DR. EMA IZATI ZULL KEPILIL
Pensyarah Kanan Kewangan
dan
Ekonomi,
Pusat Pengajian
Pengurusan,
Universiti Sains Malaysia.
Corak pembelajaran di
universiti kini sedang mengikuti arus perubahan yang ketara. Dalam mendepani
cabaran globalisasi, corak pembelajaran sedang ditingkatkan ke arah pembelajaran
bersepadu (blended-learning) dan tidak lagi 100 peratus menggunakan konsep
pembelajaran tradisional iaitu secara satu arah. Di kuliah, peranan
pembelajaran telah dipulangkan secara aktif kepada pelajar (flipped learning). Dalam
perubahan ini, ada pelajar universiti yang akan bakal menjadi graduan tulen -
mendapat imbuhan dari perubahan ini dan ada kelompok pelajar yang masih terleka
dengan corak pembelajaran tradisional. Kelompok pelajar yang malang ini akan
menjadi graduan ‘salin dan tampal’ (copy & paste) kerana pelbagai sebab.
Perbezaan ciri-ciri kelompok dua pelajar ini dilihat lebih ketara dengan
penyebaran ilmu di internet. Di bawah ini sebahagian daripada karakter yang
membezakan seseorang itu adalah graduan tulen atau copy & paste tersebut.
KARAKTER PERTAMA
Pembelajaran
bersepadu meliputi arahan pembelajaran dilakukan sebelum pelajar memasuki
kuliah. Graduan tulen ialah mereka yang mengikut arahan tersebut, membaca dan
menyelidiki sesuatu informasi di internet sebelum kuliah bermula. Mereka tahu
mereka tidak semestinya faham bab baru dalam sesuatu subjek, tetapi dengan
mengambil tahu secara rambang sebelum kuliah, secara separa sedar, graduan
tulen telah menyediakan minda mereka untuk menerima jawapan dari ketidakfahaman
mereka. Ini kerana, sewaktu di kuliah, pembelajaran secara aktif akan
berlangsung. Pensyarah tidak akan lagi mengulang arahan, tetapi terus kepada
diskusi lanjutan.
Bagaimanapun, graduan
copy & paste yang tidak bersedia membaca sebelum masuk kuliah, akan
ketinggalan dan menjadi kabur dalam kuliah.
KARAKTER KEDUA
Pembelajaran
bersepadu meletakkan peranan pensyarah sebagai pembimbing dan fasilitator.
Graduan tulen memahami perbezaan antara fasilitator dan guru. Sebagai seorang
yang dewasa, mereka faham bahawa corak pengajaran untuk orang dewasa adalah
berbeza dari remaja. Corak pengajaran untuk dewasa berbentuk abstrak dan lebih
menjurus kepada penggunaan kemahiran aras tinggi dan soalan berbentuk aplikasi,
sintesis dan kemahiran membuat keputusan.
Lain dari graduan
copy & paste, mereka mengharap pensyarah akan memberi nota, soalan dan
skema jawapan. Mereka berpendapat pensyarah seharusnya menjadi seperti seorang
guru yang menyediakan segalanya untuk mereka.
KARAKTER KETIGA
Pembelajaran
bersepadu lebih interaktif dan bercorak amali (hands-on). Graduan tulen
menghargai corak pembelajaran yang mengangkat intelektual mereka. Sebagai
seorang yang dewasa, graduan tulen lebih terdorong kepada kuliah yang lebih
interaktif, tidak terlalu mengikut sorotan power-point, tetapi lebih kepada
soalan, aktiviti dan latihan yang mencabar keupayaan intelektual mereka.
Namun begitu, graduan copy
& paste lebih selesa duduk di belakang dewan kuliah dan melayani Facebook,
WhatsApp dan internet ketika kuliah sedang berlangsung. Tindak balas mereka
terhadap latihan dan aktiviti kuliah adalah pasif dan cepat mengeluh.
KARAKTER KEEMPAT
Pembelajaran
bersepadu memanfaatkan masa sepenuhnya untuk mencapai kemahiran insaniah. Oleh
sebab ini, graduan tulen yang faham akan menghormati ilmu dan waktu kuliah.
Mereka datang awal ke kuliah, duduk di hadapan dan menunjukkan minat untuk
belajar. Mata mereka seperti galak mahu tahu lebih daripada syarahan yang
disampaikan. Adab mereka adalah tinggi kerana mereka faham, menghormati
pendidik akan mendatangkan keberkatan ilmu dan melancarkan pemahaman.
Graduan copy &
paste sebaliknya datang lewat, duduk seperti bersantai di tepi pantai, tidak
membawa pen dan alat tulis, terlalu bergantung kepada rakan dan tidak
menunjukkan minat untuk ke kuliah. Adab belajar dan berguru juga rendah.
KARAKTER KELIMA
Graduan tulen yang
memohon pinjaman selalunya bijak merancang kewangan mereka. Mereka faham yuran
pendidikan dan perkara berkaitan adalah mahal. Mereka juga faham bahawa mereka
perlu membayar semula pinjaman selepas mendapat pekerjaan kelak. Dengan
kefahaman ini, mereka sedaya upaya mendapat keputusan yang baik dan membina
sahsiah yang lebih berintegriti. Mereka pandai merencana pelaburan mereka.
Graduan copy &
paste pula selalunya terlupa tentang bayaran balik pembiayaan mereka dan tidak
melabur sebaik-baiknya menimba ilmu pengetahuan dan memperelokkan adab.
KARAKTER KEENAM
Pembelajaran
bersepadu dilaksanakan di dalam kuliah berdasarkan objektif untuk menerapkan
falsafah pendidikan negara. Graduan tulen yang mengikuti pembelajaran bersepadu
akan lebih arif dalam memacu ilmu mereka dalam membangunkan negara. Di
universiti, mereka melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran luar
dewan kuliah. Mereka telah mengasah tajam pemikiran kritis mereka dalam
mendepani isu-isu realiti. Objektif mereka adalah untuk membangunkan
kesejahteraan rakyat dan negara.
Lain halnya dengan
graduan copy & paste. Oleh kerana mereka selalunya mengambil mudah salin
dan tampal tugasan mereka, minda mereka tidak dilatih berfikir secara kritikal. Minda salin dan
tampal hanya mendorong kepada mendapatkan matlamat jangka pendek - kekayaan
diri sendiri. Kesudahannya, apabila graduan ini berdepan dengan realiti yang
mencabar, mereka lekas melenting dan menuding jari mencari kesalahan orang
lain.
Dengan laporan World Economic Forum yang mengatakan pada 2025, 50
peratus pekerjaan di dunia akan diambil oleh teknologi, graduan tulen lebih
mempunyai masa depan yang cerah untuk kekal signifikan dalam dunia. Mereka ini
sejak awal peringkat universiti telah melatih akal untuk sentiasa bekerja keras
untuk kekal berdaya saing.
Bagi graduan copy
& paste, mereka bakal ditelan arus dan menjadi tidak relevan dengan cepat.
Persoalannya, dengan jumlah puluhan ribu graduan universiti tempatan yang
keluarkan, adakah sebahagian besar graduan kita tulen atau copy & paste?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan