah saya tahu orang Kapit sedang berpesta. Acara Safari Berakit merupakan acara tahunan di Bahagian Kapit. Bandar Kapit yang selalunya sunyi, dipenuhi oleh lautan manusia. Kenderaan memenuhi segenap ruang untuk menyaksikan perlumbaan bot laju dan pelbagai acara yang dilangsungkan. Malangnya, saya tidak dapat melihat semua itu kerana perlu menyampaikan ceramah, yakni tujuan utama saya ke Kapit pada hari itu. Disebabkan takut tiada tempat duduk, sebaik sahaja terjun dari ekspres saya terus membeli tiket ekspres untuk pulang. Alhamdulillah, tiket ekspres masih ada. Saya beli tiket kelas peniagaan dengan harga RM30.00. Sebenarnya, saya pasang niat untuk bermalam. Saya arahkan seorang kawan untuk cari hotel yang masih ada bilik kosong. Akan tetapi, semua hotel di Bandar Kapit penuh. Niat untuk bermalam tidak menjadi. Meriahnya Kapit semasa sambutan hari April Pool. Gerai-gerai jualan bersusun di jalanan yang menjual pelbagai barangan, pakaian, makanan, dan minuman. Pasukan RELA yang bertugas terlihat ketegasan dan ketangkasan mereka. Begitu juga dengan petugas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).



KASIHAN ORANG KAPIT

Setelah 56 tahun negara kita merdeka, masyarakat di Kapit masih bergantung kepada pengangkutan air sebagai jalan pengangkutan utama. Jalan raya masih belum sampai ke Kapit juga. Kini, usia saya sudah menjangkau 43 tahun, niat untuk memandu kereta sendiri balik ke kampung halaman sendiri, masih juga hadir dalam mimpi dan fantasi. Sampai bilakah akan menjadi realiti? Hanya Tuhan Maha Mengetahui. Apabila melihat orang ramai bersesak-sesak naik ekspres sehingga sanggup duduk di atas atap, mengadai nyawa sendiri, saya menjadi terharu mengenangkan nasib masyarakat di Bahagian Kapit. Saya amat berharap agar pihak yang terbabit menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu ke  Kapit. Sesungguhnya, Kapit merupakan tanah yang mampu memberikan rezeki kepada kerajaan jika dimajukan. Kemajuan terencat disebabkan masalah pengangkutan. Janganlah disisihkan daerah ini dari pembangunan. Hasil balak yang dikeluarkan dari daerah Kapit tolonglah pulangkan balik untuk menyiapkan pembinaan jalan dan jambatan bagi menghubungkan Kapit dengan bandar-bandar utama lain di Sarawak. Kejadian ekspres dan bot karam yang selalu berlaku saban tahun mungkin dapat dielakkan jika ada jalan raya. Keadaan kesesakan yang amat parah apabila tiba musim gawai dayak kerana 95% penduduk di Kapit merupakan kaum Iban. Kesukaran balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Gawai Dayak kadang-kadang menyebabkan kita boleh membatalkan hasrat. Bukannya tak nak balik ke kampung tetapi ekspres sentiasa penuh dengan penumpang menyebabkan niat itu terhalang.

Tatkala orang lain bermandikan sinar neon berkerlipan pelbagai warna, masih ada penghuni rumah panjang di Bahagian Kapit yang bertemankan cahaya pelita. Orang lain ghairah menonton Gegar Vaganza, mereka cuma mendengar radio AM yang mendesir sahaja. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Pergi ke pekan, terpaksa mengadai nyawa meredah jeram. 

Masyarakat di Kapit bukannya antikemajuan dan antipembangunan. Mereka inginkan Komuter dan LRT. Mereka mahu kapal terbang MAS, Air Asia, dan Maswing mendarat di tanah mereka. Walau bagaimanapun, sampai bilakah mimpi-mimpi mereka menjadi realiti? Ruang pembangunan sedikit terhalang disebabkan masalah pengangkutan. Semoga pihak-pihak berwajib menelusuri dan meneliti hal ini dengan lebih tekun dan terperinci memandangkan usia kemerdekaan negara sudah melebihi setengah abad. Tidak meminta bukannya tidak suka. Tidak menagih bukannya tidak sedih. Tidak mendesak bukannya tidak terdesak. Hati mereka penuh harap agar mereka tidak terys tersisih dari arus permodenan negara. Alangkah moleknya, jika didirikan sebuah kolej kemahiran di Bandar Kapit untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari ilmu baharu tanpa perlu berhijrah ke tempat lain. Pada masa ini, kadar penghijrahan anak-anak muda dari Bahagian Kapit ke tempat-tempat lain amat tinggi kerana mereka perlu mencari peluang dan ruang di tanah orang untuk meraih rezeki. Sebilangannya, terus menetap di tempat lain kerana di kampung halaman sendiri tidak menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai kemudahan. Itulah nasib penghuni di bumi Kapit. 

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK


Tepat pukul 2:40 petang, ceramah saya di SMK Kapit pun berakhir. Selepas mengambil gambar, kami dihantar ke Warf Ekspres Kapit. Kita-kira pukul 3:15 petang, ekspres pun bertolak ke Sibu. Saya berharap perkongsian ilmu dengan anak-anak di SMK Kapit, SMK Kapit No.2, SMK Selirik, dan SMK Belaga pada hari ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna. Mereka perlu berjaya untuk melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan dan berilmu di Bahagian Kapit. Semoga terbit sinar keinsafan di hati muda mereka untuk terus mara ke hadapan dengan penuh yakin demi diri, keluarga dan bangsa. Mereka tidak boleh gagal kerana perjuangan masih belum selesai. Tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan darjat Bahagian Kapit terletak di bahu mereka juga pada suatu masa nanti. Sesungguhnya, kejayaan itu mudah digapai andai strateginya betul dan sasarannya mengena. Anak-anakku, hiduplah dengan cita-cita serta harapan yang tinggi kerana orang yang sebegitu sentiasa berusaha untuk mengapai bintang di angkasa. Jangan terperuk di ceruk rasa rendah diri yang menebal kerana orang sebegitu pergerakannya akan tersekat dan terperangkap di sangkar kegagalan sampai bila-bila.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak.